SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday, 24 April 2015

Haji Awang Lambor Legasi Ulama : Siri Tokoh Kelantan

Allahyarham Haji Awang Lambor
Latar Belakang
Beliau merupakan seorang guru pondok yang paling berpengaruh di Jajahan Tumpat sekitar abad ke-20. Beliau seangkatan dengan Haji Mohd Saleh Pedada, Haji Yaakob Kelong, Haji Daud Genting,  dan Haji Pak Man Berangan.

Nama sebenar beliau adalah Haji Abdullah bin Haji Omar, dilahirkan di Padang Merbau, Lambor, Wakaf Bharu pada tahun 1900. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang alim di mana bapanya, Haji Omar bin Haji Abdul Rahman merupakan Khatib di surau Mukim Jal Kechik. Datuknya, Haji Abdul Rahman berasal dari Kota Bharu, Reman merupakan perintis kepada pembinaan Masjid di Mukim Jal Kecil.  Ringkasnya, beliau dilahirkan dalam keluarga yang alim ilmu agama.

Beliau merupakan antara murid kepada Tok Kenali dan Tok Selehong dua orang Ulama yang terkenal khususnya di Kelantan. Setelah tamat pengajian dengan guru-guru yang tekemuka ini, beliau kemudian melanjutkan pelajaran serta mendalami ilmu agama di Kota Mekah untuk sembilan tahun lagi pada 1925 hingga 1934. Antara guru lain beliau adalah Syeikh Omar Hamdan, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Senggora, Tok Shafie Kedah, Pak Chik Wan Daud Patani, Haji Sulong Patani, Pak Da Ali Patani, Syeikh Muhammad Syeikh Nik Dir Patani.

Sekembali beliau dari Kota Mekah pada 1934, dia telah membuka Pondok Lambor dan telah berjaya melahirkan beberapa tokoh seperti:

  • Haji Mat Nor Rushdi Haji Awang Gagah, pengasas Pondok Tasat di Ligor, Thailand.
  • Haji Wan Mat Wan Saleh, pengasas Pondok Paya Ular di Bunut Susu, Pasir Mas.
  • Haji Mohd Nor Haji Abdullah, guru Pondok di Teliar.
  • Pak Su Che Wil Abdul Rahman, Imam Tua Mukim Delima
  • Pak Su Loman, Imam Bunut Susu
  • Haji Yaakub Awang, Kg.Guntong, Gunung, Bachok
  • Haji Che Wail Abdul Latif, Kg.Meranti Besar

Beliau telah menyahut seruan illahi dan pulang ke rahmatullah pada 3 petang, sabtu. 27 Zulkaedah 1382 bersamaan 20 April 1963 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pondok Lambor, Wakaf Bharu, Kelantan.

Semasa hayat, beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Hajah Che Aminah binti Dato' Encik Awang (Dato' Bentara Kiri) pada 1919, ketika beliau berumur 22 tahun, melalui perkahwinan ini beliau telah dikurniakan 10 orang cahayamata. Selain itu beliau juga terlibat dalam ushaa memperkasakan institusi intelektual dikalangan ulama dengan menubuhkan persatuan Jabhat al-Ulama Al-Diniah Kelantan pada 1936 bersama-sama adindanya Tuan Guru Haji Mukhtar.

Berubah Wajah
Sebelum beliau meninggal dunia pada 1963, Pondok Lambor mempunyai 900 orang pelajar namun setelah beliau meninggal, bilangan ini makin mengecil dan pengurusan pondok diambil alih seorang menantunya, Haji Alias dan kemudian dikendalikan lagi oleh menantunya yang lain bernama Mohd. Zain Abu Bakar. Berkurangnya jumlah pelajar berikutan perubahan sistem pendidikan di Malaysia dekad tersebut dimana sekolah kerajaan telah mula dibuka dengan meluas.

Sehingga 1970an, hanya terdapat 5-6 orang pelajar pada satu-satu masa dan Pondok Lambor pada masa itu hampir tidak berfungsi. Pada 1975, keluarga Alllahyarham cuba menghidupkan kembali pondok tersebut terutamanya melalui Datuk Dasuki Ahmad yang juga bekas Setiausaha Politik Tun Mahathir Mohamed dengan dibantuk oleh Datuk Ibrahim Ali. Kerajaan Persekutuan telah memberikan sumbangan sebanyak RM60,000 dan sebanyak 20 pondok telah berjaya dibina dan ia telah dijenamakan semula dengan nama Rumah Orang Tua Darul Hanan, Pondok Lambor.


Rujukan
  • http://www.e-mosque.com.my/kenalipondok/hajiawang.html 
  • http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm
  • http://pusatislam.uum.edu.my/index.php/component/content/article?layout=edit&id=169

Tuesday, 21 April 2015

Gua Cha Sebuah Kampung Berusia 10,000 Tahun : Siri Sejarah Silam Kelantan

Pendahuluan
Sewaktu berada di Tingkatan Satu dahulu, matapelajaran sejarah adalah satu subjek yang paling diminati. Peradaban awal tamadun manusia adalah bab pertama yang diajar, waktu itu kita diperkenalkan dengan Zaman Batu, Zaman Ais, Zaman Paleolitik, Mesolitik. Setiap zaman yang dinyatakan menerangkan peradaban manusia tentang pengetahuan mereka mengaplikasikan peralatan untuk survival kehidupan.

