artikel ini disalin daripada Utusan Malaysian Online
Oleh:
WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
ADA
orang bertanya melalui e-mel tentang tulisan saya berhubung Syeikh Ali bin
Faqih al-Fathani. Adakah beliau sama dengan Andi Ali (Pakih Ali) asal usul
keturunan ramai kaum raja-raja atau bangsawan di Malaysia, terutama Kelantan,
Terengganu dan Patani. Bahawa sumber asal salasilah Andi Ali (Pakih Ali) adalah
dimulai dari tulisan Datuk Nik Mahmud bin Ismail, Perdana Menteri Paduka Raja
Kelantan.
Buku
karya Datuk Nik Mahmud bin Ismail Kelantan itu diberi judul Ringkasan Cetera
Kelantan Mengandungi Silsilah Raja-Raja Dan Tarikhnya. Syeikh Ali bin Faqih
al-Fathani (di Mempawah) adalah lain dari Andi Ali (Pakih Ali) yang
diriwayatkan oleh Datuk Nik Mahmud bin Ismail Kelantan. Tetapi Andi Ali (Pakih
Ali) ada kemungkinan personaliti yang sama dengan Syeikh Faqih Ali al-Fathani
yang dimuat dalam artikel ini.
Walau
bagaimanapun Andi Ali (Pakih Ali) ada riwayat mengatakan berasal dari Malabar
(India). Riwayat lain menyebut adalah salah seorang anak raja yang berasal dari
negeri Bugis (Sulawesi). Anda yang mengirim e-mel dan semua peminat saya
ucapkan terima kasih, jawapan akan ditemui dalam artikel ini, sekiranya dibaca
dengan cermat dan menghayatinya.
Nama
lengkap tokoh dan ulama yang diriwayatkan ini ialah Syeikh Faqih Ali bin Wan
Muhammad al-Fathani bin Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih al-Abbasi. Beliau
adalah cucu salah seorang penyebar Islam peringkat awal di Patani, iaitu Syeikh
Shafiyuddin. Syeikh Shafiyuddin adalah salah seorang keturunan Khalifah Bani
Abbas yang datang menyebar Islam di Aceh.
Datuk
nenek Syeikh Shafiyuddin telah lama tinggal di Aceh, tetapi beliau sendiri
meneruskan dakwah ke bumi Patani. Setelah di Patani lalu diberi gelar dengan
Tok Raja Faqih. Dalam penelitian saya bahawa Syeikh Shafiyuddin keturunan Bani
Abbas adalah sahih sedang versi yang satu lagi, yang menyebut bahawa Syeikh
Shafiyuddin adalah anak Faqih Ali al-Malabari atau pun anak Raja Bugis masih
diragukan kerana belum cukup hujah.
Syeikh
Shafiyuddin al-Abbasi atau Tok Raja Faqih memperoleh dua orang anak iaitu; Raja
Ducang Bukit Jala bergelar Raja Fathani Long Cang. Seorang lagi bernama Wan
Muhammad bergelar Orang Kaya Seri Akar Diraja Mahaputeri Bagi Sultan Digalang
Ismail Zhillullah fil Alam. Wan Muhammad memperoleh enam orang putera, iaitu;
1. Datuk Pujut (Pujuk Wan Cang, bergelar Raja Luqman). 2. Wan Jaharullah. 3.
Ratu Saiburi. 4. Datuk Long Tarat. 5. Syeikh Faqih Ali, yang dibicarakan dalam
rencana ini dan 6. Long Yunus.
PANGKAT DAN KEDUDUKAN
Mulai
dari Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi, Wan Muhammad dan Syeikh Faqih Ali mempunyai
pangkat dan kedudukan yang tinggi dalam kerajaan Fathani Darus Salam. Syeikh
Faqih Ali menyandang gelar Datu Maharajalela. Bererti pada zamannya beliau
bertugas seperti Perdana Menteri. Anak saudara beliau, iaitu Wan Abdul Lathif
bin Raja Luqman bin Wan Muhammad menyandang pangkat Wazaratul Harbiyah (Menteri
Pertahanan). Pada tahun 1632 terjadi serangan dahsyat tentera Siam terhadap
Patani. Syeikh Faqih Ali al-Fathani atau Datu Maharajalela dan beberapa orang
pembesar terpaksa hijrah ke Bugis di Sulawesi Selatan.
