SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday 12 March 2014

APM-2271 : INSIDEN MH370


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat sahabat-sahabat sekalian. Ambo sebenarnya dalam proses pembacaan untuk artikel sejarah Kelantan. Namun Semenjak hari sabtu (8 Mac 2014) seluruh Dunia memberi tumpuan kepada Malaysia ekoran kehilangan pesawat Boeing 777 di bawah label MH370. Insiden ini juga mengatasi isu Crimea yang mana Russia dan Ukrine kini diambang perang.

Cable News Network (CNN) pada 8-9 Mac mengadakan Breaking News setiap 30 minit dan menandakan insiden ini adalah top isu. Buat 10 jam pertama CNN merakamkan takziah buat penumpang dan krew pesawat MH370, kini hampir 100 jam kehilangan pesawat ini masih menjadi misteri  kerana tidak menemui sebarang petanda dan petunjuk bahawa ianya terhempas ke laut. Bukti yang sering diputar adalah kehilangan pesawat tersebut di radar menara kawalan.

Hal ini menjadi misteri kerana tiada kesan langsung ianya terhempas di kawasan terakhir ianya hilang dari radar. Kerajaan Malaysia melalui agensi-agensi yang berkenaan telah dikerahkan untuk mencari dan menyelamat dengan bantuan negara-negara serantau dan dalam masa sama CNN menyindir usaha yang dijalankan. Itu CNN, satu sedutan berita dari Australia pula menyiarkan klip video memaparkan co-pilot mempelawa dua orang gadis Australia ke kokpit sebuah pesawat. Sejauh mana kebenaran tidaklah dapat dipastikan kerana banyak pihak mahu mengambil kesempatan keatas peristiwa yang mendapat liputan dari seluruh dunia.

Apa sekalipun teori dan spekulasi, jawapan yang paling jelas disini ialah, ianya BELUM DITEMUI!! Segala-galanya akan terjawab apabila pesawat malang ini ditemui.

Sebenarnya, nahas uadara juga berlaku di Malaysia, cuma ia melibatkan helikpoter (TUDM dan Private) serta kapal terbang kecil, dan ia melibat korban yang kecil. Yang menjadi luarbiasa dan mendapat perhatian dunia kerana insiden ini melibatan 239 nyawa dari 14 negara asing.

BOEING777
Pelbagai teori yang menjurus kepada spekulasi boleh kita utarakan, aspek ini ramai yang tulis. Satu perkara yang tidak kita ambil peduli iaitu pesawat Boieng777 adalah sebuah pesawat yang terbukti antara yang paling selamat di dunia.

Pesawat ini buat pertama kali diperkenalkan kepada dunia pada tahun 1994, dan pertama kali diguna pakai sebagai pesawat penumpang pada 1995. Sebanyak 70 insiden yang melibatkan pesawat ini direkodkan dengan insiden terburuk yang menimpa Asiana Airlines Flight 214 yang terhempas di Sans Francisco pada 2013.

Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) memiliki 15 pesawat Boieng 777 dan pembelian pesawat model tersebut bermula pada tahun 2002. Pesawat ini terkenal sebagai pesawat jarak jauh dan ia mampu terbang dari London ke Los Angles atau Tokyo ke Sydney dan beroperasi tanpa henti selama 19 jam. Pakar penerbangan juga menyatakan bahawa ia adalah antara pesawat yang terbaik pernah dibina dengan reputasi cemerlang.

Bagi MAS, ini adalah kali kedua selepas tragedi MH653 yang dirampas dan akhirnya terhempas di Tanjung Kupang, Johor pada 4 Disember 1977 yang mengorbankan 100 orang termasuk beberapa orang kenamaan.

JURUTERBANG CEKAP DAN PESAWAT PALING SELAMAT
Komboniasi ini pastinya gabungan sempurna pada mata kasar, namun kekuasaan Allah s.w.t. itu lagi hebat. Itulah analogi yang tepat dengan tembual antara krew MHI dan Buletin Utama di TV3 dengan bekas juruterbang Boieng777, Kapten Norudin Abd. Majid seperti dalam klip ini.



Jika anda menonton klip yang ambo kepilkan ini, maka kita telah menemui titik persamaan.


Marilah kita berdoa kepada Allah s.w.t. agar semuanya dipermudahkan dan diberkati...sama-sama kita bertawakal... 

Sunday 2 March 2014

Episod 3 : Misteri Che Siti Wan Kembang - Peranan Adruja Wijayamala

Gambar Hiasan : Kelewang adalah senjata kegemaran Adruja 
Pendahuluan
Adruja Wijayamala Singha merupakan salah satu kunci Rahsia Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang jarang diketengahkan tetapi sering diingati sebagai satu ikon wanita yang dominan bagi masyarakat Melayu-Kelantan. 

Berdasarkan Sejarah Kelantan, beliaulah yang digelar sebagai Che Siti Wan Kembang, Raja Perempuan Kelantan yang mengangkat martabat Wanita Kelantan. Namun, kisahnya sering samar-samar kerana terdapat beberapa individu yang menggunakan gelaran yang sama. 

