SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday, 19 November 2014

[Siri 32] Pengisahan Sejarah Kelantan : Paduka Sri Sultan Long Yunus 1763-1795

Pendahuluan
Kisah Long Yunus sentiasa mendapat tempat dihati segenap lapisan rakyat Kelantan. Beliau sentiasa diingati, ramai juga mengetahui latar belakang beliau secara kasar memandangkan dari beliau lahirlah waris Kesultanan Kelantan pada hari ini. Seperti yang kita sedia maklum, Long Yunus adalah putera kepada Long Sulaiman yang disebut sebagai mangkat dalam perebutan kuasa dengan Long Deraman, setelah itu Kelantan berada dalam keadaan interregnum iaitu satu tempoh perpindahan kuasa.

Sewaktu tercetusnya perebutan kuasa antara Long Sulaiman dengan menantunya Long Deraman, beliau memegang tampuk pemerintahan di Kota Kubang Labu dan Kota Jembal. Setelah Long Sulaiman disingkirkan, Long Deraman telah pulang ke Legeh dan pemerintahan di Kota Kubang Labu diserahkan kepada Long Pandak.

Ketika inilah berlaku tempoh perpindahan kuasa dari legasi pemerintah asal (Long Sulaiman) kepada keturunan pemerintah yang lain (Long Pandak), keadaan ini pastinya mencentuskan suasana huru hara dan kacau bilau dalam negeri. Pemerintah bertelagah dan rakyat hidup dalam keadaan sengsara, pembangunan negeri juga terbantut. Pemerintahan Long Pandak di Kota Kubang Labu disebut amat menekan rakyat hingga ada sumber menyebut pemerintahan beliau adalah satu pemerintahan yang zalim, dan ia mendapat simpati dari lapisan pemimpin yang lain dan ia berlaku hingga menimbulkan perasaan kurang senang pada Long Pandak.

Siapa Long Pandak
Long Pandak merupakan cucu Wan Daim Datu Pengkalan Tua sama seperti Long Sulaiman dan Long Deraman mereka semua adalah sepupu dan boleh dijelaskan seperti berikut:
  • Long Sulaiman bin Long Bahar Raja Kota Jembal bin Wan Daim
  • Long Deraman bin Long Nik Datu Pujud bin Wan Daim
  • Long Pandak bin Long Sulung Datu Kelantan Barat bin Wan Daim 
Jawatan Datu telah kita ketahui bahawa ia adalah anugerah daripada Kesultanan Patani, bagaimanapun pada waktu kemelut di Kelantan, Patani telah ditakluk secara total oleh Siam, malah Kedah juga pada masa ini dalam jajahan Siam. Justeru, tidak hairan keadaan kacau bilau berlaku di Kelantan pada era itu. Long Pandak sebenarnya mempunyai perhubungan erat dengan kerajaan Melayu lain, hal ini dapat dijelaskan, bahawa beliau telah dianugerahkan dengan gelaran Dato Sri Maharaja oleh Sultan Sulaiman, Sultan Johor pada 7 Januari 1741. Beliau juga telah berkahwin dengan sepupu yang juga adik kepada Long Deraman iaitu Tengku Ngah (Puteri Neng Mas). 

Perluasan kuasa secara total mungkin menjadi punca utama kenapa berlaku perebutan kuasa antara Long Deraman dengan Long Sulaiman, walaupun mereka mempunyai pertalian darah yang dikukuhkan dengan hubungan erat melalui perkahwinan. Setelah Long Sulaiman disingkirkan maka wujud satu kawasan yang merangkumi Legeh-Pujud-Kota Kubang Labu-Jembal namun gabungan ini masih lemah dan tidak dapat dipastikan secara mutlak siapa penguasa yang sebenar. Long Deraman di Legeh, Long Pandak di Kota Kubang Labu-Jembal, dan Long Nuh di Pujud.

Satu maklumat yang dapat diketengahkan mengenai pemberian Kota Kubang Labu oleh Long Derahman kepada Long Pandak, adalah atas faktor hubungan yang erat antara Kesultanan Johor dengan beliau, dan perkara ini menjadi satu langkah yang signifikan untuk mengekalkan kedaulatan negeri, dan bagi pihak Johor juga hubungan dua hala antara kerajaan di sebelah utara juga penting untuk mendapatkan bantuan dan sokongan kerana mereka juga menghadapi ancaman serantau pada masa tersebut.

Justeru, kedudukan Long Pandak di Kota Kubang Labu adalah penting dalam pemerintahan Long Derahman, namun ibarat pepatah Panas yang terik di pagi hari tidak berpanjangan, mendung mega berarak sebelah petangnya. Hubungan erat antara Long Deraman dengan Long Pandak seperti berkerat rotan berpatah arang mereka akhirnya berperang sesama sendiri.

