SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday 27 October 2015

Kijang dalam masyarakat Kelantan

Kijang 

Pendahuluan
Allah s.w.t menjadikan bumi ini dihuni oleh pelbagai makhluk yang dibahagikan oleh ahli biologi kepada dua komponen iaitu Flora dan Fauna. Flora mewakili segala jenis tumbuh-tumbuhan, manakala Fauna pula mewakili haiwan. Kedua-dua komponen ini amat rapat dengan kehidupan manusia, malah penggunaan haiwan dan tumbuhan dalam kehidupan menjadi indikator tahap kemajuan yang dicapai oleh sesebuah ketamadunan. Pentingnya haiwan dalam kehidupan manusia menyebabkan ianya dipuja, didewakan malah disembah ibarat Tuhan oleh segelintir manusia sehingga Allah s.w.t. murka dengan perbuatan manusia tersebut, dan ianya dinyatakan dengan jelas dalam Kitab Suci al-Quran. Jelas disini, haiwan adalah hidupan yang penting dalam kehidupan manusia malah ianya amat rapat dengan manusia itu sendiri.

Jata Negeri
Kebanyakkan lambang rasmi kerajaan-kerajaan dunia hari ini menggunakan imej haiwan sebagai lambang rasmi negara masing-masing. Haiwan yang kerap digunakan adalah Singa, Harimau, Gajah, Kuda, Ular, dan Helang. Malaysia contohnya, menggunakan imej Harimau Malaya sebagai lambang rasmi kerajaan. Ia melambangkan keberanian dan ketegasan dan kecekalan yang mencerminkan kedaulatan negara kita.

Negeri-negeri di Malaysia pula mempunyai perlambangan haiwan masing-masing dengan Pelanduk untuk Melaka, Gajah untuk Pahang, Kijang untuk Kelantan dan Kenyalang untuk Sarawak. Setiap haiwan ini mempunyai kisah tersendiri yang terkait dengan negeri-negeri yang diwakili, kisah Kijang dengan Kelantan mempunyai maksud yang tersendiri. 

Penggunaan imej Kijang sebagai lambang negeri rasmi negeri Kelantan mula diguna pakai sewaktu negeri ini dibawah pemerintahan KDYMM Sultan Ismail 1920-1944. Sewaktu pemerintahan baginda, Kelantan telah menjalani tranformasi yang drastik sebagai sebuah kerajaan konservatif kepada kerajaan moden dengan pengenalan struktur Beraja mengikut Empayar DiRaja British. Selain itu, pensejarahan Kelantan juga dilakukan pada masa pemerintahan baginda. 

Kijang digunakan sebagai lambang negeri Kelantan berikutan kekaguman almarhum Sultan Ismail terhadap ketokohan Che Siti Wan Kembang dalam mempertahankan negeri Kelantan pada masa silam. Kehebatan Che Siti juga meniti dibibir seluruh rakyat Kelantan dan diperturunkan secara turun temurun, malah hingga kini lagenda ini terus menjadi kekaguman buat sekalian rakyat Kelantan.

Kasturi
Che Siti Wan Kembang bukan sengaja menjadikan kijang sebagai haiwan kesayangannya, dan jika diperkirakan secara logik akal kucing adalah lebih dekat dengan manusia malah ia lebih jinak serta manja dan sifat ini tidak terdapat pada Kijang. Pengamal Rawatan Tradisional menyatakan bahawa Kijang ini mempunyai khasiat untuk kesihatan manusia, iaitu kasturi.

Kasturi merupakan wangian yang terbaik di dunia,kehebatan haruman kasturi telah diperkatakan sejak zaman berzaman, Kita biasa mendengar,apa sahaja yang berbau wangi akan dikatakan seharum kasturi,ia mudah ditemui pada bait-baik puisi,kisah-kisah romantis,lagu-lagu,epik-epik cinta dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW sendiri.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sebaik-baik harum-haruman (buat kamu) ialah misk/kasturi.” 
(Shahih riwayat Ahmad, Muslim, Abu Dawud, Nasa’i dari jalan Abu Said al Khudriy).

Terdapat beberapa riwayat yang jelas tentang perkaitan antara wangi-wangian itu dengan nikmat di syurga. Imam Ibnu Qayyim r.a.h pernah menulis:

"Sesungguhnya Allah swt telah memperlihatkan kepada para hambaNya di dunia ini akan beberapa kesan yang berupa ciri-ciri syurga, Sebagai contohnya bau-bauan yang wangi dan sedap, kedinginan, pemandangan yang indah, buah-buahan yang baik-baik, segala nikmat kesukaan dan kesenangan."

ABU Hurairah berkata:
"Ya Rasulullah SAW,daripada apakah dibuat syurga itu?
 Jawab Baginda:
"Daripada air." 
 Kami bertanya:
"Beritakan mengenai bangunan syurga!"
 Jawab Rasulullah bermaksud:
"satu bata daripada emas dan satu bata lagi daripada perak dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari zafaran, kerikilnya mutiara dan vakut.
(Hadis riwayat Al-Bazzar).

