SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday, 22 August 2016

SIAM DALAM SEJARAH KELANTAN 1238 - 1909




Pendahuluan
Siam adalah begitu sinonim dengan masyarakat Kelantan, malah mereka dianggap sebagai satu kelompok masyarakat berdasarkan kepada kelainan dialek dan bahasa yang dituturkan, malah orang asing yang bertutur dalam bahasa Melayu Rasmi dirujuk sebagai Orang Luar. Masyarakat di Semenanjung juga gemar merujuk penduduk yang bertutur bahasa Tai sebagai Siam sedangkan ia adalah dua hal yang berbeza.

Siam
Asasnya ia adalah merupakan sebuah wilayah di kawasan Daratan Asia Tenggara dan ia didiami oleh bangsa peribumi iaitu Lawas dan Sakai semenjak awal peradaban manusia lagi. Kaum Lawas menduduki bahagian Utara Thailand moden dan sebahagian kawasan Burma, kaum Sakai pula mendiami kawasan selatan Thailand moden dan mendominasi bahagian Segenting Kra berhampiran dengan Semenanjung. Kaum ini dapat dibezakan pada fizikal mereka dengan kaum Lawas mempunyai susuk tubuh yang tinggi dan berkulit putih, manakala masyarakat Sakai pula mempunyai fizikal seperti masyarakat orang Asli pada hari ini.

Kurun ke-9 sebelum masihi, iaitu sewaktu penghijrahan manusia dari kawasan Selatan China ke kawasan Asia Tenggara, terdapat dua suku kaum bangsa kuno iaitu Mon dan Khmer mendiami kawasan Daratan Asia Tenggara. Bangsa Mon mendiami kawasan tengah dan utara Thailand moden hinggalah ke sebahagian besar kawasan Burma, bangsa Khmer pula mendiami sekitar Lembah Mekong dan mengasaskan kerajaan Kemboja dengan Angkor sebagai ibu negerinya. Kerajaan Kemboja kemudiannya berkembang sebagai satu empayar bermula kurun ke-9 hingga kurun ke-15 Masihi, terdapat satu inskripsi telah ditemui di Angkor Wat yang menyatakan perkataan “Syam” atau “Sayam” bermaksud Orang berkulit sawo matang, mereka inilah di kenali sebagai Siam yang juga merupakan sebahagian daripada naungan Kemboja, mungkin sekali mereka adalah Bangsa Mon dan mereka telah mengasaskan kerajaan Dvaravati dan Haripunjaya bagaimanapun kerajaan ini merupakan naungan kepada Kemboja.

Bangsa Mon dan Khmer adalah bangsa yang berhijrah dari Selatan China ke kawasan Daratan Asia Tenggara yang sedia diduduki oleh bangsa asal, berlaku pertembungan antara mereka terutama sekali antara bangsa Khmer dengan suku kaum Sakai, mereka mendominasi kawasan pendudukan Sakai di bahagian selatan, memaksa suku kaum peribumi itu berundur jauh ke kawasan Semenanjung berikutan berlaku kejadian pembunuhan beramai-ramai. Suku kaum Sakai atau di Malaysia lebih dikenali masyarakat Orang Asli telah mendapat pembelaan sewajarnya namun pada kasarnya mereka tetap satu suku kaum minoriti yang masih kuat mengamalkan adat dan kebudayaan mereka sendiri ditengah-tengah arus kemodenan.


Tai
Suku kaum Mon-Khmer mendominasi satu wilayah yang dikenal sebagai Siam berdasarkan kepada inskripsi yang dijumpai di Angkor Wat, ia dipercayai dicatat oleh bangsa Khmer yang mengasaskan kerajaan Kemboja. Mon-Khmer mempunyai dua negara kota yang dinaungi oleh Kemboja, mereka menduduki kawasan tersebut selama beberapa kurun sehinggalah ia dibanjiri suku kaum yang baru berhijrah dari selatan China iatu bangsa Tai. Inilah bangsa induk bagi satu kelompok masyarkat yang kini kita kenali sebagai Thai, awalnya bangsa Tai ini hidup berselerak sekitar kawasan Selatan China, kini dikenali sebagai Yunnan mereka juga berhijrah secara berperingkat-peringkat semenjak awal mungkin sekali bersama-sama dengan suku kaum Mon-Khmer cuma mereka tidak membentuk satu kerajaan pada peringkat awal.

Tahun 650 Masihi, bangsa Tai yang hidup secara berselerak telah bersatu dan membentuk satu kerajaan di kawasan Selatan China dan dikenali sebagai Nanchao, pembentukan negara bangsa Tai ini adalah untuk mempertahankan kawasan dan kewujudan bangsa mereka daripada ancaman Empayar China dan Annam. Peringkat awal kerajaan ini bersekutu dengan Empayar China bagi menghalang pencerobohan dari Tibet, bagaimanapun selepas itu ia telah bertukar menjadi seteru kepada China.

