SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday, 14 May 2015

Siti Zubaidah - Srikandi Melayu Keturunan Raja Kelantan Lama : Siri Sejarah Silam

Gambaran Permaisuri Campa
Pendahuluan
Kisah Che Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong adalah kisah lagenda paling diingati rakyat Kelantan, ia dikenang kerana kisanya amat signifikan bagi masyarakat Kelantan malah rakyat Malaysia juga turut terkesan dengan kisah mereka. Sebabnya, jarang dalam negeri di Tanah Melayu ini dipimpin oleh golongan Wanita, justeru kisah-kisah Raja Perempuan dari Kelantan diingati dan sering ditelaah segolongan penkagum kisah mereka.

Kelantan sebenarnya mempunyai ramai tokoh wanita, cuma kisah mereka jarang diketengahkan seperti kisah Siti Zubaidah seorang permaisuri Raja Campa. Ramai menyangka kisah ini berkait rapat dengan Kesultanan dari Utara Tanah Melayu, bagaimanapun dakwaan ini tidak ditolak memandangkan sejarah Kelantan Lama terkait sama dengan kerajaan-kerajaan Utara Semenanjung Tanah Melayu kerana Kelantan dan Negeri Utara adalah sebahagian daripada kerajaan silam yang bernama Langkasuka. 

Kisah dalam Syair Siti Zubaidah Perang Cina memperincikan berkenaan perjuangan anak saudara Che Siti Wan Kembang ini dalam usaha membebaskan suaminya yang ditawan tentera musuh dari utara Campa.

Latar Belakang
Dalam Syair Siti Zubaidah Perang Cina tidak dinyatakan asal usul dan latar belakang beliau, naskhah tersebut hanya menumpukan kepada usaha dan semangat keperwiraannya sahaja, namun begitu dalam rekod sejarah Kelantan ada menyatakan perihal beliau. Berikut adalah catatan sejarah berkenaan asal dan keturunan Siti Zubaidah.

Sumber dari Royal Ark.net (klik image untuk paparan yang lebih jelas)

Sumber dari Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting (klik image untuk paparan yang lebih jelas)

Dari salasilah diatas jelas kepada kita bahawa Siti Zubaidah ini merupakan puteri kepada Raja Bharubhasa yang juga abang yang sulung kepada Cik Siti Wan Kembang. Beliau mempunyai empat orang zuriat iaitu:

  • Sultan Baki Syah - Raja Chermin 1362-1418
  • Sultan Muhammad Tahir - Raja Ligor
  • Sultan Ibrahim - Raja Kedah
  • Siti Zubaidah - Permaisuri Campa 

Pemerintahan Raja Bharubhasa menempuh pelbagai ranjau hingga ia menjadi rumit untuk difahami generasi sekarang. Beliau sebenarnya merupakan anak kepada Sang Tawal, semenjak zaman datuknya iaitu Raja Sakranta memerintah Langkasuka, Raja Bharubhasa telah diberi hak untuk memerintah di Chermin yang juga sebuah negeri dalam Langkasuka dengan lokasinya pada masa kini sekitar Tanah Merah (Bukit Panau) dan Pasir Mas (Tok Uban). Setelah ayahandanya Sang Tawal menggantikan datuknya di Langkasuka, beliau masih di Chermin, waktu itu menyaksikan Raja Bharubhasa dan ayahandanya serta adik beradik beliau termasuk Adruja Wijayamala Singha turut sama mempertahankan Langkasuka dari serangan Siam. Setelah Sang Tawal mangkat, Raja Bharubhasa telah ditabal menjadi Raja Langkasuka, pada masa itu putera dan puterinya sudah dewasa, dan sebagai langkah mengukuhkan Kerajaan Langkasuka, Raja Bharubhasa telah mengahwinkan puteri tunggalnya, Siti Zubaidah yang turut dikenali sebagai Puteri Saadong dengan Raja Campa ketika itu.

Usaha Raja Bharubhasa ini amat tepat serta signifikan pada masa itu kerana ia telah menggabungkan dua kerajaan Melayu di Semenanjung dan Tanah Besar, bagaimanapun ia tidak berhasil seperti yang diharapkan berikutan Campa yang dirajai oleh menantunya diserang oleh musuh dari Utara iaitu Dai Viet. Hal ini menyebabkan Langkasuka gagal mempertahankan kedudukannya apabila diserang oleh Siam dan Raja Bharubhasa telah memindahkan pemerintahan ke Chermin. Kisah Siti Zubaidah di Campa tidak tercatat dalam sejarah Kelantan selepas itu, bagaimanapun ia masyhur dalam Sejarah Negeri Utara Semenanjung Tanah Melayu. 