Peribadi Adruja Wijayamala Singha
Sejak dari zaman kanak-kanak lagi, Adruja sudah mahir menunggang kuda, dan bermain senjata seperti kelewang dan berperwatakan seperti lelaki. Namun begitu, unsur wanita tetapi subur berikutan beliau gemar akan bauan wangian kayu cendana yang dicampurkan kedalam minyak wangi yang diperbuat daripada Bunga Melur. 

Ketika meningkat remaja, beliau menjadi pembantu ayahandanya di medan perang sebagai pembawa Panji-Panji Kerajaan Grahi ketika Sang Tawal berangkat ke medan perang menentang Siam Sukhothai. Setelah perang berakhir, dia akan membantu merawat tentera yang cedera. Pengalaman ini telah membuatkan dia memahami keadaan dan selok belok peperangan.

Melihatkan keadaan tentera Grahi yang kurang bersemangat dan mudah berundur tatkala diasak membuatkan Adruja membentuk sebuah pasukan tentera yang terdiri daripada wanita. Pembentukan pasukan tentera Wanita Grahi ini bermatlamat untuk mempertahankan kaum wanita yang seringkali diperkosa oleh tentera Siam yang menyerang kampung-kampung yang jauh daripada Kota Grahi serta ingin membuktikan bahawa golongan wanita juga mampu dan setanding dengan golongan lelaki di Medan Perang.

Pada mulanya cadangan Adruja untuk menubuhkan pasukan tentera dari kalangan Wanita Grahi mendapat tentangan daripada ayahandanya, Sang Tawal dengan anggapan wanita pada masa itu hanya terhad kepada memasak dan merawat tentera yang cedera sahaja. Namun, setelah dikenangkan jasa Adruja yang sering membawa panji-panji Perang Grahi di medan perang, Sang Tawal telah berubah fikiran dan membenarkan Adruja menubuhkan pasukan tentera wanita Melayu yang pertama.

Memandangkan sikap agresif puteri Grahi itu, Sang Tawal cuba untuk menyelamatkan Adruja dari terjerumus dalam medan perang dengan usaha mengahwinkan beliau. Tetapi usaha ini tidak dapat mengekang semangat juang Srikandi itu dengan memberi syarat bahawa sesiapa yang dapat mengalahkan dia dalam pertarungan satu lawan satu boleh berkahwin dengan beliau. Syarat ini sebenarnya berat kerana pertarungan satu lawan satu diakhiri dengan kematian lawan.

Pasukan Bersenjata (Seri Wijayamala)
Setelah cadangan Adruja untuk menubuhkan pasukan tentera diperkenankan oleh Sang Tawal makan bermulalah usaha beliau untuk merekrut semua golongan wanita Grahi untuk menjadi tentera.

Golongan Wanita Perawan telah menolak untuk menyertai pasukan tentera tersebut, kemudian Adruja beralih dengan mendekatan golongan janda muda yang kematian suami dalam medan perang untuk berjuang bersama-sama beliau. Pada awalnya, usaha beliau telah ditempelak sebilangan janda muda yang berpendapat bahawa wanita hanya berkerja memasak dan merawat askar sahaja.

Adruja telah murka dan menyatakan bahawa, kaum wanita tidak boleh sahaja bergantung harap pada kaum lelaki sekiranya mahu meneruskan survival dalam ancaman Siam. Adruja juga menganggap bahawa perjuangan mereka adalah untuk kebenaran dan ia adalah jalan untuk Syahid di jalan yang benar jua.

Setelah mendengar kata-kata Puteri Raja itu, ramai wanita telah menyertai angkatan Perang Grahi dan pasukan ini dinamakan sebagai Seri Wijayamala dan ia diketuai oleh Adruja sendiri. Kemudian beliau telah melengkapkan peralatan perang bagi pasukannya dan juga membeli kuda untuk memperkuatkan pasukannya. Senjata-senjata pula telah diubahsuai agar sesuai untuk digunakan oleh wanita. Seekor kuda putih juga telah didapatkan untuk tunggangannya dan ia dinamakan sebagai Halilintar. Kebanyakkan kelengkapan ini diperoleh dari para pedagang Arab dan Turki yang singgah berdagang di pelabuhan berhampiran Kota Grahi. Melalui para pedagang inilah Adruja mempelajari Bahasa Arab dan Turki.

Seri Wijayamala bersedia
Pasukan Khas yang terdiri dari Wanita Grahi yang diketuai oleh Adruja telah siapa sedia dan jumlah mereka hanyalah 41 orang sahaja. Walaupun sedikit pasukan kita terdiri daripada mereka yang mahir dalam penggunaan senjata. Mereka semua adalah janda kematian suami dalam perang, hamba abdi dan budak suruhan.

