SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday, 7 January 2014

APM-2224&APM-2225 : SLOT MUHASABAH (KEIKHLASAN BERIBADAT)



Assalamualaikum dan salam Maulidur Rasul .... 

Kita selalu diingatkan bahawa, Umat Manusia kini berada diakhir zaman dan menuju ke Kiamat. Pelbagai bangsa yang menganuti pelbagai agama begitu takut akan kiamat. Mereka menggambarkan Kiamat dalam filem-filem dan melalui filem juga mereka "mencipta" imiginasi melarikan dunia dari kiamat. Tidak kurang juga mencari punca-punca kiamat dan cuba atasinya, KIAMAT adalah rukun keempat dalam Rukum Iman dan kita Umat Islam sentiasa disegarkan dengan Kiamat ini. Usahlah takut akan kejadian kiamat itu. Yang perlu kita takuti iala BEKALAN KITA UNTUK KIAMAT!!! Kami bukanlah orang alim ulama....kami hanyalah insan yang kerdil dalam mencari REDHA dan KASIH SAYANG ALLAH... Justeru, kami sebarkan kata-kata dari Habib Zaenal Abidin Al Hamid sebagai peringatan untuk kita sama-sama renungkan... In Sha Allah semoga, tuan-tuan sekalian diberkati Allah dan sentiasa dalam Lindungan Allah s.w.t.


Berbuat Baik dan Ikhlas adalah perkara asas dalam kita mencari Keredhaan Allah. Secebis usaha dari kami, Sang Faqir yang kerdil dalam menyebarkan kata-kata Allah s.w.t. Jika tidak tahu, bertanya. Jika Ragu, Berguru.....

Friday, 3 January 2014

Rakaman Masa : Kelantan 100 tahun lalu

Assalamualaikum.... dan Selamat Pagi (3/1/2014)

Sebelum ini kami pernah menyiarkan rakaman masa berkenaan Pakaian Tradisi Masyarakat Kelatan . Kali ini kami ingin kongsikan Rakaman Masa berkenaan situasi dan keadaan pengangkutan dan kehidupan sosial masyarakat Kelantan dan penduduk-penduduk berjiran dengan Kelantan.

Rakaman Masa kali ini bersumberkan sebuah buku yang dikarang oleh seorang Ahli Parlimen British yang beranama Sir Henry Norman yang terkenal sebagai seoranga adventurer yang suka mengembara. Pengembaraan beliau bukan kosong dan kami juga pernah hasilkan satu artikel mengenai hasil pengembaraan beliau ke Kelantan.

Pengembaraan beliau bermula dari sempadan Perak-Reman dan berakhir di Kota Bharu. Anda boleh baca ritkel penuh mengenai pengembaraan Henry Norman di sini!


Kelihatan dalam gambar ini adalah DYMM Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad IV. Gambar ini kurang menarik ekoran sudut gambar ini kurang stabil. Namun itu sudah memadai kerana kita dapat melihat dengan jelas rupa paras Tuanku. Gambar ini dipercayai dirakam di hadapan pintu Istan Balai Besar, Kota Bharu.


Seorang wanita Melayu yang tinggal di sempadan Reman-Perak. Henry Norman menyatakan wanita ini sebagai Penghias Hutan. Mungkin itu pandangan mereka, tetapi hutanlah tempat rakyat marhaen tinggal waktu itu. Di hutan, waktu itu, walaupun terpencil ia ibarat kotaraya. Kehidupan dahulu mana boleh disamakan dengan zaman sekarang.


Gambar ini masih merakamkan perbatasan di sempadan Perak-Reman dalam perjalanan Henry Norman ke Kelantan. Gajah memang pengangkutan penting zaman tersebut.


Walaupun tidak jelas, kelihat orang-orang Melayu waktu itu berbadan tegap dan sasa. Dada bidang dan kelihatan keras dan kental. Kulit kelihatan gelap bukan kerana kita keturunan Tamil, tapi itu adalah kesan semula jadi, kerana waktu itu pakaian memang sukar didapati. Yang berpakaian lengkap mestilah mereka dari golongan yang berada.


