SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday 27 March 2016

LAUT CHAMPA : Satu nama sengaja di lupakan?

Kedudukan Laut Champa | Sumber : Google Map


Pendahuluan
Kebelakangan kedaulatan tanah air kita terutama di kawasan perairan Sabah kerap diceroboh oleh anasir luar yang turut mendakwa perairan tersebut sebagai kawasan kedaulatan mereka. Dunia mengenali perairan ini dengan nama South China Sea atau kita membacanya sebagai Lautan China Selatan. Admin pada awalnya tidak meragui terhadap nama lautan tersebut, bagaimanapun mula menyedari setelah meneliti dan membuat beberapa penulisan berkenaan kerajaan tua Melayu dan mendapati ia dirujuk sebagai Laut Champa oleh pelaut dan pengembara suatu masa yang lampau, sempena nama Kerajaan Melayu Champa. 

Peranannya
Kerajaan Champa wujud seawal 192 Masihi, dan terus berkembang sehinggalah ia gagal menumpaskan pencerobohan tentera Dai Viet terhadap Ibu Kotanya, Vijaya pada 1471. Sepanjang tempoh hampir 1300 tahun kewujudannya dari tahun penubuhan hingga ke tahun ketewasannya, kerajaan Champa telah membina satu ketamdunan yang tinggi peradabannya, malah kawasan perairan negara tersebut turut dinamakan sempena nama kerajaannya, ini menunjukkan bahawa Champa adalah sebuah negara maritim bukan seperti kerajaan yang berjiran dengannya. Sejarah Champa menyaksikan Dai Viet muncul sebagai seteru utama kedaulatannya di Utara dan Khmer dari Barat turut menjadi musuhnya. Kedudukan Champa atau lebih tepat ibu kotanya, Vijaya adalah berhampiran kawasan laut, dan kerajaan ini awalnya mengamalkan kepercayaan dan kebudayaan penganut Hindu yang dipercayai disebarkan melalui jalan laut.

Berikutan kedudukan ibu negaranya di pesisir pantai, membolehkan kerajaan Champa membangunkan infrastruktur dan teknologi pelayaran yang lebih canggih berbanding dengan jiran-jirannya. Dipercayai kepakaran orang-orang Champa dalam pelayaran diwarisi daripada kerajaan terdahulu iaitu Funan sebuah kerajaan thalassocracy sebelum ianya digantikan oleh Chen La pada tahun 550 masihi. 

Lokasinya yang strategik, ibu kotanya canggih dan terkenal serta menjadi tarikan para pengembara serta sebagai lokasi pertemuan antara pedagang barat dan China, justeru tidak menghairankan mengapa perairannya dirujuk sebagai Laut Champa. Sungguhpun demikian kebanyakan barangannya agak mahal kerana kepulauan Melayu di nusantara membekalakan bekalan dan menjadikannya lebih murah, hal ini berlaku berikutan Champa tidak begitu subur dengan keadaan geografinya tidak begitu sesuai untuk tanaman bermutu tinggi kecuali untuk tanaman kontan sahaja. Meskipun begitu ia tetap maju berbanding Chen La dan Dai Viet mahupun La Xhang (Laos), hal ini juga menjadikan Champa sebagai sasaran Dai Viet yang merdeka daripada naungan China pada tahun 950 masihi meluaskan pengaruhnya ke arah kedudukan Champa di Selatan atas sebab bekalan sumber dan perluasan kawasan.

Dilupakan
1472, kerajaan Champa telah hampir pupus setelah Vijaya ditawan oleh Dai Viet dan memaksa pemerintahannya dipindahkan ke Selatan iaitu di Pandurangga. Pada tempoh ini, tidak dapat dikesan dengan jelas terhadap pemerintahan kerajaan Champa, kerana catatan sejarah hanya menyatakan terdapat legasi pemerintahan kerajaan Champa yang diteruskan oleh Dinasti Selatan dengan rajanya bernama Po Matuha pada 1622 Masihi. Jarak 150 tahun ini adalah tempoh peralihan peranan kerajaan Champa itu sendiri, setelah tewas ia tidak mampu lagi bangkit. 

Hal ini berlaku kerana kerajaan Champa pada era kegemilangannya bergantung sepenuhnya kepada sumber maritim dan tidak begitu pakar dalam membangunkan sumber sepertimana kerajaan agrarian, justeru ia tidak mampu bangkit dengan segera, ditambah ia turut diancam oleh Khmer. Pada masa ini nama Lautan Champa telah luput sebaliknya muncul nama Laut China Selatan, hal ini dikuatkan lagi setelah kejayaan ekspedisi flotila Laksamana Cheng Ho melawat dan mengunjungi negara-negara asing di Asia dan Afrika pada misi diplomatik kerajaan China di bawah dinasti Ming [1338 – 1644], nama Laut Champa sepenuhnya telah dilupakan.