Melihatkan sekumpulan wanita, ada Panglima Grahi mempersoalkan akan keupayaan pasukan itu. Namun segala terjawab apabila seorang penolong Adruja yang bernama Puspa memperlihatkan kehandalannya memanah. Perkara ini disaksikan sendiri oleh Sang Tawal dan menteri lain dan mereka memperakui kebolehan pasukan tersebut. Peristiwa ini dicatat berlaku dalam tahun 1317.

Saat Sukhothai melancarkan serangan keatas Grahi dan Ibu Kotanya telah diketahui oleh semua angakatan Grahi, namun kerana lama bertahan menyebabkan sebahagian angkatan tentera Grahi menjadi leka. Pasukan Seri Wijayamala terus siap siaga sepanjang masa.

Hinggalah seorang anggota pasukan Adruja melihat anak panah berapi dari arah sebuah kampung dan menyedari bahawa kampung tersebut telah dilanggar oleh Sukhothai. Adruja dan pasukannya tidak berlengah lagi dan mereka terus menuju kearah anak berapi itu. Setibanya di kawasan tersebut, mereka melihat pasukan Sukhothai sedang mengganas dan ramai menjadi mangsa.

Adruja tidak dapat lagi menahan amarah apabila melihatkan seorang Panglima Sukhothai cuba memperkosa seorang gadis dari kampung yang diserang itu. Dia telah memenggal kepala Panglima itu dengan Kilatan, Kelewang yang menjadi senjata rasminya. Lantas, beliau telah mengarahkan semua pengikutnya menghapuskan semua penceroboh itu. Tiada seorang pun tentera Sukhothai kembali ke pengkalan mereka pada malam itu!

Raja Rama Khamheang maut dipenggal kepala oleh Adruja
Adruja Bertindak bersama Seri Wijayamala
Angkatan Siam Sukhothai mula berasa gentar apabila tiada seorang pun anggota pasukan yang menyerang perbatasan Grahi kembali semula ke pengkalan. Jumlah mereka dikatan ratusan orang. Perkara ini sedikit pun tidak menjejaskan semangat Rama Khamhaeng dan dia bertekad untuk menyerang Kota Grahi sekali lagi dan dia sendiri akan mengetuai angkatan Sukhothai kali ini.

Persiapan Sukhotai telah diketahui oleh Sang Tawal dan segera menyiapkan angkatan Grahi. Kali ini, baginda menitahkan agar Adruja kekal di dalam Kota. Berlakulah peperangan antara angkatan Sang Tawal dengan angkatan Rama Khamhaeng. Selaku penyerang, sudah tentu Khamheang banyak idea, serangan kali ini dilancarkan dengan dua ketumbukan. Pertama berperang secara terus dengan angkatan Grahi, dan pasukan kedua melancarkan serangan mengejut keatas Kota Grahi ketika seluruh angkatan Grahi bertumpu di kawasan perbatasan. Pasukan Adruja mempertahankan kota tersebut sedaya upaya. Akhirnya, kota tersebut dapat mengekang serangan Sukhothai yang dilancarkan secara mengejut itu.

Tindakan serangan mengejut itu, memberi isyarat kepada Pasukan Adruja bahawa angkatan Grahi sedang menghadapi serangan yang dahsyat. Lantas Adruja dan pasukan Seri Wijayamala turun ke medan perang tanpa memikirkan keselamatan mereka lagi.

Mematahkan sesuatu serangan adalah dengan cara menumpaskan Panglima Perang untuk sesuatu serangan. Pada serangan kali ini, Rama Khamheang merupakan Panglima Perang dan sudah pasti ia menunggang gajah atau kuda yang berlaianan dari anggota yang lain.

Adruja telah mengesan kedudukan Panglima Perang pada saat itu, iaitu dikawal dan menunggang Gajah Hitam dan ia kelihatan gah. Anggota Seri Wijayamala juga membantu serangan itu dengan menumpaskan pengawal sekeliling gajah Rama Khamheang untuk memudahkan laluan Adruja yang meluru laju dengan Halilintar telah melompat ke atas gajah hitam Ramkhamheang lantas memenggal kepala Raja Sukhothai itu.

Badan Raja Sukhothai itu diheret ke laut dan kepala disimpan oleh pasukan Seri Wijayamala. Perbuatan ini membuatkan tentera Sukhothai penasaran. Tentera yang mengejar badan yang dibawa lari itu dipanah dan dicantas kepalanya. Yang cuba merenggut kepala Khamheang juga dicantas kepalanya. Pendek kata, dengan kematian Rama telah membuatkan angkatan Sukhothai hilang arah.

Penutup
Begitulah ketokohan Adruja Wijayamala Singha. Kejadian Adruja memenggal kepala Rama Khamheang dicatat berlaku pada tahun 1317. Perbuatan melarikan kepala Khamheang membuatkan Sukhothai kendur dan takut kepada Adruja. Hal ini juga membuatkan Siam Sukhothai terus berdendam dengan Orang-Orang Melayu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...