SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday, 16 September 2014

Pengisahan Sejarah Kelantan : Carta Salasilah Raja-Raja Kelantan




Untuk Paparan yang lebih jelas sila lihat klik link di bawah:
  1. Pemerintah Kelantan 1233 - 1602
  2. Salasilah Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait

CARTA INI DI SALIN DARI BUKU "KETURUNAN RAJA-RAJA KELANTAN DAN PERISTIWA-PERISTIWA PENTING"

PEMBENTUKAN PERSEKUTUAN MALAYSIA

***SEMPENA HARI MALAYSIA 2014***


Pada Tahun 1955, David Marshall pernah mencadangkan Singapura bercantum dengan Tanah Melayu. Gagasan Malaysia juga disuarakan oleh tokoh-tokoh di Tanah Melayu iaitu Ghazali Shafie dan Tan Cheng Lock. 4 tahun selepasnya iaitu 1959 pemimpin PAP (PETIR) di Singapura, Lee Kuan Yew telah menyarankan Singapura dicantumkan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Ia adalah untuk kepentingan ekonomi, mendapatkan kemerdekaan Singapura lebih awal dan mengekang pengaruh komunis di Singapura.

Pada 27 Mei 1961, semasa berucap di Kelab Wartawan Asing Asia Tenggara di Singapura, Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan idea sebuah Tanah Melayu yang lebih luas merangkumi Singapura, Borneo Utara, Brunei, dan Sarawak. Di Brunei, Sultan Omar Ali Sarifuddin sendiri sangat berminat dan menganggap penubuhan Malaysia satu idea yang baik namun terbantut apabila tentangan Azahari dan pengikutnya memuncak dalam bentuk revolusi bersenjata walaupun dapat dipatahkan oleh Sultan dengan sokongan British. Di Sabah dan Sarawak, sambutan penduduknya terhadap penubuhan Malaysia menggalakkan disebabkan mereka mahu membebaskan negeri mereka daripada kuasa British dan komunis. Namun, terdapat segelintir mereka merasai beberapa kebimbangan kerana khuatir Borneo akan hilangan kekuatan akibat ‘Malayan Domination’ dan kedudukan agama dan bahasa di kalangan kaum bukan Melayu terancam.

Pada Jun 1961, Tunku mengadakan awatan Muhibah ke Sabah dan Sarawak ingin memastikan rakyat Sabah dan Sarawak memahami sepenuhnya konsep Malaysia dan tujuan penubuhan Malaysia. Tunku juga prihatin tentang kemungkinan pemimpin-pemimpinnya beranggapan beliau menggalakkan British menyerahkan wilayah-wilayah Borneo itu semata-mata untuk membesarkan Tanah Melayu. Justeru itu, Tunku membuat lawatan muhibah ke negeri-negeri itu. Akhirnya, Tunku berjaya mengurangkan kekeliruan yang ada di kalangan rakyat Sabah dan Sarawak. Beliau juga dapat mengurangkan kebimbangan mereka tentang pengusaan kaum Melayu dalam Malaysia.

Pada Julai 1961, Tunku melakukan kunjungan ke Brunei disebabkan Parti Rakyat Brunei (PRB) di bawah pimpinan Ahmad M. Azahari begitu nekad dengan rancanagn mewujudkan Kalimantan Utara yang merdeka. Konsep Malaysia tidak menarik minat pengikut-pengikut parti PRB. Situasi yang demikian menyebabkan Tunku mengambil keputusan untuk memberi penjelasan kepada rakyat Brunei tentang konsep penubuhan Malaysia. Ekoran daripada itu, Sultan Brunei menubuhkan satu suruhanjaya tinjauan untuk menentukan pendirian sebenar rakyat Brunei.

