SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday, 28 September 2014

[Siri 5] Pengisahan Sejarah Kelantan : Raja Bharubhasa 1335 - 1362

Pendahuluan
Raja Bharubhasa seakan-akan nama Kapten Barbossa iaitu salah satu watak dalam filem The Pirates of The Carribean yang banyak memaparkan kisah pelayaran ketika awal perluasaan kuasa imperialis barat ke wilayah Carribean. Ia mungkin kisah rekaan, namun penceritaannya mestilah melalui sumber rujukan yang dibuat oleh pengarah dan penulis skrip. Mungkin nama watak Kapten Barbossa ini kebetulan dengan nama Raja Bharubhasa seorang Raja yang berpengaruh menguasai kawasan Segenting Kra yang sinonim dikenali sebagai Langkasuka.

Berdasarkan kepada sumber sejarah yang berdasarkan kepada sumber genealogy disebut bahawa Raja Bharubhasa telah dilantik sebagai Raja Chermin ketika zaman datuknya lagi iaitu Raja Sakranta. Beliau telah dilantik sebagai Raja Langkasuka selepas bapanya, Sang Tawal mangkat pada tahun 1339.

Ketika pemerintahan Sang Tawal, kerajaan Langkasuka telah diserbu oleh Sukhothai dari Siam hingga menyebabkan beliau memindahkan pusat pemerintahan hingga ke selatan yakni di Patani. Namun, kekalahan itu telah ditebus oleh Raja Bharubahasa yang berjaya meluaskan kembali penguasaan Langkasuka menguasai beberapa bahagian semenanjung seperti Perak dan Kedah, dan beberapa bahagian Sumatera dan menguasai Champa.

1345, iaitu selepas 6 tahun kejayaan beliau meluaskan kuasa, Langkasuka dibawah pimpinannya telah tewas kepada angkatan Sukhothai dan dipaksa tunduk kepada mereka dan membayar ufti. Beliau akhirnya berundur hingga satu kawasan sekitar Bukit Panau dan hanya merajai Chermin sepertimana sebelum beliau ditabalkan sebagai Raja Langkasuka. Di sinilah beliau disebut telah memeluk Islam  dan telah menukar nama kepada Sultan Mahmud Jiddah Riayath Sa'adat us-Salam dan menamakan ibu kota Chermin sebagai Jiddah Riayath Sa'adat us-Salam yang juga membawa maksud sebagai permata. 

1357, Gajah Mada dan angkatan perangnya dari Majapahit telah menyerbu kedudukan Sukhothai di Temasik hingga berjaya mengudurkan tentera Siam itu jauh ke utara dan menghapuskan kekuasaan Sukhothai di seluruh semenanjung. Serentak dengan itu seluruh negeri Melayu dalam semenanjung telah tunduk kepada kekuasaan Majapahit, Raja Bharubahasa telah bergabung dengan angkatan Gajah Mada dan mereka memimpin angkatan perang masing-masing untuk meluaskan kuasa Majapahit hingga ke Kemboja.

Perkara ini telah membuatkan Maharaja Majapahit, Sri Maharaja Hayam Wuruk, membahagikan empayar Majapahit kepada dua, iaitu:
  • Majapahit Timur; Meliputi kepulauan dan berpusat di Ibu Kota Majapahit, Jawa Timur
  • Majapahit Barat; Meliputi Sumatera, Semenanjung, Ayuthia, dan Kemboja dan berpusat di Kelantan. bahagian ini telah dinamakan sebagai Chermin Jiddah. 



Kronologi Ringkas 
  1. Dilantik menjadi Raja Chermin semasa zaman datuknya, Sang Sakranta memerintah Langkasuka
  2. Ketika bapanya, Sang Tawal dilantik menjadi Raja Langkasuka pada 1267, Raja Bharubhasa memerintah di negeri Chermin.
  3. 1335, Raja Bharubhasa ditabalkan sebagai Raja Langkasuka menggantikan bapanya, Sang Tawal.
  4. 1345, dipaksa tunduk kepada Sukhothai dan menjadi Raja Chermin semula.
  5. 1357 bergabung dengan Majapahit dan menubuhkan Majapahit Barat.
  6. 1362 beliau mangkat dan digantikan oleh Sultan Baki Shah.

