SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday, 30 November 2014

[Siri 37] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Ahmad 1886-1890

Pendahuluan
Sebelum tuan-tuan melanjutkan pembacaan mengenai Sultan Ahmad yang memerintah Kelantan dari 1886 hingga 1899, kami ingin mengajak anda sekalian untuk menyoroti keadaan politik semasa Kelantan. Kelantan menjadi sebuah wilayah naungan Siam selepas Sultan Muhammad I berjaya menyingkirkan pengaruh Terengganu di Istana Kelantan. Pengaruh Siam semakin dominan dan kuat di Kelantan semasa pemerintahan Sultan Muhammad II  dan Siam juga memainkan peranan penting dalam menamatkan Perang Saudara 1835-1838

Jelas disini, sesiapa yang berjaya meraih kasih sayang dari Bangkok akan mendapat perhatian dan sokongan yang kuat dari Raja Siam dalam hal pemerintahan negeri. Kerajaan Siam yang berpusat di Bangkok juga menghadapi ancaman untuk mengekekalkan survival mereka kerana dalam tempoh masa 1800-1900 pengaruh imperialis dari Barat semakin menekan terutama daripada British. 

Sultan Muhammad II mempunyai empat orang isteri, bagaimanapun beliau ditakdirkan hanya mempunyai 3 orang zuriat, namun terdapat percanggahan maklumat yang telah dinyatakan dalam Siri 36.

Latar Belakang
Berdasarkan kepada Royal Ark.net, Tuan Long Ahmad [Tuan Sulong] merupakan putera sulung kepada Sultan Muhammad II hasil dari perkahwinan dengan Sultanah Batoh', baginda diputerakan pada 20 November 1831. Pada 1860, beliau telah dianugerahkan gelaran Tengku Besar oleh ayahandanya, pada tahun yang sama, Raja Rama IV telah menganugerahkan gelaran Phraya Rajadipati Putrapurutravisesa. Kemudian beliau telah dilantik oleh Kerajaan Siam selaku penaung kepada Kerajaan Kelantan pada masa tersebut sebagai Gabenor Siam di Kelantan pada 14 Jun 1869 dengan gelaran  Phraya Rajadipati Putrapurutravisesa Pradisvara Rajanarubadindra Surindra Ravivamsa.

30 Oktober 1886, beliau telah menaiki takhta Kelantan menggantikan ayahandanya yang mangkat dan baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan dan Yang diPertuan Besar Kelantan dengan gelaran Paduka Sri Sultan Ahmad. Baginda mempunyai 9 orang Isteri dan dikurniakan seramai 27 orang Putera (14) dan Puteri (13).

Sumber dari ensiklopedia bebas, Wikipedia menyebut Sultan Ahmad sebenarnya adalah putera tengah kepada Tengku Muhammad ibni Sultan Mansur Riayat Syah I, Sultan Terengganu 1733-1793, nama asal baginda adalah Tengku Ahmad. Baginda mempunyai hubungan dengan Sultan Muhammad II apabila belaiu berkahwin dengan puteri Sultan Muhammad II yang bernama Tengku Sulong. Pautan wikipedia tersebut menyatakan Sultan Muhammad II mempunyai Dua orang Puteri dan Seorang Putera, manakala dalam Royal Ark.net menyatakan Baginda mempunyai Dua orang Putera dan Seorang Puteri. 

Sumber dari Wikipedia tersebut menyatakan bahawa Kesultanan Kelantan pada hari ini adalah berdasarkan kepada warisan daripada Tengku Ahmad yang bersusur galur dari Kesultanan Terengganu dan perwaris sebenar adalah Tengku Long Abdul Jaafar [Tuan Long Ghafar].

Kepastian
Sebagai kepastian, kami telah menyemak maklumat dalam Royal Ark.net (Terengganu) berkenaan waris dan zuriat Tengku Muhammad, yang merupakan menantu kepada Paduka Sri Sultan Long Yunus, beliau telah ditabalkan sebagai Yang diPertuan Negeri Kelantan, setelah Terengganu memenangi perang dengan Kelantan ketika dipenghujung pemeritanhan Long Yunus. Tengku Muhammad berada di takhta Kelantan selama 5 tahun yakni dari 1795-1801, setelah itu beliau telah disingkirkan oleh putera-putera Long Yunus yang diketuai oleh Long Muhammad yang kemudiannya dimasyhurkan sebagai Sultan Muhammad I. 

Rekod di Royal Ark.net, Tengku Muhammad telah berkahwin dengan buat pertama kali dengan Encik Engku Tuan Nawi binti alMarhum Sultan Long Yunus, manakala perkahwinan kali kedua beliau tidak dinyatakan dengan jelas. Beliau telah dikurniakan 5 orang Putera dan 3 orang Puteri seperti berikut:

  1. Tengku Salim
  2. Tengku Ahmad
  3. Tengku Zainal Abidin
  4. Tengku Haji Mansur
  5. Tengku Endut
  6. Tengku Sulong (Puteri)
  7. Tengku Halija
  8. Tengku Halima

Ternyata memang wujud nama Tengku Ahmad bin Tengku Muhammad dan ini bertepatan dengan dakwaan yang dinyatakan dalam wikipedia itu. Bagaimanapun, genealogy Tengku Ahmad dalam salasilah Terengganu tidak menyatakan dengan jelas isteri dan anak beliau. Hal ini telah menjadikan fakta itu kurang tepat untuk digunakan dalam isu tuntutan takhta Kesultanan Kelantan.