Dalam sebuah hadis lain diceritakan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Tanah syurga itu licin putih, kasturi murni." (Hadis riwayat Muslim).

Harumnya bau syurga ini dapat dicium dari jarak perjalanan 100 tahun.

Bagaimanakah haruman kasturi ini sampai ke dunia?

Mengikut rujukan pengarang Kitab Iq Al-Alqaa dan juga Kitab Jaami Karaamat Al-Aliyaa, sesungguhnya ketika Nabi Adam A.S diturunkan ke bumi,baginda telah diziarahi oleh seekor kijang betina, lalu Nabi Adam A.S telah menghadiahkan kijang tersebut secebis daun dari syurga, dengan izin Allah SWT menjadikan kijang itu berbau harum seharum kasturi.

Pada hari ini,keturunan/nasab kijang tersebut telah menghasilkan wangian kasturi yang tumbuh di bahagian bawah perut kijang jantan dipanggil bintil kasturi (musk deer gland/pods). Manusia memproses kasturi tersebut untuk dijadikan minyak wangi dan ubat-ubatan. Kasturi daripada Kijang merupakan hasil daripada haiwan yang paling mahal di dunia.

Ini adalah sebab kenapa KIJANG menjadi haiwan belaan Che Siti Wan Kembang, hal baik elok untuk kita amalkan.

WALLAHUALAM

Saturday 24 October 2015

Keris Majapahit, Keris Kebesaran Sultan Iskandar

Contoh Keris Majapahit

Pendahuluan
Rata-rata pengamat sejarah Kelantan menyatakan pendapat mereka bahawa hubungan Kelantan-Majapahit adalah sebagai satu "sejarah yang dipadam". Nagarakartagama, sebuah catatan ulung bagi empayar Majapahit ada menyebut bahawa negeri Kelantan juga termasuk dalam wilayah talasokrasi mereka. Satu hal yang dinafikan dengan keras tentang maklumat dari Riwayat Tradisi Kelantan bahawa Kelantan suatu ketika dahulu pernah menjadi pusat bagi empayar Majapahit yang dikenali sebagai Majapahit II. Fungsi pusat kedua ini adalah untuk menangkis serangan daripada Champa dan Siam dan juga sebagai pusat bagi kerajaan Majapahit untuk mengawal segala aktiviti di Semenanjung sewaktu zaman kekuasaan mereka. Usah beleber panjang, artikel kali ini adalah untuk merungkai bagaimana sepucuk keris yang menjadi pakai kebesaran bagi Sultan Iskandar dinamakan sebagai Keris Majapahit. 

Keris
Kamus Dewan mendefinisi keris sebagai senjata bermata dua yang tajam sama ada lurus atau berkelok-kelok Bambang Harsrinuksmo dalam Ensiklopedia Keris menyatakan sesuatu senjata layak menjadi keris apabila:
  1. Matanya terbahagi kepada dua iaitu bilah dan ganja. Bilah adalah fizikal keris itu sendiri, manakala ganja adalah bahagian seperti cicak yang boleh diasingkan daripada bilah keris. Fungsinya adalah untuk menahan dan mengunci tikaman lawan. 
  2. Panjang bilah adalah antara 33cm - 38cm, namun terdapat keris menjangkau panjang sehingga 64cm.
  3. Bilahnya ditempa daripada dua jenis logam bagi membentuk corak unik pada mata keris yang disebut sebagai Pamor. 
Bagi masyarakat Kelantan yang masih memahami dan mengenal akan perkataan كريس, maka berikut adalah penghuraiannya:

Kaf - Keramat
Ia adalah pengiktirafan yang melambang status pemakai keris. Bagi pemakai keris pula, ia bukanlah semata-mata satu senjata biasa, jika tidak keris tidak akan diukir dengan indah baik pada bilah dan ganja serta sarung dan hulunya. Sekiranya untuk keselamatan diri adalah lebih baik dilengkapi dengan pedang atau parang yang lebih panjang.

Ra - Rahsia
Setiap ukiran pada keseluruhan fizikal keris, tersimpan dan terselit rahsia tertentu dan hanya difahami oleh pemilik serta penempanya sahaja. Ukiran pada keris tidak mempunyai persamaan antara dengan keris lain. Sekiranya ada duplikasi, maka ia bukan keris asli yang sesuai dijadikan perhiasan semata.

Ya dan Sin - Yang Satu
Ini adalah perlambangan fizikal keris kepada keteguhan kepada ajaran Islam yang metauhidkan Allah s.w.t. Antara peringatan kepada Allah yang diterakan pada keris adalah pada bilangan lok yang sentiasa dalam jumlah ganjil misalnya lok 5 dan 7 yang nyata jelas mengingatkan pemakainya kepada solat 5 waktu dan 7 itu adalah peringatan kepada waktu solat yang 5 dan bilangan tawaf yang tujuh.

