SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday, 24 May 2015

Suka Duka Final Piala FA 2015 : Siri Orang Kito


Pendahuluan
2014 dan 2015 merupakan tahun suram Kelantan yang juga popular dengan jolokan The Red Warrior dalam kancah bola sepak Malaysia. Cuma baru-baru ini, Kelantan dilihat cuba bangkit dari prestasi yang merundum semenjak tahun sudah. Dalam persaingan Liga Super, Kelantan kini berada di tangga ke 10 merupakan kumpulan bottom three liga yang pastinya tidak menggembirakan semua pihak.

Persaingan Piala FA 2015 memberi kegembiraan kepada seluruh penyokong baik di Kelantan mahupun perantau yang berada seluruh negara termasuk juga yang warga Kelantan yang berada di luar negara turut mengikuti rapat perjalanan pasukan ini semenjak awal saingan yang bermula Februari yang lalu. 

Perjalanan pasukan Kelantan tidak perlu direncanakan dalam penulisan ini kerana banyak sumber lain yang lebih berkredibiliti mengulas, membahas serta membincangkan hal pokok tersebut. Penulis ingin menyoroti golongan yang turut menjadi tulang belakang TRW selama ini iaitu Pemain ke-12 pasukan TRW.

Semangat
Kerancakan Liga Malaysia dilihat kembali menyinar apabila pasukan Kelantan muncul sebagai antara gergasi bola sepak Malaysia pada 2009. Seterusnya pasukan ini terus mencuri nama menerusi kontroversi yang berlaku keatas pihak pengurusan, kejurulatihan, penyokong dan pemain itu sendiri. Bermacam pasukan dan penyokong Kelantan telah lalui dan pasti semua orang mengingatinya.

Perkara inilah yang telah mematangkan seluruh penyokong Kelantan. Pemain dan Jurulatih silih berganti, yang akan tetap kekal adalah "Kita" penyokong. Tidak dinafikan prestasi pasukan secara keseluruhan turut memberi kesan kepada pasang surut sokongan penyokong, namun disudut hati penyokong tidak pernah meninggalkan pasukan, kerana bagi kami; buruk atau baik, kami hanya ada KELANTAN.

Tewas
Kita tewas dengan jaringan 3-1 kepada pasukan Lions XII, walaupun semangat melawan pemain-pemain membuak-buak, kita tetap gagal untuk menjaringkan gol untuk mengubah kedudukan, sebaliknya kita pula dibolosi. Namun, dalam bola sepak itu adalah normal dan biarlah pasukan kejurulatihan yang membuat post mortem... tiada siapa yang main bola untuk kalah. Sekalung TAHNIAH buat penyokong Kelantan yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil jauh dari seluruh pelusuk negara, terutama dari Tanah Serendah Sekebun Bunga. Anda sememangnya PENYOKONG yang SEJATI, kekalahan ini memang pahit namun ia amat bermakna untuk kita kenang.

Kepahitan ini dari kekalahan ini sebenarnya memberi 1001 pengajaran buat penyokong, pemain dan pengurusan. Sama-sama kita check in balance apa yang sudah kita lakukan untuk THE RED WARRIOR sebelum dan selepas FINAL PIALA FA 2015 ini. Apa pun jangan pernah berhenti MENYOKONG ... Kita masih ada:

LIGA SUPER & PIALA MALAYSIA 2015

GOMO KELATE GOMO!!!

Wednesday, 20 May 2015

Kenapa "KAMI" yang disasarkan??


"KELANTAN, satu nama yang cukup kami sayangi. Ia adalah negeri kami, tempat lahir kami malah disinilah nenek moyang kami mendirikan kehidupan yang kami warisi kini. Hati ini bagaikan disiat-siat, apabila orang mengeji dan menghina negeri kami."

Itulah perasaan penulis ketika membaca tajuk berita yang diterbitkan oleh surat khabar pojok KOSMO! yang memberi kesan negatif kepada orang-orang Kelantan terutama yang tinggal di luar Kelantan. Tajuk-tajuk berita diatas menggambarkan seolah-olah orang-orang Kelantan ini buruk perangainya, canggung tingkah lakunya.

Diakui ada rakyat Kelantan terlibat dengan jenayah, tetapi adakah patut nama NEGERI dikaitkan dalam kes yang dipaparkan dalam grafik di atas?

Ramai anak-anak KELANTAN yang menjadi teknokrat dan professional baik dalam sektor swasta mahupun sektor awam dan hal ini dimaklumi oleh semua rakyat Malaysia akan kecemerlangan orang Melayu yang berasal dari Kelantan. 

Apa yang sedang berlaku di media sosial saat ini adalah gerakan untuk memboikot pembelian akhbar KOSMO akibat tajuk-tajuk yang dipaparkan. Aksara KELANTAN sememangnya mempunyai rating yang tinggi dan mampu meningkatkan jualan, namun langkah akhbar KOSMO kali ini tidak mengena malah dijangka akan memberi kesan negatif kepada penjualan akhbar tersebut sekurang-kurangnya di Kelantan.

