Filem Nujum Pak Belalang merupakan
antara filem lakonan Allahyarham Prof.
Tan Sri Datuk Amar Dr. Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh (P.Ramlee) yang
hingga kini diminati oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia. Lakonan allahyarham
dalam filem tersebut amat berkesan dengan menerapkan unsur satira yang mencuit
hati serta meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton.
Satu babak dalam filem tersebut apabila
Raja Masai menembak meriam betalu-talu kearah laut negeri Sultan Shahrulnizam,
sehingga menimbulkan kegemparan sekalian rakyat dan pembesar. Raja Masai
sebenarnya mahu menakluk negeri Sultan Shahrulnizam bagaimanapun penasihat
baginda sedar mereka tidak mampu dari segi angkatan tentera, jadi mereka
menggunakan helah iaitu mengadakan pertandingan antara ahli nujum Sultan
Shahrulnizam dengan ahli nujum Raja Masai dengan cagaran negeri masing-masing.
Ditakdirkan Raja Masai kalah dan tergadailah negerinya kepada Sultan
Shahrulnizam.
Kedua-dua bangunan di atas terbina hasil helah yang sama seperti dalam plot filem Nujum Pak Belalang, mungkin
plot dalam filem itu mengambil dari peristiwa yang akan kami kisahkan ini.
Bangunan-bangunan ini sebenarnya
berfungsi sebagai kuil dan ia dibina sewaktu kegemilangan kerajaan Champa yang
diperintah oleh raja-raja berbangsa Melayu pengaruh Hindu-Budha. Menurut
lagenda masyarakat Champa yang terpahat pada batu bersurat yang ditemui sekitar
Vietnam menyatakan terdapat satu kisah lagenda berkenaan Raja mereka yang
bernama Po Klaung Garai.
Sukar untuk mendapatkan maklumat tentang
tokoh Lagenda Champa ini, namun ada yang menyatakan bahawa Po Klaung Garai
merupakan seorang lelaki biasa yang hidup sebagai pengembala lembu, atas
kehendak takdir beliau telah diangkat menjadi raja bagi orang-orang Champa.
Tokoh lagenda ini dikenang orang sebilangan masyarakat Melayu Champa di Vietnam
atas kebijaksanaan beliau dalam menangani serangan daripada orang-orang
Kemboja.
Bagi mengelakkan pertumpahan darah di
kedua dua belah pihak, Po Klaung Garai mencadangkan diadakan satu pertandingan
diantara orang-orang Champa denngan orang-orang Kemboja. Sekiranya orang-orang
Kemboja kalah mereka perlu keluar dengan segera daripada Champa, dan jika orang
Champa kalah mereka perlu akur kepada Kemboja, pembinaan candi adalah subjek
pertandingan tersebut. Hasil daripada pertandingan ini adalah terbinanya candi Po Klong Garai dan candi Hoa Lai dan orang-orang Champa berjaya
menyelamatkan negeri mereka daripada pencerobohan orang-orang Kemboja pada masa
itu.
Raja Jaya Simhavarman III disebut-sebut
sebagai orang yang bertanggungjawab membina candi sempena memperingati Raja Po
Klaung Garai pada akhir abad ke-13, namun terdapat catatan menyatakan candi
tersebut dibina seawal 1030 Masihi berdasarkan kepada batu bersurat yang ditemui
pada candi Po Klong Garai yang tercatat penghargaan kepada dua putera Champa
yang memenangi pertandingan tersebut.
Jaya Simhavarman III diyakini hanya membaik pulih serta melakukan
sedikit penambahan terhadap Candi yang mendapat pengiktirafan seni bina warisan
Vietnam oleh kerajaan negara tersebut pada 1979.
Candi ini dibina dengan gaya Thap Mam Cham satu senibina orang-orang
Melayu Champa. Ia terdiri daripada tiga
menara: sebuah menara utama dengan tiga tingkat dan kedua adalah menara pintu
yang bersaiz kecil, menara ketiga pula memanjang dengan bumbung berbentuk seperti
pelana. Ringkasnya binaan, hiasan dan ukiran yang terdapat pada candi ini lebih
kepada Hindu Dewa Siva yang disifatkan sebagai Raja Po Klaung Garai oleh
orang-orang Champa, lebih menarik ia hanya dibina dengan susunan kombinasi
beratbatu-bata tanpa plaster.
Admin sebenarnya kagum dengan hasil kerja
orang-orang dahulu kerana hasil binaannya indah dan kukuh malah boleh
disaksikan hingga kesaat ini walaupun ia telah dibina ratusan tahun dahulu.
Admin juga pernah mengutarakan pertanyaan kenapa binaan sebegini tidak wujud di
negara kita terutama di Semenanjung, ada yang menyatakan pendapat bahawa binaan
sebegini wujud sebenarnya di Semenanjung namun material atau bahan binaan yang dipakai antara Champa dengan
kerajaan di Semenanjung adalah berbeza. Di Champa bahan batuan dan pasir mudah
diperolehi, manakala di Semenanjung bahan binaan yang banyak adalah kayu-kayan
memandangkan 90% Semenanjung dahulunya dipenuhi dengan pokok-pokok balak yang
bermutu tinggi. Ada lagi yang menambah bahawa bahan binaan seperti kota dan
istana di Semenanjung banyak musnah
samada faktor semula jadi mahupun peperangan dahsyat yang berlaku pada zaman
dahulu.
No comments:
Post a Comment