SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday, 12 April 2015

Jogho antara Kehidupan dan Jati Diri : Siri Orang Kito

Pesta Laga Lembu di Kubang Kerian [bong Raja Muda] pada 1900 

Pendahuluan
Jogho dalam Bahasa Melayu Standard bermaksud Juara iaitu pemenang atau lebih tepat individu atau kumpulan yang memenangi sesuatu pertandingan. Bagaimanapun dalam dialek Kelantan, maksud Jogho lebih daripada seorang juara, selain dari makna pemenang, perkataan ini dalam dialek Kelantan bermaksud seseorang yang mempunyai minat yang mendalam dan melibatkan diri secara langsung dalam sesuatu permainan, perlawanan atau persembahan. Contohnya:


  • Jogho Lembu : merujuk kepada individu yang mahir serta menaruh minat yang tinggi dalam laga lembu.
  • Jogho Wau : merujuk kepada individu yang mahir dan arif tentang permainan wau
  • Jogho Gasing : pakar kepada pembuatan dan permainan gasing


Bagaimanapun istilah Jogho dalam generasi Kelantan terdahulu lebih merujuk kepada mereka yang terlibat dalam Pertandingan Laga Lembu satu permainan tradisi Kelantan yang sudah pupus sama sekali. Walau sudah pupus, ia tetap diingati oleh orang-orang Kelantan sebagai satu permainan yang pernah disambut dengan meriah selayak dengan persembahan Corrida de Toro dengan disudahkan persembahan Matador melembing hingga mati lembu di Sepanyol atau Rodeo di Amerika. Kisah kehidupan Jogho juga telah diterjemahkan dalam novel karya S.Othman Kelantan, anak jati Kota Bharu yang kemudiannya telah disadur dalam bentuk filem dengan tajuk "Jogho". Filem ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dalam dunia perfilemen dimana pelakon malah filem itu sendiri diiktiraf dengan pelbagai anugerah pada peringkat antarabangsa.

Latar Belakang
Permainan ini juga masyhur dengan sebutan berlaga di mana ia melibatkan haiwan seperti lembu atau kerbau dan ia adalah pertarungan antara haiwan sesama haiwan bukan dengan manusia dan ia hanya diangsungkan di Kelantan. Menurut penyelidik C.C.Brown perlawanan ini berasal dari Siam dan ia dibenar diadakan di seluruh Kelantan semasa pemerintahan Sultan Muhammad IV, waktu itu semua orang bebas membuka gelanggang perlawanan sendiri yang lebih dikenali sebagai bong. Bagaimanapun pada tahun 1917 ia telah dihadkan, hanya Sultan dan Raja Muda sahaja yang boleh membuka bong, dengan bong Sultan terletak di Merbau dan bong Raja Muda terletak di Kubang Kerian.

Sewaktu Kelantan diperintah oleh Sutan Ismail I, bong Raja Muda telah ditutup manakala pada 1919 bong Sultan di Merbau pula ditutup dan sebagai ganti baginda telah membuka bong di Nilam Puri yang terkenal dengan gelaran Bong Lubuk Nilam bagaimanapun ia telah ditutup tidak lama kemudian. Perlawanan ini sentiasa menarik minat segenap lapisan masyarakat di Kelantan dan ramai peminat tegar dalam perlawanan ini, atas faktor ini Datuk Kaya Budi telah membuka bong di Dalam Lanas, Tumpat. Malangnya bong ini juga telah ditutup berikutan kejadian lembu naik minyak  hingga menyerang penonton.

Berikutan kejadian lembu naik minyak dalam bong di Tumpat, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan peraturan kepada sesiapa yang ingin mendirikan bong, mesti mengikut piawaian tertentu iaitu bong haruslah mempunyai kawasan yang luas dan sekurang-kurangnya 3.2. kilometer jauh dari bandar. Setelah peraturan itu dikeluarkan laga lembu-kerbau ini makin berkurangan hingga beberapa tahun sebelum tercetusnya Perang Dunia ke-2 temasya ini tidak lagi dianjurkan. Sewaktu Jepun menduduki Kelantan, temasya ini dihidupkan kembali dengan meriahnya dengan sebuah bong telah dibuka di Wakaf Siku namun ia akhirnya ditutup juga setelah Jepun menyerah kalah dalam perang yang paling diingati itu.

Jogho [Unar, lembu, dan Terinar] 1908 | Sumber Kelantan A Handbook tulisan W.A.Graham

Perlagaan
Bong atau gelanggang mempunyai ukuran sebesar padang bola sepak, ditengahnya dibina satu kawasan berpagar yang kukuh untuk tempat perlagaan lembu atau kerbau. Individu yang menguruskan perlagaan itu terdiri daripada tuan punya binatang (unar), gembala (terinar), pengadil (Ketua Bong), 12 orang Jogho (juara pengadu) dan beberapa orang bomoh. Pada pagi hari perlawanan, bomoh bagi setiap unar akan mengadakan upacara kembang iaitu satu ritual memuja binatang yang akan memasuki bong. Setelah itu ia akan dimandikan dengan bedak langir atau berlimau. Haiwan perlagaan itu akan sekali lagi dipuja sebelum dibawa ke gelanggang.

Sebelum perlagaan dimulakan, Ketua Bong dan Jogho telebih dahulu memilih dan menetapkan tiap-tiap haiwan yang akan mengambil bahagian dalam satu-satu perlawanan. Setelah ditetapkan, pemilik haiwan itu sendiri akan dibenarkan memeriksa haiwan yang akan bertempur dengan lembu atau kerbau miliknya dengan menyapu tengkok, kepala dan tanduk dengan kain basah untuk membersihkan lembu tersebut dari ubat pemedih atau lemak harimau yang ditegah dalam bong. Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan keadaan lembu masing-masing barulah ia akan diperegukan dalam bong.

Tempoh perlawanan ini berlangsung antara 30-45 minit bagi pasangan yang baik, namun ia boleh memakan sehari suntuk sekiranya pasangan lembu itu kurang baik seperti lembu dogol (tiada tanduk) berikutan lembu dogol sentiasa berhenti-henti dan kebiasaannya ia berkesudahan seri. Kalah Menang perlawanan ini selalunya ditentukan bila salah seekor diantara yang berlaga itu berkali-kali melarikan diri dari berlawan. Sebelum menentukan kekalahan, haiwan-haiwan itu akan diuji untuk meneruskan perlawanan dan ia akan diisytihar kalah apabila enggan lagi meneruskan perlawanan itu.