Ketika pada bab ini, kita diperkenalkan beberapa nama tempat di Malaysia yang juga merupakan tapak arkeologi yang mewakili kehidupan di Zaman tersebut seperti Gua Niah, Kota Tampan, Bukit Jawa, Bukit Bunuh, Tingkayu, Gua Cha dan Bukit Tengkorak. Gua Cha merupakan satu lokasi yang terletak di Kelantan merupakan satu tapak penempatan manusia yang wujud di Semenanjung Malaysia pada Zaman Neolitik iaitu dari tahun 9000 - 8000 tahun sebelum masihi. Kedudukan Gua Cha hingga saat ini masih lagi satu lokasi yang sukar untuk dicapai walaupun terdapat laluan kenderaan untuk ke lokasi yang dimaksudkan, hanya pengkaji dan penyelidik sahaja yang sampai ke Gua Cha kerana ia bukan satu lokasi pelancongan dan rekreasi.

Latar Belakang

Lokasi Gua Cha

Gua Cha sebenarnya bukanlah sebuah gua dalam ertikata yang sebenarnya, ia adalah rock shelter iaitu batu lindungan, terletak ditebing utara Sungai Nenggiri di pedalaman Ulu Kelantan, dan 16 kilometer ke hilir Kampung Kuala Betis. Kawasan Gua Cha tidak didiami oleh sesiapa pun, keadaan ini menyelamatkan gua tersebut dicerobohi oleh penggali baja asli sepertimana yang berlaku pada gua yang lain. H.D. Noone merupakan orang pertama yang membuat ekskavasi di gua ini pada 1935, kemudian kajian dan ekskavasi yang lebih lengkap telah dijalankan oleh G. de. G Sievenking pada 1954, yang ketika itu bertugas sebagai Kurator Muzium-Muzium Negeri Tanah Melayu. Kemudian Adi Taha (Dato') melakukan cari gali semula pada Januari 1979 untuk membuktikan penemuan Sievenking pada 1954 yang juga merupakan tugasan ilmiah beliau di peringkat master.

Saintifik
Kajian Arkeologi di Gua Cha, Kelantan sebenarnya membuktikan bahawa kawasan pedalaman Kelantan telah dihuni oleh manusia sekurang-kurangnya 10,000 tahun yang lampau. Ini adalah satu fakta yang harus diterima oleh semua, bahawa negeri Kelantan ini sudah dihuni ribuan tahun dahulu. Bagaimanapun dalam kajian Adi Taha pada tahun 1979 itu menyatakan bahawa tinggalan di Gua Cha adalah tinggalan masyarakat Orang Asli yang juga dikenali sebagai Melayu Proto dan bukan masyarakat Melayu Duetro. 

Sekalipun pembuktian saintifik itu menyatakan ia adalah tinggalan Masyarakat Melayu Proto yang pada hari ini secara visual masih hidup secara primitif dengan sedikit pengaruh urban, hal ini masih diiktiraf sebagai satu fakta berkenaan kawasan dalam negeri Kelantan telah mempunyai penghuninya ribuan tahun dahulu. Kajiaan dan selidikan lanjut harus dijalankan bagaimanakan bentuk geografi serta jangka masa kehidupan manusia di rantau ini pada zaman lampau. Mungkin pada masa itu kawasan Nusantara ini merupakan satu benua besar.

H.D.Noone merupakan orang pertama melakukan kerja cari gali di Gua Cha pada 1935, pada waktu itu kawasan ini merupakan satu kawasan konsesi yang dimiliki oleh Duff Company dan Kelantan dibawah pentadbiran naungan British. Noone pada asalnya dalam rangka menjalankan bancian penduduk Kelantan, dan ketika di Kuala Betis beliau telah dibawa ke Gua Cha yang pada masa tersebut masih dihuni oleh Orang Asli. Pada masa inilah beliau telah menjalankan cari gali secara ringkas dan melaporkannya kepada pejabat Penasihat Kelantan seterusnya laporannya diterbitkan dalam Journal of Federated Malay States Museum Volume 15, 1939. Selepas itu M.W.F. Tweedie menjalankan kajian dan cari gali arkeologi di pedalaman Kelantan terutama di Gua Nenek, Gua Musang, Gua Madu dan Gua Menteri bagaimanapun setelah itu Perang Dunia meletus dan British angkat kaki dari Kelantan khususnya Tanah Melayu dan Jepun mengambil alih pentadbiran.

Lama selepas perang tamat, G.D. Sievenking telah dilantik sebagai Curator Federated Malay States Musuem, dan melalui catatan Jurnal H.D. Noone, beliau bersama isterinya telah membentuk pasukan arkeologi dengan diiringi oleh pasukan tentera menjalankan ekspedisi ke Gua Cha sekali lagi pada 1954. Direkodkan pasukan arkeologi yang diketuai oleh beliau telah menjumpai 30 rangka manusia yang dari zaman Neolitik dan Hoabinhian. 


Pasukan Arkeologi G.D.Sievenking dan artifak yang ditemui pada 1954

Selain rangka, ditemui juga barangan berbentuk tembikar dan seramik selain daripada perkakas memburu dan memproses makanan. Dari jumpaan artifak-artifak dan rangka manusia, Sievenking merumuskan bahawa memang kawasan pedalaman Kelantan telah dihuni manusia selama ribuan tahun, bagaimanapun didapati terdapat beberapa jangka masa yang mencecah seribu ke dua ribu tahun ia tidak dihuni dan setelah itu dihuni kembali oleh masyarakat yang berbeza. Jumpaan seramik dan tembikar pula menggambarkan bahawa manusia di Gua Cha telah menemui kemajuan dalam kelangsungan hidup.

