SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday 1 April 2015

Istana Tengku Sri Akar robohnya Binaan Asli Kelantan : Siri Binaan Bersejarah Kelantan

Istana Tengku Seri Akar sebelum diroboh pada tahun 1970an

Pendahuluan
Bulan Mac yang lalu kami telah menerbitkan artikel berkenaan Istana Tengku Bongsu yang kini berada di Taman Pantun, UKM. Semasa penyediaan artikel tersebut, nama Istana Tengku Seri Akar disebut sebagai kembar Istana Tengku Bongsu sebahagian tapaknya sudah menjadi Bazar Tengku Anis. Kami sebenarnya sudah kerap menyiarkan maklumat berkenaan istana ini, berikutan kesukaran mencapai maklumat berkenaan istana ini melalui carian di internet.

Artikel ini pula diterbitkan untuk rekod kami tentang kajian yang telah dijalankan oleh para pengkaji terdahulu keatas istana ini, juga sebagai peringatan dan iktibar buat semua pembaca dan juga pengamat sejarah berkenaan penjagaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah memandangkan Istana ini telah runtuh menyembah bumi ekoran tiada usaha membaik pulih yang dijalankan oleh pihak berwajib pada masa tersebut.

Latar Belakang
Istana ini dibina oleh Almarhum Sultan Muhammad II pada 1886 sebagai hadiah perkahwinan kepada cucu baginda iaitu Tengku Mariam Tengku Kembang Putri yang juga anak kepada Almarhum Sultan Ahmad semenjak itu Istana ini dikenali sebagai Istana Tengku Putri. Tengku Mariam telah berkahwin dengan Tengku Besar ibni almarhum Tengku Putih [Tuan Timung] pada 1881.

Sebenarnya Tengku Mariam Tengku Kembang Putri lebih dikenali sebagai Tengku Puteri berbanding nama penuh beliau. Perkahwinan beliau dengan Tengku Putih hanya berlangsung selama 8 tahun apabila Tengku Putih mangkat pada 1889 dan kediamannya itu dikenali dengan nama beliau iaitu Istana Tengku Puteri. Dua tahun kemudian iaitu 1891, Tengku Petri berkahwin pula dengan Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, Raja Patani serentak dengan itu Sultan Muhammad IV telah menganugerahkan gelaran Tengku Sri Akar Raja menandakan persaudaraan antara Kelantan dan Patani pada masa tersebut. Malangnya pada 1902, Siam telah melucutkan jawatan Tengku Abdul Kadir sebagai Raja Patani dan beliau telah berpindah ke Kota Bharu dan tinggal di Istana Tengku Puteri pada 1905, keluarga ini kemudiannya telah diberikan konsesi tanah di Batu Mengkebang di atas nama Tengku Puteri.

Nama Istana Tengku Puteri ini ditukar nama kepada Istana Tengku Seri Akar pada 1933 semasa kediaman ini diduduki oleh Tengku Seri Akar Ahmad Zainal Abidin anakanda sulung kepada Tengku Abdul Kadir dengan Tengku Puteri. Beberapa tahun setelah kemangkatan beliau pada 1953, kediaman tersebut tidak lagi didiami dan ia terbiar kosong hinggalah ia diratakan pada penghujung 1970.

Kawasan dalam peta menunjukkan konsesi yang
diberikan kepada Tengku Petri@Puteri pada 1902.

19 Mei 1933, Tengku Abdul Kadir telah mangkat ekoran penyakit paru-paru di Istana Tengku Sri Akar dan dimakamkan di Makam diRaja Langgar. Perkahwinan beliau dengan Tengku Puteri telah dikurniakan tiga orang zuriat iaitu:
  • Tengku Sri Akar Ahmad Zainal Abidin
  • Tengku Mahmood Mahyideen
  • Tengku Besar Zubaidah
Ketiga-tiga mereka ini kemudiannya telah muncul sebagai tokoh dalam kerabat diRaja yang menjadi ingatan masyarakat berikutan sumbangan mereka dalam pentadbiran Malaysia. Namun yang paling menonjol dalam sejarah Kelantan dan Malaysia adalah Tengku Mahmood Mahyideen berikutan usaha berterusan beliau berkenaan kemerdekaan Patani. Satu ketika Patani telah hampir bebas dari cengkaman Siam bagaimanapun ia terjejas berikutan meletusnya Perang Dunia Kedua di Asia Pasifik.

Setelah itu Tengku Mahmood telah terlibat secara langsung dalam perang ini sebagai pemimpin utama dalam pasukan tentera gerila British yang dikenali sebagai Force 136 khusus untuk bertempur dengan tentera Jepun di Tanah Melayu. Pasukan ini sangat efektif dalam peperangan secara langsung dan peranan Tengku dalam pasukan ini terus berlangsung hinggalah Jepun menyerah kalah. Jasa beliau semasa perang amat dihargai oleh British dan beliau telah menyatakan hasrat kemerdekaan Patani sekali lagi semasa pertemuan dengan pemimpin British di London. Namun, beliau telah dikhianati sekali lagi oleh British yang lebih memihak kepada Siam. Kecewa dengan tindakan British, Tengku Mahmood telah menggugurkan gelaran Tengku dan diRaja yang lain pada tubuh beliau serta waris-warisnya dan tidak akan mengungkit gelaran tersebut buat selama-lamanya.

