SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday 30 June 2015

Bukit Peraksi, Lokasi Penting Tiga Kali Setahun : Siri Orang Kito




Pendahuluan
Setiap kali menghampiri bulan Ramadhan dan Syawal, nama bukit ini menjadi sebutan seluruh Malaysia kerana ia menjadi salah satu lokasi untuk mencerap anak bulan bagi menentukan bermulanya tarikh Ramadhan, Syawal dan juga Raya Haji. Rakyat Malaysia amnya hanya mengetahui bukit ini terletak di Pasir Puteh, Kelantan tetapi tidak mengetahui kedudukan tepatnya malah ramai juga orang Kelantan sendiri tidak pasti dimana lokasi sebenar bukit ini, kecuali orang-orang Pasir Puteh.

Lokasi
Bukit Peraksi merupakan antara lokasi yang terawal di semenanjung Malaysia yang digunakan sebagai pusat cerapan melihat anak bulan, ia menjadi pilihan tepat kerana kedudukannya yang strategik iaitu berhampiran dengan laut serta mempunyai ketinggian 150 meter dari aras laut. Ia terletak berhampiran Cherang Ruku, di Pasir Puteh, dan boleh diakses dari arah Tok Bali bagaimanapun kedudukannya agak tersembunyi dan laluan ini hanya biasa digunakan oleh masyarakat tempatan sekitar Pasir Puteh.

Ia mula dibuka kepada orang ramai pada 1980 dan dijadikan sebagai lokasi perlancongan di Kelantan. Pemandangan dari atas puncak bukit sungguh mengasyikkan, juga boleh disaksikan keindahan matahari terbit dari timur jika cuaca baik. Bukit ini sebenarnya adalah dibawah seliaan Majlis Daerah Pasir Puteh, walaupun ia disebut sebagai satu dari destinasi pelancongan di Kelantan, ia sebenarnya jarang dikunjungi atas sebab kurang dipromosikan dan ia menjadi lokasi tumpuan untuk Unit Falak Majlis Agama dan Adat Istiada Kelantan untuk mencerap anak bulan.

Pada waktu ini, Maggi Ketam Cherang Ruku lebih popular berbanding Bukit Perkasi. Sebenarnya terdapat cerita orang bahawa di bukit ini terdapat sebuah gua, namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dinyatakan pintu masuk gua telah diruntuhkan.

Pemandangan dari atas Bukit Peraksi



Bulan Terbelah Dua...



اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانشَقَّ الْقَمَرُ وَإِن يَرَوْا آيَةً يُعْرِضُوا وَيَقُولُوا سِحْرٌ مُّسْتَمِرٌّ

"Telah dekat saat itu (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. Dan Kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil terus berkata; (ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.

Al-Qamar 54 : 1-2

Ayat ini telah Allah s.w.t. turunkan terhadap satu peristiwa yang berlaku antara Baginda Rasulullah s.a.w. dengan orang-orang kafir Quraisy di mana peristiwa ini berlaku di Kota Mekah sebelum peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w ke Kota Madinah. 

Dalam Bukhari dan Muslim, juga dalam kitab-kitab hadis yang terkenal lainnya, di riwayatkan bahwa sebelum Rasulullah saw hijrah, tokoh-tokoh kafir Quraisy, seperti Abu Jahal, Walid bin Mughirah dan Al ‘Ash bin Qail telah meminta kepada Nabi Muhammad saw untuk membelah bulan.

Kata mereka:
“Seandainya kamu benar2 seorang nabi, maka belahlah bulan menjadi dua.”

Rasulullah s.a.w berkata kepada mereka:
“Apakah kalian akan masuk Islam jika aku sanggup melakukannya?”

Mereka menjawab:
 “Ya.”

