SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday, 7 December 2013

PATANI-KELANTAN : EPISOD 5 – PATANI DIJAJAH SIAM


Pendahuluan
Catatan Dinasti Song : wakil dari Langkasuka
Siam diketahui sentiasa mengancam negeri-negeri Melayu semenjak runtuhnya empayar Langkasuka. Patanilah menjadi benteng atau penampan menyelamatkan negeri-negeri Melayu disamping dibantu oleh empayar Majapahit, Melaka dan Johor-Pahang-Riau-Lingga sepanjang tahun 200 – 1785 Masihi.

Tahun 1785 menyaksikan Patani diserang dengan dahsyat oleh Siam hingga menyebabktan Sultan Muhammad iaitu Raja Besar Patani yang merdeka, syahid. Sebenarnya dalam tempoh 1688-1748, Patani dan negeri-negeri Semenanjung berada dalam keadaan aman kerana Siam menghadapi ancaman daripada Burma. Hinggalah mereka bangkit kembali.  Jika diperhatikan, pemerintahan Dinasti Kelantan Pertama di Patani tamat setelah Raja Omar turun dari takhta dan menyerahkan kepada pembesar dan ulama Patani pada 1670. Namun, di bawah pengaruh Siam ini, terdapat kerabat Kelantan yang dilantik utk mentadbir Patani.

Satu fakta sejarah yang jarang diketengahkan kepada umum dan juga mungkin atas dasar politik antarabangsa, fakta ini boleh dikatakan tidak pernah mendapat tempat diuar-uarkan kepada dunia luar bahawa :
Antara tahun 1409 dan 1457, Melaka dan Patani merupakan kuasa terbesar di Tanah Melayu telah menerima Islam sepenuhnya. Gambaran yang diberikan seolah-olah ketika itu Patani dan Melaka adalah dua kuasa yang berasingan. Kedua-dua buah kuasa besar Melayu ini adalah bersaudara dan saling bertolongan apabila menghadapi sesuatu musibah. Banyak bukti sejarah menyokong fakta tersebut. Kemudian apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis, tinggalah Patani yang menjadi kuasa dagang serta pusat dagang terbesar di Nusantara. Hal inilah yang menyebabkan Siam begitu bernafsu untuk menakluk Patani. Selain itu Patani adalah pusat Islam yang menjadi tumpuan termasuk Arab, pengaruh Patani dikhuatiri akan menyebabkan Empayar Islam Uthmaniyyah yang berpusat di Turki ketika itu menghulurkan bantuan membebaskan umat Islam di Tanah Melayu.
-Syeikh Kerutuk@Tabut Jawi

KPSK akan ulas dengan lebih lanjut akan perkara ini dalam artikel yang khusus. Kemakmuran Patani inilah menyebabkan Siam begitu tertarik dengan wilayah Patani. Ekspedisi demi ekpedisi dilancarkan untuk menakluk Patani hinggalah saat 1785 itu.

Berbalik kepada peristiwa Raja Omar turun takhta dan kembali semula ke Jembal telah membuatkan Patani kembali dirajai oleh raja-raja dari kalangan 43 negeri bersekutu dalam Patani. Namun, setelah di jajah oleh Siam, muncul kembali Kerabat Kelantan memerintah Patani yang dikenali dengan Kerabat Kelantan Kedua.

Kejatuhan Patani
Semasa pemerintahan Raja Long Nuh (1749-1771) Siam telah membuat kekacauan dengan menyerang Ligor, Singgora dan Pathalung dalam satu serangan besar-besaran. Punca serangan ini disebabkan negeri-negeri ini telah mengisytiharkan merdeka dari Siam sewaktu Burma menduduki Siam selama 15 tahun dari 1767-1782. Serangan ini berlaku pada tahun 1769 atas nama Siam yang mana waktu itu sudah diperintah oleh pemerintah dari Burma. Pada waktu itu Ligor sebagai perwaris kepada Negara Sri Dharmaraja sebuah negara purba yang pernah mempunyai 12 negeri di Semenanjung.

Raja Ligor telah melarikan diri dan berlindung di Singgora. Mengetahui sedang diburu oleh Siam, Raja Ligor, Raja Singgora dan Raja Pathalung bersama kaum kerabat mereka telah melarikan diri ke Patani. Pemburuan Siam berterusan hinggalah ke satu wilayah bernama Tiba, iaitu sempadan Patani dan Songkhla. Mereka telah meminta perlindungan daripada Raja Long Nuh. Raja Muda Siam telah menghantar utusan kepada Raja Long Nuh agar menyerahkan ketiga-tiga raja itu. Pada masa yang sama Siam sudah mengatur rancangan untuk menyerang Patani sekiranya raja-raja yang diburu tidak diserahkan kepada mereka. Hasil mesyuarat Long Nuh dengan pembesar-pembesar Patani dan mereka mengambil keputusan menyerahkan raja-raja tersebut kepada Siam memandangkan mereka sudah tiada apa-apa perhubungan ditambah mereka pernah membantu Siam menyerang Patani.

Ekoran dari kerjasama yang diberikan oleh Raja Long Nuh dalam peristiwa perang Siam-Ligor ini membuatkan Siam tidak menyerang Patani, hinggalah Raja Ahmad yang kemudiannya dikenali sebagai Sultan Muhammad menaiki takhta Patani pada pada 1774.

Pada tahun 1776, Siam cuba menduga apakah Sultan Muhammad yang baru menaiki takhta mudah tunduk kepada tipu muslihat mereka dengan helah Burma telah menyerang mereka dan meminta bantuan sebanyak 80,000 bath, bagaimanapun Sultan Muhammad tidak melayan akan permintaan Siam itu kerana baginda sudah tahu tujuan sebenar Raja Siam itu. Berpunca dari itu, pihak Siam telah mempunyai alasan untuk menyerang Patani kerana tidak menghulurkan bantuan seperti yang mereka kehendaki.
 
Raja Taksin yang dibunuh Panglimanya
1782, Raja Siam bernama Phya Tak Sin telah dibunuh oleh panglimanya yang merampas kuasa. Panglima itu yang dari keturunan Maha Cakri telah melantik dirinya sendiri sebagai Raja Siam dengan gelaran Phra Putrra Yu’Fa Chula Lok juga dikenali sebagai Raja Rama. Beliaulah yang memindahkan pusat pentadbiran Siam dari Thonburi ke Bangkok.

1784, Burma telah menyerang Ligor yang berada dalam jajahan Siam. Raja Rama menghantar tentera dari Bangkok ke Ligor yang dipimpin oleh adiknya sendiri iaitu Raja Muda Siam untuk memerangi Burma. Peperangan itu berlangsung beberapa bulan sehingga Burma berundur meninggalkan Ligor.

Kemudian, Raja Muda Siam itu telah membawa angkatan perangnya ke Singgora yang waktu itu merupakan sebuah jajahan Siam untuk mengatur pemerintahan dari sana. Satu perutusan telah dihantar oleh Raja Muda Siam ke Patani agar tunduk tanpa perang pada Siam dengan alasan Patani tidak menghulurkan bantuan kepada Siam pada tahun 1776.