Pada Ogos 1961, rundingan Singapura berlaku dalam menyentuh isu mengenai percantuman Singapura dengan Malaya mesti ditentukan bersama oleh rakyat Singapura sendiri. Demikian ditegaskan oleh Lee Kuan Yew apabila ucapan Tunku Abdul Rahman (Mei 1961) mula diketahui oleh rakyat. Selain itu, Lee juga mahu memastikan Singapura mempunyai kedudukan yang selesa dalam Malaysia. Pada 23 Ogos 1961 mesyuarat rasmi pertama mengenai percantuman diadakan antara Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu. Antara persetujuan yang dicapai ialah autonomi Singapura dalam hal-hal pendidikan dan tenaga buruh dan kerajaan pusat pula akan bertanggungjawab dlm soal pertahanan, hubungan luar dan keselamatan.

Pada Pertengahan 1961, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan ditubuhkan hasil tindakan Persatuan Parlimen Komanwel (PPK) yang dibentuk pada pertengahan 1961 apabila didapati pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak menunjukkan kesangsian mereka terhadap pembentukan Malaysia. Dalam persidangan PPK di Singapura, keterangan lanjut telah diberi dan akhirnya semua pemimpin bakal anggota Malaysia bersetuju membentuk Jawatankuasa Perundingan Perpaduan (JPP). JPP dipengerusikan oleh Donald Stephen dari Sabah. Jawatankuasa ini mempunyai tugas memberi penjelasan kepada rakyat dan mengumpul pendapat rakyat mengenai pembentukan Malaysia. Keberkesanan JPP terserlah dalam mesyuarat pertamanya yang diadakan di Jesselton (Kota Kinabalu) dan beberapa tempat lain selepas itu.

Pada Ogos 1962, Suruhanjaya Cobbold dibentuk. Walaupun pengumuman gagasan Malaysia telah dialu-alukan oleh sebahagian besar rakyat negeri-negeri berkenaan, namun terdapat sesetengah pihak yang merasai berbagai-bagai kebimbangan. Ada yang menganggap cadangan itu adalah satu cara untuk menguatkan kuasa British, kerana itulah pihak British menjemput Tunku untuk berunding di London. Seterusnya, kedua-dua pihak bersetuju supaya satu suruhanjaya di bawah Lord Cobbold dengan empat anggota lain (dua British dan dua rakyat Malaya) ditubuhkan untuk meninjau pendapat rakyat Sabah dan Sarawak. Didapati lebih 70 peratus penduduk dua buah negeri itu bersetuju. Seterusnya, anggota-anggota Inggeris dan anggota-anggota dari Tanah Melayu secara berasingan memperakukan supaya Persekutuan Malaysia ditubuhkan. Seterusnya, Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) ditubuhkan. Objektif khusus JAK adalah bagi merangka Perlembagaan Malaysia dan menangani isu-isu tertentu seperti memastikan hak dan kepentingan penduduk Sabah dan Sarawak dilindungi. JAK ini dipengerusikan oleh Lord Landsdowne. Anggota-anggota yang lain terdiri daripada Tun Abdul Razak, Donald Stephen, Abang Haji Mustapha, Temenggung Jugah, seorang wakil Britain dan seorang lain wakil PTM. Jawatankuasa ini telah menubuhkan lima buah jawatankuasa kecil untuk meneliti aspek perlembagaan, kewangan, perundangan, kehakiman, dan organisasi jabatan. Laporan JAK itu diterima oleh Sabah dan Sarawak, dan menjadi asas kepada Perjanjian Malaysia yang ditandatangani di London 9 Julai 1963.

Akhirnya pada 1 September 1962 (sehari selepas Persekutuan Tanah Melayu menyambut ulang tahun kelima kemerdekaanya) referendum rasmi dijalankan. Keputusan rujuk suara itu menunjukkan sebanyak 70 peratus rakyat Singapura bersetuju Singapura menyertai Malaysia.

Pada bulan Jun hingga September 1963, Misi Bangsa-bangsa Bersatu bertujuan untuk mendapat kepastian tentang rakyat Sarawak dan Sabah terhadap konsep Malaysia. Hasil undi suara itu menunjukkan sebnayak lebih dua pertiga rakyat menyetujui pembentukan Malaysia. Pasukan Bangsa-bangsa Bersatu itu juga mengakui kebersihan pilihan raya Sabah dan Sarawak tanpa penyelewengan dan juga mengesahkan kesahihan Laporan Cobbold serta Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.


