SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday, 21 April 2015

Gua Cha Sebuah Kampung Berusia 10,000 Tahun : Siri Sejarah Silam Kelantan

Pendahuluan
Sewaktu berada di Tingkatan Satu dahulu, matapelajaran sejarah adalah satu subjek yang paling diminati. Peradaban awal tamadun manusia adalah bab pertama yang diajar, waktu itu kita diperkenalkan dengan Zaman Batu, Zaman Ais, Zaman Paleolitik, Mesolitik. Setiap zaman yang dinyatakan menerangkan peradaban manusia tentang pengetahuan mereka mengaplikasikan peralatan untuk survival kehidupan.

Ketika pada bab ini, kita diperkenalkan beberapa nama tempat di Malaysia yang juga merupakan tapak arkeologi yang mewakili kehidupan di Zaman tersebut seperti Gua Niah, Kota Tampan, Bukit Jawa, Bukit Bunuh, Tingkayu, Gua Cha dan Bukit Tengkorak. Gua Cha merupakan satu lokasi yang terletak di Kelantan merupakan satu tapak penempatan manusia yang wujud di Semenanjung Malaysia pada Zaman Neolitik iaitu dari tahun 9000 - 8000 tahun sebelum masihi. Kedudukan Gua Cha hingga saat ini masih lagi satu lokasi yang sukar untuk dicapai walaupun terdapat laluan kenderaan untuk ke lokasi yang dimaksudkan, hanya pengkaji dan penyelidik sahaja yang sampai ke Gua Cha kerana ia bukan satu lokasi pelancongan dan rekreasi.

Latar Belakang

Lokasi Gua Cha

Gua Cha sebenarnya bukanlah sebuah gua dalam ertikata yang sebenarnya, ia adalah rock shelter iaitu batu lindungan, terletak ditebing utara Sungai Nenggiri di pedalaman Ulu Kelantan, dan 16 kilometer ke hilir Kampung Kuala Betis. Kawasan Gua Cha tidak didiami oleh sesiapa pun, keadaan ini menyelamatkan gua tersebut dicerobohi oleh penggali baja asli sepertimana yang berlaku pada gua yang lain. H.D. Noone merupakan orang pertama yang membuat ekskavasi di gua ini pada 1935, kemudian kajian dan ekskavasi yang lebih lengkap telah dijalankan oleh G. de. G Sievenking pada 1954, yang ketika itu bertugas sebagai Kurator Muzium-Muzium Negeri Tanah Melayu. Kemudian Adi Taha (Dato') melakukan cari gali semula pada Januari 1979 untuk membuktikan penemuan Sievenking pada 1954 yang juga merupakan tugasan ilmiah beliau di peringkat master.

Saintifik
Kajian Arkeologi di Gua Cha, Kelantan sebenarnya membuktikan bahawa kawasan pedalaman Kelantan telah dihuni oleh manusia sekurang-kurangnya 10,000 tahun yang lampau. Ini adalah satu fakta yang harus diterima oleh semua, bahawa negeri Kelantan ini sudah dihuni ribuan tahun dahulu. Bagaimanapun dalam kajian Adi Taha pada tahun 1979 itu menyatakan bahawa tinggalan di Gua Cha adalah tinggalan masyarakat Orang Asli yang juga dikenali sebagai Melayu Proto dan bukan masyarakat Melayu Duetro. 

Sekalipun pembuktian saintifik itu menyatakan ia adalah tinggalan Masyarakat Melayu Proto yang pada hari ini secara visual masih hidup secara primitif dengan sedikit pengaruh urban, hal ini masih diiktiraf sebagai satu fakta berkenaan kawasan dalam negeri Kelantan telah mempunyai penghuninya ribuan tahun dahulu. Kajiaan dan selidikan lanjut harus dijalankan bagaimanakan bentuk geografi serta jangka masa kehidupan manusia di rantau ini pada zaman lampau. Mungkin pada masa itu kawasan Nusantara ini merupakan satu benua besar.

H.D.Noone merupakan orang pertama melakukan kerja cari gali di Gua Cha pada 1935, pada waktu itu kawasan ini merupakan satu kawasan konsesi yang dimiliki oleh Duff Company dan Kelantan dibawah pentadbiran naungan British. Noone pada asalnya dalam rangka menjalankan bancian penduduk Kelantan, dan ketika di Kuala Betis beliau telah dibawa ke Gua Cha yang pada masa tersebut masih dihuni oleh Orang Asli. Pada masa inilah beliau telah menjalankan cari gali secara ringkas dan melaporkannya kepada pejabat Penasihat Kelantan seterusnya laporannya diterbitkan dalam Journal of Federated Malay States Museum Volume 15, 1939. Selepas itu M.W.F. Tweedie menjalankan kajian dan cari gali arkeologi di pedalaman Kelantan terutama di Gua Nenek, Gua Musang, Gua Madu dan Gua Menteri bagaimanapun setelah itu Perang Dunia meletus dan British angkat kaki dari Kelantan khususnya Tanah Melayu dan Jepun mengambil alih pentadbiran.

Lama selepas perang tamat, G.D. Sievenking telah dilantik sebagai Curator Federated Malay States Musuem, dan melalui catatan Jurnal H.D. Noone, beliau bersama isterinya telah membentuk pasukan arkeologi dengan diiringi oleh pasukan tentera menjalankan ekspedisi ke Gua Cha sekali lagi pada 1954. Direkodkan pasukan arkeologi yang diketuai oleh beliau telah menjumpai 30 rangka manusia yang dari zaman Neolitik dan Hoabinhian. 


