SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday 5 February 2015

Dua Negeri Yang Hilang (Reman & Legeh) : Pendahuluan

Pendahuluan
Sepanjang mengkaji sejarah Kelantan, kami dapati negeri ini banyak menjalinkan hubungan luar antaranya dengan Patani, Siam, Terengganu, Reman dan Legeh. Negeri lain juga ada hubungannya dengan Kelantan, tetapi tidak sekerap seperti mana negeri yang disenaraikan. Patani, Siam dan Terengganu sering diulas dan negeri-negeri ini amat diketahui akan susur galur serta jatuh bangunnya. Kami tertarik dengan Legeh dan Reman, ianya seolah-olah hilang dan tidak diketahui susur galurnya. Ada tulisan berkenaan dengan dua negeri ini, bagaimanapun ianya masih kabur sedangkan dalam sejarah Kelantan nama dua negeri ini memainkan peranan penting ketika era Long Sulaiman di Kota Jembal. Bagi merungkaikan hal dua negeri ini, kami akan kupaskan seboleh yang mungkin berkenaan dengan dua negeri ini.

Reman
Dalam sejarah Kelantan, peranan Reman yang paling diingati apabila timbul nama Long Ghafar yang menjadi sahabat Long Yunus. Beliau disebut sebagai Putera kepada Raja Reman, kisah yang paling diingati mengenai beliau adalah ketika Perang Kota Kubang Labu. Namun kisah negeri ini bukan setakat itu sahaja, kerana selepas itu ia tidak lagi disebut.

Legeh
Long Deraman adalah Raja terakhir Legeh. Beliau merupakan ipar kepada Long Yunus dan merupakan orang yang membunuh Long Sulaiman, mertua dan ayahanda Long Yunus. Setelah kejadian pembunuhan tersebut, Long Deraman telah menyerahkan pemerintahan Kota Kubang Labu kepada Long Pandak. Kekejaman Long Pandak juga adalah penyebab kepada Perang Kota Kubang Labu.

Peperangan Kota Kubang Labu menyebabkan nama Legeh dan Reman ini sering disebut, tetapi ramai yang tidak jelas susur galur negeri ini. Sebenarnya, kedua-dua negeri ini adalah sebahagian daripada Patani Besar termasuk juga Kelantan dan Terengganu. Namun sudah ditakdirkan negeri-negeri dalam Patani Besar menerima nasib yang berlainan, yang paling dahsyat adalah Legeh dan Reman kerana dua negeri ini separuh dalam Thailand dan separuh dalam Malaysia.

Dua artikel seterusnya kami akan kisahkan berkenaan sejarah dan perkembangan Reman dan Legeh dua buah negeri Melayu yang hilang.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...