Sebanyak 30 rangka dan jumpaan tembikar serta  seramik dari Gua Cha telah dihantar ke Muzium Perak yang juga merupakan ibu pejabat Sievenking. Dalam catatan beliau, pasukannya tiba di Gua Cha melalui jalan udara iaitu menggunakan helikopter tentera memandangkan kawasan sekitar gua tersebut merupakan kawasan hitam yang diancam oleh aktiviti pengganas komunis, kerana itu ekspedisi mereka diiringi pasukan bersenjata. Seluruh anggota ekspedisi juga menaiki helikopter dan dilokasi mereka dibantu oleh Orang Asli.  Selepas 1957, Sievenking tidak lagi bertugas di Malaya dan beliau telah membawa bersama-sama hasil ekskavasi yang beliau jalankan diseluruh Semenanjung Tanah Melayu termasuklah artifak dan 30 rangka manusia Hoabinhian dari Gua Cha ke England.

Nasib Gua Cha dan Artifak
Kali terakhir Gua Cha dilakukan cari gali khusus untuk kajian ilmiah adalah pada 1979, setelah itu ia tidak lagi menjadi tarikan para pengkaji arkeologi berikutan dasar kerajaan yang telah berubah dan lokasi gua tersebut dianggap sudah tercemar berikutan cari gali yang dibuat secara besar-besaran pada 1954 dan 1979. Ia hanya dilawat sekali sekali oleh pengkaji dan pencinta alam yang dan mutakhir ini, lokasi ini menjadi tapak percambahan ilmu dan pencernaan informasi penuntut Universiti Awam terutama dari Universiti Malaysia Kelantan.

Artifak Gua Cha yang terpenting adalah 30 Rangka Manusia Hoabinh yang dibawa pulang oleh Sievenking ke England yang pada waktu itu sedang melanjutkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) dengan University of Cambridge. Catatan menyatakan rangka tersebut di bawa keluar dari Gua Cha dalam 10 kotak yang bertanda, sebahagiannya telah diserahkan oleh Sievenking kepada University of Cambridge dan dijaga oleh MacDonald Institute of Archeology.

Penyelidik dan pengkaji sejarah, Datin Paduka Dato' Professor Emeritus Siti Zuraina Abdul Majid merangkap Pesuruhjaya Warisan telah menggerakkan usaha melalui Jabatan Warisan Negara untuk membawa pulang rangka-rangka tersebut dan ia bermula sewaktu beliau masih berkhidmat di USM. Pada 2008 Datuk Seri Rais Yatim yang pada waktu itu merupakan Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan telah berkomunikasi dengan pihak University of Cambridge untuk memuktamadkan urusan penghantaran pulang rangka purba itu, bagaimanapun tiada maklumat yang jelas yang disiarkan kepada orang awam berkenaan usaha-usaha Datuk Seri Rais Yatim setelah itu.

Rumusan
Kajian Arkeologi di Gua Cha yang dijalankan oleh G.D.Sievenking pada 1954 merupakan satu kajian arkeologi yang paling empirikal dan terkenal di Malaysia. Bagaimanapun ia dipandang sepi kerana rangka manusia yang berusia ribuan tahun itu berada di luar negara, hari ini Tamadun Sungai Batu lebih menonjol berbanding mana-mana tinggalan artifak Pra Sejarah di Malaysia. Usaha yang dijalankan oleh Kerajaan pada 2008 itu sewajarnya dipuji, bagaimanapun selanjutnya tidak diumumkan kepada orang awam dan ia menjadi tanda tanya, dan ramai menganggap ia satu usaha yang gagal.

Kini Gua Cha hanya dikenang sebagai lokasi Pra Sejarah yang wujud di Kelantan dan ia mendapat tempat diingatan orang ramai berikutan ia dicatat dalam buku teks, sebenarnya di Kelantan masih terdapat beberapa gua yang tidak kurang hebatnya. Mungkin ini adalah satu hikmah dari Yang Maha Esa untuk memelihara bukti kewujudan manusia di Kelantan untuk ditemui oleh mereka yang benar-benar menghargainya.

Temuan di Gua Cha 1954

Gua Madu, Kelantan. Lokasi Pra Sejarah yang terpinggir

Rujukan

  • http://dictionary.reference.com/browse/neolithic
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Zaman_Neolitik_di_Malaysia
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Zaman_Paleolitik_di_Malaysia

  • [Thesis] Penyelidikan Arkeologi Pra Sejarah di Negeri Kelantan oleh Mohd Kamaruzzaman A. Rahman
  • [Buku] Kelantan In Archeological Perspective terbitan Perbadanan Muzium Kelantan m.s. 283-295

Monday, 20 April 2015

Muhammad Yusuf bin Ahmad - Ulama Kelantan paling diingati : Siri Tokoh


Allahyarham Muhammad Yusuf bin Ahmad


Profil
Tok Kenali, Ulama yang tidak asing kepada seluruh rakyat Kelantan malah nama sosok ini juga terkenal seluruh nusantara. Hal ini kerana beliau merupakan guru kepada ramai guru-guru agama yang lainnya baik dari Indonesia, Brunei, Tanah Melayu, Patani malah dari Kemboja. Sewaktu hayat beliau, Kelantan telah dijolok dengan gelaran Negeri Serambi Mekah, berikutan wujud ramai ulama-ulama yang membuka pusat pengajian yang pada masa itu dikenali sebagai Pondok. Beliau merupakan seorang yang proaktif dimana usaha dakwah melalui Pondok Kenali. 

