SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday, 24 April 2015

Haji Awang Lambor Legasi Ulama : Siri Tokoh Kelantan

Allahyarham Haji Awang Lambor
Latar Belakang
Beliau merupakan seorang guru pondok yang paling berpengaruh di Jajahan Tumpat sekitar abad ke-20. Beliau seangkatan dengan Haji Mohd Saleh Pedada, Haji Yaakob Kelong, Haji Daud Genting,  dan Haji Pak Man Berangan.

Nama sebenar beliau adalah Haji Abdullah bin Haji Omar, dilahirkan di Padang Merbau, Lambor, Wakaf Bharu pada tahun 1900. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang alim di mana bapanya, Haji Omar bin Haji Abdul Rahman merupakan Khatib di surau Mukim Jal Kechik. Datuknya, Haji Abdul Rahman berasal dari Kota Bharu, Reman merupakan perintis kepada pembinaan Masjid di Mukim Jal Kecil.  Ringkasnya, beliau dilahirkan dalam keluarga yang alim ilmu agama.

Beliau merupakan antara murid kepada Tok Kenali dan Tok Selehong dua orang Ulama yang terkenal khususnya di Kelantan. Setelah tamat pengajian dengan guru-guru yang tekemuka ini, beliau kemudian melanjutkan pelajaran serta mendalami ilmu agama di Kota Mekah untuk sembilan tahun lagi pada 1925 hingga 1934. Antara guru lain beliau adalah Syeikh Omar Hamdan, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Senggora, Tok Shafie Kedah, Pak Chik Wan Daud Patani, Haji Sulong Patani, Pak Da Ali Patani, Syeikh Muhammad Syeikh Nik Dir Patani.

Sekembali beliau dari Kota Mekah pada 1934, dia telah membuka Pondok Lambor dan telah berjaya melahirkan beberapa tokoh seperti:

  • Haji Mat Nor Rushdi Haji Awang Gagah, pengasas Pondok Tasat di Ligor, Thailand.
  • Haji Wan Mat Wan Saleh, pengasas Pondok Paya Ular di Bunut Susu, Pasir Mas.
  • Haji Mohd Nor Haji Abdullah, guru Pondok di Teliar.
  • Pak Su Che Wil Abdul Rahman, Imam Tua Mukim Delima
  • Pak Su Loman, Imam Bunut Susu
  • Haji Yaakub Awang, Kg.Guntong, Gunung, Bachok
  • Haji Che Wail Abdul Latif, Kg.Meranti Besar

Beliau telah menyahut seruan illahi dan pulang ke rahmatullah pada 3 petang, sabtu. 27 Zulkaedah 1382 bersamaan 20 April 1963 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pondok Lambor, Wakaf Bharu, Kelantan.

Semasa hayat, beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Hajah Che Aminah binti Dato' Encik Awang (Dato' Bentara Kiri) pada 1919, ketika beliau berumur 22 tahun, melalui perkahwinan ini beliau telah dikurniakan 10 orang cahayamata. Selain itu beliau juga terlibat dalam ushaa memperkasakan institusi intelektual dikalangan ulama dengan menubuhkan persatuan Jabhat al-Ulama Al-Diniah Kelantan pada 1936 bersama-sama adindanya Tuan Guru Haji Mukhtar.

Berubah Wajah
Sebelum beliau meninggal dunia pada 1963, Pondok Lambor mempunyai 900 orang pelajar namun setelah beliau meninggal, bilangan ini makin mengecil dan pengurusan pondok diambil alih seorang menantunya, Haji Alias dan kemudian dikendalikan lagi oleh menantunya yang lain bernama Mohd. Zain Abu Bakar. Berkurangnya jumlah pelajar berikutan perubahan sistem pendidikan di Malaysia dekad tersebut dimana sekolah kerajaan telah mula dibuka dengan meluas.

Sehingga 1970an, hanya terdapat 5-6 orang pelajar pada satu-satu masa dan Pondok Lambor pada masa itu hampir tidak berfungsi. Pada 1975, keluarga Alllahyarham cuba menghidupkan kembali pondok tersebut terutamanya melalui Datuk Dasuki Ahmad yang juga bekas Setiausaha Politik Tun Mahathir Mohamed dengan dibantuk oleh Datuk Ibrahim Ali. Kerajaan Persekutuan telah memberikan sumbangan sebanyak RM60,000 dan sebanyak 20 pondok telah berjaya dibina dan ia telah dijenamakan semula dengan nama Rumah Orang Tua Darul Hanan, Pondok Lambor.


Rujukan
  • http://www.e-mosque.com.my/kenalipondok/hajiawang.html 
  • http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm
  • http://pusatislam.uum.edu.my/index.php/component/content/article?layout=edit&id=169
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...