Gajah-gajah ini kelihatan jinak. Adakah orang Putih ini yang menjinakkan gajah-gajah itu? Pastilah tidak, kerana gajah-gajah ini ditundukan oleh ILMU orang-orang Melayu. Bagaimanakah ilmu itu? orang Puteh mungkin tahu, sebab mereka kutip segala maklumat tentang Orang Melayu lalu dicatatkan dalam Jurnal Akademik mereka dan dihantar balik ke London. Adakah orang-orang kita pada hari ini tahu akan Ilmu Menundukkan gajah?


Kuala Leh menjadi base camp dalam pengembaraan Henry. Camp atau perkampungan ini kelihatan terang dan tidak seperti gambar lain di atas. Ini mungkin sebuah perkampungan Melayu. Dahulu, populasi Melayu tidak ramai dan yang ada di dalam hutan adalah golongan petani yang membuka kampung untuk bercucuk tanam.


Pejabat British yang terakhir di sempadan Perak.1890 merupakan tahun Frank Swettenham menjadi Residen Perak. Sir Henry Norman merupakan teman rapat Frank Swettenham, kerana itu pengembaraan beliau mendapat sokongan tenaga manusia yang ramai. Berkemungkinan telah dikerah oleh Frank Swettenham.


Henry Norman dengan Rumah Rakit beliau di Sugai Kelantan. Rumah Rakit juga merupakan pengangkutan air yang popular 130 tahun yang lalu. Dahulu, ramai orang-orang Melayu membina penempatan di tebing sungai kerana sungai merupakan tempat yang penuh barokah. Tamadun-Tamadun besar dunia pun dibina berhampiran sungai. Fungsi sungai amat penting waktu itu.


Inilah rupa masyarakat kita berurus niaga pada waktu itu. Daif macam mana pun, nenek moyang kita yang telah merintis kepada kesenangan kita pada hari ini. Jadi, wajar kita menginsafi diri kerana kesenangan kita hari ini bukan datang bergolek jatuh berlebuk di kaki!


Gambar di atas kemungkinan dirakamkan di Tanah Merah atau di Kota Bharu.


Inilah hiburan 130 tahun dahulu. Ianya hanya dinikmati oleh Sultan dan para Pembesar Negeri. Ini adalah satu rehearsal sebelum dipersembahkan kepada Sultan.


Pengembaraan Henry Norman bukan sekadar tamat di Kota Bharu, beliau telah belayar dengan lancang hingga ke Kuala Terengganu dan gambar di atas telah buktikannya.

Thursday, 2 January 2014

Long Bahar Membawa Diri Ke Kelantan

Pendahuluan
Long Bahar Tuan Besar adalah satu nama yang masyhur kerana melalui beliaulah lahirnya Kerabat DiRaja Kesultanan Kelantan pada hari ini. Generasi sekarang kurang arif dengan salasilah Sultan di Kelantan pada hari ini. Rata-rata anak muda kita amat dekat dengan nama Sultan Muhammad IV dan Sultan Yahya dan kurang mengenali Sultan Ismail.

Nama Sultan Muhammad IV sering disebut kerana stadium Negeri Kelantan hari ini dinamakan sempena nama Baginda, manakala jambatan utama Kelantan yang menghubungkan Kota Bharu dengan Pasir Pekan pula dinamakan sempena nama Sultan Yahya petra. Ketokohan Sultan Muhammad V pula tidak boleh disangkal lagi, kerana Baginda Sultan memang amat rapat dengan rakyat melalui pelbagai progam kemasyarakatan dan sikap Baginda sendiri yang gemar bersama-sama rakyat setiap masa.

Nama Long Bahar selalu disebut sebagai seorang kerabat dari Patani yang berhijrah ke Kelantan dan tidak ramai yang mengetahui kenapa baginda berhijrah dan kemudiannya dilantik menjadi Raja Kota Jembal menggantikan Sultan Umar ketika itu..

