SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 22 August 2016

SIAM DALAM SEJARAH KELANTAN 1238 - 1909




Pendahuluan
Siam adalah begitu sinonim dengan masyarakat Kelantan, malah mereka dianggap sebagai satu kelompok masyarakat berdasarkan kepada kelainan dialek dan bahasa yang dituturkan, malah orang asing yang bertutur dalam bahasa Melayu Rasmi dirujuk sebagai Orang Luar. Masyarakat di Semenanjung juga gemar merujuk penduduk yang bertutur bahasa Tai sebagai Siam sedangkan ia adalah dua hal yang berbeza.

Siam
Asasnya ia adalah merupakan sebuah wilayah di kawasan Daratan Asia Tenggara dan ia didiami oleh bangsa peribumi iaitu Lawas dan Sakai semenjak awal peradaban manusia lagi. Kaum Lawas menduduki bahagian Utara Thailand moden dan sebahagian kawasan Burma, kaum Sakai pula mendiami kawasan selatan Thailand moden dan mendominasi bahagian Segenting Kra berhampiran dengan Semenanjung. Kaum ini dapat dibezakan pada fizikal mereka dengan kaum Lawas mempunyai susuk tubuh yang tinggi dan berkulit putih, manakala masyarakat Sakai pula mempunyai fizikal seperti masyarakat orang Asli pada hari ini.

Kurun ke-9 sebelum masihi, iaitu sewaktu penghijrahan manusia dari kawasan Selatan China ke kawasan Asia Tenggara, terdapat dua suku kaum bangsa kuno iaitu Mon dan Khmer mendiami kawasan Daratan Asia Tenggara. Bangsa Mon mendiami kawasan tengah dan utara Thailand moden hinggalah ke sebahagian besar kawasan Burma, bangsa Khmer pula mendiami sekitar Lembah Mekong dan mengasaskan kerajaan Kemboja dengan Angkor sebagai ibu negerinya. Kerajaan Kemboja kemudiannya berkembang sebagai satu empayar bermula kurun ke-9 hingga kurun ke-15 Masihi, terdapat satu inskripsi telah ditemui di Angkor Wat yang menyatakan perkataan “Syam” atau “Sayam” bermaksud Orang berkulit sawo matang, mereka inilah di kenali sebagai Siam yang juga merupakan sebahagian daripada naungan Kemboja, mungkin sekali mereka adalah Bangsa Mon dan mereka telah mengasaskan kerajaan Dvaravati dan Haripunjaya bagaimanapun kerajaan ini merupakan naungan kepada Kemboja.

Bangsa Mon dan Khmer adalah bangsa yang berhijrah dari Selatan China ke kawasan Daratan Asia Tenggara yang sedia diduduki oleh bangsa asal, berlaku pertembungan antara mereka terutama sekali antara bangsa Khmer dengan suku kaum Sakai, mereka mendominasi kawasan pendudukan Sakai di bahagian selatan, memaksa suku kaum peribumi itu berundur jauh ke kawasan Semenanjung berikutan berlaku kejadian pembunuhan beramai-ramai. Suku kaum Sakai atau di Malaysia lebih dikenali masyarakat Orang Asli telah mendapat pembelaan sewajarnya namun pada kasarnya mereka tetap satu suku kaum minoriti yang masih kuat mengamalkan adat dan kebudayaan mereka sendiri ditengah-tengah arus kemodenan.


Tai
Suku kaum Mon-Khmer mendominasi satu wilayah yang dikenal sebagai Siam berdasarkan kepada inskripsi yang dijumpai di Angkor Wat, ia dipercayai dicatat oleh bangsa Khmer yang mengasaskan kerajaan Kemboja. Mon-Khmer mempunyai dua negara kota yang dinaungi oleh Kemboja, mereka menduduki kawasan tersebut selama beberapa kurun sehinggalah ia dibanjiri suku kaum yang baru berhijrah dari selatan China iatu bangsa Tai. Inilah bangsa induk bagi satu kelompok masyarkat yang kini kita kenali sebagai Thai, awalnya bangsa Tai ini hidup berselerak sekitar kawasan Selatan China, kini dikenali sebagai Yunnan mereka juga berhijrah secara berperingkat-peringkat semenjak awal mungkin sekali bersama-sama dengan suku kaum Mon-Khmer cuma mereka tidak membentuk satu kerajaan pada peringkat awal.

Tahun 650 Masihi, bangsa Tai yang hidup secara berselerak telah bersatu dan membentuk satu kerajaan di kawasan Selatan China dan dikenali sebagai Nanchao, pembentukan negara bangsa Tai ini adalah untuk mempertahankan kawasan dan kewujudan bangsa mereka daripada ancaman Empayar China dan Annam. Peringkat awal kerajaan ini bersekutu dengan Empayar China bagi menghalang pencerobohan dari Tibet, bagaimanapun selepas itu ia telah bertukar menjadi seteru kepada China.

Kewujudan Nanchao telah memberi peluang kepada bangsa Tai terus berkembang dan menguasai bahagian Daratan Asia Tenggara, selain itu kerajaan tersebut juga bertindak sebagai penghalang kepada perluasan peradaban China terhadap suku kaum bangsa Tai yang mempunyai ketamadunan yang tersendiri. Bangsa Tai telah berhijrah sejauh Assam di India, mereka juga mendiami sebahagian besar kawasan Burma dan dikenali sebagai Shan, di kawasan Lembah Mekong pula mereka dikenali sebagai Lao, selain itu bangsa Tai turut membentuk beberapa suku kaum baru di kawasan Tonkin dan Annam (Utara Vietnam) seperti:

  • Tai Dam (Tai Hitam)
  • Tai Den (Tai Merah)
  • Tai Khao (Tai Putih)
  • Nung

Relatifnya, bangsa Tai mengasaskan kota berhampiran dengan sempadan Empayar Kemboja dan kebanyakkan kota tersebut menjadi naungan kepada kepada empayar Khmer tersebut hinggalah tahun 1238 Masihi.

