SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday, 4 November 2014

[Siri 28] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Ibrahim / Po Nrop (Raja Champa 1637-1684)

Pendahuluan

Memahami Sejarah Raja-Raja Kelantan telah membawa kita untuk mengenali beberapa kerajaan lama yang pernah wujud di Nusantara antaranya Sriwijaya, Majapahit, Langkasuka (Chermin), Patani dan Campa. Satu sahaja lagi kerajaan tua yang mempunyai kaitan dengan sejarah Kelatan belum kami kisahkan dengan mendalam iaitu Campa. 

Usia kerajaan Campa ini lebih tua jika dibandingkan dengan Sriwijaya. Ia wujud bersama-sama dengan Funan. Nama-nama kerajaan ini memang janggal pada pembacaan mereka yang baru mengenali sejarah tua Bangsa Melayu, namun inilah hakikatnya yang perlu kita ketahui. Kerajaan tua Campa pada asalnya menganut agama Hindu kemudian bertukar menjadi kerajaan beragama Budha dan akhirnya kerajaan ini telah diperintah oleh Kesultanan Islam semenjak dipimpin oleh Wan Bo Tri Tri

Wan Bo hanya memerintah Campa selama tujuh tahun, kemudian telah menyerahkan tampuk pemerintahan kepada waris yang lebih berhak. Selama memerintah, beliau dilihat untuk mengembalikan keamanan kepada Campa yang sebelum itu telah diceroboh oleh Dai Viet. Sebelum pemerintahan Wan Bo, Campa telah menerima kedatangan Islam, namun rakyatnya masih ramai beragama Budha. Penerimaan rakyat Campa kepada Islam secara total berlaku setelah Campa diserang.

Campa berada dalam keadaan aman dan damai serta usaha pengukuhan agama Islam berlangsung dengan giat, keadaan ini berterusan sehingga 1570 apabila ia sekali lagi diserang oleh Dai Viet. Raja Campa telah ditawan dan mangkat dalam tawanan. Hal ini mengundang simpati kerajaan serantau terutama Patani yang mempunyai pertalian darah dengan kerajaan Campa. Datu Jambu, Nik Mustafa telah menghulur bantuan pada 1578 dengan dibantu oleh perajurit dari Kelantan. Usaha Nik Mustafa menemui kejayaan dan beliau telah berjaya membebaskan Campa dan atas usaha itu beliau telah ditabal sebagai Raja Campa dengan gelaran Sultan Abdul Hamid Syah. Beliau memerintah Campa selama 59 tahun dari 1578-1637.

Zuriat
alMarhum Sultan Abdul Hamid mempunyai tiga orang putera iaitu:

  • Nik Badrulsalam, beliau telah dilantik sebagai Raja Singgora yakni sebahagian negeri dalam Persekutuan Patani Besar. Beliau juga dinyatakan sebagai pendiri Kerabat Singgora dari kurun ke-17 hingga 18.
  • Nik Ibrahim, beliau telah diperkenankan oleh Sultan Patani untuk dilantik sebagai Datu Kelantan pada 1634, bagaimanapaun tiga tahun selepas itu beliau telah ditabal sebagai Raja Patani menggantikan tempat marhum ayahandanya pada 1637.
  • Nik Ali, beliau disebut tidak merajai mana-mana negeri. Namun beliau telah diberi kepercayaan oleh Sultan Patani sebagai Panglima Agong Tentera Patani dengan gelaran Dato Maharajalela.
Pemerintahan Nik Ibrahim
Pada awalnya beliau telah dilantik sebagai Datu Kelantan oleh Ratu Ungu (1624-1635) yang waktu itu memerintah Patani. Perlantikan beliau bermungkinan dibuat untuk mengekalkan hagemoni Patani di Kelantan berikutan semua datu yang dilantik telah membuka City States yang tersendiri di Kelantan berikutan masing-masing telah berasimilasi dalam Kesultanan Kelantan yang sedia ada melalui perkahwinan. 

Perlantikan Nik Ibrahim oleh Patani juga adalah satu cara Kerajaan Patani untuk mengukuhkan hubungan serantau dengan Campa berikutan Patani pada masa tersebut menghadapi ancaman hebat daripada Siam. Semasa perlantikan Nik Ibrahim, Campa pada masa itu sedang diperintah oleh Sultan Abdul Hamid Syah yang pernah menjadi Datu Jambu, justeru hal ini juga satu pengiktirafan kepada Campa.

1637, Sultan Abdul Hamid Syah telah mangkat, jika diikutkan heirarki sepatutnya Nik Badrulsalam yang patut ditabalkan sebagai Raja Campa. Namun hal tersebut tidak berlaku sebaliknya Nik Ibrahim telah ditabalkan menggantikan ayahandanya itu. Tidak dapat kami pastikan punca hal ini berlaku, namun sudah tersurat Nik Badrulsalam ditabal sebagai Raja Singgora.

1653, angkatan tentera Sultan Ibrahim yang juga dikenali sebagai Po Ibrahim telah menyerang kedudukan Dai Viet (Annam) namun serangan itu telah dipatahkan. Tambah malang, Dai Viet telah melancarkan serangan balas dan telah menawan beberapa kawasan Campa dan menamakannya sebagai Tran Tuan Thanh .