Lalu Rasulullah saw berdoa kepada Allah agar bulan terbelah menjadi dua. Rasulullah saw memberi isyarat dengan jarinya, maka bulan pun terbelah menjadi dua. Selanjutnya sambil menyebut nama setiap orang kafir yang hadir,

Rasulullah s.a.w berkata:
“Hai Fulan, bersaksilah kamu. Hai Fulan, bersaksilah kamu.”

Demikian jauh jarak belahan bulan itu sehingga gunung Hira nampak berada diantara keduanya. Akan tetapi orang2 kafir yang hadir berkata, “Ini sihir!” padahal semua orang yang hadir menyaksikan pembelahan bulan tersebut dengan jelas.

Bagi membuktikan kebenaran berkenaan peristiwa terbelahnya bulan itu, kaum Quraisy Mekah telah bertanya kepada orang yang pulang dari pengembaraan dengan menunggu pengembara-pengembara tersebut di luar Kota Mekah. Apabila mereka bertemu dengan rombongan yang dalam perjalanan ke Kota Mekah mereka lantas bertanya:
“Adakah kalian melihat sesuatu yang aneh dengan bulan?”

Wakil rombongan itu menjawab:
“Ya, benar. Pada malam yang lepas kami melihat bulan terbelah menjadi dua dan saling menjauh dan kemudian bersatu kembali…”

Diriwayatkan separuh dari kaum musyrikin itu beriman kepada Allah s.w.t. manakala sebahagian lagi tetap ingkar dan tinggal dalam kekafiran.


Bukti Fizikal
Peristiwa Bulan Terbelah berlaku 1400 tahun yang lalu dan ia dikisahkan dalam al-Quran. Kaum Muslimin sudah semestinya mempercayai kisah tersebut, bagaimanapun bagi bukan muslim, mereka tidak mengetahui akan peristiwa ini telah tercatat dalam Quran, malah menempelak kisah tersebut dan hanya menganggap ia sengaja diada-adakan.

Semenjak terciptanya telescope oleh ahli Astronomi, mereka telah mengesan bukti bulan pernah terbelah dua semenjak 200 tahun yang lalu dengan terbentuknya 3 jenis lekukan di permukaan bulan.

NASA telah menjalankan ekspedisi di bulan dan mereka telah mengesahkan :

“Kami menemukan secara pasti dari batuan-batuan yang terpisah dan terpotong di permukaan bulan sampai ke dalam (perut) bulan. Kami telah meminta pakar geologi untuk menelitinya, dan mereka mengatakan, Hal ini tidak mungkin bisa terjadi kecuali jika memang bulan pernah terbelah lalu menyatu kembali”

Kesan "pembelahan dan percantuman bulan"

Kesan Bulan Terbelah

Monday 29 June 2015

Puteri Saadong Kisah Lagenda Ulung Kelantan : Sejarah Silam

Pendahuluan
Mei lepas (2015) kami telah mengisahkan berkenaan Siti Zubaidah yang juga dikenali sebagai Puteri Saadong II yang terkenal dalam Syair Zubaidah Perang China. Kisah beliau juga telah diadaptasi kepada bentuk filem dengan tajuk Siti Zubaidah pada tahun 1961. Penulisan kali ini pula kami akan mengetengahkan kisah Puteri Saadong III yang begitu sinonim dengan rakyat Kelantan.

Kalau di amati, kisah Puteri Saadong II dengan Puteri Saadong III mempunyai persamaan iaitu pengorbanan seorang isteri kepada suaminya, bagaimanapun latar kedua-dua kisah lagenda Kelantan ini mempunyai perbezaan ketara, yang menjadi persamaan adalah semangat kepahlawanan dan kebijaksanaan srikandi Melayu Kelantan ini dalam mempertahankan maruah diri dan suami.