Nama aslinya adalah Muhammad Yusuf bin Ahmad dan digelar sebagai Tok Kenali. Dilahirkan di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1868 dalam keluarga yang sederhana. Bapanya seorang petani yang bernama Ahmad. Manakala ibunya bernama Fatimah hanyalah orang kebiasaan yang sopan tetapi mempunyai cita-cita yang tinggi dan murni, hal ini membuatkan latar belakangnya tidak terlalu menonjol dan dia dibesarkan seperti mana rakyat biasa Kelantan pada dekad itu. Bapa beliau telah meninggal dunia sewaktu beliau berumur 5 tahun. Beliau dibesarkan oleh ibunya dan mendapat bimbingan daripada datuknya iaitu Encik Salleh (Tok Leh) dari segi tulis menulis dan membaca kitab suci al-Quran. Tok Leh merupakan seorang yang lebai, warak dan mempunyai ilmu agama sebagai bekalan untuk panduan hidup, bapanya pula telah meninggal dunia sewaktu beliau berusia lima tahun.

Pertingkatkan Pengetahuan
Semenjak dari kecil lagi Tok Kenali telah berjaya menghafaz al-Quran serta dapat menulis dengan baik hingga beliau dilantik menjadi Kerani pada usia 8 tahun, satu pencapaian yang luar biasa bagi kanak-kanak diusia sebegitu. Tidak lama kemudian, beliau telah melanjutkan pengajian di Kota Bharu dengan tumpuan di Masjid Muhammadi antaranya gurunya ketika di Kota Bharu adalah:

  • Tuan Haji Wan Ismail
  • Tuan Guru Haji Ibrahim, Penambang (Mufti Kelantan)
  • Syaikh Muhammad Ali bin Abd. Rahman (Wan Ali) - Kutan
  • Tuan Guru Haji Ahmad - Padang, Kota Bharu.

Dua rakan sepengajian beliau ketika di Kota Bharu telah menjadi Orang Besar Kerajaan Kelantan iaitu Nik Mahmud yang juga anak kepada Tuan Haji Ismail yang terkenal dengan panggilan Datuk Perdana Menteri Paduka Raja, Dato' Nik Mahmud dan Encik Idris yang kemudian menjadi Mufti Kelantan. 

Tok Kenali mendapat inspirasi daripada Guru dan Ulama ketika menuntut di Masjid Muhammad untuk melanjutkan pengajian di Kota Suci Mekah kerana disana menjadi pusat kegiataan Ilmu Agama tambah pula ia merupakan Tanah Suci bagi Umat Islam. Hasil sumbangan rakan-rakan di Kota Bharu beliau dapat mengumpulkan $50.00 dan ibunya pula membekalkan $22.00 maka bertolaklah Tok Kenali dari Kota Bharu menuju ke Kota Mekah melalui jalan laut selama enam bulan. Perjalanan beliau penuh mencabar dan dugaan dengan kapal rosak dan badaian angin serta ombak akhirnya Tok Kenali tiba di Kota Mekah pada tahun 1887 ketika berusia 18 tahun.

Penghidupan beliau di Kota Mekah ketika itu sangat Zuhud, hampir tujuh bulan juga beliau tinggal di Masjidilharam kerana tiada kediaman tetap, makan pakainya sekadar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Memandangkan keadaan ini, ada pihak bersimpati dan beliau telah dipanggil untuk menjadi tukang masak sementara bagi kawan-kawan beliau ketika keramaian.

Satu perkara jarang orang ambil tahu ialah, ketika Tok Kenali di Kota Mekah beliau telah menuntut dengan seorang guru agama terkenal yang berasal dari Patani iaitu Syeikh Ahmad alFatani bersama-sama dengan Haji Mohd Hassan bin Munas@Tok Janggut yang ketika itu juga merupakan Ketua Pelajar dari Nusantara berikutan Tok Janggut merupakan pelajar yang paling berusia ketika itu. Tok Kenali disayangi oleh Syeikh Ahmad hingga beliau dibawa bersama-sama beliau ketika melawat Al-Azhar dan menghadap Khalifah Islam ketika itu di Istanbul, Turki.

Pulang ke Tanah Air
Atas nasihat Tuan Guru Syeikh Ahmad alFatani, Tok Kenali telah pulang semula ke Kelantan setelah 22 tahun berada di Kota Mekah, ketika itu Tok Janggut masih lagi tinggal disana malah beliau ketika itu telah berniat untuk terus bermaustautin di Kota Suci tersebut. Kepulangan Tok Kenali pada 1909 pula membawa amanat dari gurunya dan ketika itu beliau berumur 40 tahun.

Pemerintahan di Kelantan ketika itu sedang dalam perubahan dengan Inggeris mula menguasai pemerintahan Kelantan, namun beliau terus memegang kepada amanat gurunya. 1911, beliau telah membuka Pondok Kenali dan pada 1913 beliau dilantik pula menjadi guru di Masjid Muhammadi dan ini merupakan satu penghormatan tertinggi kepada Guru Agama di Kelantan pada waktu itu. Perlantikan tersebut membuatkan Tok Kenali agak sibuk kerana beliau terpaksa berulang alik mengajar di Kg. Kenali dan di Kota Bharu.