Dari
sumber tanah Bugis pula, Roeli Sanre dalam Mutiara, 280, 27 Oktober - 9
November 1982, hlm. 30, menulis, “Tahun 1632 pada masa pemerintahan I Mengarangi
Daeng Manrabbi, Raja Gowa XIV, datang lagi serombongan raja dari Patani yang
dipimpin oleh Datuk Maharajalela membawa dua keponakannya, Paduka Raja dan
Puteri Senapati. Kedatangan mereka sekaligus memboyong simbol tahta kerajaan
Patani, sebuah bendera emas, yang oleh keturunan Melayu di Ujungpandang,
disebut Datuk Buluh Perindu.”
Dalam
sepucuk surat dari Bapak Arena Wati (Sasterawan Negara) kepada saya (tahun
1982, sewaktu beliau sebagai Karyawan Tamu Yayasan Sabah), beliau menyebut
bahawa khazanah kerajaan Patani yang tersebut masih tersimpan dengan baik oleh
kerajaan Bone.
Dari
sumber yang lain, Kenallah Sulawesi Selatan juga menyebut perkara yang sama.
Bahkan dinyatakan pula bahawa Datu Maharajalela, Patani, menjadi ketua
orang-orang Melayu di Sulawesi Selatan. Pada zaman itu ramai orang Melayu yang
datang dari pelbagai tempat dari seluruh negeri-negeri Melayu di Makasar. Dari
sini dapat kita fahami bahawa Syeikh Faqih Ali atau Datu Maharajalela Patani
adalah seorang yang berpengaruh dan berwibawa sehingga beliau dilantik menjadi
Ketua Melayu di negeri Bugis itu.
Bahkan
bukan hanya itu saja, diriwayatkan bahawa keturunan Syeikh Faqih Ali atau Datu
Maharajalela berperanan aktif dalam perang melawan penjajah Belanda di Sulawesi
Selatan ketika Sultan Hasanuddin dikepung oleh Belanda di bawah pimpinan
Admiral Spelman keturunan pembesar Patani itu bangkit mengadakan perlawanan.
Sikap anti penjajah mereka bukan hanya di negeri sendiri saja tetapi juga di
negeri perantauan.
Ada
riwayat lain yang ceritanya hampir serupa dengan di atas bahawa Datu Mustafa
mempunyai anak bernama Ali digelar dengan Tok Koda Bonang. Beliau ini
mengembara di tanah Bugis, di Sulawesi Selatan juga. Setelah beberapa lama di
tanah Bugis beliau pulang ke Patani pada masa pemerintahan Raja Ungu (1624 -
1635 M). Ali inilah yang dikatakan menggantikan Faqih Ali al-Malabari yang mati
terbunuh dalam perang antara Patani dengan Siam tahun 1634. Faqih Ali
al-Malabari digelar dengan “Temenggung Seri Paduka”, sedang yang menggantinya
digelar dengan Datu Seri Maharajalela.
Versi
riwayat lain yang ceritanya hampir serupa pula seperti yang ditulis oleh Datuk
Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan, kata beliau, “Syahdan
pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah anak raja
Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan
tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali.
Tatkala
Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai
anak angkatnya. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan
Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun
beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damid Bira pada tahun 1049 H
(kira-kira bersamaan dengan tahun 1639 M). Maka kerana lemah lembut tingkah
lakunya dan berpelajaran, orang di Patani memanggilnya, Faqih Ali. Di situ ia
beristeri kepada Cik Dewi anak Seri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani
kira-kira tahun 1637 H (tahun yang diberikan kemungkinan keliru, seharusnya
ialah tahun 1049 H/1639 M).”
Setelah
membanding semua kisah di atas dan pelbagai maklumat lain yang tidak dinyatakan
di sini, saya menyimpulkan bahawa yang bernama Syeikh Faqih Ali al-Fathani
kemungkinan terdapat beberapa orang atau pun hanya seorang saja. Iaitu Syeikh
Faqih Ali al-Fathani bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi.
Mengenai ini dapat dibuktikan dari hasil karya beliau yang berjudul Tarikh
Patani.
