Credit : Cactus Wangi
Pendahuluan
Negeri Kerat Lintang, itulah gelaran yang pernah
diwar-warkan pada akhir kurun ke-17. Gelaran ini diperoleh setelah tamatnya
Perang Kota Labu pada 1762. Peperangan tersebut berlaku kerana serangan angkatan
Long Ghafar, Long Yunus, Mandur Misa@Mis dan Penghulu Adas. Kota Kubang Labu
pada waktu itu di perintah oleh Long Muhammad adik kepada Long Pandak yang mati
dibunuh dalam Perang Kota Kubang Labu 1 pada 1758. Puncanya, Long Muhamad
dikatakan telah mungkir janji dengan Long Ghafar dan Long Yunus untuk
memerintah dengan baik dan adil saksama. Namun, penduduk Kota Sening dan Kota
Teras telah mengadu kepada Long Ghafar dan Long Yunus yang waktu itu berada di
Terengganu tentang mereka telah dizalami oleh pemerintahan Long Muhammad. Maka,
dengan aduan tersebut, Kota Kubang Labu telah diserang buat kali kedua pada
1762 dan Long Muhammad yang mendapat bantuan daripada Long Deraman dari Legeh
dan Panglima Umar dari Kampung Laut telah kalah dengan angkatan Long Ghafar,
Long Yunus, Mandur Misa@Mis dan Penghulu Adas pada tahun tersebut.
Tercatatlah dalam sejarah, Long Ghafar dan Long
Yunus telah membahagikan Kelantan Timur dan Barat dan dengan itu Kelantan
mendapat gelaran Negeri Yang di Kerat
Lintang. Long Ghafar memerintah dari Kota Limbat hingga ke Jeram, manakala,
Long Yunus memerintah dari Padang Garong, kawasan Pasir Tumbuh hingga ke Padang
Garung, dan seterusnya hingga ke Kuala Kemasin dan di sebelah Baratnya hingga
ke Bukit Tanjung (Narathiwat). Walau bagaimanapun, segala keputusan dan kuasa
sebenar berkaitan pentadbiran dan kes-kes jenayah adalah terletak di bawah
bidang kuasa Baginda Long Gaffar di kota Limbat.
Pentadbiran dua Long Bersaudara ini (Long Ghafar dan Long Yunus) sering
mendapat tumpuan pengkaji kerana keturunan mereka lebih dominan dalam menuntut
hak pentadbiran mutlak Kelantan pada waktu itu. Tambahan mereka berdua adalah
keturunan RAJA ZAMAN BERZAMAN. Apakah Nasib Mandur Misa@Mis dan Penghulu Adas?
Dua sahabat
yang terpinggir
Mandur Misa@Mis adalah abang ipar kepada Penghulu
Adas dan mereka berdua juga sahabat kepada Long Ghafar dan Long Yunus. Dalam
serangan Kota Kubang Labu pada 1762, Pasukan Mandur Mis dan Penghulu Adas
menyerang dari arah Pasir Pekan dan bertempur dengan angkatan Panglima Umar
dari Kampung Laut.
Mereka mengambil masa agak lama untuk mematahkan
benteng pertahanan Pangliman Umar, namun akhirnya mereka berjaya menumpaskan
Panglima Umar. Angkatan mereka telah berjasa kerana Kota Kubang Labu berjaya
ditumpaskan. Sebagai ganjaran, Penghulu Adas telah diberi kawasan pemerintahan
di Kadok, manakala abang ipar beliau, Mandor Misa@Mis dianugerahkan Lundang
sebagai kawasan pentadabiran.
Kadok dan Lundang kini dalam pentadbiran Kota
Bharu. Ianya hanya dikenali sebagai Mukim sahaja, suatu ketika dahulu ianya
adalah Kelantan Malay City States yang
jarang orang ambil tahu. Sejarah Penghulu Adas agak sukar untuk dikesan kerana
ia jarang-jarang tercatat dalam rekod sejarah Negeri Kelantan, mungkin kerana
75% kawasan Kadok merupakan kawasan tanaman padi dan pertanian, serta agak jauh
dari Kota Bharu dan laluan perdagangan utama maka ia kurang dikenali.