Sukhothai
Pada tahun tersebut bangsa Tai berjaya menakluk ibu negeri Kemboja, Angkor lalu mengasaskan Sukhothai lambang kemerdekaan bagi bangsa Tai di kawasan Daratan Asia Tenggara, pendiri kerajaan ini turut menggelarkan diri mereka dan penduduknya sebagai Thai, bermaksud bebas atau merdeka. Hal ini berlaku kerana mereka hendak mengasingkan diri daripada bangsa Tai yang lain hidup dibawah pemerintahan bangsa asing.

Ramakhamhaeng 1277 – 1317 merupakan Raja pertama bagi kerjaan ini, beliau digelar sebagai Rama yang Agung berikutan perluasan kuasa Sukhothai sewaktu pemerintahannya. Pada masa pemerintahannya, negara baru tersebut menerima kebanyakkan bangsa Tai yang behijrah atau melarikan diri daripada Nanchao setelah ia ditakluk oleh Mongol dibawah perintah Kublai Khan dalam tahun 1453. Pelbagai lapisan masyarakat Nanchao yang melarikan diri termasuklah pahlawan dan perajurit dari bangsa Tai, mereka kemudiannya bergabung dengan Thai dibawah perintah Ramakhamhaeang bagi mengukuhkan lagi pasukan tentera Sukhothai bagi menentang bangsa Khmer dari Kemboja. Pengasas Sukhothai ini juga telah meletakkan Sukhothai di tahap yang tinggi dengan kuasa pemerintahan yang luas malah dinyatakan bahawa Sukhothai merupakan pusat pengembanggan kebudayaan masyarakat Thai, bagaimanapun penggantinya gagal mengekalkan penguasaan kerajaan ini hingga tahun 1378 ia telah diserap dalam kerajaan bangsa Thai seterusnya iaitu Ayutthaya.

Selain Sukhothai, muncul sebuah lagi kuasa bangsa Tai di kawasan dataran Asia Tenggara apabila mereka bangkit pada tahun 1296 dengan merampas kuasa di Haripunjaya, kerajaan bagi bangsa Mon lalu mereka menubuhkan kerajaan baru bagi bangsa Tai dan menamakan kerajaan tersebut sebagai Lan Na dengan Chieng Mai sebagai ibu negeri.

Hubungan Thai dan Kelantan
Sejarah Kelantan secara rasmi dicatat bermula pada era pemerintahan Paduka Sri Sultan Long Yunus pada 1763, bagaimanapun nama Kelantan sering diulang dalam Sejarah Melayu yang mempunyai hubungan terus dengan Kerajaan Melayu Melaka sekurang-kurangnya pada masa pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Dalam teks Sulalatus Salatin dinyatakan Kelantan sangat Besar, lebih besar daripada Patani, ini memberi petunjuk bahawa negeri Kelantan telah mempunyai sejarah yang lama dan kawasan pemerintahan yang luas.

Riwayat Tradisi Kelantan menyatakan bahawa berlaku pertembungan antara kerajaan Kelantan Tua dengan Sukhothai yang dipimpin oleh Ramakhamhaeng apabila ia cuba meluaskan kuasa ke kawasan Semenanjung Tanah Melayu. Pada masa tersebut Kelantan dikenali sebagai Malayur diperintah oleh Sang Tawal, Riwayat tersebut merujuk Sukhothai sebagai Siam, asasnya rujukan tersebut adalah tepat kerana pada waktu itu Siam adalah negara, manakala Sukhothai adalah kerajaan yang memerintah.


Sejarah hidup Ramkhamhaeng sebenarnya tidak begitu diketahui, Pongsuwadan iaitu Sejarah Siam menyatakan pengasas Sukhothai ini digantikan oleh puteranya Laotai selepas kemangkatannya, keterangan lanjut peristiwa yang berkaitan dengan kemangkatannya tidak diketahui, bagaimanapun Riwayat Tradisi Kelantan, Ramkhamhaeng mangkat akibat dibunuh oleh lagenda paling terkenal dalam Sejarah Kelantan iatu Paduka Cik Siti Wan Kembang dengan cara kepala dipenggal. Ini merupakan hubungan terus antara Kelantan Tua dengan Siam buat kali yang pertama, semenjak dari itu hubungan ini beterusan baik dalam bentuk konfrontasi ataupun diplomatik hingga ia berakhir pada tahun 1909.

Wednesday 13 April 2016

Syeikh Faqih Ali al-Fathani ~ Siapakah Beliau?

artikel ini disalin daripada Utusan Malaysian Online 
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH



ADA orang bertanya melalui e-mel tentang tulisan saya berhubung Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Adakah beliau sama dengan Andi Ali (Pakih Ali) asal usul keturunan ramai kaum raja-raja atau bangsawan di Malaysia, terutama Kelantan, Terengganu dan Patani. Bahawa sumber asal salasilah Andi Ali (Pakih Ali) adalah dimulai dari tulisan Datuk Nik Mahmud bin Ismail, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan.

Buku karya Datuk Nik Mahmud bin Ismail Kelantan itu diberi judul Ringkasan Cetera Kelantan Mengandungi Silsilah Raja-Raja Dan Tarikhnya. Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani (di Mempawah) adalah lain dari Andi Ali (Pakih Ali) yang diriwayatkan oleh Datuk Nik Mahmud bin Ismail Kelantan. Tetapi Andi Ali (Pakih Ali) ada kemungkinan personaliti yang sama dengan Syeikh Faqih Ali al-Fathani yang dimuat dalam artikel ini.