Yang jelas disini adalah jatuh bangun Raja Bharubhasa yang juga dikenali sebagai Sultan Mahmud serta proses mengenal diri yang dilalui beliau perlu kita ambil iktibar, di mana sewaktu beliau masih menggunakan nama pengenalan diri sebagai waris Empayar Sriwijaya, beliau mampu meluaskan kuasa Langkasuka. Pencerobohan oleh Sukhothai membuatkan beliau menginsafi diri dan mula menerima sinar Islam hingga menukar nama beliau dan menggunakan istilah Sultan menggantikan Raja untuk memerintah,

Perubahan ini semestinya ada penyokong dan penasihat. Perkara ini juga tidak dapat ditolak memandangkan Sayyid Hussien Jamadil Qubro merupakan iparnya.

Legasi Sang Tawal
Disebut dalam [Siri 4] bahawa Sang Tawal mempunyai 6 orang zuriat iaitu: 
  • Raja Bharubahasa / Sultan Mahmud
  • Raja Singhadhiraja / Raja Sulaiman shah ibnu Abdullah
  • Puteri Chandana
  • Puteri Tapasi
  • Dewi Durga / Adruja Wijayamala Singha / Che Siti Wan Kembang
  • Puteri Linang Cahaya
Seperti yang kita sedia maklum, Sang Tawal memerintah Langkasuka dan ia menghadapi ancaman utama daripada Sukhothai. Justeru itu, hubungan diplomatik dengan negara-negara serantau amat diperlukan dalam mengekang pencerobohan ini. Perkahwinan adalah salah satu method yang amat penting dalam hubungan diplomatik pada zaman tersebut.

Puteri Chandana dan Puteri Tapasi contohnya, telah dikahwinkan dengan Raj-Raja serantau yang pada waktu itu sudah memeluk Islam dan mempunyai struktur pentadbiran yang dominan dan mereka juga menghadapi ancaman daripada Sukhothai ini. Puteri Chandana telah dikahwinkan dengan Raja Samudera-Pasai iaitu Sultan Malik az-Zahir manakala Puteri Tapasi telah dikahwinkan dengan Raja Champa iaitu Jaya Sinha Warman

Kerajaan Samudera-Pasai pada waktu itu mempunyai hubungan yang erat dengan Kesultanan Islam di India manakala Kerajaan Champa mempunyai hubungan diplomatik dengan negara-negara seperti Kemboja dan jaraknya yang dekat dengan China. Taktik ini membolehkan Langkasuka dibawah pimpinannya menangkis pencerobohan musuh dari arah utara. Bagaimanapun, pada waktu itu, China, Kemboja, Champa dan Samudera-Pasai menghadapi masalah dalaman hingga membuatkan Langkasuka bersendirian menghadapi pencerobohan Sukhothai yang juga mempunyai hubungan dengan perluasaan kuasa Empayar Mongul yang sinonim dengan Genghis Khan. 

Raja Bharubhasa semenjak kecil telah ditabal menjadi Raja Chermin dari zaman datuknya iaitu Maharaja Sakranta. Adruja Wijayamala Singha yang juga dikenali Dewi Durga telah dianugerahkan wilayah Selatan Kelantan pada 1318 oleh Sang Tawal sebagai mengenang jasa beliau dalam menahan pencerobohan Sukhothai. Raja Singhadhiraja pula telah ditabal sebagai Raja Singora pada 1345 oleh Sukhothai, pada pengiraan kami sebagai langkah "pecah dan perintah" oleh Sukhothai. 

Pada hemat kami juga, Raja Bharubhasa, Raja Singhadirjaya dan Adruja Wijayamala Singha masing-masing menukar nama kepada nama yang lebih menjurus kepada Islam setelah Sukhothai ditewaskan oleh Majapahit serentak dengan pengukuhana Empayar Chermin dan ianya mempunyai kaitan dengan penghijrahan Alim Ulama dari Pasai ke Chermin semasa pemerintahan Sultan Mahmud dan hubungannya dengan Empayar Majapahit yang semakin berkembang pada masa tersebut. Puteri Bongsu Sang Tawal iaitu Puteri Linang Cahaya juga telah dikahwinkan oleh Raja Bharubhasa dengan Sayyid Husien Jamadil Qubra seterusnya melahirkan waris yang dikenali sebagai Wali Songo.