Ketika itu Kelantan terkenal dan menjadi tumpuan pelajar-pelajar dari dalam Tanah Melayu dan Nusantara hingga Kelantan diberi nama jolokan sebagai Negeri Serambi Mekah yang masih melekat hingga kini. Selain itu, ramai pelajar Tok Kenali yang kemudiannya muncul sebagai Ulama di tempat masing-masing dan membuka pusat pengajian Islam dan ia masih berterusan hingga kini, justeru Tok Kenali terus diingati hingga kini.

Seperti insan yang lain, Tok Kenali tidak terelak dipanggil Illahi dan beliau telah ditakdirnya meninggal dunia pada 11 Disember 1933 ketika berusia 64 tahun dan jenazah beliau dikebumikan tidak jauh dari Istana Kubang Kerian dan kuburan beliau sentiasa dikunjungi oleh Duli Tuanku Sultan Ismail I, Sultan Kelantan pada masa tersebut.

Istimewa
Tok Kenali memang diakui seorang ulama yang diyakini ramai telah mencapai taraf wali. Tersebar pelbagai keanehan yang disebut sebagai karamah dikaitkan dengan Tok Kenali sepanjang hayatnya. Namun penulisan ini hanya akan menyenaraikan keistimewaan Tok Kenali yang orang lain tiada dan jarang dicapai oleh insan lain antaranya:

  • Hafaz Quran ketika berusia 8 tahun dan atas keboleh itu beliau telah dilantik oleh Penggawa untuk menjadi Kerani.
  • Ke Kota Mekah ketika berusia 18 tahun berbekalkan keazaman tinggi dan hanya tidak lebih dari 100 Ringgit.
  • Melalui kehidupan yang sukar berbulan lamanya di Kota Mekah namun masih cekal menuntut Ilmu hingga bertahan 22 tahun lamanya disana.
  • Mempunyai murid yang ramai serta mereka kemudiannya menjadi Ulama dan Mufti
  • Merupakan Penulis dan merwariskan kitab-kitab yang hingga kini masih menjadi bahan rujukan.
  • Penterjemah Kitab Arab ke Bahasa Melayu (Jawi)
  • Pengasas Jamiyyah al-Ashriyyah [Satu perhimpunan untu membincangkan perihal keadaan semasa dalam negeri]
  • Ahli Majlis Ulama Islam Kelantan
  • Penasihat Agama kepada Dato Perdana Kelantan (Menteri Besar)                                      

Ini hanyalah sedikit keistimewaan Tok Kenali dan pastinya telah banyak tulisan lain yang memperincikan berkenaan istimewanya Tok Kenali, apa yang jelas dari keistimeaan Tok Kenali ini, kita boleh bayangkan betapa begitu beliau mencintai Ilmu dan melakukannya tanpa jemu. Daya Inteleknya sangat tinggi, namun beliau sering dipandang serong berikutan kelakuan dan pakaian sedangkan apa yang beliau lakukan ada falsafahnya sendiri.

Tok Kenali sangat suka kepada kanak-kanak, beliau gemar memberi gula-gula kepada kanak-kanak dan ada kala beliau bermain bersama mereka. Kelakuan ini kelihatan canggung, walaupun ia dilakukan pada masa sekarang. Namun kita kurang sedar bahawa kanak-kanak lah yang akan merwarisi segala apa yang kita ada pada hari ini, cara Tok Kenali ini mendekatkan beliau dengan golongan ini, seterusnya menarik minat mereka untuk mendekati dan mempelajari agama.

Tok Kenali juga terkenal dengan sikapnya yang suka berkaki ayam dan orang ramai memandang beliau jelik kerana perbuatan itu dianggap darat. Sedangkan Tok Kenali berbuat demikian berikutan ia adalah satu cara untuk beliau berhubung dengan bumi dan merasa akan lembut dan kasarnya bumi. Kajian saintifik pada hari ini menyatakan bahawa berkaki ayam sekali-sekala boleh meningkatkan daya kesihatan fizikal badan.

Ada satu masa Tok Kenali diserang penyakit yang menyebabkan kaki beliau berulat. Orang melihatnya jijik kerana kakinya dikerumung ulat. Satu ketika ulat-ulat itu jatuh berguguran apabila Tok Kenali mengalih kakinya, melihat keadaan itu beliau cepat-cepat memungut semula ulat-ulat tersebut dan diletakkan semula pada tempatnya dengan mengkatan bahawa berdosa membiarkan makhluk tidak berdosa mati tanpa sebab.

Penutup
Kini Pendidikan Islam telah mendapat tempat yang sewajarnya dengan banyak sekolah berteraskan agama mendapat sentuhan moden dengan kelengkapan yang terkini dengan fasiliti yang cukup menyelesakan. Sistem Pondok juga masih wujud baik di Kelantan, Malaysia dan Nusantara ia kini mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Bagaimanapun sukar untuk ditemui seorang Ulama yang hebat seperti Tok Kenali, apa yang jelas sumbangan Tok Kenali kepada rakyat Kelantan hingga kini masih dapat dirasai dan ia masih kuat. Segala apa yang kita rasa dan lihat adalah Nikmat dari Allah s.w.t. begitulah dengan Tok Kenali, walaupun beliau telah tiada hingga kini namanya masih disebut dan diingati begitulah Rahmat Allah kepada hamba yang menegakkan AgamaNya.

Wallahualam.

Segala puji-pujian dipanjatkan kepada 
Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w.


