Sekapur Sireh
Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan (PPSK) sebenarnya adalah penjenamaan semula dari Kelab Pencinta Sejarah Kelantan (KPSK) yang ditubuhkan semenjak dari September 2012. Semasa persatuan ini bergelar "Kelab" kami telah mengadakan pelbagai aktiviti dan ekspedisi untuk melestarikan sejarah Kelantan. Kami juga pernah menganjurkan seminar berkenaan Tok Janggut dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) yang terbuka kepada semua orang yang berminat dengan tajuk seminar itu, selebihnya aktiviti kelab dilakukan secara tertutup dengan jemputan individu tertentu. Pada 1 Januari 2014, KPSK telah dijenamakan semula kepada PPSK. Berikutan komitmen para admin persatuan, PPSK hanya menjalankan aktiviti secara tertutup di beberapa tempat sekitar Kelantan.
Bermula 2015, kami kembali mengadakan aktiviti yang melibatkan masyarakat umum secara terus. Selain itu sepanjang 2014 juga kami turut menjemput beberapa individu yang berkredibiliti serta bertepatan dengan visi persatuan, beberapa orang admin baru telah dijemput untuk memperkasakan PPSK.
Aktiviti tertutup memang kami jalankan dengan kadar yang aktif, dan ianya tidak disiarkan disini atas sebab-sebab yang tidak boleh didedahkan. Bagaimanapun bermula Mei 2015, kami telah bersedia untuk pendedahan kepada umum. Ia dimulakan dengan Program Menghayati WWII di Kelantan bersama SMK Indera Petra 2, Gua Musang. Sepanjang aktviti tersebut para peserta telah dibawa melawat ke beberapa lokasi sekitar Kota Bharu dan Machang untuk melihat kesan-kesan perang dunia yang masih wujud di Kelantan.
Pada bulan Mei 2015 juga, pihak persatuan telah diberi peluang oleh Majlis Belia Kelantan untuk turut serta dalam Festival Mesra Belia Kelantan 2015 bertempat di RTC, Tunjong, Kota Bharu pada 15-16 Mei 2015. Bagi memenuhi jemputan tersebut, pihak persatuan telah menyediakan beberapa item untuk dipamerkan antaranya:
- Artikel Terpilih dari blog rasmi http://pp-sk.blogspot.com
- Artifak Perang Dunia Kedua yang ditemui sekitar Kelantan
- Buku dan Monograf terbitan Perbadanan Muzium Kelantan
- Tembikar Mambong
- Cenderamata PPSK
Dalam festival yang berlangsung ini, kami juga buat pertama kalinya turut membuka kaunter pendaftaran ahli PPSK kepada orang ramai. Alhamdulillah, sambutan sungguh menggalakkan dari para pengunjung ke festival tersebut.
Berikut rakaman aktiviti terbuka PPSK sepanjang Mei 2015:
Program Menghayati WWII di Kelantan
Festival Mesra Belia Kelantan
LAGI GAMBAR DI FAN PAGE KAMI
No comments:
Post a Comment