Latar Belakang
Nama tubuhnya adalah Puteri Mariam merupakan puteri kepada Raja Loyor (Sultan Adiluddin) yang memerintah di Kota Jembal untuk tempoh 1579 - 1597 dan 1602 - 1605. Pada masa ini di Kelantan merupakan sebahagian daripada Kerjaan Patani Besar yang bangkit menggantikan Empayar Melaka yang musnah selepas penaklukan oleh Portugis pada 1511. Keadaan telah mewujudkan beberapa  negara kota yang diperintah oleh Raja yang tersendiri di Kelantan, antaranya:
  • Kota Jembal (Datu Kelantan - bagi pihak Patani)
  • Negeri Chermin (Kesultanan Kelantan)
  • Cherang Tegayong (Pimpinan Paduka Chik [Cik Siti] Wan Kembang)
Raja Loyor merupakan putera kepada Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzzafar, baginda dilantik sebagai Wakil Kesultanan Patani  ke Kelantan  oleh Sultan Patani iaitu Sultan Muhammad Syah sebagai Datu Kelantan  dan memerintah Kelantan secara bersama dengan Sultan Mansur Syah, Raja Chermin (kerajaan tua Kelantan) pada 1520.

Baginda tidak mempunyai putera, hanya dikurniakan dua orang puteri iaitu:
  • Puteri Dalula dan
  • Puteri Mariam (Puteri Saadong)
Puteri Dalula telah berkahwin dengan Pemangku Raja Campa manakala Puteri Mariam yang lebih terkenal dengan nama Puteri Saadong telah diambil sebagai anak angkat semenjak dari kecil oleh Paduka Chik Wan Kembang memandangkan baginda tidak mempunyai zuriat. Dari satu sudut peristiwa penyerahan Puteri Saadong oleh Raja Loyor kepada Paduka Chik Wan Kembang sebagai anak angkat boleh dianggap sebagai satu usaha untuk menjalinkan hubungan yang kekal antara dua negara kota di Kelantan, seterusnya mengimbangkan keadaan pemerintahan di Kelantan yang ketika itu dilihat agak malap dan lemah kerana pada masa itu tiada kerajaan yang solid untuk mempertahankan negeri yang sering diancam oleh Siam.

Puteri Saadong akhirnya membesar dengan selayaknya sebagai seorang Puteri, dan baginda telah dikurniakan kejelitaan yang dikatakan tiada tolok bandingnya. Kecantikan baginda telah menjadi buah mulut ramai hingga sampai kepada pengetahuan Raja Siam iaitu Ekathotsarot yang lebih dikenali sebagai Sanpet III dalam Sejarah Negara Thai. Raja Siam itu telah menghantar rombongan diRaja untuk meminang Puteri Saadong, tetapi pinangan tersebut telah ditolak oleh Paduka Chik Wan Kembang.

Serangan Siam
Menyedari sesuatu yang buruk akan berlaku ekoran penolakan pinangan Raja Siam, baginda telah mengambil keputusan untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah, mereka berdua sebenarnya adalah sepupu dimana Raja Abdullah merupakan putera kepada Raja Ekok yang juga saudara kepada Raja Loyor. Setelah perkahwinan tersebut Paduka Chik Wan Kembang telah menabalkan Raja Abdullah sebagai Raja Kota Mahligai. 

Raja Siam masih tetap mahu memiliki Puteri Saadong walaupun baginda telah berkahwin dengan Raja Abdullah. Satu rombongan sami dan tentera Siam telah mengadap Raja Abdullah di Kota Mahligai untuk meminang Puteri Saadong, bagaimanapun langkah kurang ajar Siam itu telah dibantah keras oleh Raja Abdullah, akibatnya Kota Mahligai telah diserang oleh Tentera Siam. Raja Abdullah, Puteri Saadong dan Paduka Chik Wan Kembang telah menyelamatkan diri dan dikatakan berlindung sekitar Kampung Chetok, Pasir Mas. 