Adalah tidak wajar untuk menggunakan nama KELANTAN sesedap tulis demi melariskan jualan. 

"Yang Elok di PUJI  Yang Buruk di KEJI"

Monday, 18 May 2015

Abdul Kadir Adabi Pemikir Ulung Asal Kota Bharu : Siri Tokoh

A. Kadir Adabi  [Abdul Kadir bin Ahmad]
Pendahuluan
Sebagaimana negeri-negeri lain, Kelantan turut melahirkan ramai tokoh-tokoh yang bergiat dalam pelbagai bidang. Ada antara mereka diangkat menjadi Wira Kebangsaan dan disanjung seluruh masyarakat Tanah Melayu. Mereka terkenal dan masyhur serta dihormati generasi tersebut, namun masa beredar dan generasi silih berganti, tokoh yang terkenal mulai dilupakan begitulah adat manusia. Perkara sama yang berlaku kepada tokoh yang kami ketengahkan kali ini iaitu Allahyarham Abdul Kadir Adabi. 

Sebelum Perang Dunia Kedua (20an - 40an) merupakan dekad emas bagi bidang penulisan dan penerbitan bercetak dan ia merupakan satu fenomena di kalangan orang-orang Melayu begitu juga dengan Kelantan. Ketika itu, muncul sasterawan ulung seperti Zaaba, Usman Awang, S.Othman Kelantan, Pak Sako, A.Samad Said, Arena Wati, Shanon Ahmad dan ramai lagi. Abdul Kadir Adabi adalah orang yang sebaris dengan mereka, cumanya genre penulisan bukan karya sastera semata-mata sebaliknya lebih menumpukan kepada penulisan berbentuk pemikiran dan falsafah serta penulisan berkenaan masalah agama dan kehidupan, ia juga berkait dengan politk dan undang-undang.

Profil
Nama tubuhnya adalah Abdul Kadir bin Ahmad, bapanya Ahmad bin Yusof seorang Penghulu Kampung Raja Dewa, Kota Bharu, ibunya pula bernama Che Biru binti binti Abu Bakar, beliau dilahirkan pada 17 Ogos 1901. Ringkasnya Abdul Kadir dilahirkan dalam keluarga Bangsawan Kelantan, satu kelebihan kepada beliau yang kemudian diangkat sebagai individu yang membangkitkan semangat orang Melayu menentang penjajahan. Ayahnya serta Syeikh Daud Atas Banggul menjadi guru ketika beliau masih kecil. Kemudian beliau telah dihantar ke Masdrasah Muhammadiah untuk menerima pendidikan secara formal selama tiga tahun bermula 1917, disinilah beliau telah mendapat asuhan dalam dunia penulisan dibawah bimbingan Tuan Haji Mohammad Said. 

Pengelibatan beliau dalam dunia penulisan bermula pada 23 Mei 1921, yang menyaksikan artikel pertama beliau telah diterbitkan, pada masa itu Abdul Kadir masih belajar di Madrasah Muhammadiyah. Ketika berumur 22 tahun pula, dia telah diterima bekerja sebagai penolong penulis "Petition Writer" kepada Mat Seman bin Jambul bapa sepupunya yang pada masa itu digelar sebagai Tok Lowyar, beliau diberi tanggungjawab itu berikutan kemahiran menyusun ayat dalam membuat surat-surat rayuan dan petisyen kepada pihak kerajaan.

Semenjak itu, Abdul Kadir Adabi telah menulis artikel dalam beberapa majalah terkenal di Kelantan iaitu Pengasuh, beliau juga menulis dalam Idaran Zaman dan Saudara yang beroperasi di luar Kelantan. Waktu itu beliau sangat gemar membaca bahan bacaan daripada Indonesia terbitan Medan, Jakarta, Bandung dan Surabaya. Sebagai penulis yang kritis dan faktual dalam tahun 1923, Abdul Kadir telah menulis surat kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan mengsyorkan agar kerajaan negeri memperjuangkan empat perkara pokok iaitu:

  1. Mendirikan sebuah Kolej di Kelantan
  2. Mendirikan sebauh Universiti di Tanah Melayu
  3. Mendirikan sebuah kerajaan Persekutuan Tanah Melayu di bawah seorang kepala negara yang dipilih di antara Sultan-sultan di Tanah Melayu.
  4. Mendirikan tugu-tugu peringatan pahlawan untuk membangkitkan semangat kebangsaan sepertimana yang telah dibuat di England dan Perancis.