Merupakan pemerintah yang memerintah Kelantan selepas Sultan Sadik Muhammad Shah. Baginda Sultan Iskandar mengasaskan Empayar Majapahit II yang berpusat di Kota Mahligai. Nama sebenar baginda ialah Kemas Jiwa. Baginda pernah berkahwin dengan Ratu Suhita, pemerintah Majapahit (1427-1447) dan baginda dianugerahkan seorang puteri. Di Majapahit I, baginda diberi gelaran Bhre Parameshwara Sang Aji Jaya Ningrat. Baginda terpaksa bercerai dengan Ratu Suhita kerana dilantik sebagai Sultan Kelantan pada tahun 1429. Baginda menamakan kerajaan baru yang didirikan sempena nama kerajaan isterinya yang berpusat di Jawa Timur itu. Keris kebesaran kerajaannya juga dinamakan Keris Majapahit.

Pemerintahan baginda Sultan Iskandar di Kelantan telah berakhir pada tahun 1465 Masihi kerana dibinasakan oleh Angkatan Perang Siam (Thai), dikatakan lebih 100,000 rakyat Kelantan telah dapat ditawan dan dibawa ke negeri Siam, menyebabkan baginda melarikan diri ke Champa, Vietnam. Baginda telah mangkat pada tahun 1467 dan dimakamkan di Vijaya

Asal Usul Nama Kelantan... Koli? Kolamtanah?

Negeri Kelantan Darul Naim

Semua negeri di Malaysia mempunyai kelebihan masing-masing, baik dari segi sejarah, pemerintah dan rakyatnya. Menyingkap sesuatu hal berkenaan sebuah negeri bukanlah kita mahu menyemarakkan sikap kenegerian, sebaliknya apa yang kami kupaskan dalam setiap penulisan kami adalah bertujuan untuk menyuntik kesedaran dikalangan anak negeri dan juga berkongsi maklumat dengan rakan-rakan dari negeri-negeri lain termasuklah mereka yang dapat memahami Bahasa Melayu seluruh dunia agar mereka semua menyayangi Negeri Kelantan yang bermakna ini.

Sejarah telah menyatakan bahawa negeri ini telah lama wujud dan dikenali dengan berbagai nama. Catatan sejarah juga mempunyai evolusi tersendiri, di mana ia tercatat dalam Hikayat yang dikarang dan dijilid, ada dibukukan, dan ada juga tersimpan dalam petitih tradisi seperti dalam dialog-dialog Wayang Kulit yang kemudiannya diistilahkan sebagai sebagai Riwayat Tradisi Kelantan. Ada juga maklumat berkenaan negeri ini disampaikan secara lisan selama berkurun lamanya.

Memenuhi disiplin kajian sejarah peringkat perdana, maka lahirlah kelompok akademia sejarah yang meyelidik latar belakang Kelantan, satu yang mengujakan ada antara mereka menyatakan bahawa nama KALANTAN telah dicatatakan oleh Ptolemy (90M-169M)  dalam peta dunia yang dilakar beliau. Sekurang-kurangnya Ptolomey menghasilkan peta tersebut dalam tahun 120 Masihi. Peta tersebut pula disalin daripada pengembara terdahulu dan dipercayai lebih senior dari beliau. Boleh disimpulkan bahawa Kelantan ini telah wujud pada 100SM lagi.

Catatan Ptolemy ini seterusnya membuktikan pula riwayat tradisi yang diwarisi dikalangan orang-orang Kelantan berkenaan asal muasal nama negeri ini. Seterusnya, pengkaji tempatan seperti Datuk Zakiah Hanum dalam bukunya bertajuk "Asal Usul Nama Negeri-Negeri di Malaysia" menyatakan bahawa nama Kelantan ini diperkenalkan oleh orang India Utara, berkenaan Bandar Koli, yang merupakan tempat kelahiran Gautama Budha. 

Agama Hindu dan Budha merupakan kepercayaan bagi kebanyakkan umat manusia sekitar Kepulauan Melayu dan terdapat banyak bukti-bukti tinggalan kepercayaan ini sekitar kepulauan ini antara lainnya adalah Candi Borobudur di Indonesia, Angkor Wat di Kemboja dan Candi Lembah Bujang di Kedah. Justeru tidaklah menjadi suatu yang aneh jika nama bandar koli tersebut diambil dan dipakaikan pada negeri kebanyakkan orang itu. 

