SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday 7 February 2015

Dua Negeri Yang Hilang : Reman

Pendahuluan
1785, Patani telah ditakluk oleh Siam yang telah lama berusaha untuk menawan negeri terpenting selepas Melaka itu. Sultan Muhammad merupakan Raja Patani terakhir. Pada peringkat ini, Siam tidak menakluk terus Patani, yakni negeri ini boleh menjalankan pemerintahan sendiri walaupun Siam telah melaksanakan Undang-Undang Penakluk, Patani cuma perlu menghantar ufti kepada Kerajaan Siam. Setelah Sultan Muhammad mangkat dalam perang pada 1785 itu, Tengku Lamidin telah dilantik oleh Siam sebagai Raja Patani.

Beliau telah membina kembali Patani yang telah runtuh dengan melantik beberapa pembesar, antara lain melantik Datuk Pengkalan sebagai Perdana Menteri dan mentadbir dari Kota Gerisik. Tengku Lamidin pula membina istana di Kota Perawan, walaupun perlantikan beliau dibuat oleh Siam, tetapi jiwanya tetap mahu bangkit menentang penjajahan tersebut. 1791, Tengku Lamidin telah ditahan dan dibunuh oleh Siam kerana penentangannya telah menemui kegagalan ekoran pertahanan ampuh Siam di Pathalung.

Siam telah melantik Laksamana Dajang dari tentera Siam sebagai Raja Patani dan tugas beliau adalah untuk mengawal pergerakkan ketua dan pembesar Melayu di Patani. Ketika inilah Siam telah bertindak sesuka hati ke atas tanah dan harta benda orang Melayu di Patani hingga membangkitkan penentangan yang diketuai oleh Datuk Pengkalan pada 1808. Siam telah melancarkan serangan balas dan sekali lagi berjaya menewaskan orang-orang Melayu di Patani dan mereka telah memecahkan Patani kepada beberapa negeri kecil dan diperintah oleh bangsa Melayu dan Siam seperti berikut:
Negeri
Pemerintah
Patani
Tuan Sulung
Teluban 
Nik Dir
Nongchik
Tuan Nik
Jalor / Yala 
Tuan Yalor
Jambu / Yaring
Nai Pai
Rangae / Legeh
Nik Dah
Reman
Tuan Mansur
Asalnya semua negeri ini adalah negeri-negeri yang bersekutu membentuk Patani Besar, namun satu demi satu berpecah hinggalah ia dipecahkan oleh Siam pada 1808, begini juga perihalnya muncul Kesultanan Reman.

Reman 1808
Tuan Mansur adalah nama popular bagi Tuan Tok Nik Tok Leh beliau merupakan kerabat Patani yang telah diberi kepercayaan oleh Siam untuk memerintah pecahan Patani yang dikenali Reman. Perlantikan Siam pada masa itu membolehkan seseorang itu mendapat daulat dan kuasa untuk memerintah walaupun hasil masyhul negeri wajib diserahkan kepada Siam.

Satu versi mengenai Reman juga telah tersebar buat sekian lama yang mana mengatakan bahawa Reman asalnya sebahagian Patani yang terletak dalam wilayah Jalor dan Legeh, pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Raja Bakar, baginda telah melantik seorang pembesar bernama Tuan Mansur untuk mengawasi aktiviti perlombongan bijih timah oleh Cina-Hakka yang diketuai oleh Tan-Kannanurak. Inggeris sedar bahawa Reman mempunyai sumber bijih timah yang banyak, kerena itu mereka telah berkomplot dengan Tan Kannanurak untuk menghasut Tuan Mansur supaya mengisytiharkan kemerdekaan dari Patani. Berpunca dari perkara tersebut, Sultan Muhammad telah melancarkan serangan keatas Reman dan melakukan kepungan beberapa bulan lamanya, kesempatan ini telah diambil oleh Siam melancarkan serangan ke atas Patani dan buat pertama kalinya Siam berjaya mengalahkan Patani.