1684, Dai Viet telah melancarkan serangan secara besar-besaran keatas Campa. Serangan kali ini telah memaksa Po Ibrahim berpindah ke Kelantan bersama-sama rakyatnya. Ini juga salah satu kenapa wujud satu nama tempat di Kelantan yang bernama Pengkalan Chepa (sebutan dari tulisan jawi). Kemudian beliau telah belayar ke Kemboja dan bermaustautin di Kampung Brek Bak seterusya merancang untuk meneruskan penentangan terhadap Dai Viet di Pandurangga. Sultan Ibrahim telah mangkat di kampung tersebut atas faktor usia yang telah lanjut, Campa pula masih dalam penguasaan Annam.

Waris
Po Ibrahim mempunyai dua orang putera iaitu:
  • Wan Muhammad Amin
  • Wan Daim (anak saudara : putera kepada Nik Badrulsalam)
Wan Muhammad Amin telah dilantik menggantikan ayahandanya sebagai Raja Campa oleh Regim Nguyen dengan gelaran Po Jatamuh sementara bapa dan adiknya Wan Daim belayar menyelamatkan diri ke Kelantan. Campa terpaksa membayar ufti kepada Dai Viet berikutan kekalahan mereka. Dalam tahun 1684 juga Po Jatamuh telah mangkat.

Regin Nguyen telah melantik Wan Daim sebagai Raja Campa menggantikan kekandanya. Beliau telah dianugerahkan gelaran kebesaran Po Top oleh Regim Nguyen. 

Kesimpulan
Sultan Ibrhim semasa hayatnya dikenali dengan pelbagai gelaran antaranya, Po Ibrahim / Ong Chai Nyek / Po Nrop semua gelar tersebut adalah kebesaran yang dibakai oleh kerajaan di daratan Asia Tenggara. Belia mempunyai hubungan yang erat dengan Kesultanan Patani dan Kesultanan Kelantan. Dari beliau juga lahir keturunan Kesultanan Kelantan. Campa di bawah pemerintahan beliau cuba bangkit dan mengembalikan kegemilangannya. Namun, ia telah menemui kegagalan hingga menyebabkan ia terjajah, begitulah suratan takdir yang harus kita terima.

Gambar Hiasan : Negara Campa

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:

Saturday, 1 November 2014

[Siri 27] Pengisahan Sejarah Kelantan : Legasi Nik Mustafa (Sultan Abdul Hamid Syah) Dinasti Campa

Pendahuluan
Siri pengisahan yang ke 26 telah kami nyatakan bahawa pemerintahan Kelantan pada keturunan Raja Sakti telah beralih kepada waris dari keturunan Nik Mustafa yang juga merupakan adik kepada Nik Jamaluddin, kisah Nik Mustafa ada kami paparkan pada [Siri 20]. Peralihan tampuk pemerintahan ini berlaku apabila Raja Pah (keturunan Nik Jamaluddin) berkahwin dengan Long Bahar (keturunan Nik Mustafa).

Kegemilangan
Pengisahan yang ke 20, kami telah menyentuh tentang ketokohan Nik Mustafa. Beliau dan abangnya, Nik Jamaluddin telah dilantik sebagai Datu oleh Sultan Muhammad Syah (Phya Tu Intira), abangnya telah telah dilantik sebagai Datu Kelantan dan beliau sebagai Datu Jambu. Bapa mereka adalah Wan Abul Mustafa dan datuk mereka adalah Raja Champa iaitu Wan Bo Tri Tri

Pada tahun 1570, Campa telah diceroboh oleh Dai Viet dan hal ini telah diketahui oleh Nik Mustafa yang berada di Jambu. Beliau telah menghantar bantuan ketenteraan ke Champa, bagaimanapun usaha itu menemui kegagalan. 7 tahun kemudian, pada 1577 sekali lagi Nik Mustafa menghantar bantuan kenteraan ke Campa dari Patani seramai 10,000 orang dan dibantu dengan angkatan perang dari Kelantan seramai 5,000 orang. Kelantan pada masa tersebut telah dirajai oleh Sultan Adiluddin putera kepada Nik Jamaluddin.

Misi serangan ini telah berjaya menghalau Dai Viet dari Campa hingga mereka berundur ke Kota Hue malah angkatan perang Nik Mustafa ini juga telah menyerang Kota Dai Viet tersebut dan hal ini telah membebaskan Campa dari ancaman pencerobohan. 

Atas kejayaan ini, Nik Mustafa telah ditabal menjadi Raja Campa dan dimasyhurkan dengan nama Sultan Abdul Kadir Syah pada 1578. Beliau memerintah Campa selama 49 tahun dan telah mangkat pada 1637. Almarhum mempunyai tiga orang putera iaitu:
  • Nik Badrulsalam
  • Nik Ibrahim
  • Nik Ali
Nik Badrulsalam telah dilantik sebagai Raja Singgora yang kini menjadi sebahagian daripada Thailand. Beliau juga disebut sebagai pengasas kepada keluarga DiRaja Singgora dari abad 17 hingga 18. 

Nik Ibrahim pula telah dilantik sebagai Datu Kelantan pada 1634, tetapi tidak lama kemudian beliau telah dipanggil pulang ke Campa berikutan kemangkatan Sultan Abdul Kadir Syah serentak dengan itu beliau telah ditabal sebagai Raja Patani menggantikan tempat ayahandanya.

