SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday, 12 April 2015

Jogho antara Kehidupan dan Jati Diri : Siri Orang Kito

Pesta Laga Lembu di Kubang Kerian [bong Raja Muda] pada 1900 

Pendahuluan
Jogho dalam Bahasa Melayu Standard bermaksud Juara iaitu pemenang atau lebih tepat individu atau kumpulan yang memenangi sesuatu pertandingan. Bagaimanapun dalam dialek Kelantan, maksud Jogho lebih daripada seorang juara, selain dari makna pemenang, perkataan ini dalam dialek Kelantan bermaksud seseorang yang mempunyai minat yang mendalam dan melibatkan diri secara langsung dalam sesuatu permainan, perlawanan atau persembahan. Contohnya:


  • Jogho Lembu : merujuk kepada individu yang mahir serta menaruh minat yang tinggi dalam laga lembu.
  • Jogho Wau : merujuk kepada individu yang mahir dan arif tentang permainan wau
  • Jogho Gasing : pakar kepada pembuatan dan permainan gasing


Bagaimanapun istilah Jogho dalam generasi Kelantan terdahulu lebih merujuk kepada mereka yang terlibat dalam Pertandingan Laga Lembu satu permainan tradisi Kelantan yang sudah pupus sama sekali. Walau sudah pupus, ia tetap diingati oleh orang-orang Kelantan sebagai satu permainan yang pernah disambut dengan meriah selayak dengan persembahan Corrida de Toro dengan disudahkan persembahan Matador melembing hingga mati lembu di Sepanyol atau Rodeo di Amerika. Kisah kehidupan Jogho juga telah diterjemahkan dalam novel karya S.Othman Kelantan, anak jati Kota Bharu yang kemudiannya telah disadur dalam bentuk filem dengan tajuk "Jogho". Filem ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dalam dunia perfilemen dimana pelakon malah filem itu sendiri diiktiraf dengan pelbagai anugerah pada peringkat antarabangsa.

Latar Belakang
Permainan ini juga masyhur dengan sebutan berlaga di mana ia melibatkan haiwan seperti lembu atau kerbau dan ia adalah pertarungan antara haiwan sesama haiwan bukan dengan manusia dan ia hanya diangsungkan di Kelantan. Menurut penyelidik C.C.Brown perlawanan ini berasal dari Siam dan ia dibenar diadakan di seluruh Kelantan semasa pemerintahan Sultan Muhammad IV, waktu itu semua orang bebas membuka gelanggang perlawanan sendiri yang lebih dikenali sebagai bong. Bagaimanapun pada tahun 1917 ia telah dihadkan, hanya Sultan dan Raja Muda sahaja yang boleh membuka bong, dengan bong Sultan terletak di Merbau dan bong Raja Muda terletak di Kubang Kerian.

Sewaktu Kelantan diperintah oleh Sutan Ismail I, bong Raja Muda telah ditutup manakala pada 1919 bong Sultan di Merbau pula ditutup dan sebagai ganti baginda telah membuka bong di Nilam Puri yang terkenal dengan gelaran Bong Lubuk Nilam bagaimanapun ia telah ditutup tidak lama kemudian. Perlawanan ini sentiasa menarik minat segenap lapisan masyarakat di Kelantan dan ramai peminat tegar dalam perlawanan ini, atas faktor ini Datuk Kaya Budi telah membuka bong di Dalam Lanas, Tumpat. Malangnya bong ini juga telah ditutup berikutan kejadian lembu naik minyak  hingga menyerang penonton.

Berikutan kejadian lembu naik minyak dalam bong di Tumpat, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan peraturan kepada sesiapa yang ingin mendirikan bong, mesti mengikut piawaian tertentu iaitu bong haruslah mempunyai kawasan yang luas dan sekurang-kurangnya 3.2. kilometer jauh dari bandar. Setelah peraturan itu dikeluarkan laga lembu-kerbau ini makin berkurangan hingga beberapa tahun sebelum tercetusnya Perang Dunia ke-2 temasya ini tidak lagi dianjurkan. Sewaktu Jepun menduduki Kelantan, temasya ini dihidupkan kembali dengan meriahnya dengan sebuah bong telah dibuka di Wakaf Siku namun ia akhirnya ditutup juga setelah Jepun menyerah kalah dalam perang yang paling diingati itu.