Majalah Awal di Kelantan yang melibatkan peranan Abdul Kadir Adabi

Semangat Patriotik dan Kerjaya
Bagaimanapun syor itu telah ditolak walaupun hasrat tersebut bersifat baik dan holistik, ia telah ditolak atas alasan belum tiba masa untuk dilaksanakan. Bertitik tolak dari perkara tersebut Abdul Kadir Adabi bersama-sama sahabatnya te;ah menubuhkan sebuah persatuan bernama Putera Kelab pada 1929. Beliau telah dilantik sebagai Yang Dipertua, Asaad Shukri sebagai Setiausaha dan Mohamad Abdul Samad sebagai penolong setiausaha. 

Pada masa itu kebebasan bersuara menjadi pekara yang menjadi teras dalam mana-mana pertubuhan di Tanah Melayu, begitu juga dengan Kelab Putera. Langkah untuk menegakan perkara ini telah mendorong kelab itu menerbitan sebuah majalah bernama Putera pada Oktober 1929. Penulisan artikel dalam majalah ini dilihat sangat tajam dalam mengkritik golongan tertentu menyebabkan penerbitannya dihentikan dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Namun, perkara ini tidak menjejaskan pendirian pemimpin kelab tersebut, mereka menerbitkan pula Majalah Kencana pada April 1930 sebagai lanjutan daripada Majalah Putera.

Pengelibatan Abdul Kadir Adabi tidak begitu menonjol dalam penerbitan majalah Kencana berikutan beliau mengguna nama samaran Wok bt. Abdullah, sehinggalah 1 tahun 10 bulan kemudian dimana penerbitan majalah ini telah dihentikan pada Mac 1933. Sebenarnya hal ini telah sedia maklum oleh pemimpin Kelab Putera, justeru semenjak 1930 lagi Abdul Kadir Adabi bersama dengan Asad Shukri dan Yusuf Hilmi telah mula menerbitkan buku-buku novel dan pengetahuan umum melalui Kencana Library Kota Bharu.

Selain itu, Abdul Kadir Adabi bersama rakan-rakanya Asaad Shukri, Yusuf Hilmi dan Hasan Fikri telah didesak untuk turut bergabung dalam penubuhan Persekutuan Setiawan Belia pada 1 Oktober 1931. Pada awal Februari 1932 pula, Haji Mohammad bin Haji Mohammad Said telah melantik beliau sebagai Penolong Pengarang Majalah Pengasuh namun dua bulan kemudian beliau telah berhenti daripada penerbitan tersebut dan tempatnya diganti oleh Hassan Fikri. Setahun selepas itu Haji Mohammad bin Haji Mohammad Said (Dato Laksamana) pula telah meletak jawatan seabgai Pengarah Pengasuh dan Setiausaha Kerajaan pada 1 Disember 1933.

Abdul Kadir Adabi pula meneruskan rutin sebagai penulis sehinggalah beliau telah dipelawa untuk menyertai penerbitan Al-Hikmah pada April 1934. Masa inilah beliau telah mengenali ramai orang dari luar negeri antaranya Syeikh Amin Al-Mesir Al-Azhari dan Tengku Mustafa Ali Acheh yang dalam rangka lawatan tinjauan keadaan di Kota Bharu. Di Penerbitan ini, Abdul Kadir banyak menulis artikel dan novel mengenai keadaan politik Tanah Melayu serta keadaan sosial di Kelantan. Antara novel yang beliau hasilkan adalah:

  • Anchoman Mahkota [18 Mac 1937]
  • 11 Rejab [24 November 1938]
  • Melati Kota Bharu [26 November 1939]
  • Persemburan Darah dibawah Lipatan Takbir [1941]

Selain itu terdapat sebuah novel Perancis berjudul Gustave le Bon telah beliau terjemahkan dan disiarkan secara bersiri dalam Al Hikmah dengan tajuk Jiwa Perkumpulan bermula 28 Mac 1940.

Abdul Kadir turut menulis dalam Majalah Al-Hikmah dan Dua Buah Novel yang ditulis oleh beliau

Sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu, Abdul Kadir Adabi giat berhubung dengan tokoh-tokoh politik seperti Ibrahim Yaakob dan Ishak Hj. Muhammad. Ibrahim Yaakob bertemu dengan Abdul Kadir pada 1940 di Kota Bharu untuk menguruskan percetakan bukunya yang bertajuk Melihat Tanah Air di Mutbaat al-Ismailiah, dari Kota Bharu, Ibrahim telah dibawa oleh kenalan Abdul Kadir iaiu Abdul Rashid ke Patani. Ishak Hj. Muhammad pula telah menemui Abdul Kadir pada 25 April 1939 sebagai wakil akhbar Utusan Melayu yang akan diterbitkan di Singapura.