Royal Ark.net (Kelantan) pula menyatakan Sultan Ahmad yang juga dikenali sebagai [Sultan Tengah] merupakan putera sulung kepada Sultan Muhammad II dan ianya langsung tidak terkait dengan Kerabat Terengganu.

Kelonggaran fakta inilah telah membuka peluang kepada pihak yang berkepentingan untuk mengemukakan tuntutan kepada Kerajaan dan Kesultanan Negeri Kelantan dan ia mencetuskan kekecohan dikalangan masyarakat negeri Kelantan pada masa tersebut (1990an).

Waris dan Zuriat
Sepanjang hayat Paduka Sri Sultan Ahmad, baginda telah berkahwin sebanyak 9 kali dan mempunyai 27 orang putera dan puteri seperti berikut:

Isteri (yang direkodkan)
  1. Engku Selia Raja (Bercerai)
  2. Tuan Mika
  3. Nik Embong
  4. Nik Halima

Putera
  1. Tengku Long Muhammad [Tuan Long Kundur] - Pengganti Sultan Ahmad
  2. Tengku Long Mansur [Raja Muda]
  3. Tengku Long Muhammad Salleh [Tuan Leh], Tengku Temenggong
  4. Tengku Tuan Besar Tuan Long Mahmud [Tuan Mamat], Tengku Sri Maharaja Tua
  5. Tengku Long Sulaiman [Tuan Man], Tengku Sri Pekerma Raja 
  6. Tengku Besar Long Muhammad Yusuf [Tuan Soh], Tengku Besar Indera Raja
  7. Tengku Chik Tuan Abdullah [Engku Chik], Tengku Bendahara
  8. Tengku Long Muhammad Patani
  9. Tengku Tuan Long Idris [Engku Tuan Long Deris], Tengku Petra Semerak
  10. Tengku Long Yaakub
  11. Tengku Abdul Rahmad, Tengku Sri Ismara Raja
  12. Tengku Ibrahim
  13. Tengku Long Aris [Puteh]
  14. Tengku Abdul Kadir [Tuan Kub]

Puteri
  1. Tengku Puteh
  2. Tengku Maryam, Tengku Kembang Petri
  3. Tengku Besar Maimuna
  4. Tengku Biru
  5. Tengku Jamila [Tuan Wok]
  6. Tengku Besar Amina, Tuan Nang Minah
  7. Tengku Zainab
  8. Tengku Kalsom [Tengku Bongsu][Tengku Som]
  9. Tengku Halima [Tuan Chik Limah]
  10. Tengku Sapiah [Tuan Yah]
  11. Tengku Merah [Tuan Amri]
  12. Tengku Sharifa [Tengku Tengah], Tuan Kembang
  13. Tengku Zubaida [Tengku Bongsu]
Sultan Ahmad telah mangkat di Istana Jahar, Kota Bharu pda 8 Mac 1890 dan dimakamkan di Makam diRaja, Kampung Langgar. 

Kesimpulan
Catatan utama mengenai Sultan Ahmad menyatakan baginda adalah putera kepada Sultan Muhammad II dengan Sultanah Batoh', Raja Perempuan Kelantan. Percanggahan maklumat antara genealogy Kesultanan Kelantan dan Terengganu pada era tesebut menyebabkan kedudukan Sultan Ahmad goyah dan ia telah dicabar oleh pihak yang berkepentingan. Pihak tersebut juga menyatakan bahawa perwaris yang sah adalah Tengku Long Abdul Jaafar, mereka menjelaskan bahawa ketika Sultan Muhammad II mangkat, Long Abdul Jaafar [Tuan Long Ghafar] baru berusia 9 tahun dan tempat beliau diganti sementara oleh Tengku Ahmad yang merupakan ipar Tuan Long Ghafar. 

Apa yang pasti, usaha pihak yang berkepentingan tersebut telah menemui jalan buntu apabila Mahkamah menolak rayuan mereka dan kes berkenaan telah diserah kepada Majlis Perajaan Negeri Kelantan untuk pertimbangan Majlis tersebut.