Sultan Muhammad telah bermesyuarat dengan para pembesar mengenai perutusan itu. Keputusan telah diambil yang mana Patani bersedia untuk berperang jika Siam meneruskan niat meneruskan niat menakluk dan menghapuskan kedaulatan Islam di Patani.  Rakyatnya pula telah bersedia dan menyahut seruan Jihad itu dengan terbuka kerana peluang untuk berjihad telah terbuka di depan mata. Jiwa mereka mudah terbuka untuk menyambut seruan Jihad kerana Patani pada waktu itu merupakan pusat dakwah Islam di Nusantara. Waktu ini ramai pendakwah telah dilahirkan di Patani dan terdapat penuntut luar seperti dari Acheh, Jawa,  Palembang, Sulawesi, Borneo, Mindanao, Arab dan India telah datang berdakwah serta mendalami ilmu agama.

Pertempuran berlaku
Saat meletusnya perang telah mencapai kemuncak, rakyat Patani telah dibahagikan kepada dua pasukan. Pasukan pertama  berkawal di kubu-kubu di tepi pantai untuk menahan serangan Siam dari arah laut. Pasukan kedua pula berkawal sekitar Istana Kota Chabang Tiga. Seri Patani dan Seri Nagara dua laras meriam kebanggaan Patani dikeluarkan setelah disimpan selama 150 tahun kerana kali terkakhir digunakan ketika peperangan dengan Siam yang berlaku sewaktu pemerintahan Raja Ungu. Kali terakhir ia digunakan adalah pada tahun 1631 dan 1632.

Tidak lama kemudian, angkatan tentera Siam yang diketuai oleh Phraya Kalahum telah sampai di Kuala Patani dan berlabuh di sana untuk menunggu masa yang sesuai bagi melancarkan serangan. Sebenarnya kejatuhan Patani kepada Siam sama seperti episod kejatuhan Melaka ke tangan Portugis. Kekalahan Patani dan Melaka adalah akibat pengkhiatan dari pembesar. Melaka telah dikhinati oleh Patih Kerma Wijaya hingga tewas ke tangan Portugis. Patani pula dikhianati oleh pembesar yang bernama Nai Chan Tung yang berasal dari Ligor. Beliau bersama-sama rakan-rakanya telah ke Patani, di sini beliau telah banyak melakukan jasa dan bakti hingga mendapat kepercayaan Sultan Muhammad dan telah dilantik menjadi pembesar negeri. Di ambang serangan Siam, Nai Chan Tung ini telah merencana pakatan jahat untuk menumbangkan Patani.

Nai Chan Tung telah mengadap Sultan Muhammad dalam keadaan tergopoh gapah untuk memberitahu kepada Sultan bahawa Siam telah tiba di Kuala Patani. Beliau telah menzahirkan kebimbangan akan serangan Siam dan berjanji beliau dan bangsanya sanggup berperang mempertahankan Patani. Beliau telah memohon supaya dilantik sebagai Ketua pasukan tentera Patani yang berkubu di kawasan pantai. Sultan Muhammad telah memperkenankan permintaan itu tanpa syak wasangka dan juga telah mengurniakan sebuah perahu besar lima hasta beserta kelengkapan senjata dan meriam.

Menjelang malam, Nai Chan Tung berlayar ke tempat kapal Siam berlabuh dan bertemu dengan Phraya Kalahum dan mendedahkan rahsia pertahanan Patani. Setelah itu dia telah melarikan diri ke Singgora. Setelah tiba waktu yang dinantikan, Pharya Kalahum telah melancarkan serangan dengan membedil secara serentak ke arah kubu-kubu pertahanan di pantai Patani. Kerana maklumat pertahanan Patani telah diketahui oleh angkatan Siam, pasukan pertahanan Patani mulai menjadi lemah kerana banyak kubu mereka terkena bedilan Siam. Akhirnya Siam telah mendarat di pantai Patani dan mula mara ke arah istana.

Rakyat Patani menentang dengan hebat akan pendaratan askar Siam itu. Sultan Muhammad sendiri telah turun ke medan perang dan mencatur pergerakkan angkatan tenteranya. Meriam Sri Patani dan Sri Nagara berjaya meredakan kemaraan pasukan Siam. Peperangan ini berlangsung selama beberapa hari hingga Siam berjaya mara menghampiri pasukan pertahanan kota.

Pertarungan sengit ini juga membuatkan Sultan Muhammad sendiri mengangkat senjata dan bertempur dengan musuh. Pasukan Siam telah menggunakan meriam ketika pertempuran darat ini dan ditakdirkan Sultan Muhammad telah terkena tembakan meriam dan syahid di hadapan rakyatnya sendiri. Ekoran dari itu, angkatan Patani telah bertambah lemah dan berpecah hingga akhirnya Kota Cabang Tiga berjaya ditawan Siam. Itulah kekalahan pertama Patani dalam sejarahnya.

Kejam
Tentera Siam bermaharaja lela selama sebulan di Patani dengan menangkap dan membunuh siapa sahaja lelaki, perempuan, kanak-kanak hatta orang tua. Semua harta benda rakyat Patani telah dirampas dan Kota Cabang Tiga telah dibakar hingga menjadi arang. Seramai 4,000 orang Melayu Patani telah dijadikan tawanan dan di bawa ke Bangkok sebagai hamba tebusan

Sri Patani di Bangkok


Sebelum tentera Siam berangkat pulang ke Bangkok, Pharaya Kalahum telah mengisytiharkan undang-undang penakluk untuk menghapuskan hak orang-orang Melayu. orang Melayu telah ditangkap seramai mungkin untuk dijadikan hamba tawanan perang. Meriam Sri Patani dan Sri Nagara yang dibina semasa pemerintahan Raja Biru telah dirampas untuk dibawa pulang ke Bangkok. Namun meriam Sri Nagara telah terjatuh kedalam air ketika di Kuala Patani semasa kerja-kerja pemunggahan dilakukan. Hanya meriam Sri Patani sahaja berjaya dibawa ke Bangkok dan diletakkan di hadapan Jabatan Pertahanan di Bangkok.

Sisi lain Sri Patani

Thursday, 5 December 2013

PATANI-KELANTAN : EPISOD 4 – PATANI SELEPAS RAJA LOYOR

Pendahuluan
Raja Sakti telah menyatukan Patani  pada 1649 selepas pergolakkan politik dikalangan pembesar dan juga serangan Siam ekoran kemangkatan Raja Kuning tanpa waris yang sah. Beliau telah dilantik menjadi Raja Besar Patani dan melepaskan pemerintahan Kota Jembal yang didudukinya semenjak 1638. Beliau dikatakan mentadbir Kelantan dan Patani secara berpusat.  Kota Jembal pula telah ditadbir oleh Raja Loyor, yakni putera sulung beliau. Raja Loyor menjadi pemerintah Loyor dengan menjunjung titah dari Raja Sakti semenjak 1649 hingga 1663. Setelah itu, Raja Loyor telah menaiki takhta Patani selepas kemangkatan Raja Sakti pada 1662. Setahun kemudian, Raja Loyor telah mangkat pada 1663 dan beliau telah dimakamkan di Kota Jembal.

Kepimpinan
Kerabat Raja Jembal menyifatkan Raja Loyor sebagai penyatu Kelantan setelah ditabal sebagai Raja Jembal dengan satu legasi insitusi pemerintahan yang lengkap di mana ketika pertabalan Raja Loyor, baginda Raja Sakti telah menabalkan juga putera-puteranya yang lain seperti Raja Bahar sebagai Bendahara, Raja Omar sebagai Raja Muda, Raja Sungai sebagai Raja Temenggung.