SELAMAT HARI MALAYSIA DARIPADA PPSK.

Artikel ditulis oleh AKA

Monday, 15 September 2014

Sejarah Dan Kronologi Penubuhan Institusi Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas


Dalam sejarah pendidikan Islam di Malaysia, Kelantan merupakan salah sebuah negeri yang terkenal dengan perkembangan pendidikan yang pesat yang telah melahirkan ulama’-ulama’ yang berwibawa. 

Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, pendidikan Islam telah bermula pada akhir abad ke 18. Orang yang paling awal menyampaikan pendidikan Islam ialah Tuan Shyeikh Haji Abdul Halim. Sistem pengajian pondok di Tanah Melayu pula mulai muncul pada pada permulaan abad ke 20, ada yang berpendapat bahawa ia wujud sejak abad ke 19 lagi. Sistem ini dipercayai berasal dari Patani, Selatan Thailand. Ada juga pendapat mengatakan ia berasal dari Acheh Indonesia.

Di Tanah Melayu, Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula-mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama yang didirikan di Kelantan ialah pada tahun 1820 M oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Abdullah (Tok Pulai Chondong). Selain dari pondok Pulai Chondong yang didirikan di Kelantan sebelum 1910 ialah:
  • Pondok Tok Bachok pada tahun 1900,
  • Pondok Haji Abdul Malik Tumpat pada tahun 1907,
  • Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat tahun 1908.
  • Pondok Kubang Pasu Kota Bharu pada 1900,
  • Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol,
  • Pondok Tuan Padang dan
  • Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Haji Wan Abdul Samad bin Mohd Salleh atau lebih dikenali dengan gelaran Tuan Tabal.

Pondok Lubuk Tapah adalah pondok yang dibina pada tahun 1931 merupakan pondok yang lewat ditubuhkan jika ingin disbanding bezakan dengan pondok yang lain. Nama rasminya adalah Madrasah Al-Rahmaniah. Pondok Lubuk Tapah adalah sebuah institusi pengajian islam yang berkonsep tradisional dan merupakan antara pondok yang lama di Kelantan.

Pondok Lubuk Tapah mula diasaskan oleh AllahyarhamTuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Che Wan pada tahun 1931 setelah kembalinya beliau daripada belajar di Mekah. Bertempat di Kampung Lubuk Tapah, Lemal Pasir Mas, dengan jarak kira-kira 4 km dari Bandar Pasir Mas dan 16 km dari Pusat Bandar Kota Bharu, keluasan kawasan Pondok Lubuk Tapah adalah kira-kira dalam lingkungan 6 ekar.

Pada peringkat awal penubuhannya, kegiatan pondok ini adalah agak terhad dengan bilangan pelajarnya yang tidak ramai manakala kemudahan-kemudahan asasnya pula tidak lengkap dan kurang memuaskan. Pada masa itu pondok-pondok pelajar terdiri daripada pondok sebuah-sebuah yang dibina sendiri oleh pelajar atau ibu bapa yang menghantar anak-anaknya memondok disini. Pondok-pondok dibina diatas tanah kepunyaan Tuan Guru Haji Abdul Rahman.

Pelajar-pelajar yang datang menuntut di Pondok Lubuk Tapah datang dari seluruh negeri di Malaysia dan ada juga pelajar yang datang dari negara-negara jiran seperti Thailand,Indonesia,Singapura dan kemboja.

Sehingga kini Pondok Lubuk Tapah telah melahirkan ribuan pelajar dimana ada dikalangan bekas-bekas pelajar pondok ini pulang menyebarkan ilmu dan memberi khidmat kepada masyarakat samada mengajar dengan membuka pondok atau sekolah agama, mengajar di masjid dan madrasah, menjadi imam masjid, bilal dan sebagainya. Bagi menambahkan lagi kefahaman dalam ilmu pengetahuan agama, terdapat juga bekas-bekas pelajar yang melanjutkan pengajian mereka ke negara-negara timur tengah seperti ke Mesir dan Syria.