Sebernarnya dalam temasya laga lembu ini wujud unsur perjudian dikalangan penonton, namun ia berlaku dalam jumlah yang kecil. Pada waktu laga lembu masih popular, ia dianjurkan selepas tamatnya musim menuai, walaupun ada unsur perjudian, laga lembu tidak boleh disamakan dengan lumba kuda yang berteraska pertaruhan dan judi semata-mata, ringkasnya Laga Lembu merupakan antara tanda keaslian kebudayaan masyarakat Melayu Kelantan.

Rumusan
Laga Lembu merupakan satu aspek kebudayaan dalam masayarakat Melayu Kelantan bagaimanapun ia tidak lagi diadakan pada masa kini atas beberpa faktor seperti berikut:

  1. Keselamatan berikutan lembu yang dipertandingkan dalam bong naik minyak dan menyerang penonton.
  2. Sultan telah menghadkan pembukaan bong oleh rakyat biasa dan ini melemahkan semangat individu yang berminat untuk membuka bong.
  3. Kerajaan Negeri telah memperkenalkan peraturan khusus bagi bong yang  mahu dibuka selepas yang memerlukan pemilik bong mempunyai tanah yang luas.
  4. Kesedaran sivik dan agama berkenaan tindakan zalim keatas haiwan tersebut ketika ia berada dalam bong.
  5. Kewujudan unsur judi menyebabkan temasya ini semakin suram dan tidak lagi mendapat tempat dikalangan rakyat Kelantan yang pada waktu makin dekat dengan ajaran Islam berikutan kepulangan beberapa Ulama seperti Tok Kenali dari Mekah.
5 faktor ini merupakan punca utama Laga Lembu tidak lagi dianjurkan di negeri Kelantan dan yang paling utama, menganiayai haiwan belaan adalah satu perkara yang ditegah dalam Islam dan kini ia tidak lagi diadakan di Kelantan.

Bong Sultan Muhammad IV pada 1908

Bong Sultan di Merbau, Kota Bharu
Bong zaman Jepun di Pasir Puteh sekitar tahun 1940an



Rujukan
  • [Monograf] Warisan Kelantan XI m.s. 20
  • [Monograf] Beberapa Aspek Warisan Kelantan  m.s 76
  • [Jurnal] Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society Volume 6 Number 1 1928 p.g 74-82

Thursday, 9 April 2015

Masjid Muhammadi Universiti Terbuka Kelantan : Siri Orang Kito


Ariel View : Masjid Muhammadi Kota Bharu, Kelantan [Sumber : pixoto.com]


Pendahuluan
Masjid merupakan Rumah Allah, dan menjadi kewajipan setiap pemerintah Kerajaan Islam membina kemudahan ibadat ini dengan harapan seluruh rakyat boleh memakmurkan Rumah Allah ini. Begitulah adatnya diseluruh Alam Nusantara ini, masjid dan surau ada dimana sahaja dan tidak menjadi satu masalah kepada Umat Islam untuk menunaikan kewajipan Ibadat Solat termasuklah di Kelantan.

Masjid yang sentiasa diingati di Kelantan adalah Masjid Muhammadi. Masjid ini menyaksikan Islam berkembang dengan pesat di Kelantan berikutan ia menjadi lokasi utama masyarakat umum dari Kelantan, Patani, Terengganu, Kedah serta dari Acheh menadah ilmu agama Islam sebelum melanjutkan pelajaran ke Tanah Suci Mekah dan Al Azhar di Mesir. Ramainya penuntut dan pelajar yang bermusafir di Masjid Muhammadi menyebabkan mereka membina kediaman sementara sekitar Masjid yang dikenali sebagai pondok sebagai tempat berteduh menunggu hari siang. Begitulah kelangsungan budaya menuntut ilmu di Kelantan terutamanya di Kota Bharu pada waktu itu, tetapi ramai yang melihat fungsi Masjid Muhammadi sekadar sebagai pusat perkembangan Ilmu di Kelantan, jarang yang cuba menyelidiki kisah disebalik pembinaan dan tujuan ia dibina dengan senibinanya yang unik yang pada satu masa dirujuk sebagai Masjid Besar Kelantan.

Pembinaan
Tarikh tepat mengenai pembinaan masjid ini tidak dapat dipastikan, setakat yang diketahui ianya telah berdiri ratusan tahun lampau, bagaimanapun ia sering dilanda banjir hinggalah pentadbiran Sultan Muhammad II (1838-1886) mengarahkan pembinaan semula masjid tersebut di atas tapak asal masjid lama selepas ia dilanda bah pada 1847. Pada masa pemerintahan baginda juga, Kelantan telah mengamalkan undang-undang syariah sepenuhnya malah Hukum Hudud juga telah dikuatkuasakan.

Berdasarkan kepada foto 1905, itulah rupa bentuk Masjid Besar, paling menarik penulis dalam gambar ini adalah lampu jalan berhampiran pintu gerbang masjid. Ketika ini strukturnya masih sepenuhnya dalam senibina Melayu yang menggunakan kayu-kayu terpilih hinggalah ia mula diubah suai dengan penggunaan konkrit pada 1922 dan sehinggalah ianya dirasmikan oleh KDYMM Sultan Ismail I ibn Almarhum Sultan Muhammad IV pada 31 Julai 1931 dan dinamakan sebagai Masjid Muhammadi.


Gambar 1 : Masjid Besar 1905 [Sumber : Monograf Warisan Kelantan VII 1984] 

Gambar 2 : Masjid Muhammadi Pada 1960

Gambar 3 : Masjid Muhammadi pada masa kini


Gambar 1-3 adalah bukti akan perubahan yang berlaku kepada Masjid Muhammadi. Gambar pertama memaparkan senibina masjid ini masih lagi utuh dengan binaan orang-orang Melayu yang menggunakan kayu kayan, namua ia mula berubah setelah ia diubah suai dengan penggunaan konkrit, ia telah memasukkan unsur seni bina asing dalam binaan masjid. Sejajar dengan umur masjid ini yang lama, wajar ia dibaik pulih serta dilakukan penambahbaikkan untuk melanjutkan lagi tempoh penggunaannya, untuk rekod masjid ini telah menjalani proses penambahbikkan sekurang-kurangnya setiap 10 tahun bermula 1959, 1968, 1976, dan 1987.

