SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday, 12 March 2016

CHERMIN ~ Kerajaan Tua yang telah dilupakan...

Danau To' Uban : di tengahnya jelas kelihatan bekas Sungai, dipercayai sekitar sungai ini wujudnya lokasi pusat
pemerintahan kerajaan Chermin, selepas ia dipindahkan daripada Kota Mahligai pada 1345. 

Pendahuluan
Umum di Malaysia mengetahui bahawa di sini pernah wujud beberapa kerajaan tua yang memainkan peranan penting dalam sejarah bangsa Melayu. Sriwijaya satu kuasa empayar bangsa Melayu yang paling diingati, Kedah dan Melaka pula diingati kerana ia lama telah wujud dan masih kekal hingga hari ini. Kerajaan-kerajaan ini dikupas dan diulas dengan jelas dan lengkap malah dihimpunkan ratusan rujukan; baik dari kitab-kitab Melayu bertulisan Jawi mahupun sumber asing dari China, India dan Rom. Hingga hari ini kerajaan-kerajaan ini tidak pernah berhenti di bincangkan pada pelbagai peringkat seolah tiada penamatnya.

Begitulah keadaan mainstream yang menyelidik sejarah lama kerajaan yang pernah wujud di Semenanjung ini hingga mereka tertinggal untuk menyelidik beberapa kerajaan tua seperti Gangganagara, Gelanggi, dan Chermin. Gangganagara adalah kerajaan tua yang pernah wujud di Perak, Gelanggi di Johor, manakala Chermin di Kelantan. Gangganagara dikaitkan pula dengan kerajaan Beruas di Perak yang dipercayai lokasi asal kerajaan kuno perak itu, ada yang cuba menjejaknya malangnya kawasan itu sekarang merupakan satu lokasi yang berbahaya dan memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi untuk menerokanya. Gelanggi pula dinyatakan terletak sekitar daerah Kota Tinggi di Johor dan pernah menjadi pusat pemerintahan Empayar Melayu Melaka, ada pengkaji menemui lokasi kerajaan ini dan ia pernah disiarkan dalam akhbar tempatan berbahasa Inggeris beberapa tahun dahulu, namun seperti kisah misteri, ia kini tidak lagi dibincangkan di mana-mana medium sosial. Chermin, antara kerajaan tua yang diketahui pernah wujud di Kelantan, ia terletak sekitar tebing sungai sekitar To’ Uban dan Bukit Panau. Lokasinya sekarang seperti dalam gambar di atas, iaitu terletak di dasar danau tersebut, sebelum itu ia tidak digenangi air bagaimanapun pihak KADA telah mengairi kawasan ini dalam tahun 80an untuk mengatasi bencana banjir sekitar jajahan Tanah Merah dan Pasir Mas. Pada tahun-tahun 60an, beberapa penyelidik sejarah tempatan seperti Allahyarham Ustaz Mohamed Nakula dan Allayarham Asaad Shukri pernah melawat lokasi Jiddah Riayatulsalam, ibu kota kerajaan Chermin.

Catatan
Penulis buat pertama kali menemui kisah Kerajaan Chermin ini dalam Jurnal Warisan Kelantan terbitan Perbadanan Muzium Kelantan, seterusnya kerajaan ini turut disebut dalam beberapa buku yang lain berkenaan Sejarah Kelantan dan ianya konsisten dicatat. Kami cuba mencari dimana sumber asal berkenaan kerajaan ini, kami dapati ianya dihebahkan oleh Nakula yang menyusun Riwayat Tradisi Kelantan (RTK). Itulah satu-satunya sumber bertulis yang pernah kami temui berkenaan kerajaan ini, penyelidik yang kemudiannya tidak lagi mengambil berat berkenaan kerajaan ini, malah ada yang mengabaikannya kerana sumber RTK adalah diragui berikutan ianya lebih kepada sumber Lisan yang dianggap sebagai sekunder, justeru kerajaan ini hilang ditelan masa sedangkan ia turning point dalam sejarah Kelantan.

