SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday, 22 February 2015

Siri Orang Kita : Persembahan Kertuk

Kertuk
Pendahuluan 
Masyarakat Melayu Kelantan sememangnya unik dan mempunyai pelbagai seni kebudayaan yang tersendiri. Masyarakat luar mengenali orang Kelantan sebagai perantau yang mencari kehidupa lebih baik, kerana itu mereka dilihat hidup dalam kelompok mereka di tengah kehidupan masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa. Masyarakat Kelantan di luar dari negeri Kelantan juga telah membawa sama kebudayaan negeri ini dan dihidupkan di luar. Justeru rakyat Malaysia hari ini mengenali apa itu Makyong, Menora, Dikir Barat dan Wayang Kulit. Lima seni persembahan ini terus diingati oleh semua orang kerana ia unik dan bukan mudah untuk dipelajari kerana setiap seni persembahan tersebut mempunyai falsafah tersendiri.

Sebenarnya, banyak lagi seni dan budaya Kelantan tidak diketengahkan pada massa contohnya Kertuk. Masyarakat Kelantan memang tahu akan persembahan ini, namun generasi sekarang sudah kurang mengenalinya berikutan ia jarang dipersembahkan, bagaimanapun ia tetap dimainkan di tempat-tempat tertentu dan masih ada masyarakat setempat mempersembahka seni kebudayaan ini.

Menghalau Burung
Pada awalnya, kertuk dimainkan untuk menghalau burung di kawasan bendang, dalam loghat Kelantan dipanggil padang padi sewaktu padi sedang menguning. Kertuk yang digunakan untuk menghalau burung kebiasaannya diperbuat daripada alat yang ringkas terdiri daripada sekeping papan yang dihasilkan daripada batang nibung dan diletakkan di atas tanah yang dilubangkan dan diketuk, ia akan menghasilkan bunyi dengung yang kuat membuatkan burung terkejut dan tidak mendekati kawasan padang padi. Ada pendapat mengatakan bahawa kertuk adalah permainan anak-anak raja Siam yang dimainkan dalam kawasan istana.

Pembuatan
Rekabentuk kertuk ini boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan saiz berdasarkan kepada kreativiti pembuatnya. Suatu masa dahulu, terdapat empat jenis kertuk yang dimainkan oleh petani di Kelantan iaitu:
  • Kertuk Kaki
  • Kertuk Tanah
  • Kertuk Kayu
  • Kertuk Kelapa
Yang paling kerap dilihat pada masa sekarang adalah Kertuk Kelapa yang diperbuat daripada kelapa besar yang dipotong bahagian atasnya dan diletakkan diatas pelapik yang diperbuat daripada kayu, manakala diatasnya diletakkan papan, ia kemudiannya akan dipalu menggunakan pemalu khas yang diperbuat dari kayu yang dibaluti lapisan getah. Pada masa kini, fungsi kertuk hanyalah digunakan sebagai pertandingan berbanding tujuan asalnya untuk menghalau burung. Sebelum pertandingan, beberapa persiapan perlu dijalankan antaranya menyusun atur alatan Kertuk, lekar, ibu Kertuk, belira dan pemalu yang sesuai di tempatnya. Hiasan yang dinamakan "panji" diletakkan pada tiap-tiap Kertuk sebagai simbol kedamaian, perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan hidup.

Pada asalnya, kertuk hanya dimainkan oleh dua orang sahja,  namun ia terus mengalami evolusi, ia boleh dimainkan secara berpasukan yang terdiri daripada 8 – 10 orang pemain. Pemain harus mengikut irama yang ditetapkan oleh Ketua Pasukan yang biasa dirujuk dengan gelaran Tok Ngulu, beliau bertanggungjawab memberi isyarat kepada anak-anak buahnya ketika paluan dimainkan.

Setiap masa pertandingan boleh memakan masa sehari suntuk, dan ia biasanya dimainkan pada waktu malam bermula selepas isyak dengan kebun getah sebagai lokasi pertandingan. Kebun Getah menjadi tumpuan berikutan untuk memudahkan pembahagian sempadan ini kerana pokok getah memang ditanam pada baris dengan jarak yang seragam dalam bentuk segi empat. Apabila pertandingan bermula, setiap pasukan diberikan peluang untuk memalu kertuk masing-masing. Mereka mengetuk belira mengikut urutan susunannya.  Ketukan belira inilah yang menghasilkan bunyi dengungan dan irama yang sama rentak.  Terdapat 3 jenis nada iaitu nada rendah, nada sederhana dan nada tinggi.  Pertandingan ini diadili oleh sseorang pengadil yang bertindak sebagai penjaga masa manakala terdapat seorang hakim yang bertanggungjawab sebagai pemberi markah.  Pandangan orang ramai atau peminat juga diambil kira.


Permainan Tradisi Kelantan - Kertuk [Gambar Muzim Negara 60an]



Persembahan Kertuk Berkumpulan

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...