Perang Kota Kubang Labu 1
Perang ini antara Long Deraman dan Long Pandak ini diingati oleh ramai rakyat Kelantan dan mereka mengenal perang ini sebagai Perang Kota Kubang Labu. Sejarah menyatakan ia berlaku sebanyak dua kali dan kedua-duanya melibatkan Long Yunus dan Long Ghafar. Perang antara Long Pandak dengan Long Deraman ini tercetus ekoran pembunuhan Tengku Ngah (Puteri Neng Mas) isteri Long Pandak yang juga adik kepada Long Deraman. Pembunuhan Neng Mas ini disebut berlaku atas perasaan cemburu dan tindakan tidak bertimbang rasa Long Pandak yang menuduh dengan melulu isterinya itu telah bermukah dengan Long Ghafar.

Long Ghafar adalah putera kepada Raja Reman, dan juga merupakan sepupu kepada Long Deraman. Long Ghafar ini pula disebut bersahabat baik dengan Long Yunus, putera kepada Long Sulaiman. Satu kemungkinan dapat ditimbulkan disini, adakah salah faham Long Pandak terhadap isterinya, Neng Mas merupakan satu konspirasi? Hal ini mungkin sahaja benar, kerana semua amat maklum Long Ghafar seperti adik beradik dengan Long Yunus mereka juga ada pertalian darah kemungkinan besar, kedua sahabat ini sedang berusaha untuk memulihkan kuasa pemerintahan seperti mana dipegang oleh Long Sulaiman yang telah disingkirkan.

Pada sekian waktu, Long Ghafar telah diamanahkan oleh ayahandanya untuk melawat Terengganu. Beliau telah berangkat bersama-sama Long Yunus dalam perjalanan itu, mereka telah singgah di Kota Kubang Labu untuk melawat Puteri Neng Mas, kebetulan pada waktu itu Long Pandak telah keluar dari kota untuk berburu. Menjadi kelaziman anak-anak bangsawan memakai pakaian yang segak dihiasi aksesori tertentu, salah satu darinya adalah Kain Cindai. Guna kain tersebut adalah sebagai perisai dan ianya dibuat dengan tenunan dari bahan yang tertentu. Puteri Neng Mas telah tertarik dengan Kain Cindai yang dipakai oleh Long Ghafar kerana ia satu hasil tangan yang unik dengan namanya yang disebut sebagai Kain Cindai Chepa Melaka dan meminta untuk ditiru corak kain tersebut. Tanpa keberatan, Long Ghafar telah menyerahkan kain cindai yang dipakainya kepada sepupunya itu, hal ini telah disaksikan oleh Long Yunus. Kerana kesuntukan masa, Long Ghafar dan Long Yunus telah berangkat ke Terengganu dan meninggalkan kain tersebut untuk ditiru coraknya.

Sekembali Long Pandak dari perburuan, beliau telah menemui Kain Cindai yang dipinjamkan oleh Long Ghafar kepada isterinya itu lantas tanpa usul periksa beliau telah menuduh isterinya bermukah (zina). Serentak dengan itu, Long Pandak telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap isterinya, tidak cukup dengan itu jenazah Neng Mas telah diaibkan dengan membelah perutnya serta mengikat jenazah tadi pada belakang Neng Malai, seekor gajah yang dihadiahkan oleh Long Deraman kepada beliau. Perbuatan Long Pandak sunggguh hina dan memalukan, dan perkara ini telah diketahui oleh Raja Legeh (Long Deraman) dan Raja Reman.

Long Deraman telah mengetuai angkatan perang dari Legeh, manakala Long Ghafar pula mengepalai pasukan askar daripada Reman. Tecetuslah perang di Kota Kubang Labu pada 4 September 1758, Long Deraman telah menikam mati Long Pandak sebagai balasan berlaku kejam terhadap adinda beliau. Long Deraman telah melantik Raja Muda Kota Kubang Labu, Long Muhammad yang juga adik kepada Long Pandak sebagai Raja Kelantan dengan syarat beliau berlaku adil kepada semua rakyat di Kubang Labu hingga ke Kota Teras dan Kota Senang.

Tamat perang dan perlantikan Raja Kelantan yang baru, Long Ghafar dan Long Yunus telah pulang ke Terengganu, manakala Long Deraman terus memerintah di Legeh. Situasi ini jelas tidak memihak kepada pemerintah asal dari keturunan Long Sulaiman dan pasti mereka merencana untuk mengembalikan tampuk pemerintahan yang sebenar.

Perang Kota Kubang Labu 2
Perang ini meletus disebabkan Long Muhammad telah menyerang hendap Long Ghafar dan Long Yunus di Kuala Besut yang dalam perjalanan pulang ke Kelantan setelah membantu Sultan Mansur 1, Sultan Terengganu mengalahkan serangan Bugis. Serangan Long Muhammad itu berjaya dipatahkan kerana Long Ghafar dan Long Yunus telah dibantu oleh hulubalang Terengganu, ekoran itu dua sahabat tersebut telah merangka serangan balas ke atas Long Muhammad di Kota Kubang Labu. Peperangan kali ini berlangsung secara sistematik di mana ia pertama kali menyaksikan rakyat Kelantan bersatu bersama-sama pemimpin mereka bangkit menentang kebatilan yang berpunca dari pemerintah.