Pada gambar kedua, kelihatan masih dikekalkan unsur binaan kayu, bagaimanapun sudah kelihatan menara batu setinggi tiga tingkat di sebelahnya, gabungan antara binaan asli dan moden dalam gambar 2 itu cukup mengkagumkan, bagaimanapun binaan ini tidak lagi wujud pada gambar 3, dipercayai ia telah musnah dalam Peristiwa Bah 1967 yang melanda seluruh Kelantan dan ianya digantikan dengan struktur konkrit pada 1976. Hikmahnya, selepas menjalani beberapa fasa penambahbaikkan Masjid Muhammadi terus utuh dan hingga kini ia mampu menampung jemaah seramai 2400 orang dengan keluasan 10,600 kaki, kapasiti ini cukup menggambarkan akan struktur masjid ini, justeru ia relevan untuk dijolok sebagai Masjid Besar Kota Bharu. 




Masjid Besar KB 1930



Rakam pada hari perasmian Masjid Muhammadi 
pada 31 Julai 1931


Sumbangan Masjid


Menara Masjid 1945
Masjid ini sebenarnya amat sinonim kepada seluruh masyarakat Semenanjung terutama mereka yang aktif dalam pengajian Islam, pada dekad 1920an ia dianggap sebagai Universiti Terbuka di Kelantan malah seluruh negara berikutan telah melahirkan ramai alim ulama dan siswazah pondok.  Malah beberapa ulama besar Kelantan dan Semenanjung seperti Tuan Tabal (1840-1891), Haji Wan Ali Kutan (1837-1912), & Tok Kenali (1869-1933) telah diberi amanah untuk mengajar di Masjid ini. Pada masa itu semua orang bebas datang untuk menuntut ilmu  dan ianya percuma sepertimana diamalkan di Masjidil Haram yang juga lokasi selanjutnya kepada pelajar-pelajar setelah mendalami pendidikan Islam di Masjid ini, kerana itu Kelantan telah mendapat gelaran Serambi Mekah.

Selain menjadi pusat perkembangan Islam di Kelantan dan Semenanjung yang ditunjangi oleh ulama-ulama terkenal, peranan Imam Masjid Muhammadi juga penting untuk merencanakan pemeliharaan masjid serta pengisiannya selain itu Imam juga bertindak sebagai Khadi yang suatu ketika dahulu terlibat juga dalam menentukan Hukum dalam Undang-Undang Syariah Kelantan dan fungsi Imam pada zaman itu lebih besar berbanding Imam pada zaman kini.


Berikut 10 Imam Besar Masjid Muhammadi:
  1. Haji Muhammad Salleh, Kg. Masjid, Kota Bharu
  2. Haji Abdul Rahman Arab Kg.Mek Senggora, Kota Bharu
  3. Haji Wan Abdullah bin Wan Derahim, Sg.Budor
  4. Haji Che Samat bin Che Senik, Kg.Laut Tumpat
  5. Haji Nik Wan Daud bin Haji Wan Sulaiman, Kg.Atas Banggol, Kota Bharu
  6. Haji Wan Muhammad bin Haji Abdul Samad, Kg. Tok Semian
  7. Haji Nik Mahmud bin Haji Wan Abdul Kadir, Kg. Nik Dhir Nakhoda, Kota Bharu
  8. Haji Ahmad Hafidz bin Haji Jamaluddin, Kg. Che Su, Kota Bharu
  9. Haji Wan Ahmad bin Haji Muhammad Said, Kg.Balik Kota, Kota Bharu
  10. Haji Nik Abdul Rahman bin Haji Wan Abdullah, Kg. Tok Semian, Kota Bharu

Imam Muda
  1. Haji Wan Muhammad bin Haji Abdul Samad [16/11/1896 - 4/11/1907]
  2. Haji Nik Mahmud bin Haji Nik Abdul Kadir [8/2/1909 - 8/2/1921]
  3. Haji Ahmad Hafidz bin Haji Jamaludin [9/2/1921-28/2/1942]
  4. Haji Wan Ahmad bin Haji Muhammad Said [1/3/1942-30/4/1943]
  5. Haji Nik Abdul Rahman bin Nik Kub [1/5/1943 - 30/6/1949]
  6. Haji Nik Mat bin Nik Kub [1/1/1949-28/2/1951) 

Imam Waktu
  1. Haji As'ad bin Haji Daud 
  2. Haji Ahmad Hafdz bin Jamaluddin
  3. Haji Nik Mat Puteh bin Khatib Wan Musa
  4. Haji Ishak bin Lebai Din/Shamsuddin
  5. Haji Abdul Aziz bin Haji Noh
  6. Ustaz Haji Ismail bi Yusuf

Khatib
  1. Haji Wan Musa bin Haji Wan Sulaiman
  2. Haji Wan Omar bin Haji Wan Sulaiman
  3. Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin
  4. Haji Wan Abdullah bin Haji Abdul Samad
  5. Haji Wan Daud bin Haji Wan Ismail
  6. Haji Wan Ahmad bin Haji Muhammad Said
  7. Haji Nik Muhammad Adeeb bin Haji Nik Mat Api
  8. Haji Nik Abdulrahman bin Nik Kub
  9. Haji Ismail bin Haji Abdul Majid

Bilal
  1. Haji Jusoh Kechik
  2. Haji Yusof bin Muhammad Taib
  3. Haji Abdul Latif bin Jalaluddin
  4. Haji Muhammad Salih bin Musa
  5. Haji Nik Mustafa bin Nik Mahmud
  6. Haji Ahmad bin Haji Mamat
  7. Haji Muhammad bin Haji Yussof
  8. Haji Ishak bin Lebai Din / Shamshddin
  9. Haji Ismail bin Abdul Rahman
  10. Haji Abdul Latif bin Abu Bakar
  11. Haji Abdul Aziz  bin Haji Noh
  12. Haji Yusof bin Haji Bulat
  13. Haji Muhktar bin Haji Ahmad
  14. Haji Abdulrahman bin Muda
  15. Haji Nordin bin Idris
  16. Muhammad Saufi bin Ismail
  17. Haji Abdul Rahim bin Haji Ahmad
Dikatakan ini adalah binaan Gunungan Pintu Gerbang Masjid Muhammadi yang berusia 100 tahun
Sumber : FB Tuan Mohd Noor Hashim

Rujukan:
  • [Jurnal] Warisan Kelantan XIII, Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Abdul Razak Mahmud m/s 20-33
  • [Jurnal] Warisan Kelantan XIV, Imam-Imam Masjid Muhammadi, Ismail bin Che Daud m/s 1-27
  • [Buku] Keluarga DiRaja Kelantan m/s: 25
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid_Muhammadi  
  • https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10206507293229925&set=o.151961668148240&type=1&theater                                              

