SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday, 19 June 2015

Sultanah Zainab Peneraju Tiga Sultan : Sejarah Silam


Pendahuluan
Sekitar Kelantan banyak diabadikan nama Sultanah Kelantan pada jalan, hospital mahupun sekolah paling banyak dinamakan sempena Sultanah Zainab seperti Hospital Besar Kota Bharu yang dinamakan sempena Raja Perempuan Zainab II dan Sekolah Menengah Zainab (SEMENZA) ada juga diabadikan pada nama jalan seperti Jalan Sultanah Zainab di Kota Bharu. Ramai beranggapan ia dinamakan merujuk Sultanah Zainab yang menjadi Raja Perempuan semasa pemerintahan almarhum Sultan Yahya Petra, bagaimanapun dalam lipatan sejarah Kelatan terdapat sekurang-kurangnya tiga orang Sultanah Kelantan yang memakai gelaran Sultanah Zainab.

Maksud Nama Zainab
Ia adalah nama bagi puteri dan anak sulung Rasulullah s.a.w hasil perkahwinan dengan Siti Khadijah. Beliau adalah seorang wanita yang tabah dan cekal mengharungi rintangan pada awal penyebaran Islam di Tanah Arab. Seterusnya kisah hidup beliau telah didambakan oleh seluruh Muslimin, dan ia tidak ketinggalan diabadikan pada golongan bangsawan seluruh Dunia Islam termasuk di Kelantan. Dari segi harafiah Zainab adalah nama dalam Bahasa Arab yang membawa maksud pokok yang indah dan wangi dan ia amat sesuai diabadikan pada anak perempuan, justeru ia telah menjadi pilihan untuk dinamakan kepada ketiga-tiga Sultanah Kelantan.

Sultanah Zainab Wan Muhammad Amin
Baginda dilahirkan pada1877 di Kota Bharu dan diberi nama Nik Wan Zainab binti Nik Wan Muhammad Amin. Membesar dikalangan golongan bangsawan sehinggalah tahun 1888 beliau telah dijodohkan dengan Tengku Long Senik, putera sulung kepada SultanMuhammad III  yang juga Raja Muda kepada Sultan Mansur ketika berusia 11 tahun mankala Long Senik pula pada masa tersebut berusia 18 tahun.

Pada 1900, Tengku Long Senik telah ditabal sebagai Raja Kelantan dengan gelaran Yang diPertuan Kelantan, manakala Nik Wan Zainab yang merupakan isteri pertama dan sangat dikasihi oleh Tengku Long Senik. Baginda ditabalkan sebagai Permaisuri. Seterusnya pada 1911,  Tengku Long Senik telah dimasyhurkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad IV dan permaisurinya digelar sebagai Sultanah Zainab.

Hasil perkahwinan beliau dengan Sultan Muhammad IV telah dikurniakan 8 orang putera dan puteri seperti berikut:

  • TengkuIsmail, Tengku Sri Indra Mahkota
  • Tengku Ibrahim
  • Tengku Mohamad Daud
  • Tengku Muhammad
  • Tengku Yusuf
  • Tengku Kembang Petri
  • Tengku Zainab II
  • Tengku Embong

Lapan tahun selepas kemangkatan alMarhum Sultan Muhammad IV pada 1920, Sultanah Zainab pula telah mehembuskan nafas terakhirnya pada usia 51 tahun pada 23 Julai 1928 di Istana Balai Besar dan disemadikan bersebelahan dengan makam suaminya di Makam diRaja Langgar. Bagi mengenang jasa baginda, sebatang jalan yang panjang dan yang penting di Kota Bharu telah dinamakan sempena namanya iaitu Jalan Sultanah Zainab yang bermula dari Padang Bank (padang merdeka) sampai ke Simpang Tiga Jalan Gajah Mati, tetapi ia kemudian dilanjutkan dari Pandang Bank ke Simpang Tiga Kubang Pasu dan dari Simpang Tiga Jalan Gajah Mati ke Simpang Tiga Kampung Sireh. Bagaimanapun pada 1985, simpang tersebut sudah tidak wujud berikutan sebatang jalan menghala ke Jalan Kuala Krai telah ditutup untuk projek Kota Darulnaim yang menempatkan kompleks pejabat-pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Gambar Keluarga Sultan Muhammad IV pada tahun 1900
Dari Kiri, Tengku Ismail, Tengku Embong dan Tengku Ibrahim