Kisah Siti Zubaidah di Campa
Siti Zubaidah sebenarnya dikahwin dengan Sultan Zainal Abidin (Che Bo Nga) di Kota Jiddah Sa'adus-salam ibu negeri bagi Chermin oleh Raja Bharubhasa. Sultan Zainal Abidin telah dilantik menjadi Raja Campa pada 1355 setelah ayahandanya Darman Syah menyerahkan kuasa pemerintahan kepada beliau. Setelah perkahwinan itu, Sultan Zainal Abidin telah membawa Siti Zubaidah yang juga dikenali sebagai Dewi Nareswari pulang ke Kota Bal Ngwe. 

Pada 1360, Sultan Zainal Abidin telah bersekutu dengan Kerajaan Majapahit untuk mengukuhkan pentadbirannya daripada ancaman Dai Viet. Sekitar 1361/62, Kerajaan Campa telah menyerang kedudukan Dai Viet di Wilayah Ngh-an dan menawannya pada 1365. Setelah itu Raja Dai Viet, Duong Nhut-Le telah melancarakan serangan balas pada 1368 tetapi serangan itu berjaya dipatahkan oleh tentera Campa. 

Kerajaan Dai Viet menjadi semakin lemah setelah kemangkatan Raja Duong berikutan tercetusnya perebutan kuasa antara perwaris Raja Duong dengan Kerabat Dai Viet yang lain. Mengikut catatan sejarah, setelah kemangkatan Duong Nhut-Le, Permaisurinya iaitu Duong Khoung yang juga dikenali sebagai Kilan Cahaya telah berkomplot dengan pembesar yang setia kepada Raja Duong untuk melantik putera yang masih kecil. Usaha permaisuri itu gagal apabila Trang Nghe-Thong saudara kepada Raja Duong menghalang pertabalan tersebut, hal ini membuatkan permaisuri Duong Khoung terkejut dan rasa terancam lalu melarikan diri ke Campa serta memohon perlindungan daripada Raja Che Bo Nga pada 1370.

Setahun selepas itu (1371), Kerajaan Campa telah berjaya menawan Hanoi, dan Raja Che Bo Nga telah melantik Duong Khoung sebagai Raja Dai Viet. Hubungan baik Campa dan Dai Viet kekal sementara sahaja apabila ia disabotaj oleh bapa saudara Duong Khuong yang tidak senang dengan perdamaian ini. Pihak Dai Viet yang tidak menyokong perdamaian itu telah membakar sebuah kapal dagang Dai Viet di Kota Bal Ngwe, kelasi kapal dibunuh dan isi kapal dagang itu habis dibakar, hanya seorang yang berjaya menyelamatkan diri serta melaporkan kejadian itu kepada Duong Khuong.

Siti Zubaidah Menyelamatkan Raja Che Bo Nga
Tanpa menyedari kejadian itu hanyalah satu muslihat untuk mengeruhkan hubungan Campa dan Dai Viet, Duong Khuong telah menyerahkan kuasa memerintah Dai Viet kepada ayahnya, Tran Due-Thon pada 1372 dan bersiap bersama adik beradiknya (puteri-puteri Tran Due-Thon) yang lain untuk menyerang Campa. Puteri Dai Viet ini telah berjaya menawan Raja Che Bo Nga dan empat orang pengiringnya ketika berangkat dari Istana Isteri Mudanya, Dewi Manisuka (Puteri Sejarah) tanpa pengetahuan Siti Zubaidah. Peristiwa penahanan Raja Che Bo Nga oleh Dai Viet telah mencetuskan episod pengembaraan Siti Zubaidah yang ketika itu sedang sarat mengandung. 

Berkat kasih sayang dan kecintaan Siti Zubaidah kepada suaminya Raja Che Bo Nga, beliau telah berjaya merentas hutan rimba dan telah berjaya membebaskan suaminya dan juga pengiring baginda yang dikurung dalam perigi beracun. Mereka telah melarikan diri dengan menaiki kuda dari Hanoi hinggalah ke Ibu Negeri Campa, berita Raja Che Bo Nga diselamatkan oleh Siti Zubaidah telah mencetuskan kemarahan kepada Permaisuri Duong Khoung dan ayahnya Tran Due-Thon. 

Pada Januari 1377, Dai Viet telah melancarkan serangan ke atas Campa setelah tiga bulan peristiwa Siti Zubaidah menyelamatkan Raja Che Bo Nga. Dai Viet dengan kekuatan 120,000 tentera telah menyerang Kota Bal Ngwe dari arah laut, serangan besar-besaran ini telah dijangka oleh Raja Che Bo Nga dan beliau telah mengenakan helah terhadap angkatan Dai Viet, dengan menghantar seorang rakyat Campa dengan menyatakan Raja Che Bo Nga telah mengosongkan Kota Bal Ngwe dan masih sempat jika dikejar. Mendengar maklumat tersebut Dai Viet telah mengarahkan tenteranya mengejar serentak dengan itu, angkatan Campa yang bersembunyi telah melancarkan serangan mengejut keatas Tran Due-Thon dan panglimanya hingga berjaya membunuh mereka.