Wallahualam bis'sawab


Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:
  • https://www.facebook.com/PPSK2014/posts/847432621934471?reply_comment_id=847459755265091&total_comments=1
  • http://www.royalark.net/Malaysia/kelant2.htm
  • http://www.khazanahbendaharaserimaharaja.com/sayyid-hussein-jamadil-kubra.html
  • http://rawzones.blogspot.nl/2014/04/yawakotti.html
  • http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/02/empayar-chermin-kebangkitan-semula.html
  • Salasilah Raja-Raja Kelantan

Friday, 26 September 2014

[Siri 4] Pengisahan Sejarah Kelantan : Raja Sang Tawal 1267 - 1335

Kerajaan Kekuasaan Raja Sang Tawal 1267-1335

Pendahuluan
Sang Tawal adalah satu nama besar dalam sejarah Negeri Kelantan kerana beliau telah menurunkan zuriat juga merupakan salah seorang Srikandi Melayu serta digeruni iaitu Arduja Wijayamala Singha yang kemudiannya dikenali sebagai Che Siti Wan Kembang.  

Artikel ini hanya ditumpukan kepada Sang Tawal sahaja memandangkan kisah puteri beliau yang lebih mendapat perhatian. Anda boleh membaca kisah mengenai puteri ini seperti dalam pautan ini. Pada [Siri 3] yang lepas, disebutkan Raja Sakranta yang juga dikenali sebagai Raja Zainudin telah turun takhta dan menyerahkan kerajaan negeri kepada perwarisnya iaitu Sang Tawal pada 1267 atas alasan untuk menjadi rakyat biasa dan berdakwah.

Pada waktu itu, agama Islam kian berkembang dan mungkin Takhta Langkasuka pada waktu itu menolak ajaran baru tersebut. Justeru untuk mengekalkan keamanan, Raja Zainudin telah mengambil keputusan untuk meninggalkan takhtanya itu.

Siapa Sang Tawal?
Carta keturunan Raja-Raja Kelantan yang menjadi rujukan utama kami menyatakan Sang Tawal juga dikenali sebagai Raja Thilam yang memerintah Malayur dimana ramai penyelidik indie merujuk kerajaan beliau sebagai Langkasuka. Bagaimanapun di dalam Royal Ark.net menyatakan Raja Thilam sebagai Datuk kepada Sang Tawal.

Memang mengelirukan. Namun, kami tetap berpegang kepada carta keturunan yang dihasilkan oleh pengkaji sejarah Kelantan yang terdahulu. Allahyarham Ustaz Abdullah Mohamed menyatakan bahawa Sang Tawal juga dikenali sebagai Raja Thilam dan anak kepada Raja Sakranta. Anda adalah disarankan untuk menjalan perbadingan antara kedua sumber maklumat ini untuk mendapatkan lebih kepastian.

Langkasuka ketika di bawah Sang Tawal berpusat sekitar Ligor dan kekuasaannya menjangkau sebahagian Perak hingga ke Terengganu, termasuk Kelantan. Pada 1295, Angkatan tentera Siam yang diketuai Raja Ram Khamheang telah menyerang kedudukan Sang Tawal di Ligor menyebabkan beliau memindahkan pusat kerajaan Langkasuka berundur ke arah Selatan yakni di Patani.

Peperangan antara Langkasuka yang disebut Grahi oleh pengkaji Indie dengan Siam adalah satu Epik yang signifikan dalam Sejarah silam kerana ia menyaksikan buat pertama kali Srikandi Melayu yang juga puteri kepada Sang Tawal iaitu Arduja Wijayamala Singha telah menubuhkan angkatan perang yang terdiri daripada balu dan wanita yang dikenali sebagai Sriwijayamala telah turut serta dalam perang tersebut dan berjaya memenggal kepala Raja Ram Khamheang hingga membuatkan Siam berdendam kesumat dengan orang Melayu hingga kini. Kisah mengenai epik ini anda boleh ikuti disini... dan sambungannya  di sini.