Sejarah merekodkan, serangan pada Julai 1763 diketuai oleh Long Yunus dan Long Ghafar yang dibantu oleh angkatan perang Sultan Mansur 1, Sultan Terengganu (1733-1794) dan ia turut disertai oleh:
  • Penghulu Adas dan pahlawan dari Kadok
  • Long Ghafar dan Pahlawan dari Jeram, Pasir Puteh
  • Mandur Mis atau Tuan Khomis serta Pahlawan dari Kubang Garong
  • Long Yunus dan Panglima serta hulubalang Terengganu
Serangan dilancarkan dari tiga arah, iaitu dari arah 
  • Pengkalan Lisir yang dilancarkan oleh angkatan Long Ghafar
  • Pengkalan Gong Chipa serangan dilakukan oleh angkatan Long Yunus
  • Pengkalan Kebun dilakukan oleh angkatan perang Penghulu Adas dan Mandur Mis
Kota Kubang Labu yang diperintah oleh Long Muhammad telah menyedari akan diserang oleh Long Yunus dan Long Ghafar yang mendapat bantuan Terengganu. Long Deraman telah turun dari Legeh bersama-sama angkatan perangnya untuk menghulurkan bantuan kepada Long Muhammad di Kota Kubang Labu.

Long Ghafar telah menentang Long Muhammad dari arah Timur (Pasir Pekan), Long Yunus pula berhadapan dengan Long Deraman dari arah Selata (orang yang telah menyebabkan ayahandanya Long Sulaiman disingkirkan dari Kota Kubang Labu pada 1756). Penghulu Adas dan Mandur Mis pula disaingi dengan sengit oleh Panglima Umar Kampung Laut dari arah Utara. Serangan ini berlangsung selama beberapa hari.

Akhirnya, Long Muhammad telah mangkat akibat tikaman dari hadapan oleh Long Ghafar, Long Deraman pula telah mengalami kecedaraan yang parah ekoran terkena lembing yang dilontar oleh Long Yunus dan telah mangkat sewaktu diselamatkan oleh panglima dan hulubalang Legeh. Panglima Umar juga mengalami nasib yang sama. Perang ini tamat pada 12 Julai 1763 berikutan kemangkatan Long Muhammad dalam serangan ini.

Dua Versi
Versi Long Ghafar menyatakan bahawa selepas tamat perang Kota Kubang Labu II, beliau telah membuka Kota Jelasin, setahun selepas itu beliau memindahkan pusat pentadbiran di Limbat pada tahun 1762, saat ini bermula gelar Kelantan sebagai Negeri Kerat Lintang berikutan pembahagian sebahagian Kelantan antara beliau dengan Long Yunus. Pembahagian ini dilakukan sebagai mengenang sumbangan Long Yunus dalam Perang Kota Kubang Labu. Sungai Pasir Tumboh menjadi sempadan antara negeri yang dikerat lintang ini.

Versi Long Yunus pula menyatakan setelah tamat perang Kota Kubang Labu, Long Ghafar telah mencadangkan agar Long Yunus ditabal sebagai Raja seluruh Kelantan menggantikan Long Muhammad yang telah mangkat. Pembesar Kota Kubang Labu telah bersetuju dengan cadangan Long Ghafar dan ditabalkanlah Long Yunus sebagai Sultan Kelantan pada 12 Julai 1763.

Waris
Semasa Long Yunus mengikuti rombongan Long Ghafar ke Terengganu, beliau telah dikahwinkan dengan Tuan Inche Jumat, Cik Puan Balai Dua anak perempuan kepada Engku Tanang Wangsa Terengganu sebelum 1741 dan berkahwin buat kali kedua dengan Encik Tuan Nawi puteri ke tujuh Sultan Mansur I, Sultan Terengganu pada 1793.

Beliau mempunyai 7 orang Putera dan 6 orang Puteri berlainan ibu antaranya:

Putera
  • Tengku Tuan Long Pandak, Raja Muda Kok Keranji
  • Tengku Long Yusuf, pemerintah Bukit Panjor
  • Tengku Tuan Long Muda, pemerintah Bukit Marak
  • Tengku Long Ismail, Raja Muda Kampung Laut
  • Tengku Long Zainal, Raja Bendahara Banggol
  • Tuan Long Muhammad, Sultan Muhammad 1 (1800-1835)
  • Tengku Long Tan, Tengku Temenggong Aria Pahlawan di Galas
Puteri
  • Tengku Tuan Namah
  • Cik Ku Wan Teh
  • Cik Ku Tila, Engku Puan di Balairong
  • Cik Ku Tuan Nawi, Cik Puan Kelantan kahwin dengan Tengku Muhammad putera kedua kepada Sultan Mansur Shah I, Sultan Terengganu.
  • Cik Ku Wan Penambang
  • Cik Ku Telor
  • Cik Ku Wok
  • Cik Ku Wan Ngah, Tuan Dagang
Setelah kemangkatan Paduka Sri Sultan Long Yunus pada 1795, pemerintahan Kelantan melalui satu fasa yang sulit dan sensitif untuk difahami. Disebut pemerintahan Kelantan telah dirajai oleh Tengku Muhammad yang juga menantu Long Yunus dari tahun 1795 hingga 1800. Tengku Muhammad telah berkahwin dengan Cik Ku Tuan Nawi. Lima tahun pemerintahan, beliau telah menyerahkan takhta Kerajaan Kelantan kepada Long Muhammad pada tahun 1800.

