SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday, 29 June 2015

Puteri Saadong Kisah Lagenda Ulung Kelantan : Sejarah Silam

Pendahuluan
Mei lepas (2015) kami telah mengisahkan berkenaan Siti Zubaidah yang juga dikenali sebagai Puteri Saadong II yang terkenal dalam Syair Zubaidah Perang China. Kisah beliau juga telah diadaptasi kepada bentuk filem dengan tajuk Siti Zubaidah pada tahun 1961. Penulisan kali ini pula kami akan mengetengahkan kisah Puteri Saadong III yang begitu sinonim dengan rakyat Kelantan.

Kalau di amati, kisah Puteri Saadong II dengan Puteri Saadong III mempunyai persamaan iaitu pengorbanan seorang isteri kepada suaminya, bagaimanapun latar kedua-dua kisah lagenda Kelantan ini mempunyai perbezaan ketara, yang menjadi persamaan adalah semangat kepahlawanan dan kebijaksanaan srikandi Melayu Kelantan ini dalam mempertahankan maruah diri dan suami.

Latar Belakang
Nama tubuhnya adalah Puteri Mariam merupakan puteri kepada Raja Loyor (Sultan Adiluddin) yang memerintah di Kota Jembal untuk tempoh 1579 - 1597 dan 1602 - 1605. Pada masa ini di Kelantan merupakan sebahagian daripada Kerjaan Patani Besar yang bangkit menggantikan Empayar Melaka yang musnah selepas penaklukan oleh Portugis pada 1511. Keadaan telah mewujudkan beberapa  negara kota yang diperintah oleh Raja yang tersendiri di Kelantan, antaranya:
  • Kota Jembal (Datu Kelantan - bagi pihak Patani)
  • Negeri Chermin (Kesultanan Kelantan)
  • Cherang Tegayong (Pimpinan Paduka Chik [Cik Siti] Wan Kembang)
Raja Loyor merupakan putera kepada Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzzafar, baginda dilantik sebagai Wakil Kesultanan Patani  ke Kelantan  oleh Sultan Patani iaitu Sultan Muhammad Syah sebagai Datu Kelantan  dan memerintah Kelantan secara bersama dengan Sultan Mansur Syah, Raja Chermin (kerajaan tua Kelantan) pada 1520.

Baginda tidak mempunyai putera, hanya dikurniakan dua orang puteri iaitu:
  • Puteri Dalula dan
  • Puteri Mariam (Puteri Saadong)
Puteri Dalula telah berkahwin dengan Pemangku Raja Campa manakala Puteri Mariam yang lebih terkenal dengan nama Puteri Saadong telah diambil sebagai anak angkat semenjak dari kecil oleh Paduka Chik Wan Kembang memandangkan baginda tidak mempunyai zuriat. Dari satu sudut peristiwa penyerahan Puteri Saadong oleh Raja Loyor kepada Paduka Chik Wan Kembang sebagai anak angkat boleh dianggap sebagai satu usaha untuk menjalinkan hubungan yang kekal antara dua negara kota di Kelantan, seterusnya mengimbangkan keadaan pemerintahan di Kelantan yang ketika itu dilihat agak malap dan lemah kerana pada masa itu tiada kerajaan yang solid untuk mempertahankan negeri yang sering diancam oleh Siam.

Puteri Saadong akhirnya membesar dengan selayaknya sebagai seorang Puteri, dan baginda telah dikurniakan kejelitaan yang dikatakan tiada tolok bandingnya. Kecantikan baginda telah menjadi buah mulut ramai hingga sampai kepada pengetahuan Raja Siam iaitu Ekathotsarot yang lebih dikenali sebagai Sanpet III dalam Sejarah Negara Thai. Raja Siam itu telah menghantar rombongan diRaja untuk meminang Puteri Saadong, tetapi pinangan tersebut telah ditolak oleh Paduka Chik Wan Kembang.