Rujukan:
  1. http://focuss.my/konflik-laut-china-selatan-bukti-sejarah-melayu-champa-kuasai-perairan/
  2. http://news.nationalgeographic.com/news/2014/06/140616-south-china-sea-vietnam-china-cambodia-champa/
  3. https://en.wikipedia.org/wiki/South_China_Sea 

Wednesday 16 March 2016

SEBALIK DANAU TO’UBAN & MASJID BRUNEI | Siri Orang Kito


Pendahuluan
Suatu masa dahulu Danau To’Uban terkenal sebagai antara destinasi pelancongan yang terletak dalam jajahan Pasir Mas, Kelantan. Namun agak menyedihkan ia kini seolah dilupakan, walhal lokasi ini mempunyai pemandangan unik juga mempunyai kisah yang tersendiri. Meskipun ia kini bukan lagi lokasi tumpuan pelancong, kisah yang berkaitan dengan danau ini sering diperkatakan terutama dalam media sosial dikalangan peminat-peminat kisah mistik.

Danau To’ Uban
Ia berada dalam kampung To’ Uban, 20 kilometer dari bandar Pasir Mas. Asalnya kawasan ini merupakan kawasan sawah padi dengan satu alur sungai yang agak sempit berfungsi sebagai tempat untuk menakung air semata-mata. Bagaimanapun, akibat kekerapan hujan  menyebabkan Sungai Cegor di Tanah Merah terus mengalir melalui beberapa saliran menyebabkan kawasan tersebut tidak mampu menampung air yang melimpah lantas mengalir ke pintu Gate air di Kampung To’ Uban. Pintu gate air yang selalu dibuka bagi menghalang air dari melimpah tebing, bagaimanapun ia telah menjejaskan kawasan tersebut hingga menyebabkan tebing sungai runtuh dan air memenuhi kawasan sawah tersebut dan terbentuklah danau yang dapat kita lihat pada masa sekarang. 

Masjid Brunei
Ia terletak di tebing Danau To’ Uban dengan lokasi yang lebih tepat di Rong Chenok, Pasir Mas Kelantan. Kedudukannya agak tersorok di hujung jalan kampung, namun  ia masih dikunjungi oleh mereka yang mengetahui kisah terbinanya masjid tersebut. Pada awalnya tidak ramai yang mengetahui tentang masjid ini kecuali penduduk sekitar, namun setelah lebih 20 taun pembinaannya, ia mula terkenal kerana ada kaitan dengan Sultan Brunei. 

Masjid ini dibina berserta dengan sebuah madrasah atas nama Almarhum Sultan Omar ‘Ali Saifuddin, ayahanda kepada Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Brunei yang sedang memerintah, ia dirasmikan oleh Sultan Ismail Petra pada 23 Januari 1992. 

Pembinaan masjid ini sebenarnya adalah atas usaha penduduk sekitar Rong Chenok dan AJK Masjid yang terlibat. Kekurangan sumber keewangan telah mendorong mereka mengutus sepucuk surat kepada Kerajaan Brunei yang terkenal sebagai pemurah terutama sekali dalam hal berkaitan dengan agama Islam. Takdir Allah s.w.t, permintaan penduduk Rong Chenok telah diperkenankan oleh Sultan Brunei, dan bersetuju untuk menanggung keseluruhan kos pembinaan masjid tersebut dan ia termasuk sebagai antara harta yang diniatkan wakaf oleh baginda. Mengenangkan sikap pemurah Sultan Brunei itu, masjid tersebut telah dinamakan sebagai Masjid Brunei Darulsalam.

Masjid ini telah diwakafkan oleh Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada Madrasah Tahfiz Rong Chenok. Tiada misteri sebalik pembinaan masjid ini sebenarnya, melainkan kawasan ini suatu masa dahulu merupakan antara tempat leluhur Wali Songo bernama Sayyid Hussien Jamadil Kubra, individu yang menyebarkan dakwah Islamiah seluruh nusantara termasuk ke Broneo, khususnya Brunei melalui anak lelaki beliau. Sayyid Hussien juga merupakan sosok yang penting dalam memahami Kesultanan Kelantan dan Champa serta Jawa kerana putera dan puterinya memainkan peranan penting dalam perkembangan kerajaan-kerajaan tersebut. 

