SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday, 3 February 2015

Besut Sebahagian Kelantan??

Pendahuluan
Besut dan Jerteh adalah daerah Terengganu yang bersempadan dengan Jajahan Pasir Puteh, Kelantan. Ramai yang maklum Terengganu mempunyai dialek tersendiri sepertimana orang-orang Kelantan. Satu kehairanan bagi orang-orang Kelantan dan juga orang Terengganu sendiri berkenaan orang-orang Besut dan Jerteh kerana dari segi sempadan kedua daerah ini terletak dalam Negeri Terengganu Darul Iman, tetapi mereka bertutur Dialek Kelantan. Justeru, ramai orang Kelantan menyangka kedua-dua daerah Terengganu itu asalnya sebahagian Kelantan.

Sejarah Besut dan Jerteh mengikut versi lisan masyarakat di Kelantan menyatakan kedua-dua daerah itu menjadi bahagian Terengganu kerana Kelantan tewas dalam sabung ayam, berikut dari itu tercetus juga peperangan antaran Kelantan dengan Terengganu berebutkan dua daerah tersebut. Kisah inilah diturunkan temurun hingga menimbulkan salah faham dikalangan khalayak umum. Rekod Kelantan tidak menyatakan dengan jelas pemilikkan daerah Besut ini, dalam versi sejarah Kelantan dikenali dengan nama Negeri Kerat Lintang menyatakan Long Yunus diberi kuasa memerintah dari Kuala Kemasin, Kota Bharu, Tabal, hingga ke Bukit Tanjung (Narathiwat) manakala Long Ghafar memerintah dari Limbat hingga ke Jeram (Pasir Puteh), Besut tidak dinyatakan.

Sejarah Besut
Penamaan daerah ini sebagai Besut mempunyai pelbagai versi, ada menyatakan nama Besut ini nama Siam yang bermaksud  Daerah Pengkahiran dengan BE bermaksud daerah dan SUT membawa maksud Hujung atau Pengkahiran. Versi masyarakat setempat di Besut pula menyatakan bahawa, pada satu masa, terdapat Ketua Lanun dari kalangan Orang Darat, mereka sangat ganas dan kejam hingga tidak ramai yang tinggal di kawasan tersebut. Ketua Lanun itu bergelar BESUT dan juga dikenali sebagai Raja Sang Nyana, setelah kematian beliau, kumpulan Orang Darat tersebut menggelar tempat tinggal mereka itu sempena nama Raja mereka iaitu BESUT.

Catatan rasmi dalam Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan karangan Abdullah Munsyi dan Tuhfatulnafis karangan Raja Ali Haji yang mengisahkan sekumpulan pedagang dari Patani yang diketuai oleh Chik Wan Abdul Latif  (Cik Latif) telah datang ke Besut. Cik Latif dipercayai berasal dari Sumatera dan sudah biasa berdagang di Patani, beliau disebut telah berjaya memujuk Orang Darat untuk berpindah ke kawasan Hulu Besut dengan habuan segantang mata kail. Kemudian beliau dan orang-orangnya telah membina sebuah penempatan ditebing Sungai Besut dan diberi nama Palembang sempena nama negerinya di Sumatera dan ia menjadi pusat pentadbiran yang pertama untuk Besut sebelum berpindah ke Kampung Raja.

Setelah kematian Cik Latif, anaknya Cik Namat telah menjadi Ketua orang-orang di Kampung Palembang, Lanun-lanun yang berkubu di pulau sekitar Besut telah melancar serangan keatas Besut dan pentadbiran Cik Namat tidak berdaya untuk menangkis serangan ganas lanun yang diketuai oleh Panglima Ebeh dan Panglima Garang. Cik Nama telah meminta bantuan dari Terengganu yang pada masa itu dirajai oleh Sultan Mansur I dan pihak Terengganu tidak berkeberatan untuk membantu Besut. Baginda Sultan telah menghantar Tengku Kadir untuk mengetuai angkatan Terengganu bagi membenteras ancaman lanun tersebut seterusnya memaksa lanun tersebut berundur ke Pulau Perhentian.