Berlainan dengan kisah Mandor Mis, kerektor beliau
banyak tercatat memandangkan Lundang berhampiran dengan Kota Bharu. Mengikut
maklumat-maklumat yang disampaikan oleh sumber kami, pada tahun 1960an, Lundang
merupakan kawasan padi yang luas, malahan Kota Bharu sendiri waktu itu banyak
kawasan padi, contohnya di Padang Garong itu. Lama kelamaan kawasan Padi ini
ditebus guna menjadi tapak bangunan komersial mengikut perkembangan Kota Bharu
yang pesat membangun hingga hari ini.
Siapa Mandor
Misa@Mis
Berdasarkan kepada maklumat
daripada Kerabat Warisan Wan Nik Lundang
(KWWNL), nama penuh Mandur Misa adalah Tuan Khomis bin Tuan Kundur bin Long Bahar atau dalam istilah yang
mudah, beliau adalah Cucu kepada Long Bahar dan juga kerabat kepada Long Yunus.
Beliau merupakan salah seorang sahabat Long Ghafar dan Long Yunus dalam perang
Kota Kubang Labu II pada 1762. Beliau telah dianugerahkan kawasan Lundang atas
sumbangan beliau dalam kempen pada 1762 itu.
Setelah dianugerahkan
Lundang sebagai hadiah kerana membantu kemenangan dalam Perang Kota Kubang Labu,
beliau telah diangkat menjadi Raja Kampung Lundang yang pertama dengan gelaran
Dato’ Maharaja Wangsa merangkap Penghulu
Menteri. Sumber KWWNL mengagak, jawatan ini setara dengan Timbalan kepada
Perdana Menteri Long Ghafar.
Tuan Khomis merupakan
saudara sulung kepada Che' Tuan Mah (Isteri Penghulu Adas), Tuan Wan Mamat dan
Tuan Membunga dan anakanda kepada Tuan Kundur ibni Al-marhum Tuan Besar Long
Baha pemerintah Kota Jembal 1725-1733 dengan isterinya yang kedua iaitu Raja
Pah Binti Al-marhum Sultan Omar Jembal.
Mandur Mis telah melantik
orang kanannya yang bernama Awang Besar menjadi Penghulu yang pertama diKampung
Lundang. 1790, beliau telah mangkat dan Lundang tiada lagi beraja hinggalah
pada 1800, apabila anaknya bernama Wan Mahmud telah lantik oleh Sultan Muhammad
1 sebagai Pembesar di Istana Balai Besar sebagai Dato’ Panglima Perang dan
berkuasa di Lundang sekaligus diangkat sebagai Raja Kampung Lundag yang kedua.
Kawasan kekuasannya adalah dari Pengkalan Sungai Kampung Wakaf Stan hingga ke
Sungai Kampug Sireh disebelah barat, Sungai Lundang di sebelah selatan hingga
ke Paya Rambai di sebelah utara. Kawasa ini kemudiannya dikenali sebagai Daerah
Lundang.
Di bawah pentadbiran Dato’
Panglima Perang inilah Daerah Lundang mempunyai sistem pentadbiranya yang
tersendiri. Pengurniaan Sultan Muhammad I ini adalah untuk mengenang jasa
sahabat-sahabat baginda yang banyak membantu dalam perebutan takhta Kelantan
dengan pihak Terengganu. Berikut adalah susunan pembesar peringkat Kelantan
ketika pemerintahan Sultan Muhammad I :
- Long Jenal digelar Raja Bendahara
- Long Ismail digelar Raja Muda
- Long Yusof digelar Raja Bukit Panchor
- Long Muda digelar Engku Kota
- Long Tan digelar Raja Temengong Aria Pahlawan
- Wan Mahmud digelar Dato Panglima Perang Lundang
- Wan Abdullah digelar Dato Kaya Hulubalang Kadok
Waris Mandur Mis@Misa
Dato' Panglima Perang telah
berkahwin dengan Engku Che' Nik iaitu Puteri Sulong Baginda Long Gafar dan
mendapat dua Putera iaitu Wan Sulong dan Wan Sulaiman bargelar Dato Lela
Perkasa Tua serta seorang Puteri yang bernama Wan Bulat atau Wan Aminah iaitu
Nenda kepada Dato Maha Menteri Kelantan Che' Had.
