SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday, 30 October 2014

[Siri 25] Pengisahan Sejarah Kelantan : Raja Sakti / Long Betong [Kelantan Utara 1632-1649] [Patani Besar 1649-1662]

Pendahuluan
Keunikan nama beliau amat menggamit kebanyakkan rakyat Kelantan. Keunggulan namanya membuatkan ramai ingin tahu mengenai beliau. Pendokong utama dalam hal ini adalah Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK), dalam blog rasmi mereka ada dinyatakan kisah Raja Sakti. Dalam menyelidik susur galur keturunan Raja-Raja Kelantan sememangnya kita perlu merujuk kepada hasil selidikan daripada penyelidik bebas untuk kita melihat sesuatu salasilah dengan lebih luas tanpa memihak.

Dalam penulisan ini, kami merujuk kepada:
  1. Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Bersejarah, (Buku)
  2. Royal Ark.net,
  3. pkrjk.org.my (blog rasmi PKRJK)
  4. Blog Tengku Azhar (https://sites.google.com/site/tengkuazhar/raja-jembal)
  5. Blog Bingkisan Anak Bani Jawi (http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/06/salasilah-raja-jembal-kelantan.html)

Penulisan ini juga bukan untuk mengeluarkan versi salasilah Kelantan yang baru, ia hanya membentangkan maklumat dari rujukan yang sedia ada seperti yang dinyatakan. Kami juga mohon para pembaca sekalian membuat penelitian yang lebih lanjut sekiranya berpendapat apa yang kami sampaikan ini tidak benar dan tidak tepat. 

Siapa Raja Sakti 
Berikut kami kongsikan salasilah Raja Sakti ini dari sumber rujukan yang kita boleh search di Internet.

Sumber Salasilah Raja Sakti dari Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan

Salasilah yang disalin semula dari buku Keturunan Raja-RajaKelantan dan Peristiwa-Peristiwa Bersejarah 
(Paparan lebih Jelas disini)

Salasilah Kerabat DiRaja Jembal dari selidikan Tengku Azhar
(Paparan lebih jelas disini)

Salasilah Kerabat Raja Jembal dari Blog Bingkisan Anak Bani Jawi

Salasilah Raja Sakti yang kami kumpulkan ini telah menjadi rujukan buat sekian lama kepada pengamat sejarah Kelantan memandangkan jarang buku yang diterbitkan berkenaan perkara ini. Kami hanya menemui jurai keturunan Raja-Raja seperti mana dalam buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting dan terdapat satu salasilah bertulisan jawi dari blog sejarah Kelantan-Patani iaitu Tabut Jawi seperti berikut:

Salasilah dari Catera Kelantan Tulisan Datuk Perdana Menteri Kelantan Nik Mahmud bin Nik Ismail untuk
pembelajaran sekolah di Kelantan pada 1933-1934
Dari apa yang dipaparkan ini, jelas ia begitu memeningkan berikutan setiap salasilah yang dikeluarkan mempunyai perbezaan dan jelas ia begitu bercelaru. Perkara ini menjadi semakin sukar untuk mengesahkan mana satu yang benar. Penulis juga menghadapi masalah yang sama berikutan bukan semua sumber rujukan dapat kita telaah dari sumber asli, yang kami perolehi semuanya daripada sumber Internet.

Maklumat dari PKRJK
Kerajaan Jembal disebut diasaskan oleh Raja Besar yang berketurunan daripada Raja Bersiong seorang Raja yang memerintah Kedah pada abad ke-14. Raja Besar dan pengikutnya mengembara mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan negeri. Baginda telah mendirikan kota di tepi Sungai Babong, Pulau Melaka. Sekitar kota itu terdapat sepohon pokok Jambu Jembal yang besar, justeru beliau telah menamakan kota tersebut sebagai Kota Jembal.

Pada 1638, Raja Besar telah menabalkan Raja Sakti sebagai penggantinya. Dinyatakan terdapat 7 orang zuriat Raja Sakti ini iaitu:
  • Raja Adiluddin (Raja Loyar)
  • Raja Bahar (Raja Udang)
  • Raja Omar (Raja Ekok)
  • Raja Sungai
  • Puteri Sayu Bari
  • Puteri Unang Melor
  • Puteri Cempaka Bongsu
Pada 1649, Raja Loyar telah ditabalkan sebagai Raja memerintah Kelantan, adik beradiknya yang lain dilantik sebagai pembesar antaranya:
  • Raja Bahar sebagai Bendahara
  • Raja Omar sebagai Raja Muda
  • Raja Sungai sebagai Temenggong
Raja Loyar sangat dikasihi oleh rakyatnya, baginda dikatakan memiliki sifat kesaktian dengan berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit Hitam, lidah fasih dan air liur masin. 

