SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday, 16 December 2014

[Siri 45] Pengisahan Sejarah Kelantan : Paduka Sri Sultan Muhammad V 2010 - Kini

KDYMM Paduk Sri Sultan Muhammad V 2010 - Kini

Pendahuluan
Kewibawaan dan ketokohan seseorang itu terserlah apabila ia berada dalam sekelompok manusia yang mengiktiraf akan peranan ia. Diantara orang-orang yang alim dalam agama pasti akan diangkat seorang ketua lalu diberi gelaran Ulama. Justeru, dari kalangan rakyat biasa pasti akan seorang yang akan kita rujuk serta hormati keputusannya, dia kita gelar sebagai Ketua. Fitrah manusia, hidup bergantung dalam komuniti yang tersendiri dan mempunyai seorang ketua. Ketua-ketua komuniti ini pastinya akan duduk bersama untuk membincangkan permasalahan mereka demi survival komuniti mereka lalu pastinya akan ada seorang yang akan mengetuai mereka lalu dinamakan sebagai Raja yang akan memutuskan kuasa mutlak dan mengawal ketua-ketua komuniti itu. 

Ini adalah asas kepada sistem Raja, namun dewasa ini pelbagai idealogi yang dikaitkan dengan politik yang tujuan utama adalah untuk meruntuhkan sistem Raja demi merebut KUASA. Sistem feudal ini jelas menjadi penghalang kepada individu yang ambisi terlampau tinggi. 

Begitulah cabaran yang dihadapi oleh setiap Intitusi Raja dan Kelantan juga tidak terlepas dari episod ini; atas pelbagai sebab ramai yang mahu mencabar akan kedudukan Sultan Kelantan. Hal ini menjadi punca kenapa sejarah Kesultanan Negeri kita yang tercinta ini menjadi porak peranda.

Latar Belakang
Sebelum menaiki takhta kerajaan Negeri Kelantan, baginda dikenali dengan nama Tengku Faris Petra. Nama ini cukup dekat di hati segenap lapisan rakyat Kelantan semenjak dari awal hingga baginda ditabal. Baginda diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu. Semenjak dari kecil baginda dikenali ramai sebagai seorang yang mesra dengan rakyat, baginda gemar bermain bola sepak di luar Istana yang sentiasa menjadi kemurkaan kepada bondanya. 

Baginda merupakan seorang yang terpelajar dan disediakan selengkapnya proses pendidikan, berikut proses pendidikan baginda:
  • Tadika Fatimah Convent
  • Sekolah Sultan Ismail Satu, Kota Bharu
  • Sekolah Alice Smith, Kuala Lumpur
  • Oakham School, Rutland, England
  • Saint Cross College, The Oxford Centre for Islamic Studies (Kajian Diplomatik)
  • Yayasan Pembangunan Antarabanga German (DSE) & Business School London (Ekonomi)
Jelasnya, sepanjang proses pembelajaran secara formal ini, baginda telah didedahkan pergaulan dengan masyarakat biasa memandangkan Sekolah Sultan Ismail Satu merupakan satu sekolah awam di Kota Bharu. Kesemua adik beradik baginda semuanya melalui pembelajaran di sekolah awam dengan tujuan untuk mendekatkan diri mereka sebagai seorang rakyat seterusnya membentuk jati diri sebagai anak Kelantan.

Selepas ayahandanya, Sultan Ismail Petra ditabalkan sebagai Sultan berikutan kemangkatan datuknya di Istana Negara, baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota pada 30 Mac 1979 dan istiadat rasmi diadakan di balairong seri, Istana Balai Besar pada 6 Oktober 1985 pada usia 16 tahun. Semenjak dari itu, baginda telah menjadi Ahli Majlis diRaja Kelantan sehingga 2010. 

24 Mei 2009, baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan yang bertindak menjalankan tugas-tugas Sultan selepas Sultan Ismail Petra mendapatkan rawatan sususalan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura ekoran serangan stroke yang serius. Kesihatan ayahandanya yang makin merosot menggusarkan para pembesar dan kerabat diRaja, justeru Majlis Perajaan Negeri Kelantan telah menabalkan baginda pada 13 September 2010 bertempat di Istana Balai Besar, serentak dengan itu baginda telah dimasyhurkan dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan Muhammad V ibni Sultan Muhammad Petra. Pada saat itu juga baginda telah menitahkan perkataan Daultan Tuanku diubah kepada laungan TAKBIR!!

13 Disember 2011, baginda telah dilantik sebagai Timbalan Yang diPertuan Agong Malaysia ke-14 dengan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dilantik sebagai Yang diPertuan Agong Malaysia dan Istiadat angkat sumpah telah dijalankan di Istana Negara, Kuala Lumpur. Perlantikan ini sbenarnya menunjukkan bahawa Majlis Raja-Raja Malaysia mengiktiraf dan memperkaui kedaulatan KDYMM Sultan Muhammad V selaku Sultan Kelantan yang sah. Tindakan Majlis Perajaan Negeri Kelantan telah menjalankan tugas mereka dengan sewajarnya dan meletakkan baginda Sultan dengan kedudukan yang sebaik-baiknya. 

Baginda Sultan Muhammad V telah berkahwin dengan Y.M. Tengku Zubaidah binti Tengku Nuruddin seorang kerabat diRaja Patani pada 15 November 2004. Perkahwinan mereka tidak kekal lama dan mereka telah berpisah.  

Personaliti
Sepanjang empat tahun baginda bergelar Sultan, banyak maklumat disebarkan berkenaan aktiviti baginda. Kebanyakkan imej yang disiarkan adalah berkenaan sifat keluhuran dan tawaduk baginda. Hingga baginda dikenali sebagai seorang Raja yang memang merendah diri, tanpa segan silu berperwatakan sebagaimana orang kebiasaan, memandu dan beriadah tanpa protokol, baginda juga kerap melawat rakyat sekitar negeri. 

Selain itu, baginda juga sering menganjurkan majlis-majlis Ilmu dan mendekati para ulama. Bermula 2012, baginda telah menganjurkan program Qiam With Me bertempat di Istana Kubang Kerian dan ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat muslim untuk menghadirinya. Justeru, kerana perwatakannya baginda amat disayangi rakyat Kelantan dan sentiasa diingati.



Kesimpulan
Baginda merupakan salah seorang Sultan yang dikagumi seluruh rakyat Malaysia. Sifat dan keperibadian baginda membuatkan segenap lapisan rakyat dapat merasai akan kasih dan sayang baginda. Rakyat Kelantan bertuah mempunyai seorang Sultan yang begitu cakna akan negeri baik dari pembangunan ekonomi mahupun kesejahteraan rakyat, semua dalam pengetahuan baginda.

Pengisahan Sejarah Kelantan dari kami juga tamat dengan Siri 45 ini. Justeru, kami merakamkan ribuan terima kasih kepada pembaca yang mengikuti siri pengisahan sejarah Kelantan semenjak dari Siri 1 lagi. Kami menyusun sepuluh jari, andai ada kesilapan dan khilaf ketika kami menghasilkan siri ini, niat kami hanyalah berkongsi maklumat sejarah Kesultanan Negeri Kelantan yang bermula semenjak tahun 1233 dengan anda semua terutama Anak Watan Kelantan agar mereka tahu sejarah negeri bertuah ini.

SEKIAN.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.


Rujukan:

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...