Tentera Siam telah berundur dan setelah keadaan reda, Raja Abdullah dan Puteri Saadong kembali ke Kota Mahligai, satu keadaan yang tidak dapat digambarkan. Kemusnahan yang telah berlaku sesudah serangan Siam itu hingga menyebabkan Puteri Saadong tertekan dengan keadaan tersebut. Tidak lama kemudian, mereka mendapat tahu Tentera Siam akan melakukan serangan kedua dengan jumlah tentera yang lebih ramai, waktu inilah Paduka Che Wan Kembang telah mengambil keputusan untuk pulang semua ke Gunung Chintawangsa meninggalkan Raja Abdullah dan Puteri Saadong untuk menyelesaikan urusan di Kota Mahligai.

Khabar tentang serangan yang akan dibuat oleh tentera Siam buat kali kedua keatas Kota Mahligai membuatkan rakyatnya bertambah cemas, sedangkan mereka masih trauma dengan serangan sebelum ini. Memandangkan nasib rakyatnya, Puteri Saadong telah bertitah agar dirinya diserahkan kepada Siam dengan syarat negeri dan rakyatnya dilindungi dari sebarang ancaman, Raja Abdullah yang buntu dikatakan tanpa berfikir panjang telah bersetuju.

Di Istana Siam
Setibanya Puteri Saadong di Istana, sambutan gilang gemilang telah diadakan. Bagaimanapun, Raja Siam telah jatuh sakit dengan dijangkiti penyakit kulit yang kronik. Setelah beberapa hari ketibaan puteri itu, barulah Raja Siam berangkat mengunjungi kediaman Puteri Saadong dengan diusung oleh para pengiringnya. Namun malang menimpa Raja Siam, penyakitnya bertambah-tambah apabila bertemu dengan Puteri Saadong hingga hilang kewarasan menahan penyakit kulitnya itu.

Dari pertemuan itu, ramai bomoh dan tabib telah mengadap untuk merawat penyakit yang sedang ditangung oleh Raja Siam, tetapi mereka tidak berjaya mengurangkan sakit Raja Siam itu dan ia makin bertambah apabila ia mendekati Puteri Saadong hingga menjejaskan pentadbiran kerajaan. Akhirnya, para Sami Budha berpendapat bahawa penyakit yang ditanggung oleh Raja mereka itu berpunca dengan kehadiran Puteri Saadong di istana itu.

Raja Siam sekali lagi bertemu dengan Puteri Saadong dan pada pertemuan itu mereka telah berjanji andai puteri dapat menyembuhkan penyakit kronik itu, Raja Siam akan membebaskan beliau dan negerinya daripada naungan Siam.

Di Kota Mahligai, Raja Abdullah yang sedang berduka lara ekoran pemergian permaisurinya ke Bangkok telah hilang akal dan menganggap isterinya itu telah berlaku curang. Tidak lama selepas itu beliau telah melanggar janji yang dilafaz bersama permaisurinya sebelum berangkat ke Istana Siam dengan melangsungkan perkahwinan dengan wanita lain.

Kuasa Tuhan yang esa, degan takdirNya setelah beberapa lama Puteri Saadong merawat Raja Siam maka telah sembuh penyakit yang ditanggung dan sebagai ganjarannya, Raja Siam telah menghantar pulang Puteri Saadong ke Kota Mahligai dengan menaiki kapal laut Siam yang paling ampuh.

Peristiwa Berdarah
Setibanya di Kota Mahligai, baginda mendapati suaminya Raja Abdullah telah berkahwin dengan wanita lain dan memungkiri janji mereka sebelum ini. Remuk hati baginda, kerana telah menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada janji mereka dan mengorbankan segala-galanya demi mempertahankan negeri, rakyat dan juga maruah suaminya. Alasan berlaku curang dijadikan punca kenapa suaminya itu berkahwin lain, dan ia tidak boleh diterima oleh Puteri Saadong. Berlakulah perisitwa pertengkaran antara mereka dan Puteri Saadong mula hilang pertimbangan telah menikam Raja Abdullah dengan cucuk sanggulnya.