KESIMPULAN
Susur galur Long Yunus memang panjang dan rumit untuk ditafsir kerana pengaruh dan peranan Long Ghafar juga kuat, berbagai andaian dan kisah telah muncul. Namun, artikel ini wajib menghormati susur galur Kesultanan Kelantan pada hari ini kerana Baginda Tuanku Sultan dan generasi terdahulu telah banyak memainkan peranan dalam membentuk Negeri Kelantan sepertimana yang kita lihat hari ini.  

Pelan Kedudukan Kota Kubang Labu 1717-1763


Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2013/11/perang-kota-kubang-labu-1.html
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Terengganu
  • http://mattrahman.blogspot.nl/2009/11/peristiwa-kota-kubang-labu-ii.html
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Perbandingan_Raja_Kelantan_Long_Gaffar_dan_Long_Yunus
  • http://sejarahkelantan.files.wordpress.com/2012/11/peta-kota-kubang-labu1.jpg
  • Royal Ark.net
  • Salasilah Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait


Thursday, 13 November 2014

[Siri 31] Pengisahan Sejarah Kelantan : Paduka Sri Raja Long Sulaiman (Utara Kelantan) 1733-1739 & 1746-1756

Pendahuluan
Siri ke 30 yang lepas telah dikupaskan mengenai penubuhan Kota Kubang Labu oleh Long Bahar. Sebelum membuka kota tersebut, Long Bahar mempunyai kisah yang penuh dengan ranjau. Asal beliau adalah golongan bangsawan yang tinggal di Istana Patani. Pergolakkan dalaman Istana telah membuatkan beliau membawa diri bersama-sama puteranya (Long Sulaiman) dari Patani ke Kota Jembal di Kelantan. Di tempat baru ini, beliau telah diperkenankan oleh Sultan Omar, Raja di Kota Jembal untuk berkahwin dengan puterinya Raja Pah.

Sebelum Tuan Besar Long Bahar membawa diri ke Kota Jembal, beliau merupakan suami kepada Raja Mas Kelantan yang telah dilantik oleh para pembesar Patani sebagai Raja. Kemudian Raja Mas Kelantan telah mangkat, dari perkahwinan ini beliau telah dikurniakan tiga orang anak iaitu:
  • Nang Roqaiya (Che Puan Besar)
  • Tuan Wan Anom Long Sulaiman
  • Nang Chayang (Raja Dewi Perachu)
Manakala dari perkahwinan dengan Raja Pah, Long Bahar telah dikurniakan seorang putera iaitu:
  • Tuan Long Yunus. Pada permulaanya beliau telah dilantik sebagai  Datu Charakan dan kemudiannya telah dilantik sebagai Raja Patani dengan gelaran Sri Paduka Sultan Haji Yunus.
Kami mengambil kesempatan pada ruangan ini untuk menambah sedikit pengisahan berkenaan zuriat Long Bahar yang bernama Nang Roqaiya kerana kisahnya pada sisi sejarah Kelantan sering tenggelam, walhal beliau juga seorang individu penting dalam memahami sejarah serantau (Pantai Timur Semenanjung). 

Sumber kajian genealogi menyatakan bahawa Nang Roqaiya adalah puteri kepada Long Bahar melalui perkahwinan dengan Raja Mas Kelantan. Beliau telah dikahwinkan dengan Paduka Sri Sultan Zainal Abidin I bin Dato Bendahara Tun Habib Abdul Majid. Pada pengisahan yang lepas Tun Zainal Abidin adalah anak angkat kepada Raja Mas Kelantan dan beliau telah dilantik sebagai Sultan di Sungai Terengganu. Begitulah yang diulas dalam sumber sejarah Patani, setelah penelitian dijalankan, perlantikan Tun Zainal Abidin tidak dijalankan secara ringkas sebaliknya ia berserta dengan ikatan perkahwinan yang nanti akan melahirkan pertalian darah. 

Perkahwinan Nang Roqaiya (Che Puan Besar) dengan Paduka Sri Sultan Zainal Abidin I telah melahirkan keturunan pemerintah Terengganu. Untuk rekod, Sultan Zainal Abidin I mempunyai 4 orang isteri dengan 7 orang putera dan 6 orang puteri. Nang Roqaiya adalah Sultanah Terengganu.