Sultanah Zainab Tengku Zainal Abidin
Sultanah Zainab, Raja Perempuan I
(1944-1960)
Baginda merupakan puteri kepada Tengku Long Zainal Abidin ibni Sultan Muhammad III adinda kepada Sultan Muhammad IV.  Baginda dilahirkan pada 1897 di Kota Bharu, merupakan puteri Long Zainal dengan Tengku Besar, sewaktu berusia 17 tahun baginda telah dianugerahkan gelaran Tengku Embong membawa pangkat Yang Amat Mulia pada 6 Julai 1914 setelah berkahwin dengan Tengku Ibrahim ibni Sultan Muhammad IV.

Baginda telah dimahkotakan sebagai Raja Perempuan Kelantan yang pertama setelah suaminya, Tengku Ibrahim ditabalkan sebagai Raja Kelantan dengan gelaran Paduka Sri SultanIbrahim Petra menggantikan kekandanya alMarhum Sultan Ismail I yang mangkat tidak berputera pada 21 Jun 1944.

Perkongsian hidup baginda dengan almarhum Sultan Ibrahim telah dikurniakan seorang zuriat sahaja yang kemudiannya lahir menjadi pemimpin Kelantan dan Malaysia iaitu Tengku Tan Sri Abdullah.

Tengku Tan Sri Abdullah pernah dianugerahkan gelaran Tengku Besar Indera Petra yang berkedudukan sebagai Putera Mahkota Kelantan, bagaimanapun atas sebab-sebab yang tidak dapat dijelaskan, gelaran tersebut telah dilucutkan dan kedudukan putera mahkota telah disandang oleh Tengku Yahya Petra adik tiri beliau.

Selain itu, Sultanah Zainab juga merupakan bonda saudara kepada Tengku Tan Sri Razaleigh Ibni Almarhum Tengku Muhammad Hamzah. Baginda merupakan kekanda kepada Tengku Muhammad Hamzah Ibni Tengku Zainal Abidin. Baginda juga merupakan bonda saudara kepada bonda Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid iaitu YBM Tengku Hajah Azizah Binti Tengku Muhammad Hamzah. Ini secara tidak langsung menjadikan Sultanah Zainab nenda saudara kepada Tengku Anis.

Baginda menjadi Raja Perempuan Kelantan selama 16 tahun sehinggalah kemangkatan Sultan Ibrahim pada 9 Julai 1960. Anakanda tiri baginda Tengku Yahya Petra dilantik menjadi Sultan Kelantan dengan bergelar Sultan Yahya Petra. Baginda juga sempat melihat cucunda baginda KDYMM Sultan Ismail Petra menaiki takhta negeri Kelantan pada tahun 1979 setelah kemangkatan Sultan Yahya Petra. Sultanah Zainab mangkat pada 28 September 1985 ketika berusia 88 tahun dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar Kota Bharu Kelantan.

Bidang pedidikan adalah suatu yang amat diminati sepajang hayatnya. Pada tahun 1937, sewaktu masih belum bergelar Raja Perempuan Kelantan, baginda telah menubuhkan Government Girls English School khas untuk kerabat diRaja dan golongan atasan di Kelantan. Pada awalnya ia menggunakan Rumah Residen British yang terletak di Jalan Merbau sebagai sekolah. Selepas Perang Dunia Kedua Tamat, sekolah ini telah dinamakan sempena nama beliau, dan ia terus dikenali sebagai Sekolah Zainab. Pada 8 Januari 1957, sekolah ini telah dipindahkan daripada Jalan Merbau ke lokasi sekarang di Jalan Telipot.

Sultanah Zainab diiringi oleh Pengetua Sekolah Zainab, Miss Halle 
sewaktu majlis perasmian sekolah baru di Jalan Telipot pada 1957.
Sultanah Zainab bersama besan baginda DYMM Sultan Hisamuddin, 
menantu baginda Tengku Zainab dan cucunda baginda Sultan Ismail Petra 
semasa Istiadat Pemakaman Sultan Ibrahim tahun 1960.