Rujukan:
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Muhammad_Yusuf_bin_Ahmad
  • http://ulama.blogspot.nl/2006/10/tok-kenali.html
  • http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
  • http://www.risalahislam.com/2013/10/pengertian-karomah-kemuliaan-dari-allah.html
  • http://www.alsofwah.or.id/cetakaqidah.php?id=314&idjudul=312

Saturday, 18 April 2015

Stesen Bas Kota Bharu Menggamit Memori : Siri Orang Kito

Stesen Bas Kota Bharu 1960an - Sumber Jabatan Penerangan Malaysia

Pendahuluan
Dewasa ini, tiket kapal terbang amat murah membolehkan ramai rakyat Kelantan terbang ke mana-mana destinasi dalam Malaysia. Bagaimanapun pengangkutan Bas menjadi pilihan utama rakyat Kelantan untuk perjalanan dalam Semenanjung Malaysia, tiket mahal bukan dalam kawalan pengguna, terpaksa juga kita hadap walaupun tidak suka. Sistem pengangkutan bas di Kelantan juga unik untuk kita perhatikan, dan bangunan paling ikonik di Kota Bharu kepada seluruh rakyat Kelantan adalah stesen bas Kota Bharu.

Stesen Bas
Bandar Kota Bharu sebenarnya mempunyai dua stesen bas iaitu di Jalan Pendek Parkson dan sebelah Kampung Kraftangan kedua-duanya wujud sezaman atau lebih tepat setelah tamat Perang Dunia Pertama pada 1945. Pembinaan stesen ini juga dipercayai telah wujud pada tahun berkenaan, kini ia dibawah pengurusan Majlis Perbandaran Kota Bharu. Uniknya bangunan stesen bas Kota Bharu adalah ia tidak berubah semenjak 70 tahun yang lalu.

Saban tahun, Kota Bharu tidak lepas daripada dilanda oleh bencana banjir namun stesen bas ini tetap utuh dan digunakan seperti biasa, di kiri dan kanannya telah silih berganti bangunan kediaman dan komersial, namun ia tetap gagah berdiri dan digunakan semenjak beberapa generasi rakyat Kelantan. Kewujudan stesen bas ini juga sejajar dengan tertubuhnya syarikat North Eastern Transport Services (N.E.T.S) sebuah syarikat bas terawal dan terbesar di Kelantan pada 1947.

Stesen Bas Kota Bharu semasa Banjir 1967
Stesen Bas KB tahun 1967


Syarikat N.E.T.S kemudiannya telah dijenamakan semula pada 1967 sebagai Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan dan ianya diumumkan oleh Encik Ghafar Baba (Allahyarham) yang pada masa itu merupakan Pengerusi MARA. 

Memori
Sepanjang kewujudan Stesen Bas Kota Bharu pasti ia meninggalkan ingatan yang mendalam kepada segenap lapisan masyarakat Kelantan, ia sebenarnya sering diancam oleh pembangunan berikutan ia terletak di tengah-tengah Pusat Bandar Kota Bharu, terbaru ketika bangunan Parkson rancak dalam pembangunan terdapat ura-ura untuk mengubah lokasi Stesen Bas ini, bagaimanapun ia masih dikekalkan beroperasi dilokasi asal sehingga hari ini.

Dua Situasi : Tertib

Dua Situasi : Pakat Gomo
Dua Situasi gambar di atas adalah keadaan biasa ketika menaiki bas di Stesen Bas Kota Bharu. Penulis sendiri sempat merasai perasaan berebut-rebut menaiki bas bersama-sama puluhan wanita dan lelaki lain, bagi admin kenangan ini amat nostalgia ditambah pula masa yang lama diambil untuk bergerak serta menahan kepanasan dan kelenguhan berdiri dalam bas.

Diancam
Nilai hartanah yang kian meningkat dan lokasi strategik menyebabkan Stesen Bas Kota Bharu kian makin dihimpit antara nostalgia dan kepentingan pembangunan infrastruktur. Jika dilihat secara kasar, bangunan stesen ini memang sudah uzur dan ada berpendapat ia sudah tidak lagi relevan untuk beroperasi di tengah-tengah bandar Kota Bharu, sedangkan pada masa kini tempat tumpuan orang ramai di Kota Bharu telah berubah ke Billion di Lundang, KB Mall di Wakaf Siku, Tesco di Bawah Lembah Kampung Sireh serta Wakaf Che Yeh. Berhampiran Stesen ini dulunya wujud bangunan Arked MPKB namun ia kini sudah dibina bangunan baru berikutan tempoh bangunan tersebut yang sudah uzur, selain itu terdapat juga bangunan Parkson faktor inilah yang menaikkan nilai hartanah sekitar kawasan stesen bas.

Selian itu faktor pemilikan kenderaan terutama motosikal dan kereta oleh keluarga di Kelantan, menyebabkan perkhidmatan bas kurang digunakan seterusnya menyusutkan pendapatan syarikat pengusaha bas yang beroperasi di Stesen Bas Kota Bharu. Faktor lain adalah berkenaan kekukuhan syarikat pengusaha bas dan pemilik stesen berkenaan yang kini telah menurun permintaan kepada perkhidmatan bas, tidak ditolak kemungkinan pemilik stesen bas Kota Bharu ini akan memberi laluan ekpada projek pembangunan di Kota Bharu.

Namun, kami berharap Stesen Bas Kota Bharu terus dikekalkan sebagai setesen bas bandar berikutan lokasi sekarang adalah yang paling sesuai walaupun banyak tempat tumpuan umum dibina berjauhan dengan stesen ini.