Dalam konteks orang-orang Kelantan Sebelum Masihi, nama koli itu tadi telah digabungkan dengan perkataan Thana yang bermaksud "Tanah", secara harafiahnya ia berbunyi Koli Thana yang membawa maksud Tanah Koli. Pelat sebutan kepada KoliThana telah menyebabkan ianya disebut sebagai "Kolamtanah" atau "Kolamtam" yang akhirnya menjadi KELANTAN. Bagaimanapun terdapat riwayat tradisi menyatakan nama Kelantan itu bersempena dengan nama pokok "Gelam Hutan" yang tumbuh di pesisir pantai negeri Kelantan pada ketika itu.

Selain itu, pengembara dari Eropah sepeti De'eredia mencatat nama negeri ini dengan nama Calantan Rio, sementara peta lainnya menyebut negeri ini dengan nama Calantan, Calantam dan Calantao. Ensiklopedia Ma Tuan-Lin pula menyebut negeri kita dengan nama Ko-lo, pengembara China lainnya pula merujuk negeri Kelantan dengan nama Ho-lan-tan atau Kou-lo-tan. 

Catatan-catatan ini membuktikan Kelantan suatu masa dahulu dikunjungi oleh pengembara dan pedagang dari seluruh dunia, selain itu ianya membuktikan bahawa orang-orang Kelantan semenjak 100SM telah wujud dengan ketamaduanan dan kemajuan intrinsik yang tersendiri.



Monday 28 September 2015

Raktamrittika : Kerajaan Kuno Yang Pernah Bertapak di Kelantan

PENDAHULUAN
Evolusi penulisan telah berkembang semenjak manusia pandai menulis. Tulisan juga menjadi satu kriteria untuk mengiktiraf ketamadunan sesebuah banga itu. Kini aspek menulis telah menjadi begitu sophisticated hingga abjad-abjad ditukar ke bentuk digital dan dibaca menggunakan perlatan tertentu, berbanding di awal ketamadunan manusia di mana leluhur kita dahulu hanya menulis di atas kepingan batu dan dinding gua, kemudian berpindah menulis diatas pelepah dan daun pokok serta di atas kepingan kulit haiwan.

Semenjak dari itu juga, penulisan menjadi satu pekerjaan eksklusif kerana menulis dan membaca hanya menjadi hak Raja dan golongan bangsawan. India dan China merupakan dua ketamadunan dunia yang wujud lama di muka bumi, catatan sarjana mereka dijaga rapi hingga generasi kini masih boleh menatapnya. Begitulah juga dengan Negara Raktamrittika, ianya adalah dalam bahasa Sanskrit dan direkod oleh sarjana India, manakala sarjana China merekodkannya dengan nama Chih Tu di mana kedua-duanya membawa maksud Tanah Merah dalam Bahasa Melayu.

Sebelum Raktamrittika

Raktamrittika atau Chih Tu ini sebenarnya adalah serpihan daripada Funan. Pada asalnya, Negeri Tanah Merah ini merupakan satu negeri persekutuan, dikenali sebagai Kalathana yang membawa maksud Tanah Raksasa. Persekutuan ini mengandungi empat negeri iaitu:
  • Kalathana (Kelantan)
  • Thanathana (Terengganu)
  • Gangganegara (Perak)
  • Kuli (Pahang)

Negeri-negeri dalam Kalathana ini telah bersetuju melantik Bhadreswararaja, Raja Kalathana sebagai pemimpin persekutuan ini pada 418 Masihi. Pada waktu itu Funan dinaungi oleh Empayar Campa, justeru kewujudan persekutuan Kalathana ini tidak direstui oleh Maharaja Campa sendiri, natijahnya pada 427 Masihi, Maharaja Campa telah menghantar bala tentera melalui Langkasuka untuk menghukum Raja Kalathana tersebut.

Serangan tersebut dapat dipatahkan dan perajurit Kalathana telah melakukan serangan balas. Serangan tersebut telah membuahkan hasil yang gemilang dengan merebut kawasan dari Langkasuka hingga ke Tambralingga seterusnya menguasai seluruh segenting kra.

Pada masa yang sama, Campa turut terlibat dalam siri peperangan dengan China hingga Maharaja Campa mengabaikan situasi empayarnya yang sedang berpecah belah di bahagian selatan dengan menyerahkan urusan tersebut kepada Funan. Kemenangan Kalathana terhadap angkatan Funan-Campa telah membolehkan kerajaan mereka merdeka tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kerajaan asing.

Raja Funan, Wan Srestha tidak bertangguh terhadap perlakuan Kalathana yang tidak diiktiraf itu, telah membuat persiapan untuk merebut kembali kawasan Segenting Kra dan Semenanjung. Persiapan ini telah diketahui oleh Bhadreswararaja dan baginda dengan segera membuat hubungan diplomatik dengan Maharaja China dalam tahun 430 Masihi untuk melindungi Kalathana dari diserang oleh Funan. Maharaja China telah menjamin keselamatan Kalathana dengan menghantar surat kepada Funan agar hasrat serangan itu dibatalkan.

