SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday, 15 December 2014

[Siri 44] Pengisahan Sejarah Kelantan : Paduka Sri Sultan Ismail Petra 1979-2010

KDYMM Paduka Sri Sultan Ismail Petra : Sumber - Syukury.wordpress

Pendahuluan
Sultan merupakan tunjang kepada sesebuah negeri, tanpa Sultan sesebuah negeri seakan hilang serinya. Sultan adalah seorang individu yang wajar kita hormati, bagaimanapun seperti insan yang lain, Baginda Sultan memerlukan ruang dan masa diantara tugas dan kehidupan peribadi. Bagi rakyat, kehidupan Sultan adalah sesuatu yang menarik untuk diketahui kerana mereka sayang dan kasihkan Sultan.

Tidak dinafikan, ada kelompok tertentu mempersoalkan malah ada yang mempersendakan Institusi Sultan. Namun, terdapat kelompok yang lebih besar menyanjung martabat Sultan. Justeru, kestabilan dan keutuhan yang dikekalkan dalam Kesultanan Kelantan membolehkan KDYMM Paduka Sri Sultan Ismail terus kekal sebagai Sultan Kelantan.



Latar Belakang
Baginda diputerakan pada 11 November 1949 di Istana Jahar, Kota Bharu. Bonda baginda, Tengku Zainab merupakan Raja Perempuan Kelantan. Baginda merupakan putera sulung kepada alMarhum Sultan Yahya Petra kerana itu selayaknya baginda ditabalkan sebagai Tengku Mahkota pada 11 November 1967 sewaktu baginda berusia 18 tahun. Setelah itu baginda telah dilibatkan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri untuk mempersiapakan diri sebagai pemangku Sultan. Setelah ayahandya ditabal sebagai Yang diPertuan Agong Malaysia yang ke 6 di Kuala Lumpur, baginda telah diperkenankan untuk memangku tugas Sultan Kelantan.

Ayahanda baginda telah mangkat di Istana Negara ketika masih lagi menjawat jawatan sebagai YDP Agong, secara langsung kedudukan Sultan Kelantan terus dipangku oleh Baginda Sultan Ismail dan baginda telah dimahkotakan di Kota Bharu pada 30 Mac 1980 dengan dimasyhurkan sebagai Sultan Ismail Petra. 

Pada 4 Disember 1968 yakni pada usia 19 tahun, baginda telah berkahwin dengan Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid di Istana Balai Besar, Kota Bharu.  39 tahun kemudian, iaitu pada 23 Disember 2007 baginda telah berkahwin buat kali kedua dengan Cik Puan Elia Suhana binti Ahmad bagaimanapun mereka telah bercerai pada 12 Februari 2010 di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Baginda dikurniakan tiga orang putera dan seorang puteri dari perkahwinan dengan Tengku Anis, mereka adalah:

  1. Tengku Muhammad Faris Petra
  2. Tengku Muhammad Faiz Petra
  3. Tengku Muhammad Fakri
  4. Tengku Amalin Aisyah Puteri

Buat sekian lama, kesihatan baginda semakin merosot hinggalah baginda disahkan menghadapi kegagalan sistem saraf dan mengalami kegagalan untuk sembuh dari stroke (disebabkan serangan jantung) dan perkara ini menjejaskan peranan baginda selaku Sultan Kelantan. Rentetan dari perkara ini, Putera Sulung baginda, Tengku Faris telah menaiki takhta Sultan Kelantan menggantikan ayahandanya untuk menjalankan tugas pentadbiran yang selayaknya sebagai Sultan Kelantan pada 13 September 2010.



Kesimpulan
Baginda memang dikenali sebagai seorang Sultan yang pengasih dan mudah merapati rakyat. Namun semua jasa dan bakti baginda seolah terhapus berikutan kontroversi yang melanda keluarga diRaja Kelantan pada masa sekarang. Apa yang jelas, keluarga diRaja juga seperti mana keluarga-keluarga yang lain, mereka memerlukan ruang dan masa untuk kehidupan mereka sendiri. Yang jelas, kita sebagai rakyat harus mentaati Raja, dan ada saluran khusus untuk kita menyuarakan pandangan dan pendapat mengenai pemerintahan.


Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:

  • http://muhammadismailibrahim.wordpress.com/2011/03/14/allahuakhbar-sultan-muhammad-v-malikussoleh/
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Ismail_Petra_ibni_al-Marhum_Sultan_Yahya_Petra
  • http://syukury.wordpress.com/2012/05/07/keturunan-nik-wan-tuan-che-tengku-kelantan-pattani-terengganu-bersal-dari-syed-hussin-jamadil-kubra/
  • Royal Ark.net
  • Salasilah Keturunan Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Baits

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...