Waris
Berdasarkan kepada carta Salasilah Raja-Raja Kelantan, Raja Sang Tawal mempunyai 6 orang putera dan puteri seperti berikut:
  1. Raja Bharubhasa / Sultan Mahmud
  2. Raja Singhadhiraja / Sultan Sulaiman Shah (Raja Langkasuka)
  3. Puteri Chandana kahwin dengan Raja Samudera
  4. Puteri Tapasi (Raden Galuh Anjeng) Kahwin dengan Raja Champa
  5. Dewi Durga / Arduja Wijayamala Singha / Che Siti Wan Kembang                                       (Raja Kelantan Selatan 1318-1348)
  6. Puteri Linang Cahaya kahwin dengan Sayyid Hussien Jamadil Qubra
Kisah Sang Tawal sebenarnya banyak terkait dalam pengisahan mengenai Che Siti Wan Kembang sebelum memerintah Kelantan Selatan. Seperti yang diketahui, Sriwijaya adalah satu empayar yang besar dan Langkasuka satu dari bahagian empayar tersebut. Setelah Sriwijaya runtuh, Langkasuka meneruskan legasi Sriwijaya ini di Semenanjung dan Sang Tawal adalah raja yang mempertahakan warisan ini hinggalah ia terpaksa berundur dari Ligor atas serbuan Siam yang tidak pernah mengenal putus asa itu.

Siam sebenarnya telah mengalami evolusi dimana ia pernah dinaungi oleh Dinasti Ayuthia, Sukhothai dan diganti oleh Dinasti Chakri dan sebelum itu pernah diduduki oleh kuasa besar lain sepeti Funan dan Champa serta Thambralingga, namun semuanya tidak pernah diam untuk menakluki Semenenanjung Tanah Melayu.

Sang Tawal adalah Raja yang dikenang terpaksa akur dengan kekuatan dari Utara yang menyerbu wilayahnya, mungkin kerabat beliau dari Tanah Seberang tidak sempat menghulur bantuan ekoran pergerseran dalaman kerajaan kepulauan pada masa itu. Itulah yang ditakdirkan.

Pada 1335, Raja Sang Tawal telah mangkat dan digantikan oleh puteranya iaitu Raja Bharubhasa sebagai Raja Langkasuka yang telah menamakan negeri baru iaitu Chermin.

Kesimpulan
Kerajaan Langkasuka di bawah pimpinan Sang Tawal selama 68 tahun (1267-1335) menyaksikan mereka tidak pernah sunyi diserang oleh musuh dari Utara (Siam) yang sedang meluaskan kuasa. Serangan musuh dihadapi dengan penuh berani hingga terpaksa dibantu oleh angkatan perang yang terdiri daripada Wanita yang dipimpin oleh puteri kesayangan beliau.  Raja musuh berjaya dipenggal kepalanya. Namun semenjak itu, dendam Siam kepada orang Melayu tidak pernah surut.

Dari kekalahan ini, Langkasuka telah runtuh dan penerusnya, Raja Bharubhasa telah menamakan sebuah Kerajaan baru yang bernama Chermin, janggal ditelinga, tetapi itulah yang sentiasa dikhabarkan turun temurun rakyat Kelantan.

Seterusnya, pengisahan Sejarah Raja-Raja Kelantan akan diteruskan dengan pengisahan Raja Bharubhasa.


Wallahualam bis'sawab


Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:


  • http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/01/kesultanan-kelantan-purba.html
  • http://cactuswangi.blogspot.nl/2014/02/episod-2-adruja-wijayamala-singha-siapa.html
  • http://cactuswangi.blogspot.nl/2014/05/episod-3-adruja-wijayamala-singha.html
  • http://belogmystery.blogspot.nl/2013/11/puteri-melayu-yang-dilupakan-part-1.html
  • Salasilah Raja-Raja Kelantan
  • Thursday, 25 September 2014

    [Siri 3] Pengisahan Sejarah Kelantan : Raja Sakranta 1253 - 1267

    Pendahuluan
    Pengisahan ini sebenarnya dibuat berdasarkan carta salasilah seperti pada pautan ini. Carta tersebut sebenarnya dihasilkan pada tahun 80an oleh Allahyarham Ustaz Abdullah Mohamed (Nakula) sempena ulang tahun KDYMM Sultan Ismail, Sultan Kelantan pada waktu itu. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kajian mengenai salasilah atau disebut juga sebagai genealogy boleh dilakukan secara atas talian (online) dengan merujuk kepada laman web Royalark.net yang memuatkan hampir keseluruhan salasilah keturunan Raja-Raja di seluruh dunia.