Setelah pentadbiran Tanah Melayu telah diambil alih oleh Jepun mereka telah mencari Abdul Kadir Adabi dan Asaad Shukri pada awal 1942 untuk bekerjasama dengan mereka. Tidak lama kemudian dalam 1942 juga telah diterbikan sebuah majalah yang bertajuk Matahari yang dikarang oleh mereka berdua tetapi menggunakan nama samaran. Dua sahabat ini tidak berdiam diri dan mereka tetap cekal untuk membebaskan tanah air dengan itu pada tahun 1942 juga mereka telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda namun pada Jun 1943, ianya telah dibubarkan oleh Jepun dan menggantikannya dengan Pembela Tanah Air (PETA) dengan merekrut pemuda - pemuda Melayu Kelantan memasuki persatuan ini.

Kecenderungan Abdul Kadir Adabi dalam kegiatan politik timbul semasa Zaman Jepun dan ianya disedari oleh pihak Jepun, atas sebab itulah pada Mac 1942, beliau dan beberapa sahabatnya iaitu Asaad Shukri, Nik Hassan, Nik Mustafa dan Mustafa Hj. Ibrahim telah dibawa oleh Mejar Fujiwara iaitu Ketua Intelijen Tentera Jepun ke Ipoh dari Kota Bharu. Kemudian dari Ipoh mereka telah ke Singapura bersama Inan bin Haji Siraj, setelah sampai di sana, mereka telah berusaha membebaskan 100 orang Melayu dari tahanan Jepun di Penjara Singapura antara mereka adalah Ibrahim Fikri, Abdul Hamid Hj. Mohamad dan Abdul Samad Ahmad. 

Sepanjang beliau berada di Singapura, beliau telah bertindak sebagai pembela orang-orang Melayu ketika Tanah ini diduduki oleh Tentera Jepun, hal ini dapat dibuktikan apabila beliau bersama Asaad Shukri telah menjadi saksi terhadap kes Inspektor Hamzah yang akan dijatuhi hukuman bunuh. Atas usaha mereka berdua, Inspektor Hamzah dapat diselamatkan. Pada masa itu juga, Abdul Kadir turut terlibat dalam penerbitan Berita Malai bersama-sama dengan Ibrahim Haji Yaacob.

Setelah berada di Singapura dalam tempoh yang lama, beliau dan pemimpin Melayu yang berasal dari Kelantan telah dihantar pulang ke Kota Bharu. Bagaimanapun sebelum tempoh kepulangan mereka ke Kelantan, Abdul Kadir, Asaad Shukri dan Wan Ibrahim Mustafa telah menubuhkan Barisan Pemuda Melayu Pantai Timur bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya Jepun kalah dalam perang. Mereka semuanya pulang dalam tempoh yang berasingan, dengan Abdul Kadir yang terakhir dimana beliau telah dinasihatkan oleh sahabat-sahabat mereka yang telah pulang ke Kota Bharu agar tidak pulang ke Kelantan berikutan terdapat petisyen bantahan rakyat terhadap kepulangan beliau. Bagaimanapun Abdul Kadir tetap meninggalkan Singapura namun kepulangan beliau tidak sampai ke Kota Bharu, sebaliknya beliau telah singgah di Kuala Terengganu, di sini beliau telah menerbitan majalah Cahaya Timur bersama-sama Misbaha dan Ibrahim Fikri. Ditakdirkan umur beliau berakhir di Kuala Terengganu, pada 24 Februari 1944 beliau telah meninggal dunia disebabkan penyakit kuning. 

Ulasan Penulis
Artikel ini hanyalah satu pengenalan berkenaan latar belakang Abdul Kadir Adabi di mana selepas ini kami akan terbitkan artikel lanjutan berkenaan tokoh ini. Beliau sebenarnya seorang tokoh pemikir yang prolifik dalam berjuang demi bangsa melalui penulisan, justeru itu beliau telah menggunakan banyak nama samaran seperti:

  • A.K
  • A.K Adabi Madrasi
  • Abna Adabi
  • Abu Mansur Kelantan
  • Adabi
  • Akba
  • Aki
  • Al-Mansur Adabi
  • Wook binti Abdullah

Penggunaan nama samaran ini menggambarkan bahawa beliau menulis bukan kerana populariti dan inilah menjadi ukuran keikhlasan beliau dalam dunia penulisan. Tulisan beliau ternyata terlalu keras dan tajam dengan pemikiran yang jarang ada dikalangan orang-orang Kelantan pada masa itu. Beliau mengkritik dan mengsyorkan secara terus sesuatu pendapat tanpa menghiraukan sensitiviti kerajaan pada masa itu demi kepentingan rakyat, kerana itu kegiatan beliau dalam penulisan dipantau malah ada penerbitan beliau diharamkan berikutan kandungan artikel beliau terlalu keras mengkritik kerajaan penjajah.