Latar Belakang Long Sulaiman
Sumber sejarah Kelantan menjelaskan bahawa Long Sulaiman adalah putera yang dibawa bersama-sama Long Bahar ketika membawa diri ke Kota Jembal. Sesudah Long Bahar berkahwin dengan Raja Pah, beliau membuka Kota Kubang Labu. Tidak lama kemudian, Sultan Omar yang juga ayahanda kepada Raja Pah telah mangkat dan tempatnya di Kota Jembal telah digantikan oleh Long Bahar semenjak itu beliau dikenali sebagai Tuan Besar. Beliau telah melantik anakandanya Long Sulaiman sebagai pemerintah di Kota tersebut, manakala beliau memerintah di Kota Jembal.

1746, beliau telah ditabalkan menjadi Raja Kota Jembal setelah ayahandanya, Long Bahar mangkat. Hal ini membuatkan beliau menjadi pemerintah bagi kedua-dua kota iaitu Kota Kubang Labu dan Kota Jembal beliau telah digelar sebagai Paduka Sri Raja.

Long Sulaiman mempunyai seorang putera dan dua orang puteri iaitu:

  • Tuan Long Yunus
  • Tuan Wan Dewi
  • Tuan Wan Kembang 

Pada masa beliau ditabalkan menjadi Raja, Kelantan pada waktu mempunyai beberapa City States yang lain seperti Kota Teras, Kota Mahligai, Kota Salor dan Kota Limbat cuma yang paling dominan dalam sejarah Kelantan adalah Kota Kubang Labu dan Kota Jembal.

Kemangkatan Long Sulaiman sebenarnya menjadi persoalan. Banyak kisah Raja-Raja Kelantan menyatakan bahawa Long Sulaiman mangkat dalam perebutan kuasa antara menantunya Long Deraman, yang juga perwaris Kerajaan Legeh pada 1756. Hal ini berlainan dengan apa yang tercatat dalam Royal Ark.net. Sumber tersebut menyatakan bahawa dalam perebutan kuasa itu, Long Deraman telah merampas kuasa dan Long Sulaiman telah disingkirkan dari takhta, beliau hanya mangkat pada tahun 1798. Satu lagi isu misteri dalam susur galur sejarah Kelantan.

Sejarah umum Kelantan menyatakan bahawa setelah Long Sulaiman mangkat dalam perebutan takhta, Long Deraman telah pulang ke Legeh dan Kota Kubang Labu telah diserahkan kepada Long Pandak merangkap sepupu Long Sulaiman, anak kepada Tuan Sulung yang merupakan adik beradik Tuan Besar Long Bahar. Penyerahan kuasa ini berlangsung pada 1756, namun ia telah tamat pada 1758 dalam satu peperangan epik dalam Sejarah Kelantan yang diingati sebagai Perang Kota Kubang Labu I dan disusuli dengan Perang Kota Kubang Labu II di mana perang ini telah melibatkan Long Yunus yang juga putera kepada Long Sulaiman.

Kesimpulan
Menyoroti Pemerintahan Long Sulaiman di Kota Jembal dan Kota Kubang Labu sebenarnya telah memberi gambaran bahawa, semenjak kehancuran Patani Besar, City States yang dahulu bersekutu kini dalam keadaan tidak teratur, segala peraturan dan undang-undang telah dilangkaui dengan sewenang-wenangnya. Reman dan Legeh cuba menunjukkan penguasaan keatas negara kota sekitar yang jauh dari pengaruh Siam, seperti Kota Kubang Labu dan Kota Jembal. Kerana itu dapat kita lihat, bagaimana Long Deraman boleh menyerahkan kuasa kepada Long Pandak seolah-olah tiada kuasa yang menghalang.

Apa yang jelas di sini adalah, tiadanya penaung keatas negeri-negeri tersebut makan negeri itu akan hilang kedaulatannya. Apabila itu berlaku, makan negeri akan berada dalam keadaan kucar kacir, seterusnya akan menghuru harakan negeri. Faktor inilah yang menyumbang kepada jati diri rakyat dalam negeri tersebut.

Gambar Hiasan dari Buku A Handbook KELANTAN 1908


Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:


Saturday, 8 November 2014

[Siri 30] Pengisahan Sejarah Kelantan : Tuan Besar Long Bahar Raja Kelantan 1715 - 1733

Pendahuluan
Hampir setahun yang lalu, kami telah mengisahkan mengenai Tuan Besar Long Bahar, dan bertitik tolak dari kisah Tuan Besar Long Bahar ini kami sedar perlunya menganalisis sejarah Raja-Raja Kelantan dari awal. Tertangguh sekian lama, pada saat inilah kami mempunyai ruang untuk membuat analisis berdasarkan daripada carta salasilah Raja-Raja Kelantan yang dimuatkan dalam buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting. Penerbitan artikel ini juga adalah satu usaha untuk menambah baik artikel sebelum ini.

Kisah Perang Kota Labu merupakan antara epik sejarah Kelantan kerana ia merupakan perang yang signifikan dalam sejarah Kelatan, ia berlaku sebanyak dua kali iaitu pada 1758 dan 1762. Namun itu adalah satu kisah yang berlainan tetapi masih bersusur galur dari pemerintahan Tuan Besar Long Bahar. Latar belakang Tuan Besar Long Bahar juga dicatat penuh pancaroba dan duka lara.

