SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday, 19 November 2014

[Siri 32] Pengisahan Sejarah Kelantan : Paduka Sri Sultan Long Yunus 1763-1795

Pendahuluan
Kisah Long Yunus sentiasa mendapat tempat dihati segenap lapisan rakyat Kelantan. Beliau sentiasa diingati, ramai juga mengetahui latar belakang beliau secara kasar memandangkan dari beliau lahirlah waris Kesultanan Kelantan pada hari ini. Seperti yang kita sedia maklum, Long Yunus adalah putera kepada Long Sulaiman yang disebut sebagai mangkat dalam perebutan kuasa dengan Long Deraman, setelah itu Kelantan berada dalam keadaan interregnum iaitu satu tempoh perpindahan kuasa.

Sewaktu tercetusnya perebutan kuasa antara Long Sulaiman dengan menantunya Long Deraman, beliau memegang tampuk pemerintahan di Kota Kubang Labu dan Kota Jembal. Setelah Long Sulaiman disingkirkan, Long Deraman telah pulang ke Legeh dan pemerintahan di Kota Kubang Labu diserahkan kepada Long Pandak.

Ketika inilah berlaku tempoh perpindahan kuasa dari legasi pemerintah asal (Long Sulaiman) kepada keturunan pemerintah yang lain (Long Pandak), keadaan ini pastinya mencentuskan suasana huru hara dan kacau bilau dalam negeri. Pemerintah bertelagah dan rakyat hidup dalam keadaan sengsara, pembangunan negeri juga terbantut. Pemerintahan Long Pandak di Kota Kubang Labu disebut amat menekan rakyat hingga ada sumber menyebut pemerintahan beliau adalah satu pemerintahan yang zalim, dan ia mendapat simpati dari lapisan pemimpin yang lain dan ia berlaku hingga menimbulkan perasaan kurang senang pada Long Pandak.

Siapa Long Pandak
Long Pandak merupakan cucu Wan Daim Datu Pengkalan Tua sama seperti Long Sulaiman dan Long Deraman mereka semua adalah sepupu dan boleh dijelaskan seperti berikut:
  • Long Sulaiman bin Long Bahar Raja Kota Jembal bin Wan Daim
  • Long Deraman bin Long Nik Datu Pujud bin Wan Daim
  • Long Pandak bin Long Sulung Datu Kelantan Barat bin Wan Daim 
Jawatan Datu telah kita ketahui bahawa ia adalah anugerah daripada Kesultanan Patani, bagaimanapun pada waktu kemelut di Kelantan, Patani telah ditakluk secara total oleh Siam, malah Kedah juga pada masa ini dalam jajahan Siam. Justeru, tidak hairan keadaan kacau bilau berlaku di Kelantan pada era itu. Long Pandak sebenarnya mempunyai perhubungan erat dengan kerajaan Melayu lain, hal ini dapat dijelaskan, bahawa beliau telah dianugerahkan dengan gelaran Dato Sri Maharaja oleh Sultan Sulaiman, Sultan Johor pada 7 Januari 1741. Beliau juga telah berkahwin dengan sepupu yang juga adik kepada Long Deraman iaitu Tengku Ngah (Puteri Neng Mas). 

Perluasan kuasa secara total mungkin menjadi punca utama kenapa berlaku perebutan kuasa antara Long Deraman dengan Long Sulaiman, walaupun mereka mempunyai pertalian darah yang dikukuhkan dengan hubungan erat melalui perkahwinan. Setelah Long Sulaiman disingkirkan maka wujud satu kawasan yang merangkumi Legeh-Pujud-Kota Kubang Labu-Jembal namun gabungan ini masih lemah dan tidak dapat dipastikan secara mutlak siapa penguasa yang sebenar. Long Deraman di Legeh, Long Pandak di Kota Kubang Labu-Jembal, dan Long Nuh di Pujud.

Satu maklumat yang dapat diketengahkan mengenai pemberian Kota Kubang Labu oleh Long Derahman kepada Long Pandak, adalah atas faktor hubungan yang erat antara Kesultanan Johor dengan beliau, dan perkara ini menjadi satu langkah yang signifikan untuk mengekalkan kedaulatan negeri, dan bagi pihak Johor juga hubungan dua hala antara kerajaan di sebelah utara juga penting untuk mendapatkan bantuan dan sokongan kerana mereka juga menghadapi ancaman serantau pada masa tersebut.