Monday, 6 April 2015

Aspirasi Mak Yong Kelantan Bahagian Kedua: Siri Orang Kito



Pendahuluan
Bahagian pertama sebelum ini telah kami kongsikan berkenaan Latar Belakang dan Versi Kisah yang menjadi asas kepada persembahan Mak Yong. Terdapat 4 versi kisah yang menjadi asas kepada persembahan tradisi masyarakat Kelantan, dan keempat-empat versi ini berkongsi satu instrumen penting iaitu Rebab satu intrumen yang akan kami kisahkan nanti. Pada bahagian kedua ini kami akan cuba sampaikan berkenaan:

  • Perkembangan Persembahan Mak Yong
  • Mak Yong di Kelantan
  • Elemen Mak Yong
  • Aspirasi Mak Yong

Perkembangan Mak Yong
Pelbagai teori telah dikeluarkan tentang penyebaran persembahan Mak Yong, antaranya persembahan ini berasal dari Terengganu, Kelantan, Patani dan Sumatera. Teori persembahan ini berasal dari Terengganu telah diterbitkan oleh saudara Mohamed Afandi dalam kajian beliau dengan menyatakan persembahan ini berasal dari Setiu yang pada zaman Patani Besar merupakan sebahagian daripada Kelantan yang juga gabungan gagasan Patani Besar. 

Mohamed Afandi menyatakan lagi, Padang Permaisuri merupakan nama lama bagi daerah Setiu yang kini menjadi bahagian daripada negeri Terengganu Darul Iman. Cerita lisan penduduk veteran sekitar Setiu, Padang Permaisuri ini merupakan sebuah negeri dengan Sultan Abdullah sebagai Raja Padang Permaisuri. Suatu hari baginda mahu mengadakan majlis berkhatan putera baginda, memenuhi majlis tersebut, baginda menitahkan agar dipersembahkan dua belas ragam permainan dan persembahan seperti Asyik, Joget, Menora. Wayang Topeng, dan lain-lain termasuklah Mak Yong. Tarian lain boleh dipersembahkan, kecuali Mak Yong, menjadi kehairanan terhadap perkara tersebut, Raja Padang Permaisuri telah menitahkan pengasuh ke hulu negeri untuk bertemu dengan seekor Batak Putih (Lotong atau Kera) yang boleh bercakap. Batak Putih memaklumkan bahawa Mak Yong memang wujud di negeri tersebut dan ia diyakini merupakan kisah tiga beranak iaitu, Pak Yong yang bernama Cik Mubin, Mak Yong dan anak mereka Awang. Ketika keluarga ini sedang meluang masa di bawah sebatang pokok besar, mereka telah dilanda ribut. Berguguranlah ranting-ranting dan daun-daun ke tanah dan mereka cuba mengelak dari terkena ranting-ranting yang luruh itu. Aksi dan gaya keluarga ini telah mengilhamkan bentuk dan gerakan tarian dalam persembahan Mak Yong. 

Terdapat juga teori yang menyatakan Mak Yong berasal dari Sumatera dan ia popular di kalangan golongan diRaja. Ia diasaskan oleh masyarakat Batak dan ia boleh dilihat dalam Hikayat Mat Yong dimana naskhah tersebut sering memaparkan frasa Maka Raja Batak dan nama-nama lain yang mempunyai kaitan dengan nama suku kaum di Sumatera. Hal ini dipercayai tercetusnya perang di Sumatera menyebabkan seorang raja telah melarikan diri bersama pengikutnya dan mendarat di Padang Raja yang kini dalam Terengganu. Pengikut Raja dari Sumatera inilah yang membawa permainan Mak Yong dan ia dipelajari ole orang-orang Kelantan dan dipersembahkan di Istana.

Mubin Sheppard pada 1972 menyatakan:

"Mak Yong is the oldest form of Malay drama dan has been performed in Patani and Kelantan for hundreds of years."
Persembahan Mak Yong dipercayai mula dipersembahka di Patani pada zaman pemerintahan Ratu Pelangi, iaitu Raja Hijau, Raja Biru, Raja Ungu dan Raja Kuning dalam tempoh 1585-1680. Raja Ungu telah berkahwin dengan Sultan Abdul Ghafar, Sultan Pahang dan perkahwinan mereka dikurniakan Raja Kuning yang kemudiannya berkahwin dengan Sultan Abdul Jalil III, Sultan Johor. Ketika inilah seni ini berkembang ke seluruh Alam Melayu, memandangkan kerajaan Johor dan Pahang pada masa tersebut merupakan Kerajaan Melayu yang berpengaruh selain Patani dan Acheh.

Mubin Sheppard bertegas dengan teori beliau bahawa seni persembahan Mak Yong berkembang dari Istana Patani ke Istana Kelantan dan dikuatkan lagi akan pertalian darah antara kedua-dua Kesultanan ini. Pengembara barat, Peter Flores telah tiba di Patani pada 1612 bersama rombongan Sultan Pahang mencatatkan bahawa mereka telah diraikan oleh Raja Perempuan Patani dengan satu bentuk persembahan yang tiada di tempat lain. Catatan ini merupakan catatan pertama berkenaan sejarah Mak Yong

Tengku Temenggung Ghaffar
Mak Yong di Kelantan
Sehingga tahun 1930,  persembahan Mak Yong merupakan seni persembahan eksklusif untuk orang Kelantan sahaja. Pada 1926, Tengku Temenggung Ghafar seorang putera Raja Kelantan telah membina sebuah penempatan yang dikenali sebagai Kampung Temenggung (Kampung Raja) sebagai pusat aktiviti kebudayaan. Pemain Mak Yong juga ditempkan dalam perkampungan tersebut, mereka ditempatkan dikampung tersebut untuk menjalani latihan harian demi menjamin mutu persembahan. Selian itu, pihak Istana Kelantan juga memberi perlindungan penuh kepada semua yang terlibat dengan seni serta kebudayaan masyarakat Kelantan. Semasa pemerintahan Sultan Ismail 1, persembahan Mak Yong telah dijadikan satu persembahan rasmi dalam majlis dan keraian rasmi.