Tulisan-tulisan beliau dianggap radikal oleh pihak Inggeris, beliau juga adalah antara toko Kaum Muda yang sering mempersoalkan perihal agama degnan Kaum Tua, hal ini telah menyebabkan beliau diawasi, sehinggalah Inggeris ditewaskan oleh Jepun. Pemerintah dari Matahari Terbit itu melihat kecenderungan penulisan Abdul Kadir Adabi dan rakan-rakannya sebagai satu kelebihan buat mereka untuk terus membuatkan orang-orang Melayu di Kelantan membenci Inggeris. Pihak Jepun telah menghimpunkan penulis dan pengarang serta pemimpin Melayu Kelantan yang disenarai sebagai golongan radikal untuk menjayakan propaganda Jepun di Tanah Melayu pada waktu itu.  

Usaha beliau untuk terus membuka minda orang-orang Melayu terutamanya di Kelantan tidak pernah berhenti, ketika zaman Inggeris beliau menentang begitu juga di zaman Jepun, beliau turut menentang pendudukan Jepun, meskipun dipaksa untuk menjadi penulis dalam lidah rasmi Jepun di Tanah Melayu, Berita Malai. Sesungguhnya Kelantan mempunyai ramai pemikir ulung semenjak zaman berzaman, malah ada antara mereka menjadi nadi kepada tertubuhnya sebuah negara bernama MALAYSIA, namun ramai tokoh-tokoh ini mengambil keputusan untuk tidak terus dikenali dan kekal tersembunyi, bagaimanapun itu semua tidak menghalang untuk kita terus mencungkil maklumat berkenaan tokoh-tokoh ini kerana mereka signifikan buat KELANTAN dan Rakyatnya.


Rujukan:
  • [Monograf] Warisan Kelantan III
  • [Buku] Pejuang-Pejuang Kemerdekaan m.s. 371
  • https://muhammadismailibrahim.wordpress.com/2014/05/21/karya-karya-abdul-kadir-adabi/
  • http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=2472

Sunday, 17 May 2015

PPSK bersama Fans...

Sekapur Sireh
Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan (PPSK) sebenarnya adalah penjenamaan semula dari Kelab Pencinta Sejarah Kelantan (KPSK) yang ditubuhkan semenjak dari September 2012. Semasa persatuan ini bergelar "Kelab" kami telah mengadakan pelbagai aktiviti dan ekspedisi untuk melestarikan sejarah Kelantan. Kami juga pernah menganjurkan seminar berkenaan Tok Janggut dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) yang terbuka kepada semua orang yang berminat dengan tajuk seminar itu, selebihnya aktiviti kelab dilakukan secara tertutup dengan jemputan individu tertentu. Pada 1 Januari 2014, KPSK telah dijenamakan semula kepada PPSK. Berikutan komitmen para admin persatuan, PPSK hanya menjalankan aktiviti secara tertutup di beberapa tempat sekitar Kelantan. 

Bermula 2015, kami kembali mengadakan aktiviti yang melibatkan masyarakat umum secara terus. Selain itu sepanjang 2014 juga kami turut menjemput beberapa individu yang berkredibiliti serta bertepatan dengan visi persatuan, beberapa orang admin baru telah dijemput untuk memperkasakan PPSK.

Aktiviti tertutup memang kami jalankan dengan kadar yang aktif, dan ianya tidak disiarkan disini atas sebab-sebab yang tidak boleh didedahkan. Bagaimanapun bermula Mei 2015, kami telah bersedia untuk pendedahan kepada umum. Ia dimulakan dengan Program Menghayati WWII di Kelantan bersama SMK Indera Petra 2, Gua Musang. Sepanjang aktviti tersebut para peserta telah dibawa melawat ke beberapa lokasi sekitar Kota Bharu dan Machang untuk melihat kesan-kesan perang dunia yang masih wujud di Kelantan. 

Pada bulan Mei 2015 juga, pihak persatuan telah diberi peluang oleh Majlis Belia Kelantan untuk turut serta dalam Festival Mesra Belia Kelantan 2015 bertempat di RTC, Tunjong, Kota Bharu pada 15-16 Mei 2015. Bagi memenuhi jemputan tersebut, pihak persatuan telah menyediakan beberapa item untuk dipamerkan antaranya:
  • Artikel Terpilih dari blog rasmi http://pp-sk.blogspot.com 
  • Artifak Perang Dunia Kedua yang ditemui sekitar Kelantan
  • Buku dan Monograf terbitan Perbadanan Muzium Kelantan
  • Tembikar Mambong 
  •  Cenderamata PPSK
Dalam festival yang berlangsung ini, kami juga buat pertama kalinya turut membuka kaunter pendaftaran ahli PPSK kepada orang ramai. Alhamdulillah, sambutan sungguh menggalakkan dari para pengunjung ke festival tersebut.