Justeru, kedudukan Long Pandak di Kota Kubang Labu adalah penting dalam pemerintahan Long Derahman, namun ibarat pepatah Panas yang terik di pagi hari tidak berpanjangan, mendung mega berarak sebelah petangnya. Hubungan erat antara Long Deraman dengan Long Pandak seperti berkerat rotan berpatah arang mereka akhirnya berperang sesama sendiri.

Perang Kota Kubang Labu 1
Perang ini antara Long Deraman dan Long Pandak ini diingati oleh ramai rakyat Kelantan dan mereka mengenal perang ini sebagai Perang Kota Kubang Labu. Sejarah menyatakan ia berlaku sebanyak dua kali dan kedua-duanya melibatkan Long Yunus dan Long Ghafar. Perang antara Long Pandak dengan Long Deraman ini tercetus ekoran pembunuhan Tengku Ngah (Puteri Neng Mas) isteri Long Pandak yang juga adik kepada Long Deraman. Pembunuhan Neng Mas ini disebut berlaku atas perasaan cemburu dan tindakan tidak bertimbang rasa Long Pandak yang menuduh dengan melulu isterinya itu telah bermukah dengan Long Ghafar.

Long Ghafar adalah putera kepada Raja Reman, dan juga merupakan sepupu kepada Long Deraman. Long Ghafar ini pula disebut bersahabat baik dengan Long Yunus, putera kepada Long Sulaiman. Satu kemungkinan dapat ditimbulkan disini, adakah salah faham Long Pandak terhadap isterinya, Neng Mas merupakan satu konspirasi? Hal ini mungkin sahaja benar, kerana semua amat maklum Long Ghafar seperti adik beradik dengan Long Yunus mereka juga ada pertalian darah kemungkinan besar, kedua sahabat ini sedang berusaha untuk memulihkan kuasa pemerintahan seperti mana dipegang oleh Long Sulaiman yang telah disingkirkan.

Pada sekian waktu, Long Ghafar telah diamanahkan oleh ayahandanya untuk melawat Terengganu. Beliau telah berangkat bersama-sama Long Yunus dalam perjalanan itu, mereka telah singgah di Kota Kubang Labu untuk melawat Puteri Neng Mas, kebetulan pada waktu itu Long Pandak telah keluar dari kota untuk berburu. Menjadi kelaziman anak-anak bangsawan memakai pakaian yang segak dihiasi aksesori tertentu, salah satu darinya adalah Kain Cindai. Guna kain tersebut adalah sebagai perisai dan ianya dibuat dengan tenunan dari bahan yang tertentu. Puteri Neng Mas telah tertarik dengan Kain Cindai yang dipakai oleh Long Ghafar kerana ia satu hasil tangan yang unik dengan namanya yang disebut sebagai Kain Cindai Chepa Melaka dan meminta untuk ditiru corak kain tersebut. Tanpa keberatan, Long Ghafar telah menyerahkan kain cindai yang dipakainya kepada sepupunya itu, hal ini telah disaksikan oleh Long Yunus. Kerana kesuntukan masa, Long Ghafar dan Long Yunus telah berangkat ke Terengganu dan meninggalkan kain tersebut untuk ditiru coraknya.

Sekembali Long Pandak dari perburuan, beliau telah menemui Kain Cindai yang dipinjamkan oleh Long Ghafar kepada isterinya itu lantas tanpa usul periksa beliau telah menuduh isterinya bermukah (zina). Serentak dengan itu, Long Pandak telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap isterinya, tidak cukup dengan itu jenazah Neng Mas telah diaibkan dengan membelah perutnya serta mengikat jenazah tadi pada belakang Neng Malai, seekor gajah yang dihadiahkan oleh Long Deraman kepada beliau. Perbuatan Long Pandak sunggguh hina dan memalukan, dan perkara ini telah diketahui oleh Raja Legeh (Long Deraman) dan Raja Reman.