Siapa Long Bahar?
Pada tahun 1686, Dato’ Pengkalan Tua, Wan Daim telah membawa tiga orang puteranya yang ketika itu telah dewasa ke Kelantan kerana pergeseran politik yang berlaku di Patani ekoran pemilihan Raja Patani yang hak. Putera-putera Wan Daim yang turut berhijrah itu adalah Tuan Sulong (Dato’ Pasir-Petani), Tuan Long Nik (Dato’ Pujud-Reman) dan Tuan Long Bahar (Tuan Besar-Jembal). Kerajaan Jembal waktu itu adalah kerajaan yang mendominasi Kelantan disamping beberapa City States yang lain dan Sultan Umar adalah pemerintah Jembal saat Dato’ Wan Daim berhijrah.

Tuan Long Nik bin Wan Daim telah dijodohkan oleh Sultan Umar (Raja Jembal) dengan Che Seku, puteri seorang pembesar yang bernama Penghulu Deraman yang tinggal di Geting, Tumpat. Tuan Long Nik memerintah di Pujud yang bersempadan dengan Patani/Jala/Jambu.

Tuan Long Bahar bin Wan Daim pula dianugerahkan Kota Bukit Jarum sebagai Raja Legeh. Pada tahun 1721, Sultan Umar telah mangkat dan Tuan Long Bahar telah ditabalkan sebagai Raja Jembal menggantikan almarhum.

 Bingkisan Anak Bani Jawi

Sebelum dilantik menjadi Raja Jembal kisah Tuan Long Bahar ini agak menarik untuk diperhatikan kerana bahagian ini jarang diketahui umum. Sudah tersurat bahawa Dato Pengkalan Tua, Wan Daim adalah bapa kepada Tuan Long Bahar, cuma dakwaan tentang menjadi Raja Legeh harus diselidiki dengan mendalam dan akan kami bawakan dalam satu posting khusus.

Yang pasti di sini bahawa, negeri-negeri Melayu di Pantai Timur Semenanjung ini pernah dikenali sebagai Patani Besar yang merangkumi 43 buah negeri yang setiap negeri mempunyai raja-raja tersendiri yang saling mempunyai pertalian darah.

Meneliti genealogy (salasilah) Tuan Long Bahar ini, beliau adalah menantu kepada Raja Bakal/Bakar dari Kampung Teluk yang menaiki takhta Patani pada 1688. Dipercayai sebelum peristiwa penghijrahan Dato’ Pengkalan Tua, Wan Daim ke Kelantan, Raja Long Bahar ini telah menjadi menantu Raja Bakal dengan mengahwini Raja Mas Kelantan.

Jadi Raja Patani
Ketika Raja Bakal menaiki takhta Patani, usianya sudah terlalu lanjut. Pada tahun 1690, Raja Bakal telah mangkat dan meniggalkan Patani dalam keadaan kesamaran mencari Raja baru. Akhirnya Raja Mas Kelantan, puteri kepada Raja Bakal telah dilantik menjadi Raja Patani dan secara automatiknya, Tuan Long Bahar juga memainkan peranan dalam pentadbiran Patani ketika itu memandangkan beliau adalah suami kepada Raja Mas Kelantan. Menurut rekod, Patani pada waktu itu berada dalam keadaan aman dan tenteram kerana ancaman Siam pada waktu itu sudah berkurangan kerana Siam pada waktu itu menghadapi masalah dalam negeri. Patani di bawah Raja Mas Kelantan juga cuba mengukuhkan keududkan dengan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga dengan menabalkan anak Bendahara Johor, Tun Zainal Abidin yang juga anak angkat mereka sebagai Sultan Terengganu.

Raja Mas Kelantan ditakdirkan tidak memerintah lama. Pada 1707 beliau telah mangkat setelah memerintah Patani selama 17 tahun. Perkongsian hidup antara Raja Long Bahar dengan Raja Mas Kelantan, mereka telah dikurniakan dua orang cahayamata iaitu Dewi Peracu dan Long Sulaiman.   Ekoran kemangkatan Raja Mas Kelantan, pembesar-pembesar Patani telah sepakat melantik Dewi Perachu sebagai Raja Patani dengan gelaran Raja Nang Chayang.