Lokasi Stesen Bas KB dan Lokasi high profile sekitar stesen


Rujukan
  • http://skmkb.blogspot.nl/2006/09/skmk-sepintas-lalu.html
  • http://harithsidek.blogspot.nl/2013_02_01_archive.html
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Syarikat_Kenderaan_Melayu_Kelantan
  • http://ifoto.penerangan.gov.my/

Monday, 13 April 2015

JOGHO dari Cerpen berkembang ke Novel diangkat menjadi Drama TV dan Terus ke Layar Perak

Olahan Semula Poster Filem Jogho
Pendahuluan
Artikel ini adalah lanjutan daripada artikel Jogho yang telah kami siarkan sedikit masa lalu. Artikel tersebut menyatakan maklumat sebenar tentang Jogho yang menumpukan kepada penganjuran Laga Lembu di Kelantan. Ia termasuk dalam permainan dan persembahan rakyat yang tidak diamalkan lagi pada masa kini berikutan bercanggah dengan akidah Islam serta ia satu perbuatan tidak berperikemanusian dan perlakuan kejam terhadap haiwan, selain itu ia juga telah membuka ruang kepada pertaruhan dalam judi. Dua sebab ini merupakan alasan yang paling kukuh untuk menghentikan perbuatan tersebut walaupun ia pada satu masa merupakan antara kebudayaan masyarakat Kelantan.

Walaupun ia pernah dimainkan seluruh negeri Kelantan, perlawanan laga lembu ini bukanlah berasal dari Kelantan sebalikya ia dibawa masuk dari Patani ke Kelantan. Namun begitu, kisah Jogho dalam filem garapan U-Wei ini merupakan kisah seorang Jogho yang berasal dari Kelantan berpindah ke Patani yang terletak di Selatan Thai ekoran masalah Politik yang berlaku di Kelantan.

Novel
Ini adalah cover novel Juara yang diterbitkan dalam tahun 1976 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, ia merupakan karya sasterawan agung Negara yang berasal dari Kelantan iaitu S.Othman Kelantan. Novel ini merupakan novel beliau yang kelima selepas Pengertian (1966), Penentangan (1967), Angin Timur Laut (1969) dan Perjudian (1973). Ia sebenarnya telah dikembangkan daripada cerpen Pahlawan Lembu yang telah disiarkan dalam Dewan Bahasa pada Mei 1969.

Juara adalah sebuah novel yang berunsurkan politik Tanah Melayu dan diselitkan sedikit unsur sejarah, dengan Patani sebagai latar tempat bagi novel ini, ringkasnya ia merupakan satu karya sastera berkenaan kehidupan masyarakat Kelantan dan Patani secara khusus.

Juara bermula dengan pernyataan tentang kematian Abang Lazim mati ditembak curi bersama lembu laga bernama Calet oleh Pak Isa, lawannya dalam bong. Ketika itu Mamat sudah pulang membawa wang hadiah hampir 10 ribu bhat untuk ditunjukkan kepada isterinya Minah dan anak-anaknya Melah, Selamah, Faisah dan Jusuh. Semenjak dari kematian Abang Lazim, Mamat dan orang-orangnya Jali, Sani dan Mat San memburu Isa dan orang-orangnya termasuk Dolah Mundok yang telah mengilangkan diri dari Bangnara kampung kecil mereka itu. Sebagai warga Kelantan jati, maruah dan melunaskan dendam menjadi satu perkara yang amat penting bagi Mamat.

Mamat sebenarnya merupakan bekas ahli politik dari Kelantan yang memperjuangkan kemerdekaan bagaimanapun dia seolah dilupakan setelah negara mencapai kemerdekaan. Dalam arena politik Kelantan Mamat telah kalah kepada ahli politik yang lebih muda dan berpelajaran, lantas dia dan keluarganya telah berpindah dari Kelantan ke Bangnara di Patani untuk memulakan kehidupan baru.

Di Bangnara, kegiatan masa lapang orang lelakinya ialah melaga lembu, Mamat dan Abang Lazim turut terlibat dalam aktiviti ini dengan Mamat digelar sebagai Jogho. Ketika berada dalam bong Mamat sentiasa bersemangat berikutan dalam gelanggang tersebut ia merasakan mendapat semula maruah dirinya yang tercalar. Kejadian pembubuhan Abang Lazim dan Calet, tidak melunturkan semangatnya untuk masuk bong semula dia tampil untuk mempertaruhkan Aral, seekor lembu muda yang pernah menanduk perutnya bagaimanapun Mamat telah melatih Aral menjadi seekor lembu yang lebih kuat daripada Calet. Usaha Mamat tidak sia-sia, Aral telah berjaya membawa kemenangan demi kemenangan dan membuatkan Mamat melebihkan penjagaan lembu itu daripada ahli keluarganya.

Dalam masa yang sama, Dolah Mundok telah berjaya dijejaki dan dibunuh. Perbuatan sedemikian merupakan satu perkara biasa dikampung berkenaan, pihak berkuasa telah menahan Mamat dan dibebaskan 15 hari kemudian. Mamat kembali melatih Aral untuk bertanding dengan lembu dari Pulau Lomel. Tanpa diduga, Pak Isa pembunuh Abang Lazim yang melarikan diri setahun yang lalu itu merupakan Jogho yang mewakili pemilik lembu dari Pulau Lomel itu. Mereka saling mengancam untuk membunuh satu sama lain. Pertarungan itu akhirnya menyaksikan Mamat cedera ditembak di bahunya dan Pak Isa menemui ajalnya.