Long Deraman telah mengetuai angkatan perang dari Legeh, manakala Long Ghafar pula mengepalai pasukan askar daripada Reman. Tecetuslah perang di Kota Kubang Labu pada 4 September 1758, Long Deraman telah menikam mati Long Pandak sebagai balasan berlaku kejam terhadap adinda beliau. Long Deraman telah melantik Raja Muda Kota Kubang Labu, Long Muhammad yang juga adik kepada Long Pandak sebagai Raja Kelantan dengan syarat beliau berlaku adil kepada semua rakyat di Kubang Labu hingga ke Kota Teras dan Kota Senang.

Tamat perang dan perlantikan Raja Kelantan yang baru, Long Ghafar dan Long Yunus telah pulang ke Terengganu, manakala Long Deraman terus memerintah di Legeh. Situasi ini jelas tidak memihak kepada pemerintah asal dari keturunan Long Sulaiman dan pasti mereka merencana untuk mengembalikan tampuk pemerintahan yang sebenar.

Perang Kota Kubang Labu 2
Perang ini meletus disebabkan Long Muhammad telah menyerang hendap Long Ghafar dan Long Yunus di Kuala Besut yang dalam perjalanan pulang ke Kelantan setelah membantu Sultan Mansur 1, Sultan Terengganu mengalahkan serangan Bugis. Serangan Long Muhammad itu berjaya dipatahkan kerana Long Ghafar dan Long Yunus telah dibantu oleh hulubalang Terengganu, ekoran itu dua sahabat tersebut telah merangka serangan balas ke atas Long Muhammad di Kota Kubang Labu. Peperangan kali ini berlangsung secara sistematik di mana ia pertama kali menyaksikan rakyat Kelantan bersatu bersama-sama pemimpin mereka bangkit menentang kebatilan yang berpunca dari pemerintah.

Sejarah merekodkan, serangan pada Julai 1763 diketuai oleh Long Yunus dan Long Ghafar yang dibantu oleh angkatan perang Sultan Mansur 1, Sultan Terengganu (1733-1794) dan ia turut disertai oleh:
  • Penghulu Adas dan pahlawan dari Kadok
  • Long Ghafar dan Pahlawan dari Jeram, Pasir Puteh
  • Mandur Mis atau Tuan Khomis serta Pahlawan dari Kubang Garong
  • Long Yunus dan Panglima serta hulubalang Terengganu
Serangan dilancarkan dari tiga arah, iaitu dari arah 
  • Pengkalan Lisir yang dilancarkan oleh angkatan Long Ghafar
  • Pengkalan Gong Chipa serangan dilakukan oleh angkatan Long Yunus
  • Pengkalan Kebun dilakukan oleh angkatan perang Penghulu Adas dan Mandur Mis
Kota Kubang Labu yang diperintah oleh Long Muhammad telah menyedari akan diserang oleh Long Yunus dan Long Ghafar yang mendapat bantuan Terengganu. Long Deraman telah turun dari Legeh bersama-sama angkatan perangnya untuk menghulurkan bantuan kepada Long Muhammad di Kota Kubang Labu.

Long Ghafar telah menentang Long Muhammad dari arah Timur (Pasir Pekan), Long Yunus pula berhadapan dengan Long Deraman dari arah Selata (orang yang telah menyebabkan ayahandanya Long Sulaiman disingkirkan dari Kota Kubang Labu pada 1756). Penghulu Adas dan Mandur Mis pula disaingi dengan sengit oleh Panglima Umar Kampung Laut dari arah Utara. Serangan ini berlangsung selama beberapa hari.

Akhirnya, Long Muhammad telah mangkat akibat tikaman dari hadapan oleh Long Ghafar, Long Deraman pula telah mengalami kecedaraan yang parah ekoran terkena lembing yang dilontar oleh Long Yunus dan telah mangkat sewaktu diselamatkan oleh panglima dan hulubalang Legeh. Panglima Umar juga mengalami nasib yang sama. Perang ini tamat pada 12 Julai 1763 berikutan kemangkatan Long Muhammad dalam serangan ini.