    Salasilah Raja-Raja Kelantan juga terkandung dalam laman web tersebut. Jesteru, artikel pengisahan sejarah kelantan juga merujuk kepada laman itu. Dari selidikan kami, penyumbang bahan untuk laman web yang di bawah hak cipta Christopher Buyers itu tediri daripada kalangan ahli kerabat Raja-Raja yang berkaitan. 

    Untuk Sejarah Kelantan, terdapat dua nama yang diberi penghormatan oleh Royal Ark iaitu Encik Ismadi ibni Ismail & Kartina Paris. Pasti mereka orang yang penting kepada laman tersebut hingga di beri penghormatan dalam laman itu.

    Perbezaan
    Dalam laman genealogy Royal Ark juga dinyatakan mereka juga merujuk kepada carta yang dihasilkan oleh NAKULA namun terdapat perbezaan antara dua versi ini dalam menyatakan siapa itu Raja Sakranta yang memerintah dari 1253 - 1267.

    Di dalam Salasilah Raja-Raja Kelantan disebut bahawa Raja Sakranta adalah anak kepada Raja Surendra yang juga Maharaja Jawaka. Manakala dalam Royal Ark mereka menyebut Raja Sakranta sebagai anak kepada Raja Thilam, sebaliknya dalam salasilah Raja-Raja Kelantan, Raja Thilam adalah pengganti kepada Raja Sakranta.

    Kami juga tidak boleh putuskan siapa yang betul, anda boleh bandingkan sendiri mengikut pautan-pautan yang diberikan.

    Kisah Sakranta
    Lakaran : Sultan Malikul Salleh
    Dapatan maklumat mengenai Raja Sakranta ini agak sukar memandangkan kisah beliau jarang diketengahkan kepada umum, atau kami yang tidak ditemukan dengan maklumat beliau, apa pun itulah sifat manusia yang lemah, begitu juga dengan penulis.

    Nama lain Raja Saktranta adalah Raja Zainudin juga disebut sebagai pemerintah Langkasuka. Raja Zainuddin adalah nama selepas beliau memeluk Islam yang disaksikan oleh seorang ulama dari Pasai yang dikenali sebagai Tok Loghe. 

    Tindakan drastik telah dilakukan oleh Raja Zainudin dimana beliau telah turun dari takhta dan menyerahkan kerajaan kepada puteranya iaitu Sang Tawal pada 1267 dengan alasan beliau ingin menjadi rakyat biasa dan berdakwah sekitar Nusatara.

    Sumber menyatakan bahawa Raja Zainuddin giat berdakwah dan telah dilantik menjadi penasihat Kerajaan Pasai oleh Sultan Malikul Salleh yang juga dikenali sebagai Merah Silu selama 20 tahun sehingga 1297.

    Kesimpulan
    Apa yang boleh dilihat daripada kisah Raja Sakranta atau Raja Zainudin ini adalah, Kelantan pada zaman silam juga dikenali sebagai satu dari wilayah Langkasuka yang terkenal dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang sinonim dengan Sejarah Kedah. Atas sebab itulah Kedah dan Kelantan serta negeri-negeri Melayu yang lain saling mempunyai kaitan kerana mereka berkongsi latar sejarah yang sama.

    Selain itu, terdapat juga hubungan antara Langkasuka dan Pasai yang akrab dan ia sama-sama menjadi asas hubungan diplomatik setelah Raja Zainuddin dilantik sebagai penasihat Sultan Pasai ketika itu,

    Justeru, memang tidak dapat dinafikan migrasi kebudayaan antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Sumatera (Indonesia) itu memang berlaku dan kita berkongsi sejarah dan kebudayaan yang sama. Kesan-kesan sejarah ini masih dapat dilihat sehingga kepada hari ini seperti pada Kain Batik Jawa, Wayang Kulit dan Persenjataan.