Setelah peristiwa tersebut, Puteri Saadong telah menyerahkan kuasa pentadbiran Kota Mahligai kepada Raja Rahim, iparnya dan memincilkan diri di Bukit Marak bersama pengiring-pengiringnya dan dijaga oleh hulubalangnya Awang Selamat. Lama baginda mengasingkan diri di Bukit Marak, baginda dikatakan merajuk setelah ramai rakyat Kota Mahligai tidak menjaga peralatan baginda dengan baik terutama pinggan mangkuk untuk kegunaan kenduri malah ada yang tidak memulangkannya. Baginda telah mengambil keputusan untuk berpindah dari Bukit Marak dan mengasingkan diri ke Gunung Ayam.

Penutup
Kisah Lagenda Puteri Saadong ini sebenarnya bercampur aduk antara fakta dan kisah lagenda. Tujuan utama ia dilakukan adalah untuk terus mengekalkan fakta-fakta seperti keturunan dan pemerintahan Kerajaan Kelantan lama agar ia terus diingati oleh rakyat, jadi penambahan cerita itu perkara biasa. Apa yang boleh dirumuskan dalam penulisan ini adalah, kisah Puteri Saadong ini adalah untuk merakam keadaan Kelantan pada ke-15 yakni selepas keruntuhan Empayar Melaka yang menyaksikan Patani telah bangkit menjadi sebuah kuasa baru di Semenanjung Tanah Melayu.

Pada masa tersebut ia mendapat ancaman daripada Siam dan terdapat juga kuasa-kuasa asing daripada Eropah terutama daripada Portugis dan Belanda. Kelantan pada masa itu pula telah berpecah belah, walaupun sautu masa ia adalah sebuah Kerajaan yang hebat.

Perkara inilah nenek moyang kita cuba sampaikan kepada kita dengan tujuan untuk kita mengetahui bahawa Kelantan ini pernah muncul sebagai peneraju di Semenanjung bagaimanapun ia kembali terancam ekoran kelemahan pentadbiran dan sikap suka berpuak-puak hingga mewujudkan beberapa negara kota dalam sebuah negeri. Justeru perpaduan menjadi teras utama dalam mengekalkan keamanan dan kesejahteraan dalam negeri atau negara.

Bukit Marak, tempat Puteri Saadong memecilkan diri setelah peristiwa berdarah yang menyaksikan suaminya terbunuh

Rujukan:
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2014/12/lagenda-che-siti-wan-kembang-1318-1348.html
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2014/12/lagenda-puteri-saadong.html
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2014/10/siri-22-pengisahan-sejarah-kelantan.html
  • http://sokmo.net/2015/01/28/lagenda-kelantan-puteri-saadong-pengorbanan-seorang-wanita/

Friday 19 June 2015

Sultanah Zainab Peneraju Tiga Sultan : Sejarah Silam


Pendahuluan
Sekitar Kelantan banyak diabadikan nama Sultanah Kelantan pada jalan, hospital mahupun sekolah paling banyak dinamakan sempena Sultanah Zainab seperti Hospital Besar Kota Bharu yang dinamakan sempena Raja Perempuan Zainab II dan Sekolah Menengah Zainab (SEMENZA) ada juga diabadikan pada nama jalan seperti Jalan Sultanah Zainab di Kota Bharu. Ramai beranggapan ia dinamakan merujuk Sultanah Zainab yang menjadi Raja Perempuan semasa pemerintahan almarhum Sultan Yahya Petra, bagaimanapun dalam lipatan sejarah Kelatan terdapat sekurang-kurangnya tiga orang Sultanah Kelantan yang memakai gelaran Sultanah Zainab.