Dua Versi
Versi Long Ghafar menyatakan bahawa selepas tamat perang Kota Kubang Labu II, beliau telah membuka Kota Jelasin, setahun selepas itu beliau memindahkan pusat pentadbiran di Limbat pada tahun 1762, saat ini bermula gelar Kelantan sebagai Negeri Kerat Lintang berikutan pembahagian sebahagian Kelantan antara beliau dengan Long Yunus. Pembahagian ini dilakukan sebagai mengenang sumbangan Long Yunus dalam Perang Kota Kubang Labu. Sungai Pasir Tumboh menjadi sempadan antara negeri yang dikerat lintang ini.

Versi Long Yunus pula menyatakan setelah tamat perang Kota Kubang Labu, Long Ghafar telah mencadangkan agar Long Yunus ditabal sebagai Raja seluruh Kelantan menggantikan Long Muhammad yang telah mangkat. Pembesar Kota Kubang Labu telah bersetuju dengan cadangan Long Ghafar dan ditabalkanlah Long Yunus sebagai Sultan Kelantan pada 12 Julai 1763.

Waris
Semasa Long Yunus mengikuti rombongan Long Ghafar ke Terengganu, beliau telah dikahwinkan dengan Tuan Inche Jumat, Cik Puan Balai Dua anak perempuan kepada Engku Tanang Wangsa Terengganu sebelum 1741 dan berkahwin buat kali kedua dengan Encik Tuan Nawi puteri ke tujuh Sultan Mansur I, Sultan Terengganu pada 1793.

Beliau mempunyai 7 orang Putera dan 6 orang Puteri berlainan ibu antaranya:

Putera
  • Tengku Tuan Long Pandak, Raja Muda Kok Keranji
  • Tengku Long Yusuf, pemerintah Bukit Panjor
  • Tengku Tuan Long Muda, pemerintah Bukit Marak
  • Tengku Long Ismail, Raja Muda Kampung Laut
  • Tengku Long Zainal, Raja Bendahara Banggol
  • Tuan Long Muhammad, Sultan Muhammad 1 (1800-1835)
  • Tengku Long Tan, Tengku Temenggong Aria Pahlawan di Galas
Puteri
  • Tengku Tuan Namah
  • Cik Ku Wan Teh
  • Cik Ku Tila, Engku Puan di Balairong
  • Cik Ku Tuan Nawi, Cik Puan Kelantan kahwin dengan Tengku Muhammad putera kedua kepada Sultan Mansur Shah I, Sultan Terengganu.
  • Cik Ku Wan Penambang
  • Cik Ku Telor
  • Cik Ku Wok
  • Cik Ku Wan Ngah, Tuan Dagang
Setelah kemangkatan Paduka Sri Sultan Long Yunus pada 1795, pemerintahan Kelantan melalui satu fasa yang sulit dan sensitif untuk difahami. Disebut pemerintahan Kelantan telah dirajai oleh Tengku Muhammad yang juga menantu Long Yunus dari tahun 1795 hingga 1800. Tengku Muhammad telah berkahwin dengan Cik Ku Tuan Nawi. Lima tahun pemerintahan, beliau telah menyerahkan takhta Kerajaan Kelantan kepada Long Muhammad pada tahun 1800.

KESIMPULAN
Susur galur Long Yunus memang panjang dan rumit untuk ditafsir kerana pengaruh dan peranan Long Ghafar juga kuat, berbagai andaian dan kisah telah muncul. Namun, artikel ini wajib menghormati susur galur Kesultanan Kelantan pada hari ini kerana Baginda Tuanku Sultan dan generasi terdahulu telah banyak memainkan peranan dalam membentuk Negeri Kelantan sepertimana yang kita lihat hari ini.  

Pelan Kedudukan Kota Kubang Labu 1717-1763


Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2013/11/perang-kota-kubang-labu-1.html
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Terengganu
  • http://mattrahman.blogspot.nl/2009/11/peristiwa-kota-kubang-labu-ii.html
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Perbandingan_Raja_Kelantan_Long_Gaffar_dan_Long_Yunus
  • http://sejarahkelantan.files.wordpress.com/2012/11/peta-kota-kubang-labu1.jpg
  • Royal Ark.net
  • Salasilah Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait


Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...