Istana Jahar - alMarhum Sultan Ahmad 1886-1890. Baginda direkodkan telah mangkat di Istana ini.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:
  • http://thekelantaninsider.blogspot.nl/2010/12/isu-penganugerahan-gelaran-dato-oleh.html
  • https://groups.yahoo.com/neo/groups/beritamalaysia/conversations/topics/43011
  • http://tengkuiskandar.blogspot.nl/
  • http://mutaqinqubra96.blogspot.nl/2011/04/yam-tengku-iskandar-tengku-ahmad-vs.html
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Ahmad,_Kelantan
  • http://www.royalark.net/Malaysia/treng4.htm
  • Royal Ark.net
  • Salasilah Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait

Friday, 28 November 2014

[Siri 36] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Muhammad II 1838-1886

Pendahuluan
Nama Sultan Muhammad II sebenarnya tidak begitu menonjol dalam sejarah Kelantan kerana rakyatnya lebih mengenali sosok nama Long Senik Mulut Merah. Kisah hidup beliau penuh dengan kontroversi yang ditimbulkan oleh ramai penulis sejarah kontemporari. Carian maklumat mengenai Sultan Muhammad II senang diperolehi memandangkan ia banyak ditulis dan diterbitkan secara bercetak atau elektronik. 

Artikel ini ditulis untuk menyoroti secara ringkas mengenai baginda dari aspek sebelum menjadi Sultan kerana ia adalah satu tempoh yang signifikan untuk kita ketahui kerana pada waktu beliau telah mencatatkan berlakunya Perang Saudara ekoran perebutan takhta. Selain itu, kami juga akan cuba menyelidik akan hubungan baginda dengan Siam sehingga pihak tersebut begitu menyebelahi beliau dalam Perang Saudara 1835-1838 itu.

Latar Belakang
Umum mengetahui, Long Senik Mulut Merah adalah anak angkat kepada Sultan Muhammad I yang memerintah Kelantan pada 1801-1835. Bapa kandung beliau adalah Long Tan@Long Hitam yang juga adik kepada Sultan Muhammad. Long Tan telah mangkat sebelum Sultan Muhammad, beliau adalah orang yang penting dalam membantu Sultan Muhammad menyingkirkan pengaruh Terengganu dari Istana Kelantan pada 1801.

Long Tan adalah orang yang mendapatkan bantuan orang-orang China di Hulu Kelantan pada masa tersebut untuk sama-sama menentang pendudukan Terengganu. Setelah berjaya mengusir Terengganu, Long Tan telah dianugerah Hulu Kelantan sebagai kawasan pentadbiran dengan gelaran Tengku Temenggong Aria Pahlawan di Galas pada 17 November 1801. Sultan Muhammad pula mendapatkan sokongan Siam untuk mengukuhkan pemulihan kuasa, setelah itu Kelantan bernaung di bawah Siam dan membayar Ufti kepada Negara Gajah Putih itu. Hubungan dengan Siam makin kukuh dengan penganugerahan gelaran kebesaran kepada putera-putera Long Yunus setelah pengusiran Terengganu, Long Tan turut menerima anugerah dari Siam dimana beliau telah digelar sebagai Phra Temenggung oleh Raja Rama I pada 1812.

Beliau mempunyai beberapa orang anak iaitu:

  1. Tengku Tuan Sulong
  2. Tengku Long Nik
  3. Tengku Senik
  4. Tengku Long Senik [Mulut Merah]
  5. Tengku Bongsu Bachok
  6. Tengku Raja (Puteri)
Sumber menyatakan setelah Long Tan mangkat, Sultan Muhammad telah menjadikan Tengku Long Senik Mulut Merah dan Tengku Bongsu Bachok sebagai anak angkat baginda memandangkan beliau tidak mempuyai zuriat. 

1835, Sultan Muhammad I telah mangkat dengan meninggalkan Kesultanan Kelantan tanpa perwaris yang sah. Keadaan ini telah menyebabkan huru hara ekoran daripada perebutan kuasa antara tiga pihak iaitu:

  • Raja Bendahara Banggul, Long Jenal
  • Raja Muda Kampung Laut, Long Ismail
  • Anak angkat Sultan, Long Senik Mulut Merah
Di atas kertas kita boleh lihat, sepatutnya Raja Muda yang menaiki takhta kerana beliau adalah pemangku Raja, dan Bendahara berkedudukan yang kedua selepas Raja Muda. Namun dalam hal ini, Long Jenal selaku Raja Bendahara telah menaiki takhta Kerajaan Kelantan berikutan beliau adalah putera alMarhum Sultan Long Yunus yang paling tua yang masih hidup pada masa tersebut. Perkara ini pula ditentang oleh Long Ismail yang juga Raja Muda pada masa itu, dan tidak ketinggalan Long Senik Mulut Merah turut serta dalam perebutan kuasa ini, berikutan beliau juga adalah kerabat yang secara tidak langsung mempunyai hak keatas takhta.

Perang Saudara
Kemelut perebutan takhta ini telah menyebabkan Kerajaan Siam campur tangan. Siam bertindak selaku kerajaan penaung memainkan peranan untuk mendamaikan perebutan takhta itu dengan tujuan untuk mengekalkan keamanan serantau, sekiranya Siam tidak bertindak begitu, berkemungkinan hal tersebut akan merebak ke negeri Melayu yang juga jajahan Siam di selatan itu. 