Walau bagaimanapun Andi Ali (Pakih Ali) ada riwayat mengatakan berasal dari Malabar (India). Riwayat lain menyebut adalah salah seorang anak raja yang berasal dari negeri Bugis (Sulawesi). Anda yang mengirim e-mel dan semua peminat saya ucapkan terima kasih, jawapan akan ditemui dalam artikel ini, sekiranya dibaca dengan cermat dan menghayatinya.

Nama lengkap tokoh dan ulama yang diriwayatkan ini ialah Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad al-Fathani bin Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih al-Abbasi. Beliau adalah cucu salah seorang penyebar Islam peringkat awal di Patani, iaitu Syeikh Shafiyuddin. Syeikh Shafiyuddin adalah salah seorang keturunan Khalifah Bani Abbas yang datang menyebar Islam di Aceh.

Datuk nenek Syeikh Shafiyuddin telah lama tinggal di Aceh, tetapi beliau sendiri meneruskan dakwah ke bumi Patani. Setelah di Patani lalu diberi gelar dengan Tok Raja Faqih. Dalam penelitian saya bahawa Syeikh Shafiyuddin keturunan Bani Abbas adalah sahih sedang versi yang satu lagi, yang menyebut bahawa Syeikh Shafiyuddin adalah anak Faqih Ali al-Malabari atau pun anak Raja Bugis masih diragukan kerana belum cukup hujah.

Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi atau Tok Raja Faqih memperoleh dua orang anak iaitu; Raja Ducang Bukit Jala bergelar Raja Fathani Long Cang. Seorang lagi bernama Wan Muhammad bergelar Orang Kaya Seri Akar Diraja Mahaputeri Bagi Sultan Digalang Ismail Zhillullah fil Alam. Wan Muhammad memperoleh enam orang putera, iaitu; 1. Datuk Pujut (Pujuk Wan Cang, bergelar Raja Luqman). 2. Wan Jaharullah. 3. Ratu Saiburi. 4. Datuk Long Tarat. 5. Syeikh Faqih Ali, yang dibicarakan dalam rencana ini dan 6. Long Yunus.



PANGKAT DAN KEDUDUKAN
Mulai dari Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi, Wan Muhammad dan Syeikh Faqih Ali mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi dalam kerajaan Fathani Darus Salam. Syeikh Faqih Ali menyandang gelar Datu Maharajalela. Bererti pada zamannya beliau bertugas seperti Perdana Menteri. Anak saudara beliau, iaitu Wan Abdul Lathif bin Raja Luqman bin Wan Muhammad menyandang pangkat Wazaratul Harbiyah (Menteri Pertahanan). Pada tahun 1632 terjadi serangan dahsyat tentera Siam terhadap Patani. Syeikh Faqih Ali al-Fathani atau Datu Maharajalela dan beberapa orang pembesar terpaksa hijrah ke Bugis di Sulawesi Selatan.

Dari sumber tanah Bugis pula, Roeli Sanre dalam Mutiara, 280, 27 Oktober - 9 November 1982, hlm. 30, menulis, Tahun 1632 pada masa pemerintahan I Mengarangi Daeng Manrabbi, Raja Gowa XIV, datang lagi serombongan raja dari Patani yang dipimpin oleh Datuk Maharajalela membawa dua keponakannya, Paduka Raja dan Puteri Senapati. Kedatangan mereka sekaligus memboyong simbol tahta kerajaan Patani, sebuah bendera emas, yang oleh keturunan Melayu di Ujungpandang, disebut Datuk Buluh Perindu.

Dalam sepucuk surat dari Bapak Arena Wati (Sasterawan Negara) kepada saya (tahun 1982, sewaktu beliau sebagai Karyawan Tamu Yayasan Sabah), beliau menyebut bahawa khazanah kerajaan Patani yang tersebut masih tersimpan dengan baik oleh kerajaan Bone.

Dari sumber yang lain, Kenallah Sulawesi Selatan juga menyebut perkara yang sama. Bahkan dinyatakan pula bahawa Datu Maharajalela, Patani, menjadi ketua orang-orang Melayu di Sulawesi Selatan. Pada zaman itu ramai orang Melayu yang datang dari pelbagai tempat dari seluruh negeri-negeri Melayu di Makasar. Dari sini dapat kita fahami bahawa Syeikh Faqih Ali atau Datu Maharajalela Patani adalah seorang yang berpengaruh dan berwibawa sehingga beliau dilantik menjadi Ketua Melayu di negeri Bugis itu.

Bahkan bukan hanya itu saja, diriwayatkan bahawa keturunan Syeikh Faqih Ali atau Datu Maharajalela berperanan aktif dalam perang melawan penjajah Belanda di Sulawesi Selatan ketika Sultan Hasanuddin dikepung oleh Belanda di bawah pimpinan Admiral Spelman keturunan pembesar Patani itu bangkit mengadakan perlawanan. Sikap anti penjajah mereka bukan hanya di negeri sendiri saja tetapi juga di negeri perantauan.

Ada riwayat lain yang ceritanya hampir serupa dengan di atas bahawa Datu Mustafa mempunyai anak bernama Ali digelar dengan Tok Koda Bonang. Beliau ini mengembara di tanah Bugis, di Sulawesi Selatan juga. Setelah beberapa lama di tanah Bugis beliau pulang ke Patani pada masa pemerintahan Raja Ungu (1624 - 1635 M). Ali inilah yang dikatakan menggantikan Faqih Ali al-Malabari yang mati terbunuh dalam perang antara Patani dengan Siam tahun 1634. Faqih Ali al-Malabari digelar dengan Temenggung Seri Paduka, sedang yang menggantinya digelar dengan Datu Seri Maharajalela.