Masjid ini memilik keunikan tersendiri, malah pada suatu masa ia kelihatan terapung dan berkilau warna keemasan dikala waktu dinihari dan senja lantaran ianya berwarna putih dan ia mampu memantulkan cahaya matahari pada waktu-waktu yang tersebut. Selain itu, persekitaran sekeliling masjid juga mendamaikan dan amat bertepatan menjadi lokasi untuk beribadah kerana ia jauh dari kesibukan manusia.

[PESANAN]

Masjid Brunei Darulsalam di Rong Chenok bukan dibina atas pekara mistik, ia dibina untuk tujuan diimarahkan. Jauhi dari amalan syirik kerana ia adalah DOSA BESAR dan amat di cela Allah s.w.t.

Saturday 12 March 2016

CHERMIN ~ Kerajaan Tua yang telah dilupakan...

Danau To' Uban : di tengahnya jelas kelihatan bekas Sungai, dipercayai sekitar sungai ini wujudnya lokasi pusat
pemerintahan kerajaan Chermin, selepas ia dipindahkan daripada Kota Mahligai pada 1345. 

Pendahuluan
Umum di Malaysia mengetahui bahawa di sini pernah wujud beberapa kerajaan tua yang memainkan peranan penting dalam sejarah bangsa Melayu. Sriwijaya satu kuasa empayar bangsa Melayu yang paling diingati, Kedah dan Melaka pula diingati kerana ia lama telah wujud dan masih kekal hingga hari ini. Kerajaan-kerajaan ini dikupas dan diulas dengan jelas dan lengkap malah dihimpunkan ratusan rujukan; baik dari kitab-kitab Melayu bertulisan Jawi mahupun sumber asing dari China, India dan Rom. Hingga hari ini kerajaan-kerajaan ini tidak pernah berhenti di bincangkan pada pelbagai peringkat seolah tiada penamatnya.

Begitulah keadaan mainstream yang menyelidik sejarah lama kerajaan yang pernah wujud di Semenanjung ini hingga mereka tertinggal untuk menyelidik beberapa kerajaan tua seperti Gangganagara, Gelanggi, dan Chermin. Gangganagara adalah kerajaan tua yang pernah wujud di Perak, Gelanggi di Johor, manakala Chermin di Kelantan. Gangganagara dikaitkan pula dengan kerajaan Beruas di Perak yang dipercayai lokasi asal kerajaan kuno perak itu, ada yang cuba menjejaknya malangnya kawasan itu sekarang merupakan satu lokasi yang berbahaya dan memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi untuk menerokanya. Gelanggi pula dinyatakan terletak sekitar daerah Kota Tinggi di Johor dan pernah menjadi pusat pemerintahan Empayar Melayu Melaka, ada pengkaji menemui lokasi kerajaan ini dan ia pernah disiarkan dalam akhbar tempatan berbahasa Inggeris beberapa tahun dahulu, namun seperti kisah misteri, ia kini tidak lagi dibincangkan di mana-mana medium sosial. Chermin, antara kerajaan tua yang diketahui pernah wujud di Kelantan, ia terletak sekitar tebing sungai sekitar To’ Uban dan Bukit Panau. Lokasinya sekarang seperti dalam gambar di atas, iaitu terletak di dasar danau tersebut, sebelum itu ia tidak digenangi air bagaimanapun pihak KADA telah mengairi kawasan ini dalam tahun 80an untuk mengatasi bencana banjir sekitar jajahan Tanah Merah dan Pasir Mas. Pada tahun-tahun 60an, beberapa penyelidik sejarah tempatan seperti Allahyarham Ustaz Mohamed Nakula dan Allayarham Asaad Shukri pernah melawat lokasi Jiddah Riayatulsalam, ibu kota kerajaan Chermin.

Catatan
Penulis buat pertama kali menemui kisah Kerajaan Chermin ini dalam Jurnal Warisan Kelantan terbitan Perbadanan Muzium Kelantan, seterusnya kerajaan ini turut disebut dalam beberapa buku yang lain berkenaan Sejarah Kelantan dan ianya konsisten dicatat. Kami cuba mencari dimana sumber asal berkenaan kerajaan ini, kami dapati ianya dihebahkan oleh Nakula yang menyusun Riwayat Tradisi Kelantan (RTK). Itulah satu-satunya sumber bertulis yang pernah kami temui berkenaan kerajaan ini, penyelidik yang kemudiannya tidak lagi mengambil berat berkenaan kerajaan ini, malah ada yang mengabaikannya kerana sumber RTK adalah diragui berikutan ianya lebih kepada sumber Lisan yang dianggap sebagai sekunder, justeru kerajaan ini hilang ditelan masa sedangkan ia turning point dalam sejarah Kelantan.