Raja Loyor sangat dikasihi oleh semua lapisan rakyat jelata dan para pembesar negeri. Sikap baginda sangat luar biasa, lemah lembut, halus tutur kata dan bersopan santun. Mengikut kepercayaan, pada diri baginda terdapat sifat-sifat ganjil yang kononnya baginda berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit hitam, lidah fasih dan air liur masin. Pendek kata apa yang dihajati semuanya dapat kerana baginda adalah seorang yang "keramat".

Hubungan Kerajaan Jembal dengan City States sekitar Kelantan bertambah erat terutama dengan Kerajaan Chintawangsa yang diterajui oleh Paduka Cik Siti Wan Kembang. Dua kerajaan ini sering bertukar-tukar utusan dan persembahan. Begitulah eratnya dua kerajaan ini.

Waris
Raja Loyor dikurniakan dua orang cahaya mata, seorang putera dan seorang puteri. Sang putera dinamakan Raja Sakti sempena nama ayahandanya, namun usianya tidak panjang...genap setahun ia meninggal dunia. Sang Puterilah penerus waris kepada Raja Loyor. Ia bernama Puteri Mariam tetapi lebih dikenali sebagai Puteri Saadong yang begitu popular dalam sejarah Kelantan dan Malaysia.

Paduka Cik Siti Wan Kembang yang mendengar berita kelahiran Puteri itu bergegas ke Kota Jembal untuk menziarah saudaranya itu. Tertarik dengan wajah puteri itu, terbitlah hasrat Paduka Cik Siti untuk mengambil puteri itu untuk dijadikan anak angkat dan seterusnya diangkat sebagai pengganti beliau memandangkan beliau tidak mempunyai anak dan suami. Permintaan Paduka Cik Siti telah diperkenankan oleh Raja Loyor dan Puteri Saadong telah dibawa ke Chintawangsa. Paduka Cik Siti Wan Kembang telah memerintahkan hulubalang dan pembesar negeri untuk mencari anak kijang untuk dijadikan binatang mainan Puteri Saadong supaya tidak kesunyiaan. Dari sinilah gambar dua ekor anak kijang telah dijadikan lambang kebesaran Kerajaan Negeri Kelantan hingga ke hari ini.

Menaiki Takhta Patani
1662, Raja Sakti telah mangkat dan Raja Loyor telah menaiki takhta menggantikan ayahandanya. Setahun selepas itu, beliau pula menyahut seruan illahi pada 1663. Ketika menaiki takhta Patani sebagai Raja Besar, Raja Loyor telah memerintah Patani sekali gus merajai Jembal.

Ekoran Kemangkatan Raja Loyor, Raja Muda Jembal iaitu Raja Omar telah ditabalkan menggantikan takhta Raja Loyor pada 1663. Kerana tiada pengalaman memerintah negeri, Raja Omar telah turun takhta Patani pada 1670, kemudiannya beliau telah ditabal sebagai Raja Jembal pada 1670 dan memerintah hingga 1721. Namun, kami berpendapat ianya akibat tekanan dan tidak mendapat sokongan daripada pembesar-pembesar Patani membuatkan Raja Omar turun takhta dan beliau telah menyerahkan tampuk pemerintahan Patani kepada ulama-ulama untuk diperintah bersama dengan raja-raja yang dilantik secara bergilir dari setiap negeri kecil Patani (jajahan). Ada juga pendapat mengatakan bahawa Raja Kuning telah memangku jawatan Raja Besar Patani hingga 1688, di mana ulama-ulama dan raja-raja kecil telah menjemput Raja Bakar/Raja Bakal dari kampung Teluk untuk ditabalkan sebagai Raja Besar Patani. Raja Bakal ini adalah dari kalangan kerabat Raja Sakti, ketika menaiki takhta pada 1688, usianya sudah sangat lanjut. 1690 baginda telah mangkat.

Sekali lagi takhta Patani kosong dengan perwaris yang samar. Puteri Raja Bakal yang bernama Raja Mas Kelantan dilantik sebagai Raja Patani (1690-1707). Raja Mas Kelantan telah berkahwin dengan Tuan Besar Long Bahar bin Wan Daim (Datu Pengkalan Tua). Mereka telah dikurniakan dua orang cahaya mata iatu Dewi Perachu dan Raja Long Sulaiman.

Ketika pemerintahan Raja Mas Kelantan juga, beliau telah menabalkan anak Bendahara Johor iaitu Tun Zainal Abidin sebagai sultan di Sungai Terengganu dalam usahanya untuk mengukuhkan hubungan persahabatan dan persekutuan dengan Johor, namun kerajaan Johor itu mengalami episod kemalapan.

1707 Raja Mas Kelantan telah mangkat dan takhta beliau telah digantikan oleh Dewi Perachu yang diberi gelaran Raja Nang Chayang (1707-1715). Nan Chayang telah menyerahkan takhtanya kepada ayahandanya Long Bahar (1715-1716). Perlakuan ini mendapat tentangan daripada para pembesar Patani dan keadaan ini membuatkan Long Bahar menyerahkan kembali takhta Patani kepada Raja Nang Chayang dan sekali lagi menaiki takhta pada (1716-1718). Long Bahar telah membawa diri ke Jembal dan ditabal menjadi Raja Jembal pada 1721-1734.

Waris Sultan Qunbul
Cop Mohor Patani
Selepas episod turun naik takhta Raja Nan Chayang dengan ayahandanya, Long Bahar, Patani telah mengalami interragnum selama tiga tahun, hinggalah muncul dua orang Sultan yang nama hampir sama dan mengelirukan pengkaji iaitu Raja Along Yunus (1721-1729) dan Sultan Haji Yunus (1729-1749). Dua orang raja ini adalah dari keturunan Raja Bakal yang juga keturunan daripada Sultan Qunbul dan mereka diterima oleh para pembesar untuk menerajui Patani.


Setelah kemangkatan Sultan Haji Yunus pada 1749, Tuan Long Nuh bin Long Nik yang ketika itu menjadi Raja Jambu telah ditabalkan menjadi Raja Besar Patani (1749-1771). 22 tahun memerintah dan baginda menyahut seruan illahi dan takhta baginda telah digantikan oleh puteranya yang bernama Raja Bakar pada 1771. Beliau hanya sempat memerintah selama tiga dan mangkat pada 1774. Beliau telah digantikan oleh puteranya yang bernama Raja Ahmad pada dengan menggunakan gelaran Sultan Muhammad (1774-1785). Baginda Sultan Muhammad adalah Sultan dan Raja terakhir Patani sebelum dijajah oleh Siam melalui tipu daya yang berlangsung selama 10 tahun.

Selama 60 tahun iaitu dalam tempoh 1688 hingga 1748 Patani, Kelantan dan Kedah berada dalam keadaan yang aman berikutan Siam waktu itu menghadapi serangan dari Burma hinggalah 1748 semasa pemerintahan Raja Long Nuh di mana Siam telah menyambung semula misi mereka yang tertangguh.

Sultan Muhammad telah syahid dalam serangan dahsyat Siam pada 1785 ke atas Patani. Kemangkatakan Sultan Muhammad telah menamatkan Patani sebagai sebuah kerajaan merdeka dan bebas. Sejarah Patani yang berusia 1585 tahun telah terhapus dengan penjajahan Siam ini.


Bertitik pada 1785 bermakna rakyat Melayu Islam Patani telah dan sedang bergelut demi kemerdekaan mutlak selama 228 tahun. In Sha Allah, Allah s.w.t. sentiasa bersama dengan orang-orang yang Sabar... Doa mereka yang dizalimi sungguh makbul....