Siam telah memihak kepada Long Senik Mulut Merah dan menyokong pertabalan baginda sebagai Raja dan Yang diPertuan Negeri Kelantan disamping memerintah secara bersama dengan Long Jenal pada Julai 1838. Pada tahun tersebut, Long Ismail, Raja Muda Kampung Laut telah mangkat dan tempatnya diganti oleh puteranya Long Muhammad yang lebih dikenali sebagai Tuan Besar.

Walaupun baginda mendapat sokongan daripada Siam selaku Sultan Kelantan, baginda masih merasa curiga terhadap kehadiran putera kepada Long Ismail, Raja Kampung Laut yang juga sepupu baginda iaitu Tuan Besar, Long Muhammad  dalam politik Kelantan pada masa tersebut. Tambahan hubungan rapat antara Tuan Besar dengan Long Jenal menimbulkan kebimbangan, baginda juga berpendapat sekiranya Tuan Besar tidak disingkirkan dari politik Kelantan, selagi itulah kedudukan baginda tidak kukuh. Tuan Besar tidak diberikan jawatan penting dalam Kerajaan Kelantan pada masa tersebut berikut kebimbangan ini. Terdapat ura-ura untuk melantik Tuan Besar sebagai Raja Bendahara, namun tawaran itu tidak disampaikan secara langsung kepada beliau, sebaliknya jawatan-jawatan penting di istana disandang oleh mereka yang bukan daripada kerabat diRaja. Sebaliknya Sultan Muhammad II telah melupuskan hak Tuan Besar ke atas Kampung Laut, dan ini menjadi punca utama tercetusnya perang  secara terbuka antara Long Senik Mulut Merah dengan Tuan Besar. 

Perang Saudara ini juga telah menyebabkan Kapal Dagang dari Singapura terkandas di Kota Bharu dan secara tidak langsung telah melibatkan campurtangan Inggeris dalam negeri Kelantan. Hal ini ada dicatatkan dalam buku Kisah Pelayaran Abdullah Munsyi ke Kelantan. Abdullah Munsyi telah memperincikan dengan jelas dalam buku tersebut mengenai peperangan yang tiada penghujung itu, apa yang menyedihkan ianya melibatkan rakyat yang tidak berdosa.

Kedua-dua pihak telah menghubungi Kerajaan Siam untuk menyelesaikan konflik tersebut. Pertengahan 1839, Siam telah menghantar wakilnya untuk berunding dengan kedua-dua pihak namun usaha itu menemui kegagalan. Tidak lama setelah itu, yakni pada 7 Julai 1839, wakil siam telah datang dengan sejumlah askar Siam. Ketua Wakil Siam itu telah mengarahkan peperangan itu dihentikan dengan serta merta dan meminta kedua-dua pihak berangkat ke Songkhla untuk rundingan damai. Setibanya mereka di Songkhla, Tuan Besar telah diarahkan ke Bangkok untuk menghadap Raja Rama bagi rundingan secara terus. Dalam hal ini, Siam lebih memihak kepada Long Senik sewaktu Tuan Besar dalam perjalanan ke Bangkok, baginda telah berpatah balik dengan sejumlah askar Siam dan menjelang Ogos 1839, pertahanan Tuan Besar di Kampung Laut telah berjaya ditumpaskan dan perang saudara itu telah berjaya ditamatkan.

Pada tahun tersebut, Kerajaan Siam telah memperakui kedaulatan Long Senik dan baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Muhammad II dan telah memberi gelaran Phaya Visit Bakdiya Sri Sultan Muhammad Ratna Nuchitra Sri Sudhana Buwanabakdi Varman Phya Kelantan (Pipitpakdi Sri Sultan Muhammad Ratna Nuchit Siti Santun Bua Bahdi Wangsia Pia Kelantan). 

Tuan Besar pula telah menerima tawaran Raja Rama untuk menjadi Raja Patani menggantikan Nik Yusuf yang telah dilantik sebagai Raja Jering dengan hati yang berat memandangkan kuasanya di Kelantan sudah merosot dan ramai pengikutnya telah berpaling tadah. Long Jenal pula telah dilantik sebagai Menteri di Wilayah Nongchik dan mangkat di sana.

Hubungan dengan Siam
Hubungan diplomatik antara Siam dengan Kelantan bermula semenjak pemerintahan Sultan Muhammad I 1801-1835, dan ia berterusan dengan pihak Siam menghulurkan bantuan dan sokongan kepada Long Senik Mulut Merah mendapatkan takhta Kelantan setelah kemangakatan Sultan Muhammad I. 

Setelah Long Senik ditabalkan menjadi Raja Kelantan pada 1838, pengaruh Siam makin kuat malah Siam lebih memihak kepada baginda dalam konflik pengukuhan kuasa dengan Tuan Besar. Geopolitik Kerajaan Melayu juga mengalami perubahan ketara kerana pada masa tersebut British telah memainkan peranan mereka dalam perluaskan kuasa Imperial. Justeru, Siam telah bertindak memberi sokongan kepada Kelantan untuk mengimbangi kuasa British di Selatan, sekiranya Siam tidak mengambil berat akan hal ehwal di Kelantan, kemungkinan besar British akan lebih berpeluang menduduki Kelantan. 

