Kelantan Darul Naim sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia sebuah negeri yang sering dilabel sebagai antara negeri yang miskin di Malaysia, tetapi negeri ini sebenarnya sedang pesat membangun. Pantai Timur semenanjung merangkumi tiga buah negeri di Malaysia iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Bermula penghujung Oktober hingga awal Februari negeri-negeri di Pantai Timur pasti akan dilanda banjir yang besar. Tiap-tiap tahun ketiga-tiga negeri ini bergilir-gilir banjir, 2013 Pahang dan Terengganu di landa musibah ini, tahun ini Kelantan. Mangsa yang secara langsung mengalami bencana ini pastinya meluahkan keadaan kesukaran dan berkongsi saat getir ketika air meningkat dengan mendadak. Kecanggihan teknologi telekomunikasi juga amat membantu mangsa-mangsa yang terjejas dengan banjir menghubungi pelbagai pihak dan berkongsi saat getir mereka di media sosial terutama di Facebook.
Kami juga menerima pelbagai mesej terutama mesej meminta bantuan diselamatkan, aduan di tempat penempatan mangsa banjir dan keadaan jalan yang boleh dicapai ke tempat yang dilanda bencana. Kami sedaya upaya berkongsi maklumat di wall FB dengan harapan ia dicapai oleh pihak yang bertanggung jawab dan seterusnya dapat membantu mangsa yang terjejas.
Kronologi
Rantau Panjang terlebih dahulu ditenggelami air, dan banyak rumah sekitar Sungai Golok tenggelam dan ramai yang dipindahkan. Pekan ini ini sebuah pekan yang terletak di Sempadan antara Malaysia dan Thailand dan Pekan Golok juga turut sama lumpuh seperti mana pekan Rantau Panjang di Malaysia.
Arial View Banjir di Sungai Golok |
Selang beberapa hari selepas itu, banyak maklumat mengenai air yang meningkat dengan mendadak di kawasan pedalaman Kelantan seperti di Manek Urai, Kuala Krai dan beberapa kawasan di Gua Musang. Keadaan bertambah buruk dengan menyaksikan ramai rakyat Kelantan di kawasan pedalaman di pindahkan terutama di kawasan Kuala Krai. Saat cemas dan suasana panik mula dikongsi dilaman Facebook. Keadaan ini menjadi lebih tragik apabila ramai mangsa mula memuat naik video keadaan mereka saat dilanda air deras dan kemusnahan yang dialami.
Disinilah kecanggihan teknologi telekomunikasi memainkan peranan yang penting. Banyak klip video mangsa banjir menjadi viral diseluruh negara. Saudara-saudara kita dari seluruh negara mula menggerakkan bantuan. Banyak NGO juga menubuhkan pusat pengumpulan barang bantuan dan juga ramai yang mengutip derma untuk disumbangkan kepada mangsa. Selain itu, agensi kerajaan juga turut menggerakkan aset mereka ke lokasi yang dilanda banjir. Alhamdulillah, seluruh negara juga turut berkongsi saat duka mangsa banjir di Kelantan, sambutan Ambang Tahun Baru di Putrajaya juga turut dibatalkan. Urusan Rasmi Perdana Menteri bersama Encik Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat juga mendapat perhatian seluruh rakyat hingga beliau bergegas pulang ke Malaysia dan terus ke Kelantan untuk meninjau keadaan seterusnya menggerakkan usaha membantu dan menyelamat mangsa. Pendek kata, banjir kali ini mendapat liputan meluas hingga ia turut dilaporkan dalam media antarabangsa termasuk di Belanda.
Tidak lama maklumat bencana banjir melanda pedalaman Kelantan, kawasan rendah sekitar Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu pula dinaiki air hingga banyak rumah dan bangunan kerajaan terjejas. Secara keseluruhan, lebih 100,000 rakyat Kelantan terjejas dengan banjir kali ini dan ianya adalah yang terbesar selepas banjir 1967. Saat artikel ini ditulis pelbagai bantuan sedang dihulurkan oleh segenap agensi kerajaan dan juga NGO dan Individu.
Diingati
Banjir yang melanda Kelantan saat ini patut kita ingati sebagai BAH KUNING 2014 kerana ia menyaksikan satu keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini seperti:
- Keadaan mangsa banjir yang tersebar dengan meluas seluruh dunia melalui kecanggihan teknologi maklumat.
- Seluruh rakyat Malaysia menghulurkan bantuan tanpa mengira idealogi politik dan kaum.
- Terdapat individu dan pihak korporat yang menyewa sendiri Helikopter dan Kapal Terbang Ringan untuk menyalurkan bantuan makanan.
- Wujudnya The True Keyboard Warrior seperti di PPSK, KelantanFA, Siakap Keli, PenMerah, SukanStarTV dan banyak lagi komuniti berasaskan Facebook bertindak sebagai pusat penyebaran maklumat banjir kali ini.
- Kemusnahan Besar yang dialami juga menjadi ingatan berikutan kawasan yang dilanda bencana merupakan kawasan yang sedang pesat membangun dengan taman perumahan dan bandar baru dan ia satu jumla angka yang sangat besar serta memerlukan sekurang-kurangnya 3 tahun untuk kembali pulih.
Selepas banjir
Keadaan semasa banjir begitu tragik dan mencemaskan, bagaimanapun keadaan selepas banjir merupakan satu keadaan yang lebih memilukan. Pastinya jiwan mangsa ini lebih meruntun menyaksikan rumah dan kawasan persekitaran mereka yang dilanda banjir, satu tempoh masa yang panjang diperlukan untuk mereka pulih seperti sedia kala.
Rumah dipenuhi selut dan lumpur, kemudahan awam lainnya musnah dan jalan raya telah lenyap pasti membuatkan mereka hiba dan kecewa. Saat ini, pihak yang berwajib perlu tampil menghulurkan bantuan sepertimana bantuan disalurkan ketika banjir melanda.
Klip video Sinar Harian TV sudah cukup menggambarkan keadaan mangsa banjir. Mereka tidak meminta ianya berlaku namun menjadi tanggungjawab kita untuk menghulurkan bantuan setakat yang mampu.
Kami kongsikan paparan keadaan mangsa banjir sekitar Manik Urai, dan terserah pada anda untuk bertindak, pastinya para mangsa mengharapkan bantuan dan sekecil-kecil bantuan yang tuan-tuan serta puan-puan hulurkan, hanya Allah s.w.t. yang akan membalasnya....
No comments:
Post a Comment