Nik Ali walaupun tidak dilantik sebagai pemerintah, beliau juga merupakan individu yang berpengaruh dalam Kesultanan Patani. Beliau telah diberi kepercayaan oleh Sultan Patani untuk memimpin angkatan perang Patani sebagai Panglima Agong Tentera Patani dengan gelaran Datuk Maharajalela. 

Warisan
Paling mencuri tumpuan adalah Nik Ibrahim kerana beliau dilantik sebagai Datu Kelantan semasa pemerintahan Sultan Abdul Kadir 1632-1646. Pada waktu itu keturunan Nik Jamaluddin sebagai Datu Kelantan sudah melangkaui kuasa wakil Patani kerana mereka telah ditabalkan sebagai Raja Kelantan. Justeru, dengan pengaruh Sultan Abdul Jalil Syah yang pernah menjadi Datu Jambu dan sokongan daripada Sultan Patani, Nik Ibrahim telah dilantik sebagai Datu Kelantan pada 1634. 

Long Bahar yang berkahwin dengan Raja Pah merupakan cucu kepada Nik Ibrahim, inilah signifikan untuk kita ketahui susur galur Long Bahar ini kerana dari beliaulah turunnya keturunan Kesultanan Kelantan.

Kesimpulan
Untuk memahami Kesultanan Kelantan pada hari ini, adalah menjadi perkara utama untuk kita mengenali asal keturunan Long Bahar, justeru kisah Nik Mustafa perlu kita perhalusi dengan mendalam. Pengisahan yang lalu kami menghuraikan pemerintah Kelantan daripada keturunan Nik Jamaluddin yang menurunkan kerabat Raja Jembal, dinasti ini akhirnya telah tamat semasa pemerintahan Raja Sakti II yang tidak berputera dan akhirnya ia telah diperintah oleh Dinasti Campa yang dimulakan oleh Long Bahar dari keturunan Nik Mustafa melalui proses perkahwinan. Pengisahan berikutnya akan dibentangkan mengenai Nik Ibrahim.

Hiasan : Bunga Cempaka Putih.... adakah ianya inspirasi kepada nama Campa.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:

Friday, 31 October 2014

[Siri 26] Pengisahan Sejarah Kelantan : Waris Raja Sakti Pemerintah Kelantan&Patani

Pendahuluan
Sumber sejarah Kelantan semasa dan selepas Raja Sakti sungguh mengelirukan. Kesukaran untuk merungkainya seakan menemui jalan buntu. Cross Reference (Rujuk Silang) satu teknik dalam memahami fakta-fakta sejarah telah kami lakukan. Kita telah maklum semenjak 1520 lagi Kelantan telah bersekutu dengan Patani dan membentuk Patani Besar. Ia adalah satu pemerintahan berbentuk persekutuan dan dinyatakan terdapat 43 negeri telah bersekutu di bawah Patani Besar. Justeru, latar belakang sejarah Kelantan juga bergantung sepenuhnya kepada perkembangan negeri Patani. Pasang surut dan turun naiknya pemerintahan Patani mempengaruhi secara langsung sejarah negeri Kelantan. Kekeliruan sejarah Kelantan boleh dikaitkan dengan geo-politik Patani itu sendiri. Kerana itu, penulisan ini akan menyoroti pemerintahan Patani secara ringkas untuk kita merungkai sejarah Kelantan.

PataniSejarah awal Patani tidak dapat kita jelaskan dengan lanjut kerana sumber asasnya hilang jejaknya ekoran negeri ini telah dijajah oleh Siam. Nama negeri ini kerap timbul dalam hikayat-hikayat lama dan ia menyakinkan ramai pengkaji bahawa negeri ini wujud megah suatu masa dahulu. Sejarah awalnya menyatakan ia adalah pecahan daripada sebuah negara silam Langkasuka yang dikaitkan dengan Kedah serta lagenda Merong Mahawangsa.

Sayyid Nurul Alam telah memimpin angkatan perang dengan bantuan Melaka dan Acheh pada 1470 menghalau kedudukan Ayuthia di Semenanjung dalam usaha membebaskan Chermin yang diceroboh pada 1467. Kejayaan  Sayyid Nurul Alam telah menyakinkan Sultan Melaka pada masa tersebut untuk menyokong perlantikan beliau sebagai Raja Patani dengan gelaran Sultan Qunbul bagaimanapun pada tahun yang sama juga (1470)  beliau dicatat telah mangkat.

Sumber : Sejarah Kerajaan Melayu Patani, Ibrahim Syukri
(Petik pautan ini untuk bacaan penuh)
Ibrahim Syukri dalam buku Sejarah Kerajaan Melayu Patani menyatakan bahawa Kerajaan Patani didirikan oleh Raja Seri Wangsa yang pada masa tersebut belum lagi memeluk Islam. Dalam penulisan tersebut, dinyatakan Patani wujud sezaman dengan penubuhan Kerajaan Singapura dan Melaka. Setelah kemangkatan Raja Seri Wangsa, puteranya Raja Anthira yang kemudiannya telah memeluk Islam dengan disaksikan oleh seorang ulama dari Pasai yang bernama Syeikh Safiyy al-Din yang kemudiannya dilantik sebagai Guru Agama dan diberi gelar kebesaran iaitu Datuk Sri Raja Fiqih. Raja Anthira telah ditabalkan semula mengikut tatacara Islam setelah itu, beliau telah dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Muhammad Syah.