Perang Saudara 1838, telah memberi isyarat jelas kepada British bahawa Kelantan adalah negeri naungan Siam tidak seperti negeri-negeri Selat yang telah mereka duduki. Justeru, British tidak memberi tumpuan yang berat kepada negeri-negeri Pantai Timur.

Setelah tamat perang tersbut, Siam telah meninggikan taraf Sultan Muhammad II dengan gelaran Phraya Deva Kelantan pada 1845. Kerajaan Siam yang ditadbir oleh Raja Rama V pula telah menganugerahkan gelaran Phraya Dejanujitha Mahesvara Rajanukula Vibunlayabakdi Sri Sultan Muhammad Rattanatada Mahaphadana Adikara of Muang Kelantan (Phraya Dechanuchit Mahitsa Rajanukula Wibunlaya Phakdi Sri Sultan Muhammad Rattanathada Mahapathanathikan Pusamkan Mebun Kelantan) pada 4 Mac 1877. Setelah mendapat gelaran ini, kedaulatan beliau lebih kukuh 

Waris
Sultan Muhammad II dicatakan mempunyai empat orang isteri iaitu:
  • Sultanah Batoh [To'] binti Tuan Long Yusuf [Tuan Besar], menjadi Sultanah pada 4 Mac 1877
  • Engku Puteri Neng binti Engku Long Seri, Raja Perempuan Gunung
  • Nik Embong
  • Ku Senik Tendong, Raja Perempuan II
Dari perkahwinan tersebut, Sultan Muhammad II telah dikurniakan tiga orang zuriat, dan disini mendapat percanggahan antara Royal Ark.net dengan beberapa sumber yang banyak tersebar di internet. Royal Ark menyatakan Baginda Sultan mempunyai 2 orang Putera dan 1 Puteri seperti berikut:
  • Tuan Long Ahmad [Tuan Sulong], Tengku Besar, Putera dengan Sultanah Batoh'
  • Tengku Long Abdul Jaafar [Tuan Long Ghafar], Tengku Temenggung, Putera dengan Ku Senik Tendong
  • Tengku Putri Cik [Engku Na Nik]
Sumber Internet yang menjadi rujukan umum adalah Wikipedia dan ia turut dimuatkan mengenai perihal zuriat Sultan Muhammad II, ia menyatakan zuriat baginda adalah 2 Puteri dan 1 Putera seperti berikut:
  • Tengku Puteri@Long Sulung berkahwin dengan Tengku Ahmad (Terengganu)
  • Tengku Puteri Che'@Engku Na Nik (Tengku Raja Patani)
  • Tuan Long Ghafar (Tengku Temenggong/Tengku Petra Dalam Kebun)
Kesimpulan
Long Senik Mulut Merah merupakan satu nama yang menjadi ikon dalam sejarah negeri Kelantan, nama baginda juga salah satu nama yang sering diingati oleh rakyat Kelantan sepanjang zaman. Baginda mempunyai kisah berliku dan hidup dalam negeri yang penuh liku dan pancaroba. Beliau benar-benar diperkaui sebagai Sultan Kelantan pada 1877, dalam tempoh itu Kelantan berada dalam keadaan yang getir, hingga satu masa orang Inggeris menganggap Kelantan sebagai The Forbidden State berikutan kawalan ketat yang dikenakan oleh pihak Istana dalam mengekang kemasukan orang luar.

Bagaimanapun, terdapat sedikit percanggahan berkenaan zuriat baginda, walaupun percanggahan ini kecil tetapi ia memberi impak besar dalam Kesultanan Kelantan hingga ia menjadi satu kontroversi dalam kalangan kerabat Kesultanan Kelantan dalam dekad 1990an.


Gambar : Senjata ini dikenali sebagai PEMURAS dan ia digunakan dalam
konflik antara Tuan Besar dengan Long Senik Mulut Merah pada 1838.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan

Wednesday, 26 November 2014

[Siri 35] Pengisahan Sejarah Kelantan : Tengku Long Zainal Ibni alMarhum Sultan Long Yunus (Long Jenal) Jun-Ogos 1835

Pendahuluan
Kemangkatan Sultan Muhammad I yang tiada berputera malah meninggalkan Kelantan dengan tiada dinamakan perwaris yang sah telah menyebabkan Kelantan kembali ke kancah perebutan takhta. Perwaris baginda Sultan dibayangi kesamaran, walaupun baginda di gelar Sultan Mandul sumber sejarah ada menyatakan beliau mempunyai seorang putera, bagaimanapun ianya tidak dapat disahkan. Baginda disebut mempunyai dua orang anak angkat yang juga merupakan anak saudara beliau sendiri iaitu:
  • Long Senik [Mulut Merah] ibni Tengku Long Tan ibni Long Yunus
  • Long Bongsu ibni Tengku Long Tan ibni Long Yunus

Long Tan disebut telah mangkat sebelum 1835, justeru menjadi tanggungjawab saudara mara terdekat seperti Sultan Muhammad I untuk menjaga kebajikkan anak yatim tambahan beliau sendiri tidak mempunyai zuriat. 

