SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday 25 November 2014

[Siri 34] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Muhammad I 1801-1835

Pendahuluan
Kelantan yang disatukan oleh Long Yunus telah menjadi berantakan ekoran diserang oleh Terengganu selepas kemangkatan beliau. Keadaan aman hanya dikecapi selama 32 tahun oleh rakyat Kelantan, kini negeri ini terjerumus semula dalam kekacauan yang diakibatkan perang. Abang ipar beliau, Tengku Muhammad telah ditabal oleh Sultan Zainal Abidin II pada 1795 sebagai Pemangku Raja. 

Semua jawatan waris Long Yunus telah dilucutkan oleh Tengku Muhammad yang mendapat sokongan daripada Terengganu dan Siak. Long Muhammad juga tidak terkecuali, kerana pada waktu itu beliau merupakan Raja di Kubang Labu.

Latar Belakang
Nama asal beliau adalah Long Muhammad ibni alMarhum YM Paduka Sri Sultan Long Yunus. Pada tahun 1756, beliau telah dianugerahkan untuk memerintah Kota Kubang Labu juga dikenali sebagai Kelantan Barat. Selepas kemangkatan ayahandanya, beliau telah disingkirkan oleh abang iparnya, Tengku Muhammad dari pemerintahan di Kubang Labu.

Bonda beliau ialah Encik Jumat, Che Puan Besar seorang bangsawan Terengganu. Baginda Long Yunus ditakdirkan mempunyai zuriat yang ramai. Bagaimanapun, semasa hayatnya, beliau telah memberikan kawasan pemerintahan kepada semua puteranya dan ia adalah suatu yang adil walaupun ada antara mereka mendapat kawasan pemerintahan jauh dari Kota Bharu.

Beliau ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, kerana itu beliau telah digelar sebagai Sultan Mandul, mengikut catatan sejarah beliau telah berkahwin buat kali kedua dan mempunyai seorang anak, namun sumber tersebut juga ragu-ragu untuk mengesahkan akan waris daripada beliau, kerana sepanjang hayat beliau gelaran Sultan Mandul itu kekal pada dirinya.

Sumbangan beliau yang paling besar pada negeri Kelantan adalah kejayaan beliau menyingkirkan pengaruh Terengganu dari Kota Bharu pada 15 Mei 1801. Seterusnya beliau telah ditabalkan sebagai Raja dan Yang diPertuan Besar Kelantan pada 17 November 1801.

Sewaktu pemerintahan beliau, keadaan di Kelantan kembali sediakala seperti era pemerintahan Long Yunus. Sultan Muhammad I telah mangkat pada 25 June 1835 di Pulau Saba, dan dimakamkan di Makam diRaja Kampung Langgar,  Kota Bharu.

Kemangkatan beliau dengan tidak menamakan perwaris yang sah telah menyebabkan Kelantan sekali perang saudara dalam kerabat Long Yunus. Pembesar dan kerabat Kesultanan Kelantan pada waktu itu telah bersetuju menabalkan Tengku Long Zainal (Tengku Jenal) sebagai Sultan Kelantan menggantikan Sultan Muhammad I. Hal ini telah menimbulkan kurang senang dari perwaris-perwaris Long Yunus yang sememangnya ramai itu.

Kesimpulan
Sultan Muhammad I adalah individu yang paling berpengaruh setelah ayahanda beliau iaitu alMarhum Sultan Long Yunus, usaha beliau menyingkirkan pengaruh Terengganu di Istana Kelantan telah melayakkan beliau ditabalkan sebagai Sultan Kelantan. Bagaimanapun, kerana mangkat tidak menyatakan pengganti yang sah, telah menyebabkan Kelantan kembali kepada keadaan kacau bilau. Sekali lagi berlaku perebutan kuasa dari waris-waris alMarhum Sultan Long Yunus. Begitulah nasib negeri ini, sentiasa dirundung malang walau mempunyai kisah yang gemilang. Sesusah mana sekalipun, rakyat marhaen Kelantan tetap meneruskan kelangsungan survival mereka menjadi manusia kental.

Gambar Hiasan: Istana Kota Lama, merupakan istana yang dibina menggatikan
Istana di Pulau Saba yang telah tenggelam ke dalam Sungai Kelantan.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...