Kewujudan Nanchao telah memberi peluang kepada bangsa Tai terus berkembang dan menguasai bahagian Daratan Asia Tenggara, selain itu kerajaan tersebut juga bertindak sebagai penghalang kepada perluasan peradaban China terhadap suku kaum bangsa Tai yang mempunyai ketamadunan yang tersendiri. Bangsa Tai telah berhijrah sejauh Assam di India, mereka juga mendiami sebahagian besar kawasan Burma dan dikenali sebagai Shan, di kawasan Lembah Mekong pula mereka dikenali sebagai Lao, selain itu bangsa Tai turut membentuk beberapa suku kaum baru di kawasan Tonkin dan Annam (Utara Vietnam) seperti:

  • Tai Dam (Tai Hitam)
  • Tai Den (Tai Merah)
  • Tai Khao (Tai Putih)
  • Nung

Relatifnya, bangsa Tai mengasaskan kota berhampiran dengan sempadan Empayar Kemboja dan kebanyakkan kota tersebut menjadi naungan kepada kepada empayar Khmer tersebut hinggalah tahun 1238 Masihi.

Sukhothai
Pada tahun tersebut bangsa Tai berjaya menakluk ibu negeri Kemboja, Angkor lalu mengasaskan Sukhothai lambang kemerdekaan bagi bangsa Tai di kawasan Daratan Asia Tenggara, pendiri kerajaan ini turut menggelarkan diri mereka dan penduduknya sebagai Thai, bermaksud bebas atau merdeka. Hal ini berlaku kerana mereka hendak mengasingkan diri daripada bangsa Tai yang lain hidup dibawah pemerintahan bangsa asing.

Ramakhamhaeng 1277 – 1317 merupakan Raja pertama bagi kerjaan ini, beliau digelar sebagai Rama yang Agung berikutan perluasan kuasa Sukhothai sewaktu pemerintahannya. Pada masa pemerintahannya, negara baru tersebut menerima kebanyakkan bangsa Tai yang behijrah atau melarikan diri daripada Nanchao setelah ia ditakluk oleh Mongol dibawah perintah Kublai Khan dalam tahun 1453. Pelbagai lapisan masyarakat Nanchao yang melarikan diri termasuklah pahlawan dan perajurit dari bangsa Tai, mereka kemudiannya bergabung dengan Thai dibawah perintah Ramakhamhaeang bagi mengukuhkan lagi pasukan tentera Sukhothai bagi menentang bangsa Khmer dari Kemboja. Pengasas Sukhothai ini juga telah meletakkan Sukhothai di tahap yang tinggi dengan kuasa pemerintahan yang luas malah dinyatakan bahawa Sukhothai merupakan pusat pengembanggan kebudayaan masyarakat Thai, bagaimanapun penggantinya gagal mengekalkan penguasaan kerajaan ini hingga tahun 1378 ia telah diserap dalam kerajaan bangsa Thai seterusnya iaitu Ayutthaya.

Selain Sukhothai, muncul sebuah lagi kuasa bangsa Tai di kawasan dataran Asia Tenggara apabila mereka bangkit pada tahun 1296 dengan merampas kuasa di Haripunjaya, kerajaan bagi bangsa Mon lalu mereka menubuhkan kerajaan baru bagi bangsa Tai dan menamakan kerajaan tersebut sebagai Lan Na dengan Chieng Mai sebagai ibu negeri.

Hubungan Thai dan Kelantan
Sejarah Kelantan secara rasmi dicatat bermula pada era pemerintahan Paduka Sri Sultan Long Yunus pada 1763, bagaimanapun nama Kelantan sering diulang dalam Sejarah Melayu yang mempunyai hubungan terus dengan Kerajaan Melayu Melaka sekurang-kurangnya pada masa pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Dalam teks Sulalatus Salatin dinyatakan Kelantan sangat Besar, lebih besar daripada Patani, ini memberi petunjuk bahawa negeri Kelantan telah mempunyai sejarah yang lama dan kawasan pemerintahan yang luas.

Riwayat Tradisi Kelantan menyatakan bahawa berlaku pertembungan antara kerajaan Kelantan Tua dengan Sukhothai yang dipimpin oleh Ramakhamhaeng apabila ia cuba meluaskan kuasa ke kawasan Semenanjung Tanah Melayu. Pada masa tersebut Kelantan dikenali sebagai Malayur diperintah oleh Sang Tawal, Riwayat tersebut merujuk Sukhothai sebagai Siam, asasnya rujukan tersebut adalah tepat kerana pada waktu itu Siam adalah negara, manakala Sukhothai adalah kerajaan yang memerintah.


Sejarah hidup Ramkhamhaeng sebenarnya tidak begitu diketahui, Pongsuwadan iaitu Sejarah Siam menyatakan pengasas Sukhothai ini digantikan oleh puteranya Laotai selepas kemangkatannya, keterangan lanjut peristiwa yang berkaitan dengan kemangkatannya tidak diketahui, bagaimanapun Riwayat Tradisi Kelantan, Ramkhamhaeng mangkat akibat dibunuh oleh lagenda paling terkenal dalam Sejarah Kelantan iatu Paduka Cik Siti Wan Kembang dengan cara kepala dipenggal. Ini merupakan hubungan terus antara Kelantan Tua dengan Siam buat kali yang pertama, semenjak dari itu hubungan ini beterusan baik dalam bentuk konfrontasi ataupun diplomatik hingga ia berakhir pada tahun 1909.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...