SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday, 26 November 2014

[Siri 35] Pengisahan Sejarah Kelantan : Tengku Long Zainal Ibni alMarhum Sultan Long Yunus (Long Jenal) Jun-Ogos 1835

Pendahuluan
Kemangkatan Sultan Muhammad I yang tiada berputera malah meninggalkan Kelantan dengan tiada dinamakan perwaris yang sah telah menyebabkan Kelantan kembali ke kancah perebutan takhta. Perwaris baginda Sultan dibayangi kesamaran, walaupun baginda di gelar Sultan Mandul sumber sejarah ada menyatakan beliau mempunyai seorang putera, bagaimanapun ianya tidak dapat disahkan. Baginda disebut mempunyai dua orang anak angkat yang juga merupakan anak saudara beliau sendiri iaitu:
  • Long Senik [Mulut Merah] ibni Tengku Long Tan ibni Long Yunus
  • Long Bongsu ibni Tengku Long Tan ibni Long Yunus

Long Tan disebut telah mangkat sebelum 1835, justeru menjadi tanggungjawab saudara mara terdekat seperti Sultan Muhammad I untuk menjaga kebajikkan anak yatim tambahan beliau sendiri tidak mempunyai zuriat. 

Seperti yang kita sedia maklum, Sultan Muhammad 1 bukanlah putera pertama kepada alMarhum Sultan Long Yunus, baginda berkedudukan putera yang keenam, manakala Tengku Long Zainal adalah putera kelima. Beliau ditabalkan menjadi Sultan Kelantan kerana dari usaha beliaulah Kelantan telah bebas daripada pengaruh Terengganu dan bernaung pula di bawah Siam dengan membayar ufti bagi mengelak ancaman yang mendatang.


Latar Belakang
Beliau telah dilantik sebagai Raja Bendahara Banggul pada 17 November 1801 semasa pemerintahan Sultan Muhammad I. Pemerintahan Sultan Muhammad I, menyaksikan Kelantan telah bernaung di bawah Siam untuk mengelakkan serangan serta menamatkan ancaman daripada Terengganu, justeru untuk mengekalkan hubungan dua hala ini, Raja Siam, Raja Rama I telah menganugerahkan gelaran Phaya Bangul (Raja Banggul) pada tahun 1812 dan Phra Bidaksha pada 1842.

Long Jenal mempunyai 6 orang anak iaitu:
  • Tuan Long Abdul Rahman
  • Tengku Kling
  • Tengku Tengah (Tuan Tango) menjadi Penasihat Raja Patani sehingga 1890
  • Tengku Chik suami kepada Tengku Labuh binti Long Muhammad (Raja Patani)
  • Tuan Long Idris
  • Engku Lebai

Perang Saudara
Kemangkatan alMarhum Sultan Muhammad I telah menyebabkan berlakunya perebutan dalam tahun 1835 antara waris Sultan Long Yunus iaitu:
  • Tengku Long Zainal (Long Jenal), Raja Bendahara Banggol
  • Long Muhammad ibni Tengku Long Ismail, Raja Muda Kampung Laut
  • Long Senik [Mulut Merah], anak angkat Sultan Muhammad I
Sejurus kemangkatan baginda Sultan Muhammad I, Long Jenal telah mengisytiharkan diri sebagai pengganti Sultan, perkara ini mendapat tentangan daripada dua pihak iaitu :
  • Raja Muda Kampung Laut yakni Tengku Long Ismail sendiri dan kemudiannya diteruskan pula oleh puteranya Long Muhammad. 
  • Long Senik [Mulut Merah] ibni Long Tam yang juga anak angkat kepada Sultan Muhammad I.
Semasa pemerintahan Sultan Muhammad I pada 1801-1835, baginda telah melantik Tengku Long Ismail (Raja Kampung Laut) sebagai Raja Muda Kelantan. Bagaimanapun, selepas kemangkatan baginda Sultan Muhammad, Raja Bendahara Banggul, Long Jenal telah mengambil kedudukan sebagai Raja Kelantan dan menggelar diri sebagai Yamtuan Kelantan.

Dalam sejarah Kelantan menyatakan tempoh ini menyaksikan berlakunya tempoh perpindahan kuasa yang diistilahkan sebagai Interregnum dan secara rasminya,  Long Jenal hanya sempat begelar Raja Kelantan cuma selama 2 bulan iaitu dari bulan Jun hingga Ogos 1835. Setelah itu, Kelantan telah mengalami Perang Saudara.

Campur tangan Siam telah dalam kemelut Perang Saudara di Kelantan pada 1838 telah menamatkan episod duka tersebut dengan Siam telah memihak kepada Long Senik Mulut Merah dan menyokong beliau menjadi Sultan Kelantan. Tengku Long Ismail, Raja Muda Kampung Laut telah mangkat pada tahun yang sama dan digantikan oleh puteranya Long Muhammad (Tuan Besar), sebagai Raja Kampung Laut.

Sebagai kuasa penentu, Raja Rama I telah:
  • Menabalkan Long Senik Mulut Merah sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad I pada Julai 1838.
  • Melantik Long Muhammad (Tuan Besar) Raja Kampung Laut, sebagai Raja Patani.
  • Menganugerahkan gelaran Phra Bidaksha kepada Long Jenal dan menjadi menteri di Wilayah Nongchik, Patani dari 1842-1845 dan beliau telah mangkat disana dan dimakamkan di Makam diRaja Langgar, Kota Bharu, Kelantan. 

Kesimpulan
Kisah pemerintahan Raja Bendahara Bangul, Long Jenal tidaklah panjang memandangkan pada waktu beliau menggantikan kedudukan Sultan Muhammad I, usianya telah sangat lanjut, cuma pada masa tersebut beliau mendapat sokongan daripada Tengku Long Ismail, Raja Muda Kampung Laut juga telah lanjut usia beliau. Keadaan ini meyebabkan Long Senik [Mulut Merah] turut serta dalam perebutan takhta berikut usianya yang masih muda.

Perang Saudara 1835-1838, tidak akan berlaku dan sejarah negeri Kelantan pastinya berubah sekiranya Long Jenal tidak menabalkan diri beliau sebagai Sultan. Pelbagai andaian boleh ditimbulkan, bagaimanapun sejarah bukan sesuatu untuk dirubah dan digubah mengikut rasa hati. Ia harus kita teladani agar sejarah tidak akan berulang. 

Makam Baginda Long Zainal (Long Jenal, Raja Bendaharah Banggol)
 ibni Sultan Long Yunus
di Makam diRaja Langgar
(Mohon disedekahkan bacaan al-Fatihah)

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Muhammad_I
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Muhammad_II
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Long_Zainal
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Rama_%28Raja_Thailand%29
  • http://artmelayu.blogspot.nl/2011/07/makam-sultan-sultan-kelantan-abad-ke-19.html
  • Royal Ark.net
  • Salasilah Keturunan Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...