Buat sekian lamanya, penulis terbaca buku tulisan Thomas Stamford Raffles yang bertajuk The History of Java (1817) dalam buku tersebut Raffles ada menyebut tentang Raja Chermen dari Seberang dan beliau dengan panjang lebar menerangkan berkenaan lawatan Raja Chermen ke Jawa atas jemputan sepupunya Maulana Ibrahim yang turut terkenal dengan gelaran Sunan Grisek. Penulisan Raffles ini adalah berdasarkan kepada catatan orang Jawa sendiri dan ianya dinukilkan dalam buku tersebut. 

Jelas disini, kerajaan Chermin bukanlah sekadar kisah dongeng orang-orang Kelantan, kerana ianya turut diingati oleh orang-orang Jawa dan diketahui oleh orang-orang Eropah sekurang-kurangnya semenjak 1750an. Pastinya kerajaan Chermin ini sangat dominan dalam era perkembangan syiar Islam di Nusantara berikutan ia mempunyai kaitan erat dengan salah seorang Wali Songo yang amat terkenal di kalangan masyarakat di kepulauan Jawa.

Chermin Secara Ringkas
Dalam sejarah Kesultanan Kelantan, kerjaan Chermin dianggap sebagai satu dinasti pemerintahan di Kelantan suatu masa dahulu merangkumi 12 Sultan bermula dari tahun 1339 hingga 1602 [263 tahun]. Ianya diasaskan oleh Sultan Mahmud ibni Abdullah putera kepada Raja Sang Tawal, baginda menggantikan ayahandanya sebagai Raja Langkasuka pada 1339 dan mula meluaskan kuasa dengan menakluk Perak, Kedah, Champa dan Utara Sumatera. Penguasaan yang luas ini telah mendorong baginda menggelarkan kerajaannya sebagai Empayar Chermin, kemudiannya baginda telah memeluk agama Islam dan menukar nama kepada Sultan Mahmud Jiddah Riayatulsalam. 

Empayar ini sebenarnya tidak bertahan lama kerana ia tunduk selepas diserang oleh Sukhothai pada 1345 dan baginda telah memindahkan pusat pemerintahan dari Kota Mahligai di Patani ke Bukit Panau. 1357 kerajaan ini menjadi satu bahgian daripada Empayar Majapahit dan baginda telah mangkat pada 1362. Legasi kerajaan ini berterusan sehingga tahun 1602, berikut adalah pemerintah dari Dinasti Chermin:

  • 1339-1362: Sultan Mahmud Ibni Abdullah, 
  • 1391-1418: Sultan Baki Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud, Raja Kerajaan Chermin (Langkasuka-Kelantan-Singgora)
  • 1418-1429: Sultan Sadik Muhammad Shah. Memindahkan pusat pemerintahan kerajaan Chermin ke pedalaman Nenggiri
  • 1429-1467: Sultan Iskandar
  • 1467-1522: Sultan Mansur Shah (Kelantan)
  • 1522-1526: Sultan Gombak ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah
  • 1526-1547: Sultan Ahmad Shah
  • 1547-1561: Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Ahmad
  • 1561-1565: Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Mansur
  • 1565-1570: Sultan Umar Bin Raja Ahmad
  • 1570-1597: Sultan Ibrahim Ibni Sultan Mansur (kali kedua)
  • 1597-1602: Sultan Muhammad Ibni Sultan Ibrahim

Kini kewujudan Kerajaan Chermin bukan lagi satu mitos masyarakat Kelantan, sbealiknya ia adalah satu era yang wujud. Barangkali pengkaji K.I.V [Keep In View] akan kerajaan ini memandangkan ia satu era yang agak mengelirukan dan memerlukan penelitian khusus, hal ini menjadikan ia tidak digemari oleh pengkaji dan mereka meneruskan dengan kajian yang lebih mudah serta menarik. 

Di kesempatan lain, penulis akan menghuraikan dengan lebih lanjut tentang Kerajaan Chermin, Insha Allah.

Rujukan:

  • History of Java, Volume II oleh Thomas Stamford Raffles [1817]
  • https://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Kelantan
  • http://sangtawal.blogspot.nl/2009/03/hikayat-sangtawal-14-empayar.html
  • http://travel.detik.com/read/2015/07/08/115153/2963360/1520/misteri-kota-wali-songo-yang-hilang-di-malaysia#main
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...