SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday, 1 June 2015

Dimanakah "Padang Choo Cho" : Siri Orang Kito

Padang Perdana, Kota Bharu : Antara lokasi lama yang masih kekal hingga hari ini

Pendahuluan
Generasi kini pasti hairan mendengar nama padang yang diutarakan dalam tajuk artikel ini. Malah tidak pelik jika anak muda hari ini hanya mampu "tersengih" kerana tidak mengetahui berkenaan padang tersebut, sedangkan ia masih wujud berhampiran, Stadium Sultan Muhammad IV lokasi tersohor di Kota Bharu. Hingga saat ini, pelbagai aktiviti masih dijalankan dipadang tersebut dan ia mempunyai nama baru...

Latar Belakang
Asalnya di padang ini telah dibina Penjara pertama di Kelantan pada 1907, penduduk sekitar memanggilnya sebagai Gok Buruk. Penjara ini telah digunakan selama 43 tahun sebelum ianya dirobohkan pada 1950 dan diganti dengan penjara baru, terletak di Pengkalan Chepa. Sebahagian bangunan Gok Buruk telah digunakan oleh Pejabat Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, manakala sebahagiannya pula menjadi padang yang luas.



Menjadi persoalan, bagaimana padang ini dipanggil sebagai Padang Churchill?

Pada masa tersebut, Perdana Menteri Britain adalah Sir Winston Churchill dan Sultan Kelantan, Sultan Ibrahim ibni alMarhum Sultan Muhammad IV pernah bertemu dengan beliau ketika majlis pertabalan Queen Elizabeth II pada 20 Jun 1953 di Istana Blenhiem, Oxfordshire. Mungkinkah kerana perhubungan Sultan Kelantan dengan Perdana Menteri Britain itu telah memberi ilham kepada baginda untuk menamakan Padang Terbuka itu sempena nama Negarawan Britain itu?

Bagaimanapun ianya tidak begitu tepat kerana pada masa itu di Kelantan, Penasihat British di Kelantan bernama W.F.N. Churchill yang dilantik oleh Gabenor British Negeri-Negeri Selat sebagai penasihat ke Kelantan selepas tamat perang dunia kedua. Beliau pernah dilaporkan hilang ketika Perang Dunia Pertama di Eropah, bagaimanapun beliau berjaya menyelamatkan diri, setelah itu beliau telah ditugaskan ke Tanah Melayu sebagai Pegawai British. Sebelum meletusnya Perang Dunia ke Dua di Tanah Melayu, beliau pernah berkhidmat di Kuala Lipis, Pahang.

Yang menarik mengenai W.F.N. Churchill ini adalah, beliau mempunyai pertalian darah dengan Presiden Britain, Winston Churchill. Atas faktor-faktor inilah padang terbuka di tengah Kota Bharu ini telah dinamakan sebagai Padang Churchill dalam tahun 1950an, kerana pelat orang Kelantan, nama padang itu teah disebut sebagai Padang Choo Cho.

Kiri : Tengku Indera Petra, Sultan Ibrahim ibni almarhum Sultan Muhammad IV dan
British Adviser, W.F.N. Churchill 

Peristiwa di Padang Choo Cho
Padang ini menyaksikan pelbagai aktiviti telah dijalankan, bagaimanapun terdapat satu peristiwa bersejarah telah tercatat. Pada Mac 1958, selama dua minggu berturut-turut pelajar-pelajar Maktab Sultan Ismail dan Sultanah Zainab telah menduduki padang itu dan berpiket secara bergilir-gilir, di hadapan padang tersebut terletaknya pejabat lama, Jabatan Pelajaran Kelantan. Tunjuk Perasaan itu berlaku kerana Kementeri Pelajaran pada masa tersebut melengah-lengahkan perlaksanaan Kelas Bahasa Melayu di Sekolah-sekolah Aliran Inggeris.

Akhirnya mogok itu telah menjadi ganas apabila 50 orang anggota Polis Pencegah Rusuhan memasuki padang tersebut pada 30 Mac 1958. Polis berindak menyebat pelajar-pelajar yang berpiket itu dengan rotan bagi menyuraikan mereka.

Kini Padang Churchill telah ditukar kepada Padang Perdana dimana ia kekal menjadi lapangan riadah bagi penduduk sekitar dan ia masih kekal begitu. Sekelilingnya juga terdapat kemudahan orang ramai seperti Bazaar Tok Guru, Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, Gelanggang Seni dan Stadium Sultan Muhammad IV.


Rujukan:

  • [BUKU] Kelantan : A Handbook 1908, W.A.Graham
  • http://sokmo.net/2015/03/06/kelantan-dalam-sejarah-padang-churchill-choo-cho-3/


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...