    Seterusnya, kami akan kisahkan pula akan seorang Raja yang sangat berpengaruh kepada Sejarah Raja-Raja Kelantan iaitu Sang Tawal yang melahirkan zuriat yang menjadi lagenda dalam masayarakat Kelantan iaitu Che Siti Wan Kembang.

    Lakaran : Che Siti Wan Kembang


    Wallahualam bis'sawab


    Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

    • Royal Ark
    • Salasilah Raja-Raja Kelantan
    • http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/01/kesultanan-kelantan-purba.html
    • http://xtractor.blogspot.nl/2007/11/samudera-pasai-kerajaan-islam-pertama.html

    Thursday, 18 September 2014

    [Siri 2] Pengisahan Sejarah Kelantan : Raja Surendra (Maharaja Suran) Maharaja Jawaka 1233 - 1253

    Pada Siri 1 telah disebut bahawa Raja Surendra ini adalah putera kepada Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibushana Warmadewa dan mempunyai dua orang saudara iaitu Sang Sapurba dan Ken Arok.

    Kisah Raja Suran agak kompleks untuk difahami kerana kisah mengenai raja ini penuh dikelilingi mitos yang sukar untuk dijelaskan. Namanya mempunyai unsur Hindu malah kisahnya terkait dengan benua Hindustan yang sinonim dengan India. 

    Hal ini telah menerbitkan pelbagai soalan dan ianya telah menjadi retorik dikalangan masyarakat India dan Melayu tentang migrasi bangsa India ke Tanah Melayu. Tapi bukan isu ini yang kami mahu sampaikan.

    Dalam salasilah ini disebut Maharaja Suran sebagai Maharaja Jawaka. Ramai tertanya-tanya dimana Jawaka itu?

    Topik ini sebenarnya tidak dibincangkan secara terperinci pada peringkat umum malah ianya dilabel sebagai satu topik dalam senarai KIV - Keep in View, hanya segelintir pengkaji yang memuat kisah Jawaka ini di kebanyakkan media sosial. Entah bila ianya akan dikaji dengan bersungguh-sungguh.

    Batu Bersurat Singapura

    Jawaka
    Lidah Melayu menyebut Jawa manakala lidah-lidah orang kulit putih menyebut ejaan tersebut juga berbunyi Jawa namun diejanya sebagai Java dimana konsonan "V" disebut dengan pelbagai bunyi. Namun ianya tetap merujuk kepada sebuah kawasan yang sama. Jawaka atau Javaka adalah nama lain dalam bahasa India yang merujuk kepada Sriwijaya.

    Pengisahan Sriwijaya pastinya menjadi amat panjang kerana hingga kini sejarahwan baik mereka dalam arus perdana mahupun alternatif masih memperdebatkannya. Sejarahwan Indonesia, Malaysia, Thailand dan Kemboja masing-masing memainkan peranan tersendiri dalam merungkai sejarah Sriwijaya ini.

    Apa yang menarik, pengembara Arab juga telah mengenali Jawaka ini dan mereka mencatat kerajaan ini dengan Zabaj seperti berikut:

    Seorang sudagar Arab dari Siraf bernama Sulaiman telah mengembara ke India dan China. Catatannya telah dibukukan pada pada 851 Masihi kemudian telah disunting oleh Abu Zaid Hasan dan diterbitkan dalam tahun 916 Masihi dengan nama Akhbarus –Sin Wal-Hind. Dalam buku ini, Sulaiman telah membicarakan tentang Yavadvipa atau Yava (Jawa) yang beliau nyatakan sebagai Zabag atau Zabaj. Ia memberikan gambaran yang menarik tentang negara Zabag yang dapat dirumuskan seperti berikut:
    • Kota Zabag mengadap secara langsung kearah China. Jarak antara dua negara ini dapat digambarkan sebulan pelayaran dengan cuaca yang baik.
    • Raja Kota ini terkenal dengan gelaran Maharaja. Negaranya adalah seluas 900 farsakh (5625 kilometer persegi). Disamping itu, ia memerintah pula pulau-pulau yang banyak seluas 1000 farsakh malah lebih lagi. Diantara negara-negara dibawah penguasaannya adalah Pulau Sribuza (Srivijaya) yang luasnya merangkumi 400 farsakh (meliputi sumatera selatan) dan pulau yang digelar Rami (Ramni atau Lumuri iaitu Sumatera Utara), lingkungannya seluas 800 farsakh. Juga sebahagiannya dari kepunyaan Maharaja  iaitu negara kelautan iaitu Kalah (Segenting Kra) yang terletak di tengah jalan antara China dan Arabia….. ke pelabuhan (Kalah) ini kapal-kapal dari Oman datang dan dari pelabuhan ini kapal-kapal dari Oman itu pulang.
    • Pulau dimana baginda bersemayam adalah amat subur dan didami manusia turun termurun. Dikatakan bila ayam-ayam negeri ini berkokok ketika matahari naik, sebagaimana suasana di Tanah Arab, kokok itu dijawab oleh satu sama lain sepanjang 100 farsakh, malah lebih lagi kerana kampung-kampung ini bersambung-sambung tidak berputusan. Ini bermakna negara ini dihuni oleh ramai rakyat. 
    • Kemudian Sulaiman menyifatkan adat Maharaja yang mengkagumkan. Setiap pagi, Bendahari akan menyembahkan kepada Raja seketul emas berbentuk empat persegi seperti batu bata. Kemudian baginda campakan kedalam suatu danau berhampiran dengan istana. Dalam sepanjang hidup Maharaja, tiada seorang pun yang boleh menyentuh ketulan-ketulan emas itu. Apabila mangkat, penggantinya telah mengeluarkan ketulan-ketulan emas ini dari danau. Setelah dikira dan ditimbang, emas tersebut telah dibahagi-bahagikan antara anggota-anggota keluaraga DiRaja, panglima-panglima, hamba-hamba dan orang-orang miskin. Bilangan ketulan emas ini dan jumlah berat keseluruhannya dicatat dalam catatan rasmi dan ketinggian martabat seseorang Raja berdasarkan jumlah emas yang mereka tinggalkan.
    • Diantara Khmer (Khemra atau Chen-la menurut sebutan China) dan Zabag adalah sejauh 10 – 20 hari belayar menerusi laut bergantung kepada keadaan cuaca.
    • Kemudian Saudagar Sulaiman menceritakan tentang satu peristiwa yang menyebabkan serangan Maharaja ke atas Khemra. Ringkasnya, Maharaja menyerang Khemra yang ketika itu dalam taklukan Yavadvipa kerana Raja Khemra menyatakan satu kenyataan celupar dengan menitahkan kepada Perdan Menteri Khemra bahawa baginda mahu melihat kepala Maharaja diletakan dalam ceper dihadapan beliau. Keceluparan ini telah sampai ke pengetahuan Maharaja dan baginda terus mempersiapkan angkatan laut dan menyerang Khemra. Setelah berjaya menawan Khemra, baginda telah memancung kepala Raja Khemra itu dan dibawa pulang ke Yavadvipa – diawet dan dikemaskan…kepala itu dihantar semula ke Khemra sebagai peringatan kepada Raja-Raja Khemra seterusnya supaya tidak menderhaka kepada Yavadvipa. Dalam serangan itu juga, angkatan Yavadvipa tidak mengambil satu pun harta milik rakyat Khemra. Serangan Yavadvipa itu sebagai satu tindak balas dalam menghukum ekoran niat memberontak Khemra.

    Apabila perkara ini dikhabarkan kepada pemerintah China dan India, mereka semakin kagum dengan pentadbiran Yavadvipa ketika itu.

    Setelah diteliti kenyataan ini, dapat dirumuskan bahawa kejadian ini bukan berlaku dalam abad ke-9, tetapi ia berlaku ketika abad ke-8 ketika Champa berada dibawah taklukan Yavadvipa.
    Pernyataan di atas hanyalah untuk menjelaskan tentang Jawaka yang mana telah diwarisi oleh Maharaja Suran. Semasa beliau menaiki takhta Jawaka ia sudah mengecil dan menghadapi masalah dalaman.

    Waris
    Dalam carta keturuan Raja-Raja Kelantan seperti pautan di bawah, Maharaja Suran memerintah dari 1233 hingga 1253 dan tempat beliau telah digantikan oleh pewarisnya iaitu Raja Sakranta. Carta tersebut juga menyebut Raja Sakranta juga Maharaja Jawaka.

