SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday, 26 January 2015

Kelantan Dalam Perang Saudara - 1835

Pendahuluan
Sejarah Kelantan memang panjang dan penuh dengan ranjau. Negeri yang pada hari ini sering menjadi sebutan dan ingatan di Malaysia kerana pelbagai isu. Baik dari segi politik, ekonomi, budaya, orangnya hinggalah kepada amal ibadat juga, negeri ini tidak lepas daripada menjadi sebutan. Paling kurang, orang akan sebut juga Budu ditambah pula selepas Bah Kuning 2014, negeri kita masih menjadi tumpuan.

Kisah perang di Kelantan mungkin ramai yang ingin tahu, tapi jarang bertemu akan maklumatnya. Selepas peperangan dengan Terengganu sepanjang pengelibatan Long Yunus dalam menuntut haknya, dan di awal pemerintahan Sultan Muhammad I, Kelantan sekali lagi terjerumus kepada kancah peperangan, kali ini ia melibatkan konflik di kalangan kerabat diRaja Kelantan ekoran kemangkatan Sultan Muhammad I yang tidak menamakan perwaris yang sah, sementelahan almarhum tidak mempunyai zuriat. 

Sultan Muhammad I, dikenali sebagai Sultan Kelantan yang berjaya mengekalkan legasi pemerintahan Long Yunus selepas Kelantan diresapi pengaruh Terengganu dengan pertabalan Tengku Muhammad ibni Sultan Mansur I pada 1794 sebagai Yang diPertuan Kelantan. Tempoh 5 tahun diambil oleh Baginda Sultan Muhammad I untuk menegakkan Kesultanan Kelantan yang sebenar. Baginda telah memerintah Kelantan dari 1800 hinggalah mangkat pada 1835, sepanjang tempoh itu, baginda telah menjadikan dua orang anak saudaranya iaitu Long Senik Mulut Merah dan Tengku Long Bongsu putera kepada adindanya, Long Tan. 

Kemangkatan Sultan Muhammad I
Sejurus kemangkatan baginda, Tengku Long Zainal (Long Jenal) yang juga Raja Bendahara Bangul, telah mengisytiharkan diri sebagai pengganti Sultan dengan gelaran Yamtuan Kelantan, perkara ini mendapat tentangan daripada Tengku Long Ismail yang juga Raja Muda Kampung Laut dengan alasan bahawa beliau yang lebih berhak ditabal sebagai Sultan dan konflik ini bertambah buruk apabila Long Senik Mulut Merah terlibat sama.

Kelantan semenjak pemerintahan Sultan Muhammad I merupakan sebuah negeri naungan Siam. Keadaan ini berlaku untuk mengelakkan Kelantan diserang kembali oleh Terengganu setelah peperangan kedua negeri ini tamat pada 1800. Long Jenal dan Long Ismail masing-masing telah lanjut usianya, dan ini memberi kelebihan kepada Long Senik, kerana beliau mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan Bangkok, ringkasnya Siam lebih memihak kepada Long Senik.

Siam telah masuk campur dalam konflik ini pada 1838 untuk meredakan pergolakkan tersebut, seterusnya memulihkan keamanan dengan tujuan melancarkan perhubungan peradagangan antara Bangkok dengan Singapura. Semua pihak yang bertelagah akur dengan campur tangan Siam, Raja Rama I telah melantik Long Senik Mulut Merah sebagai Sultan Kelantan yang kemudiannya ditabalkan dengan gelaran Sultan Muhammad II. Tengku Long Ismail, Raja Muda Kampung Laut telah mangkat, dan tempatnya digantikan oleh anak lelakinya iaitu Long Muhammad (Tuan Besar) sebagai Raja Kampung Laut.

Perasaan bimbang dan ragu-ragu Sultan Muhammad II terhadap Long Muhammad, Raja Kampung Laut ditambah pula sepupu baginda itu mempunyai hubungan rapat dengan Long Jenal, menyebabkan persengketaan itu menjadi lebih buruk. Peristiwa ini dicatatkan dengan jelas oleh Abdullah Munsyi dalam Kisah Pelayaran Abdulah ke Kelantan yang mengikuti rombongan yang mewakili Singapura ke Kelantan untuk membebaskan perahu dagang yang terkandas di Kelantan.

Sekatan pelayaran keluar sebarang kenderaan laut merupakan aturan peperangan pada masa tersebut. Perahu milik saudagar Cina di Singapura turut ditahan dan terkandas di Kelantan, justeru pemiliknya telah mendapatkan sokongan Gabenor Singapura untuk membebaskan perahu yang terkandas itu, Abdullah Munsyi pula terlibat sama kerana beliau telah diminta oleh rombongan saudagar Cina itu untuk menjadi jurubahasa. 

Perang 
Tercetuslah perang antara angkatan Sultan Muhammad II dengan angkatan Raja Kampung Laut. Lokasi mereka hanyalah dipisahkan oleh Sungai Kelantan yang pada masa itu. Angkatan perang kedua-dua pihak yang bertelagah ini terdiri daripada rakyat Kelantan sendiri dan ada antara mereka terpaksa berperang sesama adik-beradik, saudara mara, malah terbabit sama ayah dengan anaknya sendiri. Keadaan ini telah menyebabkan kejadian tembak menembak sahaja dan tidak ada yang berani menggunakan bahan letupan.