Negara Kalathana dalam bentuk persekutuan empat negeri yang dicantumkan dengan wilayah Segenting Kra (dari Langkasuka hingga ke Tambralingga) telah disebut sebagai Ho-lo-tan, K’ou-lo-tan, atau K’ou-lo-ch’ieh dalam rekod China.

Lahirnya “Negeri Tanah Merah”
Separuh kedua abad ke-6 Masihi, Kalathana telah dikuasai kembali oleh Funan yang berpusat di Campa. 522 Masihi, Kerajaan Funan telah runtuh akibat diserang oleh suku Khmer dari bahagian tengah Sungai Mekong. Kalinggawarman, Raja Kalathana telah menyerang Funan dan berjaya mengusir suku Khmer yang telah menawan Kota Campa pada 556 Masihi, seterusnya membina kembali empayar Funan yang runtuh, baginda juga melaksanakan penaklukan kembali wilayah kekuasaan Funan. 561 Masihi, Kalinggawarman telah mengisytiharkan diri beliau sebagai Maharaja Funan dan melantik adindanya Gauthama menjadi raja Kalathan seterusnya berfungsi sebagai gabenor tertinggi bagi seluruh Segenting Kra dan Semenanjung.

Pada 566 Masihi, Gauthama telah membelot kekandanya dengan mengisytiharkan kemerdekaan Kalathana dari Funan dan telah memindahkan ibu kotanya dari Kota Yawakotti, terletak di hilir Kelantan kearah hulu Kelantan yang dipercayai kawasan Nenggiri sekarang. Kawasan baru ini amat strategik dari aspek ketenteraan dan perlindungan. Perpindahan ibu kota ini sebenarnya dilakukan untuk mengelak serangan daripada Funan, selain itu kawasan Ulu Kelantan juga kaya dengan lombong-lombong emas.

Raja Gauthama telah menukar nama Kalathana kepada nama baru iaitu “Raktamrittika” sesuai dengan lokasi ibu kotanya yang terletak di kawasan tanah rata berwarna merah batu kawi. Baginda juga menamakan ibu kota Raktamrittika sebagai Singapura yang bermaksud Kota Singa dan dirujuk oleh sarjana China sebagai Seng-Chih atau Shih-tzu, manakala nama Raktamrittika dirujuk pula dengan nama Chih Tu.

Negeri Raktamrittika ini hanya mencakupi Kelantan pada hari ini, Besut di selatan dan Narrathiwat di utara, memandangkan negeri-negeri lain dalam Segenting Kra dan Semenanjung masih taat kepada Funan.


Kalinggawarman, Maharaja Funan tidak mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Raja Gautama, seolah-olah merestui tindakan adindanya membebaskan Kalathana dan menubuhkan Raktamrittika. Sebaliknya baginda telah melantik adindanya yang juga Raja Thanathana menggantikan Raja Gautama sebagai gabenor Funan untuk wilayah Segenting Kra dan Semenanjung.


Batu Bersurat Cherok Tok Kun

Batu Bersurat yang ditemui di Province Wellesley (seberang prai) oleh Col. Low dalam abad ke-19. Prasasti ini berukir dengan satu stupa dan satu chattravali di atasnya. Manakala tulisan berada pada kiri dan kanannya. Tulisan ini yang ditulis dalam huruf Pallava dari abad ke-5 (400-500 Masihi) menyatakan kejayaan dalam suatu pelayaran oleh seoang nakhoda kapal bernama Budhagupta, seorang penduduk Raktamrittika (Negeri Tanah Merah). Berdasarkan sejarah negara Raktamrittika yang diterangkan dalam rencana ini, batu bersurat ini ditulis tidak lebih awal dari tahun 566 Masihi.

Wednesday 19 August 2015

Asaad Shukri Haji Muda; Tokoh Politik, ahli sastera, Sejarah dan budayawan Kelantan : Siri Hari Merdeka PPSK 2015

Allaharyarham Asaad Shukri Haji Muda

“......Kesedaran itu tidak datang melainkan sa-telah melalui kepayahan; maka begitulah juga kesedaran politik; mashrakat mulai tahu dan mengerti sa-telah ia sendiri berkechimpong di-dalam alam kezaliman PASCIST – MILITARISM JEPUN dahulu, dan kemudian sa-waktu masharakat di-alam tanah melayu sedang leteh lesu, sisa-sisa kepayahan dan kepedehan maseh menjalar; di-dalam keadaan yang sa-umpama ini pula dalam masa pentadbiran tentera British (B.M.A) dengan perantaraan Sir Herold Mc Machael melancharkan tipu helah-nya merampas kuasa raja2 Melayu, negara naungan bertukar ta’alok, dengan di-datangi MALAYAN UNION yang bererti Melayu menumpang di-tanah ayer-nya; baharulah di-ketika itu bangsa kita mulai sedar, insaf dan tahu bahawa sa-lama yang terkebelakang itu mereka telah tertipu dan terpedaya oleh saranan yang mengandongi jiwa perpecah-belahan yang di-turuti dengan membabi buta....”  
(sebahagian ucapan Asaad Shukri Haji Muda yang dipetik dari ruangan Kata Pengantar Kamus Politik, keluaran 1963 )