Pemerintahan Sultan Muhammad Syah, Patani telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Melaka dalam usaha kedua-dua kerajaan sama-sama membangun, namun ditakdirkan Melaka telah runtuh pada 1511 dan dikuasai oleh Portugis. Patani telah menjalin hubungan yang baik dengan Portugis kerana pada masa itu disebut Patani tidak mempunyai kelengkapan senjata api seperti mana Portugis.

Hal ini telah membuatkan Patani muncul sebagai negeri di semenanjung menggantikan fungsi Melaka. Patani pada masa tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan Pasai yang juga berada pada kemuncak kegemilangannya. Kejatuhan Melaka telah menyebabkan negeri naungannya berpecah dan mula mencari tempat berpaut yang lain. Justeru, pada 1520 Kelantan yang dirajai oleh Sultan Mansur Syah telah bersekutu dengan Patani untuk membentuk Patani Besar dalam mempertahankan kedaulatannya. Sejajar dengan itu, Sultan Muhammad Syah telah melantik Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzaffar sebagai wakil beliau dengan pangkat Datu Kelantan yang pertama dan memerintah bersama-sama dengan Sultan Kelantan. Nik Jamaluddin menjalankan tugas sebagai Datu Kelantan secara rasmi pada 1521 ketika Sultan Gombak ditabal sebagai Sultan Kelantan ekoran kemangkatan ayahandanya Sultan Mansur Syah pada tahun tersebut.

Raja Muzaffar telah  dipercayai telah ditabal sebagai Sultan Patani dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah pada 1540 menggantikan bapanya yang telah mangkat, beliau telah melantik adindanya Raja Mansur sebagai Raja Muda dan waris daripada Datuk Sri Raja Fiqih sebagai para pembesarnya. Patani pada waktu itu berada dalam keadaan yang makmur dikunjungi oleh pedagang dari Barat (Portugis) dan Timur (China dan Jepun). Sebagai usaha memartabatkan lagi Patani, Raja Muzaffar telah berangkat untuk melawat negara jiran yang sedia maklum sebagai sebuah negara yang kuat iaitu Siam-Thai. Dukacitanya, delegasi Patani itu dipandang enteng kerana Raja Siam menanggap martabat Patani tidak sama taraf dengan mereka. Perkara ini telah memberi kesan mendalam kepada Raja Muzaffar terhadap keangkuhan Raja Siam itu.

Pada 1563, Ayuthia telah diserang oleh Burma dan perkara ini telah diketahui oleh Sultan Muzaffar, beliau telah mengambil peluang ini untuk membalas akan kesombongan Raja Siam itu. Patani telah menyediakan 200 kapal perang seribu orang tentera dan seratus orang perempuan sebagai persiapan untuk melancarkan serangan. Pemerintahan Patani telah ditinggalkan kepada seorang pembesar yang dipercayai, manakala hampir kesemua pembesar dan Raja Mudanya iaitu Raja Mansur juga berangkat untuk menyerang Ayuthia. Pada masa yang sama permaisuri Sultan sedang sarat mengandung.

Takdir Allah s.w.t. Sultan Muzaffar telah mangkat dalam serangan tersebut, sewaktu itu permaisuri almarhum Sultan belum lagi melahirkan kandungannya itu. Para pembesar Patani telah sepakat untuk menabalkan Raja Muda Patani, Raja Mansur sebagai Sultan Mansur Syah. Almarhum Sultan Muzaffar syah mempunyai seorang putera yang dikenali seabgai Raja Bambang namun beliau tidak layak untuk ditabalkan sebagia Sultan kerana beliau adalah putera Sultan dengan seorang Gundik. Selang beberapa lama, permaisuri almarhum telah selamat melahirkan seorang putera yang di beri nama Raja Patik Siam. Sembilan tahun memerintah Patani, akhirnya Sultan Mansur telah mangkat dan meninggalkan dua orang putera iaitu Raja Bahadur dan Raja Bima (anak hasil dari seorang gundik). Almarhum Sultan Mansur telah berwasiat sekiranya beliau mangkat, anak saudaranya Raja Patik Siam haruslah ditabalkan sebagai Sultan.

Para kerabat diRaja dan pembesar telah menyempurnakan wasiat tersebut dan menabalkan Raja Patik Siam sebagai Sultan Patani dengan gelaran Sultan Patik Siam yang ketika itu baru berusia sembilan tahun. Perkara ini telah menimbulkan perasaan cemburu yang melampau kepada Raja Bambang hingga beliau telah bertindak membunuh Sultan Patik Siam ketika baginda berseorangan. Raja Bambang juga akhirnya telah meninggal ditikam oleh hulubalang istana.

Ekoran daripada peristiwa malang ini, para pembesar dan kerabat diRaja telah mengambil kata putus untuk menabalkan Raja Bahadur, putera almarhum Sultan Mansur sebagai Raja Patani dengan dimasyhurkan sebagai Sultan Bahadur Syah. Setelah sekian lama memerintah berlaku perselisihan antaran Sultan Bahadur dengan kekandanya Raja Bima, perselisihan ini menjadi melarat-larat sehingga Raja Bima telah belot kepada Sultan Bahadur. Akhirnya, Raja Bima telah bertindak menikam dari belakang Sultan Bahadur semasa baginda bersemayam di Istananya. Tikaman itu telah membunuh Sultan Bahadur, Raja Bima juga turut mati ditikam oleh hulubalang istana.