Kemangkatan Raja Che Bo Nga
Sebenarnya dalam tempoh tiga bulan selepas diselamatkan dari Perigi Beracun, Raja Che Bo Nga telah mendapatkan bantuan kententeraan daripada Kerajaan Majapahit dari Semenanjung Melayu dan Segenting. Siti Zubaidah juga turut serta dalam pertempuran ini dengan memakai persalinan lelaki, beliau telah berjaya menawan puteri-puteri Dai Viet termasuklah Duong Khuong. Setelah puteri-puteri Dai Viet ini diIslamkan oleh Siti Zubaidah, mereka telah dikahwinkan dengan panglima-panglima Campa, Duong Khuong yang dikenali sebagai Kilan Cahaya telah dikahwinkan dengan Raja Che Bo Nga sendiri.

Tidak lama setelah itu, Raja Che Bo Nga telah menyiapkan armada lautnya dan menyerang Hanoi, saat armada Campa mendekati Hanoi, Tran De-Hien dengan terburu-buru mengisytiharkan diri sebagai Maharani Dai Viet dan melakukan persiapan untuk mempertahankan Hanoi namun ia sudah terlambat dan armada Campa telah berjaya menawannya. Banyak harta rampasan telah diperoleh dari Hanoi dan ada harta-harta tersebut dihantar ke China sebagai hadiah kepada Maharajanya, satu usaha dari Campa untuk mengelakkan campurtangan Empayar China dari turut terlibat dalam persengketaan itu. Pengepungan Campa keatas Dai Viet tidak berpanjangan, pada 1388 Raja Che Bo Nga telah dibunuh ada yang mengatakan beliau telah dibunuh oleh panglimanya sendiri iaitu La Khai. Setelah itu panglima ini telah membawa pulang angkatan Campa pulang semula ke Bal Ngwe dan telah mengangkat dirinya sebagai Raja Campa dengan gelaran Sri Jaya Simhavarmadeva V Sri Hariyati Virasimha Campa Pura. Perbuatan La Khai ini ditentang oleh Siti Zubaidah, Permaisuri Campa namun akhirnya beliau mengalah menyebabkan La Khai semakin bermaharajalela. Ramai pembesar dan kerabat Campa melarikan diri ekoran kekejaman pengganti Raja Campa itu, hinggalah La Khai mati dibunuh panglimanya juga yang mendapat sokongan daripada Siti Zubaidah.

Kesimpulan
Siti Zubaidah mempunyai beberapa gelaran sesuai dengan status semasa beliau. Ada masa dikenali seabagai Puteri Saadong, Dewi Nareswari dan ada masa nama aslinya disebut iaitu Siti Zubaidah. Kisahnya dalam Syair Siti Zubaidah Perang Cina sangat panjang namun kisah yang paling signifikan dan mengesankan kepada pembaca dan pengkaji adalah kisah perjuangan beliau dalam membebaskan suaminya dari bahaya.

Beliau sangat cekal dan tabah apabila melihatkan kelemahan para pembesar Campa apabila Raja Che Bo Nga ditawan di Hanoi, mereka hanya berdiam diri dan menanti bantuan sahaja. Siti Zubaidah tidak bertangguh dalam soal itu, tanpa memikirkan bahaya beliau telah berjaya membebaskan Raja Campa dari tawanan, sekaligus membuktikan bahawa tindakan sebegitu tidak mampu dilakukan oleh wanita biasa. Cuma dalam sejarah Kelantan, perkara sebegini tidak begitu luar biasa berikutan ibu saudaranya Adruja Wijayamala Singha@Cik Siti Wan Kembang juga  mempunyai keberanian dan ketabahan yang sama.

Selain semangat yang kental, Siti Zubaidah digambarkan sebagai seorang yang pintar dalam soal strategi perang dan selok belok pentadbiran, beliau juga dilihat sebagai seorang yang alim dan tinggi pengetahuan berkenaan Ilmu Agama. Bagaimanapun dalam penulisan ini kami tidak dapat temukan bagaimana riwayat Siti Zubaidah ini berakhir, ia terhenti setelah kekacauan di Campa selepas kemangkatan Raja Che Bo Nga. Apa pun, penulisan ini dapat kita gambarkan secara ringkas siapa Siti Zubaidah dan pasti ada Ilmuwan lain yang lebih mengetahui kisah lengkap beliau.

Keris Campa

Wallahualam!


Rujukan:
  • [Buku] 101 Puteri Dunia Melayu
  • http://royalark.net/Malaysia/kelant2.htm
  • http://s1294.photobucket.com/user/ppsejarahkelantan/media/Large%20Image/SalasilahKesultananKelantan_zpsc4fd2768.jpg.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...