Berikut rakaman aktiviti terbuka PPSK sepanjang Mei 2015:

Program Menghayati WWII di Kelantan










Festival Mesra Belia Kelantan












LAGI GAMBAR DI FAN PAGE KAMI











Thursday, 14 May 2015

Siti Zubaidah - Srikandi Melayu Keturunan Raja Kelantan Lama : Siri Sejarah Silam

Gambaran Permaisuri Campa
Pendahuluan
Kisah Che Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong adalah kisah lagenda paling diingati rakyat Kelantan, ia dikenang kerana kisanya amat signifikan bagi masyarakat Kelantan malah rakyat Malaysia juga turut terkesan dengan kisah mereka. Sebabnya, jarang dalam negeri di Tanah Melayu ini dipimpin oleh golongan Wanita, justeru kisah-kisah Raja Perempuan dari Kelantan diingati dan sering ditelaah segolongan penkagum kisah mereka.

Kelantan sebenarnya mempunyai ramai tokoh wanita, cuma kisah mereka jarang diketengahkan seperti kisah Siti Zubaidah seorang permaisuri Raja Campa. Ramai menyangka kisah ini berkait rapat dengan Kesultanan dari Utara Tanah Melayu, bagaimanapun dakwaan ini tidak ditolak memandangkan sejarah Kelantan Lama terkait sama dengan kerajaan-kerajaan Utara Semenanjung Tanah Melayu kerana Kelantan dan Negeri Utara adalah sebahagian daripada kerajaan silam yang bernama Langkasuka. 

Kisah dalam Syair Siti Zubaidah Perang Cina memperincikan berkenaan perjuangan anak saudara Che Siti Wan Kembang ini dalam usaha membebaskan suaminya yang ditawan tentera musuh dari utara Campa.

Latar Belakang
Dalam Syair Siti Zubaidah Perang Cina tidak dinyatakan asal usul dan latar belakang beliau, naskhah tersebut hanya menumpukan kepada usaha dan semangat keperwiraannya sahaja, namun begitu dalam rekod sejarah Kelantan ada menyatakan perihal beliau. Berikut adalah catatan sejarah berkenaan asal dan keturunan Siti Zubaidah.

Sumber dari Royal Ark.net (klik image untuk paparan yang lebih jelas)

Sumber dari Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting (klik image untuk paparan yang lebih jelas)

Dari salasilah diatas jelas kepada kita bahawa Siti Zubaidah ini merupakan puteri kepada Raja Bharubhasa yang juga abang yang sulung kepada Cik Siti Wan Kembang. Beliau mempunyai empat orang zuriat iaitu:

  • Sultan Baki Syah - Raja Chermin 1362-1418
  • Sultan Muhammad Tahir - Raja Ligor
  • Sultan Ibrahim - Raja Kedah
  • Siti Zubaidah - Permaisuri Campa 

Pemerintahan Raja Bharubhasa menempuh pelbagai ranjau hingga ia menjadi rumit untuk difahami generasi sekarang. Beliau sebenarnya merupakan anak kepada Sang Tawal, semenjak zaman datuknya iaitu Raja Sakranta memerintah Langkasuka, Raja Bharubhasa telah diberi hak untuk memerintah di Chermin yang juga sebuah negeri dalam Langkasuka dengan lokasinya pada masa kini sekitar Tanah Merah (Bukit Panau) dan Pasir Mas (Tok Uban). Setelah ayahandanya Sang Tawal menggantikan datuknya di Langkasuka, beliau masih di Chermin, waktu itu menyaksikan Raja Bharubhasa dan ayahandanya serta adik beradik beliau termasuk Adruja Wijayamala Singha turut sama mempertahankan Langkasuka dari serangan Siam. Setelah Sang Tawal mangkat, Raja Bharubhasa telah ditabal menjadi Raja Langkasuka, pada masa itu putera dan puterinya sudah dewasa, dan sebagai langkah mengukuhkan Kerajaan Langkasuka, Raja Bharubhasa telah mengahwinkan puteri tunggalnya, Siti Zubaidah yang turut dikenali sebagai Puteri Saadong dengan Raja Campa ketika itu.

Usaha Raja Bharubhasa ini amat tepat serta signifikan pada masa itu kerana ia telah menggabungkan dua kerajaan Melayu di Semenanjung dan Tanah Besar, bagaimanapun ia tidak berhasil seperti yang diharapkan berikutan Campa yang dirajai oleh menantunya diserang oleh musuh dari Utara iaitu Dai Viet. Hal ini menyebabkan Langkasuka gagal mempertahankan kedudukannya apabila diserang oleh Siam dan Raja Bharubhasa telah memindahkan pemerintahan ke Chermin. Kisah Siti Zubaidah di Campa tidak tercatat dalam sejarah Kelantan selepas itu, bagaimanapun ia masyhur dalam Sejarah Negeri Utara Semenanjung Tanah Melayu. 