Versi riwayat lain yang ceritanya hampir serupa pula seperti yang ditulis oleh Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan, kata beliau, Syahdan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali.

Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damid Bira pada tahun 1049 H (kira-kira bersamaan dengan tahun 1639 M). Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran, orang di Patani memanggilnya, Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Cik Dewi anak Seri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 H (tahun yang diberikan kemungkinan keliru, seharusnya ialah tahun 1049 H/1639 M).

Setelah membanding semua kisah di atas dan pelbagai maklumat lain yang tidak dinyatakan di sini, saya menyimpulkan bahawa yang bernama Syeikh Faqih Ali al-Fathani kemungkinan terdapat beberapa orang atau pun hanya seorang saja. Iaitu Syeikh Faqih Ali al-Fathani bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi. Mengenai ini dapat dibuktikan dari hasil karya beliau yang berjudul Tarikh Patani.


TARIKH PATANI
Berdasarkan maklumat dalam manuskrip Tarikh Patani, Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiuddin al-Abbasi sendiri menyebut bahawa kandungan asal Tarikh Patani adalah dari sebuah karya dalam bahasa Arab yang ditulis oleh datuk beliau Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih. Syeikh Faqih Ali menterjemah kitab bahasa Arab itu ke bahasa Melayu serta menambah kandungannya dengan beberapa peristiwa yang beliau ketahui. Tarikh Patani karya Syeikh Faqih Ali tersebutlah sejarah Patani yang pertama sekali yang dapat kita pelajari sekarang ini.

Walau bagaimanapun manuskrip yang asli tidak ditemui, yang ada sekarang ialah salinan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Syeikh Daud membuat salinan dalam tahun 1228 H/1813 M. Salinan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu disalin pula oleh salah seorang murid beliau ialah Syeikh Wan Muhammad bin Zainal Abidin al-Fathani atau lebih dikenali sebagai Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani. Salinan Syeikh Muhammad Zain itu telah saya perbanyak sama ada dalam bentuk asli mahu pun transliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Rumi.

Kata pengantar
Dalam manuskrip Tarikh Patani terdapat dua kata pengantar (mukadimah). Mukadimah yang pertama oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan mukadimah yang kedua oleh pengarangnya, Syeikh Faqih Ali al-Fathani. Di antara tulisan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada mukadimah, Ini suatu risalah aku salin daripada Syeikh Faqih Ali iaitu Tarikh Patani pada zaman lama. Bahawasanya tarikh lama itu boleh kita tahu akan manusia zaman dahulu di negeri ini. Tarikh zaman lama itu tiada ada lagi dikarang di negeri Patani melainkan susunan Tuan Syeikh yang mulia ini. Boleh terhimpunkan dengan sempurna.

Kefaedahannya ialah boleh mengetahui perihal keadaan orang zaman dahulu hingga sampai ke zaman kita Atau zaman jahil dengan zaman nur ... Boleh kita kenal dan nampak bahawasanya orang Melayu zaman dahulu, apakah duduk dalam tanah bumi Patani ini ? Maka negeri lama di tanah Melayu ini ialah di kawasan Kedah dan Patani, dan Senggora, dan Legor. Termasuk juga negeri Cahaya (sekarang Cayya) di sebelah hilir. Sekelian zaman purbakala, belum masuk Islam Dan seumpamalah dengan zaman belum zahir negeri Islam di tanah Arab....

Mukadimah Syeikh Faqih Ali al-Fathani adalah seperti berikut, Perhamba seorang yang tak berguna, lagi hina, Syeikh Faqih Ali bin Muhammad bin Shafiyuddin dititah oleh sultan banyak kali dah (maksudnya: sudah, pen:) supaya mengarang dan menyusun Tarikh Fathani kerana takut hilang riwayat kisah-kisah purbakala. Dan perhamba pun ikhtiar mengikut titah sultan yang mulia. Bahawasanya sultan memberi riwayat kisah-kisah sangat banyak dan boleh tulisan-tulisan peringatan zuriat-zuriat orang- orang tua titih (maksudnya: keturunan, pen:) Raja Patani asli kurun yang lama. Maka bahasa-bahasa[nya] tiada perhamba mengetahui setengah-setengahnya. Maka adalah seorang Legor agama Budha dia terjemah dapat banyaklah kepada perhamba. Dan raja pun hadiah tanah kepada orang tua itu....

Setelah itu Syeikh Faqih Ali al-Fathani menyatakan pula, Syahdan ada tulisan bahasa Arabiyah daripada nenek perhamba Syeikh Shafiyuddin, maka bahasa Arabiyah ini perhamba fahamlah dan senanglah ambil maknanya. Dan ada seorang datang dari Bogor, iaitu seorang yang asalnya dari Bogor, Jawa duduk tumpang Sultan Patani. Dan dia tahu bahasa Jawa. Dan banyaklah dia tolong perhamba.

Perhamba mengucap syukran kepadanya banyak-banyak. Dan lama membuat ini risalah Tarikh Patani, alhamdulillah dengan ditakdirkan Allah Taala hasilnya sekadar perhamba boleh. Dan mana salah itu tentu ada dengannya. Harapkan betul dengan ikhlas sahaja. Kerana salah bagi makhluk tentu ada. Dan perhamba payah sangat-sangat hendak karang ini tarikh....

Sunday 27 March 2016

LAUT CHAMPA : Satu nama sengaja di lupakan?

Kedudukan Laut Champa | Sumber : Google Map


Pendahuluan
Kebelakangan kedaulatan tanah air kita terutama di kawasan perairan Sabah kerap diceroboh oleh anasir luar yang turut mendakwa perairan tersebut sebagai kawasan kedaulatan mereka. Dunia mengenali perairan ini dengan nama South China Sea atau kita membacanya sebagai Lautan China Selatan. Admin pada awalnya tidak meragui terhadap nama lautan tersebut, bagaimanapun mula menyedari setelah meneliti dan membuat beberapa penulisan berkenaan kerajaan tua Melayu dan mendapati ia dirujuk sebagai Laut Champa oleh pelaut dan pengembara suatu masa yang lampau, sempena nama Kerajaan Melayu Champa. 