Maksud Nama Zainab
Ia adalah nama bagi puteri dan anak sulung Rasulullah s.a.w hasil perkahwinan dengan Siti Khadijah. Beliau adalah seorang wanita yang tabah dan cekal mengharungi rintangan pada awal penyebaran Islam di Tanah Arab. Seterusnya kisah hidup beliau telah didambakan oleh seluruh Muslimin, dan ia tidak ketinggalan diabadikan pada golongan bangsawan seluruh Dunia Islam termasuk di Kelantan. Dari segi harafiah Zainab adalah nama dalam Bahasa Arab yang membawa maksud pokok yang indah dan wangi dan ia amat sesuai diabadikan pada anak perempuan, justeru ia telah menjadi pilihan untuk dinamakan kepada ketiga-tiga Sultanah Kelantan.

Sultanah Zainab Wan Muhammad Amin
Baginda dilahirkan pada1877 di Kota Bharu dan diberi nama Nik Wan Zainab binti Nik Wan Muhammad Amin. Membesar dikalangan golongan bangsawan sehinggalah tahun 1888 beliau telah dijodohkan dengan Tengku Long Senik, putera sulung kepada SultanMuhammad III  yang juga Raja Muda kepada Sultan Mansur ketika berusia 11 tahun mankala Long Senik pula pada masa tersebut berusia 18 tahun.

Pada 1900, Tengku Long Senik telah ditabal sebagai Raja Kelantan dengan gelaran Yang diPertuan Kelantan, manakala Nik Wan Zainab yang merupakan isteri pertama dan sangat dikasihi oleh Tengku Long Senik. Baginda ditabalkan sebagai Permaisuri. Seterusnya pada 1911,  Tengku Long Senik telah dimasyhurkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad IV dan permaisurinya digelar sebagai Sultanah Zainab.

Hasil perkahwinan beliau dengan Sultan Muhammad IV telah dikurniakan 8 orang putera dan puteri seperti berikut:

  • TengkuIsmail, Tengku Sri Indra Mahkota
  • Tengku Ibrahim
  • Tengku Mohamad Daud
  • Tengku Muhammad
  • Tengku Yusuf
  • Tengku Kembang Petri
  • Tengku Zainab II
  • Tengku Embong

Lapan tahun selepas kemangkatan alMarhum Sultan Muhammad IV pada 1920, Sultanah Zainab pula telah mehembuskan nafas terakhirnya pada usia 51 tahun pada 23 Julai 1928 di Istana Balai Besar dan disemadikan bersebelahan dengan makam suaminya di Makam diRaja Langgar. Bagi mengenang jasa baginda, sebatang jalan yang panjang dan yang penting di Kota Bharu telah dinamakan sempena namanya iaitu Jalan Sultanah Zainab yang bermula dari Padang Bank (padang merdeka) sampai ke Simpang Tiga Jalan Gajah Mati, tetapi ia kemudian dilanjutkan dari Pandang Bank ke Simpang Tiga Kubang Pasu dan dari Simpang Tiga Jalan Gajah Mati ke Simpang Tiga Kampung Sireh. Bagaimanapun pada 1985, simpang tersebut sudah tidak wujud berikutan sebatang jalan menghala ke Jalan Kuala Krai telah ditutup untuk projek Kota Darulnaim yang menempatkan kompleks pejabat-pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Gambar Keluarga Sultan Muhammad IV pada tahun 1900
Dari Kiri, Tengku Ismail, Tengku Embong dan Tengku Ibrahim


Sultanah Zainab Tengku Zainal Abidin
Sultanah Zainab, Raja Perempuan I
(1944-1960)
Baginda merupakan puteri kepada Tengku Long Zainal Abidin ibni Sultan Muhammad III adinda kepada Sultan Muhammad IV.  Baginda dilahirkan pada 1897 di Kota Bharu, merupakan puteri Long Zainal dengan Tengku Besar, sewaktu berusia 17 tahun baginda telah dianugerahkan gelaran Tengku Embong membawa pangkat Yang Amat Mulia pada 6 Julai 1914 setelah berkahwin dengan Tengku Ibrahim ibni Sultan Muhammad IV.

