SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday, 20 August 2014

Keunikan Jambatan Guillemard Dulu dan Kini

PENDAHULUAN

Awal kurun ke-19, Kelantan telah diletakkan di bawah Empayar British setelah termetrainya Perjanjian Anglo Siamese Treaty 1909 yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok 1909 menyaksikan Patani berpecah dari Kelantan dimana, Patani kekal di bawah Bangkok dan Kelantan berserta Kedah, Perlis, dan Terengganu disatukan dibawah pentadbiran Residen British dan ditanda sebagai Unfederated Malays State. 

Sebelum campur tangan Inggeris secara langsung di Kelantan pada 1909, Kelantan dibawah Sultan Muhammad IV telah mengorak langkah untuk memodenkan Negeri Kelantan sepertimana negeri Johor yang waktu itu adalah negeri terkuat di Semenanjung Tanah Melayu. Kesultanan Kelantan pada waktu itu telah mengorak langkah dengan penyerahan Konsesi Tanah kepada Duff Company untuk memajukan Ulu Kelantan. Selain itu terdapat juga syarikat daripada Jerman dan Perancis masuk untuk melabur di Kelantan. 

Selepas perjanjian Bangkok itu, semua aktiviti ekonomi Kelantan dihentikan oleh pihak Koloni British di Singapura. Peralatan Duff Company disita, aktiviti syarikat juga di hentikan. Kesultanan Kelantan pula dilucutkan hak untuk memeterai perjanjian baik dari dalam atau luar tanpa pengetahuan Penasihat British. Maka terbantutlah usaha Sultan Muhammad IV untuk mengembangkan ekonomi Kelantan walau pada waktu itu, hubungan dari Kota Bharu ke Singapura amat kerap dimana Kelantan sentiasa eksport produk tani seperti Lembu dan Kelapa ke Singapura, selain menjadi persinggahan pedagang dari Bangkok untuk ke Singapura. 

10 tahun pertama British di Kelantan, mereka menghabiskan masa untuk merangka pentadbiran koloni dengan mengenalkan pelbagai cukai keseluruh negeri atas nama Sultan. Kemuncaknya berlaku peristiwa Perang Dalam Pupuh pada 1915 di Pasir Puteh. Kesemua ini memberi kesan kepada perkembangan ekonomi di Kelantan. Selepas tamat perang tersebut, British mula giat mengumpul hasil dari Kelantan. 

23 Disember 1920, Sultan Muhammad IV telah mangkat dan Tengku Ismail telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan. 

PEMBINAAN INFRASTRUKTUR

Semenjak pemerintahan Sultan Muhammad IV lagi banyak binaan moden telah dibangunkan di Kelantan baik sewaktu Siam mahupun British. Usaha pemodenan Kelantan diteruskan lagi dibawah pentadbiran Sultan Ismail bermula 1921. 

Pada 1914, British telah membina jalan keretapi dari Tumpat ke  Thailand dan ianya bersambung hingga ke Bangkok. Bagi meningkatkan lagi eksplotasi hasil bumi Kelantan dan memaksimakan keuntungan imperialis, atas nasihat Penasihat British, satu jambatan Keretapi merentangi Sungai Kelantan telah dibina  bermula di Paloh Rawa, Machang ke Kursial, Tanah Merah.

Jambatan dalam pembinaan 1920

Circullar Metro Carriage 1924
Pembinaan jambatan ini dilaksanakan oleh Metro Carriage Wagon & Finance Company Limited, Wednesbury Work, England. Syarikat ini mempunyai kepakaran merekabentuk sistem keretapi semenjak 1871 dan berpengkalan di England. Pembinaan jambatan ini dijalankan secara pakej iaitu pembinaan jalan keretapi dari Tumpat hingga ke Kuala Krai. Di Tumpat wujudnya pelabuhan, di Machang pula ada Bukit Besi manakala di Kuala Krai atau nama lamanya Batu Mengkebang wujud estet dan ladang getah. Kepentingan sumber bahan mentah di Batu Mengkebang dan Machang membuatkan pembinaan jalan keretapi satu yang signifikan untuk memoptimumkan perbelanjaan dalam pengeluaran bahan mentah. Selain itu, jalan keretapi juga dibina dari Pasir Mas ke Rantau Panjang yang juga merupakan sempadan dengan Siam.

Pembinaan jambatan ini telah disiapkan pada tahun 1924 dengan panjang 609.6 meter merentangi Sungai Kelantan. Ia juga direka bentuk untuk digunakan oleh lain-lain kenderaan dengan hampir 80% strukturnya dibina menggunakan besi. Paling unik, ianya merupakan jambatan yang terpanjang di Malaya pada waktu tersebut.

Rupa jambatan yang siap dibina pada 1924
Pada tahun 1925, jambatan ini telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail ibni AlMarhum Sultan Muhammad IV dan ia dinamakan sebagai Jambatan Guillemard sempena nama Gabenor British pada masa itu Sir Laurence Guillemard. 

Kemudahan lain turut dibina di Kelantan terutama Jalan Raya Berturap, termasuklah pembinaan jalan raya berturap dari Pasir Puteh ke Terengganu. Kelantan sewaktu di bawah Sultan Ismail menyaksikan banyak kemudahan moden dibina termasuklah perkhidmatan udara dengan menyaksikan pendaratan kapal terbang laut No. S1420 dalam sungai Kelantan berhampiran Istana Kota Lama pada 25 Ogos 1930.

Lawatan Pegawai British pada 7 Mac 1929 : Dari kiri J.Strachan, Pengurus Besar Sistem Keretapi, Lady Peel, En. Haskins, dan Sir William Peel.