Peranannya
Kerajaan Champa wujud seawal 192 Masihi, dan terus berkembang sehinggalah ia gagal menumpaskan pencerobohan tentera Dai Viet terhadap Ibu Kotanya, Vijaya pada 1471. Sepanjang tempoh hampir 1300 tahun kewujudannya dari tahun penubuhan hingga ke tahun ketewasannya, kerajaan Champa telah membina satu ketamdunan yang tinggi peradabannya, malah kawasan perairan negara tersebut turut dinamakan sempena nama kerajaannya, ini menunjukkan bahawa Champa adalah sebuah negara maritim bukan seperti kerajaan yang berjiran dengannya. Sejarah Champa menyaksikan Dai Viet muncul sebagai seteru utama kedaulatannya di Utara dan Khmer dari Barat turut menjadi musuhnya. Kedudukan Champa atau lebih tepat ibu kotanya, Vijaya adalah berhampiran kawasan laut, dan kerajaan ini awalnya mengamalkan kepercayaan dan kebudayaan penganut Hindu yang dipercayai disebarkan melalui jalan laut.

Berikutan kedudukan ibu negaranya di pesisir pantai, membolehkan kerajaan Champa membangunkan infrastruktur dan teknologi pelayaran yang lebih canggih berbanding dengan jiran-jirannya. Dipercayai kepakaran orang-orang Champa dalam pelayaran diwarisi daripada kerajaan terdahulu iaitu Funan sebuah kerajaan thalassocracy sebelum ianya digantikan oleh Chen La pada tahun 550 masihi. 

Lokasinya yang strategik, ibu kotanya canggih dan terkenal serta menjadi tarikan para pengembara serta sebagai lokasi pertemuan antara pedagang barat dan China, justeru tidak menghairankan mengapa perairannya dirujuk sebagai Laut Champa. Sungguhpun demikian kebanyakan barangannya agak mahal kerana kepulauan Melayu di nusantara membekalakan bekalan dan menjadikannya lebih murah, hal ini berlaku berikutan Champa tidak begitu subur dengan keadaan geografinya tidak begitu sesuai untuk tanaman bermutu tinggi kecuali untuk tanaman kontan sahaja. Meskipun begitu ia tetap maju berbanding Chen La dan Dai Viet mahupun La Xhang (Laos), hal ini juga menjadikan Champa sebagai sasaran Dai Viet yang merdeka daripada naungan China pada tahun 950 masihi meluaskan pengaruhnya ke arah kedudukan Champa di Selatan atas sebab bekalan sumber dan perluasan kawasan.

Dilupakan
1472, kerajaan Champa telah hampir pupus setelah Vijaya ditawan oleh Dai Viet dan memaksa pemerintahannya dipindahkan ke Selatan iaitu di Pandurangga. Pada tempoh ini, tidak dapat dikesan dengan jelas terhadap pemerintahan kerajaan Champa, kerana catatan sejarah hanya menyatakan terdapat legasi pemerintahan kerajaan Champa yang diteruskan oleh Dinasti Selatan dengan rajanya bernama Po Matuha pada 1622 Masihi. Jarak 150 tahun ini adalah tempoh peralihan peranan kerajaan Champa itu sendiri, setelah tewas ia tidak mampu lagi bangkit. 

Hal ini berlaku kerana kerajaan Champa pada era kegemilangannya bergantung sepenuhnya kepada sumber maritim dan tidak begitu pakar dalam membangunkan sumber sepertimana kerajaan agrarian, justeru ia tidak mampu bangkit dengan segera, ditambah ia turut diancam oleh Khmer. Pada masa ini nama Lautan Champa telah luput sebaliknya muncul nama Laut China Selatan, hal ini dikuatkan lagi setelah kejayaan ekspedisi flotila Laksamana Cheng Ho melawat dan mengunjungi negara-negara asing di Asia dan Afrika pada misi diplomatik kerajaan China di bawah dinasti Ming [1338 – 1644], nama Laut Champa sepenuhnya telah dilupakan.


Rujukan:
  1. http://focuss.my/konflik-laut-china-selatan-bukti-sejarah-melayu-champa-kuasai-perairan/
  2. http://news.nationalgeographic.com/news/2014/06/140616-south-china-sea-vietnam-china-cambodia-champa/
  3. https://en.wikipedia.org/wiki/South_China_Sea 

Wednesday 16 March 2016

SEBALIK DANAU TO’UBAN & MASJID BRUNEI | Siri Orang Kito


Pendahuluan
Suatu masa dahulu Danau To’Uban terkenal sebagai antara destinasi pelancongan yang terletak dalam jajahan Pasir Mas, Kelantan. Namun agak menyedihkan ia kini seolah dilupakan, walhal lokasi ini mempunyai pemandangan unik juga mempunyai kisah yang tersendiri. Meskipun ia kini bukan lagi lokasi tumpuan pelancong, kisah yang berkaitan dengan danau ini sering diperkatakan terutama dalam media sosial dikalangan peminat-peminat kisah mistik.