Tuesday, 3 December 2013

PATANI-KELANTAN : EPISOD 3- RAJA SAKTI MENYATUKAN PATANI

Pendahuluan
Setelah Raja Kuning mangkat pada  tahun 1649, Patani berada dalam keadaan huru hara kerana ketiadaan waris yang sah untuk mentadbir 43 jajahan dalam wilayahnya. Siam yang baru bangkit dibawah pimpinan Dinasti Cakri cuba meluaskan empayarnya. Lalu pada tahun 1649 itu juga Raja Sakti dari Jembal, Kelantan telah muncul dan mempertahankan Patani daripada terus diancam oleh Siam dan berjaya membuatkan Siam berundur jauh ke dalam wilayahnya. Kemudian, Raja Sakti ini ditabal sebagai Raja Patani menggantikan Raja Kuning pada tahun itu dan wujudlah satu empayar baru di kawasan Pantai Timur Semenanjung yang dikenali sebagai “Patani Besar” yang menggabungkan 43 jajahan Patani dengan Kelantan.

Persoalannya, dari mana asal usul Raja Sakti ini. Siapakah beliau dan darimanakah asalnya?



Raja Sakti
Beliau dikenali sebagai Raja Sakti 1 kerana dalam sejarah Kelantan terdapat dua sosok raja yang bergelar Raja Sakti. Beliau adalah pengasas kepada pemerintahan Raja Jembal di Jembal atau sekarang lebih dikenali dengan nama Kedai Lalat. Baginda disebut sebagai seorang daripada dua orang anak angkat Raja Bersiong dari Kedah yang datang tinggal di Jembal, seorang lagi iaitu Puteri Mani Kemenyan yang kemudian dijodohkan oleh Raja Bersiong dengan Raja Sakti. Beliau telah membuka negeri di suatu kawasan berhampiran Sungai Babong dan Pulau Melaka. Berdasarkan cerita lisan, nama jembal ini diambil nama dari sebatang pokok jambu jembal yang besar berhampiran kota yang baru siap dibina oleh pengikutnya. Maka dinamakan kota tersebut sebagai Kota Jembal yang diyakini diasaskan pada 1637.

Perkahwinan beliau dengan Puteri Mani Kemenyan telah dikurniakan dengan empat orang yang terdiri dari putera dan tiga orang puteri iaitu:
  • Raja Loyor
  • Raja Bahar
  • Raja Umar
  • Raja Sungai
  • Puteri Sayu Bari
  • Puteri Unang Melur
  • Puteri Cempaka Bongsu


Raja Sakti yang memerintah Kota Jembal, Kelantan dari tahun 1637-1649 adalah dari keturunan Sultan Qunbul iaitu Sayyid Nurul Alam (Pateh Arya Gajahmada, Perdana Menteri Kelantan 1432-1457/Sultan Qunbul).

Asal-Usul
Maklumat yang diperoleh rata-rata menyatakan Raja Sakti dan Puteri Mani Kemenyan adalah anak angkat kepada Raja Bersiong. Namun setelah dilakukan beberapa rujukan dari nama Raja Bersiong dengan rekod Kedah menunjukkan satu perbezaan ketara.

Raja Bersiong
Nama Raja Bersiong yang asal adalah Raja Seri Maha Inderawangsa dan memakai gelaran Raja Ong Maha Perita Deria. Beliau adalah raja keempat Kedah lama yang dimulakan oleh Merong Mahawangsa. Kisah Raja Bersiong ini bertarikh seawal tahun 1000 masihi, yakni 600 tahun lebih awal dari kisah Raja Bersiong yang singgah di Jembal. Jelas disini, sosok Raja Bersiong yang datang ke Jembal itu menjadi satu persoalan. Siapa sebenar beliau?

Maklumat dari Kerabat Raja Jembal pula menyatakan bahawa Kerajaan Jembal diasaskan oleh Raja Besar yang dikatakan dari keturunan Raja Bersiung yang memerintah Kedah dalam abad ke-14. Baginda juga dikenali sebagai Raja Bersiung. Beliau telah dihalau oleh adindanya yang berpangkat Raja Muda dan beliau telah melarikan diri ke Kelantan. Maklumat ini sebenarnya ketara percanggahanya kerana Raja Bersiung memerintah Kedah pada abad ke-14, sedangkan pembukaan Jembal oleh Raja Besar@Raja Bersiung ialah pada awal abad ke-17 (tahun 1600-an). Raja Besar tiba di Jembal bersama beberapa orang pengikutnya serta dua orang kanak-kanak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Kedua-duanya dipercayai cucu baginda. Yang lelaki bernama Raja Sakti dan yang perempuan bernama Puteri Mani Kemeyan. Setelah kedua-duanya meningkat dewasa lalu mereka dikahwinkan. Sekali lagi, sosok Raja Bersiong yang membuka Kota Jembal menjadi persoalan ekoran percanggan maklumat berdasarkan selang masa antara pemerintahan di Kedah dan tarikh pembukaan Kota Jembal. Siapa sebenarnya Raja Bersiong@Raja Besar yang membuka Kota di tepi sungai Babong itu??

Wikipedia pula menyatakan bahawa Raja Sakti ini berasal dari Dinasti Champa-Jembal yang saling berkaitan. Catatan di pautan tersebut menyebut Raja Sakti ini sebagai putera kepada Sultan Abdul Kadir yang tidak jelas akan maklumatnya. Manakala maklumat daripada Kerabat Raja Jembal, menyebut Raja Sakti adalah cucu kepada Raja Bersiong.

Satu lagi persoalan muncul, iaitu perhubungan Sultan Abdul Kadir dengan Raja Besar@Raja Bersiung, apakah status mereka?

Kesimpulan yang dapat dibuat berdasarkan sejarah Patani adalah Raja Sakti ini merupakan putera kepada Sultan Abdul Kadir dari Champa kerana kesultanan dari Champa ini rata-rata dari keturunan Sultan Qunbul kerana itu beliau diterima sebagai pemerintah Patani menggantikan Raja Kuning pada 1650 setelah memimpin angkatan perang menghalau Siam ke utara semula. Kisah bagaimana Raja Sakti menjadi anak angkat Raja Bersiong akan kita rungkaikan dan pasti rujukan-rujukannya tersembunyi di sebalik bahasa Khmer dan DaiViet...

Ditabal Menjadi Raja Jembal
Pada tahun 1638, Raja Besar telah menabalkan Raja Sakti sebagai raja di Jembal dan memerintah di bahagian utara dan timur Kelantan. Jembal dijadikan pusat pemerintahannya. Tidak lama selepas pertabalan Raja Sakti, Raja Besar pun mangkat. Setengah cerita mengatakan Raja Besar ghaib menghilangkan diri, kerana itulah tidak terdapat makam baginda di kawasan Jembal itu.


Menyatukan Patani
Pada tahun 1650, Raja Sakti bin Sultan Abdul Kadir telah meninggalkan Jembal kepada Raja Loyor setelah beliau dilantik sebagai Raja Besar Patani kerana berjaya mengekang perluasan kuasa Siam. Raja Sakti telah berjaya menyatukan Kelantan dan Patani dan penyatuan ini dikenali sebagai “Patani Besar”. Beliau sempat memerintah Patani  selama 12 tahun dan mangkat pada 1662.