Kegawatan ekonomi selepas Perang Dunia Kedua serta kemangkatan Tengku Temenggung dan pengaruh Inggeris yang kembali semula ke Kelantan selepas Jepun mengaku kalah telah menjatuhkan mutu persembahan seni tari tradisi ini. Dahulu Mak Yong adalah eksklusif hanya untuk golongan bangsawan, kini penggiat Mak Yong bergiat sendirian. Kumpulan Mak Yong yang ditubuhkan oleh pasangan suami isteri tumbuh ibarat cendawan. Ia dipersembahkan di kampung-kampung menyebabkan berlakunya kemerosotan mutu persembahan dari segi cerita, gerak tari dan lagunya. Golongan penonton yang terdiri dari orang kebanykkan antara faktor kesenian dalam persembahan ini makin merosot berikutan mereka hanya inginkan satu persembahan yang ringan dan durasi persembahan ini juga dipendekkan.

Selain itu persembahan ini juga telah dikomersialkan iaitu ia mula mengenakan bayaran untuk setiap kali beraksi. Penduduk kampung akan menjemput kumpulan Mak Yong yang popular dan mereka akan mengenakan bayaran tertentu. Bagi kumpulan yang kurang popular, merekan akan mengadakan persembahan tersendiri di satu kampung dan akan mengenakan bayaran keatas individu yang ingin menonton persembahan Mak Yong. Pada zaman kegemilangannya, anak-anak Mak Yong diberikan pendidikan agama secara khusus oleh pihak Istana, namun kini mereka mula bebas menyebabkan moral mereka jatuh dengan menjadi anak joget setelah selesai persembahan Mak Yong akibat didorong wang saguthati diterima.

Masalah moral di kalangan anak-anak Mak Yong menyebabkan pada akhir 60an, menyebabkan orang ramai terutama golongan muda tawar hati untuk mempelajari seni tradisi rakyat Kelantan ini. Pada masa tersebut hanya penari-penari yang lanjut usia shaja yang membuat persembahan. Kemasukan budaya popular juga memberi kesan kepada seni persembahan tradisional ini sehingga menjadikan seni Mak Yong tenat.

Kerajaan sedar akan kepentingan mengekalkan keseniaan Mak Yong, dan pihak kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan International Conference of Traditional Drama and Music of Southeast Asia pada 1969. Satu resolusi telah dikeluarkan dan ia diselia dengan ketat oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah melantik anak-anak Mak Yong pada zaman Tengku Temenggung sebagai jurulatih dan guru untuk melatih generasi muda bagi mengekalkan kesenian kebudayaan itu sendiri. Serentak dengan itu juga telah ditubuhkan sebuah kumpulan belia yang dikenali sebagai Kumpulan Seri Temenggung untuk memperjuangkan kelangsungan kesenian tradisional.

Kumpulan ini telah dipelopori oleh Puan Khatijah Awang yang mendapat bimbingan  Cik Kemala seorang anak Mak Yong yang terkenal pada zaman Tengku Temenggung. Terdapat tentangan daripada masyarakat pada peringkat penubuhan kumpulan ini dan menyebabkan kumpulan ini sukar untuk menambah keahlian. Bagaimanapun kumpulan ini telah diberi peluang untuk melakukan persembahan sewaktu Festival Asia di Kuala Lumpur pada 1969, setelah itu persembahan Mak Yong telah mendapat perhatian ramai dan semenjak dari itu, persembahan ini menular keluar dari Kelantan.

Persepsi rakyat Kelantan kepada anak Makyong serta percanggahan akidah antara ritual Makyong dengan amalan ibadat serta pegangan kepada Islam ditambah pula perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri telah menyebabkan seni Makyong telah dipinggirkan dalam kehidupan masayarakat Kelantan. Justeru, Akademi Seri Kebangsaan (ASK) telah menawarkan kursus berkenaan Mak Yong dan bermulalah pembelajaran formal berkenaan seni tradisi orang Kelantan ini.

Aspirasi Mak Yong
36 tahun adalah tempoh yang ditempuh oleh penggiat seni kebudayaan terutama anak-anak Mak Yong telah membuahkan hasil jua, apabila UNESCO mengiktiraf seni kebudayaan ini sebagai Warisan Dunia pada 25 November 2005. Dalam tempoh ini pelbagai kajian berkenaan seni persemabahan ini telah dijalankan dan didapati ia bukanlah dimainkan di Kelantan sahaja, malah ia telah tersebar sejauh Riau di Indonesia, para pengkaji telah menklasifikasi seni persembahan ini seperti berikut:

  • Makyong Patani : ditemui di Patani, Yala dan Narathiwat.
  • Makyong Kelantan : ditemui di Kelantan dan daerah Besut di Terengganu
  • Makyong Kedah : ditemui di Kedah
  • Makyong Laut : ditemui di Perlish dan Wilayah Satun
  • Makyong Riau : ditemui di Wilayah Riau
  • Makyong Medan : ditemui di Medan
  • Makyong Kalimantan : ditemui wilayah Kalimantan

Satu penghormatan buat anak-anak Makyong apabila seni ini diprsembahkan di luar lingkup sempadan Kelantan. Variasi seni persembahan ini menandakan ia satu seni yang universal dan dikongsi dengan penduduk beberapa buah negara yang masih lagi serumpun dalam kelauarga Bangsa Melayu. Ternyata perjuangan sepanjang masa ini telah membuahkan hasil.

Saat ini kebanyakkan Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia mempunyai kursus seni persembahan dan Makyong merupakan satu subjek kemestian diambil oleh penuntut. Paling manis, Universiti Malaysia Kelantan juga sedang giat mengangkat semula seni Makyong di bumi Kelantan mengikut lunas dan landsan yang sebenar. Semoga seni tradisi ini terus subur dan menjadi eksklusif kembali dalam masyarakat Kelantan.


Rujukan:
  • http://mimbarkata.blogspot.nl/2013/04/mak-yong-muzikal-drama-dan-tari.html
  • http://www.virtualmalaysia.com/blog/mak-yong-raja-besar-ho-gading/
  • http://makyongkepri.blogspot.nl/
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Mak_Yong

Friday, 3 April 2015

Aspirasi Mak Yong Kelantan - Bahagian Pertama : Siri Orang Kito

Khatijah Awang, gambar oleh Haji Mubin Sheppard -Arkib Negara
Pendahuluan
Mak Yong, masyarakat mengenalnya sebagai satu identiti bagi negeri Kelantan. Ia dikaji dan diselidik dengan mendalam, lantas ia menjadi satu dari seni kebudayaan Rakyat Malaysia. Unik dan tersendiri begitulah orang mengenal persembahan Mak Yong, variasi alat muzik hinggalah kepada kostum dan wardrobe ia amat berbeza dengan seni persembahan Melayu yang lain. Justeru ia menarik minat ramai peminat dan pengkaji seni kebudayaan dari pelbagai institusi. Satu ketika, Kelantan semakin dikenali.

