SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday, 9 April 2015

Masjid Muhammadi Universiti Terbuka Kelantan : Siri Orang Kito


Ariel View : Masjid Muhammadi Kota Bharu, Kelantan [Sumber : pixoto.com]


Pendahuluan
Masjid merupakan Rumah Allah, dan menjadi kewajipan setiap pemerintah Kerajaan Islam membina kemudahan ibadat ini dengan harapan seluruh rakyat boleh memakmurkan Rumah Allah ini. Begitulah adatnya diseluruh Alam Nusantara ini, masjid dan surau ada dimana sahaja dan tidak menjadi satu masalah kepada Umat Islam untuk menunaikan kewajipan Ibadat Solat termasuklah di Kelantan.

Masjid yang sentiasa diingati di Kelantan adalah Masjid Muhammadi. Masjid ini menyaksikan Islam berkembang dengan pesat di Kelantan berikutan ia menjadi lokasi utama masyarakat umum dari Kelantan, Patani, Terengganu, Kedah serta dari Acheh menadah ilmu agama Islam sebelum melanjutkan pelajaran ke Tanah Suci Mekah dan Al Azhar di Mesir. Ramainya penuntut dan pelajar yang bermusafir di Masjid Muhammadi menyebabkan mereka membina kediaman sementara sekitar Masjid yang dikenali sebagai pondok sebagai tempat berteduh menunggu hari siang. Begitulah kelangsungan budaya menuntut ilmu di Kelantan terutamanya di Kota Bharu pada waktu itu, tetapi ramai yang melihat fungsi Masjid Muhammadi sekadar sebagai pusat perkembangan Ilmu di Kelantan, jarang yang cuba menyelidiki kisah disebalik pembinaan dan tujuan ia dibina dengan senibinanya yang unik yang pada satu masa dirujuk sebagai Masjid Besar Kelantan.

Pembinaan
Tarikh tepat mengenai pembinaan masjid ini tidak dapat dipastikan, setakat yang diketahui ianya telah berdiri ratusan tahun lampau, bagaimanapun ia sering dilanda banjir hinggalah pentadbiran Sultan Muhammad II (1838-1886) mengarahkan pembinaan semula masjid tersebut di atas tapak asal masjid lama selepas ia dilanda bah pada 1847. Pada masa pemerintahan baginda juga, Kelantan telah mengamalkan undang-undang syariah sepenuhnya malah Hukum Hudud juga telah dikuatkuasakan.

Berdasarkan kepada foto 1905, itulah rupa bentuk Masjid Besar, paling menarik penulis dalam gambar ini adalah lampu jalan berhampiran pintu gerbang masjid. Ketika ini strukturnya masih sepenuhnya dalam senibina Melayu yang menggunakan kayu-kayu terpilih hinggalah ia mula diubah suai dengan penggunaan konkrit pada 1922 dan sehinggalah ianya dirasmikan oleh KDYMM Sultan Ismail I ibn Almarhum Sultan Muhammad IV pada 31 Julai 1931 dan dinamakan sebagai Masjid Muhammadi.


Gambar 1 : Masjid Besar 1905 [Sumber : Monograf Warisan Kelantan VII 1984] 

Gambar 2 : Masjid Muhammadi Pada 1960

Gambar 3 : Masjid Muhammadi pada masa kini


Gambar 1-3 adalah bukti akan perubahan yang berlaku kepada Masjid Muhammadi. Gambar pertama memaparkan senibina masjid ini masih lagi utuh dengan binaan orang-orang Melayu yang menggunakan kayu kayan, namua ia mula berubah setelah ia diubah suai dengan penggunaan konkrit, ia telah memasukkan unsur seni bina asing dalam binaan masjid. Sejajar dengan umur masjid ini yang lama, wajar ia dibaik pulih serta dilakukan penambahbaikkan untuk melanjutkan lagi tempoh penggunaannya, untuk rekod masjid ini telah menjalani proses penambahbikkan sekurang-kurangnya setiap 10 tahun bermula 1959, 1968, 1976, dan 1987.

Pada gambar kedua, kelihatan masih dikekalkan unsur binaan kayu, bagaimanapun sudah kelihatan menara batu setinggi tiga tingkat di sebelahnya, gabungan antara binaan asli dan moden dalam gambar 2 itu cukup mengkagumkan, bagaimanapun binaan ini tidak lagi wujud pada gambar 3, dipercayai ia telah musnah dalam Peristiwa Bah 1967 yang melanda seluruh Kelantan dan ianya digantikan dengan struktur konkrit pada 1976. Hikmahnya, selepas menjalani beberapa fasa penambahbaikkan Masjid Muhammadi terus utuh dan hingga kini ia mampu menampung jemaah seramai 2400 orang dengan keluasan 10,600 kaki, kapasiti ini cukup menggambarkan akan struktur masjid ini, justeru ia relevan untuk dijolok sebagai Masjid Besar Kota Bharu. 