Ketika itu, Raja Sakti menjalankan pemerintahan secara berpusat yang mana beliau mentadbir Patani dan Jembal dengan Kota Mahligai sebagai pusat pentadbiran. Sejarah mainstream atau yang dipelopori oleh sejarahwan Inggeris mengangkat Raja Kuning sebagai Raja Patani yang agung dan cemerlang. Sebenarnya, Raja Sakti lah Raja Patani Besar kerana berjaya menyatukan Patani dan Kelantan.

Kemangkatan Raja Sakti pada 1662 telah membuka ruang kepada Raja Loyor untuk ditabalkan menjadi Raja Patani selepas memerintah Kota Jembal, Kelantan dari 1649-1662. Hanya sempat memerintah tidak lebih dari setahun, Raja Loyor telah mangkat pada 1633.


  

Monday, 2 December 2013

PATANI – KELANTAN : EPISOD 2 - RAJA PELANGI

Gambaran Ratu Pelangi
Pendahuluan
Lagenda Patani yang paling menjadi sebutan adalah Raja Pelangi iaitu kerabat Raja Hijau, Raja Biru, Raja Ungu dan Raja Kuning. Kerap kali lagenda ini dikisahkan dalam cerita lisan dan penglipur lara masyarakat di Pantai Timur dan Utara Semenanjung Tanah Melayu. Mereka dikenali sebagai Raja Pelangi kerana nama-nama mereka diberi berdasarkan kepada warna-warna pelangi dan itu juga melambangkan mereka adalah Raja Perempuan yang pernah wujud dalam Sejarah Tamadun Melayu.

Persoalannya, siapakah mereka? Apa keturunan mereka? Dan ini lah yang bakal kami buka dalam artikel kali ini.

Raja Pelangi
Berikut disenaraikan kerabat Raja Pelangi:
Raja Hijau (1584-1616)
Raja Biru (1616-1624)
Raja Ungu (1624-1635)
Raja Kuning (1635-1649).

Raja Hijau
Raja Hijau adalah seorang Ratu Melayu Patani yang memerintah dari 1584-1616. Baginda adalah anak perempuan sulung Sultan Mansur Shah (Raja Kelantan 1547-1561). Berdasarkan rekod Portugis yang direkod oleh Mendez Pinto, baginda menaiki takhta pada 1584 sebagai seorang adik perempuan pada Raja Patani yang telah dibunuh selepas dua puluh tahun pemerintahan yang tidak stabil. Baginda juga dikenali sebgai Ratu Hebat Patani. Pada tahun 1604, Jacob van Neck melaporkan Patani sebagai sebuah negara yang secara umumnya adalah sebuah negeri yang aman dan kaya di bawah Ratu Hijau. Laporan Van Neck juga menyebut bahawa Ratu Hijau seorang yang pandai berdiplomasi dengan para saudagar. Ketika itu Patani terkenal sebagai sebuah negeri perdagangan yang maju dengan Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca. Kebanyakkan saudagar dikatakan saudagar Cina. Baginda telah digantikan oleh adik perempuannya iatu Raja Biru.

Raja Biru
Raja Biru  memerintah Patani (1616-1624), menggantikan kakaknya Ratu Ijau. Dia adalah anak kedua dari tiga anak perempuan Sultan Mansur Shah yang memerintah negaranya. Dia telah digantikan oleh adik perempuannya Ratu Ungu. Sewaktu pemerintahan Raja Biru inilah Patani mencapai mengecapi kegemilangannya yang agung. Di bawah arahan Raja Biru inilah, tiga buah meriam yang direkodkan sebagai yang terbesar di Asia Tenggara telah dibina di bawah selian Tok Kayan, seoarang Cina Muslim. Meriam tersebut adalah Sri Patani dan Sri Nagara. Lapan tahun memerintah, lalu bagina telah mangkat dan digantikan oleh Ratu Ungu, adiknya pada 1624.

Raja Ungu
Raja Ungu menaiki takhta Patani mengantikan kakaknya yang mangkat pada 1624 dan memerintah selama 11 tahun dan mangkat pada 1635. Beliau adalah puteri terakhir kepada Sultan Mansur Syah. Ratu ungu ini sebenarnya puteri Patani yang dikahwinkan dengan Sultan Pahang iaitu Sultan Abdul Ghafur lebih kurang pada tahun 1612. Perkahwinan ini adalah satu usaha Patani untuk membina hubungan pertalian darah dengan Empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga. Hasil dari perkahwinan ini lahirlah Raja Kuning. Sewaktu era Raja Ungu, Patani pernah terlibat perang secara besar-besaran dengan Siam bermula dengan satu serangan dari Patani ke atas Ligor bagi membebaskan daerah itu dari cengkaman Siam pada tahun 1631. Dalam serangan itu, Patani berjaya menawan dua kapal Siam bersama dengan dua orang Belanda. Siam dapat merebut kembali kapal mereka, namun orang Belanda itu tidak dijumpai. Hal ini membuatkan Belanda menyebelahi Siam dalam peperangan dengan Patani. Pada Mei 1634, berlaku satu peperangan yang mencatatkan rekod sebagai peperangan terbesar antara Siam dengan Patani dengan bala tentera Siam berjumlah 60,000 orang. Angkatan tentera Siam ini telah dikalahkan oleh Patani yang mendapat bantuan daripada Portugis.
Setahun selepas itu, beliau telah mangkat dan digantikan oleh anaknya, Raja Kuning pada 1635.

Raja Kuning
Raja Kuning adalah anak kepada Raja Ungu dengan Sultan Abdul Ghafur iaitu Sultan Pahang. Beliau dilahirkan lebih kurang pada tahun 1613. Beliau menaiki takhta menggantikan bondanya yang mangkat pada 1635. Patani ketika itu mempunyai 43 jajahan, termasuk Terengganu. Setelah Raja Kuning berkahwin dengan putera Sultan Johor, maka Terengganu diperintah oleh wakil Sultan Johor. Patani berada di bawah pemerintahan Raja Kuning selama 14 tahun. Baginda mangkat pada tahun 1649. Sebahagian catatan lain pula menyatakan bahawa Raja Kuning mangkat pada tahun 1688 pada usia 75 tahun tanpa meninggalkan pewaris tahta yang sah.

Patani Abad ke-17 mengandungi 43 Negeri.

PENUTUP
Menurut satu pendapat lain, raja-raja perempuan yang memerintah Patani ini merupakan raja adat sahaja. Ini kerana mereka tidak mempunyai kuasa penuh, bahkan mereka juga tidak dibenarkan memasuki ke beberapa tempat di dalam istana. Ini kerana, Sultan Patani yang sebenar ialah dari keturunan Sultan Qunbul atau Sayyid Ali Nurul Alam. Tetapi kesepakatan telah dicapai, di mana keturunan Raja Sriwijaya yang sah masih lagi dapat memerintah bersama-sama raja-raja dari golongan ulama berketurunan Sultan Qunbul dan keturunan Tok Raja Fiqih al-Abbasi. Kesepakatan yang dibuat itu adalah disebabkan beberapa faktor serta bagi memastikan peralihan tampuk pemerintahan berjalan dengan penuh beradab. Di sini kita dapat melihat bahawa Patani itu telah mengamalkan sistem pemerintah seperti yang diamalkan sekarang. Seorang ‘raja besar’ dari salah satu 43 buah negeri tersebut, bertindak seperti Yang DiPertuan Agong sekarang atau istilah sebenarnya Raja TiRaja. Pusat pemerintahan Patani Besar pada mulanya di Kota Mahligai telah berpindah ke Istana Kota Chabang Tiga di Patani.