Sultanah Zainab Tengku Muhammad Petra
Raja Perempuan Zainab II
Baginda merupakan permaisuri kepada alMarhum Sultan Yahya Petra dan merupakan bonda kepada baginda Sultan Ismail Petra seterusnya nenda kepada Sultan Muhammad V. Baginda diputerikan pada hari Rabu 7 Ogos 1917. Ayahanda baginda bernama Tengku Muhammad Petra (Tengku Sri Utama Raja) dan bonda baginda pula ialah Tengku Kembang Petri (Tengku Maharani Petri) iaitu puteri kepada alMarhum Baginda Sultan Muhammad IV.

Semenjak dari kecil beliau telah di didik oleh kedua ayahanda dengan bondanya dengan penuh tertib dan sopan dengan tingkah laku mulia sebagai seorang puteri Raja Melayu, disamping itu baginda juga menerima pendidikan agama Islam dari guru dan ulama Kelantan yang terkenal pada masa itu.

Ketika berusia 22 tahun, baginda telah dijodohkan dengan Tengku Yahya Petra ibni alMarhum Sultan Ibrahim pada 4 Jun 1939. Hasil perkongsian baginda dengan Sultan Yahya Petra tela dikurniakan 7 orang zuriat, iaitu seorang putera dan enam orang puteri, bagaimanapun dua orang puteri baginda telah mangkat sejak masih kecil lagi. Berikut putera dan puteri baginda:
  • Tengku Ismail (Sultan Ismail Petra)
  • Tengku Merjana
  • Tengku Rozan
  • Tengku Sharifah Salwani
  • Tengku Rohani

Baginda telah dianugerahkan dengan gelaran Tengku Ampuan Mahkota pada 9 Ogos 1956 oleh alMarhum Sultan Ibrahim sendiri dan pada tarikh yang sama baginda juga telah dianugerahkan dengan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia Peringkat Pertama (S.P.M.K)

Bgainda dilantik menjadi Raja Permpuan Kelantan II pada 10 Julai 1960 serentak dengan perlantikan KDYMM  Baginda Tengku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim sebagai Sultan dan Yang diPertuan bagi Negeri Kelantan Darulnaim. Pada waktu yang sama juga Baginda telah dianugerahkan dengan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K) sempena dengan Hari Ulangtahun yang pertama Keputeraan KDYMM Baginda Sultan Yahya Petra.

Raja Perempuan Zainab adalah seorang yang pemurah dan mempunyai kasihab belas terhadap hamba rakyat sekalian dan sewaktu Baginda menjadi Raja Perempuan, baginda amat peka dengan kerja-kerja amal kebajikan yang berfaedah kepada orang ramai. Baginda pernah memimpin beberapa badan sukarela seperti Pengelola Negeri Tabung Rayuan Derma Bunga Merah dan Yang di Pertua Persekutuan Pandu Puteri Negeri Kelantan. Pada usia 75 tahun, baginda telah menghembuskan nafas terakhir di Istana Negeri, Kubang Kerian pada 9 Januari 1992. Jenazahnya dimakamkan di makam diRaja Langgar, Kota Bharu.

Mengenang jasa dan pengelibatan baginda dalam kerja-kerja kemasyarakatan, pihak pengurusan Hospital Besar Kota Bharu telah mengambil nama baginda untuk diabadikan pada Hospital terulung di Kelantan itu dan ia mula dikenali sebagai Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 5 September 2005.

Gambar Keluarga KDYMM Sultan Yahya Petra dan Sultanah Zainab
Berdiri dari Kiri : YAM Tengku Rozan, YAM Tengku Salwani dan YAM Tengku Marjan.
Duduk dari Kiri : YTM Tengku Ismail Petra, KDYMM Sultan Yahya, DYMM Raja Perempuan Zainab, 
YAM Tengku Rohani

AL FATIHAH


Rujukan:
  • [Buku] Keluarga diRaja Kelantan
  • Royal Ark.net
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Kelantan
  • http://radin87.blogspot.nl/2010/10/raja-perempuan-of-kelantan.html
  • https://syukury.wordpress.com/2012/05/15/raja-raja-perempuan-kelantan-bermula-dari-tahun-1920/
  • http://warisanpermaisuri.blogspot.nl/2013/12/almarhum-raja-perempuan-kelantan.html
  • http://www.geni.com/people/Raja-Perempuan-Zainab-1-Nik-Zainab-Nik-Amin-27/5590998486960057232


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...