Seperti yang kita sedia maklum, Sultan Muhammad 1 bukanlah putera pertama kepada alMarhum Sultan Long Yunus, baginda berkedudukan putera yang keenam, manakala Tengku Long Zainal adalah putera kelima. Beliau ditabalkan menjadi Sultan Kelantan kerana dari usaha beliaulah Kelantan telah bebas daripada pengaruh Terengganu dan bernaung pula di bawah Siam dengan membayar ufti bagi mengelak ancaman yang mendatang.


Latar Belakang
Beliau telah dilantik sebagai Raja Bendahara Banggul pada 17 November 1801 semasa pemerintahan Sultan Muhammad I. Pemerintahan Sultan Muhammad I, menyaksikan Kelantan telah bernaung di bawah Siam untuk mengelakkan serangan serta menamatkan ancaman daripada Terengganu, justeru untuk mengekalkan hubungan dua hala ini, Raja Siam, Raja Rama I telah menganugerahkan gelaran Phaya Bangul (Raja Banggul) pada tahun 1812 dan Phra Bidaksha pada 1842.

Long Jenal mempunyai 6 orang anak iaitu:
  • Tuan Long Abdul Rahman
  • Tengku Kling
  • Tengku Tengah (Tuan Tango) menjadi Penasihat Raja Patani sehingga 1890
  • Tengku Chik suami kepada Tengku Labuh binti Long Muhammad (Raja Patani)
  • Tuan Long Idris
  • Engku Lebai

Perang Saudara
Kemangkatan alMarhum Sultan Muhammad I telah menyebabkan berlakunya perebutan dalam tahun 1835 antara waris Sultan Long Yunus iaitu:
  • Tengku Long Zainal (Long Jenal), Raja Bendahara Banggol
  • Long Muhammad ibni Tengku Long Ismail, Raja Muda Kampung Laut
  • Long Senik [Mulut Merah], anak angkat Sultan Muhammad I
Sejurus kemangkatan baginda Sultan Muhammad I, Long Jenal telah mengisytiharkan diri sebagai pengganti Sultan, perkara ini mendapat tentangan daripada dua pihak iaitu :
  • Raja Muda Kampung Laut yakni Tengku Long Ismail sendiri dan kemudiannya diteruskan pula oleh puteranya Long Muhammad. 
  • Long Senik [Mulut Merah] ibni Long Tam yang juga anak angkat kepada Sultan Muhammad I.
Semasa pemerintahan Sultan Muhammad I pada 1801-1835, baginda telah melantik Tengku Long Ismail (Raja Kampung Laut) sebagai Raja Muda Kelantan. Bagaimanapun, selepas kemangkatan baginda Sultan Muhammad, Raja Bendahara Banggul, Long Jenal telah mengambil kedudukan sebagai Raja Kelantan dan menggelar diri sebagai Yamtuan Kelantan.

Dalam sejarah Kelantan menyatakan tempoh ini menyaksikan berlakunya tempoh perpindahan kuasa yang diistilahkan sebagai Interregnum dan secara rasminya,  Long Jenal hanya sempat begelar Raja Kelantan cuma selama 2 bulan iaitu dari bulan Jun hingga Ogos 1835. Setelah itu, Kelantan telah mengalami Perang Saudara.

Campur tangan Siam telah dalam kemelut Perang Saudara di Kelantan pada 1838 telah menamatkan episod duka tersebut dengan Siam telah memihak kepada Long Senik Mulut Merah dan menyokong beliau menjadi Sultan Kelantan. Tengku Long Ismail, Raja Muda Kampung Laut telah mangkat pada tahun yang sama dan digantikan oleh puteranya Long Muhammad (Tuan Besar), sebagai Raja Kampung Laut.

Sebagai kuasa penentu, Raja Rama I telah:
  • Menabalkan Long Senik Mulut Merah sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad I pada Julai 1838.
  • Melantik Long Muhammad (Tuan Besar) Raja Kampung Laut, sebagai Raja Patani.
  • Menganugerahkan gelaran Phra Bidaksha kepada Long Jenal dan menjadi menteri di Wilayah Nongchik, Patani dari 1842-1845 dan beliau telah mangkat disana dan dimakamkan di Makam diRaja Langgar, Kota Bharu, Kelantan. 

Kesimpulan
Kisah pemerintahan Raja Bendahara Bangul, Long Jenal tidaklah panjang memandangkan pada waktu beliau menggantikan kedudukan Sultan Muhammad I, usianya telah sangat lanjut, cuma pada masa tersebut beliau mendapat sokongan daripada Tengku Long Ismail, Raja Muda Kampung Laut juga telah lanjut usia beliau. Keadaan ini meyebabkan Long Senik [Mulut Merah] turut serta dalam perebutan takhta berikut usianya yang masih muda.

Perang Saudara 1835-1838, tidak akan berlaku dan sejarah negeri Kelantan pastinya berubah sekiranya Long Jenal tidak menabalkan diri beliau sebagai Sultan. Pelbagai andaian boleh ditimbulkan, bagaimanapun sejarah bukan sesuatu untuk dirubah dan digubah mengikut rasa hati. Ia harus kita teladani agar sejarah tidak akan berulang. 