Sunday, 1 December 2013

PEPERANGAN BADAR


“Tentera Quraisy semakin menghampiri kita. Pergilah ke tempat perlindungan, biar kami sahaja yang menghadapi mereka,” kata Hamzah bin Abdul Mutalib kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Baginya, keselamatan Baginda lebih utama.

“Biarkan mereka menghampiri kamu dahulu. Kemudian, serang mereka dengan anak-anak panah,”
Pesan Nabi Muhammad s.a.w. sebelum pergi ke tempat perlindungan. Baginda diiringi Abu Bakar As-Siddiq. Di tempat perlindungan itu Nabi Muhammad s.a.w. bermunajat serta berdoa kepada Allah. Baginda mengulangi doanya.
“Ya Allah, sekiranya kami kalah dan binasa, tida ada siapa lagi yang akan menyembah-Mu.”
“Teruslah berdoa kerana Allag pasti memenuhi janji-Nya kepadamu,” kata Abu Bakar kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi Muhammad s.a.w. terus bermunajat dan berdoa dengan hati yang penuh pengharapan. Tidak lama kemudian,  Nabi Muhammad s.a.w mendapatkan Abu Bakar dengan wajah yang penuh berseri.
“Bergembiralah wahaiAbu Bakar As-Siddiq, pertolongan Allah s.w.t. telah datang,”
Kata Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian, baginda keluar dari tempat perlindungannya lalu ikut sama terjun ke medan perang. Kini kedua-dua pihak saling berhadapan. Abu Ayub al-Ansari dengan berbaju besi berada dalam barisan hadapan. Tentera Islam bertakbir lantang.
“Allahu akbar!”
“Allahu akbar!”
“Allahu akbar!”
Perang pun meletus. Nabi Muhammad s.a.w. memerintahkan pasukan  berkuda melakukan serangan. Mereka menyerbu kearah pasukan tentera musuh seperti yang dipesan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Pasukan pemanah bersedia dengan senjata masing-masing. Mereka membentuk tiga barisan. Apabila musuh hampir, barisan pertama melepaskan anak panah. Beberapa orang tentera berkuda Quraisy tersungkur terkena anak panah. Beberapa ekor kuda yang cedera juga berpatah ke belakang menyebabkan berlaku pelanggaran sesama mereka.

 Selepas pasukan pemanah melepaskan anak panah pertama,  mereka segera berundur ke belakang barisan ketiga bagi membolehkan mereka yang berada di barisan kedua melepaskan anak panah. Kemudian, barisan kedua pergi ke belakang bagi membolehkan pasukan pemanah barisan ketiga melepaskan anak panah. Begitu juga mereka lakukan sehingga serangan tentera berkuda itu dapat dipatahkan.

Apabila melihat serangan tentera berkuda dapat dipatahkan oleh pasukan pemanah Islam, lalu Abu Jahal menukar taktik dengan memerintahkan pasukan tentera berjalan kaki yang memakai baju besi berjumlah 600 orang melakukan serangan. Kedatangan mereka ditentang barisan yang dianggotai Hamzah bin Abdul Muttalib, Umar al-Khattab, Saad bin Abu Waqas, Abu Ubaidah al-Jarrah, Ali bin Abi Talib, dan beberapa orang lagi.

Lalu berlaku pertempuran hebat antara kedua-dua pihak. Tentera Islam semakin bersemangat apabila melihat Nabi Muhammad s.a.w. turut berjuang bersama mereka.
Nabi Muhammad s.a.w. berteriak.
“Demi jiwa Muhammad yang berada dalam genggaman Tuhan-Nya, pada hari ini tidak ada seorang pun yang berperang dengan sabar, mengharapkan keredhaan Allah, dan terus maju tanpa mudur, melainkan Allah memasukkannya ke dalam syurga.”
Mendengar kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. itu lalu Umair bin al-Humam pun berkata,
“Tidak ada halangan bagi saya masuk syurga selepas dibunuh oleh mereka.”
Kemudian, Umair menghunus senjata lalu menggempur tentera Quraisy sendirian dan berjaya membunuh serta mencederakan beberapa orang lawannya sebelum mendapat Syahid. Keberanian Umair itu menaikkan semangat tentera Islam bagi bertempur bermatian-matian.
“Apa yang membuatkan Tuhan bergembira melihat hamba-Nya pada saat ini?” tanya Auf bin al-Harits kepada Nabi Muhammad s.a.w.
“Orang yang sanggup menggempur musuh dengan tangannya walaupun tanpa memakai baju besi,” jawab Rasulullah s.a.w
Mendengar jawapan itu lalu Auf bin al-harits menyerbu tentera Quraisy dan menggempurnya habis-habisan hingga akhirnya dia gugur syahid. Pertempuran bertambah sengit. Beberapa orang Quraisy terbunuh, tetapi masih ramai lagi yang membuat serbuan.

 Abu Ayub al-Ansari berperang dengan gagah berani. Tanpa disedarinya, dia bersama 10 orang sahabatnya dikelilingi ramai tentera musuh. Tidak semudah itu mereka menyerah kalah. Mereka terus bertempur.
Mus’ab bin Amer, seorang Ansar melihat Al-Abbas tersungkur ke tanah lalu menangkapnya. Dia tidak membunuh al-Abbas kerana patuh kepada pesanan Nabi Muhammad s.a.w. supaya jangan membunuh al-Abbas. Kemudian al-Abbas dibawa kepada Nabi Muhammad s.a.w.
“Bukan lelaki ini yang mengalahkan saya, tetapi seorang lelaki yang berkepala botak tetapi berwajah tampan yang menunggang kuda putih. Saya tidak pernah melihat lelaki seperti itu,” beritahu al-Abbas kepada Nabi Muhammad s.a.w.
“Saya melihat al-Abbas tersungkur lalu saya menawannya,” kata lelaki Ansar itu kepada Nabi Muhammad s.a.w.
“Allah menghantar malaikat bagi membantu kamu menawannya,” kata Rasulullah s.a.w.
Kemudian, datang pula Abu Daud al-Mazani mengadu kepada Nabi Muhammad s.a.w. 
“Tadi saya mengejar seorang tentera  Quraisy. Saya mahu memancung lehernya, tetapi dengan tiba-tiba sebelum sempat saya melakukannya, kepala musuhku itu terputus. Saya tiadak nampak siapa yang yang melakukannya.”
“Para malaikat membantu kita,” kata Nabi Muhammad s.a.w.
“ketika saya sedang bertempur dengan seorang tentera musuh, tiba-tiba lawan saya itu terpaku dan mulutnya terlopong  seperti terperanjat sambil matanya melihat ke langit. Ketika saya mendongak, kelihatan seorang lelaki memakai jubah putih sedang menunggang kuda sambil mengayun pedangnya,” kata seorang lelaki kepada baginda.
“Itulah pertolongan Allah dari langit,” kata Nabi Muhammad s.a.w.
Semasa berlakunya perang Badar itu, iblis datang menyerupai Suraqah bin Malik. Ketika pertempuran sedang berlaku, tiba-tiba Suraqah melarikan diri dari medan perang. Al-Harith bin al-Hisyam mengejar Suraqah lalu memegang tangannya. 
“Mengapa kamu hendak meninggalkan kami, wahai Surqah? Bukankah kamu sudah berjanji hendak bersama kami memerangi Muhammad?’ tanya al-Harith kerana tidak tahu itu iblis yang sedang menyamar sebagai Suraqah.
“Pada saat ini, aku melihat apa yang kamu tidak nampak. Aku berasa takut,” jawab iblis yang menyerupai Suraqah itu. Kemudian, dia terus melarikan diri dari medan perang.
“Itu Muhammad. Bunuh dia!”  teriak seorang tentera Quraisy apabila nampak Nabi Muhammad s.a.w. berada di medan perang.