Dari Patani, beliau turun dan membawa diri ke Kelantan. Awalnya beliau adalah raja di Patani, kisah dinegeri tersebut penuh duka lara, lalu membawa diri ke Kelantan bersama puteranya. Di Kelantan telah berkahwin dengan anak Raja, dan membuka penempatan di satu tempat yang kini kawasan tersebut dalam kawasan Wakaf Bharu.

Kisah Hidup
Beliau merupakan putera kepada Wan Daim Datu Pengkalan Tua. Beliau disebut telah mengahwini Raja Mas Kelantan yang juga puteri kepada Raja Bakal Sultan Patani (1688-1690). Pada waktu itu, Raja Bakal telah lanjut usianya dan tidak lama kemudian beliau telah mangkat. Para pembesar Patani sepakat memilih Raja Mas Kelantan sebagai Raja. Saat ini beliau telah pun berkahwin dengan Long Bahar. 

Semasa pemerintahan Raja Mas Kelantan, Patani berada dalam keadaan yang genting kerana diancam oleh Siam yang semakin berpengaruh. Pelbagai usaha telah dijalankan dan yang paling penting adalah untuk mengukuhkan hubungan serantau dengan negeri-negeri Melayu yang lain. Tindakan yang paling utama telah dibuat oleh Raja Mas Kelantan dengan melantik Tun Zainal Abidin anak Bendahara Johor yang juga merupakan anak angkat beliau sebagai Sultan Terengganu. 

1707, Raja Mas Kelantan telah mangkat selepas 17 tahun memerintah Patani, perkahwinan beliau dengan Long Bahar telah menitihkan dua orang zuriat iaitu:

  • Nang Roqaiya (Che Puan Besar)*(Penambahan)
  • Long Sulaiman
  • Dewi Perachu
Pembesar Patani sebulat suara memilih Dewi Perachu sebagai Raja Patani menggantikan kedudukan bondanya yang telah mangkat dengan gelaran Raja Nang Chayang. Lapan tahun selepas itu, Raja Nang Chayang telah menyerahkan takhta Patani kepada ayahandanya Long Bahar pada 1715. Hal ini jelas telah menimbulkan kemarahan kepada pembesar Patani. Pada 1716, Long Bahar telah menyerahkan semula takhta Patani kepada Raja Nang Chayang lalu membawa diri ke Kota Jembal di Kelantan bersama-sama anak lelakinya Long Sulaiman. 

Pada masa tersebut, Kota Jembal diperintah oleh Raja Omar yang juga Sultan Kelantan. Kedatangan Long Bahar  ke Kota Jembal sangat dialu-alukan, malah Raja Omar memperkenankan puterinya Raja Pah untuk berkahwin Long Bahar. Raja Omar mempunyai seorang lagi zuriat lelaki yang dikenali sebagai Raja Kecil Sulong. 

Selepas perkahwinan dengan Raja Pah, Long Bahar telah memohon perkenan daripada Raja Omar untuk membuka sebuah penempatan baru, permohonan tersebut telah diperkenankan dan Long Bahar telah meneroka satu kawasan di seberang Sungai Kelantan lalu diberi nama penempatan tersebut sebagai Kota Kubang Labu pada 1717, semenjak dari itu, Long Bahar telah dikenali sebagai Tuan Besar.

Pada 1721, Raja Omar telah mangkat dan meninggalkan pemerintahan Kota Jembal dengan tiada kepastian khusus siapa perwaris mutlak. Hierarki pemerintahan mestilah dipegang oleh waris lelaki dan dalam perkara ini Raja Kecil Sulong lebih berhak untuk ditabalkan sebagai Raja. Namun catatan sejarah menyatakan bahawa Raja Kecil Sulong ini sayangkan rakyatnya yang mendiami Kota Teras yang beliau rajai buat sekian lama. Hal ini telah menyebabka Tuan Besar Long Bahar dilantik sebagai Raja Jembal menggantikan Sultan Omar pada 1721.

Kota Kubang Labu pula ditadbir oleh putera beliau, iaitu Long Sulaiman. Long Bahar memerintah di Kota Jembal selama 12 tahun dan mangkat pada 1733. Beliau memperoleh seorang putera hasil perkahwinan dengan Raja Pah iaitu Raja Yunus yang kemudiannya telah ditabal sebagai Raja Patani hingga 1749.

Kesimpulan
Kisah hidup Tuan Besar Long Bahar penuh liku dan mengalami pelbagai pancaroba, namun seperti kisah raja-raja, ianya berakhir dengan kegembiraan setelah menghadapi perjalanan hidup yang memedihkan. Seterusnya, Siri Pengisahan Raja-Raja Kelantan akan menyoroti pemerintahan Long Sulaiman.