Kisah Siti Zubaidah di Campa
Siti Zubaidah sebenarnya dikahwin dengan Sultan Zainal Abidin (Che Bo Nga) di Kota Jiddah Sa'adus-salam ibu negeri bagi Chermin oleh Raja Bharubhasa. Sultan Zainal Abidin telah dilantik menjadi Raja Campa pada 1355 setelah ayahandanya Darman Syah menyerahkan kuasa pemerintahan kepada beliau. Setelah perkahwinan itu, Sultan Zainal Abidin telah membawa Siti Zubaidah yang juga dikenali sebagai Dewi Nareswari pulang ke Kota Bal Ngwe. 

Pada 1360, Sultan Zainal Abidin telah bersekutu dengan Kerajaan Majapahit untuk mengukuhkan pentadbirannya daripada ancaman Dai Viet. Sekitar 1361/62, Kerajaan Campa telah menyerang kedudukan Dai Viet di Wilayah Ngh-an dan menawannya pada 1365. Setelah itu Raja Dai Viet, Duong Nhut-Le telah melancarakan serangan balas pada 1368 tetapi serangan itu berjaya dipatahkan oleh tentera Campa. 

Kerajaan Dai Viet menjadi semakin lemah setelah kemangkatan Raja Duong berikutan tercetusnya perebutan kuasa antara perwaris Raja Duong dengan Kerabat Dai Viet yang lain. Mengikut catatan sejarah, setelah kemangkatan Duong Nhut-Le, Permaisurinya iaitu Duong Khoung yang juga dikenali sebagai Kilan Cahaya telah berkomplot dengan pembesar yang setia kepada Raja Duong untuk melantik putera yang masih kecil. Usaha permaisuri itu gagal apabila Trang Nghe-Thong saudara kepada Raja Duong menghalang pertabalan tersebut, hal ini membuatkan permaisuri Duong Khoung terkejut dan rasa terancam lalu melarikan diri ke Campa serta memohon perlindungan daripada Raja Che Bo Nga pada 1370.

Setahun selepas itu (1371), Kerajaan Campa telah berjaya menawan Hanoi, dan Raja Che Bo Nga telah melantik Duong Khoung sebagai Raja Dai Viet. Hubungan baik Campa dan Dai Viet kekal sementara sahaja apabila ia disabotaj oleh bapa saudara Duong Khuong yang tidak senang dengan perdamaian ini. Pihak Dai Viet yang tidak menyokong perdamaian itu telah membakar sebuah kapal dagang Dai Viet di Kota Bal Ngwe, kelasi kapal dibunuh dan isi kapal dagang itu habis dibakar, hanya seorang yang berjaya menyelamatkan diri serta melaporkan kejadian itu kepada Duong Khuong.

Siti Zubaidah Menyelamatkan Raja Che Bo Nga
Tanpa menyedari kejadian itu hanyalah satu muslihat untuk mengeruhkan hubungan Campa dan Dai Viet, Duong Khuong telah menyerahkan kuasa memerintah Dai Viet kepada ayahnya, Tran Due-Thon pada 1372 dan bersiap bersama adik beradiknya (puteri-puteri Tran Due-Thon) yang lain untuk menyerang Campa. Puteri Dai Viet ini telah berjaya menawan Raja Che Bo Nga dan empat orang pengiringnya ketika berangkat dari Istana Isteri Mudanya, Dewi Manisuka (Puteri Sejarah) tanpa pengetahuan Siti Zubaidah. Peristiwa penahanan Raja Che Bo Nga oleh Dai Viet telah mencetuskan episod pengembaraan Siti Zubaidah yang ketika itu sedang sarat mengandung. 

Berkat kasih sayang dan kecintaan Siti Zubaidah kepada suaminya Raja Che Bo Nga, beliau telah berjaya merentas hutan rimba dan telah berjaya membebaskan suaminya dan juga pengiring baginda yang dikurung dalam perigi beracun. Mereka telah melarikan diri dengan menaiki kuda dari Hanoi hinggalah ke Ibu Negeri Campa, berita Raja Che Bo Nga diselamatkan oleh Siti Zubaidah telah mencetuskan kemarahan kepada Permaisuri Duong Khoung dan ayahnya Tran Due-Thon. 

Pada Januari 1377, Dai Viet telah melancarkan serangan ke atas Campa setelah tiga bulan peristiwa Siti Zubaidah menyelamatkan Raja Che Bo Nga. Dai Viet dengan kekuatan 120,000 tentera telah menyerang Kota Bal Ngwe dari arah laut, serangan besar-besaran ini telah dijangka oleh Raja Che Bo Nga dan beliau telah mengenakan helah terhadap angkatan Dai Viet, dengan menghantar seorang rakyat Campa dengan menyatakan Raja Che Bo Nga telah mengosongkan Kota Bal Ngwe dan masih sempat jika dikejar. Mendengar maklumat tersebut Dai Viet telah mengarahkan tenteranya mengejar serentak dengan itu, angkatan Campa yang bersembunyi telah melancarkan serangan mengejut keatas Tran Due-Thon dan panglimanya hingga berjaya membunuh mereka.

