SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday, 10 December 2014

[Siri 41] Pengisahan Sejarah Kelantan : Paduka Sri Sultan Ismail I 1920-1944


Pendahuluan
8 Disember 1941, adalah tarikh keramat dalam sejarah Perang Dunia Kedua, kerana pada tarikh inilah bermulanya bahagian pasifik terjerumus dalam perang, apabila tentera Jepun menyerang pengkalan tentera Amerika Syarikat di Pearl Harbour. Serangan tersebut sebenarnya dilancarkan serentak dengan serangan keatas kedudukan British di Semenanjung Tanah Melayu melalui Kota Bharu, Kelantan.

Pada masa serangan Jepun ini, Kelantan pada waktu itu diRajai oleh Paduka Sri Sultan Ismail yang menaiki takhta Kelantan selepas Sultan Muhammad IV mangkat pada 23 Disember 1920. Di saat, Inggeris melarikan diri dari Kelantan, Baginda Sultan Ismail tetap di Kota Bharu.

Latar Belakang
Baginda merupakan Putera Sulung kepada Sultan Muhammad IV dan Sultanah Zainab binti Nik Muhammad Amin, baginda diputerakan pada 20 Ogos 1880 di Kota Bharu. Semasa pemerintahan ayahandanya, baginda tidak terus dilantik sebagai Raja Muda, sebaliknya bapa saudara baginda iaitu Long Zainal Abidin telah menjawat jawatan tersebut atas alasan baginda pada masa itu masih muda. Bagaimanapun sistem ini amat mirip dengan corak pentadbiran Dinasti Cakri yang mana Raja Muda harus diberi kepada adik kepada raja yang memerintah. Raja Muda ini pula mempunyai istana dan balairongnya sendiri dalam membantu Raja yang memerintah. Dalam Dinasti Cakri, jawatan Raja Muda adalah satu jawatan penting dan ia diiktiraf sebagai Raja Kedua.

Justeru itu, Baginda Sultan Muhammad IV telah menganugerahkan gelaran Tengku Seri Indera Mahkota pada 11 Mac 1901 yang mana sebelum itu baginda memangku gelaran Tengku Sri Jaya Raja. Pada tahun 1901 juga, Kerajaan Siam telah berkenan untuk menganugerahkan gelaran Phra Rattasadana Adipati Putra kepada baginda. Ketika menyandang gelaran tersebut, baginda telah berkahwin dengan Tengku Petri binti Tengku Long pada tarikh 13 Mac 1910 namun perkahwinan ini hanya ditakdirkan bertahan selama 5 tahun sebelum merek becerai pada 1915. Baginda kemudiannya telah berkahwin dengan YM Tengku Nik binti Tengku Kaya Pahlawan pada Disember 1915.

Baginda telah dilantik sebagai pemangku Sultan dengan gelaran Yang Teramat Mulia Raja Kelantan pada 22 June 1911. Setelah kemangkatan ayahandanya pada 20 Disember 1920, baginda telah dilantik menggantikan kedudukan Sultan Kelantan. Tepat pada 28 April 1921. baginda telah ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, Kota Bharu. 

8 Disember 1941, Tentera Jepun telah menduduki Kota Bharu selepas mereka berjaya mematahkan pertahanan British di sepanjang Pantai Kuala Pak Amat. Jepun telah meletakkan Kelantan dalam pemerintahan Tentera. Pihak tentera Jepun telah menyerahkan pemerintahan Kelantan kepada Siam sebagai memenuhi perjanjian rahsia antara mereka kerana memberi laluan kepada Jepun untuk menyerang kedudukan British dua tahun sebelum itu. Sepanjang Perang Dunia 1941-1945, Kelantan telah diperintah oleh Persuruhjaya Thai, atas sebab inilah Kelantan tidak begitu terjejas oleh Perang yang sentiasa diingati Dunia itu.