Buat sekian lamanya, penulis terbaca buku tulisan Thomas Stamford Raffles yang bertajuk The History of Java (1817) dalam buku tersebut Raffles ada menyebut tentang Raja Chermen dari Seberang dan beliau dengan panjang lebar menerangkan berkenaan lawatan Raja Chermen ke Jawa atas jemputan sepupunya Maulana Ibrahim yang turut terkenal dengan gelaran Sunan Grisek. Penulisan Raffles ini adalah berdasarkan kepada catatan orang Jawa sendiri dan ianya dinukilkan dalam buku tersebut. 

Jelas disini, kerajaan Chermin bukanlah sekadar kisah dongeng orang-orang Kelantan, kerana ianya turut diingati oleh orang-orang Jawa dan diketahui oleh orang-orang Eropah sekurang-kurangnya semenjak 1750an. Pastinya kerajaan Chermin ini sangat dominan dalam era perkembangan syiar Islam di Nusantara berikutan ia mempunyai kaitan erat dengan salah seorang Wali Songo yang amat terkenal di kalangan masyarakat di kepulauan Jawa.

Chermin Secara Ringkas
Dalam sejarah Kesultanan Kelantan, kerjaan Chermin dianggap sebagai satu dinasti pemerintahan di Kelantan suatu masa dahulu merangkumi 12 Sultan bermula dari tahun 1339 hingga 1602 [263 tahun]. Ianya diasaskan oleh Sultan Mahmud ibni Abdullah putera kepada Raja Sang Tawal, baginda menggantikan ayahandanya sebagai Raja Langkasuka pada 1339 dan mula meluaskan kuasa dengan menakluk Perak, Kedah, Champa dan Utara Sumatera. Penguasaan yang luas ini telah mendorong baginda menggelarkan kerajaannya sebagai Empayar Chermin, kemudiannya baginda telah memeluk agama Islam dan menukar nama kepada Sultan Mahmud Jiddah Riayatulsalam. 

Empayar ini sebenarnya tidak bertahan lama kerana ia tunduk selepas diserang oleh Sukhothai pada 1345 dan baginda telah memindahkan pusat pemerintahan dari Kota Mahligai di Patani ke Bukit Panau. 1357 kerajaan ini menjadi satu bahgian daripada Empayar Majapahit dan baginda telah mangkat pada 1362. Legasi kerajaan ini berterusan sehingga tahun 1602, berikut adalah pemerintah dari Dinasti Chermin:

  • 1339-1362: Sultan Mahmud Ibni Abdullah, 
  • 1391-1418: Sultan Baki Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud, Raja Kerajaan Chermin (Langkasuka-Kelantan-Singgora)
  • 1418-1429: Sultan Sadik Muhammad Shah. Memindahkan pusat pemerintahan kerajaan Chermin ke pedalaman Nenggiri
  • 1429-1467: Sultan Iskandar
  • 1467-1522: Sultan Mansur Shah (Kelantan)
  • 1522-1526: Sultan Gombak ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah
  • 1526-1547: Sultan Ahmad Shah
  • 1547-1561: Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Ahmad
  • 1561-1565: Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Mansur
  • 1565-1570: Sultan Umar Bin Raja Ahmad
  • 1570-1597: Sultan Ibrahim Ibni Sultan Mansur (kali kedua)
  • 1597-1602: Sultan Muhammad Ibni Sultan Ibrahim

Kini kewujudan Kerajaan Chermin bukan lagi satu mitos masyarakat Kelantan, sbealiknya ia adalah satu era yang wujud. Barangkali pengkaji K.I.V [Keep In View] akan kerajaan ini memandangkan ia satu era yang agak mengelirukan dan memerlukan penelitian khusus, hal ini menjadikan ia tidak digemari oleh pengkaji dan mereka meneruskan dengan kajian yang lebih mudah serta menarik. 

Di kesempatan lain, penulis akan menghuraikan dengan lebih lanjut tentang Kerajaan Chermin, Insha Allah.

Rujukan:

  • History of Java, Volume II oleh Thomas Stamford Raffles [1817]
  • https://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Kelantan
  • http://sangtawal.blogspot.nl/2009/03/hikayat-sangtawal-14-empayar.html
  • http://travel.detik.com/read/2015/07/08/115153/2963360/1520/misteri-kota-wali-songo-yang-hilang-di-malaysia#main
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...