TARIKH
PATANI
Berdasarkan
maklumat dalam manuskrip Tarikh Patani, Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin
Syeikh Shafiuddin al-Abbasi sendiri menyebut bahawa kandungan asal Tarikh
Patani adalah dari sebuah karya dalam bahasa Arab yang ditulis oleh datuk
beliau Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih. Syeikh Faqih Ali menterjemah kitab
bahasa Arab itu ke bahasa Melayu serta menambah kandungannya dengan beberapa
peristiwa yang beliau ketahui. Tarikh Patani karya Syeikh Faqih Ali tersebutlah
sejarah Patani yang pertama sekali yang dapat kita pelajari sekarang ini.
Walau
bagaimanapun manuskrip yang asli tidak ditemui, yang ada sekarang ialah salinan
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Syeikh Daud membuat salinan dalam tahun
1228 H/1813 M. Salinan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu disalin pula
oleh salah seorang murid beliau ialah Syeikh Wan Muhammad bin Zainal Abidin
al-Fathani atau lebih dikenali sebagai Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa
al-Fathani. Salinan Syeikh Muhammad Zain itu telah saya perbanyak sama ada
dalam bentuk asli mahu pun transliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Rumi.
Kata
pengantar
Dalam
manuskrip Tarikh Patani terdapat dua kata pengantar (mukadimah). Mukadimah yang
pertama oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan mukadimah yang kedua oleh
pengarangnya, Syeikh Faqih Ali al-Fathani. Di antara tulisan Syeikh Daud bin
Abdullah al-Fathani pada mukadimah, “Ini suatu risalah aku salin
daripada Syeikh Faqih Ali iaitu Tarikh Patani pada zaman lama. Bahawasanya
tarikh lama itu boleh kita tahu akan manusia zaman dahulu di negeri ini. Tarikh
zaman lama itu tiada ada lagi dikarang di negeri Patani melainkan susunan Tuan
Syeikh yang mulia ini. Boleh terhimpunkan dengan sempurna.
“Kefaedahannya
ialah boleh mengetahui perihal keadaan orang zaman dahulu hingga sampai ke
zaman kita Atau zaman jahil dengan zaman nur ... Boleh kita kenal dan nampak
bahawasanya orang Melayu zaman dahulu, apakah duduk dalam tanah bumi ‘Patani’
ini ? Maka negeri lama di tanah Melayu ini ialah di kawasan Kedah dan Patani,
dan Senggora, dan Legor. Termasuk juga negeri ‘Cahaya’ (sekarang Cayya) di sebelah
hilir. Sekelian zaman purbakala, belum masuk Islam Dan seumpamalah dengan zaman
belum zahir negeri Islam di tanah Arab....”
Mukadimah
Syeikh Faqih Ali al-Fathani adalah seperti berikut, “Perhamba seorang yang tak
berguna, lagi hina, Syeikh Faqih Ali bin Muhammad bin Shafiyuddin dititah oleh
sultan banyak kali dah (maksudnya: sudah, pen:) supaya mengarang dan menyusun
Tarikh Fathani kerana takut hilang riwayat kisah-kisah purbakala. Dan perhamba
pun ikhtiar mengikut titah sultan yang mulia. Bahawasanya sultan memberi
riwayat kisah-kisah sangat banyak dan boleh tulisan-tulisan peringatan zuriat-zuriat
orang- orang tua titih (maksudnya: keturunan, pen:) Raja Patani asli kurun yang
lama. Maka bahasa-bahasa[nya] tiada perhamba mengetahui setengah-setengahnya.
Maka adalah seorang Legor agama Budha dia terjemah dapat banyaklah kepada
perhamba. Dan raja pun hadiah tanah kepada orang tua itu....”
Setelah
itu Syeikh Faqih Ali al-Fathani menyatakan pula, Syahdan ada tulisan bahasa
Arabiyah daripada nenek perhamba Syeikh Shafiyuddin, maka bahasa Arabiyah ini
perhamba fahamlah dan senanglah ambil maknanya. Dan ada seorang datang dari
Bogor, iaitu seorang yang asalnya dari Bogor, Jawa duduk tumpang Sultan Patani.
Dan dia tahu bahasa Jawa. Dan banyaklah dia tolong perhamba.
“Perhamba
mengucap syukran kepadanya banyak-banyak. Dan lama membuat ini risalah Tarikh
Patani, alhamdulillah dengan ditakdirkan Allah Taala hasilnya sekadar perhamba
boleh. Dan mana salah itu tentu ada dengannya. Harapkan betul dengan ikhlas
sahaja. Kerana salah bagi makhluk tentu ada. Dan perhamba payah sangat-sangat
hendak karang ini tarikh....”
No comments:
Post a Comment