1954, pada usia 46 tahun Tengku Mahmood Mahyiden telah meninggal dunia dipercayai telah diracun di Pantai Semut Api tempat beliau menjalankan perusahaan chalet. Kematian beliau itu membuatkan seluruh Kelantan dan Patani terkejut dan melumpuhkan perjuangan kemerdekaan Patani. Istana Tengku Sri Akar terus tidak berpenghuni dan ia semakin uzur. Kisah penghuni Istana Tengku Sri Akar telah menarik perhatian ramai terutama pengkaji dan peminat seni ukir.

Seni Bina dan Ukiran
Mengikut pengkaji dan pencinta Seni Ukir, binaan Istana Tengku Sri Akar sebenarnya telah memasukan seni bina barat iaitu dibina tidak bertiang yang mana terkeluar dari identiti rumah tradisional Kelantan yang mana setiap rumah dapat dibezakan dengan jumlah tiang rumah. Sekiranya terdapat 12 tiang, maka itu adalah rumah golongan bangsawan.

Pintu Gerbang Istana Tengku Sri Akar
Lakaran Plan Istana Seri Akar

Istana Tengku Sri Akar terus diangkat dalam arena sejarah apabila wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia melawat Kelantan dan beliau telah merakamkan binaan Istana tersebut yang telah begitu usang, bagaimanapun binaan Istana Tengku Sri Akar kelihatan unik dan sukar dicari pada tempat lain. 

Menurut penduduk setempat berhampiran kawasan Istana ini, pada tahun 1960an, ia sudah kelihatan sangat uzur berikutan tiada siapa yang menjaganya. Ia terbiar, dan menunggu masa untuk roboh. Kerajaan Negeri pada masa tersebut juga tidak melindungi warisan seni bina berikutan pada waktu itu Kelantan, dan Malaysia khususnya baru merdeka yang mana banyak agenda rakyat harus dilaksanakan. Sekitar 1970an, tapak Istana ini telah dirobohkan sepenuhnya dan tapak ini terus dibiarkan kosong hingga saat ini. Ia tidak dimajukan berikutan tanah tapak Istana itu mempunyai perwaris yang sah dan tidak mudah untuk mengambil tanah tersebut. Pada masa sekarang tapak itu mempunyai nilai komersial yang tinggi berikutan sekeliling lokasinya merupakan tempat tumpuan pelancong dan pelawat asing.

Bahagian hadapan Istana Tengku Sri Akar dalam tahun 60an

Bahagian belakang Istana Tengku Sri Akar dalam tahun 60an.
Hadapan Istana Tengku Sri Akar pada 70an
Pandangan belakang Istana dalam tahun 1970an.
Kesimpulan
Istana Tengku Sri Akar menjadi signifikan dalam kajian sejarah berikutan pengelibatan Tengku Puteri dan Tengku Adul Kadir Kamarudin yang berusaha membebaskan Patani, namun malang sekali kerana pada hayat mereka hal tersebut belum dapat direalisasikan. Perjuangan pembebasan Patani dari cengakaman Siam diteruskan oleh Tengku Mahmood Mahyideen putera kepada Tengku Puteri dengan Tengku Abdul Kadir. Peranan Tengku Mahmood dalam sejarah Malaysia telah mendorong pengkaji menjejak tempat tinggal beliau dan ramai terkejut dengan bangunan dalam gambar ini. Semenjak dari itu, ramai yang menyelidik tentang Istana dan Rumah Bangsawan Kelantan berikutan rekabentuk rumah yang unik dan tidak dapat dicari pada senibina rumah dinegeri-negeri lain hinggalah ia diroboh pada tahun 1970an berikutan binaan tersebut membahayakan orang awam dan lokasinya yang berdekatan dengan Masjid Muhammadi dan Pasar Besar Siti Khadijah yang tidak putus dikunjungi ramai.

Berbahaya pada orang awam.
Tapak Istana Tengku Sri Akar yang masih kosong semenjak tahun 70an.
Lakaran Bangunan Istana Tengku Sri Akar yang kini berada di Muium Negeri Melaka


Rujukan:
  • http://jauharkalam.blogspot.nl/2013/12/istana-tengku-bongsu_17.html
  • http://www.cyclopaedia.info/wiki/Istana-Seri-Akar
  • http://raykinzoku.fotopages.com/?entry=1176068
  • http://en.wikipedia.org/wiki/Istana_Seri_Akar
  • http://royalark.net/Malaysia/kelant6.htm
  • https://patanikini.wordpress.com/2007/10/

1 comment:

Anak felda said...
This comment has been removed by the author.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...