Tokoh politik nasionalis serta juga ahli budayawan, sasterawan dan Sejarawan tanah air. Pernah mengarang beberapa buah buku sejarah umum bagi Negeri Kelantan sebelum era 70an, antaranya yang berjaya diterbitkan; 
  • Riwayat Kelantan (1930), 
  • Sejarah Kelantan (1962), 
  • Detik-detik Sejarah Kelantan (1971). 

Asaad Shukri atau nama sebenarnya Mohamad Asaad Shukri Bin Haji Muda telah dilahirkan di Kampung Masjid Kota Bharu pada 25 Febuary 1905. Ayah Asaad Shukri iaitu Haji Muda adalah seorang ahli seni pahat ukir-mengukir yang cukup terkenal serta juga sebagai seorang guru silat yang termasyhur dizaman Sultan Muhammad IV memerintah Kelantan.

Asaad Shukri adalah Abang kepada Dato’ Mohamad Asri Bin Haji Muda, seorang Tokoh politik yang cukup terkemuka di Kelantan, tetapi dari Ibu yang berlainan. Dato’ Mohamad Asri menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan diantara tahun 1964 sehingga tahun 1973 yang kemudian dilantik pula sebagai Menteri Kabinet Malaysia bagi portfolio sebagai Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah sehingga tahun 1977.

Manakala bonda Asaad Shukri, Che Puteh pula adalah berasal dari ahli Keluarga berpengaruh dalam pentadbiran feudal negeri Kelantan. Che Putih adalah anaknda kepada Che Saad Bin Che Ngah, seorang Pembesar Negeri bergelar Dato’ Laksmana pada zaman Sultan Ahmad, kemudian pula telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan diZaman Sultan Muhammad III. Beliau yang terkenal dengan panggilan Maha Menteri Che’ Had adalah satu-satunya Menteri Besar Kelantan yang mati dibunuh akibat ditembak secara rahsia disebabkan peranan beliau yang sangat menentukan dalam perlantikan Long Kundur (Sultan Muhammad III) sebagai Raja Pemerintah Kelantan pada pertengahan tahun 1890.

Melalui ayahnda Maha Menteri Che’ Had, iaitu Che Ngah Bin Che’ Tila Derasa yang masyhur dengan Panggilan Penghulu Che’ Ngah, adalah merupakan keturunan daripada keluarga Raja Lundang warisan dari kesultanan Jembal yang berjawatan Pembesar Negeri sebagai Panglima Perang. beliau bertalian cucunda kepada Wan Mahmud Bin Tuan Khomis melalui jaluran sebelah Bondanya yang bernama Wan Bulat @ Wan Aminah. Penghulu Che Ngah inilah yang telah menyerahkan beberapa buah naskah buku Klasik melayu berupa sejarah hikayat dan Syair kepada Abdullah Munshi pada waktu ketika beliau melawat Kelantan pada tahun 1839 itu.

Pendidikan pertama Asaad Shukri beroleh dari didikan keluarganya sendiri. Namun tidak lama, pada tuhun 1911, ia memasuki Sekolah Melayu Kerajaan diKota Bharu yang pada waktu itu terletak diJalan Post Office Lama bertentangan dengan Padang Merdeka Sekarang. pada tahun 1912, waktu Sekolah Melayu Kerajaan berpindah ke bangunan kayu satu tingkat yang berhampiran dengan Bangunan Pejabat Ukur dijalan Hospital sekarang, Asaad Shukri ikut sama berpindah dan menuntut pembelajaranya disini sehingga tahun 1916. kemudian, mulai tahun 1917, ia memasuki pula Madrasah Muhammadiah, Majlis Agama Islam Kelantan dalam darjah IV, dan disini ia menuntut dalam pembelajaran pendidikan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Ugama Islam, Sharahan dan kewartawanan sehingga penghujung tahun 1918 apabila tamat darjah enam Melayu dan darjah tiga Inggeris.