    Wallahualam bissawab


    Pemerintah Kelantan 1233-1602

    Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di atas untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

    Rujukan
    • Sulalatus Salatin
    • http://ms.wikipedia.org/wiki/Batu_bersurat_Singapura
    • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Kelantan
    • http://en.wikipedia.org/wiki/Zabag_kingdom
    • http://sejarahkelantan.wordpress.com/2012/10/18/kelantan-purba-23-rujukan-tentang-kewujudan-yawadwipa/
    • http://www.zonasiswa.com/2014/05/sejarah-kerajaan-sriwijaya.html

    Tuesday, 16 September 2014

    [Siri 1] Pengisahan Sejarah Kelantan : Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibushana Warma Dewa hingga 1233

    Seperti yang anda dapat baca pada tajuk posting ini, ianya adalah nama kepada pemula keturunan Raja-Raja Kelantan semenjak 1100 Masihi. Kajian daripada USM telah menyatakan bahawa usia Melayu Kelantan melebihi 60,000 tahun namun sumber sejarah Kelantan menyebut bahawa keturunan Raja-Raja Kelantan bermula daripada Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibushana Warma Dewa. Sebenarnya kajian mengenai Maharaja ini lebih terkait dengan kerajaan-kerajaan tua yang pernah wujud di Indonesia. Namun begitu ia juga tidak lepas daripada salasilah Raja-Raja Kelantan.


    Asal Usul
    Hingga kini ramai pengkaji masih membuat kajian tentang asal usul beliau. Catatan mengenai Maharaja ini terpahat di Prasasti Ligor yang juga dikenali sebagai Prasasti* Grahi seperti berikut:

    ...bahawa pada tahun saka 1105 (1183), atas perintah Kamraten An Maharadja Srimat Trailokya raja Maulibhusanawarmadewa, hari ketiga bulan naik Jyestha, hari rabu, mahasenapati Gelanai yang memerintah Grahi menyuruh mraten sri nano membuat arca Budha. Beratnya 1 bhra 2 tula dan nilai emasnya 10 tamlin.

    Tiada keputusan yang khusus mengenai asal beliau. Ada yang berpendapat sebagai keturunan Sailendra dan ada mengatakan ianya berketurunan Khmer. Seperti yang diulas oleh pengkaji sejarah alternatif, Cik Srikandi yang menyatakan gelaran akhir "Maulibushana Warma Dewa"  seakan sama dengan gelaran raja Dharmasraya yang terpahat pada prasasti Padang Roco seperti yang ditemui di Sumatera. Nama raja yang terpahat di prasasti itu adalah Srimat Tribhunawaraja Mauli Warmadewa. 

    Waris
    Siapa permaisuri Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibushana Warmadewa tidaklah diketahui namun, dari salasilah keturunan Raja-Raja Kelantan, Maharaja ini mempunyai tiga orang putera iaitu:

    • Raja Surendra. Beliau juga digelar sebagai Raja Suran dan menjadi Maharaja Jawaka menggantikan bapanya dan memerintah Jawaka dari 1233 hingga 1253.
    • Sang Sapurba, Raja Palembang
    • Ken Arok, Raja Singhasari juga leluhur keturunan Singhasari dan Majapahit di Pulau Jawa.


    Jelasnya, Raja ini adalah adalah berbangsa Melayu dan mempunyai pertalian dengan Empayar Sriwijaya yang mempunyai pengaruh sejauh Kemboja - Semenanjung - Sumatera. Begitulah sedikit kupasan mengenai pemula salasilah Raja-Raja Kelantan.



    *Prasasti = Batu Bersurat
    Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di atas untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

    Rujukan:

    • [Buku] Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting, terbitan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.
    • http://halamansrikandi.blogspot.nl/2011/10/grahi-inscriptionkemboja.html
    • http://umilara.blogspot.nl/2011/02/prasasti-grahi.html
    • http://www.kidnesia.com/Kidnesia/Archive/Sejarah-Indonesia/Zaman-Pra-Kolonial/Tahun-600-799/Sekitar-Tahun-600-Kerajaan-Malayu-Jambi-Dharmasraya
    • http://id.wikipedia.org/wiki/Srimat_Tribhuwanaraja_Mauli_Warmadewa
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...