Canggung...
Konflik dalaman yang lebih bersifat peribadi telah berlaku sewaktu pemerintahan Raja Nang Chayang. Pada tahun 1715 yakni setelah 8 tahun memerintah, beliau telah menyerahkan takhta Patani kepada ayahanda beliau, Raja Long Bahar yang  jelas bertentangan dengan adat di Patani. Mengikut adat Patani, hanya Raja yang mempunyai pertalian darah dari keturunan Sultan Qunbul (Syyid Nurul Alam@Fakih Ali) sahaja yang boleh menjadi Raja Patani. Dalam hal ini juga, kami berpendapat bahawa ketika Dato’ Pengkalan, Wan Daim membawa diri ke Kelantan atas faktor bukan keturunan Sultan Qunbul dan tidak dilantik menjadi Raja Patani.

Mungkin kerana pandangan dan bantahan daripada pembesar Patani membuatkan Raja Long Bahar sedar dan akur akan tentangan dari kalangan pembesar negeri yang mungkin menjejaskan kestabilan di Patani dan akhirnya beliau telah turun takhta pada tahun 1716 dan membawa diri bersama-sama Long Sulaiman ke Kota Jembal di Kelantan.

Raja Nang Chayang kemudiannya ditabalkan sekali lagi menjadi Raja Patani namun, rekod sejarah menunjukkan Patani sekali lagi menghadapi situasi interrganum di mana Patani tidak mempunyai Raja yang mutlak untuk mentadbir negeri pada 1718. Kami berpendapat, setelah Raja Long Bahar turun takhta Patani dan membawa diri ke Kelantan, Raja Nang Chayang juga berbuat demikian pada 1718 dan meninggalkan takhta Patani begitu sahaja.

Dari  Patani ke Jembal
Setelah turun dari takhta Patani pada 1716, Raja Long Bahar telah membawa diri ke Kelantan atau lebih tepat ke Kota Jembal. Sultan Umar adalah Raja yang memerintah Kota Jembal waktu itu. Ibarat sireh pulang ke gangang, Jembal tidak asing buat Long Bahar kerana pada 1686 iaitu 30 tahun sebelum itu beliau bersama-sama kekandanya telah mengikuti ayahanda mereka berhijrah ke Kelantan. Seperti yang kita sedia maklum, pada waktu Raja Long Bahar, berhijrah bersama anaknya Long Sulaiman adalah seorang duda yang pada waktu itu telah kematian isteri (Raja Mas Kelantan) selama 9 tahun.  

 Setibanya beliau di Kota Jembal, Sultan Umar telah mengahwinkan puterinya, Raja Pah dengan beliau. Adat seorang perantau, mungkin kerana tidak bebas, beliau telah meminta keizinan daripada Sultan Umar untuk membuka sebuah penempatan baru. Permintaan itu telah diperkenankan dan beliau telah membuka Kota Kubang Labu yang begitu masyhur dalam sejarah Kelantan.

Mengikut garis masa penghijrahan Raja Long Bahar ke Jembal  dari Patani dan seterusnya ke Kota Kubang Labu ia berlangsung dalam tempoh 5 tahun sahaja bermula dari 1716 – 1721 kerana pada tahun ini Raja Long Bahar telah ditabal sebagai Raja Jembal menggantikan Sultan Umar.

Raja Pah adalah anak sulung bagi Sultan Umar, beliau mempunyai seorang putera yang dalam waktu beliau masih hidup telah memerintah di Kota Teras iaitu Raja Kecil Sulong. Beliau menolak untuk menjadi Raja Jembal kerana sayangkan rakyatnya di Kota Teras dan hormatkan kakaknya Raja Pah, beliau telah memberi laluan kepada Long Bahar untuk memerintah Kota Jembal.


Long Bahar telah menerima perlantikan sebagai Raja Jembal dan meninggalkan Kota Kubang Labu untuk ditadbir oleh Long Sulaiman. Kisah seterusnya boleh di baca dalam artikel kami di bawah tajuk Perang Kota Kubang Labu 1.