Mengenang jasa Tengku Kadir, ayahandanya telah memberi kuasa kepada beliau untuk memerintah Besut, Cik Namat pula dilantik sebagai Orang Besar Besut serta mendapat hak keatas Pulau Rhu. Tengku Kadir telah mentadbir Besut dengan baik. beliau telah membina benteng dan kubu di sepanjang Sungai Besut selain itu telah membina penempatan baru dan dikenali sebagai Kampung Raja seterusnya menjadi pusat pentadbiran Besut. Setelah beliau mangkat, anakandanya, Tengku Ali sebagai Raja Besut, ketika pemerintahan beliaulah telah tercetusnya konflik antara Besut dan Terengganu yang dicatat dalam rekod Sejarah Terengganu sebagai Peperangan Besut.

Peperangan Besut
Perang ini tercetus pada 23 Syawal 1292H bersamaan 22 November 1875 ia dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati Tengku Ali kepada dasar pemerintahan Sultan Umar yang memerintah daerah-daerah secara langsung. Perkara ini jelas mencabar kekuasaan Tengku Ali ke atas Besut, sedangkan beliau sudah memerintah di situ selama 15 tahun tanpa campur tangan Kerajaan Negeri. Ekoran itu, Tengku Ali secara rahsia mendapatkan bantuan daripada Kelantan untuk menjatuhkan Sultan Umar di Kuala Terengganu. Sewaktu isiadat melantik Tengku Ahmad sebagai Yang diPertuan Muda Terengganu. Tengku Ali tidak menghadirkan diri dan perkara ini jelas diragui oleh baginda Sultan Omar, lantas menghantar rombongan ke Besut untuk mendapatkan penjelasan dari Tengku Ali. Rombongan tersebut mendapati Tengku Ali sedang mengumpulkan pasukan bersenjata dari Kelantan untuk menentang Sultan Umar.

Serentak dengan itu, Kerajaan Negeri Terengganu telah menghantar surat bantahan kepada pemerintah Siam di Singgora dan juga bantahan serta amaran  kepada Sultan Muhammad II supaya tidak mencampuri hal ehwal di Terengganu, khususnya di Besut. Sultan Umar juga telah menghantar Mufti Haji Wan Abdullah bin Muhammad Amin ke Kelantan untuk menyampaikan hasrat baginda yang tidak berhasrat hendak mengubah sempadan antara Kelantan-Terengganu. Sebelum ini Kelantan dan Terengganu telah terlibat dalam siri peperangan yang panjang dan kerana itu pihak Kesultanan Kelantan juga tidak berhasrat untuk terlibat dalam kancah peperangan lagi.

Kerajaan Terenganu telah menggerakkan 8000 askar mengikut darat dan laut diketuai oleh Panglima Besar Orang Kaya Megat Seri Mahkota Raja (Wan Abdul Rahman bin Idris) dan telah membedil Besut dari Laut, setelah angkatan ini mendarat di Besut, Tengku Ali telah melarikan diri ke Kelantan dan meinggal dunia di sana pada 9 Disember 1875. Pemerintahan Besut telah diwakilkan kepada Tengku Ngah dan kemudiannya diteruskan oleh Tengku Chik Haji anak kepada Tengku Kadir, setelah itu Besut berada dalam keadaan aman dan damai.

Penutup
Kesultanan Terengganu pada hari ini adalah dari susur galur dari Tun Zainal Abidin, putera kepada Tun Habib Abdul Majid Bendahara Seri Maharaja, Bendahara Johor ke-19, yang mana beliau juga telah menjadi anak angkat kepada Raja Mas Kelantan yang juga Raja Patani 1690-1707. Semasa menjadi anak angkat kepada Raja Patani inilah, beliau telah ditabalkan menjadi Raja Terengganu dengan gelaran Sultan Zainal Abidin. Apa konflik yang timbul pada zaman silam antara Kelantan dan Terengganu ia hanya menggambarkan kepada generasi sekarang bahawa, segala permasalahan haruslah diselesaikan dengan rundingan, siapa pun memerintah di antara Kelantan dan Terengganu mereka tetap bersaudara.

Sejarah adalah sesuatu untuk kita hayati, agar perkara yang berlaku pada masa silam tidak akan berlaku pada zaman kini dan juga masa hadapan. Lapangkan dada, teruskan kehidupan, dan sesekali toleh la ke belakang, andai menemui kesamaran.

Pulau Perhentian - Google Earth


Rujukan:
  • Buku : Sejarah Darul Iman Hingga 1337H = 1918M
  • https://jawinusantara.wordpress.com/2014/10/25/haji-umar-cik-ahmad-al-fathoni/
  • http://www.pulauperhentian.com.my/sejarahbesut.php
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...