Pondok Lubuk Tapah mengalami perkembangan dan kemajuan dari masa ke semasa dan perubahan itu semakin ketara apabila Tuan Guru Haji Abdullah pulang dari Mekah pada Disember 1966 setelah berkelana menuntut ilmu di sana selama 14 tahun semenjak tahun 1953. Beliau yang merupakan anak kedua kepada pasangan Tuan Guru Haji Abdul Rahman dan Hajah Nik Zainab binti Nik Mud membantu ayahnya mengajar dan mentadbir pondok hinggalah akhirnya beliau mengambil tempat ayahnya menjadi mudir pondok. Dibawah pentadbiran beliau Pondok Lubuk Tapah semakin berkembang pesat dan semakin dikenali bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh Malaysia.


Pada 19 Mac 2008, Madrasah Al-Rahmaniah Pondok Lubuk Tapah mengalami ujian getir dan kehilngan permata yang tidak ternilai apabila mudirnya, juga seorang ulama dan pengasas Madrasah al-Rahmaniah, Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman meninggal dunia di rumahnya di Pondok Lubuk Tapah, kira-kira jam 7.20 pagi. Kemudian, Madrasah al-Rahmaniah Lubuk Tapah dipimpin oleh anaknya sendiri iaitu Dr. Ustaz Hj Lukman b Hj Abdullah yang merupakan Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya. Pada 22 Januari 2010, pondok Lubuk Tapah sekali lagi menerima musibah yang besar apabila tiga buah blok bangunan sekolah agama itu yang mula digunakan sejak 1931 musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi. Namun atas jasa dan sumbangan orang ramai, pondok Madrasah al-Rahmaniah kini dibina semula dan berkembang sebagai institusi pondok yang Berjaya di Nusantara. Bilangan pelajarnya semakin bertambah manakala infrastruktur dan kemudahan-kemudahan asasnya juga Semakin baik dan lengkap. Sehingga kini terdapat kira-kira 400 orang pelajar yang menghuni di Pondok Lubuk Tapah termasuk dari kalangan warga tua dan mereka yang sudah berkeluarga.

Artikel disediakan oleh AKA

Wednesday, 3 September 2014

Tokoh Pengarang Kelantan : Abdullah Mohamed (NAKULA)

Abdullah bin Mohamed (NAKULA)

Pengkaji sejarah Ketamadunan Melayu downstream pasti mengenali nama NAKULA berdasarkan hasil pengkajian dan penulisan beliau mengenai sejarah lama Kelantan terutama berkenaan Sriwijaya. Hasil penulisan beliau juga menjadi rujukan utama Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan berkenaan sejarah purba Kelantan. 

Hasil penulisan beliau juga menjadi rujukan utama kepada pengkaji sejarah Asia Tenggara kerana teori beliau juga menarik dan tidak boleh disangkal. Begitulah kesan pengkajian dan penulisan beliau dalam bidang sejarah. Namun, carian mengenai beliau amat sedikit sekali, dan boleh dikatakan hampir tidak dijumpai. 

Kami terpanggil untuk mengetengahkan ketokohan beliau dalam bidang penulisan dan pengkajian memandangkan kebanyakkan buku dan artikel beliau lebih kepada penghuraian fakta dan bukan karya fiksyen. 

Profil
Beliau dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Kubang Pasu, Kota Bharu, Kelantan dan diberi nama sebagai Abdullah bin Mohamed. Beliau menuntut di beberapa sekolah antaranya:

  • Sekolah Rendah di Madrasah Muhammadiah anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK)
  • Sekolah Menengah Arab Madrasah Jame’ Merbau
  • Sekolah Menengah Arab Madrasatul-Islah, Kota Bharu
  • Sekolah Menengah Muahad Al-Muhammadi, Kota Bharu

Setelah tamat belajar, beliau telah memulakan khidmat sebagai guru pada 1956 di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu. Seterusnya beliau terus mengabdikan diri dalam dunia pendidikan dengan menjadi Guru Agama Sekolah Rendah sekitar Kelantan dari tahun  1962-1985.