Rekod mencatatkan perang saudara ini menggunakan senjata api seperti meriam, lela, rentaka, ekor lontong dan Senapang, selain itu perang ini juga masih menggunakan senjata tradisional seperti lembing dan keris. Banyak harta benda dan kediaman musnah dalam peperangan ini, selain itu kegiatan perdagangan juga tergendala dan lebih teruk menggangu hubungan domestik antara Singapura dan Bangkok.

Rombongan Singapura telah gagal membebaskan perahu mereka yang terkandas di Kelantan, dan mereka telah meminta bantuan daripada Bangkok untuk menyelesaikan perkara tersebut seterusnya menamatkan Perang Saudara di Kelantan. Bangkok telah melakukan helah keatas Raja Kampung Laut. Pada pertengahan tahun 1839, sebanyak dua kali wakil Siam dihantar, kali pertama mereka datang dengan tujuan diplomasi yang bebas dari campur tangan tentera Siam, dan ia telah menemui jalan buntuk. Kali kedua, Siam sekali lagi menghantar wakil mereka dan kali ini mereka datang dengan sejumlah angkatan tentera dan memaksa kedua-dua pihak yang bertelagah ke Songkhla. Setibanya di Songkhla, Raja Kampung Laut telah diarahkan ke Bangkok untuk berunding secara terus dengan Raja Rama III, Raja Siam. Dalam hal ini, Siam lebih memihak kepada Sultan Muhammad II untuk merajai Kelantan. Mendapat sokongan Siam, angkatan Sultan Muhammad II telah berjaya menumpaskan angkatan Raja Kampung Laut.

Di Bangkok pula, Raja Kampung Laut telah ditawarkan untuk menjadi Raja Patani. Tawaran ini tidak boleh ditolak lagi, manakala Long Jenal telah dilantik sebagai Menteri di Wilayah Nongchik dan inilah jalan terbaik untuk menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku di Kelantan. Justeru rantau ini kembali aman, dan hubungan antara Singapura dan Bangkok juga dapat dipulihkan. Kelantan pula menerima penasihat yang dilantik oleh Siam selain harus membayar ufti ke Bangkok setiap tiga tahun. 

Kesimpulan
Peperangan ini membolehkan Long Senik Mulut Merah ditabalkan sebagai Sultan Muhammad II memerintah secara mutlak dengan beberapa jajahan yang setiap jajahan mempunyai wakil baginda. Perang ini juga mencatatkan penggunaan senjata api buatan melayu yang akhirnya menjadi kekaguman bangsa asing. Peperangan demi peperangan yang dihadapi Kelantan menyebabkan kemajuan negeri ini terbantut, namun ia dapat dipertingkat kemudiannya oleh perwaris Kesultanan Kelantan Seterusnya. Berakhirnya peperangan ini, Kelantan menemui kedamaian namun ia sering diganggu gugat oleh Siam ekoran kejadian di Patani.

Siam dan British telah menghidu pergerakkan Kelantan dan Patani yang sedang merencana akan pembetukan wilayah baru yang seterusnya nanti akan menggangu kerancakan ekonomi di Pulau Pinang, Kedah serta Reman. Pada masa sama juga, kegiatan kuasa imperialis yang lain seperti Perancis dan Jerman turut mencetuskan perasaan bimbang terutamanya British. Lalu termetrainya satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Bangkok 1909 yang menyaksikan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu diserahka kepada Empayar British dan negeri ini dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu manakala Patani, Reman, Legeh serta wilayah-wilayah segenting kra yang lain termasuk dalam Kerajaan Siam.

6 tahun sistem pentadbiran Residen British di Kelantan, ia telah mencetuskan perasaan kurang senang dikalangan rakyat Kelantan terutama penduduk Jeram yang pada masa itu diterajui oleh Engku Sri Maharaja (Ku Srimas) dan dibantu oleh Ulama terkenal yang seangkatan dengan Tok Kenali iaitu Haji Mohd Hassan bin Munas yang juga tersohor dengan gelaran Tok Janggut telah melancarkan penentangan terhadap sistem percukaian dan pemilikkan tanah yang diperkenalkan oleh Residen British itu. Kemuncaknya tercetus Perang di Pasir Puteh.... ikuti artikel kami seterusnya yang bertajuk Kelantan Dalam Perang Pasir Puteh 1915.


Contoh Senjata Api yang digunakan : Lela
Contoh Senjata Api yang digunakan : Rentaka

Contoh Senjata Api yang digunakan : Senapang (Pemuras)
Gambar Senjata Api yang digunakan : Terakol (Ekor Lontong)
Senjata Api yang digunakan : Meriam


Rujukan:
  • Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan 1838
  • http://www.sabrizain.org/malaya/library/munshi2.pdf
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2014/11/siri-35-pengisahan-sejarah-kelantan.html
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2014/08/bagaimana-kelantan-terjajah.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...