Masjid Besar KB 1930



Rakam pada hari perasmian Masjid Muhammadi 
pada 31 Julai 1931


Sumbangan Masjid


Menara Masjid 1945
Masjid ini sebenarnya amat sinonim kepada seluruh masyarakat Semenanjung terutama mereka yang aktif dalam pengajian Islam, pada dekad 1920an ia dianggap sebagai Universiti Terbuka di Kelantan malah seluruh negara berikutan telah melahirkan ramai alim ulama dan siswazah pondok.  Malah beberapa ulama besar Kelantan dan Semenanjung seperti Tuan Tabal (1840-1891), Haji Wan Ali Kutan (1837-1912), & Tok Kenali (1869-1933) telah diberi amanah untuk mengajar di Masjid ini. Pada masa itu semua orang bebas datang untuk menuntut ilmu  dan ianya percuma sepertimana diamalkan di Masjidil Haram yang juga lokasi selanjutnya kepada pelajar-pelajar setelah mendalami pendidikan Islam di Masjid ini, kerana itu Kelantan telah mendapat gelaran Serambi Mekah.

Selain menjadi pusat perkembangan Islam di Kelantan dan Semenanjung yang ditunjangi oleh ulama-ulama terkenal, peranan Imam Masjid Muhammadi juga penting untuk merencanakan pemeliharaan masjid serta pengisiannya selain itu Imam juga bertindak sebagai Khadi yang suatu ketika dahulu terlibat juga dalam menentukan Hukum dalam Undang-Undang Syariah Kelantan dan fungsi Imam pada zaman itu lebih besar berbanding Imam pada zaman kini.


Berikut 10 Imam Besar Masjid Muhammadi:
  1. Haji Muhammad Salleh, Kg. Masjid, Kota Bharu
  2. Haji Abdul Rahman Arab Kg.Mek Senggora, Kota Bharu
  3. Haji Wan Abdullah bin Wan Derahim, Sg.Budor
  4. Haji Che Samat bin Che Senik, Kg.Laut Tumpat
  5. Haji Nik Wan Daud bin Haji Wan Sulaiman, Kg.Atas Banggol, Kota Bharu
  6. Haji Wan Muhammad bin Haji Abdul Samad, Kg. Tok Semian
  7. Haji Nik Mahmud bin Haji Wan Abdul Kadir, Kg. Nik Dhir Nakhoda, Kota Bharu
  8. Haji Ahmad Hafidz bin Haji Jamaluddin, Kg. Che Su, Kota Bharu
  9. Haji Wan Ahmad bin Haji Muhammad Said, Kg.Balik Kota, Kota Bharu
  10. Haji Nik Abdul Rahman bin Haji Wan Abdullah, Kg. Tok Semian, Kota Bharu

Imam Muda
  1. Haji Wan Muhammad bin Haji Abdul Samad [16/11/1896 - 4/11/1907]
  2. Haji Nik Mahmud bin Haji Nik Abdul Kadir [8/2/1909 - 8/2/1921]
  3. Haji Ahmad Hafidz bin Haji Jamaludin [9/2/1921-28/2/1942]
  4. Haji Wan Ahmad bin Haji Muhammad Said [1/3/1942-30/4/1943]
  5. Haji Nik Abdul Rahman bin Nik Kub [1/5/1943 - 30/6/1949]
  6. Haji Nik Mat bin Nik Kub [1/1/1949-28/2/1951) 

Imam Waktu
  1. Haji As'ad bin Haji Daud 
  2. Haji Ahmad Hafdz bin Jamaluddin
  3. Haji Nik Mat Puteh bin Khatib Wan Musa
  4. Haji Ishak bin Lebai Din/Shamsuddin
  5. Haji Abdul Aziz bin Haji Noh
  6. Ustaz Haji Ismail bi Yusuf

Khatib
  1. Haji Wan Musa bin Haji Wan Sulaiman
  2. Haji Wan Omar bin Haji Wan Sulaiman
  3. Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin
  4. Haji Wan Abdullah bin Haji Abdul Samad
  5. Haji Wan Daud bin Haji Wan Ismail
  6. Haji Wan Ahmad bin Haji Muhammad Said
  7. Haji Nik Muhammad Adeeb bin Haji Nik Mat Api
  8. Haji Nik Abdulrahman bin Nik Kub
  9. Haji Ismail bin Haji Abdul Majid

Bilal
  1. Haji Jusoh Kechik
  2. Haji Yusof bin Muhammad Taib
  3. Haji Abdul Latif bin Jalaluddin
  4. Haji Muhammad Salih bin Musa
  5. Haji Nik Mustafa bin Nik Mahmud
  6. Haji Ahmad bin Haji Mamat
  7. Haji Muhammad bin Haji Yussof
  8. Haji Ishak bin Lebai Din / Shamshddin
  9. Haji Ismail bin Abdul Rahman
  10. Haji Abdul Latif bin Abu Bakar
  11. Haji Abdul Aziz  bin Haji Noh
  12. Haji Yusof bin Haji Bulat
  13. Haji Muhktar bin Haji Ahmad
  14. Haji Abdulrahman bin Muda
  15. Haji Nordin bin Idris
  16. Muhammad Saufi bin Ismail
  17. Haji Abdul Rahim bin Haji Ahmad
Dikatakan ini adalah binaan Gunungan Pintu Gerbang Masjid Muhammadi yang berusia 100 tahun
Sumber : FB Tuan Mohd Noor Hashim

Rujukan:
  • [Jurnal] Warisan Kelantan XIII, Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Abdul Razak Mahmud m/s 20-33
  • [Jurnal] Warisan Kelantan XIV, Imam-Imam Masjid Muhammadi, Ismail bin Che Daud m/s 1-27
  • [Buku] Keluarga DiRaja Kelantan m/s: 25
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid_Muhammadi  
  • https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10206507293229925&set=o.151961668148240&type=1&theater                                              
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...