Kemangkatan Raja Che Bo Nga
Sebenarnya dalam tempoh tiga bulan selepas diselamatkan dari Perigi Beracun, Raja Che Bo Nga telah mendapatkan bantuan kententeraan daripada Kerajaan Majapahit dari Semenanjung Melayu dan Segenting. Siti Zubaidah juga turut serta dalam pertempuran ini dengan memakai persalinan lelaki, beliau telah berjaya menawan puteri-puteri Dai Viet termasuklah Duong Khuong. Setelah puteri-puteri Dai Viet ini diIslamkan oleh Siti Zubaidah, mereka telah dikahwinkan dengan panglima-panglima Campa, Duong Khuong yang dikenali sebagai Kilan Cahaya telah dikahwinkan dengan Raja Che Bo Nga sendiri.

Tidak lama setelah itu, Raja Che Bo Nga telah menyiapkan armada lautnya dan menyerang Hanoi, saat armada Campa mendekati Hanoi, Tran De-Hien dengan terburu-buru mengisytiharkan diri sebagai Maharani Dai Viet dan melakukan persiapan untuk mempertahankan Hanoi namun ia sudah terlambat dan armada Campa telah berjaya menawannya. Banyak harta rampasan telah diperoleh dari Hanoi dan ada harta-harta tersebut dihantar ke China sebagai hadiah kepada Maharajanya, satu usaha dari Campa untuk mengelakkan campurtangan Empayar China dari turut terlibat dalam persengketaan itu. Pengepungan Campa keatas Dai Viet tidak berpanjangan, pada 1388 Raja Che Bo Nga telah dibunuh ada yang mengatakan beliau telah dibunuh oleh panglimanya sendiri iaitu La Khai. Setelah itu panglima ini telah membawa pulang angkatan Campa pulang semula ke Bal Ngwe dan telah mengangkat dirinya sebagai Raja Campa dengan gelaran Sri Jaya Simhavarmadeva V Sri Hariyati Virasimha Campa Pura. Perbuatan La Khai ini ditentang oleh Siti Zubaidah, Permaisuri Campa namun akhirnya beliau mengalah menyebabkan La Khai semakin bermaharajalela. Ramai pembesar dan kerabat Campa melarikan diri ekoran kekejaman pengganti Raja Campa itu, hinggalah La Khai mati dibunuh panglimanya juga yang mendapat sokongan daripada Siti Zubaidah.

Kesimpulan
Siti Zubaidah mempunyai beberapa gelaran sesuai dengan status semasa beliau. Ada masa dikenali seabagai Puteri Saadong, Dewi Nareswari dan ada masa nama aslinya disebut iaitu Siti Zubaidah. Kisahnya dalam Syair Siti Zubaidah Perang Cina sangat panjang namun kisah yang paling signifikan dan mengesankan kepada pembaca dan pengkaji adalah kisah perjuangan beliau dalam membebaskan suaminya dari bahaya.

Beliau sangat cekal dan tabah apabila melihatkan kelemahan para pembesar Campa apabila Raja Che Bo Nga ditawan di Hanoi, mereka hanya berdiam diri dan menanti bantuan sahaja. Siti Zubaidah tidak bertangguh dalam soal itu, tanpa memikirkan bahaya beliau telah berjaya membebaskan Raja Campa dari tawanan, sekaligus membuktikan bahawa tindakan sebegitu tidak mampu dilakukan oleh wanita biasa. Cuma dalam sejarah Kelantan, perkara sebegini tidak begitu luar biasa berikutan ibu saudaranya Adruja Wijayamala Singha@Cik Siti Wan Kembang juga  mempunyai keberanian dan ketabahan yang sama.

Selain semangat yang kental, Siti Zubaidah digambarkan sebagai seorang yang pintar dalam soal strategi perang dan selok belok pentadbiran, beliau juga dilihat sebagai seorang yang alim dan tinggi pengetahuan berkenaan Ilmu Agama. Bagaimanapun dalam penulisan ini kami tidak dapat temukan bagaimana riwayat Siti Zubaidah ini berakhir, ia terhenti setelah kekacauan di Campa selepas kemangkatan Raja Che Bo Nga. Apa pun, penulisan ini dapat kita gambarkan secara ringkas siapa Siti Zubaidah dan pasti ada Ilmuwan lain yang lebih mengetahui kisah lengkap beliau.

Keris Campa

Wallahualam!


Rujukan:
  • [Buku] 101 Puteri Dunia Melayu
  • http://royalark.net/Malaysia/kelant2.htm
  • http://s1294.photobucket.com/user/ppsejarahkelantan/media/Large%20Image/SalasilahKesultananKelantan_zpsc4fd2768.jpg.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...