Kerjaya pertama Asaad Shukri selepas Pengajiannya bermula pada awal tahun 1919 sebagai kerani pelatih bahagian hasil cukai tanah di Pejabat Tanah Kota Bharu, dan kemudian berturut-turut pula diberi tanggungjawab bertugas sebagai Pegawai Pasar (Market Keeper), Merinyu Pasar (Market Inspector) dan Merinyu Kereta (Inspector Kenderaan) termasuk kenderaan Beca. Kemudian, pada tahun 1925, ia berkerja pula sebagai Kerani Pejabat Mahkamah Tinggi Kota Bharu, dan dalam tahun 1928, ia dipindahkan berkerja sebagai Kerani di Pejabat Undang-undang. Namun tidak lama, pada tahun yang sama, sekali lagi ia ditukarkan ke Pejabat Tanah, Kota Bharu. Dan pada awal tahun 1929, ia bekerja pula sebagai kerani Penggawa dibawah Ketua Jajahan Kota Bharu pada waktu itu bernama Tengku Muhammad Yusof putera kepada Al marhum Sultan Muhammad IV sehingga kedatangan Jepun ketanah Melayu pada tahun 1941.

Sebagaimana adiknya yang kita semua sudah ketahui bahawa Dato’ Haji Muhamad Asri selaku seorang Tokoh yang cukup terkemuka khusus dalam Bidang Politik serta mahir dalam bidang penulisan dan sastera kreatif, juga seorang Pejuang bahasa dan pemidato yang hebat. Abangnya iaitu Assad Shukri juga tidak kurang hebatnya dalam kesemua bidang yang sama. Penglibatan Asaad Shukri dalam bidang sosial, budayawan, ahli bahasa dan Pengarang serta sebagai seorang Pejuang tanah air politik nasionalis Melayu ini bermula pada tahun 1922 iaitu semasa beliau bertugas dalam perkhidmatan awam lagi sebagai Kerani Pelatih di Pejabat Tanah. Bermula dengan menyertai rombongan budayawan Kelantan dalam Pertunjukkan Tanah Melayu dan Borneo (Malayan & Borneo Exhibition) di Singapura sebagai Pemuda Pendekar. Dari saat itu, Assad Shukri sedikit demi sedikit perananya dalam pelbagai bidang mulai menanjak naik. Sebagai ringkasannya, berikut dibawah adalah rentetan sejarah penglibatan Asaad Shukri dalam pelbagai bidang yang telah disebutkan diatas;

  1. Tahun 1928 Asaad Shukri bersama Abdul Kadir Adabi telah menubuhkan “Putera Club”dan dilantik sebagai Penolong Pengarang. Kelab ini bergerak cergas dalam bidang persuratan, pendidikan, agama dan sosial. Tetapi akhirnya telah diharamkan kerana telah menerbitkan artikel yang bertajuk `Ulama mana mengganti Nabi’.

  2.  Tahun 1930 beliau aktif dalam penerbitan Majalah Kencana dimana karya beliau mengenai sejarah telah diterbitkan pada tahun berkenaan sahaja iaitu secara bersiri dari Bil.1 hingga Bil.10, dengan menggunakan nama penanya Siti Mariam Sa'di.

  3. Tahun 1934 Asaad Shukri telah dilantik sebagai Yang DiPertua Setiawan Belia sebuah kelab yang paling aktif dibidang seni, sastera dan akademik. Kelab ini bertujuan untuk menyatupadukan Ikatan Setia Kawan disamping saling berkerjasama kearah meningkatkan pendidikan dan ilmu pengetahuan ahli-ahlinya. Beliau giat menganjurkan majlis-majlis forum dan ceramah untuk menimbulkan kesedaran masyarakat ketika itu.

  4. 1939 Asaad Shukri telah dipilih menganggotai Persatuan Melayu Kelantan, sebuah Persatuan yang bergerak dalam bidang politik. Dengan tertubuhnya Persatuan ini semakin jelas kesedaran politik dan semangat kebangsaan dikalangan orang Melayu Kelantan ketika itu.

  5. 1939 Asaad Shukri telah dilantik menjadi Jawatankuasa Persatuan Melayu Semenanjung. Pada akhir tahun 1940 Asaad Shukri telah pergi ke Singapura disana beliau telah berikrar akan menyumbangkan tenaganya untuk negeri dan kebangsaan Melayu dengan menjadi anggota Kesatuan Melayu Muda yang dipimpin oleh Ibrahim Haji Ya'acob.

  6. Perhatian Asaad Shukri tidak sahaja dalam bidang politik, tetapi juga dalam bidang kewartawanan dan persuratkhabaran. Dalam satu mesyuarat yang dihadiri oleh beberapa orang tokoh, Asaad Shukri telah berucap dengan panjang lebar dan membawa usul untuk menubuhkan 'Persatuan Wartawan Kelantan'.