Kesimpulan
Memahami sejarah Kelantan sebenarnya tidak terlalu sulit jika diketahui puncanya. Di akui ianya berliku namun tidak sukar selagi mana kita berusaha untuk mengetahuinya. Sejarah ini adalah rakaman masa lalu dan ia penting kepada orang-orang yang mempunyai kepentingan. Terma "Sejarah ditulis oleh Pihak yang Menang" selalu dicanang-canang... namun kebenaran tetap terpelihara kerana Allah s.w.t. tetap memelihara kebenaran. Ia hanya menunggu masa untuk timbul sebagai bukti kebenaran. In Sha Allah.

Gerbang Pasar Kota Jembal

Wednesday, 1 January 2014

Nasi Bungkus Naik Kapal Terbang..... (Sedak Pok Nor, Antar la jugok ke Amsterdam nih.. :D)

Azrin (kiri) dan Abdul Ghafar membawa nasi yang siap dibungkus
ke kereta yang menunggu untuk menghantarnya ke seluruh Kelantan.


PASIR PUTEH - Tidak terfikir bagaimana warga ibu kota Kuala Lumpur yang ‘dihidangkan’ dengan aneka pilihan sarapan pagi masih memilih nasi bungkus daripada Kelantan setiap hari.

Sebanyak 2,000 nasi bungkus dari Kampung Banggol Pak Esah dekat sini, diterbangkan dengan pesawat kargo Malaysia Airline Sistem (Mas) dari Lapangan Terbang Sultan Ismail ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setiap pagi bagi membolehkan pelanggan tetap di sana menikmatinya setiap pagi.

Nasi kerabu, nasi lemak, nasi berlauk dan nasi dagang resipi tradisi Mohamad @ Mohd Nor Zakaria, 68, (Pok Nor) dibungkus seawal jam 11 malam bagi membolehkan ianya tidak terlepas dari jadual penerbangan awal di Pengkalan Chepa.

Pengurus Nasi Bungkus Pok Nor, Azrin Mohamad, 34, bersama adiknya, Abdul Ghafar Mohamad, 30, mendapat idea meluaskan pasaran selepas mendapati produk itu mendapat sambutan luar biasa.

“Selepas berjaya memasarkan 1,500 nasi bungkus ke seluruh Kelantan, kami berjaya membawa produk ini lebih jauh tapi masih berbaloi walaupun menampung kos penghantaran tinggi.

"Di Kuala Lumpur, nasi bungkus ini diambil agen untuk dihantar kepada penjual di sekitar Putrajaya, Puchong dan Shah Alam yang menjualnya pada harga RM4 sebungkus. Nasi untuk pasaran tempatan mulai dibungkus jam 3 pagi dan dijual pada harga RM2.50 sebungkus,” katanya.

Beliau berkata, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang diusahakan itu memberi peluang pekerjaan kepada 36 wanita yang kebanyakannya ibu tunggal dan dibahagikan kepada dua syif, 22 orang untuk pembungkusan bagi pasaran Kuala Lumpur dan selebihnya untuk pembungkusan bagi pasaran tempatan.

Nasi Bungkus Pok Nor katanya, akan dikembangkan kerana beliau kini merancang membuka kilang di kampung itu dan membuka kedai kopi sendiri di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.

“Dalam masa sama, kami melancarkan grup Facebook Nasi Bungkus Pok Nor bagi mempromosikan produk selain menerima pendapat pelanggan bagi meningkatkan kualiti serta melicinkan urusan pemasaran.


“Sekiranya usaha ini terus berkembang maju, ia sudah tentu memberi manfaat secara berterusan kepada ibu tunggal dan agen-agen kami di Kelantan dan Kuala Lumpur,” katanya.


Pekerja Nasi Bungkus Pok Nor sibuk membungkus nasi kerabu dan 
nasi lemak pada awal pagi untuk dihantar ke Kuala Lumpur.
Sumber Berita : Sinar Harian 1 Januari 2014

1 JANUARI 2014 - KPSK-PPSK MENGORAK LANGKAH!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat sahabat-sahabat yang dihormati sekalian.