Serentak dengan itu, berpuluh orang Quraisy menyerbu ke arah Nabi Muhammad s.a.w. bagi membunuhnya. Baginda tunduk lalu mengambil segenggam pasir lantas melempar ke arah musuh yang cuba membunuhnya. Dengan izin Allah, mata tentera Quraisy yang terkena pasir dan batu kerikil itu menjadi buta. Nabi Muhammad s.a.w. terselamat dari cubaan membunuhnya. Tidak lama kemudian datang Ukashah bin Mihshan al-Asadi lalu menghadap Nabi Muhammad s.a.w.
“Pedang saya sudah patah dan tidak dapat digunakan lagi,” beritahu Ukashah yang memerlukan senjata meneruskan jihadnya.
Nabi Muhammad s.a.w. mengambil sepotong akar pokok kurma lalu memberikannya kepada Ukashah. “Bertempurlah dengan ini, wahai Ukashah,” perintah Nabi Muhammad s.a.w.                                                                    
Ukashah patuh kepada perintah Nabi Muhammad s.a.w. Tanpa banyak soal, dia mengambil akar kayu yang diberikan itu lalu menyerbu ke arah tentera Quraisy. Tiba-tiba akar itu bertukar menjadi petang yang tajam.  Pedang itu dinamakan al-Aun.

“Wahai sekalian sahabat, para pemimpin Quraisy berada dihujung sana. Mari kita serbu mereka kerana mereka yang menghalang kita memasuki Masjidil Haram, menyakiti kita sehingga terpaksa berhijrah!”
Teriak Abu Ubaidah al-Jarrah.

Umar al-Khattab, Muaz bin Jabal, Bilal bin Rabah, dan Hamzah bin Abdul Muttalib menyahut seruan itu lalu menyerbu kearah pemimpin-pemimpin Quraisy. Saad bin Abu Waqas melancarkan hujan panah ke arah musuh yang sedang mara ke arah mereka. Ramai yang tersungkur akibat terkena tikaman tepat anak panahnya itu.

Abu Jahal gementar melihat tewasnya Ummayah bin Khalaf di tangan bekas hambanya. Bilal bin Rabah. Lututnya menggigil, sahabatnya sudah mati. Dia segera beredar dari situ dengan menunggang kudanya. Namun, kelibat Abu Jahal itu dilihat oleh Abu Ubaidah. Dengan pantas dia memintas Abu Jahal. Kini, Abu Ubaidah berhadapan dengan Abu Jahal, musuh ketat orang Islam.

Tiba-tiba muncul pula dua orang Ansar lalu meluru kearah ketua pasukan Quraisy itu. Muaz bin Amru menetak kaki kuda yang ditunggang oleh Abu Jahal menyebabkan dia terjatuh. Abu Jahal bertempik marah lalu bangun. Muawwiz bin Arfa pula menerpa lalu mengayunkan pedangnya dan berjaya mencederakan kaki kanan Abu Jahal. Sekali lagi dia tersungkur ke tanah sambil mengerang kesakitan.

Ikramah, anak Abu Jahal yang berada disitu segera bertindak. Dia menyerang Muawwiz bin Arfa dan berjaya membunuh pemuda itu. Kemudian, Ikramah menyerang Muaz bin Amru pula. Dia berjaya menetak tangan kiri lawannya sehingga terkulai hampir putus. Namun, Muaz bin Amru terus bertempur tanpa menghiraukan tangan kirinya. Tetapi, tangannya itu menggangu pergerakkannya lalu dipijak tangan kiri itu dan menariknya hingga terputus! Jihad melampaui rasa sakitnya.

Abu Jahal yang cedera parah pada kaki kanannya  cuba bangun, tetapi ditetak di bahunya oleh Muaz bin Amru dengan pedangnya. Dalam keadaan cedera parah, Abu Jahal merangkak cuba menyelamatkan dirinya, tetapi terus diserang oleh Muaz bin Amru. Ikramah segera bertindak membunuh pemuda yang mencederakan ayahnya. Kini, Abu Jahal tinggal nyawa-nyawa ikan.

Abdullah bin Mas’ud yang melihat pertarungan dua pemuda Ansar dengan Abu Jahal dan anaknya Ikramah segera membantu. Tetapi, kedua-dua pemuda yang berjasa itu sudah gugur. Ikramah pula ditentang oleh Abu Ubaidah. Abdullah bin Mas’ud mendapatkan Abu Jahal. Dipijaknya dada Abu Jahal sambil berkata, 
“Inilah orang yang paling saya benci.”
“Tolong jangan bunuh aku!” Rayu Abu Jahal.
Abdullah bin Mas’ud tidak memberi peluang. Dia menghunus pedang lalu memenggal kepala Abu Jahal.

Seperti padang jarak, padang terkukur, suasana kini sunyi sepi. Hanya angin bertiup lembut. Burung-burung mula berlegar-legar di ruang udara. Padang pasir yang kering tidak lagi dihampar pasir mulus bersih, tetapi bermandikan darah merah yang mengalir daripada mayat-mayat yang bergelimpangan. Saki baki bala tentera  pasukan Quraisy sudah pun bertempiaran lari. Sesudah pemimpin –pemimpin mereka tewas di medan perang.

Sementara itu, tentera Islam gembira kerana berjaya menewaskan bala tentera Quraisy yang ramai sedangkan bilangan mereka kecil berbanding pihak musuh. Kegembiraan itu diraikan apabila mengetahui Abu Jahal berjaya dibunuh.

Tentera-tentera Quraisy mula berasa takut. Kematian Abu Jahal, Umayyah bin Khalaf, Abdullah dan beberapa pemimpin membuatkan mereka seperti kapal kehilangan nakhoda. Kehebatan pahlawan-pahlawan Islam di medan perang sudah cukup membuatkan mereka merasa gerun. Ramai tentera Quraisy lari lintang pukang menyelamatkan diri selepas melihat pemimpin-pemimpin mereka tewas dan rakan seperjuangan mereka terbunuh dan ada yang ditangkap.


Sepanjang malam hinggga waktu pengebumian keesokan harinya mereka tercium bau wangi yang belum pernah mereka hidu. Setelah mengebumikan jenazah-jenazah tentera Islam yang gugur syahid serta menguburkan mayat-mayat Quraisy itu di dalam perigi besar, Nabi Muhammad s.a.w. bersama pasukannya bersiap-siap bagi berangkat pulang ke Madinah.
“Itu bau wangi pejuang yang syahid,” Jawab Rasulullah s.a.w.
Pengalaman berjuang di medan tempur dnegan bantuan daripada malaikat, juga semerbak bau wangi para mujahiddin yang gugur membuatkan keimanan tentera Islam bertambah kukuh.