Dalam masa beliau berkhidmat sebagai guru, beliau amat berminat mengkaji dan menulis seperti mana yang kita ketahui hari ini.

Pengkaji 
Segala-galanya bermula dari hobi membaca dari situlah bermulanya proses research secara harafiahnya  bermaksud mencari semula atau mengenal pasti yang diistilahkan sebagai mengkaji. Saudara Abdullah disebut sebagai seorang yang suka membaca, kemudian beliau menyelidik, mengkaji dan akhirnya menulis. Begitulah asas bagaimana beliau menghasilkan buku-buku sejarah Kelantan.

Pada asasnya, sejarah bukan subjek besar beliau, kerana tumpuan utama beliau adalah untuk mengkaji dan megenal alam seterusnya mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. Beliau juga giat mengkaji cabang-cabang ilmu lain seperti politik, agama, falsafah, jiwa dan astronomi.

Beliau juga telah banyak menulis artikel dan esei mengenai agama Islam, politik, falsafah, sejarah, astronomi dan kebudayaan dan ianya telah disiarkan dalam majalah tempatan ketika itu sepertiMajalah Pengasuh, Majalah Kelantan, dan Mastika. Hasil penulisan beliau juga telah disiarkan oleh akhbar tempatan yang popular waktu itu seperti Warta Negara, Utusan Melayu dan Utusan Zaman. Selain itu, penulisan beliau juga telah disiarkan dalam beberapa jurnal antaranya Jurnal Persatuan Sejarah Kelantan dan lain-lain lagi.

Dari tahun 1956 hingga 1985, beliau telah menerbitkan sebanyak 7 buah buku umum berkenaan dengan ekonomi, agama, astronomi dan falsafah, dan kira-kira 14 buah buku teks sekolah mengenai pengajian agama Islam dan Sejarah Islam.

Disamping itu, beliau telah menulis sebanyak 30 buah lagi buku dalam pelbagai bidang terutama sejarah, namun ia masih belum dicetak. Sehingga 1985 pada usia 54 tahun, beliau masih lagi aktif dengan pengkajian dan penulisan mengenai sejarah dan budaya Kelantan.