Baginda telah dimahkotakan sebagai Raja Perempuan Kelantan yang pertama setelah suaminya, Tengku Ibrahim ditabalkan sebagai Raja Kelantan dengan gelaran Paduka Sri SultanIbrahim Petra menggantikan kekandanya alMarhum Sultan Ismail I yang mangkat tidak berputera pada 21 Jun 1944.

Perkongsian hidup baginda dengan almarhum Sultan Ibrahim telah dikurniakan seorang zuriat sahaja yang kemudiannya lahir menjadi pemimpin Kelantan dan Malaysia iaitu Tengku Tan Sri Abdullah.

Tengku Tan Sri Abdullah pernah dianugerahkan gelaran Tengku Besar Indera Petra yang berkedudukan sebagai Putera Mahkota Kelantan, bagaimanapun atas sebab-sebab yang tidak dapat dijelaskan, gelaran tersebut telah dilucutkan dan kedudukan putera mahkota telah disandang oleh Tengku Yahya Petra adik tiri beliau.

Selain itu, Sultanah Zainab juga merupakan bonda saudara kepada Tengku Tan Sri Razaleigh Ibni Almarhum Tengku Muhammad Hamzah. Baginda merupakan kekanda kepada Tengku Muhammad Hamzah Ibni Tengku Zainal Abidin. Baginda juga merupakan bonda saudara kepada bonda Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid iaitu YBM Tengku Hajah Azizah Binti Tengku Muhammad Hamzah. Ini secara tidak langsung menjadikan Sultanah Zainab nenda saudara kepada Tengku Anis.

Baginda menjadi Raja Perempuan Kelantan selama 16 tahun sehinggalah kemangkatan Sultan Ibrahim pada 9 Julai 1960. Anakanda tiri baginda Tengku Yahya Petra dilantik menjadi Sultan Kelantan dengan bergelar Sultan Yahya Petra. Baginda juga sempat melihat cucunda baginda KDYMM Sultan Ismail Petra menaiki takhta negeri Kelantan pada tahun 1979 setelah kemangkatan Sultan Yahya Petra. Sultanah Zainab mangkat pada 28 September 1985 ketika berusia 88 tahun dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar Kota Bharu Kelantan.

Bidang pedidikan adalah suatu yang amat diminati sepajang hayatnya. Pada tahun 1937, sewaktu masih belum bergelar Raja Perempuan Kelantan, baginda telah menubuhkan Government Girls English School khas untuk kerabat diRaja dan golongan atasan di Kelantan. Pada awalnya ia menggunakan Rumah Residen British yang terletak di Jalan Merbau sebagai sekolah. Selepas Perang Dunia Kedua Tamat, sekolah ini telah dinamakan sempena nama beliau, dan ia terus dikenali sebagai Sekolah Zainab. Pada 8 Januari 1957, sekolah ini telah dipindahkan daripada Jalan Merbau ke lokasi sekarang di Jalan Telipot.

Sultanah Zainab diiringi oleh Pengetua Sekolah Zainab, Miss Halle 
sewaktu majlis perasmian sekolah baru di Jalan Telipot pada 1957.
Sultanah Zainab bersama besan baginda DYMM Sultan Hisamuddin, 
menantu baginda Tengku Zainab dan cucunda baginda Sultan Ismail Petra 
semasa Istiadat Pemakaman Sultan Ibrahim tahun 1960.


Sultanah Zainab Tengku Muhammad Petra
Raja Perempuan Zainab II
Baginda merupakan permaisuri kepada alMarhum Sultan Yahya Petra dan merupakan bonda kepada baginda Sultan Ismail Petra seterusnya nenda kepada Sultan Muhammad V. Baginda diputerikan pada hari Rabu 7 Ogos 1917. Ayahanda baginda bernama Tengku Muhammad Petra (Tengku Sri Utama Raja) dan bonda baginda pula ialah Tengku Kembang Petri (Tengku Maharani Petri) iaitu puteri kepada alMarhum Baginda Sultan Muhammad IV.