Serangan Siam
Menyedari sesuatu yang buruk akan berlaku ekoran penolakan pinangan Raja Siam, baginda telah mengambil keputusan untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah, mereka berdua sebenarnya adalah sepupu dimana Raja Abdullah merupakan putera kepada Raja Ekok yang juga saudara kepada Raja Loyor. Setelah perkahwinan tersebut Paduka Chik Wan Kembang telah menabalkan Raja Abdullah sebagai Raja Kota Mahligai. 

Raja Siam masih tetap mahu memiliki Puteri Saadong walaupun baginda telah berkahwin dengan Raja Abdullah. Satu rombongan sami dan tentera Siam telah mengadap Raja Abdullah di Kota Mahligai untuk meminang Puteri Saadong, bagaimanapun langkah kurang ajar Siam itu telah dibantah keras oleh Raja Abdullah, akibatnya Kota Mahligai telah diserang oleh Tentera Siam. Raja Abdullah, Puteri Saadong dan Paduka Chik Wan Kembang telah menyelamatkan diri dan dikatakan berlindung sekitar Kampung Chetok, Pasir Mas. 

Tentera Siam telah berundur dan setelah keadaan reda, Raja Abdullah dan Puteri Saadong kembali ke Kota Mahligai, satu keadaan yang tidak dapat digambarkan. Kemusnahan yang telah berlaku sesudah serangan Siam itu hingga menyebabkan Puteri Saadong tertekan dengan keadaan tersebut. Tidak lama kemudian, mereka mendapat tahu Tentera Siam akan melakukan serangan kedua dengan jumlah tentera yang lebih ramai, waktu inilah Paduka Che Wan Kembang telah mengambil keputusan untuk pulang semua ke Gunung Chintawangsa meninggalkan Raja Abdullah dan Puteri Saadong untuk menyelesaikan urusan di Kota Mahligai.

Khabar tentang serangan yang akan dibuat oleh tentera Siam buat kali kedua keatas Kota Mahligai membuatkan rakyatnya bertambah cemas, sedangkan mereka masih trauma dengan serangan sebelum ini. Memandangkan nasib rakyatnya, Puteri Saadong telah bertitah agar dirinya diserahkan kepada Siam dengan syarat negeri dan rakyatnya dilindungi dari sebarang ancaman, Raja Abdullah yang buntu dikatakan tanpa berfikir panjang telah bersetuju.

Di Istana Siam
Setibanya Puteri Saadong di Istana, sambutan gilang gemilang telah diadakan. Bagaimanapun, Raja Siam telah jatuh sakit dengan dijangkiti penyakit kulit yang kronik. Setelah beberapa hari ketibaan puteri itu, barulah Raja Siam berangkat mengunjungi kediaman Puteri Saadong dengan diusung oleh para pengiringnya. Namun malang menimpa Raja Siam, penyakitnya bertambah-tambah apabila bertemu dengan Puteri Saadong hingga hilang kewarasan menahan penyakit kulitnya itu.

Dari pertemuan itu, ramai bomoh dan tabib telah mengadap untuk merawat penyakit yang sedang ditangung oleh Raja Siam, tetapi mereka tidak berjaya mengurangkan sakit Raja Siam itu dan ia makin bertambah apabila ia mendekati Puteri Saadong hingga menjejaskan pentadbiran kerajaan. Akhirnya, para Sami Budha berpendapat bahawa penyakit yang ditanggung oleh Raja mereka itu berpunca dengan kehadiran Puteri Saadong di istana itu.

Raja Siam sekali lagi bertemu dengan Puteri Saadong dan pada pertemuan itu mereka telah berjanji andai puteri dapat menyembuhkan penyakit kronik itu, Raja Siam akan membebaskan beliau dan negerinya daripada naungan Siam.

Di Kota Mahligai, Raja Abdullah yang sedang berduka lara ekoran pemergian permaisurinya ke Bangkok telah hilang akal dan menganggap isterinya itu telah berlaku curang. Tidak lama selepas itu beliau telah melanggar janji yang dilafaz bersama permaisurinya sebelum berangkat ke Istana Siam dengan melangsungkan perkahwinan dengan wanita lain.