Danau To’ Uban
Ia berada dalam kampung To’ Uban, 20 kilometer dari bandar Pasir Mas. Asalnya kawasan ini merupakan kawasan sawah padi dengan satu alur sungai yang agak sempit berfungsi sebagai tempat untuk menakung air semata-mata. Bagaimanapun, akibat kekerapan hujan  menyebabkan Sungai Cegor di Tanah Merah terus mengalir melalui beberapa saliran menyebabkan kawasan tersebut tidak mampu menampung air yang melimpah lantas mengalir ke pintu Gate air di Kampung To’ Uban. Pintu gate air yang selalu dibuka bagi menghalang air dari melimpah tebing, bagaimanapun ia telah menjejaskan kawasan tersebut hingga menyebabkan tebing sungai runtuh dan air memenuhi kawasan sawah tersebut dan terbentuklah danau yang dapat kita lihat pada masa sekarang. 

Masjid Brunei
Ia terletak di tebing Danau To’ Uban dengan lokasi yang lebih tepat di Rong Chenok, Pasir Mas Kelantan. Kedudukannya agak tersorok di hujung jalan kampung, namun  ia masih dikunjungi oleh mereka yang mengetahui kisah terbinanya masjid tersebut. Pada awalnya tidak ramai yang mengetahui tentang masjid ini kecuali penduduk sekitar, namun setelah lebih 20 taun pembinaannya, ia mula terkenal kerana ada kaitan dengan Sultan Brunei. 

Masjid ini dibina berserta dengan sebuah madrasah atas nama Almarhum Sultan Omar ‘Ali Saifuddin, ayahanda kepada Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Brunei yang sedang memerintah, ia dirasmikan oleh Sultan Ismail Petra pada 23 Januari 1992. 

Pembinaan masjid ini sebenarnya adalah atas usaha penduduk sekitar Rong Chenok dan AJK Masjid yang terlibat. Kekurangan sumber keewangan telah mendorong mereka mengutus sepucuk surat kepada Kerajaan Brunei yang terkenal sebagai pemurah terutama sekali dalam hal berkaitan dengan agama Islam. Takdir Allah s.w.t, permintaan penduduk Rong Chenok telah diperkenankan oleh Sultan Brunei, dan bersetuju untuk menanggung keseluruhan kos pembinaan masjid tersebut dan ia termasuk sebagai antara harta yang diniatkan wakaf oleh baginda. Mengenangkan sikap pemurah Sultan Brunei itu, masjid tersebut telah dinamakan sebagai Masjid Brunei Darulsalam.

Masjid ini telah diwakafkan oleh Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada Madrasah Tahfiz Rong Chenok. Tiada misteri sebalik pembinaan masjid ini sebenarnya, melainkan kawasan ini suatu masa dahulu merupakan antara tempat leluhur Wali Songo bernama Sayyid Hussien Jamadil Kubra, individu yang menyebarkan dakwah Islamiah seluruh nusantara termasuk ke Broneo, khususnya Brunei melalui anak lelaki beliau. Sayyid Hussien juga merupakan sosok yang penting dalam memahami Kesultanan Kelantan dan Champa serta Jawa kerana putera dan puterinya memainkan peranan penting dalam perkembangan kerajaan-kerajaan tersebut. 

Masjid ini memilik keunikan tersendiri, malah pada suatu masa ia kelihatan terapung dan berkilau warna keemasan dikala waktu dinihari dan senja lantaran ianya berwarna putih dan ia mampu memantulkan cahaya matahari pada waktu-waktu yang tersebut. Selain itu, persekitaran sekeliling masjid juga mendamaikan dan amat bertepatan menjadi lokasi untuk beribadah kerana ia jauh dari kesibukan manusia.

[PESANAN]

Masjid Brunei Darulsalam di Rong Chenok bukan dibina atas pekara mistik, ia dibina untuk tujuan diimarahkan. Jauhi dari amalan syirik kerana ia adalah DOSA BESAR dan amat di cela Allah s.w.t.

Saturday 12 March 2016

CHERMIN ~ Kerajaan Tua yang telah dilupakan...

Danau To' Uban : di tengahnya jelas kelihatan bekas Sungai, dipercayai sekitar sungai ini wujudnya lokasi pusat
pemerintahan kerajaan Chermin, selepas ia dipindahkan daripada Kota Mahligai pada 1345. 

Pendahuluan
Umum di Malaysia mengetahui bahawa di sini pernah wujud beberapa kerajaan tua yang memainkan peranan penting dalam sejarah bangsa Melayu. Sriwijaya satu kuasa empayar bangsa Melayu yang paling diingati, Kedah dan Melaka pula diingati kerana ia lama telah wujud dan masih kekal hingga hari ini. Kerajaan-kerajaan ini dikupas dan diulas dengan jelas dan lengkap malah dihimpunkan ratusan rujukan; baik dari kitab-kitab Melayu bertulisan Jawi mahupun sumber asing dari China, India dan Rom. Hingga hari ini kerajaan-kerajaan ini tidak pernah berhenti di bincangkan pada pelbagai peringkat seolah tiada penamatnya.

Begitulah keadaan mainstream yang menyelidik sejarah lama kerajaan yang pernah wujud di Semenanjung ini hingga mereka tertinggal untuk menyelidik beberapa kerajaan tua seperti Gangganagara, Gelanggi, dan Chermin. Gangganagara adalah kerajaan tua yang pernah wujud di Perak, Gelanggi di Johor, manakala Chermin di Kelantan. Gangganagara dikaitkan pula dengan kerajaan Beruas di Perak yang dipercayai lokasi asal kerajaan kuno perak itu, ada yang cuba menjejaknya malangnya kawasan itu sekarang merupakan satu lokasi yang berbahaya dan memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi untuk menerokanya. Gelanggi pula dinyatakan terletak sekitar daerah Kota Tinggi di Johor dan pernah menjadi pusat pemerintahan Empayar Melayu Melaka, ada pengkaji menemui lokasi kerajaan ini dan ia pernah disiarkan dalam akhbar tempatan berbahasa Inggeris beberapa tahun dahulu, namun seperti kisah misteri, ia kini tidak lagi dibincangkan di mana-mana medium sosial. Chermin, antara kerajaan tua yang diketahui pernah wujud di Kelantan, ia terletak sekitar tebing sungai sekitar To’ Uban dan Bukit Panau. Lokasinya sekarang seperti dalam gambar di atas, iaitu terletak di dasar danau tersebut, sebelum itu ia tidak digenangi air bagaimanapun pihak KADA telah mengairi kawasan ini dalam tahun 80an untuk mengatasi bencana banjir sekitar jajahan Tanah Merah dan Pasir Mas. Pada tahun-tahun 60an, beberapa penyelidik sejarah tempatan seperti Allahyarham Ustaz Mohamed Nakula dan Allayarham Asaad Shukri pernah melawat lokasi Jiddah Riayatulsalam, ibu kota kerajaan Chermin.

