Pendahuluan
Kelantan Darul Naim merupakan sebuah negeri yang mempunyai sejarah yang panjang. Keturunan Raja-Raja Kelantan dapat dikesan seawal tahun 1233 Masihi lagi. Negeri ini mengalami banyak kali pasang surut mengikut keadaan pemerintahan pada era tertentu. Sejarah Kelantan yang diiktiraf pada peringkat umum adalah selepas tahun 1762 apabila YM Long Yunus telah menyatukan Kelantan seperti mana peta Kelantan pada hari ini.
Sejarah yang panjang pastinya menyimpan pelbagai kisah suka dan duka. Artikel kali ini dan seterusnya akan kami kisahkan berkenaan satu aspek yang penting dalam sejarah iaitu peperangan. Kelantan juga tidak terelak terjerumus dalam peperangan dan kami akan kupaskan beberapa perang yang diingati ramai seperti berikut:
- Perang Kota Kubang Labu 1 (1758)
- Perang Kota Kubang Labu 2 (1762)
- Perang Kelantan - Terengganu (1794)
- Perang Saudara (1835)
- Perang Dalam Pupoh (1915)
- Perang Dunia Kedua (1941)
Sebelum tercetusnya peperangan ini, Kelantan telah menghadapi banyak serangan terutama dari Siam, namun dalam siri artikel ini kami hanya menumpukan kepada peperangan yang berlaku semasa pemerintahan Paduka Sultan Long Yunus untuk memudahkan kita memahami akan kisah perang yang telah berlaku. Selain itu, Kesultanan Kelantan yang wujud pada hari ini adalah dari keturuanan baginda.
Perang ini berlaku di Kota Kubang Labu dengan lokasi sekarang adalah di Wakaf Bharu, Tumpat. Perang tercetus ekoran salah faham Long Pandak terhadap isterinya yang disangka beliau telah bermukah dengan Long Ghafar semasa ketiadaannya. Salah faham beliau itu telah mendorong dia bertindak menjatuhkan hukuman bunuh kepada isterinya yang juga adalah sepupu kepada Long Ghadar, Putera Mahkota dari Reman. Ekoran itu Long Ghafar dan Long Deraman dari Legeh telah bergabung dan menyerang Kota Kubang Labu pada 1758, dan telah bertempur dengan angkatan Long Pandak di kota tersebut, dalam serangan ini, Long Pandak telah berjaya dibunuh oleh Long Ghafar.
...bersambung dalam artikel "Kelantan Dalam Perang Kota Kubang Labu 1 1758"
Peperangan kali ini melibatkan pihak Long Yunus dan Long Ghafar yang mendapat bantuan daripada Terengganu dengan Long Muhammad, pengganti kepada Long Pandak yang juga adindanya. Long Muhammad telah diberi hak pemerintahan di Kota Kubang Labu berikutan kemangkatan Long Pandak dalam serangan pada 1758. Serangan ini berpunca daripada tindakan kejam beliau terhadap penduduk di Kota Teras dan Kota Senang yang terletak di Jembal. Dua kota ini termasuk dalam pemerintahan di Kota Kubang Labu, dan tindakan kejam Long Muhammad telah disampaikan kepada Long Yunus di Terengganu. Serangan kali ini dijalankan penuh sistematik dan digerakkan dari tiga penjuru. Ia berlansung selama beberapa hari dengan sengitnya. Akhirnya Kota Kubang Labu jatuh dan Long Yunus telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan, dari perang ini juga beliau dikenali sebagai penyatu Negeri Kelanatan yang sebelum itu terpecah kepada beberapa City States.
...bersambung dalam artikel "Kelantan Dalam Perang Kota Kubang Labu 2 1762"
Perang Kelantan-Terengganu Bahagian 1 | Bahagian 2
Pada pertengahan 1750, Terengganu merupakan satu sekutu kuat kepada pakatan kuasa Melayu yang dikenali sebagai Kerajaan Pahang-Johor-Riau-Lingga dengan Siak (Bugis) sebagai rakan rapat. Terengganu dibawah pimpinan Sultan Zainal Abidin II (1794-1808) telah menyerang Kelantan tidak lama selepas YM Long Yunus mangkat pada 1794. Terengganu berjaya mengalahkan Kelantan dan telah menabalkan Tengku Muhammad Ibni Sultan Ismail I sebagai Sultan Kelantan pada 1795. Semua waris Long Yunus telah menyelamatkan diri ke pelbagai kawasan, Long Muhammad ibni Sultan Long Yunus telah bangkit menentang pendudukan Terengganu dengan bantuan daripada orang-orang China dari Hulu Kelantan dan mereka telah berjaya menghalau Terengganu daripada Kota Bharu. Setelah itu, Long Muhammad telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad I.
...akan dijelaskan dengan lanjut dalam artikel "Kelantan Dalam Perang dengan Terengganu 1794"
Sultan Muhammad I yang memerintah Kelantan selama 35 tahun dari 1800-1835 juga terkenal dengan nama jolokan Sultan Mandul berikutan almarhum tidak mempunyai zuriat. Baginda telah mengambil Long Senik Mulut Merah yang juga putera kepada adiknya yang bernama Long Tan. Baginda mangkat tanpa menamakan perwaris yang jelas, sementelahan Kelantan pada waktu bernaung di bawah Kerajaan Siam. Perang ini melibatkan tiga penjuru iaitu antara Raja Bendahara Long Jenal, Raja Muda Kampung Laut Long Muhammad ibni Tengku Long Ismail dan Long Senik Mulut Merah. Perang Saudara ini telah menjejaskan operasi perdagangan antara Bangkok dan Singapura dan Kerajaan Siam telah bertindak untuk menyelesaikan pertelingkahan yang menyebabkan kerugian itu, Long Senik Mulut Merah telah mendapat sokongan yang kuat daripada Raja Siam, dan beliau telah ditabalkan sebagai Sultan Muhammad II.
...bersambung dalam artikel "Kelantan Dalam Perang Saudara 1835)
Perang Dalam Pupoh
Perang ini tercetus pada 1915. Ia berlaku dalam jajahan Pasir Puteh dengan Tok Janggut sebagai penggerak utama dalam kebangkitan Rakyat Kelantan menentang pendudukan British di Kelantan selepas 1909. Secara kasar, ramai menyatakan masalah cukai adalah sebab utama Tok Janggut bangkit menentang dasar dan perlaksanaan pejabat Cukai yang dikendalikan oleh British. Sebenarnya ia bukan sekadar Cukai semata-mata....
...bersambung dalam artikel "Kelantan Dalam Perang Dalam Pupoh 1915"
Perang Dunia Kedua
Seluruh Dunia menghadapi perang ini, Kota Bharu adalah bandar yang dingati kerana ia adalah ia menandakan pengelibatan bahagian Pasifik terlibat secara langsung apabila Jepun melancarkan serangan mereka. Serangan Jepun ke atas Kota Bharu sejam lebih awal berbanding serangan epik Jepun keatas pengkalan Amerika Syarikat di Pearl Harbour. Dalam masa 7 hari sahaja, Jepun berjaya menawan semenanjung Tanah Melayu seterusnya menguasai Indonesia dan Borneo.
...Akan diulas dengan jelas dalam artikel "Kelantan Dalam Perang Dunia Kedua 1941"
Gambaran Pelukis : Haji Mohd Hassan bin Munas (Tok Janggut) |
No comments:
Post a Comment