Dalam perjalanan pulang, timbul pula pertanyaan dalam kalangan mereka soal harta rampasan, siapa yang hendak menerima harta rampasan itu semua. Terjadi pertelingkahan kecil antara mereka berkenaan pembahagian harta itu. Lalu Abu Ubaidah al-Jarrah meminta Nabi Muhammad s.a.w. sendiri memutuskan siapa yang sebenarnya berhak keatas harta rampasan itu.

Nabi Muhammad s.a.w. mengutuskan Abdullah bin Rawahah dan Zaid bin Harith dahulu bagi menyampaikan berita gembira berkenaan kemenangan pasukan Muslimin kepada penduduk Madinah. Sementara baginda sendiri bersama sahabat-sahabatnya berangkat menuju ke Madinah membawa bersama tawanan dan harta  rampasan perang yang diperoleh daripada pihak Quraisy.

Mereka merentasi padang pasir sehingga tiba di Safra. Rasululullah s.a.w. meminta mereka berhenti di sebuah bukit. Di situ Baginda membahagikan secara sama rata dalam kalangan pasukan Muslimin yang berperang mahupun yang terbunuh. Mereka berpuas hati dengan kebijaksanaan baginda dalam mengagih-agihkan harta rampasa. Selepas semuanya selesai, mereka meneruskan perjalanan menuju ke Madinah.

Setiba mereka di Uthail, mereka berhenti atas perintah Nabi Muhammad s.a.w. Baginda meminta Abu Bakar as-Siddiq menunjukkan semua tawanan kepadanya. Ketika itu, baginda baginda belum lagi membuat peraturan sama ada mereka dibunuh, ditebus ataupu dijadikan budak suruhan. Dalam tawanan itu, terdapat dua orang tawanan yang berbahaya iaitu Nadzr bin Harith dan Uqba bin Abi Muait.

Mereka berdua ketakutan apabila dibawa ke penghadapan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka berdua antara mereka yang pernah melakukan penganiayaan kejam kaum Muslimin di Makkah tanpa belas kasihan dan menaruh kebencian kepada Allah dan rasul-Nya. Nabi Muhammad s.a.w. menjatuhkan hukuman bunuh keatas Nadzr bin Harith terlebih dahulu. Ali bin Abi Talib ditugaskan menjatuhkan hukuman bunuh itu. Ali melaksanakan hukuman itu dengan memenggal kepala lelaki itu dengan satu pukulan pedangnya.

Kemudian, meneruskan perjalanan ke Irq’z Zubya dan Nabi Muhammad s.a.w. memerintahkan mereka berhenti. Di tempat itu, baginda memerintahkan supaya Uqba bin Abi Abi Muait pula dibunuh.
Uqba bin Abi Abi Muait menggigil ketakutan. Sewaktu di Makkah dia yang melemparkan najis kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan selalu menggangu gugat kaum Muslimin. Hukuman itu juga dilaksanakan oleh Ali.

Abdullah bin Rawahah dan Zaid bin Harith membawa perkhabaran gembira kepada penduduk Madinah berkaitan kemenangan pasukan Muslimin. Tetapi, berita gembira itu disangkal oleh kaum Yahudi. Mereka mengambil kesempatan dengan mengatakan Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat sudah terbunuh. Namun, orang Islam tidak semudah itu terpedaya dengan tipu muslihat orang Yahudi.

Sehari kemudian, baginda Rasulullah s.a.w. dan pengikutnya tiba di Madinah. Ketibaan mereka sememangnya dinantikan. Teriakan lantang sebaik melihat rombongan Nabi Muhammad s.a.w. tiba di pintu Kota Madinah menarik perhatian orang ramai. Sekalian yang ada mula mengerumuni baginda. Kegembiraan jelas terpancar pada wajah mereka yang menyambut anggota keluarga yang masih selamat, sedangkan orang Yahudi hanya memerhatikan dari jauh.

Di pihak Quraisy, mereka membincangkan berkenaan penebusan kesemua tawanan yang kini dalam tanawanan Nabi Muhammad s.a.w.

“Saya tidak yakin Muhammad akan membebaskan orang kita. Sudah tentu Muhammad mendendami kita seperti mana kita mendendami mereka ketika di Makkah,” kata Abu Sufian.
“Benar kata Abu Sufian. Kita mesti berbincang terlebih dahulu dengan seseorang yang dekat dengan Muhammad. Orang itu nanti dapat memujuk Muhammad supaya berlembut hati membebaskan orang kita,” cadang Uthab bin Usaiyed.
“Saya cadangkan Abu Bakar, salah seorang orang Quraisy yang menjadi orang kepercayaan Muhammad sendiri. Tetapi apa yang merisaukan, sekiranya Umar pula menyulitkan rancangan kita. Ini kerana Umar terkenal dengan sikap tegas dan tidak mudah bertolak ansur,” kata al-Harith bin Hisyam pula.
“Walau bagaimanapun, kita mesti cuba bertemu dengan Abu Bakar. Saya yakin dia dapat membantu kita,”sambungnya.
Mereka bersetuju. Lalu mereka berangkat ke Madinah dengan harapan Abu Bakar as-Siddiq dapat membantu mereka. Dalam pertemuan itu, Abu Bakar berjanji akan berusaha berbincang dengan Nabi Muhammad s.a.w. berkenaan tawanan-tawanan perang itu. Umar al-Khattab pula memandang dengan penuh curiga.

Abu Bakar menceritakan perihal kedatangan utusan Quraisy bertemu dengannya berhubung dengan tawanan perang kepada Nabi Muhammad s.a.w. Namun, baginda sendiri masih belum memutuskan apa yang harus dilakukan kepada semua tawanan itu. Baginda meminta pandangan dan pendapat para sahabat.

“Mereka masih keluarga kita. Ada antaranya ayah, abang, adik serta saudara-saudara kita. Berilah belas kasihan kepada mereka ataupun kita terima sahaja tebusan daripada mereka. Semoga Allah menyelamatkan mereka daripada api neraka dan dengan izin-Nya kelak terbuka hati mereka kepada agama ini.” Abu Bakar menyatakan pendapatnya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Baginda diam.

Kemudian Umar pula menyatakan pandangannya. “Tuan yang dikasihi, mereka itu semua musuh-mush Allah. Mereka tidak boleh dibiarkan hidup, penggal sahaja kepala mereka. Orang Musyrik itu tidak dapat dipercayai. Hati mereka penuh dengan hasad dengki dan dendam. Saya bimbang sekiranya mereka ditebus, tidak mustahil mereka akan memerangi kita semula.”
“Tetapi ramai yang menyokong cadangan Abu Bakar.  Nabi Muhammad s.a.w. meninggalkan mereka bagi berfikir sejenak. Baginda mahu memikirkan secara teliti kedua-dua pendapat itu. Tidak lama kemudian, baginda kembali keluar.
“Selepas diteliti kedua=dua pandangan itu tadi, saya memutuskan semua tawanan boleh ditebus dengan nilai 1000 hingga 4000 dirham bagi setiap orang. Kecuali yang tidak mampu menebus, saya bebaskan,” putus Rasulullah s.a.w. Kemudian baginda beredar tanpa sempat sahabat-sahabatnya bertanya.
Sejurus berita itu disampaikan, orang Quraisy datang ke Madinah bagi menebus kesemua tawanan perang. Malangnya, pembebasan itu sedikit pun membuka mata dan hati orang Quraisy betapa prihatin dan bertimbang rasa seorang pemimpin seperti Nabi Muhammad s.a.w.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...