Bagaimanapun, polisi kerajaan negeri berubah dan kesedaran masyarakat umum di Kelantan mengenai hukum hakam Islam makin berkembang, hingga seni ini tidak lagi dipersembahkan di khalayak ramai terutama sekali di Kelantan, tempat asalnya. Ibarat melukut ditepi gantang persembahan Mak Yong hidup dengan subur di luar Kelantan ia terus disuburkan oleh penari kebudayaan pelbagai agensi terutama dari pusat pengajian tinggi negara. 

Istilah Mak Yong
Usia seni persembahan ini tidak dapat dipastikan dengan berikutan tiada catatan jelas tarikh sebenar ia dipersembahkan, ramai yang tahu menyatakan ia adalah warisan daripada Kerajaan Patani dan diduga usianya lebih dari 800 tahun. Berdasar Hikayat Patani, persembahan Mak Yong dibawa ke Kelantan lebih kurang 200 tahun yang lalu dan dari sinilah ia berkembang ke Kedah dan negeri-negeri lain.

Berdasarkan penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli sejarah berbangsa Inggeris dan beragama Islam, iaitu Tan Sri Dato' Dr. Hj. Abdul Mubin Cecil Ffranck Sheppard (Mubin Sehappard) menyatakan bahawa Mak Yong adalah satu seni persembahan yang wujud sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, ia mempunyai kaitan dengan  upacara pemujaan roh. Yong atau Yang merupakan variasi dari perkataan Hiang dalam Bahasa Melayu Lama yang membawa maksud kepada divinity (ketuhanan). Ma Hiang merupakan Roh Ibu bagi masyarakat Melayu sebelum kedatangan Islam dipercayai sebagai Roh Padi. 

 Mak Yong, antaranya Ghulam-Sawar Yussof mengatakan seni tradisi orang Kelantan ini berasal dari perkataan Mak Hiang yang mempunyai persamaan dengan Dewi Sri iaitu Dewi Hindu Jawa dan ianya dipuja dalam bentuk tarian dan drama. Justeru, ramai yang mengaitkan seni ini sebagai satu kepercayaan animisme dan kepercayaan amalan perbomohan. Mubin Sheppard pula menyatakan bahawa perkataan Mak Yong mempunyai perkaitan dengan perkataan moyang dan poyang iaitu merujuk kepada semangat kekeluargaan. Selain itu, Mubin Sheppard juga menghuraikan moyang dan poyang ini merupakan orang yang berkebolehan berhubung dengan dunia luar. Dalam ruang linkup persembahan Mak Yong, pawang atau bomoh bertindak seabgai pembuka tirai dan juga berperanan sebagai orang perantaraan yang melibatkan elemen ritual.
Pelbagai istilah telah diutarakan oleh para pengkaji seni budaya berkenaan

Selain itu, istilah Mak Yong juga berdasarkan kepada perkataan yang sering disebut dalam persembahan iaitu Yo de dan Yo. Ungkapan Yo de ialah panggilan ibu kepada anak, apabil watak ibu menyebut perkataan itu, anak akan menyahut dengan sebutan Yo. Watak Ibu dalam persembahan ini adalah Mak Yong dan bapanya pula bergelar Pak Yong. 

Asal Siloh dan Mitos Mak Yong

Versi 1
Saudara Bahari Abdullah dalam bukunya yang bertajuk Asal Usul Mak Yong menyatakan bahawa Mak Yong berasal dari kisah seorang puteri raja yang kehilangan cincin pertunangan. Bimbang dimurkai oleh ayahandanya, puteri itu telah meminta pertolongan daripada anjing belaannya yang bernama belang. Anjing tersebut bersetuju untuk mencari cincin tersebut tetapi dengan syarat iaitu puteri haruslah membenarkan ia tidur bersama. Atas persetujuan tersebut cincin tersebut telah dijumpai dan setelah itu setiap malam belang tidur bersama tuan puteri. Sehingga puteri tersebut menyedari dia telah mengandung. Takut dimurkai oleh ayahandnya, Puteri dan Belang telah melarikan diri dengan bantuan Inang, mereka telah bersembunyi di Gua Kerbang sehinggalah puteri melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan sebagai Awang. 

Belang yang bertanggungjawab mencari makanan telah mati ditembak di Padang Hang tanpa diketahui oleh Puteri dan Inang, menyebabkan mereka berdua pula yang terpaksa meninggalkan Awang dalam gua untuk mencari makanan. Awang yang bersendirian telah merasa bosan dan keluar bermain dengan rakan sebayanya sekitar gua tersebut, tetapi dia sering diejek sebagai orang yang tidak berbapa. Atas sebab itu, dia telah mendesak Ibunya, Mak Yong untuk menceritakan siapa sebenar bapa kandungnya. Tidak tahan di desak, Mak Yong menceritakan bahawa Awang adalah anak sekor anjing bernama belang.

Terkenang akan belang yang tidak pulang, mereka bertiga telah keluar dari Gua Kerbang untuk mencari belang. Mereka akhirnya diberitahu bahawa Belang telah mat ditemak. Mereka tidak percaya pada awalnya, dan bertekad mencari bukti akan kematian Belang, akhirnya mereka telah menemui tulang dan tengkorak belang.

Berdukalaralah kedua beranak tersebut, untuk mengubati perasaan sedih, Awang telah mencipta rebab daripada tengkorak belang. Tuan Puteri akan menyanyi dan menari mengikut alunan gesekan rebab sebaik mendengar alunan alat  muzik tersebut. Kemerduan nyanyian dan kemerduan alat muzik tersebut menyebabkan penduduk sekitar gua telah berkumpul dan mengadakan keramaian. Dalam setiap persembahan puteri akan membawa watak Tuan Puteri dan Awang pula akan membawa watak Putera Raja yang saling menyintai. Akhirnya kedua beranak ini telah jatuh cinta dan melakukan perkara sumbang. Kelakuan mereka tidak dapat diterima penduduk setempat dan mereka bertindak  Yong (halau) kedua beranak itu keluar dari kampung tersebut. Mereka kemudiannya berpindah ke Patani dan akhirnya membawa diri jauh ke timur untuk mempersembahkan kesenian mereka.