Makam Baginda Long Zainal (Long Jenal, Raja Bendaharah Banggol)
 ibni Sultan Long Yunus
di Makam diRaja Langgar
(Mohon disedekahkan bacaan al-Fatihah)

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Muhammad_I
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Muhammad_II
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Long_Zainal
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Rama_%28Raja_Thailand%29
  • http://artmelayu.blogspot.nl/2011/07/makam-sultan-sultan-kelantan-abad-ke-19.html
  • Royal Ark.net
  • Salasilah Keturunan Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait

Tuesday, 25 November 2014

[Siri 34] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Muhammad I 1801-1835

Pendahuluan
Kelantan yang disatukan oleh Long Yunus telah menjadi berantakan ekoran diserang oleh Terengganu selepas kemangkatan beliau. Keadaan aman hanya dikecapi selama 32 tahun oleh rakyat Kelantan, kini negeri ini terjerumus semula dalam kekacauan yang diakibatkan perang. Abang ipar beliau, Tengku Muhammad telah ditabal oleh Sultan Zainal Abidin II pada 1795 sebagai Pemangku Raja. 

Semua jawatan waris Long Yunus telah dilucutkan oleh Tengku Muhammad yang mendapat sokongan daripada Terengganu dan Siak. Long Muhammad juga tidak terkecuali, kerana pada waktu itu beliau merupakan Raja di Kubang Labu.

Latar Belakang
Nama asal beliau adalah Long Muhammad ibni alMarhum YM Paduka Sri Sultan Long Yunus. Pada tahun 1756, beliau telah dianugerahkan untuk memerintah Kota Kubang Labu juga dikenali sebagai Kelantan Barat. Selepas kemangkatan ayahandanya, beliau telah disingkirkan oleh abang iparnya, Tengku Muhammad dari pemerintahan di Kubang Labu.

Bonda beliau ialah Encik Jumat, Che Puan Besar seorang bangsawan Terengganu. Baginda Long Yunus ditakdirkan mempunyai zuriat yang ramai. Bagaimanapun, semasa hayatnya, beliau telah memberikan kawasan pemerintahan kepada semua puteranya dan ia adalah suatu yang adil walaupun ada antara mereka mendapat kawasan pemerintahan jauh dari Kota Bharu.

Beliau ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, kerana itu beliau telah digelar sebagai Sultan Mandul, mengikut catatan sejarah beliau telah berkahwin buat kali kedua dan mempunyai seorang anak, namun sumber tersebut juga ragu-ragu untuk mengesahkan akan waris daripada beliau, kerana sepanjang hayat beliau gelaran Sultan Mandul itu kekal pada dirinya.

Sumbangan beliau yang paling besar pada negeri Kelantan adalah kejayaan beliau menyingkirkan pengaruh Terengganu dari Kota Bharu pada 15 Mei 1801. Seterusnya beliau telah ditabalkan sebagai Raja dan Yang diPertuan Besar Kelantan pada 17 November 1801.

Sewaktu pemerintahan beliau, keadaan di Kelantan kembali sediakala seperti era pemerintahan Long Yunus. Sultan Muhammad I telah mangkat pada 25 June 1835 di Pulau Saba, dan dimakamkan di Makam diRaja Kampung Langgar,  Kota Bharu.

Kemangkatan beliau dengan tidak menamakan perwaris yang sah telah menyebabkan Kelantan sekali perang saudara dalam kerabat Long Yunus. Pembesar dan kerabat Kesultanan Kelantan pada waktu itu telah bersetuju menabalkan Tengku Long Zainal (Tengku Jenal) sebagai Sultan Kelantan menggantikan Sultan Muhammad I. Hal ini telah menimbulkan kurang senang dari perwaris-perwaris Long Yunus yang sememangnya ramai itu.

Kesimpulan
Sultan Muhammad I adalah individu yang paling berpengaruh setelah ayahanda beliau iaitu alMarhum Sultan Long Yunus, usaha beliau menyingkirkan pengaruh Terengganu di Istana Kelantan telah melayakkan beliau ditabalkan sebagai Sultan Kelantan. Bagaimanapun, kerana mangkat tidak menyatakan pengganti yang sah, telah menyebabkan Kelantan kembali kepada keadaan kacau bilau. Sekali lagi berlaku perebutan kuasa dari waris-waris alMarhum Sultan Long Yunus. Begitulah nasib negeri ini, sentiasa dirundung malang walau mempunyai kisah yang gemilang. Sesusah mana sekalipun, rakyat marhaen Kelantan tetap meneruskan kelangsungan survival mereka menjadi manusia kental.