  7. Tahun 1941 semasa pemerintahan Jepun beliau bersama-sama Abdul Kadir Adabi telah diarah oleh Jepun untuk menerbitkan Majalah Matahari, iaitu sebuah majalah propaganda Jepun.
  8. Selepas pemerintahan Jepun tamat, iaitu pada 14 September 1945 Asaad Shukri bersama teman-temanya ditangkap dan ditahan oleh kerajaan Inggeris, kerana dituduh telah berkerjasama dengan Jepun, termasuk antaranya Nik Muhammad bin Nik Abdul Rahman (Nik Mat Dato’Amar), Nik Jaafar Hassan dan beberapa orang lagi. Asaad Shukri dibebaskan semula pada 31 Mei 1946, setelah lapan bulan merengkuk dalam penjara.
  9. Dalam tahun 1946 Asaad Shukri telah menyertai Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pada tahun 1947 beliau telah dipilih menjadi Yang Di Pertua PKMM Cawangan Kelantan.
  10. 1948 setelah Partai Kebangsaan Melayu Malaya diharamkan, Asaad Shukri telah menyertai Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan dan dalam mesyuarat Agung Persekutuan ini pada tahun 1948 ia terpilih menjadi Naib Yang Di Pertua Persekutuan ini. Persekutuan ini adalah antaranya yang turut menentang penubuhan Malayan Union dan pernah menjadi tuan rumah kepada Persidangan Agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu / United Malays National Organisation UMNO yang dipimpin oleh Dato’ Onn dan Persidangan ini telah dirasmikan oleh D.Y.M.M. Sultan Ibrahim, Sultan Kelantan.
  11. Dalam bidang kesenian dan kebudayaan, Asaad Shukri mulai aktif dalam tahun-tahun 50an. Beliau telah memimpin golongan muda membuat seni batik, ukiran kayu besi dan tembaga dan pernah menganjurkan beberapa acara seni pentas antaranya ialah persembahan seni silat, seni tari inai dan zapin yang diadakan dalam pertunjukan aneka warna di Singapura. Kebolehan beliau dalam bidang kesenian dan kebudayaan telah menarik perhatian masyarakat Singapura sehingga pada tahun 1953 beliau telah diminta oleh rakan-rakan di Singapura untuk menaja dan menggubal undang-undang “Persekutuan Kebudayaan Melayu Singapura”.
  12. Pada tahun 1958 Asaad Shukri telah diterima bertugas dengan Dewan Bahasa dan Pustaka di Johor Bharu, tetapi tidak lama kemudian beliau telah berhenti dari Dewan Bahasa dan Pustaka dan menumpukan perhatianya dalam bidang penulisan dan penyusunan kamus. Hasil karya seperti buku, kamus dan ensiklopedia yang diusahakan sejak tahun 30an itu tidak sempat diterbitkan. Karya-karya ini sekarang sebahagian besarnya tersimpan di koleksi Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
  13. Tahun 1968 sumbangan terakhir Asaad Shukri kepada negeri tumpah darahnya ialah menggubal rang undang-undang Perlembagaan Badan Kajian Kebudayaan Kelantan. Selepas rang undang-undang ini diluluskan, beliau telah dipilih menjadi Timbalan Yang Di Pertua Badan ini dan Yusuf Zaki Ya'acob menjadi Yang Di Pertuanya.

Kesedaran Asaad Shukri dalam bidang politik mulai subur apabila beliau sendiri telah melalui beberapa pengalaman pahit dan kepayahan dalam hidup. Bagaimana beliau sendiri menghadapi kezaliman pemerintahan Jepun dan tipu helah kerajaan British terhadap raja-raja Melayu, kesemuanya itu telah membuka mata dan hati bangsa Melayu termasuk Asaad Shukri sendiri. Perkara ini dapat kita lihat melalui kata-kata luahan beliau dalam ruangan Kata Pengantar Kamus Politik yang disusunya pada tahun 1963 seperti yang disiarkan pada perenggan awal artikel diatas.

Dari rentetan sejarah dan peristiwa di atas dapat disimpulkan bahawa Asaad Shukri merupakan seorang tokoh politik, ahli bahasa dan sastera juga penggiat seni dan budaya. Perjuanganya yang dilakukan atas dasar kesedaran dan keikhlasan itu tidak pernah menagih simpati dan mengharap sebarang ganjaran. Asaad Shukri telah kembali ke Rahmatullah pada 25 Januari 1971, di Makkah Al Mukarramah setelah lebih tiga dekad menabur bakti kepada bangsa dan negara.

-Al Fatihah-

Rujukan:
  • “Kehebatan Dato’ Lundang” oleh; Ismail Che’ Daud dalam Mingguan Wasilah keluaran 11, 15 april 2007.
  • “Asaad Shukri dan Perjuanganya” oleh Abdul Rahman Al-Ahmadi dalam Warisan Kelantan XIII, 1994.
  • Genealogy – Asaad Shukri Hj Muda oleh Haji Suhaimi Haji Lope Ahmad @ Pak Ngah, 2014
  • “Manuskrip Peringatan Lundang” bahagian rajah salasilah oleh Shafie Husin dalam Sejarah Dan Tokoh Kampung Lundang (Tradisional dan Moden), 2014


Artikel simpanan serta Diselenggara Oleh;

Long Muhammad Haji Wan Mohd Noor
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...