Perisitwa ini mengulangi apa yang berlaku terhadap Sultan Patik Siam yang mangkat ditikam. Sultan Bahadur Syah hanya mempunyai tiga orang puteri iaitu Raja Hijau, Raja Biru dan Raja Ungu. Buat sekian kalinya pembesar dan kerabat diRaja Patani Besar telah bersidang dan mereka bersetuju menabalkan Raja Hijau merajai Patani menggantikan Sultan Bahadur Syah yang mangkat secara tiba-tiba itu. Pada 2013 kami telah menerbitkan artikel berkenaan raja-raja perempuan Patani yang dikenali sebagai Ratu Pelangi.

Raja Hijau dicatat mula memerintah pada 1584-1616 jika kita perhatikan pada 1616 ia sama tarikh dengan kemangkatan Sultan Samiruddin bin Nik Jamaluddin yang memerintah Kelantan yang kemudiannya digantikan oleh anaknya Raja Abdul Kadir. Dapat kita simpulkan bahawa pemerintahan di Kelantan yang dahulunya sebagai wakil Raja Patani kini sudah bertukar menjadi satu Kesultanan yang berdaulat dan mereka tidak lagi terikat dengan Patani walaupun Kelantan masih kekal dalam Persekutuan Patani Besar. Saat ini juga Siam telah melancarkan siri serangan ke atas Patani namun mereka tidak berjaya kerana pertahanan Patani sangat ampuh kerana mereka memiliki tiga meriam keramat iaitu Sri Maharaja, Sri Patani dan Sri Negara. Meriam ini disebut sebagai senjata yang paling maju di Asia Tenggara pada masa tersebut. Pemerintahan Raja Hijau telah digantikan oleh adiknya Raja Biru dan kemudian diteruskan oleh Ratu Ungu.

Setiap penggiliran kuasa antara tiga orang Raja Perempuan ini, Patani menjadi makin lemah. Pada 1635, Raja Kuning telah ditabalkan menjadi Raja Patani menggantikan bondanya yang telah mangkat Raja Ungu. Saat ini, Patani berada dalam keadaan yang paling lemah. Tentera Siam telah berjaya merempuh masuk hingga ke Kota Cabang Tiga. Saat inilah Raja Sakti telah menghulurkan bantuan dan angkatan perang Melayu yang diketuai beliau telah berjaya menghalau askar-askar Siam jauh ke dalam Kota Ayuthia. Kejayaan beliau dalam menghalau Siam itu telah memberi kepercayaan kepada pembesar dan kerabat DiRaja Patani untuk menabalkannya sebagai Raja Patani pada 1632. Kedudukan Raja Sakti di Kota Jembal pula telah digantikan oleh puteranya, Raja Loyor. 1649, Raja Sakti telah mangkat dan takhtanya digantikan oleh Raja Loyor mengikut heirarki. Kisah selanjutnya mengenai Raja Loyor boleh anda ikuti pada pautan ini.

Waris Raja Sakti
Terdapat kecelaruan maklumat mengenai waris Raja Sakti ini. Ada pertindihan maklumat dan sumber rujukan juga tidak konsisten menyebabkan kekeliruan yang sukar untuk dirungkai. Kami telah mendapatkan pendapat ketiga dan merumuskan bahawa terdapat usaha-usaha dari pihak tertentu yang tidak dapat dipastikan telah mencampur adukan maklumat berkenaan Raja Sakti, bagaimanapun pengisahan ini harus diteruskan. Justeru, kami telah mengambil keputusan untuk mengikuti salasilah sepertimana yang telah diterbitkan dalam buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting terbitan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan tulisan Allahyarham Ustaz Abdullah Mohamed (NAKULA).

Salasilah tersebut menyatakan bahawa dua orang waris Raja Sakti (beliau dinyatakan mempunyai 7 orang zuriat) yang memainkan peranan dalam Sejarah Negeri Kelantan iaitu:

  • Raja Bahar
  • Raja Omar 

Raja Bahar
Susur galur beliau lebih kepada jurai keturunan Kesultanan Patani kerana beliau telah berkahwin dengan Raja Mas Kelantan. Maklumat mengenai Raja Bahar juga mengelirukan seolah-olah ianya tersimpul mati. Sungguh pun begitu, pasangan ini merupakan pemerintah Patani pada penghujung kurun ke-17. Kami pernah mengulas mengenai perkara ini tidak lama dahulu seperti di pautan ini.

Raja Omar
Tiada sumber sahih yang dapat memutuskan siapa beliau yang sebenar, sesetengah sumber menyatakan beliau merupakan anak ketiga kepada Raja Sakti. Pada awalnya beliau ditabal sebagai Raja Jembal, dan cuba menduduki takhta Patani namun percubaan beliau gagal. Beliau mempunyai 4 orang zuriat iaitu:

  • Raja Kechil Sulong / Raja Kota Teras
  • Raja Ngah [Raja Hudang] / Tebing Tinggi Pusaran Buah
  • Raja Sakti / Ditabal Sultan Kelantan menggantikan Raja Omar
  • Raja Nah
Raja Sakti
Beliau merupakan keturunan terakhir daripada jurai Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzzafar yang memerintah Kelantan. Seperti Raja-Raja di atas, kisah beliau juga penuh kesamaran dan sukar untuk disahkan. Pada pengisahan ini kami hanya sampaikan tentang maklumat yang sedia ada dan boleh dicapai semua orang. Raja Sakti ini dinyatakan hanya mempuyai seorang puteri yang bernama Raja Pah. 

