SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday, 22 August 2014

BAGAIMANA KELANTAN TERJAJAH


Kelantan bumi bertuah, tempat ramai ulama bermaustautin. Kemudia ia mula melahirkan ulama-ulama yang kemudiannya tersebar seluruh nusantara. Rakyatnya hidup aman dan damai. Namun, peristiwa Perang Saudara 1838 merubah segalanya.

-----------------@@@@-----------------

Kelantan yang wujud semenjak disatukan oleh Long Yunus pada 1764 tidak mendapat KEMERDEKAAN yang sebenarnya kerana kita telah dibayangi oleh pengaruh SIAM. Long Yunus diangkat sebagai penyatu Kelantan dan membentuk sebuah negeri pada 1764 dan ianya diperkenankan oleh SIAM selaku kuasa besar Asia Tenggara pada masa tersebut. Maka wujudlah Kelantan yang menyaksikan Negara Kota Melayu di Kelantan seperti Kota Mahligai, Kota Jembal, Sening, Jeram, Limbat disatukan dibawah Negeri Kelantan. Sebagai balasan kepada pengiktirafan dari SIAM itu, Kelantan mula menghantar ufti pada SIAM bermula pada 1785.

Selepas mangkatnya Long Yunus, Kelantan mula bergolak akibat perebutan takhta antara perwaris Long Yunus. Berlakulah pertikaian antara anak dan menantu baginda semenjak 1795. Pada awalnya, Tengku Muhammad menantu Long Yunus menaiki takhta Kelantan, tetapi ditentang oleh Long Muhammad, putera Long Yunus. 5 tahun selepas itu, Long Muhammad telah berjaya menaiki takhta dan digelar sebagai Sultan Muhammad I pada 1800.

Sultan Muhammad I telah mangkat pada 1835 dan meninggalkan takhta tanpa perwaris yang sah kerana baginda hanya mempunyai dua orang anak angkat yang diambil dari Tengku Temenggung Aria Pahlawan Long Tan Ibni Long Yunus iaitu:
  • Long Senik Mulut Merah
  • Tengku Long Bongsu
Sejurus Kemangkatan Sultan Muhammad I, adinda baginda iaitu Long Jenal (Zainal) Raja Bendahara Banggul, telah menaiki takhta dan ia telah dibantah oleh Long Senik Mulut Merah dan Tuan Besar Raja Kampung Laut.

Pertikaian tiga pihak ini telah menarik perhatian SIAM dan mereka mula mencampuri konflik tersebut untuk meredakan pertikaian yang telah berlanjutan selama dua tahun. Pihak SIAM telah melantik Long Senik Mulut Merah sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad II pada 1837. Long Jenal yang telah lanjut usia dan Tuan Besar akur dengan keputusan SIAM itu. Namun, Sultan Muhammad II masih bimbang dengan pengaruh Tuan Besar Raja Kampung Laut dalam pentadbiran Kelantan.

1838 British terlibat secara langsung

Kebimbangan Sultan Muhammad II dengan pengaruh Raja Kampung Laut telah mencetuskan peperangan saudara yang dikenali sebagai Perang Saudara II. Aturan perang di Kelantan pada waktu itu adalah tidak membenarkan sebarang kapal keluar atau masuk ke Kelantan. Sewaktu tercetusnya perang tersebut beberapa tongkang Cina yang berpengkalan di Singapura dalam perjalanan ke Bangkok telah terkandas sekitar perairan sungai Kelantan.

Kapal tersebut telah ditahan, anak kapalnya tidak dibenarkan turun dari kapal. Hal ini telah sampai ke pengetahuan pemilik tongkang tersebut dan mereka telah menjemput Abdullah Munsyi untuk belayar ke Kelantan bagi meninjau keadaan perang di sana. 

Hal ini ada tercatat dalam Kisah Pelayaran Abdulah Munsyi. Adalah dipercayai Abdullah Munsyi ke Kelantan atas aturan Gabenor British kerana tongkang itu juga membawa kepentingan British. Pada hemat kami, inilah pengelibatan pertama British secara terus tentang apa yang berlaku di Kelantan. Untuk fakta, hubungan British dengan Siam amat erat sekali dan ia berlaku seawal kedatangan Francis Light lagi tambahan mereka juga mempunyai satu perjanjian (Perjanjian Burney) yang ditandatangi pada 1826. Jadi, kemungkinan besar, British telah menggunakan pengaruhnya untuk menamatkan Perang Saudara di Kelantan itu.

Sejarah mencatatkan Perang Saudara ini tamat dengan tipu helah SIAM keatas Raja Kampung Laut. Pada pertengahan tahun 1839, wakil Siam telah memaksa pihak bertelagah ke Songkhla. Setibanya di Songkhla, Raja Kampung Laut telah diarahkan ke Bangkok untuk berunding secara terus dengan Raja Rama III, Raja Siam. Dalam hal ini, Siam lebih memihak kepada Sultan Muhammad II untuk merajai Kelantan atas sokongan Siam, angkatan Sultan Muhammad II telah berjaya menumpaskan angkatan Raja Kampung Laut.