Jogho [Unar, lembu, dan Terinar] 1908 | Sumber Kelantan A Handbook tulisan W.A.Graham

Perlagaan
Bong atau gelanggang mempunyai ukuran sebesar padang bola sepak, ditengahnya dibina satu kawasan berpagar yang kukuh untuk tempat perlagaan lembu atau kerbau. Individu yang menguruskan perlagaan itu terdiri daripada tuan punya binatang (unar), gembala (terinar), pengadil (Ketua Bong), 12 orang Jogho (juara pengadu) dan beberapa orang bomoh. Pada pagi hari perlawanan, bomoh bagi setiap unar akan mengadakan upacara kembang iaitu satu ritual memuja binatang yang akan memasuki bong. Setelah itu ia akan dimandikan dengan bedak langir atau berlimau. Haiwan perlagaan itu akan sekali lagi dipuja sebelum dibawa ke gelanggang.

Sebelum perlagaan dimulakan, Ketua Bong dan Jogho telebih dahulu memilih dan menetapkan tiap-tiap haiwan yang akan mengambil bahagian dalam satu-satu perlawanan. Setelah ditetapkan, pemilik haiwan itu sendiri akan dibenarkan memeriksa haiwan yang akan bertempur dengan lembu atau kerbau miliknya dengan menyapu tengkok, kepala dan tanduk dengan kain basah untuk membersihkan lembu tersebut dari ubat pemedih atau lemak harimau yang ditegah dalam bong. Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan keadaan lembu masing-masing barulah ia akan diperegukan dalam bong.

Tempoh perlawanan ini berlangsung antara 30-45 minit bagi pasangan yang baik, namun ia boleh memakan sehari suntuk sekiranya pasangan lembu itu kurang baik seperti lembu dogol (tiada tanduk) berikutan lembu dogol sentiasa berhenti-henti dan kebiasaannya ia berkesudahan seri. Kalah Menang perlawanan ini selalunya ditentukan bila salah seekor diantara yang berlaga itu berkali-kali melarikan diri dari berlawan. Sebelum menentukan kekalahan, haiwan-haiwan itu akan diuji untuk meneruskan perlawanan dan ia akan diisytihar kalah apabila enggan lagi meneruskan perlawanan itu.

Sebernarnya dalam temasya laga lembu ini wujud unsur perjudian dikalangan penonton, namun ia berlaku dalam jumlah yang kecil. Pada waktu laga lembu masih popular, ia dianjurkan selepas tamatnya musim menuai, walaupun ada unsur perjudian, laga lembu tidak boleh disamakan dengan lumba kuda yang berteraska pertaruhan dan judi semata-mata, ringkasnya Laga Lembu merupakan antara tanda keaslian kebudayaan masyarakat Melayu Kelantan.

Rumusan
Laga Lembu merupakan satu aspek kebudayaan dalam masayarakat Melayu Kelantan bagaimanapun ia tidak lagi diadakan pada masa kini atas beberpa faktor seperti berikut:

  1. Keselamatan berikutan lembu yang dipertandingkan dalam bong naik minyak dan menyerang penonton.
  2. Sultan telah menghadkan pembukaan bong oleh rakyat biasa dan ini melemahkan semangat individu yang berminat untuk membuka bong.
  3. Kerajaan Negeri telah memperkenalkan peraturan khusus bagi bong yang  mahu dibuka selepas yang memerlukan pemilik bong mempunyai tanah yang luas.
  4. Kesedaran sivik dan agama berkenaan tindakan zalim keatas haiwan tersebut ketika ia berada dalam bong.
  5. Kewujudan unsur judi menyebabkan temasya ini semakin suram dan tidak lagi mendapat tempat dikalangan rakyat Kelantan yang pada waktu makin dekat dengan ajaran Islam berikutan kepulangan beberapa Ulama seperti Tok Kenali dari Mekah.
5 faktor ini merupakan punca utama Laga Lembu tidak lagi dianjurkan di negeri Kelantan dan yang paling utama, menganiayai haiwan belaan adalah satu perkara yang ditegah dalam Islam dan kini ia tidak lagi diadakan di Kelantan.

Bong Sultan Muhammad IV pada 1908

Bong Sultan di Merbau, Kota Bharu
Bong zaman Jepun di Pasir Puteh sekitar tahun 1940an



Rujukan
  • [Monograf] Warisan Kelantan XI m.s. 20
  • [Monograf] Beberapa Aspek Warisan Kelantan  m.s 76
  • [Jurnal] Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society Volume 6 Number 1 1928 p.g 74-82
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...