Pemerintahan Kelantan seterusnya disambung oleh waris dari jurai keturunan Nik Mustafa yang mempunyai pertalian darah dan keturunan yang sama iaitu dari Sayyid Ali Nurul Alam / Sultan Qunbul . Hal ini berlaku apabila Raja Pah telah berkahwin dengan Long Bahar dan seterusnya telah menitihkan keturunan Kesultanan Kelantan yang ada pada masa sekarang.

Justeru untuk memahami perpindahan kuasa pemerintahan Kelantan kepada jurai keturunan Nik Mustafa, Raja Champa, kami akan berundur semula kepada pengisahan tentang kegemilangan Champa dan menghuraikan dengan lebih jelas susur galur beliau. 



Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:


Thursday, 30 October 2014

[Siri 25] Pengisahan Sejarah Kelantan : Raja Sakti / Long Betong [Kelantan Utara 1632-1649] [Patani Besar 1649-1662]

Pendahuluan
Keunikan nama beliau amat menggamit kebanyakkan rakyat Kelantan. Keunggulan namanya membuatkan ramai ingin tahu mengenai beliau. Pendokong utama dalam hal ini adalah Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK), dalam blog rasmi mereka ada dinyatakan kisah Raja Sakti. Dalam menyelidik susur galur keturunan Raja-Raja Kelantan sememangnya kita perlu merujuk kepada hasil selidikan daripada penyelidik bebas untuk kita melihat sesuatu salasilah dengan lebih luas tanpa memihak.

Dalam penulisan ini, kami merujuk kepada:
  1. Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Bersejarah, (Buku)
  2. Royal Ark.net,
  3. pkrjk.org.my (blog rasmi PKRJK)
  4. Blog Tengku Azhar (https://sites.google.com/site/tengkuazhar/raja-jembal)
  5. Blog Bingkisan Anak Bani Jawi (http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/06/salasilah-raja-jembal-kelantan.html)

Penulisan ini juga bukan untuk mengeluarkan versi salasilah Kelantan yang baru, ia hanya membentangkan maklumat dari rujukan yang sedia ada seperti yang dinyatakan. Kami juga mohon para pembaca sekalian membuat penelitian yang lebih lanjut sekiranya berpendapat apa yang kami sampaikan ini tidak benar dan tidak tepat. 

Siapa Raja Sakti 
Berikut kami kongsikan salasilah Raja Sakti ini dari sumber rujukan yang kita boleh search di Internet.

Sumber Salasilah Raja Sakti dari Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan

Salasilah yang disalin semula dari buku Keturunan Raja-RajaKelantan dan Peristiwa-Peristiwa Bersejarah 
(Paparan lebih Jelas disini)

Salasilah Kerabat DiRaja Jembal dari selidikan Tengku Azhar
(Paparan lebih jelas disini)

Salasilah Kerabat Raja Jembal dari Blog Bingkisan Anak Bani Jawi

Salasilah Raja Sakti yang kami kumpulkan ini telah menjadi rujukan buat sekian lama kepada pengamat sejarah Kelantan memandangkan jarang buku yang diterbitkan berkenaan perkara ini. Kami hanya menemui jurai keturunan Raja-Raja seperti mana dalam buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting dan terdapat satu salasilah bertulisan jawi dari blog sejarah Kelantan-Patani iaitu Tabut Jawi seperti berikut:

Salasilah dari Catera Kelantan Tulisan Datuk Perdana Menteri Kelantan Nik Mahmud bin Nik Ismail untuk
pembelajaran sekolah di Kelantan pada 1933-1934
Dari apa yang dipaparkan ini, jelas ia begitu memeningkan berikutan setiap salasilah yang dikeluarkan mempunyai perbezaan dan jelas ia begitu bercelaru. Perkara ini menjadi semakin sukar untuk mengesahkan mana satu yang benar. Penulis juga menghadapi masalah yang sama berikutan bukan semua sumber rujukan dapat kita telaah dari sumber asli, yang kami perolehi semuanya daripada sumber Internet.

Maklumat dari PKRJK
Kerajaan Jembal disebut diasaskan oleh Raja Besar yang berketurunan daripada Raja Bersiong seorang Raja yang memerintah Kedah pada abad ke-14. Raja Besar dan pengikutnya mengembara mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan negeri. Baginda telah mendirikan kota di tepi Sungai Babong, Pulau Melaka. Sekitar kota itu terdapat sepohon pokok Jambu Jembal yang besar, justeru beliau telah menamakan kota tersebut sebagai Kota Jembal.