Kuasa Tuhan yang esa, degan takdirNya setelah beberapa lama Puteri Saadong merawat Raja Siam maka telah sembuh penyakit yang ditanggung dan sebagai ganjarannya, Raja Siam telah menghantar pulang Puteri Saadong ke Kota Mahligai dengan menaiki kapal laut Siam yang paling ampuh.

Peristiwa Berdarah
Setibanya di Kota Mahligai, baginda mendapati suaminya Raja Abdullah telah berkahwin dengan wanita lain dan memungkiri janji mereka sebelum ini. Remuk hati baginda, kerana telah menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada janji mereka dan mengorbankan segala-galanya demi mempertahankan negeri, rakyat dan juga maruah suaminya. Alasan berlaku curang dijadikan punca kenapa suaminya itu berkahwin lain, dan ia tidak boleh diterima oleh Puteri Saadong. Berlakulah perisitwa pertengkaran antara mereka dan Puteri Saadong mula hilang pertimbangan telah menikam Raja Abdullah dengan cucuk sanggulnya.

Setelah peristiwa tersebut, Puteri Saadong telah menyerahkan kuasa pentadbiran Kota Mahligai kepada Raja Rahim, iparnya dan memincilkan diri di Bukit Marak bersama pengiring-pengiringnya dan dijaga oleh hulubalangnya Awang Selamat. Lama baginda mengasingkan diri di Bukit Marak, baginda dikatakan merajuk setelah ramai rakyat Kota Mahligai tidak menjaga peralatan baginda dengan baik terutama pinggan mangkuk untuk kegunaan kenduri malah ada yang tidak memulangkannya. Baginda telah mengambil keputusan untuk berpindah dari Bukit Marak dan mengasingkan diri ke Gunung Ayam.

Penutup
Kisah Lagenda Puteri Saadong ini sebenarnya bercampur aduk antara fakta dan kisah lagenda. Tujuan utama ia dilakukan adalah untuk terus mengekalkan fakta-fakta seperti keturunan dan pemerintahan Kerajaan Kelantan lama agar ia terus diingati oleh rakyat, jadi penambahan cerita itu perkara biasa. Apa yang boleh dirumuskan dalam penulisan ini adalah, kisah Puteri Saadong ini adalah untuk merakam keadaan Kelantan pada ke-15 yakni selepas keruntuhan Empayar Melaka yang menyaksikan Patani telah bangkit menjadi sebuah kuasa baru di Semenanjung Tanah Melayu.

Pada masa tersebut ia mendapat ancaman daripada Siam dan terdapat juga kuasa-kuasa asing daripada Eropah terutama daripada Portugis dan Belanda. Kelantan pada masa itu pula telah berpecah belah, walaupun sautu masa ia adalah sebuah Kerajaan yang hebat.

Perkara inilah nenek moyang kita cuba sampaikan kepada kita dengan tujuan untuk kita mengetahui bahawa Kelantan ini pernah muncul sebagai peneraju di Semenanjung bagaimanapun ia kembali terancam ekoran kelemahan pentadbiran dan sikap suka berpuak-puak hingga mewujudkan beberapa negara kota dalam sebuah negeri. Justeru perpaduan menjadi teras utama dalam mengekalkan keamanan dan kesejahteraan dalam negeri atau negara.

Bukit Marak, tempat Puteri Saadong memecilkan diri setelah peristiwa berdarah yang menyaksikan suaminya terbunuh

Rujukan:
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2014/12/lagenda-che-siti-wan-kembang-1318-1348.html
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2014/12/lagenda-puteri-saadong.html
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2014/10/siri-22-pengisahan-sejarah-kelantan.html
  • http://sokmo.net/2015/01/28/lagenda-kelantan-puteri-saadong-pengorbanan-seorang-wanita/
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...