Berikut adalah antara buku-buku yang dihasilkan oleh Nakula.
  1. Sejarah hidup Nabi Muhammad (s.a.w.) / oleh Abdullah bin Mohamed (Nakula), Publisher : Pustaka Dian, Year : 1959
  2. Islamic architecture – application in Malaysia : (Senibina Islam – aplikasi di Malaysia) / by Abdullah bin Mohamed (Nakula)
  3. Bentuk-bentuk bangunan masjid kunci memahami kebudayaan melayu / oleh Abdullah B. Mohamed (Nakula) Publisher : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan , Year : 1978
  4. Falsafah politik moden / oleh Abdullah bin Mohamed (Nakula) Publisher : Pustaka Dian Press , Year : 1959
  5. Sejarah hidup Nabi Muhammad (s.a.w.) / oleh Abdullah bin Mohammad (Nakula) Publisher : Pustaka Dian Press ,Year : 1959
  6. Pengantar kepada hukum-hukum Islam / oleh Abdullah bin Mohamed (Nakula) Publisher : Pustaka Dian Press , Year : 1959
  7. Sejarah Islam : mengandungi riwayat hidup Muhammad (s.a.w.) oleh Abdullah bin Mohamed (Nakula) Publisher : Pustaka Aman Press ,Year : 1960
  8. Sejarah Islam / oleh Abdullah bin Mohamed (Nakula) Publisher : Pustaka Dian Press , Year : 1960
  9. Meninjau ke langit : Peeps at the heavens / oleh Abdullah bin Mohamed (Nakula) Publisher : Pustaka Dian Press , Year : 1958
  10. Pelajaran agama : ilmu fekah / oleh Abdullah Mouhamed (Nakula), Publisher : Pustaka Aman Press.,
  11. Falsafah dan pemikiran orang-orang melayu : hubungan dengan Islam dan kesenian / oleh Abdullah Bin Mohamed (Nakula) Publisher : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
  12. Bentuk-bentuk bangunan masjid sebagai kunci untuk memahami kebudayaan Melayu / Abdullah b. Mohamed (Nakula) Year : 1900 (ibid)
  13. Konsep ketuhanan dalam konteks hubungannya dengan alam, manusia, masyarakat dan perubahan sejarah / Abdullah bin Mohamed (Nakula) Publisher : Universiti Sains Malaysia,Year : 1981
  14. Pelajaran agama / oleh Abdullah bin Mohamed (Nakula) Publisher : Pustaka Dian Press , Year : 1959
  15. Bentuk-bentuk bangunan masjid : kunci memahami kebudayaan Melayu / oleh Abdullah bin Mohamed (Nakula) Publisher : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Year : 1978
  16. Keturunan raja-raja Kelantan dan peristiwa-peristiwa bersejarah / Abdullah b. Mohamed (Nakula) Publisher : Perbadanan Muzium Negeri Kelantan,Year : 1981
  17. al-Risalah al- Laduniah = risalah ilmu laduni / oleh Abu Hamid Muhammad al-Ghazzali ; diterjemah, diberikan pendahuluan dan di anotasikan oleh Abdullah bin Mohamed (Nakula) Publisher : Pustaka Aman Press.,



Nakula?


Nakula dalam Wayang Kulit
Tidak jelas kenapa Allahyarham Abdullah Mohamed menggunakan nama Nakula sebagai nama pena beliau. Carian maklumat secara online menyatakan bahawa Nakula adalah satu watak dalam persembahan wayang kulit yang mana ianya diambil dari Hikayat Seri Rama yang dihasilkan berdasar kepada epik Mahabharata.

Nakula dalam lukisan India
Nakula adalah watak protagonis (hero) dalam persembahan wayang kulit. Melalui kitab epik Hindu  Mahabharata, Nakula merupakan putera kepada Madri dari Kerajaan Kuru yang wujud pada abad ke-6 sebelum masihi. Ia digambarkan sebagai seorang lelaki tampan, berbudi pekerti dan bertanggungjawab. Pendek kata, ia didewa-dewakan oleh masyarakat Hindu pada waktu itu.

Justeru kerana ketokohan dan keagungan kerajaan India pada masa tersebut, kisah yang berlaku dalam kerajaan itu telah diperkatakan dan diterjemahkan dalam satu bentuk karya yang kita kenali sebagai Wayang Kulit dalam menerangkan kehebatan Kerajaan India pada kurun tersebut. Di India pula kisah-kisah ini dicatatkan dalam Mahabharata.

Ringkasnya, Abdullah mengambil nama Nakula untuk dijadikan nama pena beliau adalah menunjukkan bahawa beliua mengetahui dengan erat akan ketokohan Nakula dan mengaguminya hingga dijadikan nama pena. Kebanyakkan karya beliau diterbitkan dengan menggunakan nama Nakula dan tidak ramai yang kenal siapa beliau yang sebenarnya kecuali mereka yang rapat dengan beliau.



Rujukan:
Warisan Kelantan IV
http://id.wikipedia.org/wiki/Nakula
http://fourteenseptember.weebly.com/the-legend.html
http://ms.wikipedia.org/wiki/Nakula
http://pp-sk.blogspot.nl/2013/11/yawadwipa-pelbagai-sumber-rujukan.html
http://sejarahkelantan.wordpress.com/2012/10/09/ustaz-abdullah-bin-mohamed-nakula/
http://webopac.pnm.gov.my/search/query?match_1=PHRASE&field_1=a&term_1=Abdullah+bin+Mohamed+%28Nakula%29&pageNumber=1
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...