Semenjak dari kecil beliau telah di didik oleh kedua ayahanda dengan bondanya dengan penuh tertib dan sopan dengan tingkah laku mulia sebagai seorang puteri Raja Melayu, disamping itu baginda juga menerima pendidikan agama Islam dari guru dan ulama Kelantan yang terkenal pada masa itu.

Ketika berusia 22 tahun, baginda telah dijodohkan dengan Tengku Yahya Petra ibni alMarhum Sultan Ibrahim pada 4 Jun 1939. Hasil perkongsian baginda dengan Sultan Yahya Petra tela dikurniakan 7 orang zuriat, iaitu seorang putera dan enam orang puteri, bagaimanapun dua orang puteri baginda telah mangkat sejak masih kecil lagi. Berikut putera dan puteri baginda:
  • Tengku Ismail (Sultan Ismail Petra)
  • Tengku Merjana
  • Tengku Rozan
  • Tengku Sharifah Salwani
  • Tengku Rohani

Baginda telah dianugerahkan dengan gelaran Tengku Ampuan Mahkota pada 9 Ogos 1956 oleh alMarhum Sultan Ibrahim sendiri dan pada tarikh yang sama baginda juga telah dianugerahkan dengan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia Peringkat Pertama (S.P.M.K)

Bgainda dilantik menjadi Raja Permpuan Kelantan II pada 10 Julai 1960 serentak dengan perlantikan KDYMM  Baginda Tengku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim sebagai Sultan dan Yang diPertuan bagi Negeri Kelantan Darulnaim. Pada waktu yang sama juga Baginda telah dianugerahkan dengan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K) sempena dengan Hari Ulangtahun yang pertama Keputeraan KDYMM Baginda Sultan Yahya Petra.

Raja Perempuan Zainab adalah seorang yang pemurah dan mempunyai kasihab belas terhadap hamba rakyat sekalian dan sewaktu Baginda menjadi Raja Perempuan, baginda amat peka dengan kerja-kerja amal kebajikan yang berfaedah kepada orang ramai. Baginda pernah memimpin beberapa badan sukarela seperti Pengelola Negeri Tabung Rayuan Derma Bunga Merah dan Yang di Pertua Persekutuan Pandu Puteri Negeri Kelantan. Pada usia 75 tahun, baginda telah menghembuskan nafas terakhir di Istana Negeri, Kubang Kerian pada 9 Januari 1992. Jenazahnya dimakamkan di makam diRaja Langgar, Kota Bharu.

Mengenang jasa dan pengelibatan baginda dalam kerja-kerja kemasyarakatan, pihak pengurusan Hospital Besar Kota Bharu telah mengambil nama baginda untuk diabadikan pada Hospital terulung di Kelantan itu dan ia mula dikenali sebagai Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 5 September 2005.

Gambar Keluarga KDYMM Sultan Yahya Petra dan Sultanah Zainab
Berdiri dari Kiri : YAM Tengku Rozan, YAM Tengku Salwani dan YAM Tengku Marjan.
Duduk dari Kiri : YTM Tengku Ismail Petra, KDYMM Sultan Yahya, DYMM Raja Perempuan Zainab, 
YAM Tengku Rohani

AL FATIHAH


Rujukan:
  • [Buku] Keluarga diRaja Kelantan
  • Royal Ark.net
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Kelantan
  • http://radin87.blogspot.nl/2010/10/raja-perempuan-of-kelantan.html
  • https://syukury.wordpress.com/2012/05/15/raja-raja-perempuan-kelantan-bermula-dari-tahun-1920/
  • http://warisanpermaisuri.blogspot.nl/2013/12/almarhum-raja-perempuan-kelantan.html
  • http://www.geni.com/people/Raja-Perempuan-Zainab-1-Nik-Zainab-Nik-Amin-27/5590998486960057232


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...