Modenisasi Kelantan
Sepanjang pemerintahan Sultan Ismail I, Kelantan sebenarnya mencapai kemajuan yang memberangsangkan dengan menyaksikan negeri ini mempunyai kemudahan Pelabuhan di Tumpat, sistem Jalan Raya yang menghubungkan dengan Terengganu dan bandar-bandar di Kelantan. Selain itu, jaringan Jalan Keretapi juga dibina selain beberapa jambatan yang masyhur. Selain itu, terdapat juga beberapa airstrip untuk pendaratan dan pelepasan kapal terbang telah dibina di seluruh Kelantan. Kemajuan ini telah merosot ekoran pendudukan Jepun, namun negeri ini masih utuh. Selain itu, semasa pemerintahan Baginda, Kelantan juga telah betukar dari sistem pemerintahan feudal kepada satu sistem pentadbiran yang efisien.

Baginda merupakan Sultan Kelantan yang menjalani Istiadat Kemahkotaan setelah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan pada 23 Disember 1920, alat dan lambang kebesaran dalam istiadat tersebut adalah:

  • Mahkota
  • Petarakna
  • Batang Tombak Jejabu
  • Bilah Pedang
  • Cogan Agama
  • Cogan Alam
  • Bendera Tubuh
  • Bendera Negeri
Ketika pemerintahan baginda, Lagu Negeri telah dititah untuk digubah dan mengubah Bendera Negeri. Titah baginda berkenaan penggubahan Lagu Negeri telah disahut oleh En. M.S. Menzis, Ketua Pancaragam Polis Kelantan untuk dipersembahkan kepada Baginda Tuanku. Pada 5 Julai 1927, baginda telah memperkenankan lagu tersebut dimainkan pada Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda dengan nama Selamat Sultan. Pada tahun 1930, senikata lagu Selamat Sultan telah digubah oleh Tengku Mahmud Mahyiddin yang pada waktu itu menjawat jawatan sebagai Pegawai Pelajaran Kelantan pada waktu itu.

Bendera Kelantan : Pada tahun 1922, baginda Sultan Ismail telah mengubah
bentuk bendera Tubuh Baginda dan juga Bendera Negeri Kelantan yang telah
digunakan semenjak semenjak zaman alMarhum Sultan Muhammad IV lagi.

Baginda Sultan Ismail I juga telah memperkenalkan Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang untuk dianugerahkan kepada Negeri, Raja dan masyarakat umum. Kumpulan bintang ini dikenali sebagai Bintang Darjah Jiwa Mahkota Kelantan yang Amat Mulia atau juga dikenali sebagai A-Ismaili.

Perkembangan Negeri
Sultan Ismail telah mengerakkan pelbagai langkah untuk memajukan negeri Kelantan Darul Naim. Baginda telah menubuhkan sebuah Majlis Mesyuarat yang dinamakan sebagai Dewan Negara pada 1923 di Istana Balai Besar, Kota Bharu. Sebelum itu, baginda telah melakukan bancian penduduk di negeri Kelantan buat pertama kali pada 1921, dan bancian kedua dijalankan pada tahun 1931 untuk mendapatkan maklumat bilangan penduduk mengikut pecahan etnik. 

Pasukan Tentera Sukarela juga telah ditubuhkan dan mereka dikenali sebagai Pasukan Jiwa Setia. Pasukan ini telah ditubuhkan pada 1922. Untuk melincinkan pentadbiran di negeri Kelantan, baginda Sultan Ismail juga telah berkenan mewujudkan beberapa pejabat baru antaranya:
  • Pejabat Tanah
  • Mahkamah Tinggi
  • Mahkamah Rendah
  • Pejabat Cukai 
Kelantan juga mula menyaksikan pelbagai kemudahan infrastruktur moden dibina sewaktu pemeritahan Sultan Ismail utuk penduduk awam seperti dalam pautan ini.

Pendudukan Jepun
Kerancakan pembinaan infrastruktur moden dan perkembangan ekonomi negeri Kelantan telah terbantut apabila pecahnya perang dunia kedua. 8 Disember 1941, tentera Jepun secara rasmi telah meduduki Kota Bharu, Inggeris pula telah meninggalkan Kelantan. Baginda Sultan Ismail tetap di Kota Bharu, baginda tidak kemana-mana.