PERANG DUNIA KE-2

Perang Dunia meletus terlebih awal di Eropah, British adalah salah satu empayar yang paling terkesan dalam perang ini. Peperangan ini melibatkan seluruh empayar British dan mereka menentang perluasan kuasa Jerman.

Jepun, adalah satu negara dalam Pakatan Axis bersama-sama Itali dan Jerman. Jepun satu-satu kuasa besar Asia yang tiba-tiba bangkit walaupun kebangkitan awal mereka tidak dihiraukan apabila berjaya menewaskan Tentera Merah Rusia pada 1905. Jepun berkembang sebagai satu kuasa Imperialis Timur dengan menakluk China dan Korea.

Mereka mempunyai ambisi untuk menawan seluruh Benua Asia. Kesan Perang Dunia Pertama dan pengelibatan dalam Perang Dunia Kedua membuatkan British tidak dapat mengawal perkembangan di Jepun. Hinggalah Jepun melancarkan serangan udara ke atas pengakalan Amerika Syarikat di Pearl Harbour dan meletuslah Perang Pasifik antara Jepun dan US.

Fakta yang menarik berkenaan serangan Jepun adalah, serangan mereka ke atas Tanah Melayu melalui Kota Bharu, Kelantan adalah satu jam lebih awal dari serangan ke atas Pearl Harbour dan mencatatkan nama Kota Bharu sebaris dengan nama-nama bandar lain dalam perang ini.

Ketika itu, British tidak membuat persediaan yang rapi di negeri-negeri Pantai Timur, mereka lebih menjaga Singapura yang waktu itu menjadi pusat pentadbiran British. Di Kelantan mereka hanya menyediakan Kubu Kebal sepanjang pantai dari Tumpat hingga ke Pasir Puteh dan memasang kawat berduri sepanjang kawasan tersebut. Manakala mereka menempatkan askar Gurkha untuk menentang kemaraan Jepun.

Perang Padang Pak Amat menjadi ingatan buat tentera-tentera Jepun kerana di kawasan itu mencatat angka korban paling ramai di pihak Jepun. British tidak dapat menahan asakan Jepun dan mereka mula berundur ke Singapura. Semasa dalam pengunduran itu, mereka telah memusnahkan Insfrastruktur penting dan membakar ladang-ladang getah untuk membantutkan kemaraan Jepun.

Jambatan Guillemard juga tidak ketinggalan. British telah mengebom jambatan tersebut untuk menyekat kemaraan Jepun menggunakan Keretapi.

Jambatan Guillemard diruntuhkan oleh tentera British untuk menghalang kemaraan Jepun pada Perang Dunia ke-2

Pada tahun 1948, jambatan ini dibaik pulih dan diguna seperti sedia kala seperti sebelum dimusnahkan dalam Perang Dunia ke-2. Pada tahun 80an, satu jambatan baru dibina dari Tanah Merah ke Machang dalam rangka pembinaan Lebuhraya Timur-Barat seterusnya telah mengalihkan fungsi Jambatan Guillemard semata-mata untuk kegunaan keretapi sahaja.

Keretapi Tanah Melayu Berhad, adalah syarikat yang diamanahkan untuk menjaga segala aset dan kepentingan berkaitan keretapi di Malaysia, dan mereka juga yang menggerakkan operasi keretapi dari Kuala Lumpur hingga ke Tumpat. Sehari, hanya terdapat dua perkhidmatan keretapi iaitu dari Kuala Lumpur ke Tumpat dan Tumpat ke Kuala Lumpur, kedua-duanya bergerak pada sebelah malam. Selain itu, terdapat juga perkhidmatan keretapi local yang bergerak secara berkala.

Ringkasnya, jambatan Guilemard ini bukan digunakan sepenuh masa dan ia menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk beriadah sama ada sebagai tempat memancing, photoshoot atau lawatan ringkas dalam rangka melancong.

PENUTUP
Sebenarnya lidah orang tempatan jarang menyebut jambatan tu dengan nama Jambatan Guillermard, mereka lebih mengenali jambatan tersebut sebagai Jambatan Kursial yang mengambil nama  Kampung Kursial yang bertempat di seberang Sungai Kelantan dalam jajahan Tanah Merah.

Jambatan ini juga merupakan jambatan keretapi yang terpanjang di Malaysia dan menjadi tumpuan ramai pelancong asing. Ia unik dan akan terus kekal, kalaupun perkembangan terkini di Tumpat yang akan menyaksikan pelabuhan baru akan dibina, fungsi jambatan ini akan dianaik taraf dengan memperkukuhkan binaan tiangnya.

Justeru, samala-samalah kita hayati keunikan yang ada di negeri Kelantan. Di ruangan ini juga kami kongsikan foto Jambatan Guillemard yang dikongsikan oleh sahabat-sahabat di fanpage, sehingga berjumpa lagi....

ASSALAUALAIKUM.








http://ms.wikipedia.org/wiki/Jambatan_Guillemard
http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Muhammad_IV
http://pp-sk.blogspot.nl/2013/11/sultan-muhammad-iv-1900-1920.html
http://sejarahkelantan.wordpress.com/2012/09/16/jambatan-guillermard/
http://compassweb.arkib.gov.my/search_details.php?id=1999/0000421&state=W
http://www.gracesguide.co.uk/Metropolitan_Carriage,_Wagon_and_Finance_Co
http://sejarahkelantan.wordpress.com/2012/09/21/perkembangan-kelantan-penasihat-siam-dan-british/


3 comments:

Unknown said...

sememangnye bagus untuk assignment

Puteri aina said...

Boleh saya tahu dengan siapa saya bolwh bertanya dengan lebih lanjut mengenai jambatan ini?

Unknown said...

Awak nak tahu tentang apa ya?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...