Pada 1638, Raja Besar telah menabalkan Raja Sakti sebagai penggantinya. Dinyatakan terdapat 7 orang zuriat Raja Sakti ini iaitu:
  • Raja Adiluddin (Raja Loyar)
  • Raja Bahar (Raja Udang)
  • Raja Omar (Raja Ekok)
  • Raja Sungai
  • Puteri Sayu Bari
  • Puteri Unang Melor
  • Puteri Cempaka Bongsu
Pada 1649, Raja Loyar telah ditabalkan sebagai Raja memerintah Kelantan, adik beradiknya yang lain dilantik sebagai pembesar antaranya:
  • Raja Bahar sebagai Bendahara
  • Raja Omar sebagai Raja Muda
  • Raja Sungai sebagai Temenggong
Raja Loyar sangat dikasihi oleh rakyatnya, baginda dikatakan memiliki sifat kesaktian dengan berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit Hitam, lidah fasih dan air liur masin. 

**Catatan seterusnya berkisar tentang Raja Loyor dan akan kami kupas dalam pengisahan yang seterusnya.

Maklumat dari Blog Bingkisan Anak Bani Jawi
Artikel berkenaan Raja Sakti dikupas dengan mendalam oleh admin blog Bingkisan Anak Bani Jawi dan anda boleh ikuti kupasan berkenaan perkara ini pada pautan ini. Dalam penulisan ini boleh kita ambil pati perbincangan dalam artikel blog tersebut bahawa admin berkenaan menyatakan bahawa terdapat dua(2) Raja Sakti iaitu:
  • Raja Sakti I : Nik Jamaluddin, Datu Kelantan yang pertama.
  • Raja Sakti II : Raja Vijaya Indra / Long Betong
Artikel tersebut menyatakan bapa Long Betong iaitu Sultan Abdul Kadir 161-1632 mempunyai dua orang isteri. Perkahwinan kedua ini dilangsungkan berikutan perkahwinan pertama tidak dikurniakan zuriat. Bagaimanapun, selepas perkahwinan kedua itu, isteri yang pertama telah mengandung seterusnya melahirkan seorang putera. Perkara ini telah menerbitkan perasaan iri hati isteri muda, dan telah bertindak mengambil anak tersebut secara diam-diam dan diletakkan di perdu pohon buluh betong di sebuah hutan.  Berdukacitalah Sultan Abdul Kadir dan Permaisurinya itu, dengan takdir Allah s.w.t. baginda Sultan telah bermimpi bahawa puteranya masih hidup dan selamat. Dalam mimpi tersebut baginda mendapat petanda berkenaan puteranya itu, berkulit cerah, mempunyai bulu roma songsang dan lelangit mulutnya berwarna hitam.

Bagaimanapun, blog ini banyak menghuraikan kisah Raja Sakti dengan begitu terperinci dan ia telah menjadi rujukan ramai pengamat sejarah negeri Kelantan. Kami juga merujuk kepada blog ini kerana artikel-artikel yang diterbitkan begitu menyakinkan. Walaupun susur galur Raja Sakti tidak dapat dipastikan dengan kemas, sumbangannya dalam pemerintahan Kelantan dan Patani yang perlu kita pandang serius.

Sumbangan Raja Sakti
Pada tahun 1649, Siam telah menyerbu ke dalam Kota Cabang Tiga yang menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Patani yang pada waktu itu diRajai oleh Ratu Kuning. Angkatan perang Patani pada masa itu berada dalam keadaan goyah. Raja Sakti bersama angkatan perang telah naik membantu Patani yang juga penaung kepada kerajaan Jembal di Kelantan. Pimpinan Raja Sakti telah menguatkan kembali gabungan angkatan tentera dari Kelantan dan Patani dan mereka telah berjaya menghalau askar Ayuthia hingga ke dalam kota mereka.

Kejayaan Raja Sakti ini telah membolehkan beliau ditabalkan sebagai Raja Patani menggantikan Ratu Kuning pada 1650. Sumber menyatakan bahawa pertabalan Raja Sakti adalah tepat pada masanya kerana beliau berketurunan Sultan Qunbul yang disebut sebagai pendiri Kesultanan Patani. Setelah beliau ditabal sebagai Raja Patani, kerajaan Jembal pula telah dipangku oleh anakandanya yang bernama Raja Loyor. 

Pertabalan Raja Sakti ini telah melahirkan pemerintahan Dinasti Kelantan dalam Kesultanan Kelantan buat pertama kalinya. Pada masa tersebut terdapat 43 buah negeri yang bersekutu dalam Patani yang dikenali sebagai Patani Besar itu. Selain itu terdapat juga beberapa buah negeri yang dirajai oleh waris pemerintah Kesultan Champa yang menyelamatkan diri daripada ancaman Dai Viet yang telah menguasai negeri mereka. Raja Sakti telah memerintah Patani dan seluruh Kelantan selama 12 tahun (1650-1662) dan negeri ini berada dalam keadaan aman damai buat seketika. Setelah beliau mangkat, Raja Loyor telah ditabal menggantikan bapanya sebagai Raja Besar Patani, namun pemerintahan beliau tidak lama.