Sebelum pendudukan Jepun, Kelantan telah dicarta sebagai Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu yang menerima Sistem Residen dimana seorang Penasihat British ditempatkan di Istana untuk tugas menyelia dan menasihat keputusan-keputusan yang dibuat. Apabila Jepun menghalau British, mereka telah memperkenalkan Sistem Pemerintahan Gabenor dengan istilah Jepun Cakan Ka Kaka. 1941-1942, Kelantan telah menerima dua orang Gabenor dari Tentera Jepun iaitu:

  1. Yashushi Sunakawa 
  2. Kukiro Fujisawa

18 Oktober 1943, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis telah diletakkan dibawah pentadbiran Thai oleh Jepun sebagai memenuhi perjanjian sulit mereka dengan pihak Siam. Sepanjang tempoh tersebut, Kelantan telah menerima dua orang pesuruhjaya tentera Thai iaitu:

  1. First LT.  Charm Charam Chaichan
  2. R.T. Thaivin Rawan

1 Januari 1944, Majlis Montri Spa atau Majlis Mesyuarat Negeri yang sinonim dalam Bahasa Melayu mula berkuatkuasa. Baginda Sultan Ismail sendiri yang menjadi pengerusi Montri Spa ini. Lima hari kemudian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang ditutup oleh Jepun telah dibuka semula dan pegawai-pegawainya telah diarahkan bertugas semula sepertimana sebelum perang.

Waris
Baginda Sultan Ismail menghidapi penyakit tuberculosis atau masyarakat umum mengenalinya sebagai Batuk Kering. Penyakit ini sukar untuk dirawat walaupun pada masa kini, apa yang doktor dan pakar perubatan lakukan adalah melemahkan kuman-kuman yang telah menjangkiti sistem pernafasan seseorang yang menghidapi penyakit tersebut. Setelah menderita penyakit tersebut buat sekian masa, baginda telah ditakdirkan mangkat di Istana Jahar, Kota Bharu pada 20 Jun 1944 dan dimakamkan di Makam diRaja Langgar.

Baginda mempunyai dua orang puteri, manakala putera baginda mangkat pada usia yang muda. Puteri baginda yang direkod dalam catatan rasmi adalah:

  • Y.A.M Tengku Petri Kisman Ja'ajan yang berkahwin pada 3 Semptember 1935 di Kota Bharu dengan Tengku Ahmad Alham Shah ibni Sultan Alaudin Sulaiman Shah (Sultan Selangor).
  • Puteri kedua tidak direkodkan nama.

Kerana baginda Sultan Ismail mangkat tidak berputera, para pembesar dan kerabat diRaja Kelantan telah berkeputusan untuk menabalkan adinda Sultan Ismail, Tengku Ibrahim selaku Sultan Kelantan.

Kesimpulan
Baginda Sultan Ismail I adalah waris daripada Sultan Muhammad IV, baginda meneruskan legasi pemerintahan ayahandanya dan telah menggiatkan pembangunan infrastruktur moden di Kelantan. Kemajuan Kelantan ini sebenarnya dibayangi dengan pengaruh British yang makin mencengkam. Bacian yang dilakukan pada1921 dan 1931 adalah untuk menggarkan kadar kutipan cukai.

Sultan pada masa tersebut hanya berkuasa dalam urusan Agama dan Adat Istiadat sahaja, selebihnya perkara lain diuruskan oleh Residen British yang berperanan sebagai penasihat dan juga pentadbir negeri. Sultan dan Para Pembesar telah diberikan gaji bulanan dengan kuasa yang ditentukan oleh Residen British itu tadi.

Kekayaan negeri Kelantan juga telah dijarah dengan rakus, kos pembinaan pelabuhan dan jalan keretapi serta jalan raya sebenarnya diambil dari keuntungan pihak Residen yang menjarah hasil bumi Kelantan hinggalah segala aktiviti mereka terhenti ekoran perang dunia kedua. Aktiviti Jepun di Kelantan tidak dapat dipastikan dengan jelas, tetapi mereka juga menjarah hasil bumi Kelantan, setelah itu mereka telah meletakkan Kelantan dibawah pentadbiran Thai sehinggalah perang dunia tamat.

Selamat Sultan 
Komposer: M.S. Menzis (5 Julai 1927)
Lirik : Tengku Mahmood Mahyidden (1930)


Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...