Gambar Hiasan : Makan Sultan Omar
Gambar Hiasan : Papan Tanda ke Makan Sultan Omar


Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Kerajaan_Pattani
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2013/11/perang-kota-kubang-labu-1.html
  • http://artmelayu.blogspot.nl/2011/05/makam-tomb-of-raja-udang.html
  • http://lloni.wordpress.com/2009/10/03/kota-kota-yang-pernah-ujud-di-kelantan/
  • http://tenteraberkuda.blogspot.nl/2013/07/ziarah-9-ramadhan-1434-bahagian-2-makam.html
  • Salasilah Keturunan Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait

Wednesday, 5 November 2014

[Siri 29] Pengisahan Sejarah Kelantan : Wan Daim Raja Champa Terakhir 1684-1692

Pendahuluan
Wan Daim merupakan anak saudara kepada Sultan Ibrahim yang cuba mengembalikan kegemilangan Campa yang bebas dan merdeka. Beliau bersama-sama bapa saudaranya cuba untuk menjayakan aspirasi tersebut. Malang usaha mereka menemui kegagalan malah lebih mendukacitakan Campa juga telah terjajah. Bapa saudaranya telah mangkat ketika mereka sedang berusaha menentang Annam dari Kemboja. Sepupunya Wan Muhammad Amin telah dilantik sebagai Raja Campa oleh Regim Nguyen dan harus membayar ufti kepada Dai Viet. 

Regim Nguyen melantik pula Wan Daim sebagai Raja Campa yang baru dengan gelaran Po Top. Pemerintahan beliau lebih kepada Kerajaan Boneka Annam. Beliau sekadar mempunyai gelaran raja tetapi tidak mempunyai kuasa untuk memerintah. Perkara ini jelas tidak memihak kepada orang-orang Melayu Campa, kerana itu Wan Daim cuba membebaskan Campa dari Annam.

Usaha Pembebasan 
Pada 1692, Wan Daim telah merancang untuk melancarkan pemberontakan menuntut Wilayah Kauthara. Rancangan beliau adalah melancarkan pemberontakan dari arah Pandurangga dan dibantu oleh seripahan pengikut Nik Ibrahim dari sempadan Kemboja. Sebelum serangan itu dilancarkan, Regim Nguyen terlebih dahulu berjaya menghidu pergerakan tersebut. Tentera Dai Viet telah mengepung kedudukan tentera Campa dari tiga arah menyebabkan tentera Campa terperangkap dan terpaksa berundur dan semenjak itu penduduk Melayu di Campa mula membawa diri ke wilayah Melayu yang lain di Nusantara.

Wan Daim dan keluarganya telah membawa diri ke Patani. Campa pula seterusnya diperintah oleh Raja Boneka yang dilantik oleh Regim Nguyen. Berkahirlah pemerintahan Islam berdaulat di Campa. Hingga kini masih terdapat masyarakat Melayu Cham namun mereka hanya menjadi minoriti, mereka tersebar ke merata tempat paling ramai di Kemboja seterusnya di Patani dan Kelantan.