Di Bangkok pula, Raja Kampung Laut telah ditawarkan untuk menjadi Raja Patani. Tawaran ini tidak boleh ditolak lagi, dan inilah jalan terbaik untuk menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku di Kelantan. Justeru rantau ini kembali aman, dan hubungan antara Singapura dan Bangkok juga dapat dipulihkan. Kelantan pula menerima penasihat yang dilantik oleh Siam selain harus membayar ufti ke Bangkok setiap tiga tahun. 

50 tahun kemudian, Kelantan berada dalam keadaan aman dan makmur tanpa campurtangan yang jelas oleh Siam atau British. Hinggalah Siam melaksanan Transformasi dalam pentadbiran mereka dari kerajaan feudal kepada kerajaan moden yang dikenali sebagai Thesaphiban. Transformasi ini dibuat kerana wilayah Siam di lembah Mekong telah diambil oleh British ekoran kelemahan pentadbiran Siam pada waktu itu. Pembaharuan pentadbiran ini memberi kesan kepada British yang banyak beroperasi di Bangkok selain di Singapura. 

Akhirnya termetrailah satu perjanjian yang dikenali sebagai Anglo Siamese Treaty pada 1909 di Bangkok. Perjanjian ini juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok 1909. Sebab utama kenapa negeri-negeri Melayu tidak dilibatkan dalam rundingan ini adalah kerana British menganggap negeri Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu sebagai wilayah naungan SIAM. Kedah dan Perlis terikat dengan Siam di bawah Perjanjian Burney 1826, Kelantan dan Terengganu pula dianggap sebagai naungan Siam kerena mereka menghantar Ufti kepada Siam semenjak 1785.

Selepas Perjanjian 1909
Melalui perjanjian tersebut, Bangkok dan British dapat merangka sempadan yang jelas antara wilayah naungan British dan wilayah naungan Siam. Orang Melayu melihat ini sebagai usaha untuk memisah dan memecah belahkan Patani Besar legasi Langkasuka. 

Waktu itu Kelantan hanya mempunyai Raja dan Yang diPertuan Kelantan ekorang Sultan terdahulu iaitu Sultan Mansur yang mangkat pada 1900 tidak mempunyai perwaris. Setelah termetrainya perjanjian 1909, British dengan diperkenan Queen England telah menabalkan Raja Kelantan sebagai Sultan Muhammad IV pada 1910. 

Bermulalah episod Kelantan menjadi naungan Empayar British dan dikenali sebagai salah sebuah Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. 

Epilog
Sejarah memaparkan Kelantan berada di bawah naungan Siam dan British serta kemudiannya di bawah Jepun. Sewaktu penjajahan Siam ia tidak memberi kesan secara langsung di Kelantan. Rakyat tetap hidup seperti sediakala, dimana mereka bebas menuntut Ilmu dan mengamalkan adat resam dan agama. Apabila British datang, mereka mula mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri, tetapi mereka tidak mencampuri urusan Adat Istiadat dan Agama walaupun ada usaha mengganggunya semasa Sir Laurence Guillermard menjadi Gabenor Malaya. 

Namun rakyat Kelantan dibebani dengan pelbagai cukai, dan hidup semata untuk membayar cukai. Ini satu bentuk penjajahan yang nyata. Kerana itu pada 1915 Tok Janggut bangkit menolak campur tangan British. Seperti mana apa yang dilakukan oleh Dato Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang. Kemudiannya Abdul Rahman Limbong juga bangkit di Terengganu.

Perjuangan tokoh-tokoh ini sebenarnya tidak padam, malah ia terus membara dalam segenap lapisan masyarakat. Demi menentukan pemerintahan sendiri atas nama Kemerdekaan banyak persatuan telah ditubuhkan semenjak tahun 1920an. Dunia diambang Perang Dunia ke-2 dan Jepun menyedari kesemua manusia dalam koloni British mula memberontak dan mereka mula melancarkan slogan Asia untuk Asia.  

Di tanah Melayu ia disambut oleh beberapa pertubuhan yang kini dikenali sebagai Haluan Kiri seperti API, AWAS, dan PKMM. Namun agenda Jepun ternyata palsu semata, betul Barat meninggalkan Asia, tetapi Asia yang datang lebih kejam dari Barat. Nyawa manusia terbang dihujung mata pedang samurai.

Waktu itu, kesemua Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu diserah kembali kepada SIAM oleh British. Namun catuan makanan dan kerahan menjadi Buruh Paksa tidak dapat dielakkan. Jepun Kalah, negeri-negeri ini dimasukkan semula bawah Malayan Union. 

Pemimpin di Kelantan sedar akan ancaman baru ini, ketika itu mereka sedar bahawa satu pemerintahan sendiri tidak boleh dilaksanakan kalau Bangsa Melayu tidak Bersatu.... dari situlah KEMERDEKAAN itu dicapai.

p/s: Kami mohon maaf kalau ada kekhilafan, mana yang baik hendaklah kita jadikan tauladan, mana yang buruk kita jadikan sempadan. Kemerdekaan yang sebenarnya ada pada diri anda, dan Ilmu yang dituntut menjadi pemangkin kebebasan anda. Hidup adalah Ujian, Akhirat kelak kita dihitung.



http://pp-sk.blogspot.nl/2013/11/sultan-muhammad-i-1800-1835.html
http://pp-sk.blogspot.nl/2013/12/patani-kelantan-episod-7-tuan-besar_13.html
http://pp-sk.blogspot.nl/2013/11/sultan-muhammad-ii-1837-1886.html
http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Kelantan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...