Royal Ark.net menyatakan Raja Sakti telah berkahwin dengan anak angkat Raja Bersiong iaitu Tuan Puteri Mani Kemenyan dari Kedah, mereka telah dikurniakan tiga orang anak iaitu:

  • Tuan Besar
  • Raja Loyor / Raja Jembal
  • Raja Umar / Sultan Kelantan


Kesimpulan
Pada 3/12/ 2013 kami pernah menerbitkan artikel berkenaan Raja Sakti itulah sebenarnya asas kami mula menyelidik Sejarah Raja-Raja Kelantan. Hingga kini pun, data dan maklumat yang tepat tentang Raja Sakti tidak dapat kami putuskan. Pertubuhan Kerabat Raja Jembal sendiri masih dalam pengkajian berkenaan susur galur sejarah mereka. Apa yang kami nukilkan disini adalah berdasarkan kepada maklumat yang sedia ada. Kami tidak boleh capai perkara yang diluar pengetahuan, jika itu dilakukan ianya menggambarkan seolah-olah kisah ini direka-reka atau telah ditokok tambah. Kisah Raja Sakti dan Raja Loyor perlu kita perhalusi untuk kita terus mengambil isi penting. Penulisan ini tidak  boleh memihak berikutan ia juga berkait dengan sejarah Kesultanan negeri-negeri lain seperti Kedah, Perak, Melaka dan Johor serta beberapa Kesultanan di Sumatera dan Jawa.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:
  1. Blog Tengku Azhar
  2. Salasilah Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait
  3. Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan
  4. Royal Ark.net
  5. Bingkisan Anak Bani Jawi
  6. http://pp-sk.blogspot.nl/2013/12/patani-kelantan-episod-3-raja-sakti.html
  7. http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/06/sirah-patani-langkasuka-1649-1785.html

Wednesday, 29 October 2014

[Siri 24] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Abdul Kadir 1616-1637

Pendahuluan
Beliau adalah putera kepada Sultan Samiruddin yang memerintah Kelantan dari tahun 1605 hingga 1616. Seperti yang telah dijelaskan dalam [Siri 23] sebelum ditabalkan menjadi Sultan, nama asal beliau adalah Raja Ekok kerana kemangkatan kekandanya yang tidak berputera, beliau adalah perwaris yang paling dekat untuk ditabalkan sebagai Sultan. Setelah itu, beliau telah dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Samiruddin. Disebut juga, beliau mempunyai tiga orang putera iaitu,
  • Raja Abdul Kadir
  • Raja Abdullah
  • Raja Abdul Rahim.
Naik Takhta
Pada 1616, Sultan Samiruddin telah mangkat dan Raja Abdul Kadir telah ditabalkan sebagai pemerintah Kelantan di Jembal. Beliau dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Abdul Kadir.  Sejarah Kelantan menyatakan beliau memerintah Kelantan daripada 1616 hingga 1632 terdapat satu lagi sumber menyatakan beliau memerintah sehingga 1637.

Keadaan politik sekitar pada waktu itu juga berada dalam keadaan yang kurang memuaskan. Siam sering menyerang kedudukan Patani yang diterajui oleh Ratu Pelangi. Keadaan ini mempengaruhi negeri-negeri yang bersekutu dalam Patani Besar.

Gagasan Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga juga menghadapai masalah pentadbiran baik dari segi dalaman atau luaran. Tragedi Sultan Mahmud Mangkat diJulang juga telah membuka episod baru dalam pemerintahan gagasan kerajaan persekutuan tersebut, di tambah ancaman daripada Belanda-Portugis-Sepanyol.

Kesultanan Champa juga sering kali diancam oleh Dai-Viet, lama kelamaan ia menjadi makin lemah, Kesultan Islam di Sumatera dan Jawa juga menghadapi masalah yang hampir sama. Keadaan ini telah memberi lebih ruang kepada imprealis dari barat meresapi pentadabiran alam Melayu.

Ringkasnya, semasa Sultan Abdul Kadir memerintah, kelibat orang-orang asing yang datang dengan maksud untuk menakluk makin kerap singgah di Kelantan. Kedatangan pendakwah dari Dunia Islam terutama daripada Turki semakin berkurangan kerana ancaman daripada imprealis ini. Pada masa kini, mereka mengatakan KITA sebagai lanun.

Zuriat
Merujuk kepada Royal Ark.net  menyatakan Sultan Abdul Kadir mempunyai seorang putera yang dikenali sebagai Raja Vijaya Indra / Long Betong yang kemudiannya menggantikan takhta beliau di Kota Jembal dan ramai mengenali beliau sebagai Raja Sakti 1.

Kisah asal usul dan susur galur beliau penuh kisah-kisah kesaktian yang dipenglipur lara oleh masyarakat setempat. Hal ini berlaku kerana ketokohan Raja Sakti ini dalam mengekang ancaman Siam.  Kehebatan beliau juga menyebabkan kisah bapanya juga tenggelam. Bagaimanapun, inilah susur galur Sultan Abdul Kadir yang memerintah Kelantan pada 1616-1637.

Kesimpulan
Kisah Sultan Abdul Kadir sebenarnya tidak banyak kita ketahui, paling besar sumbanganya adalah dikaitkan dengan puteranya Long Betong yang kemudiannya dikenali dengan nama Raja Sakti I. Pengisahan beliau telah membuatkan penulis menyoroti keadaan semasa Alam Melayu pada masa tersebut. Ternyata Kesultanan Melayu-Islam pada masa tersebut sedang menghadapi perpecahan dalaman dan ancaman penakluk dari Barat dan penakluk yang sedia ada iaitu Siam dan Vietnam. Justeru itu, maka fahamlah kenapa Raja Sakti lebih berpengaruh.

Gambar Hiasan - Wayang Kulit Kelantan

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...