Pasukan Arkeologi G.D.Sievenking dan artifak yang ditemui pada 1954

Selain rangka, ditemui juga barangan berbentuk tembikar dan seramik selain daripada perkakas memburu dan memproses makanan. Dari jumpaan artifak-artifak dan rangka manusia, Sievenking merumuskan bahawa memang kawasan pedalaman Kelantan telah dihuni manusia selama ribuan tahun, bagaimanapun didapati terdapat beberapa jangka masa yang mencecah seribu ke dua ribu tahun ia tidak dihuni dan setelah itu dihuni kembali oleh masyarakat yang berbeza. Jumpaan seramik dan tembikar pula menggambarkan bahawa manusia di Gua Cha telah menemui kemajuan dalam kelangsungan hidup.

Sebanyak 30 rangka dan jumpaan tembikar serta  seramik dari Gua Cha telah dihantar ke Muzium Perak yang juga merupakan ibu pejabat Sievenking. Dalam catatan beliau, pasukannya tiba di Gua Cha melalui jalan udara iaitu menggunakan helikopter tentera memandangkan kawasan sekitar gua tersebut merupakan kawasan hitam yang diancam oleh aktiviti pengganas komunis, kerana itu ekspedisi mereka diiringi pasukan bersenjata. Seluruh anggota ekspedisi juga menaiki helikopter dan dilokasi mereka dibantu oleh Orang Asli.  Selepas 1957, Sievenking tidak lagi bertugas di Malaya dan beliau telah membawa bersama-sama hasil ekskavasi yang beliau jalankan diseluruh Semenanjung Tanah Melayu termasuklah artifak dan 30 rangka manusia Hoabinhian dari Gua Cha ke England.

Nasib Gua Cha dan Artifak
Kali terakhir Gua Cha dilakukan cari gali khusus untuk kajian ilmiah adalah pada 1979, setelah itu ia tidak lagi menjadi tarikan para pengkaji arkeologi berikutan dasar kerajaan yang telah berubah dan lokasi gua tersebut dianggap sudah tercemar berikutan cari gali yang dibuat secara besar-besaran pada 1954 dan 1979. Ia hanya dilawat sekali sekali oleh pengkaji dan pencinta alam yang dan mutakhir ini, lokasi ini menjadi tapak percambahan ilmu dan pencernaan informasi penuntut Universiti Awam terutama dari Universiti Malaysia Kelantan.

Artifak Gua Cha yang terpenting adalah 30 Rangka Manusia Hoabinh yang dibawa pulang oleh Sievenking ke England yang pada waktu itu sedang melanjutkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) dengan University of Cambridge. Catatan menyatakan rangka tersebut di bawa keluar dari Gua Cha dalam 10 kotak yang bertanda, sebahagiannya telah diserahkan oleh Sievenking kepada University of Cambridge dan dijaga oleh MacDonald Institute of Archeology.

Penyelidik dan pengkaji sejarah, Datin Paduka Dato' Professor Emeritus Siti Zuraina Abdul Majid merangkap Pesuruhjaya Warisan telah menggerakkan usaha melalui Jabatan Warisan Negara untuk membawa pulang rangka-rangka tersebut dan ia bermula sewaktu beliau masih berkhidmat di USM. Pada 2008 Datuk Seri Rais Yatim yang pada waktu itu merupakan Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan telah berkomunikasi dengan pihak University of Cambridge untuk memuktamadkan urusan penghantaran pulang rangka purba itu, bagaimanapun tiada maklumat yang jelas yang disiarkan kepada orang awam berkenaan usaha-usaha Datuk Seri Rais Yatim setelah itu.

Rumusan
Kajian Arkeologi di Gua Cha yang dijalankan oleh G.D.Sievenking pada 1954 merupakan satu kajian arkeologi yang paling empirikal dan terkenal di Malaysia. Bagaimanapun ia dipandang sepi kerana rangka manusia yang berusia ribuan tahun itu berada di luar negara, hari ini Tamadun Sungai Batu lebih menonjol berbanding mana-mana tinggalan artifak Pra Sejarah di Malaysia. Usaha yang dijalankan oleh Kerajaan pada 2008 itu sewajarnya dipuji, bagaimanapun selanjutnya tidak diumumkan kepada orang awam dan ia menjadi tanda tanya, dan ramai menganggap ia satu usaha yang gagal.

Kini Gua Cha hanya dikenang sebagai lokasi Pra Sejarah yang wujud di Kelantan dan ia mendapat tempat diingatan orang ramai berikutan ia dicatat dalam buku teks, sebenarnya di Kelantan masih terdapat beberapa gua yang tidak kurang hebatnya. Mungkin ini adalah satu hikmah dari Yang Maha Esa untuk memelihara bukti kewujudan manusia di Kelantan untuk ditemui oleh mereka yang benar-benar menghargainya.

Temuan di Gua Cha 1954

Gua Madu, Kelantan. Lokasi Pra Sejarah yang terpinggir

Rujukan

  • http://dictionary.reference.com/browse/neolithic
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Zaman_Neolitik_di_Malaysia
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Zaman_Paleolitik_di_Malaysia

  • [Thesis] Penyelidikan Arkeologi Pra Sejarah di Negeri Kelantan oleh Mohd Kamaruzzaman A. Rahman
  • [Buku] Kelantan In Archeological Perspective terbitan Perbadanan Muzium Kelantan m.s. 283-295
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...