SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday 20 November 2014

[Siri 33] Pengisahan Sejarah Kelantan : Tengku Muhammad Ibni alMarhum Sultan Mansur I 1795-1801

Pendahuluan
Ramai pengamat sejarah negeri Kelantan menyatakan Kesultanan Kelantan pada hari ini adalah dari keturunan Sultan Terengganu berikutan Tengku Muhammad, putera kedua kepada Sultan Mansur I telah ditabal menggantikan Long Yunus. Jika kita teliti, bonda kepada Sultan Mansur adalah Neng Roqaiya yang juga dikenali sebagai Cik Puan Besar di Terengganu. Neng Roqaiya adalah puteri kepada Long Bahar hasil perkahwinan dengan Raja Mas Kelantan yang pernah ditabal sebagai Raja Patani. 

Secara langsungnya, Sultan Mansur I adalah cucu Long Bahar manakala zuriat beliau adalah cicit kepada Long Bahar dan ini menyatakan bahawa Kesultanan Kelantan, Terengganu dan Patani  serta Johor mempunyai hubungan yang erat. Justeru, tidak menghairankan kenapa Tengku Muhammad yang juga suami kepada Che Ku Tuan Nawi (anak Long Yunus dengan Tuan Cik Jumat yang berdarah bangsawan dari Terengganu) telah menaiki takhta Kelantan setelah kemangkatan Long Yunus. Dicatatkan, Tengku Muhammad telah ditabal sebagai Pemangku Raja dengan gelaran Yang diPertuan Muda dari tahun 1795 hingga 1800.

Apa yang berlaku sebenarnya?
Hubungan Long Yunus dengan Sultan Mansur I sebelum ini sangat akrab, bagaimanapun pada penghujung pemerintahan Long Yunus, Terengganu telah cuba menyerang Kelantan atas satu sebab yang tidak dapat dipastikan. Selepas Long Yunus mangkat pada 1795, Terengganu dan Kelantan telah berperang. Kelantan telah kalah kepada Terengganu dalam kedua-dua serangan ini, pihak Siak telah membantu Terengganu dalam serangan ini.

Pada 1794, Sultan Mansur I telah mangkat dan Sultan Zainal Abidin II telah ditabal sebagai Sultan Terengganu. Serangan Terengganu keatas Kelantan dilakukan semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin II, dan kekalahan Kelantan juga menyaksikan Tengku Muhammad ibni Sultan Mansur I yang juga menantu Long Yunus telah ditabalkan sebagai Pemangku Raja dengan gelaran Yang diPertuan Muda oleh kekandanya, Sultan Zainal Abidin II pada 1795.

Pada 1801, Long Muhammad salah seorang putera Long Yunus telah melancarkan serangan balas untuk membebaskan Kelantan daripada pengaruh Terengganu. Serangan dilancarkan dari arah Hulu Kelantan, dan angkatan Long Muhammad juga terdiri daripada penduduk setempat yang berbilang kaum, dan mereka termasuklah Orang Cina. Serangan tersebut berjaya mengusir Tengku Muhammad dari takhta Kelantan dan serentak dengan itu Long Muhammad telah menggelarkan diri beliau sebagai Sultan Muhammad I Khalilullah.

Kesimpulan
Sultan Zainal Abidin II dari Terengganu telah menyerang Kelantan atas sebab yang kita kurang jelas, persoalan utama, dimana peranan Long Ghafar pada waktu tersebut? Sedangkan ramai yang mengatakan beliau yang mempunyai kuasa mutlak keatas Kelantan pada masa tersebut. Serangan dari Terengganu telah dilancarkan sebanyak dua kali, dan serangan kali kedua telah menyebabkan kekalahan Kelantan secara langsung hingga Tengku Muhammad ibni Sultan Mansur I telah dilantik sebagai Pemangku Raja oleh Sultan Terengganu yang juga kekanda Tengku Muhammad.

Dua perkara utama yang harus dipersoalkan dalam artikel ini adalah :
  1. Peranan Long Ghafar dalam menangkis serangan Terengganu
  2. Sebab-sebab Terengganu menyerang Kelantan.
Apa sekalipun, salah seorang Putera Long Yunus, iaitu Long Muhammad telah berjaya mengusir pengaruh Terengganu dalam istana Kelantan juga melalui serangan yang pastinya telah mengakibatkan pertumpahan darah. Inilah suratan takdir yang harus kita ambil untuk dijadikan pengajaran untuk masa mendatang, kuasa yang ada di tangan akan hancur bagaikan debu sekiranya tidak berpegang pada apa yang telah disuruh Allah s.w.t.

Jata Negeri Terengganu yang telah dilukis oleh
Encik Mohamad Abdul Rahim dan telah
diputuskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Jumaah Negeri
untuk Kegunaan Rasmi pada 1932.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Corak_Pemerintahan_Kelantan_Lampau
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Perbandingan_Raja_Kelantan_Long_Gaffar_dan_Long_Yunus
  • http://protokol.terengganu.gov.my/maxc2020/agensi/article.php?cid=11&aid=2548
  • http://www.royalark.net/Malaysia/treng3.htm
  • Royal Ark.net
  • Keturunan Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...