SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday, 7 March 2015

Bank Kerapu : Siri Binaan Bersejarah Kelantan

Bank Kerapu dalam tahun 60an

Bangunan ini adalah satu binaan yang unik di Kelantan, tiada bangunan di Kelantan malah seluruh Malaysia seperti bangunan ini. Sejarahnya juga panjang dan ia wujud selepas Residen British mula campur tangan dalam pentadbiran Kesultanan Kelantan. Ia terletak hilir Padang Merdeka, Kota Bharu, siap di bina pada 1912 dan dioperasikan sebagai bank moden yang pertama di Kelantan oleh The Mercantile Bank of India Ltd.

Bank ini dibina di atas tanah milik Nik Yussof bin Nik Abdul Majid, seorang ketua tempatan. Pembinaan bank ini sebenarnya merupakan bangunan yang pertama di kelantan dibina menggunakan konkrit. Masyarakat tempatan mengenal bank ini sebagai Bank Kerapu berikutan dindingnya disimen dengan batu bata kecil hingga menampakkan dindingnya tidak rata dan menggerutu, dari sinilah bangunan bank ini mendapat gelarannya.

Semasa Pendudukan Jepun pada tahun 1942-1945, bangunan ini telah dijadikan sebagai ibu pejabat Kempetai oleh pasukan polis rahsia tentera Jepun. Selain itu, bangunan ini juga dijadikan penjara, balai siasatan, kem penderaan, dan lain-lain aktiviti keganasan mereka semasa berada di Kelantan. Selepas Perang Dunia keDua tamat, British kembali semula ke Kelantan dan bangunan ini telah dibersihkan kembali dan digunakan semula sebagai bank.

Pada 1977, The Hong Kong and Shanghai Bank Corporation (HSBC) telah beroperasi di bangunan bersejarah itu sehinggalah tahun 1981 bangunan ini diambil alih pihak kerajaan dan dijadikan Balai Seni Lukis dan Kraftangan Kelantan. Sebelas tahun kemudian iaitu pada 1992, bangunan ini telah diserahkan kepada Perbadanan Muzium Kelantan dan dijadikan Muzium Perang Dunia Ke-2 di Kelantan sehingga hari ini.

Bangunan ini sememangnya tidak akan dijumpai yang sama seakannya, kerana ia dibina khusus sebagai bank, pastilah ia dibina dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi pada era tersebut. Tercatat bahawa ia adalah bangunan pertama yang dibina dari konkrit di Kelantan sementara bangunan pada era tersebut dibina dari kayu. Selain itu dindingnya juga menggerutu hingga dijolok dengan nama Kerapu dan pastilah ia tidak elok berkemungkinan besar ia dibuat sedemikian untuk mengelakkan dari dipanjat orang serta menghindari dari orang ramai untuk merapati bangunan tersebut.

Namun begitu, pembinaan Bank Kerapu ini bukanlah yang pertama sebenarnya, sebelum kedatangan British, Kelantan telah mempunyai sistem keewangan yang tersendiri dikenali sebagai Pitis Kelantan. Ikuti artikel kami selanjutnya Sistem Kewangan dan Perbankan di Kelantan wujud semenjak 1890.



Bank Kerapu, fungsinya kini sebagai Muzium Peringatan Perang Dunia Kedua


Rujukan:
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Bank_Kerapu
  • http://kelantan.attractionsinmalaysia.com/WarMuseumKelantan.php

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...