Catatan
Penulis buat pertama kali menemui kisah Kerajaan Chermin ini dalam Jurnal Warisan Kelantan terbitan Perbadanan Muzium Kelantan, seterusnya kerajaan ini turut disebut dalam beberapa buku yang lain berkenaan Sejarah Kelantan dan ianya konsisten dicatat. Kami cuba mencari dimana sumber asal berkenaan kerajaan ini, kami dapati ianya dihebahkan oleh Nakula yang menyusun Riwayat Tradisi Kelantan (RTK). Itulah satu-satunya sumber bertulis yang pernah kami temui berkenaan kerajaan ini, penyelidik yang kemudiannya tidak lagi mengambil berat berkenaan kerajaan ini, malah ada yang mengabaikannya kerana sumber RTK adalah diragui berikutan ianya lebih kepada sumber Lisan yang dianggap sebagai sekunder, justeru kerajaan ini hilang ditelan masa sedangkan ia turning point dalam sejarah Kelantan.

Buat sekian lamanya, penulis terbaca buku tulisan Thomas Stamford Raffles yang bertajuk The History of Java (1817) dalam buku tersebut Raffles ada menyebut tentang Raja Chermen dari Seberang dan beliau dengan panjang lebar menerangkan berkenaan lawatan Raja Chermen ke Jawa atas jemputan sepupunya Maulana Ibrahim yang turut terkenal dengan gelaran Sunan Grisek. Penulisan Raffles ini adalah berdasarkan kepada catatan orang Jawa sendiri dan ianya dinukilkan dalam buku tersebut. 

Jelas disini, kerajaan Chermin bukanlah sekadar kisah dongeng orang-orang Kelantan, kerana ianya turut diingati oleh orang-orang Jawa dan diketahui oleh orang-orang Eropah sekurang-kurangnya semenjak 1750an. Pastinya kerajaan Chermin ini sangat dominan dalam era perkembangan syiar Islam di Nusantara berikutan ia mempunyai kaitan erat dengan salah seorang Wali Songo yang amat terkenal di kalangan masyarakat di kepulauan Jawa.

Chermin Secara Ringkas
Dalam sejarah Kesultanan Kelantan, kerjaan Chermin dianggap sebagai satu dinasti pemerintahan di Kelantan suatu masa dahulu merangkumi 12 Sultan bermula dari tahun 1339 hingga 1602 [263 tahun]. Ianya diasaskan oleh Sultan Mahmud ibni Abdullah putera kepada Raja Sang Tawal, baginda menggantikan ayahandanya sebagai Raja Langkasuka pada 1339 dan mula meluaskan kuasa dengan menakluk Perak, Kedah, Champa dan Utara Sumatera. Penguasaan yang luas ini telah mendorong baginda menggelarkan kerajaannya sebagai Empayar Chermin, kemudiannya baginda telah memeluk agama Islam dan menukar nama kepada Sultan Mahmud Jiddah Riayatulsalam. 

Empayar ini sebenarnya tidak bertahan lama kerana ia tunduk selepas diserang oleh Sukhothai pada 1345 dan baginda telah memindahkan pusat pemerintahan dari Kota Mahligai di Patani ke Bukit Panau. 1357 kerajaan ini menjadi satu bahgian daripada Empayar Majapahit dan baginda telah mangkat pada 1362. Legasi kerajaan ini berterusan sehingga tahun 1602, berikut adalah pemerintah dari Dinasti Chermin:

  • 1339-1362: Sultan Mahmud Ibni Abdullah, 
  • 1391-1418: Sultan Baki Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud, Raja Kerajaan Chermin (Langkasuka-Kelantan-Singgora)
  • 1418-1429: Sultan Sadik Muhammad Shah. Memindahkan pusat pemerintahan kerajaan Chermin ke pedalaman Nenggiri
  • 1429-1467: Sultan Iskandar
  • 1467-1522: Sultan Mansur Shah (Kelantan)
  • 1522-1526: Sultan Gombak ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah
  • 1526-1547: Sultan Ahmad Shah
  • 1547-1561: Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Ahmad
  • 1561-1565: Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Mansur
  • 1565-1570: Sultan Umar Bin Raja Ahmad
  • 1570-1597: Sultan Ibrahim Ibni Sultan Mansur (kali kedua)
  • 1597-1602: Sultan Muhammad Ibni Sultan Ibrahim

Kini kewujudan Kerajaan Chermin bukan lagi satu mitos masyarakat Kelantan, sbealiknya ia adalah satu era yang wujud. Barangkali pengkaji K.I.V [Keep In View] akan kerajaan ini memandangkan ia satu era yang agak mengelirukan dan memerlukan penelitian khusus, hal ini menjadikan ia tidak digemari oleh pengkaji dan mereka meneruskan dengan kajian yang lebih mudah serta menarik. 

Di kesempatan lain, penulis akan menghuraikan dengan lebih lanjut tentang Kerajaan Chermin, Insha Allah.