Dato' Panglima Perang telah mangkat pada tahun 1830 dan tempatnya
telah digantikan oleh anakandanya, Wan Sulong @ Wan Muhammad dengan
gelaran Dato' Panglima Perang Lundang
yang ke-II dan digelar sebagai Dato' Mekong iaitu singkatan dari gelaran Siam
''Phra Chou Mekong Phaya Lundang'' dan memerintah sehingga mangkat pada tahun
1846.
Selepas kemangkatan Dato'
Mekong, DYMM Sultan Muhammad-II telah melantik puteranya iaitu Wan Senik Besar
atau Wan Nik untuk memerintah Daerah Lundang dengan gelaran Dato' Panglima
Perang Lundang yang ke-III dan dipangil rakyat dengan nama Dato' Besar sehingga
mangkat pada tahun 1867 dan digantikan oleh menantu Dato' Besar iaitu Wan Musa
putera Wan Hassan Bin Wan Sulaiman bergelar Dato' Panglima Perang Lundang yang
ke-IV yang sangat masyhur dikalangan rakyat dipangil dengan nama Dato' Lundang.
Tok Pelanduk : Mufti Kelantan 1907-1909 |
Mufti Hj.Wan Ishak Bin Imam
Hj.Abdullah atau biasa juga dipangil Mufti Tok Pelanduk iaitu Mufti di zaman
awal Pemerintahan DYMM Sultan Muhammad-IV yang mengantikan Mufti Hj.Nik Wan
Daud pada tahun 1907 merupakan keturunan Al-marhum Dato' Besar sebelah ibunya
yang bernama Wan Minah Binti Wan Ishak (Orang Kaya Lundang) Bin Wan Senik Besar
atau Wan Nik (Dato' Besar Raja Lundang- IV).
Lundang di
akhir abad ke-19
Sewaktu pemerintahan Dato' Lundang di Daerah
Lundang, khususnya ianya telah mengalami kemajuan dan mewujudkan penempatan
yang baru, di mana salah satunya ialah pembukaan kawasan penanaman padi yang
baru iaitu di kawasan yang sekarang ini bermula dari My Bank Lundang hingga ke Kampung Bayam mengantikan tempat lama iaitu kawasan tebing sungai Lundang yang
telah tercemar, tidak selamat serta berpenyakit akibat daripada ternakan mati
dan reput ekoran daripada Peristiwa
Angin Besar di Kelantan pada tahun 1880 dan diikuti bencana Alam berikutnya pada tahun 1881 hingga tahun 1884 atau
sesetengah riwayat pula menyebut hingga tahun 1886 yang mana telah menyebabkan
terjadinya Wabak penyakit berjangkit seperti Taun, malaria dan lain-lain lagi.
Malah ada membawa diri hingga jauh ke Kota Tinggi, Johor dan membuka
perkampungan yang dikenali sebagai Kampung
Kelantan.
Bencana alam yang dialami penduduk Kelantan pada
waktu itu khususnya yang tinggal di Lundang terutamanya di kawasan bawah lembah
Kampung Lundang telah membuka penempatan baru dengan berpindah kepada kawasan
yang lebih tinggi iaitu di kawasan Kampung Lundang sekarang. Seterusnya
penduduk Kampung Lundang ini telah berpecah dan membuka beberapa kampung baru
antaranya:
- Kampung Bawah Lembah Lundang (sekitar Taman Restu)
- Kampung Belukar
- Kampung Paya Senang
- Kampung Bawah Lembah Bunut Payong.
Walaubagaimanapun keempat-empat Kampung ini masih
lagi terletak di dalam Daerah Lundang dibawah kawalan Dato' Lundang termasuk
Kampung Bunut Payong yang dibuka pada akhir abad ke-19 yang bermula sebagai
sebuah unit Kampung kecil yang terletak di sekitar kawasan Masjid Mukim Bunut
Payung hingga ke sebelah barat kawasan Madrasah Ahmadiah, kemudian menganjur ke
sebelah tebing Sungai Bunut Payong yang kedua di sebelah selatan.
