SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday, 15 June 2015

Makna Bendera dan Jata Negeri Kelantan Darul Naim

Pendahuluan
Kelantan Darul Naim adalah sebuah negeri berdaulat yang mempunyai Sultan, rakyat dan sempadannya yang tersendiri. Justeru sebagai sebuah negeri yang diiktiraf kedaulatannya, ia mempunyai Lambang dan Bendera Tubuh Negeri bagi mewakili kedaulatan yang dimilikinya. Rakyat berbangga apabila melihat bendera negeri berkibar megah, dan gerun melihat kepada jata atau lambang negeri. Namun ramai yang tidak mengetahui dengan jelas akan maksud yang tertera pada bendera negeri dan juga jata negeri. Asasnya, setiap apa yang terpapar pada bendera dan yang jata yang terukir mempunyai maksud yang tersendiri. Ia direka mengikut hasrat pemerintah yang dipersetujui oleh alim ulama dan wakil-wakil rakyat, ia juga menjadi simbol bagi setiap kerajaan.

Bendera
Bendera tubuh negeri Kelantan ini diperkenalkan pada tahun 1922 oleh Almarhum Sultan Ismail berserta dengan Lagu Selamat Sultan. Bendera tubuh ini menggantikan bendera lama yang digunakan semenjak era Sultan Muhammad IV lagi. Berikut penerangan objek yang membentuk bendera tubuh Negeri kelantan:


Bulan Sabit (1) dan Bintang (5) melambang Islam sebagai agama rasmi bagi Negeri Kelantan. Latar belakang bendera negeri yang berwarna Merah (2) membawa maksud kejujuran raja, pembesar dan rakyat jelata kepada negeri, warna putih (6) bermaksud kesucian Sultan yang memerintah negeri Kelantan. Tombak (3) dan Keris (4) menandakan kekuatan dan kegagahan orang-orang Melayu negeri Kelantan.

Bendera Lama

Bendera ini digunakan sebagai panji-panji negeri Kelantan ketika pemerintahan Sultan Muhammad IV. Ia direkabentuk dari kaligrafi ayat Quran yang membentuk seperti seakan seekor harimau sebaliknya ada juga menyatakan ianya adalah gambaran anjing Qitmir yang menjadi peneman pemuda ashabul kahfi. Dari selidikan yang dibuat, panji-panji ini dikenali sebagai Nasrun Min Allah dengan petikan ayat ke-13 surah al-saff yang berbunyi:


Surah 61 - 13:  al-Saff, Ayat 13
... Pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita menggembirkan itu kepada orang-orang yang beriman." 

Ianya ditulis menggunakan kaedah Zoomorphic Calligraphy dengan mengolah petikan ayat dari surah al-saff hingga kelihatan sepertimana terpapar dalam panji-panji Kelantan tahun 1912 itu.  Bagaimanapun kekeliruan telah timbul berikutan panji-panji Kelantan ini kerana ia dikatakan menyerupai lambang Mazhab Ismailiah. Kontroversi yang menyelubungi panji-panji Kelantan ini, maka semasa pemerintahan Almarhum Sultan Ismail, mufti Kelantan pada masa itu telah menasihatkan agar ianya digantikan dengan bendera tubuh yang lain, alasan yang diberi adalah kerana ukiran panji-panji itu menyerupai haiwan sedangkan pendapat para ulama menyatakan haram mengukir gambar haiwan untuk digantung dan dihormati seolah-olah menyembahnya. Selain itu menjaga kesucian ayat-ayat Quran juga digunakan sebagai alasan untuk menggantikan panji-panji Nasrun Min Allah ini.

Jata Negeri
Ia merupakan lambang sesebuah kerajaan yang memerintah. Ia kerap digunakan pada dokumen rasmi kerajaan, dengan termetrai lambang jata negeri ini sesuatu dokumen itu dianggap rasmi. Namun ramai yang tidak memahami akan maksud pada jata negeri Kelantan.



Anak Bulan dan Bintang (1) melambangkan Islam sebagai agama Rasmi Kelantan, Dua laras meriam (2) pula bermaksud negeri ini sentiasa bersedia mempertahankan diri daripada sebarang ancaman. Mahkota (3) pula melambangkan kedaulatan negeri Kelantan, manakala dua ekor kijang (4) sebagai tanda ingatan kepada  Raja Perempuan Kelantan yang terkenal Cik Siti Wan Kembang (Che Siti) yang sangat mengasihi haiwan tersebut. Tulisan Jawi (5) dalam jata ini pula bermaksud Berserah Kepada Tuhan Kerajaan Kelantan. 

Kebanggaan
Bendera dan Jata negeri Kelantan jelasnya menggambarkan kedaulatan raja-raja yang memerintah Kelantan. Ia juga menjadi identiti khas untuk rakyat negeri Kelantan, ia direka dengan unsur yang ringkas dan mudah difahami tanpa memasukkan unsur ambiguistik. Bendera tubuh negeri Kedah Darul Aman hampir menyerupai dengan bendera tubuh Kelantan dari segi warna latarnya, namun ia masih dapat dibezakan dengan jelas.


Merah Menyala Megah Berkibar
Keris dan Tombak lambang kegagahan rakyat
Kesucian Islam diterjemah pada Bulan dan Bintang
Kejujuran Raja, Pembesar dan Rakyat diwakili latar Merah
Putih pula tanda kesucian Raja yang memerintah.

Jata Negeri Lambang Kedaulatan Raja
Menerapkan unsur bendera negeri 
Ditambah pula Mahkota, Kijang dan Meriam
Masing-masing dengan maksud tertentu.
Kijang tanda ingatan kepada Che Siti Wang Kembang
Meriam tanda kesiap siagaan negeri mempertahankan diri
Mahkota tanda kedaulatan Kerajaan.

Begitulah ia menjadi lambang kebanggaan Anak Kelantan.


Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...