Bagaimanapun selepas Patani dipecahkan kepada 7 buah wilayah kecil, Tuan Mansur dilantik kembali sebagai Raja Reman dan ditabalkan semula pada 1810. Seterusnya negeri ini diperintah oleh perwaris dari Tuan Mansur, berikut salasilah Reman:
  • Tuan Tok Nik Tok Leh (1810-1836)
  • Tuan Nik Ulu@ Tuan Kundur (1849-1867)
  • Tuan Timur (1867-1875)
  • Tuan Jagung@ Tengku Abdul Kandis (1875-1901)
  • Tuan Lebeh (1902) *Ghaib

Tuan Lebeh Long Raya
Peperangan Perak dan Reman
Perang ini tercetus atas sebab tuntutan bertindih keatas kawasan yang hari ini dikenali sebagai Hulu Perak ia tercetus antara Reman dan Perak. Kawasan Hulu Perak asalnya adalah sebahagian Reman, manakala Reman adalah sebahagian daripada Patani yang sudah menjadi wilayah kekuasaan Siam. Orang Melayu Patani, adalah kelompok terawal mendiami serta mengusahakan kawasan tersebut, perkara ini membuatkan Raja Reman mendakwa kawasan tersebut sebahagian daripada wilayahnya. Seterusnya, Raja Reman telah ke Kelian Intan dan mengusahakan perlombongan bijih timah di kawasan tersebut. 

1826, Sultan Perak telah menandatangani Perjanjian Persahabatan dengan Kompeni Inggeris di Pulau Pinang. Selang beberapa lama, Sultan Perak telah menghantar satu pasukan askar diketuai oleh Dato Seri Lela untuk menyerang Reman secara mengejut dan mereka telah berjaya menumpaskan Reman. Beberapa tahun kemudian, Reman berjaya menawan kembali Kelian Intan dan Kroh. 

Kawasan Hulu Perak ini sangat luas, ia bermula dari selatan Patani hinggalah ke Kuala Temong, sebahagian kawasan ini termasuk dalam Negeri Reman, perkara ini mendatangkan kesulitan untuk mengusahakan kawasan tersebut yang kaya dengan Bijih Timah, untuk menyelesaikan permasalahan tersebut, Surahanjaya Campbell telah diwujudkan pada 1899 untuk melakukan siasatan dan seterusnya menyelesaikan pertikaian sempadan antara Reman dan Perak. Hasilnya, satu persetujuan telah dicapai untuk menganjakkan sempadan yang telah ditetapkan pada 1882 di Bukit Nasah kepada Mukim Gerik dan Temenggor. 

Pada 1902, Siam telah menghapuskan pemerintahan beraja di Reman dengan menahan Tuan Lebeh Long Raya. Pihak Siam kemudiannya melaporkan kepada kerabat Reman bahawan Tuan Lebeh telah hilang ketika dalam perjalanan mengadap Raja Siam, hal sebenarnya Tuan Lebeh ini telah dihukum penjara selama 20 tahun atas tuduhan cuba memberontak oleh Kerajaan Siam. Semenjak dari itu pupuslah pemerintahan beraja di Reman.

Ketika Perjanjian Bangkok 1909, yang ditandatangani antara Sir John Anderson (Gabenor Negeri-Negeri Selat) dengan Setiausaha Luar Negeri Siam pada 9 Julai 1909, dimana Kerajaan Inggeris mengiktiraf Patani adalaha bahagian Patani, manakal Siam menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu untuk bernaung dibawah kuasa Inggeris, dan antara syarat lain perjanjian tersebut, Kerajaan Siam haruslah menyerahkan kembali Daerah Hulu Perak yang diambil Raja Reman kepada Kerajaan Negeri Perak. Istiadat penyerahan itu telah diadakan pada 16 Julai 1909 di Kroh, Perak.

Persoalannya siapakah sebenarnya LONG GHAFAR sahabat LONG YUNUS???

Gambar ini dirakamkan pada 16 Julai 1909 di Kroh, selepas Istiadat penyerahan Hulu Perak 













Rujukan:
  • https://sembangkuala.wordpress.com/2010/05/31/the-state-of-reman-in-hulu-perak/
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2013/12/patani-kelantan-episod-5-patani-dijajah.html
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2013/12/patani-kelantan-episod-6-pemberontakan.html
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Perbincangan:Sejarah_Kelantan
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Hulu_Perak
  • http://tabutjawi.blogspot.nl/2013/10/long-ghaffar-putera-raja-reman.html

1 comment:

Unknown said...

Tuan lebeh dan hulubalang raja tok Beredung membawa diri dengan gajah2 nya bersama gayung emas.Ke sebuah tempat di kelantan Kusial,Gual Raja dan Air Berdang asal nama tempat di Patani.Kemangkatan beliau di Kubur Bukit Kelupang Gual Ipoh dan tiada tanda peringatan supaya dirahsia oleh inggeris dan siam dimakam bersama gayung emas.Masih tinggal zuriat dan keturunannya di Kusial Gual Raja,Gual Ipoh bernama Tengku,Nik,Tuan,wan dan syed.Kusial adalah berasal dari perkataan Tengku sial(jatuh tahta kalah perang dgn iggeris dan siam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...