Poster Filem Jogho


Dari Drama TV ke Filem
Naskhah asal Jogho adalah Cerpen yang bertajuk Pahlawan Lembu ia kemudian dikembangka menjadi sebuah novel dengan tajuk Juara yang juga disebut sebagai Jogho dalam dialek Kelantan, setelah itu syarikat MV Production telah mengadaptasikan novel tersebut menjadi enam siri drama televisyen dengan Aziz HM sebagai pengarahnya untuk disiarkan ole RTM. Bagaimanapun RTM tidak menyiarkan drama tersebut berikutan panel penilaian beranggapan ia "Kurang Sesuai" kerana mempunyai adegan perbunuhan dan melaga lembu.

Kerana tidak disiarkan di TV, Allahyarham Aziz HM telah mementaskan Jogho di pentas teater di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada awal 1990an dengan menggunakan teknik wayang kulit sewaktu adegan lembu berlaga.

Setelah 21 tahun dari terbitan pertama Novel Juara, U-Wei Haji Shaari telah mendapatkan persetujuan daripada S.Othman Kelantan untuk mengadaptasikan naskhah novel tersebut kepada Filem. Penulis asal novel tersebut menyatakan bahasa naskhah itu telah dipindahkan dari novel kepada bentuk Drama TV Enam Episod, namun U-Wei tetap mahu menerbitkannya dalam bentuk filem dengan tumpuan pasaran dan festival antarabangsa. Filem Jogho akhirnya telah berjaya diterbitkan dengan modal sebesar 1.2 Juta Ringgit dengan NHK Japan melaburkan sebanyak RM 1 Juta dan Gambar Tanah Licin RM200 Ribu.

Menepati janji dan hasrat U-Wei untuk memasarkan naskah adaptasi beliau itu, filem tersebut buat pertama kali telah ditayangkan Festival Filem Asia ke-2 yang berlangsung pada 13-21 Disember 1997. Kemudia ia ditayangkan pula di Festival Filem Antarabangsa Singapura pada April 1998 diikuti dengan Festival Filem Antarabangsa Pusan, Korea Selatan pada Oktober 1998. Disember 1998, filem ini telah ditayangkan semasa Filem Asia Pasifik di Taipei Taiwan. Ketika di Taipei, Jogho telah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Khalid Salleh yang membawakan watak utama, Mamat.

Berikutan sambutan hangat dan kejayaan cemerlang Filem Jogho di pentas antarabangsa, telah membuka mata rakyat Malaysia dengan FINAS telah membuat satu pratonton khas dan ia mendapat sambutan yang luar biasa. Setelah itu Jogho telah menjadi filem pilihan NUSA MAHSURI dalam tayangan amal perdana di PWTC untuk mengisi tabung Kelab Bandminton Nusa Mahsuri pada 25 April 1998. Setelah mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa dan mendapat sambutan yang luar biasa dalam tontotan tertutup, barulah pihak yang berwajib telah membenarkan ia ditayangkan di panggung Malaysia itupun hanya terhad kepada 12 panggung terpilih terutamanya di Lembah Klang pada Mac 1999.

Anugerah Skrin TV3 98/99, Jogho telah memonopoli empat anugerah utama iaitu Filem Terbaik, Sutradara Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik. Dalam Festival Filem Malaysia ke-14 sekali lagi Jogho telah menggondol empat anugerah iaitu Filem Terbaik, Sutradara Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Lakon Layar Terbaik. Kecemerlangan filem Jogho telah membuatkan ia sekali lagi ditayangkan semula di pawagam terpilih sekitar Lembah Klang.

Selain jalan cerita yang unik dan menarik, filem Jogho juga mengetengahkan dialek Kelantan dengan keseluruhan dialog dalam filem ini dituturkan dalam dialek Kelantan yang juga dituturkan majoriti penduduk Selatan Thailand. Secara tidak langsung ia telah memperkenalkan dialek Kelantan kepada masyarakat majmuk, walaupun jalan cerita ini memaparkan kemunduran dan kemiskinan masyarakat dalam filem tersebut, bagaimanapun ia sebenarnya membuka persoalan-persoalan penting untuk memahami kehidupan masyarakat Melayu Kelantan dan Patani.

Berikut antara orang-orang yang telah mengembalikan cebisan sejarah yang sudah pupus dalam kehidupan masayarakat Kelantan pada hari ini. Usaha mereka membuatkan kita dapat mengenang akan kebudayaan yang pernah diamalkan dalam kehidupan. Zahirnya kita adalah insan yang sentiasa dididik dan dibimbing akan keimanan kepada Allah s.w.t, justeru mengenang sesuatu yang lalu untuk kita meneladani kehidupan yang mendatang.

S.Othman Kelantan,
Penulis Cerpen Pahlawan Lembu
Penulis Novel Jogho

U-Wei Haji Shaari - Pengarah Filem Jogho
Khalid Salleh - Mamat
Normah Damanhuri - Minah
Baharuddin Hj.Omar - Abang Lazim



Tayangan Penuh Filem Jogho

Barisan Pelakon dan Orang di Belakang Tabir yang menjayakan Filem Jogho:












Rujukan:

  • [FILEM] Jogho, 1997, arahan U-Wei Hj.Shaari, terbitan NHK Japan & Gambar Tanah Licin Sdn.Bhd.
  • Thesis Universiti Malaya
  • https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgBKwlZ_VWP0ONKvE76vFaA8AK5HecUoWM71ZHDSJAcFFS2mmMFPptwr0R9mZSCH8CmS0qQzj0MfUlrojyi3X59PmWVgzGuxn7VFyES5sfstmMchPLhKWil16F5a7Pru6IjJS4mUNcVTb8/s1600/jogho.png
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...