Versi 2
Selain itu, terdapat juga lagenda mengaitkan persembahan tradisi ini dengan Kerajaan Siam. Raja Siam dinyatakan telah menghadiahkan patung seekor anjing kepada puterinya sebagai permainan. Meningkat dewasa, puteri itu telah meminta kepada bapanya itu agar dijelmakan menjadi seekor anjing yang benar-benar hidup. Permintaan ini telah dikabulkan oleh ayahandanya, kasih puteri terhadap anjing itu membuatkan dia tidur dengan anjing tersebut hampir setiap malam. Akhirnya puteri itu mendapati dia telah hamil, dan perkara jelik itu diketahui oleh ayahandanya, murkalah Raja Siam itu dan mengarahkan anjing itu dibunuh dan ditanam tanpa pengetahuan puteri.

Tuan Puteri betambah sedih hingga mengundang perasaan simpati dayang. Tuan Puteri telah mendapat tahu bahawa anjing kesayangannya itu telah dibunuh dan ditanam, kasih sayang mendalam telah mendorong dia menggali semula kubur anjing tersebut. Kasihan melihat kesedihan puterinya itu, Raja Siam tersebut telah mencipta sejenis alat muzik dari tengkorak anjing tersebut dan ia dipanggil Rebab untuk menghiburkan hati puterinya yang berdukalara itu. Semenjak itu gesekkan rebab ini diiringi dengan tarian dan nyanyian dan ia dikenali sebagai persembahan Mak Yong.

Versi 3
Pendapat lain menyatakan bahawa Mak Yong merupakan upcara magis dan amalan ritual yang terdapat dalam amalan animisme iaitu upacara memuja roh nenek moyang iaitu Ma Hiang yang bertanggungjawab menjaga tanaman padi yang menjadi nadi ekonomi masayarakat pada masa tersebut. Semasa persembahan ini, bomoh akan menjadi perantaraan mewakili pihak Raja dan rakyat untuk medapatkan pertolongan dari semangat ibu. Ritual ini diadakan berulang kali dan akhirnya ia menjadi satu pesta atau keramaian dan berbentuk hiburan.

Versi 4
Ada pula yang menyatakan bahawa kisah Mak Yong ini berasal dari kisah dua beradik penjaga lembu. Keasyikan mereka terhadap gerak geri dahan, liuk lintuk ranting, dan lambaian daun-daun yang ditiup angin menyebabkan mereka melahirkan semula gerak tersebut sebagai gerak tarian dengan diiringi lagu dan muzik. Aksi mereka ini mendapat perhatian orang kampung hingga tersebar ke Istana Raja Patani. Untuk menjadikan persembahan tersebut semakin mengkagumkan beberapa instrumen lain ditambah selain digarap juga jalan cerita untuk membuatkan ia lebih menarik. Jadi dari sinilah persembahan Mak Yong makin berkembamg.  

Bersambung dalam Bahagian Kedua                                                                       

Pemain dan Instrumen Muzik Tradisional dalam Persembahan Mak Yong


Rujukan:
  • http://mimbarkata.blogspot.nl/2013/04/mak-yong-muzikal-drama-dan-tari.html
  • http://adisaufi.blogspot.nl/2010/05/mak-yong-sejarah-dan-asal-usul.html
  • http://studentsrepo.um.edu.my/2463/5/BAB_2.pdf [Thesis]
  • Arkib Negara Malaysia

Wednesday, 1 April 2015

Istana Tengku Sri Akar robohnya Binaan Asli Kelantan : Siri Binaan Bersejarah Kelantan

Istana Tengku Seri Akar sebelum diroboh pada tahun 1970an

Pendahuluan
Bulan Mac yang lalu kami telah menerbitkan artikel berkenaan Istana Tengku Bongsu yang kini berada di Taman Pantun, UKM. Semasa penyediaan artikel tersebut, nama Istana Tengku Seri Akar disebut sebagai kembar Istana Tengku Bongsu sebahagian tapaknya sudah menjadi Bazar Tengku Anis. Kami sebenarnya sudah kerap menyiarkan maklumat berkenaan istana ini, berikutan kesukaran mencapai maklumat berkenaan istana ini melalui carian di internet.

Artikel ini pula diterbitkan untuk rekod kami tentang kajian yang telah dijalankan oleh para pengkaji terdahulu keatas istana ini, juga sebagai peringatan dan iktibar buat semua pembaca dan juga pengamat sejarah berkenaan penjagaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah memandangkan Istana ini telah runtuh menyembah bumi ekoran tiada usaha membaik pulih yang dijalankan oleh pihak berwajib pada masa tersebut.

Latar Belakang
Istana ini dibina oleh Almarhum Sultan Muhammad II pada 1886 sebagai hadiah perkahwinan kepada cucu baginda iaitu Tengku Mariam Tengku Kembang Putri yang juga anak kepada Almarhum Sultan Ahmad semenjak itu Istana ini dikenali sebagai Istana Tengku Putri. Tengku Mariam telah berkahwin dengan Tengku Besar ibni almarhum Tengku Putih [Tuan Timung] pada 1881.

Sebenarnya Tengku Mariam Tengku Kembang Putri lebih dikenali sebagai Tengku Puteri berbanding nama penuh beliau. Perkahwinan beliau dengan Tengku Putih hanya berlangsung selama 8 tahun apabila Tengku Putih mangkat pada 1889 dan kediamannya itu dikenali dengan nama beliau iaitu Istana Tengku Puteri. Dua tahun kemudian iaitu 1891, Tengku Petri berkahwin pula dengan Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, Raja Patani serentak dengan itu Sultan Muhammad IV telah menganugerahkan gelaran Tengku Sri Akar Raja menandakan persaudaraan antara Kelantan dan Patani pada masa tersebut. Malangnya pada 1902, Siam telah melucutkan jawatan Tengku Abdul Kadir sebagai Raja Patani dan beliau telah berpindah ke Kota Bharu dan tinggal di Istana Tengku Puteri pada 1905, keluarga ini kemudiannya telah diberikan konsesi tanah di Batu Mengkebang di atas nama Tengku Puteri.

Nama Istana Tengku Puteri ini ditukar nama kepada Istana Tengku Seri Akar pada 1933 semasa kediaman ini diduduki oleh Tengku Seri Akar Ahmad Zainal Abidin anakanda sulung kepada Tengku Abdul Kadir dengan Tengku Puteri. Beberapa tahun setelah kemangkatan beliau pada 1953, kediaman tersebut tidak lagi didiami dan ia terbiar kosong hinggalah ia diratakan pada penghujung 1970.

Kawasan dalam peta menunjukkan konsesi yang
diberikan kepada Tengku Petri@Puteri pada 1902.