Wangsa
Raja
Nama Sebenar
Memerintah
Mangkat
Wangsa I
Sri Mara
Ou Lian
192–?
 ?
 ?
Fan Xiong
fl. 270
Fan Yi
c. 284 – 336
Wangsa II
Fan Wen
336–349
Fan Fo
349–?
Bhadravarman I
Fan Huta
fl. 377
Gangaraja
Fan Dizhen
Manorathavarman
Fan Diwen
mangkat c. 420
Wangsa III
Fan Yang Mai I
Fan Yangmai
c. 420 – c. 431
Fan Yang Mai II
Fan Duo
c. 431 – c. 455
Fan Shencheng
c. 455 – c. 484
Fan Danggenchun
c. 484 – c. 492
Fan Zhunong
c. 492 – c. 502
Fan Wenkuan
or Fan Wenzan
c. 502 – c. 510
Devavarman
Fan Tiankai
c. 510 – c. 526
Vijayavarman
c. 526/9
Wangsa IV
Rudravarman I
c. 529 ?
Sambuvarman
Fan Fanzhi
c. 605
Kanharpadharma
Fan Touli
c. 629 ?
Bhasadharma
Fan Zhenlong
 ? 640–
Bhadresvaravarman
645–?
Isanavarman (wanita)
died 653
Vikrantavarman I
Zhuge Di
653–?
Vikrantavarman II
c. 686 – c. 731
Rudravarman II
c. 731/58
Wangsa V (Panduranga)
Prithindravarman
 ? 758–?
Satyavarman
c. 770/87
Indravarman I
c. 787/803
Harivarman I
c. 803/17 > ?
Vikrantavarman III
 ? -c. 854
Wangsa VI (Bhrigu)
Indravarman II
c. 854/98
Jaya Sinhavarman I
c. 898/903
Jaya Saktivarman
Bhadravarman II
fl. 910
Indravarman III
c. 918 – 959
Jaya Indravarman I
959– < 965
Paramesvaravarman I
< 965–982
Indravarman IV
982–986's
Lieou Ki-Tsong, of Annam
c. 986 – 989
VII Dynasty
Harivarman II
c. 989–
Yan Pu Ku Vijaya
c. 999/1007
Harivarman III
fl. 1010
Patamesvaravarman II
fl. 1018
Vikrantavarman IV
 ?–1030
Jaya Sinhavarman II
1030–1044
Wangsa VIII (Selatan)
Jaya Paramesvaravarman I
1044–?
Bhadravarman III
 ?–1061
Rudravarman III
1061–1074
Wangsa IX
Harivarman IV
1074–1080
Jaya Indravarman II
1080–1081, 1086–1114
Paramabhodhisatva
1081–1086
Harivarman V
1114–1139
Wangsa X
Jaya Indravarman III
1139/45
Wangsa XI
Rudravarman IV (Sembah Kemboja)
1145–1147
Jaya Harivarman I
1147–1167
Jaya Harivarman II
1167
Jaya Indravarman IV
1167–1190, died 1192
Wangsa XII
Suryajayavarman (Sembah Kemboja di Vijaya)
1190–1191
Suryavarman (Sembah Kemboja di Pandurang)
1190–1203
Jaya Indravarman V (di Wijaya)
1191
Cam Bốt thuộc
1203–1220
Jaya Paramesvaravarman II
1220 – c. 1252
Jaya Indravarman VI
c. 1252 – 1265
Indravarman V
1265–1288
Jaya Sinhavarman III
1288–1307
Jaya Sinhavarman IV
1307–1312
Chế Nang (Sembah Annam)
1312–1318
Wangsa XIII
Chế A Nan
1318–1342
Trà Hoa Bồ Đề
1342–1360
Chế Bồng Nga (Raja Merah Agung)
1360–1390
Wangsa XIV
Ko Cheng
1390–1400
Jaya Sinhavarman V
1400–1441
Maija Vijaya
1441–1446
Moho Kouei-Lai
1446–1449
Moho Kouei-Yeou
1449–1458
Wangsa XV
Moho P'an-Lo-Yue
1458–1460
P'an-Lo T'ou-Ts'iuan
1460–1471
Wangsa Selatan
Po Ro Me
1627–1651
Po Niga
1652–1660
Po Saut
1660–1692
Wangsa Poh Sakti Raida Puteh, pemerintah Champa menyembah ke maharaja Nguyễn Vietnam
Po Saktirai da putih
1695–1728
Po Ganvuh da putih
1728–1730
Po Thuttirai
1731–1732
vacant
1732–1735
Po Rattirai
1735–1763
Po Tathun da moh-rai
1763–1765
Po Tithuntirai da paguh
1765–1780
Po Tithuntirai da parang
1780–1781
vacant
1781–1783
Chei Krei Brei
1783–1786
Po Tithun da parang
1786–1793
Po Lathun da paguh
1793–1799
Po Chong Chan
1799–1822
Senarai Pemerintah Champa : Sumber Sanskarta Melayu


Hubungan dengan Patani

Wan Daim dan ahli keluarganya telah membawa diri dari Campa ke Patani. Keturunan beliau mempunyai pertalian darah dengan pemerintah Patani, jadi kehadiran beliau telah diterima dengan baik oleh Patani, malah beliau telah dilantik sebagai Datu Jambu.

Beliau sebenarnya adalah putera kepada Raja Singgora, Nik Badrulsalam. Sebelum berangkat ke Campa, beliau telah dilantik sebagai Datu Jambu oleh Sultan Patani. 8 tahun beliau telah dilantik sebagai Raja Campa menggantikan sepupunya hinggalah diusir oleh Regim Nguyen. Justeru beliau telah diterima kembali sebagai Datu Jambu dan pada kali ini beliau dikenali sebagai Datu Pengkalan Tua. 

Beliau mempunyai empat orang putera iaitu:

  • Tuan Sulung
  • Tuan Long Nik
  • Tuan Besar
  • Tuan Long Senik

Dalam sejarah Kelantan, Tuan Besar adalah individu penting untuk kita fahami. Beliau merupakan individu yang menurukan keturunan Kesultanan Kelantan pada hari ini kerana beliau merupakan nenda kepada alMarhum Baginda Long Yunus.

Kesimpulan
Wan Daim merupakan bapa kepada Tuan Besar, sejarah dan maklumatnya tidak kuat jika dikaji dari perspektif sejarah Kelantan kerana beliau secara tidak langsung muncul dalam salasilah Kelantan kerana beliau lebih dominan dalam sejarah Campa. Bagaimanapun, selidikan lanjut perlu dilakukan untuk mengetahui peranan beliau sebelum terkait dalam keturunan Raja-Raja Kelantan. Ramai penyelidik mengulas akan pengelibatan Tuan Besar dalam sejarah Kelantan hingga dengan jelas kita dapat mengetahui susur galur beliau. Seterusnya penulis akan mengisahkan mengenai Tuan Besar dan peranan beliau dalam pemerintahan di Kelantan, Insha Allah!


Gambar Hiasan : Gajah Perang Tentera Campa [Sumber]


Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...