Pada tahun 1909 akibat daripada Perjanjian
British-Siam, maka peranan corak pemerintahan tradisional Daerah Lundang telah
ditukar dan berubah kepada corak pentadbiran moden yang dibawa oleh Penasihat
British ke Kelantan. Akibat daripada peristiwa ini, Dato' Lundang telah diberi
pencen seumur hidup, walaubagaimanapun pengaruh bekas Pembesar Lundang ini
masih lagi kuat dan sangat diperlukan oleh kerajaan dalam mengendalikan
beberapa perkara penting sehinggalah mangkat dalam tahun 1926 dan dimakamkan
ditanah perkuburan besar kampung Lundang iaitu bersebelahan dengan Sekolah
Kebangsaan Lundang sekarang. Setelah
itu, secara rasminya Daerah Lundang telah ditadbir secara moden yang diketuai
oleh seorang Ketua Daerah bergelar Tok Kweng atau sekarang dipanggil Penggawa
sehinggalah pada tahun dekad 1970an apabila Daerah Lundang telah dipecah dan
digantikan menjadi Daerah Kubang Kerian.
Kemudian, pada tahun-tahun 90an Kerajaan Kelantan
melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu serta berkat usha gigih beberapa orang
Aktivis Kampung Lundang telah mengambil
inisiatif dengan menukarkan nama baru bagi sebatang jalan mulai dari simpang tiga hadapan Kompleks Balai Islam
Lundang hingga ke simpang empat Kampung Cerang yang dahulunya dipanggil Jalan
Ya'cobiah kepada nama - Jalan Dato' Lundang. Penamaan ini adalah bagi
maksud mengabadikan nama Tokoh ini serta menghargai jasa-jasa besarnya dalam
negeri kepada kalangan masyarakat Kelantan.
Penutup
Jelas disini bahawa setelah tamat Perang Kota
Kubang Labu 1762, Kelantan diperintah secara City States yang mempunyai pentadbiran secara autonomi yang
berpusat di bawah Kerajaan Kota Bharu di bawah Long Yunus. Bagaimanapun
terdapat percanggahan tentang pendapat dengan Kerabat Long Ghafar mengenai isu
ini. Nyatanya, Kelantan pada 1762 telah didominasi oleh Long Ghafar, Long
Yunus, Tuan Khomis dan Penghulu Adas dan beberapa panglima perang yang juga
dikenali sebagai Panglima Hitam.
Ada pendapat mengatakan Perang Kota Kubang Labu itu
dahulu adalah pertikaian “anak beranak” dan Patani selaku YDP Agong bagi Patani
Besar tidak bertindak kerana perang tersebut lebih kepada pertikaian kerabat.
Patani mengiktiraf nama “Negeri Kerat Lintang” dan Long Yunus serta Long Ghafar
juga diiktiraf oleh Raja Siam waktu itu. Wujud juga pendapat mengatakan Long
Yunus yang menyatukan Kelantan setelah sekian lama Kelantan diperintah secara
City States. Apa pun, Kelantan terus
gemilang dalam legasi kepimpinan Ulama dan bijak pandai.
Artikel seterusnya : Siapa sebenarnya Penghulu Adas?
Kredit kepada :
1) Cactus Wangi
Makam Raja Kampung Lundang |
Makam Raja-Raja Lundang dilorong Imam Lundang yang terletak berhampiran dengan tebing bawah lembah Kampung Lundang sekarang. Dahulu kawasan ini dipangil langgar surau Tok Jingga, berhadapan dengan gambar ini mulai disebelah kiri adalah:
- Makam Al-marhum Mandor Mis (Dato' Maharaja Wangsa)
- Disebelah kanan adalah makam Al-marhum Dato' Mekong.
- Dibelakang kudua-dua makam - bersetentang dengan makam Al-marhum Mandor Mis ada;ah makam Al-Marhum Dato' Panglima Perang dan disebelah kananya (tengah) adalah makam Al-marhum Dato' Besar dan
- Disebelah kanan makam Al-marhum Dato' Besar adalah Makam Al-marhumah Engku Cik Nik Binti Long Gafar , isteri kepada Dato' Panglima Perang (tiada belindan).
Makam Raja Kampung Lundang yang terakhir, Almarhum Dato Lundang mangkat tahun 1926. Dikuburkan di Sebelah Kebangsaan Lundang. |
Merujuk daripada sumber ''Peringatan Lundang''oleh Imam Hj.Tuan Fakeh Abdullah Bin Ahad 1326h bersamaan tahun 1908.
No comments:
Post a Comment