19 Mei 1933, Tengku Abdul Kadir telah mangkat ekoran penyakit paru-paru di Istana Tengku Sri Akar dan dimakamkan di Makam diRaja Langgar. Perkahwinan beliau dengan Tengku Puteri telah dikurniakan tiga orang zuriat iaitu:
  • Tengku Sri Akar Ahmad Zainal Abidin
  • Tengku Mahmood Mahyideen
  • Tengku Besar Zubaidah
Ketiga-tiga mereka ini kemudiannya telah muncul sebagai tokoh dalam kerabat diRaja yang menjadi ingatan masyarakat berikutan sumbangan mereka dalam pentadbiran Malaysia. Namun yang paling menonjol dalam sejarah Kelantan dan Malaysia adalah Tengku Mahmood Mahyideen berikutan usaha berterusan beliau berkenaan kemerdekaan Patani. Satu ketika Patani telah hampir bebas dari cengkaman Siam bagaimanapun ia terjejas berikutan meletusnya Perang Dunia Kedua di Asia Pasifik.

Setelah itu Tengku Mahmood telah terlibat secara langsung dalam perang ini sebagai pemimpin utama dalam pasukan tentera gerila British yang dikenali sebagai Force 136 khusus untuk bertempur dengan tentera Jepun di Tanah Melayu. Pasukan ini sangat efektif dalam peperangan secara langsung dan peranan Tengku dalam pasukan ini terus berlangsung hinggalah Jepun menyerah kalah. Jasa beliau semasa perang amat dihargai oleh British dan beliau telah menyatakan hasrat kemerdekaan Patani sekali lagi semasa pertemuan dengan pemimpin British di London. Namun, beliau telah dikhianati sekali lagi oleh British yang lebih memihak kepada Siam. Kecewa dengan tindakan British, Tengku Mahmood telah menggugurkan gelaran Tengku dan diRaja yang lain pada tubuh beliau serta waris-warisnya dan tidak akan mengungkit gelaran tersebut buat selama-lamanya.

1954, pada usia 46 tahun Tengku Mahmood Mahyiden telah meninggal dunia dipercayai telah diracun di Pantai Semut Api tempat beliau menjalankan perusahaan chalet. Kematian beliau itu membuatkan seluruh Kelantan dan Patani terkejut dan melumpuhkan perjuangan kemerdekaan Patani. Istana Tengku Sri Akar terus tidak berpenghuni dan ia semakin uzur. Kisah penghuni Istana Tengku Sri Akar telah menarik perhatian ramai terutama pengkaji dan peminat seni ukir.

Seni Bina dan Ukiran
Mengikut pengkaji dan pencinta Seni Ukir, binaan Istana Tengku Sri Akar sebenarnya telah memasukan seni bina barat iaitu dibina tidak bertiang yang mana terkeluar dari identiti rumah tradisional Kelantan yang mana setiap rumah dapat dibezakan dengan jumlah tiang rumah. Sekiranya terdapat 12 tiang, maka itu adalah rumah golongan bangsawan.

Pintu Gerbang Istana Tengku Sri Akar
Lakaran Plan Istana Seri Akar

Istana Tengku Sri Akar terus diangkat dalam arena sejarah apabila wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia melawat Kelantan dan beliau telah merakamkan binaan Istana tersebut yang telah begitu usang, bagaimanapun binaan Istana Tengku Sri Akar kelihatan unik dan sukar dicari pada tempat lain. 

Menurut penduduk setempat berhampiran kawasan Istana ini, pada tahun 1960an, ia sudah kelihatan sangat uzur berikutan tiada siapa yang menjaganya. Ia terbiar, dan menunggu masa untuk roboh. Kerajaan Negeri pada masa tersebut juga tidak melindungi warisan seni bina berikutan pada waktu itu Kelantan, dan Malaysia khususnya baru merdeka yang mana banyak agenda rakyat harus dilaksanakan. Sekitar 1970an, tapak Istana ini telah dirobohkan sepenuhnya dan tapak ini terus dibiarkan kosong hingga saat ini. Ia tidak dimajukan berikutan tanah tapak Istana itu mempunyai perwaris yang sah dan tidak mudah untuk mengambil tanah tersebut. Pada masa sekarang tapak itu mempunyai nilai komersial yang tinggi berikutan sekeliling lokasinya merupakan tempat tumpuan pelancong dan pelawat asing.

Bahagian hadapan Istana Tengku Sri Akar dalam tahun 60an

Bahagian belakang Istana Tengku Sri Akar dalam tahun 60an.
Hadapan Istana Tengku Sri Akar pada 70an
Pandangan belakang Istana dalam tahun 1970an.
Kesimpulan
Istana Tengku Sri Akar menjadi signifikan dalam kajian sejarah berikutan pengelibatan Tengku Puteri dan Tengku Adul Kadir Kamarudin yang berusaha membebaskan Patani, namun malang sekali kerana pada hayat mereka hal tersebut belum dapat direalisasikan. Perjuangan pembebasan Patani dari cengakaman Siam diteruskan oleh Tengku Mahmood Mahyideen putera kepada Tengku Puteri dengan Tengku Abdul Kadir. Peranan Tengku Mahmood dalam sejarah Malaysia telah mendorong pengkaji menjejak tempat tinggal beliau dan ramai terkejut dengan bangunan dalam gambar ini. Semenjak dari itu, ramai yang menyelidik tentang Istana dan Rumah Bangsawan Kelantan berikutan rekabentuk rumah yang unik dan tidak dapat dicari pada senibina rumah dinegeri-negeri lain hinggalah ia diroboh pada tahun 1970an berikutan binaan tersebut membahayakan orang awam dan lokasinya yang berdekatan dengan Masjid Muhammadi dan Pasar Besar Siti Khadijah yang tidak putus dikunjungi ramai.

Berbahaya pada orang awam.
Tapak Istana Tengku Sri Akar yang masih kosong semenjak tahun 70an.
Lakaran Bangunan Istana Tengku Sri Akar yang kini berada di Muium Negeri Melaka


Rujukan:
  • http://jauharkalam.blogspot.nl/2013/12/istana-tengku-bongsu_17.html
  • http://www.cyclopaedia.info/wiki/Istana-Seri-Akar
  • http://raykinzoku.fotopages.com/?entry=1176068
  • http://en.wikipedia.org/wiki/Istana_Seri_Akar
  • http://royalark.net/Malaysia/kelant6.htm
  • https://patanikini.wordpress.com/2007/10/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...