Gambar Hiasan: Istana Kota Lama, merupakan istana yang dibina menggatikan
Istana di Pulau Saba yang telah tenggelam ke dalam Sungai Kelantan.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:


Thursday, 20 November 2014

[Siri 33] Pengisahan Sejarah Kelantan : Tengku Muhammad Ibni alMarhum Sultan Mansur I 1795-1801

Pendahuluan
Ramai pengamat sejarah negeri Kelantan menyatakan Kesultanan Kelantan pada hari ini adalah dari keturunan Sultan Terengganu berikutan Tengku Muhammad, putera kedua kepada Sultan Mansur I telah ditabal menggantikan Long Yunus. Jika kita teliti, bonda kepada Sultan Mansur adalah Neng Roqaiya yang juga dikenali sebagai Cik Puan Besar di Terengganu. Neng Roqaiya adalah puteri kepada Long Bahar hasil perkahwinan dengan Raja Mas Kelantan yang pernah ditabal sebagai Raja Patani. 

Secara langsungnya, Sultan Mansur I adalah cucu Long Bahar manakala zuriat beliau adalah cicit kepada Long Bahar dan ini menyatakan bahawa Kesultanan Kelantan, Terengganu dan Patani  serta Johor mempunyai hubungan yang erat. Justeru, tidak menghairankan kenapa Tengku Muhammad yang juga suami kepada Che Ku Tuan Nawi (anak Long Yunus dengan Tuan Cik Jumat yang berdarah bangsawan dari Terengganu) telah menaiki takhta Kelantan setelah kemangkatan Long Yunus. Dicatatkan, Tengku Muhammad telah ditabal sebagai Pemangku Raja dengan gelaran Yang diPertuan Muda dari tahun 1795 hingga 1800.

Apa yang berlaku sebenarnya?
Hubungan Long Yunus dengan Sultan Mansur I sebelum ini sangat akrab, bagaimanapun pada penghujung pemerintahan Long Yunus, Terengganu telah cuba menyerang Kelantan atas satu sebab yang tidak dapat dipastikan. Selepas Long Yunus mangkat pada 1795, Terengganu dan Kelantan telah berperang. Kelantan telah kalah kepada Terengganu dalam kedua-dua serangan ini, pihak Siak telah membantu Terengganu dalam serangan ini.

Pada 1794, Sultan Mansur I telah mangkat dan Sultan Zainal Abidin II telah ditabal sebagai Sultan Terengganu. Serangan Terengganu keatas Kelantan dilakukan semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin II, dan kekalahan Kelantan juga menyaksikan Tengku Muhammad ibni Sultan Mansur I yang juga menantu Long Yunus telah ditabalkan sebagai Pemangku Raja dengan gelaran Yang diPertuan Muda oleh kekandanya, Sultan Zainal Abidin II pada 1795.

Pada 1801, Long Muhammad salah seorang putera Long Yunus telah melancarkan serangan balas untuk membebaskan Kelantan daripada pengaruh Terengganu. Serangan dilancarkan dari arah Hulu Kelantan, dan angkatan Long Muhammad juga terdiri daripada penduduk setempat yang berbilang kaum, dan mereka termasuklah Orang Cina. Serangan tersebut berjaya mengusir Tengku Muhammad dari takhta Kelantan dan serentak dengan itu Long Muhammad telah menggelarkan diri beliau sebagai Sultan Muhammad I Khalilullah.

Kesimpulan
Sultan Zainal Abidin II dari Terengganu telah menyerang Kelantan atas sebab yang kita kurang jelas, persoalan utama, dimana peranan Long Ghafar pada waktu tersebut? Sedangkan ramai yang mengatakan beliau yang mempunyai kuasa mutlak keatas Kelantan pada masa tersebut. Serangan dari Terengganu telah dilancarkan sebanyak dua kali, dan serangan kali kedua telah menyebabkan kekalahan Kelantan secara langsung hingga Tengku Muhammad ibni Sultan Mansur I telah dilantik sebagai Pemangku Raja oleh Sultan Terengganu yang juga kekanda Tengku Muhammad.

Dua perkara utama yang harus dipersoalkan dalam artikel ini adalah :
  1. Peranan Long Ghafar dalam menangkis serangan Terengganu
  2. Sebab-sebab Terengganu menyerang Kelantan.
Apa sekalipun, salah seorang Putera Long Yunus, iaitu Long Muhammad telah berjaya mengusir pengaruh Terengganu dalam istana Kelantan juga melalui serangan yang pastinya telah mengakibatkan pertumpahan darah. Inilah suratan takdir yang harus kita ambil untuk dijadikan pengajaran untuk masa mendatang, kuasa yang ada di tangan akan hancur bagaikan debu sekiranya tidak berpegang pada apa yang telah disuruh Allah s.w.t.

Jata Negeri Terengganu yang telah dilukis oleh
Encik Mohamad Abdul Rahim dan telah
diputuskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Jumaah Negeri
untuk Kegunaan Rasmi pada 1932.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Corak_Pemerintahan_Kelantan_Lampau
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Perbandingan_Raja_Kelantan_Long_Gaffar_dan_Long_Yunus
  • http://protokol.terengganu.gov.my/maxc2020/agensi/article.php?cid=11&aid=2548
  • http://www.royalark.net/Malaysia/treng3.htm
  • Royal Ark.net
  • Keturunan Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...