Saat ini, kita sudah menginjak ke tahun baru dalam kalendar Gregorian. Pelbagai rencana dirancang memandangkan hari ini adalah kelepasan  am bagi negeri-negeri di Pantai Barat dan tentunya malam tadi berlaku bermacam program baik berkaitan dengan politik, sosial dan budaya. Itulah ragam kita penduduk Malaysia.

2013 kita tinggalkan dengan 1001 macam peristiwa. Kelab Pencinta Sejarah Kelantan (KPSK) tidak kurang "havoc" dengan pelbagai isu baik buruk ataupun baik. Tahun 2013 juga menyaksikan episod suka duka yang akan kami, admin KPSK sentiasa kenang.

Di awal 2013 sekitar Februari hingga April, KPSK telah berjaya didaftarkan secara sah di bawah Registry of Societies of Malaysia (ROS) atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) di bawah Kementerian Dalam Negeri. Bagi kami, ini adalah satu pencapaian besar kerana tindakan ini telah membuatkan KPSK menjadi sebuah badan NGO yang berdaftar serta menjadikan KPSK badan bertauliah.

Pada 2013, ini adalah misi kami dan ia akan terus berkesinambungan pada tahun ini dengan perancangan yang lebih rapi.

Sepanjang 2013 langkah-langkah kecil telah kami gerakan dengan menjayakan:
  1. Seminar Siapa Tok Janggut 
  2. Hikmah 4
  3. Ekspedisi Bukit Marak
  4. Ekspedisi Danau Tok Uban
  5. Ekspedisi Kalai
  6. Pemantauan Tapak Palekbang
  7. Penelitian Sejarah Perang Dunia ke Dua.  (Lalang Luas, Gong Kedak, Bachok dan Pengkalan Chepa)
Ini adalah langkah kecil kami yang digerakkan secara berkumpulan antara para admin dan tidak dibuka kepada umum. Aktiviti sebegini akan kami kemaskini dari masa ke semasa mengikut Objektif Ekspedisi yang akan dijalankan.

Anda semua diseru untuk memberi sokongan kepada kami dengan menjadi Ahli Berdaftar KPSK kerana tanpa anda, KPSK hanyalah ibarat kertas kosong yang ditiup angin, sekadar melayang-layang tidak tentu arah.

Sebolehnya, episod duka tidak didedahkan kepada umum, namun sebagai iktibar ia perlu disiarkan untuk kita semua ambil peringatan agar perkara seumpama tidak lagi berulang. KPSK menghadapi isu terbesar kerana segelintir fans ragu-ragu dengan kredbiliti maklumat yang disalurkan kerana terdapat masalah dalaman pentadbiran KPSK pada waktu itu.

Pada waktu itu, Fan Page KPSK seolah-olah dilanda cuaca sejuk yang sesejuk Antartika kerana di insight page mencatatkan "0" pelawat! Kami bangkit dan mengubah cara posting yang sebelum ini diragui dan adapun yang mengikuti sekadar melawat dan memberi komen slapstick dan dianggap tidak membina. Diakui, memang sulit untuk memulihkan identiti yang tercalar dan kami semua bertahan, Alhamdulillah rintangan tersebut dapat di atasi. 

Rentetan dari peristiwa itu juga, pada 2014 ini, AJK KPSK merencana untuk menjenamakan semula KPSK sebagai satu usaha meningkatkan martabat komuniti pencinta sejarah Kelantan. Sokongan anda amat kami tagih dari anda semua.....

Misi kami hanyalah untuk membangkitkan perasaan ingin tahu anda tentang sejarah Kelatan dan bawa anda semua keluar dari "ketakutan yang kompleks" @ Inferiority Complex ekoran label "Negeri Miskin" atau "Negeri Mundur" yang sering diputarkan dalam media.

DENGAN INI KPSK AKAN DIKENALI SEBAGAI 
PERSATUAN PENCINTA SEJARAH KELANTAN!



Sekian, terima kasih.

AHLI JAWATANKUASA PERSATUAN PENCINTA SEJARAH KELANTAN (PPSK)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...