SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday, 8 June 2015

Ramai Orang Tidak Tahu, Kota Bharu juga ada Pelabuhan : Siri Binaan Bersejarah

Pendahuluan
Kota Bharu adalah Ibu Negeri Kelantan, sejarahnya panjang dan lokasi pusat bandarnya telah berubah sebanyak dua kali sebelum kekal sebagaimana pada hari ini. Walaupun pusat bandar sering berpindah, ia tetap dibina di pinggir sungai, membuktikan bahawa Kesultanan Kelantan pada masa tersebut amat bergantung dengan pengangkutan air. Hal ini bertambah kukuh apabila di sepanjang sungai Kelantan wujud pelbagai pengkalan untuk perahu atau sampan berlabuh. Bagaimanapun  satu hal yang tidak ketahui ramai, Kota Bharu mempunyai Pelabuhan yang tersendiri suatu waktu dahulu.


Lakaran "Pelabuhan" Kota Bharu
Jeti atau Pelabuhan
Dalam dunia maritim terdapat banyak istilah berkaitan kemudahan untuk kenderaan air berlabuh, istilah yang paling kerap kita dengar adalah pelabuhan dan jeti, walaupun dua istilah ini saling berkaitan ia sebenarnya membawa maksud yang berlainan. Berikut maksud istilah tersebut:

  • Pelabuhan membawa maksud pusat perdagangan untuk import, eksport, pengumpulan dan pengagihan barang-barang. 
  • Jeti pula membawa maksud binaan yang menganjur ke laut atau sungai untuk kapal, bot dan sebagainya singgah.

Daripada lakaran suasana di atas jelas kelihatan kemudahan tersebut lebih kelihatan sebagai pelabuhan walaupun ia tidak semegah pelabuhan-pelabuhan lain yang teradapa di semenanjung, lagipun ia terletak di tebing sungai, tidak seperti pelabuhan entrepot lainnya yang terletak di perairan lepas.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan dengan tepat dimanakah lokasi lakaran diatas memandangkan pada masa tersebut terdapat dua struktur yang sama wujud di Palekbang dan satu lagi dikenali sebagai Jeti Kastam, kedua-dua lokasi ini terletak di tebing sungai Kelantan dan saling berhadapan satu di tebing barat sungai Kelantan dan satu lagi di tebing timur sungai Kelantan.

Apa yang menarik disini adalah Jeti Kastam Kota Bharu di tebing timur Sungai Kelantan masih wujud, namun penggunaannya amat minimal, bagaimanapun pelabuhan di Palekbang sudah tenggelam dalam timbunan lumpur ekoran banjir yang selalu melanda Kota Bharu. Bagaimanapun ianya telah digali semula pada penghujung 2012 dan ia pernah mencetuskan satu kontroversi suatu masa dahulu.

Sebenarnya maklumat berkenaan pelabuhan atau jeti ini tidak ditonjolkan dalam mana-mana penerbitan dan agak sukar untuk mencari maklumat berkenaan kemudahan maritim ini di Kota Bharu sebaliknya fungsi Tambatan Diraja yang lebih ditekankan.

Fungsi Pelabuhan Kota Bharu tidak dapat disembunyikan lagi, terutama di Palekbang walaupun ia kini sudah sepi dan dibiarkan terus tenggelam ditelan masa, kami mengambil secebis masa untuk merakamkan perihal pelabuhan ini. Menurut buku yang ditulis oleh W.A. Graham, Penasihat Siam ke Kelantan yang berbangsa Inggeris menyatakan dengan jelas hasil dagangan di Kelantan pada tahun 1907 melebihi $2.5 JUTA,  satu nilai yang amat besar pada zaman tersebut.

Hasil Dagangan Negeri Kelantan pada 1906
Rekod ini jelas mencatatkan nilai dagangan Kelantan sebelum dijajah oleh British pada tahun 1909 mencecah jutaan dollar, nilai ini pastinya tidak dapat dicapai andai Kota Bharu tidak mempunyai kemudahan pelabuhan yang efisyen dalam memastikan aktiviti perdangangan berlangsung dengan baik seterusnya meningkatkan pertumbuhan ekonomi Kelantan.

Musnah
Pada dekad 1930an pelabuhan Palekbang masih wujud, ia menjadi pusat pengurusan sistem pengangkutan sungai di Kelantan yang pada masa itu menggunakan kapal stim. Perkhidmatan tersebut dimulakan oleh Syarikat Duff pada tahun 1905 yang menghubungkan Kota Bharu dengan jajahan seperti Pasir Mas, Machang, Tanah Merah dan Batu Mengkebang. Setelah sistem perkhidmatan keretapi diperkenalkan yang juga dibina sepanjang Sungai Kelantan menghubungkan Kota Bharu dengan jajahan paling selatan di Gua Musang, telah menjejaskan perkhidmatan pengangkutan Sungai. Selain itu, dengan siapnya Pelabuhan di Tumpat turut menjejaskan fungsi pelabuhan di Kota Bharu.

Setelah itu Penggunaan kapal terhad kepada urusan perdagangan sahaja. Dalam dekad 1920an, Kelantan aktif mengimport Lembu, Kerbau dan Kopra (kelapa kering) ke Singapura dan ia menggunakan pelabuhan Palekbang. Pada waktu ini juga, orang ramai menggunakan pelabuhan Palekbang untuk menaiki feri yang dikenali sebagai "Kapal Belangkas" untuk ke Kota Bharu. Ia telah mengalami kerosakan yang teruk ekoran serangan bom Jepun dalam Perang Dunia Kedua, ia tidak pernah dibaikpulih sebaliknya ia telah dirobohkan dalam tahun 1970an.

Justeru, rakyat Kelantan harus sedar bahawa Kelantan bukan setahun dua ini diuar-uarkan dengan pembinaan Pelabuhan, sebaliknya kita telah memiliki beberapa pelabuhan antaranya, Pelabuhan Kota Bharu (Palekbang dan Jeti Kastam) dan Pelabuhan Tumpat. Bagaimanapun kedua-duanya musnah dalam Perang Dunia Kedua. Pada saat ini, Kelantan sedang menyaksikan Pelabuhan Tok Bali sedang rancak dalam pembinaan di Kuala Semerak.


Jeti Kastam Kota Bharu

Bekas Pelabuhan di Palekbang
Bekas Pelabuhan di Palekbang
Bekas Pelabuhan di Palekbang

Bekas Pelabuhan di Palekbang

Nilai Import dan Eksport Kelantan pada tahun 1907 sebanyak $2.5 juta

Jumlah Import dan Eksport Barangan di Kelantan pada 1907

 "Kopra" dan Kelapa antara barangan eksport Kelantan pada tahun 1920.
Gambar ini dirakam di Pelabuhan Palekbang sebelum ianya musnah teruk
dalam serangan Jepun pada Disember 1942. Ia akhirnya dirobohkan sepenuhnya dalam
tahun 1970an.

Antara Kemudahan yang terdapat di Pelabuhan Kota Bharu dalam tahun 1920
"Kapal Belangkas" di Kota Bharu




Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...