**Catatan seterusnya berkisar tentang Raja Loyor dan akan kami kupas dalam pengisahan yang seterusnya.

Maklumat dari Blog Bingkisan Anak Bani Jawi
Artikel berkenaan Raja Sakti dikupas dengan mendalam oleh admin blog Bingkisan Anak Bani Jawi dan anda boleh ikuti kupasan berkenaan perkara ini pada pautan ini. Dalam penulisan ini boleh kita ambil pati perbincangan dalam artikel blog tersebut bahawa admin berkenaan menyatakan bahawa terdapat dua(2) Raja Sakti iaitu:
  • Raja Sakti I : Nik Jamaluddin, Datu Kelantan yang pertama.
  • Raja Sakti II : Raja Vijaya Indra / Long Betong
Artikel tersebut menyatakan bapa Long Betong iaitu Sultan Abdul Kadir 161-1632 mempunyai dua orang isteri. Perkahwinan kedua ini dilangsungkan berikutan perkahwinan pertama tidak dikurniakan zuriat. Bagaimanapun, selepas perkahwinan kedua itu, isteri yang pertama telah mengandung seterusnya melahirkan seorang putera. Perkara ini telah menerbitkan perasaan iri hati isteri muda, dan telah bertindak mengambil anak tersebut secara diam-diam dan diletakkan di perdu pohon buluh betong di sebuah hutan.  Berdukacitalah Sultan Abdul Kadir dan Permaisurinya itu, dengan takdir Allah s.w.t. baginda Sultan telah bermimpi bahawa puteranya masih hidup dan selamat. Dalam mimpi tersebut baginda mendapat petanda berkenaan puteranya itu, berkulit cerah, mempunyai bulu roma songsang dan lelangit mulutnya berwarna hitam.

Bagaimanapun, blog ini banyak menghuraikan kisah Raja Sakti dengan begitu terperinci dan ia telah menjadi rujukan ramai pengamat sejarah negeri Kelantan. Kami juga merujuk kepada blog ini kerana artikel-artikel yang diterbitkan begitu menyakinkan. Walaupun susur galur Raja Sakti tidak dapat dipastikan dengan kemas, sumbangannya dalam pemerintahan Kelantan dan Patani yang perlu kita pandang serius.

Sumbangan Raja Sakti
Pada tahun 1649, Siam telah menyerbu ke dalam Kota Cabang Tiga yang menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Patani yang pada waktu itu diRajai oleh Ratu Kuning. Angkatan perang Patani pada masa itu berada dalam keadaan goyah. Raja Sakti bersama angkatan perang telah naik membantu Patani yang juga penaung kepada kerajaan Jembal di Kelantan. Pimpinan Raja Sakti telah menguatkan kembali gabungan angkatan tentera dari Kelantan dan Patani dan mereka telah berjaya menghalau askar Ayuthia hingga ke dalam kota mereka.

Kejayaan Raja Sakti ini telah membolehkan beliau ditabalkan sebagai Raja Patani menggantikan Ratu Kuning pada 1650. Sumber menyatakan bahawa pertabalan Raja Sakti adalah tepat pada masanya kerana beliau berketurunan Sultan Qunbul yang disebut sebagai pendiri Kesultanan Patani. Setelah beliau ditabal sebagai Raja Patani, kerajaan Jembal pula telah dipangku oleh anakandanya yang bernama Raja Loyor. 

Pertabalan Raja Sakti ini telah melahirkan pemerintahan Dinasti Kelantan dalam Kesultanan Kelantan buat pertama kalinya. Pada masa tersebut terdapat 43 buah negeri yang bersekutu dalam Patani yang dikenali sebagai Patani Besar itu. Selain itu terdapat juga beberapa buah negeri yang dirajai oleh waris pemerintah Kesultan Champa yang menyelamatkan diri daripada ancaman Dai Viet yang telah menguasai negeri mereka. Raja Sakti telah memerintah Patani dan seluruh Kelantan selama 12 tahun (1650-1662) dan negeri ini berada dalam keadaan aman damai buat seketika. Setelah beliau mangkat, Raja Loyor telah ditabal menggantikan bapanya sebagai Raja Besar Patani, namun pemerintahan beliau tidak lama.

Royal Ark.net menyatakan Raja Sakti telah berkahwin dengan anak angkat Raja Bersiong iaitu Tuan Puteri Mani Kemenyan dari Kedah, mereka telah dikurniakan tiga orang anak iaitu:

  • Tuan Besar
  • Raja Loyor / Raja Jembal
  • Raja Umar / Sultan Kelantan


Kesimpulan
Pada 3/12/ 2013 kami pernah menerbitkan artikel berkenaan Raja Sakti itulah sebenarnya asas kami mula menyelidik Sejarah Raja-Raja Kelantan. Hingga kini pun, data dan maklumat yang tepat tentang Raja Sakti tidak dapat kami putuskan. Pertubuhan Kerabat Raja Jembal sendiri masih dalam pengkajian berkenaan susur galur sejarah mereka. Apa yang kami nukilkan disini adalah berdasarkan kepada maklumat yang sedia ada. Kami tidak boleh capai perkara yang diluar pengetahuan, jika itu dilakukan ianya menggambarkan seolah-olah kisah ini direka-reka atau telah ditokok tambah. Kisah Raja Sakti dan Raja Loyor perlu kita perhalusi untuk kita terus mengambil isi penting. Penulisan ini tidak  boleh memihak berikutan ia juga berkait dengan sejarah Kesultanan negeri-negeri lain seperti Kedah, Perak, Melaka dan Johor serta beberapa Kesultanan di Sumatera dan Jawa.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:
  1. Blog Tengku Azhar
  2. Salasilah Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait
  3. Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan
  4. Royal Ark.net
  5. Bingkisan Anak Bani Jawi
  6. http://pp-sk.blogspot.nl/2013/12/patani-kelantan-episod-3-raja-sakti.html
  7. http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/06/sirah-patani-langkasuka-1649-1785.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...