Rujukan:

  • History of Java, Volume II oleh Thomas Stamford Raffles [1817]
  • https://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Kelantan
  • http://sangtawal.blogspot.nl/2009/03/hikayat-sangtawal-14-empayar.html
  • http://travel.detik.com/read/2015/07/08/115153/2963360/1520/misteri-kota-wali-songo-yang-hilang-di-malaysia#main

Wednesday 24 February 2016

HELAH CHAMPA ELAK DI TAWAN KHMER...

Filem Nujum Pak Belalang merupakan antara filem lakonan Allahyarham Prof. Tan Sri Datuk Amar Dr. Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh (P.Ramlee) yang hingga kini diminati oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia. Lakonan allahyarham dalam filem tersebut amat berkesan dengan menerapkan unsur satira yang mencuit hati serta meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton.

Satu babak dalam filem tersebut apabila Raja Masai menembak meriam betalu-talu kearah laut negeri Sultan Shahrulnizam, sehingga menimbulkan kegemparan sekalian rakyat dan pembesar. Raja Masai sebenarnya mahu menakluk negeri Sultan Shahrulnizam bagaimanapun penasihat baginda sedar mereka tidak mampu dari segi angkatan tentera, jadi mereka menggunakan helah iaitu mengadakan pertandingan antara ahli nujum Sultan Shahrulnizam dengan ahli nujum Raja Masai dengan cagaran negeri masing-masing. Ditakdirkan Raja Masai kalah dan tergadailah negerinya kepada Sultan Shahrulnizam.



Kedua-dua bangunan di atas terbina hasil helah yang sama seperti dalam plot filem Nujum Pak Belalang, mungkin plot dalam filem itu mengambil dari peristiwa yang akan kami kisahkan ini.

Bangunan-bangunan ini sebenarnya berfungsi sebagai kuil dan ia dibina sewaktu kegemilangan kerajaan Champa yang diperintah oleh raja-raja berbangsa Melayu pengaruh Hindu-Budha. Menurut lagenda masyarakat Champa yang terpahat pada batu bersurat yang ditemui sekitar Vietnam menyatakan terdapat satu kisah lagenda berkenaan Raja mereka yang bernama Po Klaung Garai.

Sukar untuk mendapatkan maklumat tentang tokoh Lagenda Champa ini, namun ada yang menyatakan bahawa Po Klaung Garai merupakan seorang lelaki biasa yang hidup sebagai pengembala lembu, atas kehendak takdir beliau telah diangkat menjadi raja bagi orang-orang Champa. Tokoh lagenda ini dikenang orang sebilangan masyarakat Melayu Champa di Vietnam atas kebijaksanaan beliau dalam menangani serangan daripada orang-orang Kemboja.
Bagi mengelakkan pertumpahan darah di kedua dua belah pihak, Po Klaung Garai mencadangkan diadakan satu pertandingan diantara orang-orang Champa denngan orang-orang Kemboja. Sekiranya orang-orang Kemboja kalah mereka perlu keluar dengan segera daripada Champa, dan jika orang Champa kalah mereka perlu akur kepada Kemboja, pembinaan candi adalah subjek pertandingan tersebut. Hasil daripada pertandingan ini adalah terbinanya candi Po Klong Garai dan candi Hoa Lai dan orang-orang Champa berjaya menyelamatkan negeri mereka daripada pencerobohan orang-orang Kemboja pada masa itu.

Raja Jaya Simhavarman III disebut-sebut sebagai orang yang bertanggungjawab membina candi sempena memperingati Raja Po Klaung Garai pada akhir abad ke-13, namun terdapat catatan menyatakan candi tersebut dibina seawal 1030 Masihi berdasarkan kepada batu bersurat yang ditemui pada candi Po Klong Garai yang tercatat penghargaan kepada dua putera Champa yang memenangi pertandingan tersebut.   Jaya Simhavarman III diyakini hanya membaik pulih serta melakukan sedikit penambahan terhadap Candi yang mendapat pengiktirafan seni bina warisan Vietnam oleh kerajaan negara tersebut pada 1979.

Candi ini dibina dengan gaya Thap Mam Cham satu senibina orang-orang Melayu Champa. Ia terdiri  daripada tiga menara: sebuah menara utama dengan tiga tingkat dan kedua adalah menara pintu yang bersaiz kecil, menara ketiga pula memanjang dengan bumbung berbentuk seperti pelana. Ringkasnya binaan, hiasan dan ukiran yang terdapat pada candi ini lebih kepada Hindu Dewa Siva yang disifatkan sebagai Raja Po Klaung Garai oleh orang-orang Champa, lebih menarik ia hanya dibina dengan susunan kombinasi beratbatu-bata tanpa plaster.

Admin sebenarnya kagum dengan hasil kerja orang-orang dahulu kerana hasil binaannya indah dan kukuh malah boleh disaksikan hingga kesaat ini walaupun ia telah dibina ratusan tahun dahulu. Admin juga pernah mengutarakan pertanyaan kenapa binaan sebegini tidak wujud di negara kita terutama di Semenanjung, ada yang menyatakan pendapat bahawa binaan sebegini wujud sebenarnya di Semenanjung namun material atau bahan binaan yang dipakai antara Champa dengan kerajaan di Semenanjung adalah berbeza. Di Champa bahan batuan dan pasir mudah diperolehi, manakala di Semenanjung bahan binaan yang banyak adalah kayu-kayan memandangkan 90% Semenanjung dahulunya dipenuhi dengan pokok-pokok balak yang bermutu tinggi. Ada lagi yang menambah bahawa bahan binaan seperti kota dan istana di  Semenanjung banyak musnah samada faktor semula jadi mahupun peperangan dahsyat yang berlaku pada zaman dahulu.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...